Category: Politik

  • PRN: Pas yakin mampu takluk tiga negeri – Dr. Halimah

    PRN: Pas yakin mampu takluk tiga negeri – Dr. Halimah

    PAS yakin mampu menakluki Kelantan, Terengganu dan Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berikutan gelombang sokongan Melayu dan anak muda yang berterusan bermula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan sehingga kini.

    Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Halimah Ali berkata, gelombang berkenaan dilihat tidak surut kerana kumpulan itu mahukan perubahan pucuk pimpinan politik.

    “Disebabkan keadaan politik semasa tidak stabil telah mendorong kumpulan tersebut untuk mula mengkaji tentang parti terbaik yang boleh menjadi kerajaan.

    “Kami yakin semangat itu berterusan sehingga PRN akan datang dan berupaya untuk meraih undi majoriti di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam program Wacana Sinar bertajuk PRN: Signal untuk Putrajaya di Shah Alam hari ini.

    Turut menjadi panel ialah Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat dan pemerhati politik, Iswardy Morni manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

    Halimah yang juga Ahli Parlimen Kapar berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai stigma kerana parti itu membawa konotasi fahaman Melayu dan Islam sahaja.

    “Mungkin ada sesetengah ahli parti terlepas cakap sehingga memperlihatkan PN bersifat perkauman tetapi itu tidak benar dan jangan jadikan ia sebagai satu perkara umum.

    “Untuk pengetahuan semua, dalam Pas ada satu dewan menghimpunkan pendukung parti yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bangsa. Mereka yang menyertai himpunan tersebut mempunyai kemahuan, keperluan dan harapan,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

    Pada masa sama, beliau berkata, mustahil jika Pas membawa sentimen tersebut kerana di dalam buku perlembagaan parti ada menyebut tentang memupuk perpaduan kaum.

    Ujar beliau, parti berkenaan mahu menyatupadukan dan membangunkan rakyat daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama agar kemakmuran dapat dikongsi bersama.

  • PRN Pulau Pinang:PH akan pertahan kerusi, tidak beri kepada UMNO

    PRN Pulau Pinang:PH akan pertahan kerusi, tidak beri kepada UMNO

    SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) memaklumkan, gabungan itu tidak akan menyerahkan kerusi dimenanginya pada pilihan raya negeri (PRN) lalu di Pulau Pinang.

    Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas seorang ketua UMNO bahagian mengakui parti itu mengintai sebuah kerusi di Permatang Pauh.

    Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Permatang Pauh iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti.

    Pada PRN lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi kerusi Seberang Jaya dan Penanti, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) menang di Permatang Pasir.

    ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin berkata, perkara tersebut sudah diumumkan seorang pemimpin tertinggi PKR.

    “Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan semua kerusi DUN yang kami menangi pada pilihan raya lalu akan kekal dengan kami,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    UMNO kini mempunyai dua kerusi DUN di Permatang Berangan dan Sungai Dua.

    Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Zaidi Said berkata, parti itu mahu bertanding sebuah kerusi di kawasan Parlimen itu dan UMNO tidak patut dijangka hanya bertanding kerusi disandangnya.

    ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, ia terpulang kepada parti penyandang untuk menentukan sama ada mereka mahu memberi laluan kepada calon UMNO.

    “Jika calon UMNO boleh menang, maka permintaan (untuk kerusi itu) munasabah. Tambahan, kita akan mempunyai lebih ramai wakil Melayu dalam kerajaan negeri,” ujarnya.

    Katanya, UMNO tidak patut hanya memfokuskan pengagihan kerusi, tetapi bekerja lebih keras meyakinkan penyokongnya untuk menyokong calon PH dan kerajaan perpaduan.

    Beliau berkata, pada pilihan raya di Padang Serai Disember lalu, Barisan Nasional tidak melakukan secukupnya untuk menggerakkan penyokongnya bagi menyokong calon PH, Sofee Razak, yang akhirnya kalah kepada calon Perikatan Nasional, Azman Nasrudin.

  • Konflik PBM: Zuraida ke mahkamah

    Konflik PBM: Zuraida ke mahkamah

    DATUK Seri Zuraida Kamaruddin memohon mahkamah supaya secara rasmi mengiktirafnya sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) susulan perebutan kuasa antara kepimpinannya yang berlarutan.

    Bekas presiden parti itu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 24 Mac.

    Langkah itu dilakukan Zuraida dan 10 anggota yang lain selepas dipecat daripada PBM pada Disember tahun lalu, apabila parti itu mengumumkan barisan kepimpinan barunya di bawah Presiden Larry Sng pada Februari tahun ini.

    Menurut kertas kausa yang dilihat Malaysiakini, Zuraida memohon beberapa pengisytiharan daripada mahkamah, antaranya bahawa keputusan responden, Pendaftar Pertubuhan (ROS), mengekalkan Sng sebagai presiden parti adalah tidak sah dan tidak munasabah.

    Bekas Ahli Parlimen Ampang itu juga memohon perintah mandamus untuk memaksa ROS mendaftar dan mengiktirafnya sebagai presiden PBM, berkuat kuasa mulai 7 Oktober tahun lepas.

    Menerusi afidavit sokongannya bertarikh 22 Mac, Zuraida berhujah bahawa Sng membuat kenyataan, semasa perhimpunan agung parti pada 1 Okt tahun lepas, bahawa beliau bersetuju akan ada peralihan kuasa dalam kepimpinan PBM untuk melantiknya sebagai presiden parti.

    Zuraida mendakwa ini berikutan PBM memerlukan seorang ‘tokoh yang lebih besar’ untuk membawa perubahan positif dalam parti.

    Zuraida yang juga bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa beliau menerima surat daripada PBM bertarikh 15 Oktober tahun lepas yang memaklumkan ROS mengenai pelantikannya sebagai presiden parti.

    Bagaimanapun, beliau mendakwa bahawa kemudian menerima surat daripada PBM pada 19 Disember tahun lepas dengan Sng ‘mengisytiharkan dirinya sendiri’ sebagai presiden parti dan telah menggantung keahlian partinya serta melayangkan surat tunjuk sebab untuk dibalas Zuraida dalam tempoh tujuh hari.

    Zuraida berkata, dakwaan itu adalah kerana mempersoalkan jawatan presiden parti yang dipegang Ahli Parlimen Julau itu dan mengelirukan ahli parti lain dengan meminta mereka memberikan kenyataan bersama bahawa Sng adalah presiden parti.

    Beliau juga mendakwa tindakan Sng adalah tidak sah kerana peruntukan yang digunakan untuk menggantung keahliannya adalah kuasa yang hanya mampu dimiliki oleh presiden parti, dan Sng ketika membuat keputusan itu bukan lagi presiden parti.

    Selanjutnya, Zuraida mendakwa bahawa beliau tidak menjawab surat itu kerana tidak menganggap tindakan Sng sebagai sah di bawah perlembagaan parti.

    Zuraida mendakwa beliau mendapat tahu dipecat daripada PBM melalui penerbitan akhbar berbahasa Inggeris The Star bertarikh 27 Disember yang melaporkannya disingkirkan daripada keahlian parti.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tidak pernah pada bila-bila masa menerima apa-apa notis, surat dan atau dimaklumkan oleh PBM mengenai pemecatannya itu.

    Zuraida mendakwa ROS tidak pernah memaklumkan kepadanya atau PBM bahawa pendaftar pertubuhan itu akan mengekalkan Sng sebagai presiden parti dalam senarai ahli jawatankuasa parti yang dimilikinya.

    Beliau mendakwa ROS gagal menggambarkan pelantikannya sebagai presiden PBM pada senarai ahli jawatankuasa parti dalam rekod pendaftar.

    Beliau mendakwa kegagalan ROS untuk memastikan kandungan surat itu (bertarikh 15 Oktober tahun lepas) telah menyebabkan beliau dipecat daripada parti secara tidak mengikut perlembagaan.

    Zuraida mendakwa sebagai presiden PBM dan ahli majlis tertinggi parti, beliau hanya boleh dipecat melalui undian sekurang-kurangnya dua pertiga daripada perwakilan yang menghadiri perhimpunan agung parti, mengikut Perkara 14 perlembagaan PBM.

    “Kegagalan dan atau kecuaian responden telah membolehkan PBM untuk memecat saya secara tidak berpelembagaan/ unconstitrutional yang secara langsung mengakibatkan kerosakan teruk kepada imej dan kerjaya politik saya,” katanya.

    Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Zuraida Mohamed Ashmeer Ashrof mengesahkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu akan dibicarakan di hadapan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur esok.

    Malaysiakini telah cuba menghubungi wakil undang-undang ROS berhubung perkara itu.

    Zuraida meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu pada 2020 dalam Langkah Sheraton yang menggulingkan pentadbiran PH dan menaikkan kerajaan yang diterajui PN.

    Bagaimanapun, pada pertengahan tahun lalu, beliau meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM.

  • PH nafi ‘korban kerusi’ di Selangor

    PH nafi ‘korban kerusi’ di Selangor

    PAKATAN Harapan (PH) Selangor menafikan dakwaan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai gabungan itu akan ‘dikorbankan’ bagi memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada PRN nanti.

    Setiausaha PH Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, perkara itu tidak dibincangkan antara PH dan BN dalam rundingan agihan kerusi.

    “Pendirian kita masih sama seperti diputuskan PH di peringkat Pusat bahawa parti akan kekal bertanding di kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    “Tidak ada perbincangan berkaitan ‘korban kerusi’ di Selangor. Pendirian PH Selangor sebagaimana kenyataan Ketua Setiausaha PH (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) iaitu ‘status quo’ bagi semua kerusi yang dimenangi oleh PH.

    “Jika kita tidak boleh menang banyak, jadi kenapa perlu adanya kerjasama,” katanya menurut Berita Harian.

    Terdahulu, media yang memetik sumber melaporkan, PH mungkin akan menyerahkan sekurang-kurangnya lima kerusi ‘selamat’ kepada BN dalam langkah strategik bagi mengekalkan kerajaan perpaduan.

    DAP dan PKR dikatakan melakukannya untuk memastikan Selangor tidak jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN).

    Malah, nama Bendahari BN Selangor, Datu Seri Tengku Zafrul Aziz, antara beberapa calon gabungan itu yang mungkin bertanding di kerusi selamat, yang dijangka dikorbankan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRN akan datang.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, yang tewas di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 kepada calon PH, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, dijangka diberi kerusi bandar majoriti Melayu yang agak selamat.

    Sebelum ini, Saifuddin berkata, PH dan BN bersetuju semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada PRU14 dalam menghadapi PRN di enam negeri kelak.

    Selain itu, Khairuddin berkata, beliau percaya undi orang Melayu di Selangor lebih bersifat realistik dan yakin keputusan pilihan raya itu nanti akan memihak kepada PH.

    Katanya, PH Selangor juga yakin pengundi muda melalui Undi18 di Selangor akan terus bersama dengan PH.

  • Tiga ADUN Sabah dipecat daripada UMNO

    Tiga ADUN Sabah dipecat daripada UMNO

    PENGERUSI UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah dipecat daripada UMNO.

    Menurutnya, tiga ADUN itu ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).

    “Ada tiga dikenakan tindakan pecat, Datuk James Ratib sudah diambil tindakan dipecat, Mohd. Arsad dan Jasnih juga dipecat. Shahelmey digantung,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah, di bangunan UMNO, di Kota Kinabalu hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ditanya mengenai status ADUN Tanjong Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy pula, Bung Moktar memaklumkan, tiada tindakan dikenakan terhadap wakil rakyat berkenaan.

    Andi Muhammad masih berada di dalam barisan kepimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.

    Pada 21 Februari lalu, empat ADUN termasuk James, Mohd. Arsad dan Jasnih mengumumkan keluar daripada parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

    Selain itu, ADUN Balung, Datuk Hamid Awang juga turut mengambil keputusan sama iaitu keluar daripada UMNO.

  • Calon Ketua UMNO Bahagian Sik nafi dakwaan tarik diri

    Calon Ketua UMNO Bahagian Sik nafi dakwaan tarik diri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENJELANG pemilihan semula bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Sik hari ini, ada pihak tampak cuba bermain kotor apabila menyebarkan dakwaan kononnya bekas Ahli Dewan Undangan Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid menarik diri daripada saingan tersebut.

    Mengulas perkara itu Mahadzir berkata, dakwaan tersebut langsung tidak berasas.

    “Ini perbuatan yang tidak bertanggungjawab, tidak profesional dan mencerminkan ketidak matangan individu yang melakukannya.

    “Saya tetap mendokong aspirasi UMNO dan berharap demokrasi dalam UMNO Bahagian Sik aan terus subur tanpa tercemar dengan tindakan segelintir pihak yang suka membuat tohmahan dan fitnah, apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

    Tambahnya, beliau juga berharap penejelasan tersebut dapat memberi gambaran siapa dirinya dan siapa ‘mereka’ yang melakukan perbuatan itu.

    “Allah maha kaya, Allah bersama dengan orang yang benar dan sabar, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Menerusi surat ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahir Samad pada 27 Mac lalu, pemilihan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian itu perlu diadakan semual setelah keputusan sebelum ini didapati tidak sah.

    Pemilihan sebelum ini menyaksikan Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim memenangi jawatan itu dengan majoriti cuma satu undi ke atas penyandang, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah apabila masing-masing 229 dan 228 undi.

    Mahadzir ketika itu cuma mendapat 43 undi manakala bekas Ahli Parlimen Sik, Dr. Mansor Abdul Rahman memperolehi enam undi.

  • Tiga bahagian UMNO Kelantan adakan pemilihan semula

    Tiga bahagian UMNO Kelantan adakan pemilihan semula

    SUSULAN terdapat bantahan diterima pusat, tiga bahagian UMNO Kelantan akan mengadakan pemilihan semula kepimpinan bulan ini.

    Setiausaha UMNO Kelantan, Akhbar Salim berkata, ia akan melibatkan UMNO Bahagian Jeli, Kuala Krai, dan Tumpat.

    “Pemilihan UMNO Bahagian Jeli dan Kuala Krai akan berlangsung pada 8 April ini, manakala Tumpat berkemungkinan besar 15 April nanti.

    “Untuk makluman, kedudukan nombor dan senarai calon masih sama sebagaimana pemilihan sebelum ini,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Menurut Akbar, UMNO negeri berharap pemilihan semula di tiga bahagian itu akan berjalan lancar dalam suasana penuh kekeluargaan.

    “Saya harap berilah mandat kepada perwakilan untuk memilih barisan kepimpinan peringkat bahagian dengan sebaik mungkin.

    “Pemimpin mana yang menang, teruskan bekerja bagi memastikan UMNO kembali bangkit di bumi Kelantan ini,” katanya.

  • Penyokong Najib tak puas hati dengan Zahid, PM, dakwa Shahril, KJ

    Penyokong Najib tak puas hati dengan Zahid, PM, dakwa Shahril, KJ

    BEKAS pemimpin UMNO, Shahril Hamdan dan Khairy Jamaluddin mendakwa perasaan tidak puas hati semakin meningkat dalam UMNO terhadap presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menurut mereka, keadaan itu berlaku susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyemak semula sabitan dan hukuman dalam kes rasuah SRC International.

    Menerusi program “Keluar Sekejap” bersama Khairy, Shahril berkata, ada implikasi politik pada Zahid dan kerajaan perpaduan diterajui Anwar susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

    “Kedua-dua pihak (Pakatan Harapan atau UMNO) tidak mengakui perkara ini, tetapi satu perkara yang buat UMNO sedia bersama dengan PH adalah dengan harapan Najib dibebaskan.

    “Bagaimanapun, saya melihat pertikaian dan serangan terhadap Zahid serta (Anwar) dalam forum atau kumpulan menyokong Najib. Di sinilah ia bermula. Memang ada perbincangan antara ahli UMNO dan akar umbi (tidak bersetuju).

    “Sekiranya situasi itu tidak ditangani pemimpin UMNO, saya percaya ia boleh memberi ancaman kepada kepimpinan parti dan gabungan politik dengan PH,” kata Shahril menurut laporan Free Malaysia Today.

    Shahril adalah bekas ketua penerangan UMNO yang digantung keahlian selama enam tahun.

    Khairy dipecat UMNO turut bersetuju dengan Shahril, dan menyatakan, ada tindak balas kuat dalam kalangan penyokong Najib terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

    “Kenyataan Zahid yang bagi saya jawapan munasabah untuk timbalan perdana menteri berkata, bahawa beliau akur dengan keputusan mahkamah. Ia mencetuskan reaksi sebahagian pihak,” katanya.

    Bagaimanapun, bekas ketua Pemuda UMNO itu berkata, Zahid seorang ahli “politik yang sempurna” yang mampu menguruskan sebarang ketidakpuashatian dalam parti.

    Najib disabitkan pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC berjumlah RM42 juta.

    Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Beliau mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022, selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya, diikuti Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman asal.

    Pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman terhadapnya dengan keputusan majoriti 4-1. Dengan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukuman penjara malainkan mendapat pengampunan diraja.

  • Kunjungan hormat MIC ke atas Guan Eng cetus desas-desus

    Kunjungan hormat MIC ke atas Guan Eng cetus desas-desus

    GAMBAR pemimpin MIC Pulau Pinang mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng kelmarin lalu menimbulkan desas-desus di tengah-tengah spekulasi parti itu berharap diperuntukkan ‘kerusi selamat’ pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Menurut sumber parti, MIC mengintai Bagan Dalam dan Perai, yang dianggap kerusi tradisinya sejak 1970-an sehingga DAP mengambil alih pada 2008. Kerusi itu kini dianggap kawasan pilihan raya sangat selamat buat DAP.

    Bagaimanapun, Pengerusi MIC Pulau Pinang, J. Dhinagaran memberitahu FMT, peruntukan kerusi itu tidak dibincangkan ketika kunjungan terbabit, sebaliknya mereka hanya bertukar pandangan mengenai perkara melibatkan negeri berkenaan.

    Jelasnya, beliau tidak melobi sebarang kerusi dan mengadakan perbincangan baik dengan Guan Eng mengenai hal Pulau Pinang.

    “Presiden kami (Tan Sri S.A. Vigneswaran) akan membincangkan peruntukan kerusi dengan pemimpin di peringkat lebih tinggi.

    “Sebagai sebahagian kerajaan perpaduan, kami akan bersama mereka memastikan ahli MIC mendapatkan pengundi untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) pada PRN,” katanya.

    Menurutnya, kunjungan hormat itu dibuat memandangkan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan persekutuan gabungan.

    Katanya, pelbagai perkara dibincangkan dan enggan mengulas lebih lanjut seperti yagn ditulis dalam catatan Facebook miliknya.

    Bagaimanapun, sumber MIC berkata, parti itu berharap dapat kembali ke arus perdana politik melalui kerajaan perpaduan, yang akan banyak bergantung kepada kerjasama PH.

    Namun, sumber dalaman berkata, ia ‘hampir mustahil’ untuk DAP melepaskan mana-mana kerusi yang kini dipegang ahli wakil rakyatnya yang berbangsa India kerana ia hanya mempunyai tiga daripada 40 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

    Mereka ialah P. Ramasamy (Perai), M. Sathees (Bagan Dalam) dan Jagdeep Singh Deo (Datuk Keramat), manakala PKR mempunyai A. Kumaresan (Batu Uban).

    “Hanya kerusi-kerusi ini yang mungkin dan DAP harus perlu benar-benar bermurah hati untuk menawarkan walaupun satu kerusi kepada mereka. Jelas sekali, ia tidak akan diterima dengan baik oleh akar umbi dan bakal calon,” katanya.

    Ketua DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sebarang rundingan kerusi adalah antara PH dan BN, bukannya parti individu.

    “Bagaimanapun, PH Pulau Pinang belum memulakan rundingan dengan BN mengenai peruntukan kerusi,” kata ketua menteri itu.

    Terdapat 51.4 peratus pengundi Cina di Perai, dengan India membentuk 36.22 peratus, Melayu 11.56 peratus dan lain-lain 0.18 peratus.

    Di Bagan Dalam, terdapat 51.85 peratus pengundi Cina, 25.81 peratus pengundi India, 21.87 peratus pengundi Melayu dan lain-lain sebanyak 0.47 peratus.

  • Annuar Musa dan ‘yang lain’ dialu-alukan sertai Pas – Ahmad Samsuri

    Annuar Musa dan ‘yang lain’ dialu-alukan sertai Pas – Ahmad Samsuri

    NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bekas setiausaha agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dialu-alukan untuk menyertai parti itu seperti beberapa ahli politik lain yang akan turut berbuat demikian.

    Menurut Menteri Besar Terengganu itu, Pas berbesar hati menerima tokoh terkemuka seperti Annuar, yang juga veteran UMNO, bekas menteri dan bekas Ahli Parlimen Ketereh.

    “Saya percaya mereka yang berpengalaman seperti Annuar dan lain-lain boleh memainkan peranan untuk mengukuhkan parti,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Serdang, Selangor, anjuran kerajaan Terengganu, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau menambah, pemimpin lain yang kecewa dengan kepimpinan parti mereka akan menyertai Pas tidak lama lagi, namun beliau tidak mengulas lanjut.

    Annuar dipecat daripada UMNO Disember lalu dan timbul spekulasi bahawa beliau akan menyertai Pas tidak lama lagi.

    Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu pada Februari berkata, beliau “serius mempertimbangkan” untuk menyertai parti politik baharu yang padan dengan nilai politiknya, iaitu “melindungi Islam, orang Melayu dan negara”.

    Menyentuh perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri telah menerima bayaran pendahuluan “royalti petroleum” tahunan daripada Putrajaya.

    “Kami masih berbincang dengan kerajaan persekutuan, tetapi kami telah terima sedikit bayaran pendahuluan peruntukan itu beberapa hari lepas. Belum terima jumlah penuh,” katanya tanpanya menyatakan jumlahnya.

    Pada Februari, Samsuri berkata, beliau berharap kerajaan Anwar Ibrahim meneruskan pembayaran geran khas, yang diberikan oleh kerajaan persekutuan sebagai ganti royalti.

    Samsuri berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan Perbendaharaan sama ada pemberian sebelum ini adalah bayaran royalti petroleum.

    Bagaimanapun, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan negeri hanya berhak mendapat royalti jika minyak ditemui dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai mereka.

    Terengganu dan Kelantan tidak layak menerima royalti 5% kerana Petronas mengekstrak minyak mentah melebihi had tiga batu nautika.

    Pemberian khas itu juga dipanggil “wang ehsan” pada masa lalu. Tahun lepas, wang ehsan bernilai RM344.60 juta telah dibayar kepada Kelantan manakala Terengganu menerima RM1.69 bilion.