Category: Politik

  • Kesal pendakwaan terpilih terhadap Muhyiddih

    Kesal pendakwaan terpilih terhadap Muhyiddih

    Oleh ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR

    PAS Negeri Selangor menyatakan solidariti ke atas TSMY yang ditahan oleh SPRM yang akan didakwa di hari ini berkaitan isu-isu yang melibatkan peniaga Melayu dan Bumiputera melalui inisiatif JANAWIBAWA dan pengecualian cukai khas terhadap Yayasan Al-Bukhary.

    Pendakwaan ini dilihat dilakukan secara tergesa-gesa selari dengan naratif “hoi ya hoi disebelah sana” yang sentiasa dimainkan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2023 dengan tujuan utama untuk mengekang suara oposisi dan menjejaskan reputasi Perikatan Nasional sebelum PRU Negeri ke 15 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir

    PAS Selangor mendokong prinsip kedaulatan undang-undang Negara dan yakin bahawa pihak berwajib berhak menyiasat mengikut undang-undang negara, namun kuasa tersebut mesti dilaksanakan dengan suci hati dan hanya dalam kes tulen (collateral purposes) bukannya berpilih-pilih atas agenda dan kepentingan politik.

    PAS dan rakan-rakannya di Selangor komited mendukung budaya politik matang dan sejahtera, dan akan terus membela golongan yang dizalimi tanpa mengira ras dan agama.

    *Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir adalah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

  • Sejarah berulang di Pusat Tarbiah Pas pusat

    Sejarah berulang di Pusat Tarbiah Pas pusat

    SEJARAH  berulang di Pusat Tarbiah Pas Pusat, Taman Melewar, yang dahulu menjadi tempat himpunan rakyat menentang kezaliman ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada Timbalan Perdana Menteri dan UMNO pada tahun 1998.

    Himpunan rakyat menentang kezaliman berulang pada malam tadi  di Dewan Dato’ Fadzil Noor, bagi menyatakan solidariti kepada Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

    Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menegaskan apa yang berlaku pada hari ini untuk melindungi pentadbiran kerajaan PH-BN.

    Menurut beliau, kehadiran pada malam ini ramai anak-anak muda.

    “Adakah kita boleh terima tuduhan mengatakan anak-anak muda tak ada pelajaran? Ini pandangan yang mereka letakkan kepada anak muda. Anak-anak muda menjadi pejaung medan TikTok, twitter dan Facebook dan menjadi benteng pertahanan.

    “Insya-Allah anak-anak muda ini akan bayar pada pilihan raya negeri di enam buah negeri nanti,” katanya pada ceramah umum Selamatkan Negara dan Menentang Kezaliman di Taman Melewar, malam tadi, lapor Harakah Daily.

    Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, orang muda ada maruah ada harga diri dan tidak rela bersekongkol dengan nepotisme dan rasuah.

    Beliau yang mengimbau suatu ketika dahulu berkata, dewan markas tabiah itu adalah dewan yang mencetuskan reformasi dan kebangkitan rakyat.

    “Kita berdoa agar sistem kehakiman berjalan dengan baik dan Tan Sri diberi semangat untuk menghadapi cabaran,” ujarnya.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan menegaskan bahawa penjara boleh memenjarakan diri tetapi penjara tidak boleh memenjarakan roh dan semangat seseorang.

    “Kita menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya penyokong Perikatan Nasional, jangan gusar, jangan bimbang, jangan takut, jangan kecewa kerana insya-Allah, Allah bersama kita. Teruskan berdoa,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

    Selain Muhyiddin, turut berucap ialah Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin. –

  • ”Penganiayaan ini bukan ke atas saya tetapi ke atas Perikatan Nasional’’ – Muhyiddin

    ”Penganiayaan ini bukan ke atas saya tetapi ke atas Perikatan Nasional’’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tidak gentar dengan pendakwaan yang bakal dihadapinya kerana percaya beliau berada di pihak benar.

    Beliau berkata, pendakwaan terpilih ke atasnya akan menjadi satu detik permulaan yang amat penting dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran.

    “Terima kasih atas solidariti parti kita semakin terserlah. Kita tidak gentar (pendakwaan). Ini satu detik permulaan yang amat penting dalam sejarah negara.

    “Kita berjuang bersama-sama atas platform sama untuk menegak kebenaran dan menentang kemungkaran. Ini jadi teras perjuangan kita.

    “Sejak Pas ditubuh, sejak Bersatu ditubuh, ini teras kita dan akan terus kita perjuangkan sehingga berjaya,” katanya berucap pada majlis Solat Hajat Keselamatan Negara dan Solidariti Menentang Kezaliman di Pusat Tarbiyah Pas Pusat, Taman Melewar, Gombak malam tadi.

    Pada majlis itu Muhyiddin sekali lagi mengulangi bahawa pendakwaan ke atasnya adalah bersifat politik bertujuan melemahkan Perikatan Nasional dan atas ‘arahan daripada pihak atas’.

    “Bila saya tanya kenapa tindakan ke atas saya agak terburu-buru, pegawai menjawab, saya tidak boleh bercakap. (Kerana) Tindakan yang diambil agak terburu-buru mungkin kerana ada arahan daripada pihak atasan.

    “Itu jelas satu penganiayaan.. bukan penganiayaan ke atas saya tetapi penganiayaan kepada parti kita bukan Bersatu tetapi Perikatan Nasional” katanya.

  • Pengecualian kepada UMNO: Banyak boleh dipesoalkan – Hamzah

    Pengecualian kepada UMNO: Banyak boleh dipesoalkan – Hamzah

    DATUK Seri Hamzah Zainudin berkata banyak perkara boleh dipersoalkan ahli berhubung pengecualian kepada UMNO  berhubung dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

    Katanya yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, bagaimanapun terpulang kepada ahli untuk mempersoalkan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memberi pengecualian kepada UMNO itu.

    “Jadi, rakyat terutama ahli UMNO kena sedar bahawa ada banyak perkara yang sepatutnya dipersoalkan dan terpulang kepada ahli parti. Kalau boleh dipersoalkan…bagaimana dipersoalkan. Bagaimana caranya mereka ambil,” katanya lapor FMT.

    Dalam pada itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu turut mempersoalkan tindakan Saifuddin yang menggunakan kuasa budi bicaranya dalam kes berkenaan.

    Hamzah berkata, sepatutnya kuasa menteri digunakan selepas UMNO diharamkan, tetapi Saifuddin mendahuluinya.

    “Sepatutnya kalau parti itu diharamkan barulah ada kuasa. Sebelum ada apa-apa nak pre-empt (mendahului) apa maknanya. Memang betullah dia rasa sepatutnya Umno diharamkan, itu persoalan yang ada dalam kalangan rakyat,” katanya.

    Ahli Parlimen Larut itu antara pemimpin Bersatu yang turut hadir memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

  • Blok pembangkang kosong, Ahli Parlimen ke Putrajaya sokong Muhyiddin

    Blok pembangkang kosong, Ahli Parlimen ke Putrajaya sokong Muhyiddin

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat sesi pagi hari ini menarik perhatian apabila hampir semua kerusi di blok pembangkang kosong tanpa kehadiran ahli-ahli Parlimennya kerana ke Putrajaya untuk memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

    MalaysiaNow melaporkan ia susulan perkembangan terbaru yang menyaksikan bekas perdana menteri itu dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadualkan pada pukul 11 pagi.

    MalaysiaNow sebelum ini melaporkan, Muhyiddin dipercayai berada dalam senarai pemimpin pembangkang yang akan didakwa.

    Sehingga kini SPRM masih belum menjelaskan bentuk pertuduhan yang bakal dikenakan terhadap ahli Parlimen Pagoh tersebut.

    Difahamkan bekas perdana menteri itu akan ditahan dan dihadapkan ke mahkamah paling awal esok.

    Sementara itu, di luar perkarangan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, kelihatan beberapa ahli Parlimen PN dan penyokong-penyokongnya sudah hadir untuk menunggu ketibaan Muhyiddin di situ.

    MalaysiaNow difahamkan semua ahli Parlimen PN dan pemimpin-pemimpin parti komponen turut akan hadir bagi memberi sokongan kepada Muhyiddin.

    Sebelum ini, bekas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor serta seorang lagi pemimpin parti itu ditahan dan didakwa SPRM berhubung dakwaan penyelewengan yang dikaitkan dengan JanaWibawa, program pasca Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

    SPRM turut membekukan akaun bank Bersatu sehinggakan parti itu tidak dapat membayar operasi hariannya.

    Sebelum ini seorang pemimpin PN memberi amaran bahawa pentadbiran Anwar Ibrahim akan melakukan penahanan secara besar-besaran bagi memburuk-burukkan pemimpinnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di mana lima daripadanya mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar.

  • Dr. Suhaili Abdul Rahman dilantik Ketua BERSATU Wilayah Persekutuan baharu

    Dr. Suhaili Abdul Rahman dilantik Ketua BERSATU Wilayah Persekutuan baharu

    Oleh MAHATHIR MOHD. RAIS

    PELANTIKAN YB Dato’ Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman sebagai Ketua BERSATU Wilayah Persekutuan yang baharu adalah langkah tepat dan penting bagi kepimpinan BERSATU, melihat kepada pengalamannya yang luas dalam politik dan kerajaan.

    Seiring dengan komitmen, BERSATU telah memulakan babak baru dalam memperkukuhkan stuktur organisasi, dengan tumpuan diperbaharui bagi memajukan kesejahteraan dan kemakmuran ahli dan rakyat, pelantikan YB Dato’ Indera Suhaili Abdul Rahman boleh dilihat sebagai semangat baru yang disuntik bagi memperkasa badan kepimpinan negeri.

    Sebagai ahli Parlimen yang berdedikasi, beliau sering membawa suara rakyat Labuan di Parlimen, bagi menaiktaraf kehidupan masyarakat di situ. Beliau memahami dengan mendalam lanskap politik Wilayah dan memainkan peranan penting dalam membentuk dasar awam dan pelbagai isu di Parlimen.

    Rekod kejayaannya yang mengagumkan, kebolehan kepimpinan dan dedikasinya untuk mempromosikan perpaduan dan kemajuan menjadikan beliau calon yang ideal untuk jawatan ini. Beliau mempunyai rekod kejayaan yang terbukti dan telah memegang banyak jawatan kepimpinan.

    Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan didalam Majlis Amanah Rakyat (MARA), termasuk Pengarah Eksekutif MARA Corp dan ahli majlis pengurusan MARA Corp dari tahun 2020 hingga 2022 termasuk ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dan Ketua Bahagian BERSATU Labuan sejak 2018.

    Dengan kelayakan dan kebolehan kepimpinan yang mengagumkan, beliau dijangka akan memimpin BERSATU Wilayah Persekutuan ke arah kejayaan dan bakal memberi impak positif kepada kehidupan rakyat dan ahli.

    Mahathir Mohd. Rais
    Ketua Penerangan PN (Wilayah)

    Selasa, 7 Mac 2023

  • Tun M dakwa sertai Putra untuk perjuangkan nasib orang Melayu

    Tun M dakwa sertai Putra untuk perjuangkan nasib orang Melayu

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penyertaannya dalam Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hanya untuk memperjuangkan nasib orang Melayu.

    Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, Putra sekadar menjadi platform kepada beliau untuk terus membela orang Melayu.

    “Kita pilih Putra sebagai platform sahaja, kita tak memihak semata-mata kepada parti. Kalau hanya fikir tentang parti, nak bagi menang parti, akhirnya orang Melayu macam hilang kuasa macam sekarang.

    “Saya fikir itu bukan perjuangan baik. Perjuangan yang baik sekarang ini ialah kita ketepikan kepentingan diri, kepentingan parti dan utamakan kepentingan Melayu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas berakhir program Bersama Tun M: Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang? di Mini Townhall, Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di Putrajaya, hari ini.

    Program itu julung kali menggandingkan beliau bersama bersama bekas Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

    Pada 24 Februari lalu, media melaporkan Dr. Mahathir bersama 13 lagi ahli yang sebelum ini keluar daripada Pejuang sah menyertai Putra.

    Perkara itu disahkan oleh bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin menerusi satu hantaran di Facebook.

    Mengulas lanjut, Dr. Mahathir memberitahu, orang Melayu ketika ini berada dalam keadaan cukup bahaya kerana bukan sahaja tidak pernah menguasai ekonomi bahkan sudah kehilangan kuasa politik.

  • Gerakan teliti 50 nama bakal calon untuk PRN di enam negeri – Dominic Lau

    Gerakan teliti 50 nama bakal calon untuk PRN di enam negeri – Dominic Lau

    PARTI Gerakan sedang meneliti senarai 50 nama yang dikemukakan pengerusi parti itu di enam negeri untuk diangkat sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

    Presidennya Datuk Dominic Lau berkata kesemua bakal calon berkenaan perlu melalui tapisan dan penilaian teliti bagi memastikan mereka yang terpilih benar-benar layak dan mampu memberi kemenangan.

    Beliau berkata nama mereka yang terpilih kemudian akan diserahkan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk dimuktamadkan.

    “Gerakan mempunyai jawatankuasa penilaian calon untuk PRN yang berperanan bagi membuat tapisan dan seterusnya memberikan latihan yang progresif kepada mereka (bakal calon) sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri nanti,” katanya kepada Bernama di George Town hari ini.

    Pada 19 Feb lepas, Dominic yang juga Timbalan Pengerusi PN meminta semua pengerusi Gerakan di enam negeri terbabit untuk menyerahkan senarai calon kepada parti selewat-lewatnya 28 Feb untuk tapisan dan penilaian.

    Mengenai rundingan agihan kerusi dalam PN, Dominic yang juga Pengerusi Badan Perhubungan PN Pulau Pinang berkata ia masih dalam perbincangan.

  • Komponen PN semakin dapat sambutan-Hadi

    Komponen PN semakin dapat sambutan-Hadi

    HASRAT Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai komponen Perikatan Nasional (PN) membuktikan gabungan tersebut semakin mendapat sambutan daripada parti-parti politik lain.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, gabungan tersebut juga sedia menerima permohonan parti-parti politik yang berminat menyertai PN.

    “Bagaimanapun PN akan meneliti dan mengadakan perbincangan terdahulu syarat-syarat permohonan parti terlibat.

    “Itu menandakan PN mendapat sambutan daripada semua pihak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari As-Sabiqun 2.0 di Rusila di Marang.

    Abdul Hadi yang juga Presiden Pas memberitahu, beliau juga telah menerima surat permohonan Pejuang menyertai PN sebelum ini.

    Jelasnya, permohonan Pejuang itu akan dibincangkan terlebih dahulu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN sebelum diluluskan.

    “Setakat ini, saya belum menerima surat jemputan mesyuarat tersebut daripada Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin,” ujarnya lapor Utusan Malaysia.

    Pada 2 Februari lalu, Presiden Pejuang,  Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata, Pejuang memohon untuk menyertai PN dan sudah mengutuskan surat kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya partinya diterima sebagai anggota komponen.

    Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula memberitahu, setakat ini, PN menerima dua permohonan iaitu daripada Pejuang dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) untuk menyertai PN.

  • MCA bentang 3 senario termasuk tak bertanding PRN 6 negeri

    MCA bentang 3 senario termasuk tak bertanding PRN 6 negeri

    MCA sedang mempertimbangkan beberapa senario dalam enam pilihan raya negeri (PRN) tahun ini, termasuk kemungkinan tidak meletakkan calon.

    Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, senario pertama iaitu parti itu harus memperjuangkan hak untuk bertanding di kerusi tradisinya dalam enam PRN akan datang.

    “Senario kedua, MCA perlu memperjuangkan bilangan kerusi minimum untuk bertanding, manakala senario ketiga parti itu tidak akan meletakan calon dan hanya akan berkempen untuk parti komponen BN.

    “Sejak 2008 sehingga kini, kita mengalami banyak kekalahan berbanding kemenangan di enam negeri ini. Dalam keadaan inilah yang saya akan katakan MCA tidak mempunyai kuasa rundingan langsung sekali gus kita akan menghadapi proses rundingan yang sangat sukar.

    “Kita tidak boleh menafikan bahawa rundingan politik sentiasa berdasarkan kekuatan nombor, dan kekuatan ini akan menentukan kuasa rundingan kita. Kita sekali lagi perlu akui bahawa pada masa ini, MCA sangat lemah dalam aspek ini.

    “Untuk masa ini, MCA tidak mempunyai wakil rakyat di enam negeri yang akan menghadapi PRN kelak,” katanya dalam ucapan Presiden sempena ulang tahun MCA ke-74.

    Enam negeri berkenaan ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Ka Siong berkata situasi politik semasa tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, selain penuh dengan ketidaktentuan dan ketidakboleh jangkaan.

    Beliau berkata, tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku seterusnya dalam arena politik ketika ini.

    “Tiada siapa juga yang sangka satu hari BN akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) berhubung agihan kerusi dalam pilihan raya.

    “Ini semua perkara realiti yang perlu kita terima. Kini, peruntukan kerusi bukan hanya dibincang dalam BN tetapi ia turut melibatkan rundingan PH.

    “Ia pasti akan melibatkan perkara yang lebih rumit untuk dibincangkan dan membawa keputusan yang lebih baik untuk diterjemahkan.

    “Kita perlu menghadapi realiti politik bahawa MCA hanya mempunyai dua Ahli Parlimen dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Johor, Melaka dan Perak,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Peranan baru lebih mencabar

    Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, parti berkenaan perlu memainkan peranan baru yang penuh mencabar.

    MCA ujarnya, merupakan sebahagian daripada kerajaan dan parti berkenaan juga pernah menjadi pembangkang sebelum ini.

    “Namun, kali ini, kita mempunyai peranan baru yang lebih mencabar. MCA sebahagian daripada kerajaan, tetapi tiada dalam Kabinet dan tidak berperanan dalam membuat dasar.

    “MCA sebahagian daripada kerajaan, tetapi kita ‘bukan’ dalam kerajaan. Ada juga yang kata kedudukan kita pada hari ini ‘janggal’ kerana ada sekatan dalam kata-kata yang ingin kita keluarkan.

    “Jika kita masih percaya dengan peranan MCA sebagai sebuah parti politik yang melindungi kepentingan masyarakat Cina dan memberikan perkhidmatan kepada semua kaum diMalaysia, seterusnya menggalakkan kemajuan negara, maka ini bukan masa untuk kita berputus asa, tetapi kita perlu terus bangkit, dan bekerja keras dalam melaksana dan memainkan peranan baru,” katanya.

    ‘MCA boleh bercakap dengan bebas’

    Menurutnya, menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan tetapi tidak mempunyai peranan dalam Kabinet, bermakna MCA tidak mempunyai had dalam mana-mana kerajaan dan peranan rasmi.

    “Ini bermakna Ahli Parlimen MCA boleh bercakap dengan bebas sebagai sebagai penyokong kerajaan (backbenchers).

    “MCA akan menyokong dan mempertahankan sebarang dasar baik yang dilaksanakan oleh kerajaan. Namun, jika terdapat sebarang salah laku dalam dasar kerajaan, sudah pasti kita akan menjadi suara rakyat untuk memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan, seterusnya memberikan cadangan yang lebih baik untuk dipertimbangkan,” katanya.

    Sebagai contoh katanya, beliau bersama-sama Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr. Wee JeckSeng, menyuarakan keluhan rakyat dalam pelbagai isu termasuk kekurangan bekalan telur ayam, kelemahan sistem MyJPJ dan kes melibatkan penipuan atau ‘scammer.

    “Kami aktif bersuara untuk rakyat dan membuat cadangan yang membina kepada kerajaan sebagai usaha memainkan peranan kami dengan baik sebagai wakil rakyat,” katanya.

    Selain itu, katanya, walaupun tidak berada dalam Kabinet, MCA berjaya mendapatkan peruntukan pengurusan RM40 juta untuk Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).

    “Ia bagi memastikan institusi pengajian tinggi ini dapat meneruskan hasratnya dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan mampu milik kepada generasi muda dan melatih lebih ramai bakat di negara ini,” katanya.

    Pada masa yang sama, Ka Siong berkata, parti itu juga memainkan peranan dalam memantau pihak pembangkang dan menentang sikap perkauman.

    “Apabila ada segelintir di antara mereka yang cuba untuk membangkitkan isu perkauman dan agama semata-mata untuk kepentingan politik, kita akan menentang sekeras-kerasnya bagi memastikan hak dan kebebasan semua kaum di negara ini tidak dicabuli dan dipermainkan.

    “Kita perlu melindungi dan mempertahankan aspek kepelbagaian, kesederhanaan dan toleransi masyarakat di Malaysia,” katanya.