Category: Semasa

  • MIC tidak anggap orang India ‘king maker’ dalam PRK Pulai

    MIC tidak anggap orang India ‘king maker’ dalam PRK Pulai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MIC tidak meranggap orang India sebagai ‘king maker ‘ dalam menentukan kemenangan mana-mana gabungan politik dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September ini.

    Naib Presiden MIC, Datuk M. Asojan berkata, ini kerana terdapat faktor lain yang menjadi penentu terutama jumlah peratusan pengundi yang keluar mengundi nanti.

    “Kita tidak boleh cakap macam itu secara terbuka sebab dia merujuk kepada peratusan keluar mengundi sebab ini PRK, pengundi (India) di Pulai tidak sama pengundi di KL atau Kedah (mereka tinggal dan pada masa sama juga kerja di KL dan Kedah) sebab ramai daripada mereka kerja di Singapura.

    “Untuk Parlimen Pulai, jumlah pengundi India signifikan iaitu 12 peratus melibatkan 20,000 undi. Komposisi berkenaan kalau kita tengok trend keluar mengundi sekitar 60 peratus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan 70 peratus dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

    “Ini merupakan PRK, biasanya jangka 60 peratus keluar mengundi, jadi akan sasar sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi india keluar mengundi.

    “Ini PRK jadi mereka mungkin fikir satu kerusi sahaja dan ada pengaruh ke? Jadi kalau mana-mana kaum tidak keluar undi boleh pengaruh keputusan, itu satu persoalan sukar dijawab,” katanya.

    Beliau mengulas sama ada kaum India akan menjadi penentu dalam PRK Parlimen Pulai kerana orang Melayu dikatakan akan mengundi Perikatan Nasional (PN) manakala orang Cina akan mengundi Pakatan Harapan (PH).

    Terdapat 167,108 pengundi di Parlimen Pulai dan daripada jumlah itu, 44.17 peratus adalah Melayu; 40.47 peratus Cina dan 12.30 peratus lagi India.

    Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Persekutuan Persatuan-persatuan India Berdaftar Negeri Johor (Gappin) di Bangunan Dewan Perniagaan India, Larkin di sini pada Khamis.

    Mengulas lanjut, Asojan berkata, Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran sudah jumpa jentera MIC di peringkat Parlimen Pulai serta DUN Simpang Jeram dan menyampaikan amanat supaya ahli parti menyokong calon PH.

    MIC katanya, memberi jaminan ahli parti akan
    memberi sokongan kepada calon PH dan BN pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

    “Ini sebagai sokongan MIC kepada Kerajaan Perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku PM (Perdana Menteri),” ujar beliau.

    Menurutnya, atas kepercayaan itu jentera MIC sudah diarah bergerak ke pusat daerah mengundi (PDM) dalam kedua-dua PRK tersebut termasuk bergerak dari rumah ke rumah diikuti ceramah bagi memastikan pengundi India keluar beramai-beramai menyokong calon PH.

    Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat India khususnya ahli dan penyokong MIC bersetuju dengan kerjasama politik menerusi Kerajaan Perpaduan kerana percaya dengan janji diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Katanya, Anwar yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memberi tempoh masa selama setahun bagi melihat permasalahan serta isu yang membelenggu kaum itu di negara ini.

    “Memang ada rasa tidak puas hati dalam beberapa perkara termasuklah isu baru-baru ini, ia memang menjadi keraguan dan kemusykilan dalam kalangan jentera MIC, namun Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran telah beri penerangan agar kita terus menyokong Kerajaan Perpaduan.

    “Ini kerana janji yang diberikan oleh Perdana Menteri sendiri (kepada masyarakat India), beliau pastikan permasalahan dan perkara berbangkit berkaitan masyarakat India akan diambil kira, dia beri tempoh setahun jadi kita percaya janji beliau,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Datuk R. Nelson berkata, masyarakat India perlu terus menyokong Kerajaan Perpaduan dengan mengundi calon PH dalam PRK ini.

    “Kita undi bantu mereka menang, kemudian kita desak dia tunaikan janji-janji sebelum ini, apa yang kaum kita nak,” ujarnya.

  • Perlu ada suruhanjaya yang bebas untuk tangani isu berita palsu dan fitnah – Khairy

    Perlu ada suruhanjaya yang bebas untuk tangani isu berita palsu dan fitnah – Khairy

    ISU berita palsu dan fitnah di negara ini boleh ditangani sekiranya sebuah suruhanjaya yang bebas dibentuk dan diberi kuasa bagi menangani isu berkenaan.

    Menurut bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, sekiranya perkara itu dapat dilakukan, beliau percaya isu fitnah dapat dikendalikan tanpa campur tangan mana-mana pihak.

    “Saya setuju dengan cadangan bahawa perlu ada satu suruhanjaya melihat isu ini, dan ambil tindakan cepat. Masalahnya, kalau saya boleh cakap, kalau nak bawa kes saman fitnah ke mahkamah akan ambil masa lama.

    “Saya ada pengalaman dengan Perdana Menteri ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Walaupun saya tak fitnah beliau, tapi saya hentikan rayuan saya. Perkara itu dah diselesaikan tetapi ‘benda’ itu dah lapan, sembilan tahun,” katanya menerusi program podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, hari ini.

    Ujar Khairy lagi, pengalamannya ketika menjawat jawatan menteri turut berdepan situasi sama apabila sering diserang dengan isu-isu yang telah dijawab.

    “Saya sebagai seorang menteri banyak isu timbul dan banyak kali saya nafikan, tapi ia masih muncul. Takkan saya nak saman semua orang. Perkara ini perlu ditangani untuk kerajaan dan siapa jadi pemimpin, kalau tidak benda ini akan berulang dan ada orang percaya,” katanya lagi.

    Terdahulu, Shahril dalam podcast yang sama mencadangkan agar suruhanjaya diberi tanggungjawab dalam menangani isu berita palsu dan kata-kata individu yang disifatkan sebagai fitnah perlu bebas daripada mana-mana pihak.

    Ujarnya, menjadi masalah apabila ketetapan yang dibuat dalam mengklasifikasikan sesuatu berita itu palsu mahupun fitnah sekiranya suruhanjaya terbabit terikat dengan kerajaan sedia ada.

    “Ini menjadi masalah kerana garisan itu tidak jelas (garis panduan), di mana ‘benda’ ini (sesuatu isu), adakah ia kritikan yang legitimate atau tidak. Yang membuat keputusan apakah definisi itu (berita palsu atau fitnah) satu pihak partisan, itulah masalahnya.

    “Mungkin dalam kematangan demokrasi Malaysia yang lebih baik, boleh kita memikirkan satu suruhanjaya yang bebas memberikan keputusan, adakah ini berbentuk menghasut atau membawa masalah, dan perlu dibendung, atau adakah ini kritikan membina yang adil diberikan,” katanya, lapor Astro Awani.

  • PRK: Calon PN tepis dakwaan hanya fokus di DUN Simpang Jeram

    PRK: Calon PN tepis dakwaan hanya fokus di DUN Simpang Jeram

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar menegaskan tidak timbul isu bahawa gabungan itu hanya memberi fokus kepada kempen di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berbanding di kerusi yang ditandinginya.

    Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai itu berkata, gerak kerja jentera pilihan raya PN adalah seimbang di kedua-dua kerusi berkenaan.

    Ini sekali gus menepis persepsi bahawa gabungan itu seolah-olah ‘tidak yakin’ untuk merampas kerusi Parlimen Pulai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 September depan.

    “Alhamdulillah pada saya sambutan sangat hangat sebab setiap tempat yang kita pergi semua mendapat sambutan (melibatkan semua pengundi) daripada pelbagai kaum.

    “Sikit hambar itu saya rasa suara daripada belah sana (pihak lawan). Bagi kita tak ada (hambar).

    “Kita ada banyak pasukan yang bergerak, kalau anda tengok sekarang ini kita buat ‘walkabout’ kan, tetapi banyak lagi pasukan (PN) yang bergerak sekarang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Merdeka Festival di Pasaraya Perling, Johor Bahru hari ini.

    Namun beliau tidak mahu terlalu yakin dan bergantung kepada ‘gelombang’.

    Sementara itu, Zulkifli akan berusaha mengatasi isu peningkatan kos sara hidup yang menghimpit penduduk Parlimen Pulai, yang terletak di tengah bandar raya Johor Bahru.

    “Perancangan awal saya (jika diberikan mandat) ialah akan melahirkan banyak usahawan atau pusat-pusat perniagaan untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

    “Ini bagi membantu mereka supaya mereka (dapat menampung kenaikan) harga barang dan cuba bawa suara mereka ke Parlimen untuk menstabilkan semula harga,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    PRK Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru antara Zulkifli, calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat, serta Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas.

    PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 September diikuti hari pengundian 9 September ini.

  • Tiada keperluan memohon maaf, menarik semula kenyataan – Razali Idris

    Tiada keperluan memohon maaf, menarik semula kenyataan – Razali Idris

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris menegaskan tiada keperluan untuk memohon maaf dan menarik semula kenyataan mengenai pemberian kerakyatan kepada 54,000 warga China.

    Katanya, DAP mungkin ada perkara yang cuba disembunyikan mengenai isu pendedahan rakyat China yang diberikan kewarganegaraan.

    “Mengapa DAP melenting mengenai isu 54,000 rakyat China yang diberi kewarganegaraan? Mungkin parti itu ada perkara yang cuba disembunyikan.

    “Jika tiada perkara yang cuba disembunyikan, mengapa DAP beria-ia menyuruh kita meminta maaf, selain menarik semula kenyataan itu,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023, peringkat negeri di Dataran Shah Bandar, di Kuala terengganu, hari ini.

    Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata demikian ketika mengulas gesaan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang memberi tempoh 24 jam kepadanya dan Pas membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik semula dakwaan mengenai pemberian kerakyatan kepada 54,000 warga China.

    Razali yang juga Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata, DAP sebenarnya tidak faham isu pemberian kerakyatan kepada 54,000 warga China kerana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah memberi penjelasan.

    “Apa yang perlu hendak dibuktikan atau bukti…persoalan berbangkit, rakyat perlu diberikan penjelasan yang lebih mendalam, terperinci dan dihalusi kerana membabitkan kedaulatan negara dan hak keistimewaan tertinggi.

    “Kita sangat bimbang, rakyat sangat khuatir isu pemberian kerakyatan dan yang nampak tidak bimbang adalah DAP yang mungkin cuba sembunyikan sesuatu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Razali berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah mendedahkan terdapat elemen salah guna kuasa, rasuah dan salah tadbir kuasa dalam JPN.

    Katanya, Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan.

    “Kita juga menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah Dewan Negara memanggil Saifuddin dan JPN untuk penjelasan lebih lanjut dan telus.

    “Kita juga mendesak pimpinan tertinggi DAP turut disiasat,” katanya.

  • 10 faktor mengapa PN boleh menang Simpang Jeram

    10 faktor mengapa PN boleh menang Simpang Jeram

    BARU-baru ini dua orang penganalisis politik yang selalu membuat kaji selidik mengenai kecenderungan pengundi dalam beberapa siri pilihan raya, membuat pemerhatian bahawa Pakatan Harapan (PH) akan kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Simpang Jeram pada 9 September ini.

    Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meramalkan akan ada suatu bentuk penolakan dalam kalangan pengundi Melayu terhadap kerajaan campuran PH-Barisan Nasional (BN) di kerusi itu. 

    Menurut laporan MalaysiaNow, ia didorong oleh ketidakpuasan hati mereka terhadap situasi ekonomi semasa.

    Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar juga bersetuju dengan Mazlan bahawa kedudukan PH di Simpang Jeram agak kritikal. 

    PH boleh hilang kerusi berdasarkan trend sokongan pengundi dalam lingkungan usia 18 hingga 25 tahun kepada Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Hisommudin, sebab penolakan pengundi muda kepada UMNO dan kerajaan campuran adalah kerana mereka masih mengangkat individu terkait rasuah sebagai pemimpin negara. 

    Selain itu kerajaan campuran tidak berusaha bersungguh-sungguh menawan hati kelompok usia itu.

    Selain dua sebab yang diberikan oleh Mazlan dan Hisommudin ini, terdapat lapan faktor lain yang boleh menjadi punca mengapa calon Pas, Dr. Mohd. Mazri Yahya yang mewakili PN mampu membuat kejutan mengalahkan calon Amanah, Ir. Nazri Abdul Rahman yang mewakili PH di Simpang Jeram.

    Pertama, tiada apa-apa yang menakutkan untuk pengundi membuat perubahan di Simpang Jeram kerana keutuhan kerajaan negeri Johor masih selamat dengan majoriti lebih dua pertiga. 

    Majoriti dua pertiga bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ialah 37 dan kerajaan sekarang mempunyai 40 daripada 56 kerusi.

    Kedua, hujah PH perlu dipertahankan bagi mempertahankan kerajaan campuran tidak terpakai di Simpang Jeram kerana ia tidak wujud di Johor. 

    Apa yang ada di Johor hanyalah kerajaan BN dan semua penjawat utama dalam kerajaan negeri Johor adalah daripada BN. 

    Ketiga, kerajaan negeri Johor juga terlalu kuat dan kekurangan fungsi semak imbang. 

    BN sahaja sudah memiliki 40 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). 

    Bila BN dan PH bergabung di peringkat Pusat maka 12 ADUN (sekarang tinggal 11) PH juga menjadi penyokong kerajaan (backbenchers). 

    Ini menjadikan DUN Johor hanya ada empat orang wakil pembangkang sahaja, iaitu tiga dari PN, iaitu Dr. Sahruddin Jamal di Bukit Kepong, Alwiyah Talib di Endau dan Abdul Aziz Talib di Maharani dan satu daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) iaitu Amira Aisya di Puteri Wangsa.

    Bila sesebuah kerajaan, termasuk kerajaan negeri Johor, menjadi terlalu kuat, maka ia bebas melakukan apa sahaja tanpa adanya semak imbang yang berkesan. 

    Oleh itu, untuk menjaga kepentingan rakyat Johor, maka lebih bijaksana jika wakil pembangkang dalam DUN Johor ditambah.

    Keempat, Pas pernah menang di Simpang Jeram (Sungai Abong) dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 8 Mac 2008 dan PRU13 pada 10 April 2013 melalui calonnya Dr Sheikh Ibrahim Salleh yang juga merupakan seorang doktor perubatan. 

    Sepanjang menjadi ADUN, Sheikh Ibrahim memberikan khidmat cemerlang kepada segenap lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. 

    Ini dijadikan bukti bahawa Mazri adalah penerus kesinambungan Pas dalam menyantuni pengundi bukan Melayu-Islam.

    Kelima, Mazri wajar ditonjolkan atas kelayakan beliau sebagai pakar perubatan berprestasi tinggi dalam bidang pembedahan am, vaskular dan endovaskular dengan pengalaman berkhidmat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Sibu, Hospital Sarikei, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pakar Regency, Hospital Pakar KPJ Johor dan di Royal Perth Hospital.

    Pengalaman luas selama lebih 20 tahun di dalam bidang pembedahan saluran darah dan pembentukan tapak fistula meletakkan beliau sebagai pakar rujuk terkemuka dalam bidang tersebut di Malaysia selain membolehkan beliau menerbitkan buku “Hemodialisis dan Penjagaan Tapak Fistula”. 

    Jika diberi ruang beliau mampu membantu bidang perubatan Johor dan Malaysia.

    Keenam, Mazri tidak pernah melobi untuk menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya. 

    Persetujuan beliau untuk menjadi calon adalah semata-mata kerana kecintaan beliau dalam berkhidmat kepada masyarakat seperti yang beliau tunjukkan selama ini, termasuk yang dapat disaksikan melalui khidmat secara sukarela (pro bono) beliau di hospital kerajaan.

    Ia juga terbukti melalui khidmat beliau semasa negara dilanda pandemik Covid-19 serta dilanda bencana alam banjir seperti di Kelantan, Selangor dan Johor melalui KHIDMAT Malaysia. 

    Begitu juga sebagai sukarelawan di Gaza dan Syria pada tahun 2013 dan di Turkiye pada tahun 2023 manakala sebagai pengerusi Johor Baharu Prihatin beliau juga dikenali kerana memimpin usaha kebajikan menyantuni para gelandangan di sekitar Johor Bahru dan anak-anak golongan asnaf.

    Pemimpin bersifat begini, yang hanya mempamerkan kecintaan untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat, serta yang telah mempunyai jawatan dan kedudukan kewangan yang teguh, sama sekali tidak mempunyai apa-apa kepentingan diri dan peribadi untuk dikejar melalui jawatan sebagai wakil rakyat sekali gus memastikan penyalahgunaan kuasa tidak akan berlaku.

    Ketujuh, kemenangan Mazri adalah sesuatu yang baik untuk rakyat Johor seluruhnya kerana ia akan memberi peringatan kepada kerajaan negeri Johor untuk lebih cakna rakyat serta akan menjadikan setiap Adun BN dan PH bekerja lebih kuat dalam memberi perkhidmatan dan menjaga kebajikan rakyat bagi mengelakkan mereka juga kalah dalam pilihan raya akan datang. 

    Kelapan, Mazri juga mempunyai personaliti yang menarik serta bakat kepimpinan yang tinggi. 

    Beliau adalah seorang yang bersih dalam erti kata tidak mempunyai sebarang isu dan kontroversi yang boleh menyebabkan timbul keraguan ke atas diri beliau, baik dari segi amalan mahupun pertuturan beliau. 

    Beliau juga disenangi oleh pengundi bukan Melayu-Islam.

    Berdasarkan semua ini, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika Mazri akan benar-benar membuat kejutan dengan mengalahkan Nazri di Simpang Jeram pada 9 September ini.

    * Mukhtaruddin Musa adalah mantan pensyarah kanan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

    * Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan Warta Rakyat.

  • Pemimpin Pas Johor sokong gesaan DAP gugur slogan ‘Malaysian Malaysia’

    Pemimpin Pas Johor sokong gesaan DAP gugur slogan ‘Malaysian Malaysia’

    PENOLONG Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyokong gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed supaya DAP menggugurkan slogan ‘Malaysian Malaysia’ dan agenda negara sekular daripada perlembagaan parti itu, jika mahu mendapat sokongan pengundi Melayu.

    Pemimpin Pas Johor itu berkata, kenyataan Nur Jazlan itu menunjukkan UMNO sedar betapa sukarnya parti itu mendapatkan sokongan pengundi Melayu jika bekerjasama dengan DAP.

    “Ini yang mereka (DAP) kena buat kerana mereka tahu serangan dibuat Pas (terhadap UMNO) selama ini (kerana bekerjasama dengan DAP),” katanya menurut Utusan Malaysia dalam sebuah ceramah malam tadi, lapor FMT.

    Menurutnya, UMNO tidak perlu berdepan isu perjuangan DAP jika mereka bekerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional.

    Nur Jazlan menerusi catatan Facebook semalam berkata, DAP perlu menjadi parti sederhana yang terus disokong orang Cina dan boleh diterima pengundi Melayu.

    Justeru, beliau menggesa DAP mengugurkan ‘Malaysian Malaysia’ daripada Perlembagaan parti itu kerana orang Melayu tidak menyokong DAP disebabkan agenda negara sekularnya yang bercanggah prinsip Islam dan Melayu.

  • Penahanan ‘Rasul Melayu’ adalah sah

    Penahanan ‘Rasul Melayu’ adalah sah

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) berjaya dalam permohonannya selepas Mahkamah Rayuan memutuskan tindakan agensi agama itu menahan seorang lelaki yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’ dan 13 pengikutnya pada 2020 adalah sah di sisi undang-undang.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Azizah Nawawi secara sebulat suara membenarkan rayuan Jais dan lima responden lain untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penahanan Abdul Kahar Ahmad, 71, dan 13 yang lain melanggar Perlembagaan.

    Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Hashim Hamzah turut menolak rayuan semua 14 individu itu berhubung isu pampasan RM10,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

    “Kami membenarkan rayuan ini dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 14 April 2022 manakala rayuan Abdul Kahar dan 13 yang lain, ditolak. Mahkamah ini tidak membuat perintah terhadap kos,” katanya dalam penghakiman, hari ini, lapor Harian Metro.

    Selain Jais dan ketua pengarahnya, empat perayu lain terdiri daripada ketua pegawai penguatkuasa agama Islam Selangor, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam Masnizar @ Mohd. Nizar Mohtar, kerajaan negeri dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam Shanizah Ngatiman.

    Ketika membacakan keputusan itu, Azizah berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memutuskan Seksyen 23 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 adalah tidak sah di sisi undang-undang.

    Pada hemat panel itu, seksyen berkenaan tidak terbatal atau melanggar hak keperlembagaan untuk kebebasan dan kesaksamaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Mahkamah turut berpendapat, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana menyamakan seksyen berkenaan dengan perintah tahanan reman.

    Menurut Azizah, penahanan semua responden dan selanjutnya dihantar ke pusat tahanan dilakukan berdasarkan undang-undang kerana kegagalan mereka mematuhi terma-terma syarat jaminan.

    Katanya, jika mereka tidak berpuas hati dengan syarat jaminan, mereka boleh memfailkan permohonan semakan atau mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah.

    Panel tiga hakim itu turut berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengetepikan perintah Mahkamah Syariah kerana mahkamah sivil dan syariah adalah dua sistem kehakiman yang berasingan.

    Azizah berkata, Mahkamah Syariah bukan tribunal bawahan sebaliknya mempunyai bidang kuasa yang kompeten dan mempunyai kuasa semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Aturan-Aturan Mahkamah 2012.

    “Mahkamah Sivil tidak boleh menyemak keputusan Mahkamah Syariah berdasarkan Aturan 53. Hakim dalam kes ini hanya boleh mengisytiharkan keabsahan Seksyen 22 enakmen itu,” katanya.

    Dalam penghakimannya, panel itu selanjutnya menjelaskan peruntukan Sekyen 76 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memberi kuasa imuniti dan melindungi hakim serta pegawai kehakiman.

    Katanya, seksyen itu menyatakan tindakan saman tidak boleh dikenakan terhadap hakim syarie sama ada di mahkamah sivil atau mahkamah syariah berhubung perintah yang dikeluarkan ketika menjalankan tugas kehakiman, asalkan beliau berniat baik dan percaya sudah menjalankan tugas di bawah ruang lingkup bidang kuasanya.

    “Perlindungan terhadap hakim syarie adalah sama (pari materia) dengan Seksyen 14(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang diperuntukkan kepada hakim mahkamah sivil,” katanya, lapor Harian Metro.

    Sehubungan itu, panel berpendapat, defendan keempat dan keenam selaku hakim-hakim mahkamah rendah syariah melaksanakan tugas kehakiman dan dilindungi di bawah Seksyen 76.

    Dalam rayuan itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib hadir mewakili perayu-perayu manakala peguam Fahri Azzat mewakili Abdul Kahar dan yang lain.

    Sebelum ini, media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tindakan Jais menahan Abdul Kahar yang pernah mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’ pada 2020 adalah menyalahi undang-undang.

    Mahkamah sivil itu turut membatalkan peruntukan dalam enakmen syariah Selangor yang memberi kuasa kepada mahkamah syariah negeri untuk mengenakan ikat jamin kepada individu yang disyaki.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Noorin Badaruddin membuat keputusan itu pada 14 April tahun lalu apabila membenarkan Abdul Kahar Ahmad dan 13 yang lain mencabar penahanan mereka oleh pihak berkuasa Islam negeri pada malam 20 September 2020.

    Sebelum ini, media melaporkan bahawa JAIS menahan Abdul Kahar dan beberapa yang lain di tiga lokasi berasingan di Selangor pada tarikh itu atas dakwaan menghidupkan semula ajaran ‘Rasul Melayu’.

    Media turut melaporkan Mahkamah Syariah Shah Alam membebaskan Abdul Kahar dan tiga pengikutnya dengan ikat jamin.

    Abdul Kahar mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam atas lima pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1985 berhubung ajaran sesat ‘Rasul Melayu’ pada 24 September 2009.

    Tertuduh yang ketika itu berusia 62 tahun kemudian dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan kerana menyebarkan ajaran sesat.

    Pada 2016 ketika Majlis Istitabah yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Abdul Kahar memohon taubat secara terbuka kerana mengisytiharkan dirinya sebagai rasul.

    Selepas dibebaskan daripada tahanan pada 2020, Abdul Kahar dan 13 yang lain memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah sivil untuk mencabar kesahihan penahanan mereka, dengan sebahagian daripada mereka hanya dibebaskan selepas 99 hari ditahan.

    Mereka tidak pernah didakwa di Mahkamah Syariah atas sebarang kesalahan yang dikaitkan dengan serbuan pada September 2020 oleh JAIS.

  • Lelaki miliki 12 rekod jenayah mati ditembak

    Lelaki miliki 12 rekod jenayah mati ditembak

    SEORANG lelaki maut ditembak ketika berada di kawasan Jalan Hamzah Alang, Persiaran Hamzah Alang, di Klang semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, polis menerima aduan berkaitan satu kejadian tembakan yang berlaku di kawasan Kapar, di Klang.

    “Bertindak atas maklumat itu, pada 10.35 malam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara ke lokasi kejadian, berhadapan dengan rumah kedai dua tingkat.

    “Siasatan awal mendapati, saksi awam terdengar bunyi beberapa das tembakan dan ada kemalangan kecil di sekitar lokasi tempat kejadian.

    “Mangsa berusia 36 tahun itu mempunyai 12 rekod jenayah lampau jenayah berkaitan dadah dan jenayah kekerasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Vijaya Rao berkata, polis sedang mengesan beberapa saksi bebas di tempat kejadian.

    “Usaha mengesan bukti dan kamera litar tertutup sedang dijalankan bagi mengesan suspek terbabit.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lapor Harian Metro.

  • Digantung UMNO: Tajuddin dakwa ada pihak cuba sabotaj rayuan

    Digantung UMNO: Tajuddin dakwa ada pihak cuba sabotaj rayuan

    BEKAS Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa ada pihak cuba melakukan sabotaj terhadap rayuan penggantungnya sebagai ahli UMNO.

    Beliau berkata, usaha itu dikesan dibawa Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak dalam mesyuarat tiga minggu lalu yang antara lainnya mendesak pucuk pimpinan tidak melayan sebarang rayuan dibuat.

    “Usul berkenaan dimaklumkan mendapat sokongan majoriti besar ahli jawatankuasa, sementara hanya sebilangan kecil tidak bersetuju.

    “Mereka buat satu desakan kepada pucuk pimpinan parti supaya permohonan saya dilepaskan daripada pergantungan tidak dilayan, bermakna mereka tak setuju saya kembali kepada UMNO.

    “Kononnya saya ini masih lagi menentang Presiden UMNO, menimbulkan masalah kepada parti hingga menyebabkan kekalahan calon-calon dalam pilihan raya lalu,” katanya kepada pemberita sempena Himpunan Melayu Bangkit 2.0 di pekarangan kediamannya di Jalan Tanjung Tualang, Kampung Gajah dekat Pasir Salak semalam.

    Tajuddin yang pernah menganggotai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak menolak kemungkinan, usaha itu dibuat kerana terdapat ura-ura bahawa rayuannya bakal diterima pucuk pimpinan.

    Katanya, sebagai orang lama dalam parti, adalah sesuatu jarang berlaku seorang ahli itu digantung dalam tempoh lama hingga habis penggal.

    “Kemungkinan rayuan saya (tarik semula penggantungan keahlian) berjaya, sebab itu mereka cepat-cepat buat usul supaya saya terus dibuang dari UMNO.

    “Saya tak pastilah sama ada Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dan pimpinan tertinggi parti akan dengar cakap mereka atau tidak, tetapi ini satu usaha yang teruk dan tak ‘gentleman’ langsung,” katanya.

    Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun enggan memberi ulasan lanjut terhadap dakwaan berkenaan.

    “Tiada komen,” katanya menerusi pesanan ringkas di WhatsApp, lapor Sinar Harian.

    Tajuddin sebelum ini dilapor telah mengemukakan rayuan sebanyak empat kali, namun masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada parti.

    Beliau bersama Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail telah digantung keahlian parti selama enam tahun atau dua penggal.

    Keputusan itu ditetapkan dalam mesyuarat MKT UMNO yang diadakan pada 30 September tahun lalu.

  • PN akui berdepan cabaran sengit di PRK Parlimen Pulai – Syahir

    PN akui berdepan cabaran sengit di PRK Parlimen Pulai – Syahir

    PERIKATAN Nasional (PN) mengakui berdepan cabaran sengit di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai, berdasarkan faktor demografi pengundi di Parlimen itu.

    Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd. Syahir Sulaiman berkata, perkembangan itu diperoleh selepas melihat kepada sambutan kempen yang dijalankan gabungan parti terbabit di Parlimen berkenaan.

    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bachok itu berkata, situasi terbabit bagaimanapun berbeza di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang dilihat sambutannya lebih memberangsangkan.

    “Sambutan pada calon PN DUN Simpang Jeram amat memberangsangkan khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan muda berbanding sambutan kempen di Parlimen Pulai yang sedikit sengit atas faktor demografi pengundi.

    “Jadi saya mengharapkan tempoh kempen yang berbaki ini, ia dapat dijalankan dengan baik dan harmoni melalui kempen seimbang serta saksama,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Penganalisis Keselamatan dan Politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin bahawa PN tidak mempunyai banyak peluang untuk menembusi kubu kuat UMNO di Johor, khususnya mengambil kira perbezaan demografi dan psikografi di negeri itu berbanding di Kedah, Kelantan serta Terengganu.

    Noor Nirwandy dilaporkan berkata, taktik digunakan pembangkang dengan menyuntik elemen Islam, Melayu dan mengangkat watak hero, walaupun berjaya di negeri utara dan Pantai Timur, namun diyakini tidak berhasil pada PRK Pulai dan Simpang Jeram.

    PN meletakkan calon Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai, Zulkifli Jaafar sebagai calon di Parlimen Pulai dan pakar bedah endovaskular, Dr. Mohd Mazri Yahya pula diumumkan sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    Pada masa sama, Syahir berkata, pihaknya melihat PRK kali ini sedikit berbeza kerana ia kuat dipengaruhi sentimen nasional, berbanding isu tempatan.

    Beliau berkata, kemenangan di kerusi Parlimen dan DUN itu dijangka dipengaruhi oleh kombinasi faktor kekuatan calon dan parti diwakili mereka.

    “Saya juga meminta pengundi khususnya orang muda yang berada di perantauan, Lembah Klang dan Singapura untuk pulang pada 9 September bagi menunaikan tanggungjawab penting ini,” katanya.