Category: Politik

  • Muhyiddin sahkan peletakan jawatan Wan Saiful

    Muhyiddin sahkan peletakan jawatan Wan Saiful

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan peletakan jawatan Datuk Wan Saiful Wan Jan selaku Ketua Penerangan parti itu, berkuat kuasa hari ini.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu ketika berjumpa Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor pagi tadi.

    Beliau berkata, satu surat peletakan jawatan rasmi akan dihantar kepadanya hari ini.

    “Saya sudah menerima peletakan jawatan Ketua Penerangan berkuat kuasa hari ini oleh Wan Saiful ketika berjumpa pagi tadi.

    “Beliau akan hantar surat (peletakan jawatan) hari ini, Insya-Allah,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian selepas pelancaran Misi dan Dana Bantuan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) – Gempa Bumi Turkiye dan Syria di Parlimen hari ini.

    Sebelum itu Wan Saiful mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu berikutan pendakwaan dikenakan terhadapnya semalam.

    Menurut Wan Saiful, hasrat itu sudah dimaklumkan kepada Muhyiddin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan terpulang kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk membuat keputusan.

    Katanya, tindakan itu dibuat bagi memberi tumpuan untuk membersihkan namanya terlebih dahulu yang menjadi prinsip selama ini.

  • 5 ADUN UMNO Sabah umum keluar parti, sertai Gagasan Rakyat

    5 ADUN UMNO Sabah umum keluar parti, sertai Gagasan Rakyat

    LIMA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah, mengumumkan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta merta, hari ini.

    ADUN berkenaan ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).

    Lapor Berita Harian, kesemua ADUN itu menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Pengumuman itu dibuat pada sidang media khas dipengerusikan Yusof di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu, sebentar tadi.

    Turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat ialah tiga ADUN Parti Warisan (WARISAN) yang mengumumkan keluar parti awal bulan ini.

    Mereka ialah Norazlinah Arif (Kunak), Chong Chrn Bin (Tanjung Kapor) dan Mohammad Mohamarin (Banggi).

  • Dr Mahathir kritik parti anak sendiri

    Dr Mahathir kritik parti anak sendiri

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diterajui anaknya sendiri, lebih mengutamakan parti lain terkait rasuah berbanding terus bersama Gerakan Tanah Air (GTA).

    Menurut bekas Pengerusi Pejuang itu, beliau hairan kenapa parti diketuai anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai presiden, sanggup bertindak untuk keluar GTA yang mana pemimpinnya langsung tidak terpalit dengan rasuah.

    Katanya, beliau turut mengakui kecewa dengan keputusan Pejuang untuk keluar dari GTA.

    “Kita cuba nak cantumkan orang Melayu yang bersih rasuah menerusi GTA kerana parti yang besar semua terbabit dengan rasuah.

    “Parti kecil yang tinggal sekarang hanyalah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN),” katanya pada sidang media, di Putrajaya semalam, lapor Berita Harian.

    Mengulas mengenai reaksi Mukhriz berhubung perkara itu, bekas Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

    “Saya tak tahu, itu pemikiran dia (Mukhriz),” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Dr Mahathir bersama 12 ahli lain memutuskan untuk keluar daripada Pejuang, difahamkan kerana kecew parti itu memutuskan hubungan dengan GTA.

    Pejuang ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu pada Ogos 2020 sebelum beliau meletak jawatan sebagai pengerusinya pada Disember tahun lalu.

  • Dr M beri bayangan sertai PUTRA selepas UMNO, Bersatu, Pejuang

    Dr M beri bayangan sertai PUTRA selepas UMNO, Bersatu, Pejuang

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan beliau akan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan bersedia jika parti itu mahu melantik beliau sebagai penasihat.

    Beliau yang dilapor keluar daripada Pejuang juga menyifatkan jemputan menyertai PUTRA sesuai dengan perjuangan dan prinsip politiknya iaitu membela nasib orang Melayu dan menolak amalan rasuah.

    “Terima kasih atas jemputan ini dan saya akan meneliti terlebih dahulu sama ada PUTRA ini sesuai atau tidak dengan saya.

    “Setakat ini, saya tidak nampak sebab tidak boleh terima parti ini, saya akan fikir secara mendalam sebelum keputusan dibuat.

    “Saya akan membuat permohonan menjadi ahli dan kalau mahu bagi saya sebagai penasihat parti, saya boleh bagi nasihat,” katanya pada sidang media bersama pimpinan PUTRA di Putrajaya, hari ini.

    Dr Mahathir berharap dapat memberi panduan kepada PUTRA dan meneruskan perjuangan serta mencapai matlamat untuk menyelamatkan kaum Melayu di negara ini.

    Beliau bersama 12 ahli lain dilapor keluar daripada Pejuang selepas kecewa kerana parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).

    Sementara itu, Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim Ali, yakin Dr Mahathir masih memiliki aura untuk memimpin PUTRA.

    “Kita mahu Tun sertai PUTRA. Kami mohon seikhlas hati dan tidak timbul soal Tun mahu memohon sertai PUTRA atau tidak.

    “Kita juga jemput 14 bekas pimpinan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk sertai PUTRA.

    “Kita doakan Tun dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali diberi kesihatan berpanjangan dan kami mahu sehidup semati dengan perjuangan Tun,” katanya, lapor Berita Harian.

    Pejuang ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu pada Ogos 2020 sebelum beliau meletak jawatan sebagai Pengerusinya pada Disember tahun lalu.

    Sebelum ini, perwakilan Pejuang mengumumkan menarik diri daripada GTA pada mesyuarat agung kedua parti itu, 14 Januari lalu.

  • Anak Ikmal Hisham tanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO

    Anak Ikmal Hisham tanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO

    ANAK kepada seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Ikmal Hazlan Ikhmal Hisham, menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti, bulan depan.

    Ikmal Hazlan adalah anak kepada Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz iaitu Ahli Parlimen Tanah Merah daripada Perikatan Nasional (PN), merangkap bekas Timbalan Menteri Pertahanan.

    Lapor Berita Harian, Ikmal Hazlan menyerahkan borang pencalonan di ibu pejabat UMNO, semalam.

    “Dengan tekad dan visi jelas yang bakal saya tawarkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya mohon diberi peluang untuk terus berkhidmat buat sayap Pemuda UMNO dengan peranan yang lebih signifikan dan cabaran yang lebih besar.

    “Justeru, menginsafi perkara itu dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya Ikmal Hazlan Ikmal Hisham dengan rendah diri menawarkan diri sebagai calon Naib Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bagi sesi Pemilihan UMNO 2023/2026.

    “Saya mohon sokongan dan kepercayaan daripada seluruh perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Kepada Allah saya berserah,” katanya, semalam.

    Ikmal Hisham sebelum ini bergelar Ahli Parlimen Tanah Merah selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket Barisan Nasional (BN).

    Beliau kemudian mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Tanah Merah dan meninggalkan parti itu, dengan menyertai BERSATU yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden.

    Pada PRU15, Ikmal Hisham memenangi kerusi berkenaan menggunakan logo Pas.

    Beliau juga pernah mencetus kontroversi berhubung cadangan permohonan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Pharmaniaga membabitkan anaknya.

    Ia selepas tular surat sokongan bagi melantik anaknya sebagai ahli lembaga pengarah anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu.

  • ‘Saya sertai UMNO bukan kerana kedudukannya dalam kerajaan’, kata Mohd Rafiq

    ‘Saya sertai UMNO bukan kerana kedudukannya dalam kerajaan’, kata Mohd Rafiq

    BEKAS Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menegaskan keputusannya untuk menyertai UMNO dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi, iaitu sebelum diketahui parti mana yang bakal mentadbir negara.

    Beliau berkata permohonannya sebagai ahli UMNO diterima dan berkuat kuasa 18 Mac iaitu selepas Pemilihan UMNO, melalui keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam, selepas Mesyuarat Pengurusan UMNO pada Rabu lepas, dan bukan kerana kedudukan UMNO yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Saya sedar keputusan yang saya buat untuk menyertai UMNO ketika ini tidak popular, tidak mungkin dipersetujui dan tidak mungkin dapat diterima oleh semua pihak.

    “Namun saya yakin dan percaya, perjalanan karier politik saya yang penuh mencabar dari awal penglibatan saya sehingga ke hari ini termasuklah perjuangan saya semula bersama UMNO adalah ketentuan Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya permohonan dihantar beberapa minggu lepas, dan beliau bertekad serta beriltizam untuk membantu dan berjuang bersama kepimpinan UMNO pusat, UMNO Melaka dan UMNO Bahagian Tangga Batu.

    Mohd Rafiq yang sebelum ini tewas dalam pertandingan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lepas, mengumumkan peletakkan jawatannya dalam Bersatu dan keluar dari parti itu selepas tidak dipilih sebagai calon Perikatan Nasional dalam PRU15. – BERNAMA

    UMNO, Bersatu, permohonan, PRU15, PRN Melaka, Telok Mas, Mohd Rafiq Naizamohideen

  • Mahu perkuat pasukan, Shahrizat sah bertanding Ketua Wanita UMNO

    Mahu perkuat pasukan, Shahrizat sah bertanding Ketua Wanita UMNO

    PERNAH menerajui Wanita UMNO selama 10 tahun, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengesahkan akan kembali bertanding jawatan yang pernah disandangnya lima tahun lalu setelah menyerahkan kertas pencalonannya awal hari ini di Ibu Pejabat UMNO.

    Menurut bekas Ketua Wanita UMNO dari 2008 hingga 2018 itu, visinya kali ini adalah untuk memperkukuh Wanita UMNO dan melebarkan sayapnya.

    Beliau berkata, Wanita UMNO perlu inklusif dan sentiasa menunjukkan keberadaan sayap itu sebagai pasukan utama untuk membela rakyat seperti yang dilakukan selama ini.

    “Saya bertanding semula bagi jawatan Ketua Wanita UMNO untuk memperkuatkan pasukan ini dan melebarkan sayapnya. Kita perlu memenangi hati dan minda rakyat serta negara ini sekali lagi,” katanya, lapor New Straits Times.

    Mengulas lanjut Shahrizat berkata, beliau mendapat sokongan padu daripada penyokongnya untuk kembali menerajui pergerakan itu dan membuat kemunculan semula.

    Sebelum ini dilaporkan 147 ketua Wanita UMNO bahagian di seluruh negara menggesa Shahrizat menerajui sayap wanita parti itu memandangkan legasi dan reputasi bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu kekal walaupun selepas bersara daripada politik.

    Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata keputusan kolektif itu dibuat ketika pertemuan mereka dengan Shahrizat baru-baru ini.

    Shahrizat berkata kekuatannya untuk bertanding jawatan itu berdasarkan pengalamannya mengemudi pergerakan itu sebelum ini.

    Bercakap mengenai lawannya yang juga Ketua Wanita UMNO sekarang, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Shahrizat berkata, pertandingan itu bukan bersifat peribadi.

    Beliau berkata, pertandingan dalam jawatan adalah perkara biasa dan pergolakan dalam kempen, bukan sesuatu yang peribadi.

    “Saya memberi arahan kepada mereka yang menyokong saya untuk memulakan kempen secara bersih kerana kita sendiri mengetahui mengenai landskap politik sekarang.

    “Paling penting, mereka yang menyokong saya mesti tahu apa yang saya pegang dan ke mana saya mahu membawa Wanita UMNO ini. Ia bukan untuk memburuk-burukkan kem lawan,” katanya.

    Mengulas kes penyelewengan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), yang menamakan suami dan tiga anaknya sebagai defendan, beliau berkata ia adalah ujian yang perlu dilaluinya.

    “Ia tidak mencemarkan saya, malah UMNO juga tidak tercemar. Saya tidak mempunyai sebarang kes mengenai NFC, sebaliknya keluarga saya menjadi subjek penganiayaan politik.

    “Saya sudah diuji dan terus kuat dalam politik. Bagi saya, politik bukan untuk mereka yang lemah semangat,” katanya.

  • Pemecatan batal, Lokman Adam kembali jadi ahli MKT

    Pemecatan batal, Lokman Adam kembali jadi ahli MKT

    UMNO membatalkan pemecatan Datuk Lokman Noor Adam sebagai ahli parti itu, semalam selepas tiga tahun berbuat demikian.

    Lokman menerusi Facebook rasminya berkata, pembatalan pemecatan itu dimaklumkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melalui panggilan telefon.

    “Kini saya kembali sebagai ahli MKT Umno. Terima kasih presiden, timbalan presiden, ahli MKT dan semua yang mendoakan saya.

    “Dengan pembatalan ini, hak saya untuk bertanding dalam pemilihan kali ini dikembalikan,” katanya di Facebook, lapor Free Malaysiaa Today.

    Pada 7 Feb 2020, Lokman mendakwa beliau dipecat oleh UMNO dalam mesyuarat MKT yang berlangsung pada hari berkenaan melalui undi angkat tangan yang tidak sepatutnya mengambil kira undian pengerusi negeri memandangkan mereka bukan ahli MKT.

    Lokman berkata, beliau reda dengan keputusan itu dan tetap setia kepada UMNO.

  • Sembilan nama dijangka rebut jawatan Naib Presiden UMNO

    Sembilan nama dijangka rebut jawatan Naib Presiden UMNO

    SEMBILAN pemimpin UMNO disebut-sebut akan bertanding merebut tiga jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.

    Berita Harian dalam laporannya memetik sumber rapat berkata, bekas Perdana Menteri dan penyandang Naib Presiden paling kanan, Datuk Seri Ismail Sabri dikatakan tidak bertanding mempertahankan jawatannya.

    Kata sumber itu, dua Naib Presiden iaitu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dijangka akan mempertahankan jawatan masing-masing.

    “Hari terakhir penyerahan borang pada 23 Februari, tetapi saya boleh katakan jawatan Naib Presiden akan ditandingi sembilan nama.

    “Tujuh yang lain adalah daripada kalangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT),” katanya kepada Berita Harian, semalam.

    Tujuh ahli MKT yang disebut-sebut bertanding jawatan Naib Presiden ialah Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

    “Sementara tiga lagi adalah bekas Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang tewas di Parlimen Lumut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

    Selain itu, bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dijangka akan bertanding merebut jawatan itu seterusnya bersaing dengan penyandangnya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang dijangka akan mempertahankan jawatan itu.

    Bagi jawatan Ketua Puteri UMNO pula, sumber itu menjelaskan terdapat enam nama yang akan bersaing iaitu Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Dr Masliha Harun; Ahli MKT Wanita dan Naib Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta ahli MKT, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

    “Selain itu, mereka yang lain adalah Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuantan, Cik Fadwah Anuwar atau mesra dipanggil Wawa; Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin dan Penolong Setiausaha Puteri, Asuma Beevi Mohamed Sali,” katanya.

    Setakat ini, Setiausaha Pemuda, Datuk Hasmuni Hassan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah sudah menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda manakala Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi belum menyatakan hasrat bertanding.

  • BN tak boleh usik kerusi disandang PH Kedah, kata Mahfuz

    BN tak boleh usik kerusi disandang PH Kedah, kata Mahfuz

    PAKATAN Harapan (PH) Kedah tidak bercadang memberi laluan kepada UMNO-Barisan Nasional (BN) bertanding di mana-mana kerusi DUN milik gabungannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tidak lama lagi.

    Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, gabungan itu hanya sudi membincangkan pengagihan kerusi disandang Perikatan Nasional (PN).

    “Kalau telah dimenangi PH ia kekal milik PH, kita tak boleh ubah. Tiga DUN dimenangi BN pada PRU (Pilihan Raya Umum) lalu akan kekal kepada BN, kita PH tak boleh usik,” kata Mahfuz dipetik laporan Free Malaysia Today.

    Dalam kedudukan sekarang, PH menduduki sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah, manakala BN dua kerusi, berbanding 21 kerusi PN.

    ADUN Guar Chempedak keluar UMNO pada 2018 untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan kemudian menyertai Bersatu.

    Mahfuz berkata sehingga Kini PH dan BN Kedah belum mengadakan perbincangan rasmi menghadapi PRN nanti walaupun sudah ditubuhkan Sekretariat Kerajaan perpaduan di peringkat pusat yang bermesyuarat di pejabat UMNO baru-baru ini.

    “Tapi pertemuan tak rasmi ada dibuat,” katanya.

    Mahfuz mensasarkan sekurang-kurangnya 19 DUN untuk ditawan PH-BN pada PRN kelak.

    “PH sekarang ada 13 DUN, BN tiga berdasarkan keputusan PRU lepas, jadi kita perlu cari tiga DUN lagi untuk bentuk kerajaan negeri,” katanya lagi.

    Sementara itu, Mahfuz yang kalah semasa PRU-15 lalu di kerusi Parlimen Pokok Sena berkata populariti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hanya sementara sahaja.

    “Dia hanya popular seperti kumpulan lawak. Bila tak ada lawak habislah,” katanya.