Category: Jenayah

  • Lelaki kurang siuman maut dipukul, 12 pelajar tahfiz ditahan

    Lelaki kurang siuman maut dipukul, 12 pelajar tahfiz ditahan

    SEORANG lelaki kurang siuman maut dipercayai dipukul oleh sekumpulan pelajar tahfiz di sebuah masjid di Pulau Melaka, Melaka, semalam.

    Ekoran kejadian tersebut, seramai 15 pelajar tahfiz ditahan bagi membantu siasatan.

    Bagaimanapun, tiga darinya telah dihantar pulang.

    Seorang tenaga pengajar yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku apabila lelaki berkenaan mengamuk dan membakar jubah milik pelajar serta mengganggu mereka.

    “Semasa kejadian saya tiada, namun dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

    “Pada masa sama, lelaki itu telah bertindak memukul seorang tukang masak wanita berusia 60-an yang kebetulan melalui kawasan kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

    Menurut dia, pengawal keselamatan kemudian cuba menangkap lelaki tersebut yang ketika itu sedang mengamuk dan melawan.

    Ujarnya, pelajar tahfiz turut sama membantu menangkap lelaki tidak siuman itu.

    Dia memberitahu, selepas berjaya diberkas, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada warden untuk diserahkan kepada pihak polis.

    “Semasa mereka hendak serahkan kepada pihak berkenaan lelaki tersebut berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

  • Bertengkar sebelum pemandu e-hailing dibunuh di ladang sawit

    Bertengkar sebelum pemandu e-hailing dibunuh di ladang sawit

    TIDAK berpuas hati akibat pertengkaran di sebuah pusat hiburan dipercayai punca pembunuhan seorang pemandu e-hailing yang dikaitkan dengan penahanan lapan pegawai dan anggota polis di Tawau, Sabah, kelmarin.

    Harian Metro memetik sumber berkata, salah seorang suspek wanita sebelum itu terbabit dalam pertengkaran bersama mangsa, lelaki bergelar Datuk dan beberapa individu lain di sebuah pub pada awal Januari lalu.

    “Punca pertengkaran dipercayai akibat mangsa tidak berpuas hati dengan pegawai kanan itu menjalin hubungan dengan wanita berkenaan yang masih isterinya ketika itu.

    “Mangsa dipercayai ditikam di kawasan ladang sawit sebelum mayatnya ditinggalkan pada 13 Januari lalu.

    “Suspek wanita itu mengaku membuat perancangan bersama beberapa individu lain untuk membunuh mangsa,” katanya.

    Sebelum ini, empat anggota dan empat pegawai kanan polis direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah dipetik berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan siasatan khas dari Bukit Aman bagi menjalankan siasatan kes terbabit.

    Menurutnya, pihaknya menyifatkan terlalu awal untuk sebarang kenyataan kerana dibimbangi boleh mengganggu siasatan.

    “Kes ini lebih bersifat peribadi. Setakat ini, kes masih di peringkat siasatan dan sidang media lanjut akan dibuat selepas siasatan dilengkapkan,” katanya.

    Terdahulu, pada 16 Januari lalu, mayat seorang lelaki berusia 61 tahun ditemui dalam kawasan semak di Tawau, dipercayai mangsa bunuh.

    Turut ditemui bersebelahan dengan mayat mangsa, kereta Perodua Myvi putih.

  • Padah pukul isteri dengan topi keledar, lelaki ditahan polis

    Padah pukul isteri dengan topi keledar, lelaki ditahan polis

    LELAKI yang dirakam memukul wanita dengan topi keledar di hadapan sebuah kedai makan pada Khamis lalu sehingga tular ditahan di sebuah rumah di RKT Kesedar Paloh 2, di Gua Musang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek berusia 35 tahun ditahan pukul 2.30 petang semalam.

    Menurutnya, suspek yang berkerja sendiri mengaku memukul wanita terbabit yang juga isterinya kerana berlaku perselisihan faham.

    “Hasil pemeriksaan terhadap suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah, namun ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis Methaphetamine.

    “Siasatan mendapati wanita berusia 35 tahun itu adalah isteri kepada suspek.

    “Suspek mendakwa, berlaku perselisihan faham kerana tidak membenarkan isterinya bekerja dan menyuruh mangsa menjaga ibunya yang sedang sakit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, polis turut merampas topi keledar berwarna merah yang digunakan untuk memukul wanita berkenaan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 323/18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 1 Februari ini untuk siasatan lanjut,” katanya, lapor Berita Harian.

    Semalam, media melaporkan polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan video tular seorang lelaki memukul wanita yang dipercayai berlaku di Paloh 2 dan sedang menyiasat kejadian yang berlaku.

    Rata-rata netizen mengecam perbuatan lelaki terbabit kerana garang dan ‘naik tangan’ serta turut mengecam individu yang merakam kejadian itu kerana tidak menolong wanita berkenaan.

  • Empat ditahan terlibat sindiket penipuan jual beli barangan kemas

    Empat ditahan terlibat sindiket penipuan jual beli barangan kemas

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket penipuan jual beli barangan kemas dalam talian susulan penahanan empat individu menerusi dua serbuan berasingan di ibu negara dan Selangor, Khamis lepas.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata empat individu yang ditahan itu berumur 26 hingga 45 tahun terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita termasuk seorang bertaraf pemastautin tetap yang disyaki dalang utama sindiket terbabit.

    Noorsiah berkata sindiket itu dipercayai aktif menjalankan penipuan sejak pertengahan 2022 dengan mewujudkan kumpulan melalui aplikasi Telegram dan Instagram bagi mengiklankan barang kemas dan seterusnya mencari mangsa.

    “Mangsa yang berminat dengan barang kemas yang diiklankan akan dihubungi oleh ahli sindiket dan akan diarahkan untuk membuat pembayaran ke akaun tertentu. 

    Namun setelah pembayaran dilakukan, barang kemas yang dijanjikan tidak diterima mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Noorsiah berkata semasa serbuan sebanyak enam unit telefon bimbit, dua kad bank, tujuh salinan perbualan dalam aplikasi WhatsApp yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan jual beli barang kemas secara dalam talian telah dirampas.

    “PDRM percaya melalui penahanan sindiket itu, sekurang-kurangnya enam kes berkaitan penipuan jual beli barangan kemas berjaya diselesaikan melibatkan jumlah kerugian keseluruhan RM17,100,” katanya.

    Noorsiah berkata kesemua suspek direman dua hari bermula Jumaat lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada bagi mencegah kes-kes sebegini daripada terus berleluasa. Mereka boleh mendapatkan maklumat dan nasihat dengan membuat rujukan dengan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial atau menghubungi National Scam Response Center di talian 997,” katanya. – BERNAMA

  • Pekerja kilang maut bergaduh kerana pokok timun

    Pekerja kilang maut bergaduh kerana pokok timun

    SEORANG pekerja kilang warga asing maut selepas terbabit pergaduhan antara pekerja warga Bangladesh dan Myanmar kerana tidak berpuas hati pokok timun ditanamnya dirosakkan dalam kejadian di sebuah kilang di Jalan Mengkibol, Kluang, Khamis lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh, kejadian melibatkan mangsa yang merupakan operator kilang warga Bangladesh berusia 31 tahun di hadapan bilik asrama pekerja kilang tersebut pada pukul 4 petang.

    Katanya, kejadian itu diketahui selepas pengurus kilang berkenaan diberitahu seorang pekerjanya mengatakan pekerja kilang berkenaan sedang bergaduh di hadapan asrama kilang.

    “Pengurus berkenaan kemudian pergi ke asrama pekerja untuk membuat pemeriksaan dan mendapati keadaan terkawal, namun pada pukul 5 petang pengurus berkenaan melihat tiga pekerja dibawa rakan-rakannya ke tengah jalan di kawasan kilang dalam keadaan cedera.

    “Pengurus bersama-sama rakannya telah membawa dua pekerja untuk mendapat rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) dan seorang lagi pekerja telah dibawa mendapatkan rawatan di klinik berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bahrain berkata, hasil siasatan mendapati pergaduhan tersebut melibatkan pekerja warga Bangladesh dan Myanmar di asrama pekerja.

    Katanya, asrama pekerja kilang itu mempunyai dua blok yang diduduki pekerja warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

    “Punca kejadian pada hari itu adalah kerana pokok timun yang ditanam mangsa dirosakkan oleh suspek warga Myanmar. Kemudian mangsa dan rakan-rakannya iaitu warga Bangladesh bertanya suspek berkenaan pokok yang dipotong itu lalu berlaku pergaduhan antara mereka,” katanya.

    Jelas Bahrain, mangsa yang cedera di bahagian kepala dihantar ke HEBHK selepas tidak sedarkan diri dan kritikal.

    “Pegawai perubatan di HEBHK memaklumkan mangsa meninggal dunia pada pukul 1.56 pagi semalam,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Bahrain berkata, pihaknya menahan lima lelaki Bangladesh berusia 30 sehingga 41 tahun dan lima lagi lelaki Myanmar berusia 21 sehingga 41 tahun sebelum mereka direman selama tujuh hari bermula Jumaat.

    Pihaknya turut merampas sebilah parang sepanjang kira-kira hampir setengah meter dan dua batang paip sepanjang hampir satu meter.

    Tambahnya, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • 9 lelaki ditahan ketika berjudi, wang pertaruhan hampir RM20,000 dirampas

    9 lelaki ditahan ketika berjudi, wang pertaruhan hampir RM20,000 dirampas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    WANG pertaruhan hampir RM20,000 merupakan antara barangan dirampas dalam serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Pusat Komersial Saujana, Sungai Petani, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, seramai sembilan individu ditahan dalam serbuan tersebut ketika masing-masing sedang rancak bertaruh kira-kira pukul 2.45 pagi.

    Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 47 tahun.

    “Serbuan itu diketuai oleh pegawai yang turut digelar sebagai pakar judi PDRM bersama anggota D7 IPK Kedah. Selain wang tunai berjumlah hampir RM20,000, beberapa peralatan perjudian antaranya dua meja, sembilan kerusi, 52 daun pakau turut dirampas.

    “Kegiatan perjudian ini dipercayai telah berlangsung selama dua hari. Kesemua yang ditahan serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

  • KPDN ambil tindakan peniaga jual minyak masak kepada pelanggan terpilih

    KPDN ambil tindakan peniaga jual minyak masak kepada pelanggan terpilih

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DEK kerana mengamalkan penjualan terpilih bagi minyak masak peket satu kilogram (kg), seorang peniaga di Taman Pekan Baru, Sungai Petani, Kedah terpaksa berdepan tindakan tegas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang melakukan pemeriksaan di kedainya, hari ini.

    Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu setelah seorang pelanggan memuat naik kandungan di Tik Tok menyatakan kekesalannya mengenai sikap peniaga itu kelmarin.

    “Susulan itu, seorang pegawai KPDN yang berpakaian preman hadir ke kedai tersebut kira-kira pukul 11 pagi tadi dan menyamar sebagai pelanggan bagi membeli minyak masak peket. Peniaga tersebut bagaimanapun memaklumkan bekalan tersebut tiada di kedainya.

    “Pemeriksaan dijalankan selepas itu mendapati terdapat 120 peket minyak masak subsidi satu kilogram diletakkan di bahagian belakang premis.

    “Minyak masak itu disyaki disimpan dan tidak dijual kepada sebarangan pelanggan sebaliknya hanya untuk dibekalkan kepada pelanggan tetap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pemeriksaan dijalankan selepas itu mendapati terdapat 120 peket minyak masak subsidi satu kilogram diletakkan di bahagian belakang premis.

    Seorang wanita dalam video dimuat naik di laman Tik Toknya kelmarin meminta KPDN membuat siasatan terhadap perkara tersebut kerana mendakwa ditengking apabila dia bertanyakan mengenai minyak masak subsidi sekilogram.

    Menurut wanita berkenaan, peniaga itu mendakwa tiada minyak masak di kedainya sedangkan terdapat banyak minyak masak dikeluarkan dari lori besar ke pasar raya mini tersebut.

    Mengulas lanjut Affendi berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Jika sabit kesalahan, mana-mana individu perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan perbadanan pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua,” katanya.

  • Bunuh: Lapan termasuk empat pegawai kanan polis Sabah ditahan reman

    Bunuh: Lapan termasuk empat pegawai kanan polis Sabah ditahan reman

    LAPAN pegawai polis termasuk empat pegawai kanan ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, semua pegawai polis terbabit ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

    Susulan itu katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan Pasukan Siasatan Khas dari Bukit Aman bagi menjalankan siasatan mengenai kes ini.

    Jelasnya, kes berkenaan masih di peringkat siasatan dan sidang media lanjut akan dibuat setelah siasatan dilengkapkan.

    “Justeru, PDRM tidak membuat kenyataan terperinci mengenai kes ini kerana ia masih terlalu awal dan dibimbangi boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau juga menasihatkan pihak media agar tidak membuat sebarang spekulasi dengan mengaitkan kes ini sebagai isu keselamatan kerana kes ini lebih bersifat peribadi.

    Khamis lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan penahanan enam pegawai polis di Sabah.

    Penahanan tersebut dipercayai berhubung kes bunuh seorang lelaki di Tawau, lapor Utusan Malaysia.

  • Modal tunjuk gambar anak ‘meninggal’, lelaki lesap lepas kaut RM1,300

    Modal tunjuk gambar anak ‘meninggal’, lelaki lesap lepas kaut RM1,300

    DENGAN bermodalkan gambar mayat di atas pengusung, seorang lelaki sanggup menggunakan alasan anak lelakinya meninggal dunia sebelum menghilangkan diri selepas menerima wang RM1,300 milik ahli jawatankuasa Masjid Kampung Salak Tinggi, Sepang, pada Sabtu lalu.

    Dia yang mendakwa mengenali Presiden Kelab Perantau 11 Mohamad Fairuz Mohamad yang aktif dengan kerja amal sekitar Salak Tinggi, datang ke rumah nazir masjid terbabit kira-kira pukul 2 petang pada Ahad lalu untuk memohon bantuan.

    Kebetulan, nazir Mohamad Rosli Muhammad Hanafiah keluar bekerja dan isterinya menyerahkan wang bantuan sebanyak RM300.

    Mohamad Fairuz berkata, lelaki itu yang mendakwa berasal dari Kampung Salak Tinggi dan pada awalnya memaklumkan anak lelakinya berusia 20 tahun sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan memerlukan bantuan kewangan.

    “Isteri nazir yang kasihan terhadap lelaki berkenaan kemudian menghulurkan wang sebanyak RM300 kepadanya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mohamad Fairuz berkata, lelaki berkenaan juga menemui seorang ahli jawatankuasa kebajikan masjid sama untuk memohon bantuan kewangan yang didakwa untuk urusan pengebumian anaknya.

    “Lelaki itu juga memberi alasan sama kononnya saya yang mengarahkannya bertemu ahli jawatankuasa itu untuk memohon bantuan kewangan.

    “Ahli jawatankuasa itu yang juga amil zakat kariah kampung berkenaan kemudian menyerahkan RM1,000 kepada lelaki berkenaan,” katanya.

    Malah, katanya, pihak ahli jawatankuasa juga sudah membuat persiapan termasuk menggali kubur untuk jenazah anak lelaki berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Salak Tinggi pada hari sama.

    “Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak berjaya dihubungi menyebabkan mereka (ahli jawatankuasa) menghubungi saya untuk mengetahui mengenai individu berkenaan.

    “Saya amat terkejut apabila dimaklumkan lelaki terbabit menggunakan nama saya ketika meminta bantuan kewangan dengan mereka sedangkan saya sendiri tidak mengenalinya.

    “Saya merasakan lelaki itu bukan berasal dari Kampung Salak Tinggi memandangkan ramai penduduk tidak mengenalinya,” katanya yang membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, kelmarin.

    ‘Saya tak sangka soal urus jenazah pun kena scam’

    “Selama 18 tahun menjadi anak kariah masjid, ini kali pertama saya berdepan penipuan seperti ini.

    “Tidak tahu apa masalah sebenar, tetapi dia tergamak menggunakan alasan anaknya meninggal dunia. Selepas dapat duit, terus hilang dan gagal dihubungi,” kata Nazir Masjid Kampung Salak Tinggi Mohamad Rosli Muhammad Hanafiah.

    Katanya, dia dihubungi seorang lelaki dari Salak Baiduri, dekat sini, yang memaklumkan anaknya mengalami kemalangan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

    Menurutnya, atas dasar simpati, keluarganya menghulurkan bantuan RM300 sebelum lelaki itu berjumpa pula dengan Biro Kebajikan Masjid untuk memaklumkan perkara sama.

    “Kemudian dia hantar gambar mayat di atas pengusung dan mengakui itu adalah anaknya yang sudah meninggal dunia serta memerlukan kos pengurusan jenazah.

    “Dia beritahu jawatankuasa biro saya luluskan RM1,000. Kemudian dia menghilangkan diri sedangkan pihak masjid sudah pun menggali liang lahad untuk pengebumian anaknya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

    Mohamad Rosli berkata, biarpun pihak masjid tidak menyediakan peruntukan pengurusan jenazah, namun atas dasar simpati, wang berkenaan disumbangkan kepada lelaki itu untuk membantunya yang ‘kehilangan’ anak.

    Katanya, dia juga memeriksa dengan penduduk di Salak Baiduri mengenai kematian seorang lelaki berusia 20 tahun akibat kemalangan seperti didakwa, namun tiada siapa tahu mengenainya.

    “Kami tunggu juga, namun panggilan tidak dijawab dan saya reda dengan apa yang berlaku. Mungkin dia ada masalah lain atau apa, itu terpulanglah kepada dia.

    “Cuma saya tak sangka, soal pengurusan jenazah pun ada yang scam, guna alasan anak sendiri pula,” katanya.

    Menurutnya, liang yang sudah digali itu kemudian digunakan untuk jenazah lain, dan pihaknya akan lebih berhati-hati bagi mengelakkan perkara sama berulang lagi pada masa depan.

  • 3 beranak ditahan bersama ketulan mampat ganja, heroin bernilai lebih RM50,000

    3 beranak ditahan bersama ketulan mampat ganja, heroin bernilai lebih RM50,000

    POLIS Pulau Pinang menahan tiga beranak yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan heroin untuk pasaran tempatan dalam serbuan berasingan di Bukit Mertajam, Selasa lalu.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintenden Mohd. Nor Daud berkata, turut ditahan daripada pasangan suami isteri dan anak mereka itu adalah dadah jenis ganja dan heroin bernilai RM53,265.

    Menurut beliau, suspek pertama iaitu lelaki berusia 49 tahun yang juga disyaki dalang sindiket itu ditahan dalam serbuan pukul 9 pagi di sebuah kawasan taman permainan di Bukit Mertajam yang mana polis merampas satu ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 7.20 gram bernilai RM550.

    Berdasarkan maklumat daripada suspek, ujar beliau, polis seterusnya menyerbu sebuah rumah tidak jauh dari situ dan menangkap isteri serta anak lelaki suspek masing-masing berusia 53 dan 23 tahun.

    “Siasatan lanjut kemudian menjumpai empat ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat 1,363 gram bernilai RM20,650 selain 18 peket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 2,209 gram bernilai RM32,065,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) SPT hari ini.

    Mengulas lanjut, kata Mohd. Nor, si bapa yang bekerja sebagai buruh mempunyai lapan rekod kesalahan dadah dan satu rekod berkaitan jenayah.

    Sementara itu, anaknya yang merupakan penganggur mempunyai dua rekod berkaitan dadah manakala isterinya yang juga suri rumah tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    Ujar beliau, ketiga-tiga suspek bagaimanapun negatif dadah hasil ujian saringan air kencing dan mereka kini direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau boleh disebat tidak kurang daripada 15 kali sebatan jika tidak dihukum mati.

    “Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 iaitu dengan menyita dua buah motosikal yang masing-masing berharga RM2,500 dan RM3,500 sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM59,265,” katanya.