Category: Jenayah

  • Lelaki miliki 12 rekod jenayah mati ditembak

    Lelaki miliki 12 rekod jenayah mati ditembak

    SEORANG lelaki maut ditembak ketika berada di kawasan Jalan Hamzah Alang, Persiaran Hamzah Alang, di Klang semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, polis menerima aduan berkaitan satu kejadian tembakan yang berlaku di kawasan Kapar, di Klang.

    “Bertindak atas maklumat itu, pada 10.35 malam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara ke lokasi kejadian, berhadapan dengan rumah kedai dua tingkat.

    “Siasatan awal mendapati, saksi awam terdengar bunyi beberapa das tembakan dan ada kemalangan kecil di sekitar lokasi tempat kejadian.

    “Mangsa berusia 36 tahun itu mempunyai 12 rekod jenayah lampau jenayah berkaitan dadah dan jenayah kekerasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Vijaya Rao berkata, polis sedang mengesan beberapa saksi bebas di tempat kejadian.

    “Usaha mengesan bukti dan kamera litar tertutup sedang dijalankan bagi mengesan suspek terbabit.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lapor Harian Metro.

  • Tegur suami hisap dadah bersama rakan di rumah, isteri cedera dipukul

    Tegur suami hisap dadah bersama rakan di rumah, isteri cedera dipukul

    SEORANG wanita cedera ditumbuk suaminya yang mengamuk setelah ditegur mangsa kerana membawa rakan menghisap dadah di rumah mereka dalam kejadian di Matang Jaya dekat Padawan Sarawak, Ahad lalu.

    Wanita itu mengalami pendarahan pada mata kiri dan lebam pada kepala susulan insiden berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari, di rumah yang disewa mereka.

    “Ketika kejadian wanita berusia 23 tahun itu menegur suaminya membawa rakan datang ke rumah untuk menghisap dadah sehingga rakan suspek balik (keluar dari kediaman terbabit).

    “Suspek marah dan bertindak agresif menumbuk mangsa berulang-ulang kali di kepala sehingga mengalami kecederaan,” katanya lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut, Abang Zainal berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan menahan suspek yang berusia 26 tahun di rumah sewa terbabit, kelmarin.

    Katanya, suspek yang juga penganggur itu kini ditahan di lokap Balai Polis Beratok untuk siasatan lanjut.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

  • Pegawai kanan Polis Johor antara tiga ditahan SPRM

    Pegawai kanan Polis Johor antara tiga ditahan SPRM

    POLIS Kontinjen Johor mengesahkan seorang pegawai kanan polis dan dua pegawai rendahnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan selari sedang dijalankan Jabatan Pematuhan Standard (JIPS) bersama pihak SPRM.

    “Polis Johor mengesahkan tangkapan yang dibuat oleh SPRM membabitkan seorang pegawai kanan dan dua pegawai rendah polis, semalam.

    “Siasatan selari oleh JIPS bersama SPRM sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

    Terdahulu, media melaporkan, seorang pegawai kanan dan dua anggota polis ditahan SPRM kerana disyaki terbabit isu rasuah berkaitan ujian saringan air kencing pesalah.

    Memetik sumber, kesemua lelaki berusia 36 hingga 54 tahun itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di tiga daerah di Johor.

    Difahamkan, penahanan dibuat selepas mereka yang berpangkat Asisten Superintendan dan Sarjan terbabit hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor, pukul 2 petang kelmarin dan 11 pagi semalam.

    Katanya, kegiatan itu terbongkar selepas SPRM menahan seorang pegawai patologi sebuah hospital di negeri ini.

    Sumber dilaporkan berkata, hasil siasatan SPRM mendapati, 10 pegawai kanan dan 33 pegawai JSJN seluruh daerah di Johor terbabit merasuah patologi sejak 2018 sehingga 2022.

    Katanya, setakat ini, 37 individu ditahan secara berperingkat dan sudah diberi jamin SPRM.

    Tangkapan tiga pegawai dan anggota polis itu oleh SPRM turut disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

    Pengarah JIPS Datuk Seri Azri Ahmad pula dipetik berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan tatatertib (KST) selari tangkapan berkenaan.

  • Polis bantuan maut dengan kesan tembakan pada kepala

    Polis bantuan maut dengan kesan tembakan pada kepala

    SEORANG anggota polis bantuan ditemui maut dengan kesan satu das tembakan di bahagian kepala dalam kejadian di ruang rehat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di Kota Kinabalu pukul 9.30 pagi tadi.

    Mangsa yang berusia 42 tahun itu ditemui oleh rakan sekerjanya dalam keadaan berlumuran darah.

    Difahamkan, mangsa ditemui terlantar di kerusi rehat dengan pendarahan di bahagian kepala.

    Sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian dan ketika itu mangsa masih bernyawa.

    Bagaimanapun, kira-kira setengah jam kemudian pasukan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di Kota Kinabalu yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telahpun meninggal dunia.

    Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu serta Unit Forensik IPK Sabah turut berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd. Rahim ketika ditemui di lokasi kejadian mengesahkan kejadian terbabit.

    “Mangsa dibawa ke Unit Forensik HQE I untuk tindakan lanjut dan kes mengenai kejadian itu masih dalam siasatan polis,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Turut berada di lokasi kejadian Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) IPK Sabah, Superintenden Alhusin Halil.

  • Bersatu mahu dakwaan kerakyatan kepada 54,000 warga China disiasat

    Bersatu mahu dakwaan kerakyatan kepada 54,000 warga China disiasat

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan 54,000 warga China dalam proses diberikan kerakyatan Malaysia.

    Gesaan itu dibuat walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah pun menafikannya.

    Dakwaan ini muncul kali pertama di media sosial awal bulan ini. 

    Dakwaan itu menyebut mereka akan diberikan kerakyatan supaya menjadi “pengundi DAP”.

    Hantaran di Facebook Pas Pusat mengenai 54,000 warga China yang diberi kerakyatan negara ini.

    Tanpa mengemukakan bukti terdapat dakwaan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris semalam berkata, siasatan perlu dibuat terhadap Saifuddin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JPN.

    “Mana mungkin pokok bergoyang begitu sahaja kalau tiada angin yang bertiup!” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial Pas semalam.

    Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah jenayah dan akan mengusulkan kepada Saifuddin supaya laporan polis dibuat lapor Malaysiakini.

  • Bayi lelaki ditemukan di luar pusat tahfiz

    Bayi lelaki ditemukan di luar pusat tahfiz

    SEORANG bayi lelaki yang cukup sifat ditemukan di atas wakaf luar pagar sebuah pusat tahfiz dekat Kampung Batu Tumbuh, di Jertih pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata bayi itu ditemukan orang awam yang sedang mengecat pusat tahfiz berkenaan pada pukul 8 pagi tadi.

    “Semasa lelaki itu melakukan kerja-kerja mengecat di dalam pusat tahfiz berkenaan, dia terdengar jeritan suara bayi. Pengadu kemudiannya mengikuti suara dan terjumpa bayi lelaki yang berbungkus dengan kain merah diletakkan di dalam bekas plastik juga berwarna merah di wakaf luar pagar pusat tahfiz.

    “Pengadu terus menghubungi balai polis. Pengadu juga mengatakan tidak nampak sesiapa yang meletakkan bayi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata bayi seberat 2.6 kilogram yang dalam keadaan cukup sifat itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh sekitar 48 jam.

    “Bangsa tidak dapat dipastikan, dan semasa diterima tali pusat bayi masih belum di potong. Ia hanya disimpulkan serta terdapat jangkitan kuman pada tali pusat bayi itu,” katanya dan menambah bayi itu telah dibawa ke Hospital Besut.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Nur Izzati Arina Zahari dengan menelefon 09-695 9999.

  • Polis berkas tukang urut ‘mahu rumah Anwar meletup’

    Polis berkas tukang urut ‘mahu rumah Anwar meletup’

    SEORANG tukang urut ditahan susulan didakwa membuat hantaran berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri dalam serbuan di sekitar Taman Desa Budiman, Bidong, Kedah, semalam.

    Menurut Utusan Malaysia, lelaki itu dalam hantarannya ‘mahu membuat letupan’ di rumah Anwar Ibrahim kerana didakwa menzalimi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Lelaki berusia 41 tahun itu ditangkap pada 2.30 petang oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, satu laporan diterima berhubung ancaman melalui akaun Facebook JoeJebatTajudin.

    “Hasil siasatan, kita sudah kenal pasti suspek dan membuat tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang bekerja sebagai tukang urut,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.

    Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan narkotik.

    “Suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya.

    Menurut laporan itu, suspek yang dipercayai pemilik akaun Facebook bernama JoeJebatTajudin berkongsi satu klip video dari YouTube memaparkan kejadian letupan di Beirut, Lubnan.

    Suspek dikatakan memuat naik kapsyen: “Memang sempoi kalau letupan macam itu kat rumah PMX yang menzalimi para pencarum KWSP.

    “Mudah mudahan Allah (SWT) akan cabut nyawa PMX dalam masa terdekat ini.. Amin.”

  • Bunuh rakan kerana ganggu teman wanita

    Bunuh rakan kerana ganggu teman wanita

    POLIS menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun kerana disyaki membunuh lelaki yang mayatnya ditemukan dalam parit di Jalan Pasir, Kampung Sungai Payung Baruh, Rungkup, Bagan Datuk, Rabu lalu.

    Ketua Polis Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri, berkata remaja itu ditahan di Hutan Melintang, Sabtu lalu.

    “Mayat dikenal pasti merupakan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun dan mereka berdua adalah rakan dan jiran di sebuah taman perumahan di Teluk Intan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca pembunuhan adalah disebabkan suspek cemburu kepada si mati kerana mengganggu teman wanitanya yang berusia 20 tahun.

    Katanya, suspek mengaku membunuh mangsa pada 20 Ogos lalu sebelum membuang mayat si mati di lokasi penemuan mayat tersebut.

    Ahmad turut menafikan maklumat tular mendakwa terdapat dua orang mangsa bunuh dalam kejadian itu.

    Rabu lalu, polis menerima maklumat pada 4.48 petang daripada orang awam mengenai penemuan mayat dalam keadaan tertiarap dalam parit di kawasan kebun sawit.

    Mangsa yang memakai baju berwarna merah dan berseluar pendek ditemukan dengan beberapa kesan luka pada bahagian tangan, kaki dan leher.

    Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati punca kematian disebabkan oleh luka potongan pada bahagian kepala dan leher.

  • Bayi lelaki setahun maut dipercayai akibat didera

    Bayi lelaki setahun maut dipercayai akibat didera

    LAGI kes kanak-kanak maut didera kali ini berlaku di Seberang Jaya, Pulau Pinang melibatkan seorang bayi lelaki warga tempatan yang baru berusia setahun.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada pihak Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang mendakwa bayi tersebut maut dengan kesan dera kira-kira pukul 7 petang.

    Menurut Cheng San, mangsa sebelum itu dibawa ke hospital tersebut oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mendakwa bayi malang itu pengsan dan memerlukan rawatan susulan.

    “Suspek bagaimanapun bergegas meninggalkan kawasan hospital tidak lama kemudian.

    “Ekoran kejadian tersebut, empat lelaki dan lima wanita warga tempatan yang berusia antara 16 hingga 48 tahun ditahan di sekitar Seberang Perai bagi membantu siasatan.

    “Siasatan lanjut mendapati, salah seorang daripada suspek yang ditahan itu mempunyai lima rekod jenayah atas pelbagai kesalahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah Cheng San, kesemua yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk direman dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • Pukul bapa hingga maut, buang tepi jalan

    Pukul bapa hingga maut, buang tepi jalan

    SEORANG anak lelaki tergamak membunuh bapanya, sebelum mayatnya dibalut dengan langsir sebelum dibuang di tepi jalan di hadapan sebuah kondominium di Sungai Way, di kelmarin.

    Menurut sumber, mayat lelaki berusia 74 tahun itu ditemui pada jam 2 pagi.

    “Siasatan mendapati kesan kecederaan di kepala, tangan sebelah kiri disyaki patah, kesan lebam di bahagian dada mangsa.

    “Pemeriksaan di lokasi rumah mangsa pula, terdapat kesan tompokan darah di bahagian dinding dan pintu bilik tidurnya serta kesan seretan di bahagian ruang tamu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, pemeriksaan pada sebuah kenderaan yang disyaki digunakan suspek berusia 40-an untuk membawa mangsa terdapat kesan tompokan darah di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

    “Suspek yang juga anak kandung mangsa telah ditahan, dia disyaki memukul bapanya dengan menggunakan penyedok sehingga menyebabkan kematian.

    “Suspek kemudian bertindak membalut mangsa menggunakan langsir sebelum meletakkan mayat mangsa di tepi jalan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

    “Kita akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kejadian itu dalam masa terdekat,” katanya.