Category: Politik

  • ADUN Karamunting pula umum keluar Warisan

    ADUN Karamunting pula umum keluar Warisan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, George Hiew Vun Zin hari ini mengumumkan keluar dari Parti Warisan (Warisan) dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

    Susulan pengumuman berkenaan, George menjadi ADUN ke-11 Warisan meninggalkan parti terbabit.

    Sebelum ini, sepuluh ADUN mengumumkan keluar Warisan iaitu Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Dr Yusof Yacob (Sindumin), Mohamaddin Ketapi (Segama), Peter Anthony (Melalap), Juil Nuatim (Limbahau) dan Rina Jainal (Kukusan).

    Ini termasuk Mohamad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak) Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) dan Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas).

    Menurut George, rakyat sudah tidak mahu melihat keadaan politik tidak stabil yang telah mengakibatkan terbantutnya perkembangan dan kemajuan di Sabah, termasuk kawasan Karamunting.

    Beliau berkata, rakyat sudah penat dengan kemelut politik di Sabah.

    “Hanya dengan kestabilan politik yang utuh kita boleh membawa pembangunan dan perubahan, khususnya di Karamunting yang mendahagakan pelbagai pembaharuan dan pembangunan.

    “Demi pembangunan dan kesahteraan rakyat di kawasan Karamunting, saya membuat keputusan untuk menyokong kepimpinan kerajaan perpaduan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal atas peluang yang diberikan kepada beliau dalam arena politik.

    “Namun, sekarang adalah masa untuk memberikan sepenuh tumpuan dan perhatian untuk menyatupadukan rakyat Sabah, membangunkan Sabah, dan menuntut hak-hak kita yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

    “Saya akan menyumbangkan segala tenaga dan masa saya untuk bekerja dan memastikan kebajikan rakyat di kawasan saya akan terus terjaga, disamping membawa pembangunan yang diperlukan di Karamunting,” katanya, lapor Astro Awani.

    George memenangi kerusi Karamunting atas tiket Warisan pada tahun 2018 dan 2020. Beliau pernah menjadi Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah selama dua tahun.

  • Pilihan Tun Mahathir tidak tepat – Mursyidul Am Pas

    Pilihan Tun Mahathir tidak tepat – Mursyidul Am Pas

    MURSYIDUL Am Pas, Datuk Hashim Jasin menganggap pilihan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sebagai tidak tepat.

    “Ini kerana bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu memilih tempat bergantung yang sudah reput sedangkan masih ada parti kukuh lain yang memperjuangkan kepentingan Melayu, agama Islam, raja-raja dan Perlembagaan.

    “Saya rasa tidak berapa tepat (Dr. Mahathir sertai Putra) kerana bukan dasar parti tidak elok tapi dahannya sudah reput, tempat pergantungan tidak kemas sedangkan ada dahan lain yang lebih hebat.

    “Kenapa dia tidak boleh fikir,” katanya kepada media selepas menyampaikan ceramah pada Majlis Taujihat Pimpinan Sempena Hari As-Sabiqun di Dewan Tok Guru, Rusila di Marang, pada malam Jumaat.

    Dr. Mahathir pada Rabu secara sah menyertai Putra dan telah dilantik sebagai penasihat setelah beliau mengumumkan keluar daripada Pejuang pada 10 Februari lalu.

    Hashim juga berpendapat penyertaan Dr. Mahathir tidak mampu menguatkan Putra kerana bekas Ahli Parlimen Langkawi itu kalah ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    “Perikatan Nasional (PN) sentiasa bersifat terbuka menerima bekas pemimpin atau mana-mana pihak yang mahu menyertai gabungan ini,” ujar beliau.

    Bagaimanapun katanya, Dr. Mahathir tidak pernah menyuarakan hasrat untuk bersama PN.

    “Saya tiada dengar hasrat (sertai PN) tapi kita terbuka dan boleh bincang,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Berjasa sedia kerjasama dengan PN

    Berjasa sedia kerjasama dengan PN

    PARTI Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam memperjuangkan Malaysia ke arah lebih baik dan membangunkan negara unggul serta bermaruah.

    Menurut Setiausaha Agungnya, Zulkifli Yahya, pendirian parti itu konsisten sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi dan akan kekal selagi tidak bercanggah dengan prinsip perjuangan parti serta etika politik matang.

    “Politik tanah air menampakkan perjalanan cerita yang menarik pasca PRU15 apabila berkemungkinan akan adanya kerjasama baharu untuk membentuk satu pakatan politik.

    “Ini susulan dengan keputusan parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang bertindak keluar dari pakatan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Pada Khamis, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PN, Datuk Seri Takiyuddin dilaporkan berkata, ada dua permohonan daripada parti yang hendak menyertai PN iaitu Pejuang dan Berjasa.

    Bagaimanapun beliau berkata, tarikh mesyuarat masih belum diketahui bagi memutuskan mana-mana parti yang memohon menyertai pakatan itu.

    Dalam pada itu, Zulkifli berkata, semestinya pembentukan kerjasama baharu itu amat dinantikan oleh pemerhati politik tanah air memandangkan suhu politik tanah air akan kembali panas apabila tibanya pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

    Beliau juga menyambut baik kenyataan balas Takiyuddin yang dianggapnya sebagai positif ke arah peluang menerima dua parti itu dalam PN.

  • Bersatu-Pas saling ‘tumpang-menumpang’, tiada parti boleh sendirian- Wan Saiful

    Bersatu-Pas saling ‘tumpang-menumpang’, tiada parti boleh sendirian- Wan Saiful

    BEKAS Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Bersatu dan Pas saling tumpang menumpang dalam memperjuangkan agenda bersama menerusi Perikatan Nasional (PN).

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menyifatkan amalan berkenaan sejajar realiti politik semasa dan turut diamalkan parti politik lain.

    Malah katanya, UMNO sendiri menumpang parti lain demi kelangsungan politiknya.

    “Mana-mana parti dalam Malaysia memerlukan rakan untuk saling tumpang menumpang. UMNO menumpang MCA, menumpang MIC, menumpang semualah yang ada dalam tu. Sekarang UMNO menumpang Anwar Ibrahim, UMNO menumpang DAP,” katanya
    dalam wawancara dengan FMT.

    Menjawab pandangan yang meragui kekuatan Bersatu tanpa Pas, beliau berkata, parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak segan silu mengaku mereka tidak boleh bersendirian dalam perjuangannya.

    Katanya, realiti Malaysia menuntut parti yang ingin memerintah harus sedia bekerjasama dengan gerakan politik lain, dan bijak menggembleng kekuatan gabungan berkenaan.

    “Kami (PN) saling melengkapi sebab itu ia strategi yang berjaya,” katanya, sambil menyorot perhatian kepada prestasi PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang disifatkan ‘amat menggembirakan’.

    Pada PRU15, PN menawan 74 kerusi Parlimen dengan 31 daripadanya disumbangkan Bersatu manakala selebihnya dimenangi Pas.

    Menurutnya, Pas bawa kekuatan jentera, Bersatu bawa kekuatan imej dan reputasi yang dipercayai rakyat manakala Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bawa agenda pelbagai budaya.

    “Kewujudan parti politik ini akhirnya untuk mewujudkan kerjasama yang membolehkan kita membantu rakyat,” katanya.

    Wan Saiful memberitahu, Bersatu kini berada pada kedudukan lebih kuat kerana kehendak generasi baharu rakyat.

    “Bersatu tak perlu pamer (sebagai) alternatif kepada UMNO. Memang rakyat menganggap kita lebih baik daripada UMNO sekarang,” katanya.

  • Usul kosong 4 kerusi DUN usaha lenyap suara pembangkang Pulau Pinang

    Usul kosong 4 kerusi DUN usaha lenyap suara pembangkang Pulau Pinang

    PERIKATAN Nasional (PN) Pulau Pinang menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang membawa usul untuk mengosongkan empat buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sidang DUN minggu depan sebagai usaha Pakatan Harapan (PH) menyekat arus perubahan yang dibawakan PN di negeri itu.

    Pengerusi Badan Perhubungan PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, DAP dan UMNO ternyata takut dengan
    peningkatan sokongan rakyat kepada PN seperti yang berlaku ketika ini.

    Malah, ujar beliau, langkah zalim itu juga bertujuan melenyapkan suara pembangkang di Pulau Pinang menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    “Ini bakal mewujudkan sebuah kerajaan DAP-UMNO yang diktator tanpa semak dan imbang di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sidang DUN yang dijadual Isnin ini akan membentangkan satu usul bagi tujuan pengosongan empat kerusi DUN susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesahihan klausa-klausa dan perkara-perkara di dalam Perlembagaan negeri yang melarang wakil rakyat melompat parti.

    Ia melibatkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang).

    Menurut Dominic, berikutan tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu juga, Khaliq Mehtab yang kini dilantik sebagai Ketua Pembangkang telah menghantar usul kepada DUN Pulau Pinang pada 20 Februari lalu bagi meminda Perkara 14A Fasal 1 Perlembagaan Pulau Pinang.

    Ia katanya, berkenaan dengan undang-
    undang akta lompat parti supaya selari dan selaras dengan Akta Lompat Parti (Akta A1663) yang baharu diluluskan di Parlimen tahun lalu.

    Jelas beliau, percanggahan besar di dalam undang-undang itu adalah berkenaan pemecatan wakil rakyat yang mana seorang Ahli Parlimen tidak akan hilang kerusi jika dipecat daripada partinya atau jika parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftaran.

    “Kami berpandangan Pulau Pinang tidak boleh dilihat bercanggah dan bertentangan
    dengan Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi negara.

    “Namun, usul pembangkang ini telah ditolak oleh Speaker untuk dibahaskan pada dalam persidangan akan datang,” katanya.

  • ‘Musuh Bersatu takkan berhenti selagi Muhyiddin tak disabitkan’

    ‘Musuh Bersatu takkan berhenti selagi Muhyiddin tak disabitkan’

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya musuh politiknya tidak akan berhenti menggunakan apa juga kaedah untuk menjatuhkan semua barisan pimpinan tertinggi parti.

    Ia susulan tangkapan dan pendakwaan ke atas beberapa pemimpin Bersatu yang dikaitkan dengan rasuah kes Jana Wibawa.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman, berkata Bersatu mahu melihat sejauh mana keadilan dalam siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes membabitkan parti politik.

    “Saya percaya mana-mana parti politik termasuk Bersatu terbuka menerima sumbangan, namun adakah SPRM dapat membuktikan ada permintaan rasuah daripada pemimpin parti kepada mereka yang memberi sumbangan ini.


    “Jika parti politik tidak dibenarkan menerima sumbangan dan ia dilihat sebagai satu kesalahan, bagaimana dengan parti politik lain di negara ini yang menerima sumbangan dana?” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

    Dr. Muhammad Faiz berkata, SPRM hanya menjalankan tanggungjawab mereka jika ada laporan.

    “Soal ada arahan atau tidak itu saya serahkan kepada persepsi masyarakat untuk menilainya,” katanya.

    Ditanya sama ada pemimpin Perikatan Nasional (PN) lain akan disiasat, Dr. Muhammad Faiz berkata, beliau percaya siasatan hanya tertumpu kepada parti Bersatu dan tidak membabitkan parti lain.

    “Apa yang saya dengar, siasatan tertumpu kepada Bersatu sahaja, parti lain saya tidak tahu,” katanya lapor Berita Harian.

    Dr. Muhammad Faiz berkata, musuh Bersatu tidak akan berhenti sehingga mereka berkata, sabitkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan apa sahaja kesalahan.

    Semalam, media melaporkan Bendahari Bersatu, Datuk Mohd. Salleh Bajuri, ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan.

    Sebelum ini Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, masing-masing dituduh kes rasuah di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.

    SPRM pada Januari dilaporkan membekukan beberapa akaun milik Bersatu susulan siasatan kes itu.

  • Tun Mahathir dijangka presiden baru Putra

    Tun Mahathir dijangka presiden baru Putra

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka bakal mengambil alih jawatan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), yang baru disertainya sebagai penasihat.

    Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali akan menyerahkan tampuk pimpinan parti itu kepada bekas pengerusi Pejuang itu dalam rombakan parti akan datang.

    Utusan Malaysia melaporkan, langkah itu sekali gus menjawab persoalan mengapa Dr. Mahathir diangkat sebagai ‘ahli nombor satu’ Putra, yang sebelum ini disandang oleh Ibrahim.

    Bekas Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Khairuddin Abu Hassan memberitahu Utusan bahawa Ibrahim kini sedang mencari tarikh yang sesuai untuk mengadakan mesyuarat majlis tertinggi Putra bagi membincangkan peralihan pimpinan itu dan memuktamadkan barisan kepimpinan baru.

    “Bercakap tentang Ibrahim, beliau adalah tokoh pemimpin dan penyokong tegar Dr. Mahathir. Beliau sendiri beritahu saya mahu membuat pengorbanan dengan memberi satu saluran berdaftar kepada beliau.

    “Ini kerana, Ibrahim yakin dengan mutu kepimpinan Dr. Mahathir dan mampu meluaskan lagi pengaruh parti, sebab itu beliau mahu serah jawatan,” katanya.

    Menurutnya, keputusan itu selepas Pejuang yang diketuai oleh anaknya, Datuk Seri Mukhriz, memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA)

    Khairuddin juga menolak dakwaan bahawa Mahathir merupakan punca orang Melayu berpecah kerana sering bertukar parti.

    “Ini hanya persepsi, dangkal dan tidak berasas. Kalau tengok wadah perjuangan Tun Mahathir, matlamat akhir beliau hanya menyatu padukan semula orang Melayu,” katanya.

    Bercakap kepada pemberita selepas pelantikannya sebagai penasihat Putra baru-baru ini, Mahathir yang berusia 97 tahun berkata dia memilih parti itu untuk memperjuangkan hak orang Melayu, yang didakwanya telah hilang kawalan politik dan ekonomi.

    Pada PRU lalu, Pejuang termasuk Mahathir dan Mukhriz mencatatkan prestasi terburuk apabila seramai 67 calon yang dipertaruhkannya hilang wang deposit mereka.

    “Jadi, apabila Dr. Mahathir merombak semula parti, Ibrahim cakap akan terima apa sahaja jawatan, asalkan dapat beri sumba­ngan dan berjuang bersama,” katanya.

    Pada 10 Feb, Mahathir mengumumkan bahawa dia dan 12 yang lain keluar dari Pejuang, iaitu parti yang diasaskannya.

  • Razali Idris dilantik ketua penerangan Bersatu yang baharu

    Razali Idris dilantik ketua penerangan Bersatu yang baharu

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melantik Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya (MPT), Senator Datuk Razali Idris sebagai Ketua Penerangan parti itu menggantikan Datuk Wan Saiful Wan Jan

    Perkara itu didedahkan Wan Saiful Wan Jan dalam hantaran Facebooknya, yang telah meletakkan jawatan itu pada 21 Februari lalu.

    “Alhamdulillah, malam ini secara rasmi YB Senator Datuk Razali Idris dilantik sebagai Ketua Penerangan Bersatu Malaysia.

    “Saya yakin Datuk Razali akan dapat meneruskan, malahan KO Jo menambah baik gerak kerja Penerangan seluruh negara. Tahniah Tok Li!,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

    Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu menerima surat pelantikan itu daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pelantikan itu turut disaksikan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor meletakkan jawatan itu selepas didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

  • Pas terbuka Pejuang sertai PN – Tuan Ibrahim

    Pas terbuka Pejuang sertai PN – Tuan Ibrahim

    PAS secara prinsipnya terbuka untuk menerima mana-mana individu yang ingin menyertai Perikatan Nasional (PN) termasuk Pejuang, kata Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    “Saya prinsip kita terbuka menerima siapa-siapa sahaja untuk mendukung perjuangan bersama.

    “Apa pun saya menjangka kita akan mengadakan mesyuarat bersama PN untuk mempertimbang permohonan tersebut,” katanya malam ini, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelepasan Delegasi Ahli Parlimen PN ke Misi Bantuan Gempa bumi Turki-Syria di KLIA.

    Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata, setakat ini beliau belum melihat surat permohonan rasmi Pejuang untuk menyertai gabungan itu.

    Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam kenyataan pagi tadi berkata, Majlis Eksekutif Pusat Pejuang memutuskan parti itu memohon menyertai gabungan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Katanya, surat permohonan sudah dihantar kepada Muhyiddin yang juga pengerusi PN semalam.

    ADUN Jitra itu berkata, adalah tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya semata-mata hanya untuk tujuan mengelak daripada pertindihan kerusi ditandingi.

    Sementara itu, Ketua Pejuanita Muda Pejuang, Nurul Ashikin Mabahwi berkata partinya memohon menyertai PN kerana gabungan itu lebih terbuka untuk berbincang berbanding Pakatan Harapan (PH).

    Katanya, PH tidak memberi sebarang maklum balas terhadap permohonan parti itu untuk berjumpa dan berbincang.

    Tambahnya, keputusan memilih PN dibuat selepas berbincang dengan ahli parti.

  • Tiga pencalonan Ketua Pemuda UMNO ditolak

    Tiga pencalonan Ketua Pemuda UMNO ditolak

    TIGA calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti kali ini bagi sesi 2023-2023 ditolak, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

    Menurut beliau, keputusan itu diambil berikutan kesemua individu itu tidak memenuhi kelayakan perlembagaan parti.

    Bagaimanapun Shahrir tidak menjelaskan lebih lanjut senarai tiga calon yang telah ditolak itu.

    “Yang kita tolak Ketua Pemuda tiga (calon) atas (faktor) kelayakan yang tidak memenuhi perlembagaan parti,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau ditemui pemberita selepas proses cabutan nombor undi di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

    Sementara itu, dalam perkembangan sama, Shahrir turut memaklumkan lapan calon sah bertanding untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti bagi sesi kali ini.

    Dua calon itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid disahkan bertanding bagi mempertahankan jawatan tertinggi parti berkenaan.

    Calon lain termasuk tiga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

    Tiga calon lagi adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@Jamaludin.

    Dalam pada itu, enam calon disahkan merebut jawatan Ketua Puteri UMNO iaitu Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin; Exco Puteri UMNO, Dr Masliha Harun dan Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi.

    Tiga calon lain adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan.

    Dalam perkembangan sama, seramai empat calon mengesahkan bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda.

    Mereka merupakan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau; Dr Muhamad Akmal Saleh; Ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.