Category: Politik

  • Anak Annuar beri ‘bayangan’ tak ikut masuk Pas

    Anak Annuar beri ‘bayangan’ tak ikut masuk Pas

    ANAK Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau perlu membuat keputusan dan pilihan sendiri apabila sudah matang, tanpa mengikuti ‘guru’ yang pernah mengajarnya.

    Afiq Amani Annuar yang juga ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh berkata, setiap insan adalah ‘berbeza’ pendirian dan keputusan diambil mereka.

    “Apabila berguru, kita turuti mereka untuk menuntut ilmu, tetapi sampai satu masa, kita perlu membuat keputusan dan pilihan sendiri apabila sudah matang, tak semestinya kita jadi guru kita.

    “Setiap insan berbeza, mungkin kita silap dan mungkin kita jadi lebih baik dengan keputusan yang kita ambil. Itulah kehidupan, kita hanya boleh lakukan yang terbaik dan berdamai dengan pilihan diri sendiri,” katanya dalam hantaran dalam Facebook miliknya.

    Semalam, bapanya yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh mengesahkan telah menghantar borang permohonan menyertai Pas, bulan lalu.

    Beliau turut mendakwa akan membawa lebih 1,000 ahli UMNO bersamanya menyertai parti itu.

    Bagaimanapun, UMNO Kelantan menyarankan Annuar mengajak anaknya menyertai Pas terlebih dahulu sebelum berkempen kepada orang lain supaya mengikut jejaknya.

    Ketua penerangannya, Zawawi Othman berkata, dengan cara itu pihak lain akan menyakininya untuk bersama meninggalkan UMNO dan menyertai Pas.

  • Razman akui ADUN kerajaan ada berjumpa, namun enggan dedah jumlah

    Razman akui ADUN kerajaan ada berjumpa, namun enggan dedah jumlah

    KETUA Pembangkang Perak, Razman Zakaria mendakwa beberapa Adun kerajaan ada bertemu dengannya, yang dikatakan berkait rapat spekulasi gerakan menjatuhkan kerajaan negeri itu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dan nama wakil rakyat dari parti membentuk kerajaan perpaduan Perak yang bertemu dengannya atas inisiatif sendiri.

    “Kebenarannya (gerakan tumbangkan kerajaan negeri Perak) tak dapat nak dibuktikan, umpama kalau seseorang itu merancang nak pergi mencuri, tapi jadi atau tidak, kita tak tahu.

    “Saya tak tahu ini perancangan siapa, benar atau tak benar itu saya tak tahu, kalau benar berlaku kita mengalu-alukannya,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    “Saya tahu (wujud gerakan tumbangkan kerajaan negeri) sebab ada beberapa orang (Adun kerajaan) yang jumpa saya. Tapi tak kan saya nak cerita (terperinci).”

    Razman yang juga pesuruhjaya Pas Perak berkata, kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung gerakan menumbangkan kerajaan hanya bersifat penafian dan mendakwa ‘hati manusia tidak boleh dipegang’.

    “Memang (parti politik) ada baiah, berjanji tapi tak boleh nak pegang.

    “Kalau beliau (Saarani) kata sudah ‘scan’ (ADUN kerajaan) Alhamdulillah, kita pun harap kerajaan ini sampai hujung penggal tapi rasanya tak sampai agaknya,” katanya.

    Sebelum ini, Saarani menegaskan kerajaan perpaduan di Perak masih kukuh walaupun wujud dakwaan dan khabar angin berkaitan pentadbiran kerajaan negeri akan bertukar Julai ini.

    Kerajaan perpaduan Perak terdiri daripada gabungan 33 wakil rakyat iaitu 24 ADUN Pakatan Harapan (PH) dan 9 dari Barisan Nasional (BN).

    Blok pembangkang diwakili 17 Adun Pas dan 9 dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Dewan Undangan Negeri Perak adalah satu daripada tujuh negeri yang telah meluluskan pindaan kepada enakmen negeri masing-masing bagi membolehkan undang-undang anti-lompat parti dikuatkuasakan.

  • DAP bukan hanya wakil orang Cina – Presiden UMNO

    DAP bukan hanya wakil orang Cina – Presiden UMNO

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan DAP kini bukan hanya mewakili orang Cina kerana parti itu juga memiliki Ahli Parlimen Melayu dan India di dalamnya.

    Menurut Ahmad Zahid, perkara itu merupakan realiti politik baharu dan UMNO menerima kalangan sahabat dengan semangat ‘Kemalaysiaan’ tulen.

    “Tadi secara tak langsung disebut ‘Tok Det’ (Datuk Seri Mahdzir Khalid) yang orang sebelah ‘sana’ kata kenapa mesti berkawan dengan DAP sedangkan parti itu merupakan musuh UMNO dan Barisan Nasional (BN)?

    “Itu cerita dulu… Kalau UMNO boleh terima MCA mewakili Cina, MIC mewakili India dan Gerakan sebelum ini yang juga mewakili Cina dan pelbagai kaum… Kini hakikatnya DAP bukan hanya wakil orang Cina.

    “Ada Ahli Parlimen Melayu, India mewakili DAP dan ini realiti politik baharu. Kita terima sahabat kita dengan semangat ‘keMalaysiaan’ tulen,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah di Dewan Pusat Perniagaan Ampang (ABC) di Ampang Jajar, Alor Setar, hari ini.

    Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu menasihatkan kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) agar tidak memikirkan lagi mengenai siapa yang akan menjadi ‘poster boy’ mahu pun Menteri Besar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    “Fikir menang dulu. Soal ‘poster boy’, siapa ‘MB’ itu bukan hak kita kerana itu adalah hak Sultan Kedah.

    “Saya pernah bersama bekas Perdana Menteri dan Presiden parti ‘lebai’ untuk menghadap Sultan Kedah di Istana Kedah, Kuala Lumpur bagi meletakkan orang yang ada sekarang di tempat ini (Menteri Besar). Saya amat menghormati Tuanku yang sangat profesional dan hanya melihat undang-undang tubuh biarpun baginda memiliki kuasa mutlak melantik siapa saja.

    “Tetapi baginda hormat gabungan parti mana yang lebih banyak kerusi di Kedah, orang dari parti itu yang akan menjadi wakil untuk dijadikan Menteri Besar,” katanya.

    Beliau berkata, kalangan penyokong kerajaan Perpaduan perlu mengenepikan segala perbezaan bagi menghadapi PRN dan saling belajar dari satu sama lain. 

    “Cukuplah masing-masing saling berbeza pendapat, berebut kerusi dan berebut menjadi calon. Kita ketepikan perbezaan dan kerjasama dalam satu pasukan hadapi PRN. Selepas itu kita serah kepada tuanku dan itu cara kita

    “Datuk Mahfuz Omar (Pengerusi PH Negeri) untuk jentera pilihan raya belajar dengan UMNO dan BN manakala untuk sistem digital pilihan raya, kena belajar dengan PKR. Untuk media sosial belajar dengan DAP dan untuk ceramah serta mengata orang, kita belajar dengan Amanah” selorohnya.

  • Kerajaan perpaduan boleh buktikan DAP bukan anti-Melayu-Pemuda UMNO

    Kerajaan perpaduan boleh buktikan DAP bukan anti-Melayu-Pemuda UMNO

    KETUA Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh percaya penyertaan DAP dalam kerajaan perpaduan boleh membuktikan parti itu bukanlah ‘raksasa anti-Melayu’ seperti yang digembar-gemburkan.

    Akmal berkata, sentimen DAP anti-Melayu adalah hasil daripada pemikiran negatif yang ditanam sejak kecil ke dalam fikiran orang ramai.

    “Sejak kita menjadi kerajaan perpaduan, kita perlu membuktikan kepada rakyat bahawa apa yang mereka percaya (tentang DAP anti-Melayu) adalah salah dan terpesong,” kata Akmal dalam wawancara Sinar Harian.

    UMNO dan DAP adalah rakan gabungan dalam kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Pemimpin UMNO dan beberapa pemimpin lain sebelum ini sering menyerang DAP sebagai anti-Melayu.

    Baru-baru ini ketua penerangan Pas berkata, antara sebab diberi label itu ialah perlembagaan DAP yang menggesa Perlembagaan Malaysia dikembalikan semula kepada kerangka sekular yang asal.

    Kekalahan UMNO dalam pilihan raya rahmat kepada pemimpin muda

    Akmal berkata, kekalahan UMNO pada pilihan raya umum November 2022 memberi kelebihan kepada pemimpin muda seperti beliau.

    Parti itu kini lebih terbuka dan mengalu-alukan orang muda dan lebih bersedia untuk mendengar pandangan berbeza berbanding UMNO pada zaman kegemilangannya apabila ia menguasai kerajaan dengan majoriti dua pertiga Parlimen.

    Beliau menyifatkan hari-hari itu sukar bagi golongan muda.

    “Hari ini apabila parti mengalami kegagalan, peluang yang ada adalah kita golongan muda benar-benar boleh membawa perubahan dalam UMNO,” katanya.

    UMNO mengalami kekalahan terburuk dalam sejarahnya November lalu, hanya memenangi 26 kerusi berbanding 54 kerusinya pada 2018.

    Akmal, yang merupakan Exco Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUNB) Merlimau berkata, pemimpin muda memegang tanggungjawab untuk menunjukkan ‘politik progresif dan matang’ di mana mereka boleh duduk bersama sekutu dan pembangkang untuk memperjuangkan isu rakyat.

  • Minta sokong DAP, UMNO di penghujung hayat – Muhyiddin

    Minta sokong DAP, UMNO di penghujung hayat – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan pemimpin UMNO yang mahu ahli parti itu menyokong DAP dalam PRN tidak lagi menunjukkan UMNO sudah sampai ke penghujung hayatnya.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau percaya dalam PRN nanti ia akan dapat membuktikan  sebahagian besar orang Melayu sudah tidak mahu lagi mendokong perjuangan UMNO.

    ‘’Saya pun tahu, saya pernah jadi Timbalan Presiden (UMNP) semua yang berlaku pada hari ini sudah bercanggah bertentangan,tidak sehaluan bukan itu matlamat perjuangan asal,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas di Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh.

    Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan meminta pengundi UMNO mengundi calon DAP di kawasan masing-masing

    Kata Ahmad Maslan, langkah itu  demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan dan tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, apa yang mahu dilakukan oleh UMNO mungkin disebabkan parti itu sudah berada di penghujung hayatnya.

    ‘’Masih berbaki (penyokong) agaknya dia carilah jalan kalau boleh yang mana ada berbaki nak sokong tu akan sokonglah tetapi saya jangka sebahagian besar orang Melayu yang waras yang mendokong perjuangan UMNO tidak akan melakukan tindakan itu (menyokong UMNO lagi),’’ katanya.

  • PRN : PN kekal guna logo gabungan di 4 negeri

    PRN : PN kekal guna logo gabungan di 4 negeri

    PERIKATAN Nasional (PN) akan kekal menggunakan logo gabungan berkenaan di empat negeri pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, sama seperti ketika pilihan raya umum (PRU) yang lepas.

    Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata empat negeri berkenaan ialah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan juga Kedah, selain masih menunggu kata putus daripada Kelantan serta Terengganu.T

    “Setakat hari ini kita kekalkan…kecuali kalau Pas minta perubahan, sebelum ini mereka (Pas) menerima logo PN di Kedah dan mereka gunakannya sampai sekarang, mereka masih kekalkannya.

    “Tapi di Kelantan dan Terengganu kalau mereka gunakan logo Pas pun tidak mengapa. Orang dah kenal dah PN ini, hanya untuk pilihan raya tetapi secara dasarnya hubungan kita dalam PN cukup baik. Ia (hubungan) ada kemajuan sebenarnya jika nak dibandingkan dengan PRU yang lepas,” katanya lapor BERNAMA.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh, yang turut dihadiri oleh ADUN Bukit Kepong ahruddin Jamal.

    Muhyiddin turut menyifatkan PRN kali ini akan menjadi satu tanda aras baru yang akan menunjukkan hala tuju masa depan politik negara.

  • DAP minta ahli, penyokong undi calon UMNO dalam PRN

    DAP minta ahli, penyokong undi calon UMNO dalam PRN

    SETIAUSAHA Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching meminta ahli dan penyokong parti itu mengetepikan perbezaan dan memberi sokongan serta undi kepada calon UMNO, yang juga parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Kenyataan Nie Ching itu menyusul selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan semalam meminta Ahli UMNO yang tidak suka DAP, mengundi parti yang pernah menjadi lawan itu atas nama Kerajaan Perpaduan.

    Nie Ching berkata, mengundi parti dalam Kerajaan Perpaduan pada PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu nanti penting bagi memastikan kestabilan politik, sama ada peringkat pusat mahupun negeri.

    BERITA HARIAN melaporkan, beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Johor, berkata mandat rakyat amat penting dan kemenangan Kerajaan Perpaduan adalah tanda keyakinan terhadap kemampuan dan pencapaian kerajaan.

    “Sekarang kami (DAP, UMNO) duduk dalam kerajaan perpaduan, jadi semua parti politik kerajaan yang bertanding PRN akan datang perlu menang untuk pastikan kestabilan kerajaan perpaduan.

    “DAP sudah pasti mahu menang semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi. Kami juga berharap rakan komponen seperti PKR, AMANAH Parti Amanah Negara) dan juga UMNO turut menang di kawasan yang ditandingi mereka.

    “Mandat daripada rakyat penting, jadi sekiranya semua parti politik dalam Kerajaan Kerpaduan boleh menang dengan besar, ini satu tanda bahawa rakyat yakin dengan kemampuan dan pencapaian kami,” katanya selepas menghadiri program Larian Amal IOI Putra, di sini hari ini.

    Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pengundi daripada parti itu perlu mengundi calon Kerajaan Perpaduan pada PRN tanpa mengira daripada parti mana, termasuk DAP.

    Katanya lagi, gesaan itu bukan atas nama parti tertentu, sebaliknya atas nama Kerajaan Perpaduan serta titah Yang di-Pertuan Agong dalam memastikan kestabilan politik negara.

    Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai, menegaskan sokongan ahli dan penyokong DAP kepada calon-calon UMNO pada PRN akan datang bagi mengelak kemenangan kepada pembangkang.

    “Kita tidak akan serahkan usaha menarik pengundi kepada pihak lain. Kita akui sokongan masyarakat Melayu terhadap DAP sedikit kurang, namun itu tidak halang kita dekati masyarakat Melayu.

    “Pendekatan kita kekal untuk mendekati pengundi berbilang kaum, buktinya adalah bahan publisiti yang dikeluarkan dibuat dalam pelbagai bahasa, iaitu bahasa kebangsaan, bahasa Cina dan juga Tamil,”katanya.

  • UMNO akui sukar pujuk ahli terima DAP 

    UMNO akui sukar pujuk ahli terima DAP 

    UMNO akui sukar untuk parti itu ‘memujuk’ ahli menerima kehadiran DAP sebagai rakan sekutu yang membentuk kerjasama dalam kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Sehubungan itu Presiden UMNO Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya bersedia untuk bertemu dan menyantuni kumpulan berkenaan bagi memberi penerangan berkait dengan kerjasama antara UMNO dan DAP. 

    Katanya, perspektif negatif dan bersifat kebencian yang ditanam oleh kepimpinan terdahulu sukar untuk dikikis.

    “Dulu pengundi Barisan Nasional (BN) memberi sokongan kepada calon MCA dan MIC. Untuk itu, kita akan gunakan kaedah yang sama bukan atas nama parti, tetapi atas rasa kebersamaan dalam kerajaan perpaduan.

    “Lebih dua dekad kebencian penyokong terhadap sesuatu kumpulan telah ditanam dan tempoh itu bukan mudah untuk dirungkaikan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad di Pekarangan Maahad Tahfiz Yaakubiah, Bukit Tui, di Machang Kelantan.

    Semalam ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan dilaporkan berkata, ahli parti itu perlu melihat calon DAP dalam pilihan raya negeri akan datang sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan parti itu sendiri.

    “Memanglah undi itu rahsia tetapi gesaan saya bukan (undi) atas nama parti atau DAP, tapi atas nama kerajaan perpaduan,” katanya.

  • “Anwar, tolong jangan merapu lagi boleh tak? – Saifuddin

    “Anwar, tolong jangan merapu lagi boleh tak? – Saifuddin

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berkelakuan sebagai Perdana Menteri dan berhenti “berlakon”.

    Dalam kritikannya terhadap Anwar, Saifuddin membangkitkan beberapa tindakan Presiden PKR itu sejak menjadi Perdana Menteri dalam kritikannya itu.

    “Saya tidak tahu sama ada kita sekarang dipimpin oleh seorang Perdana Menteri atau seorang selebriti (sebab) saya tak nampak dia membawa dirinya sebagai Perdana Menteri, tapi lebih kepada selebriti.

    “Cara dia berpakaian dan cuba mengajak orang mengikut ‘trend’ dia (berpakaian), cara dia berlari-lari anak untuk menghadiri sesetengah program. You perdana menteri, tak payah berlakon,” katanya lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas majlis sambutan Aidilfitri Perikatan Nasional (PN) Indera Mahkota di Kuantan, malam tadi.

    Pengerusi PN Pahang dan Ahli Parlimen Indera Mahkota itu turut ‘memuji’ Anwar kerana menjadi perdana menteri pertama di Malaysia yang ada filem mengenai kisah hidupnya sendiri.

    Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada filem Anwar: The Untold Story yang mula ditayangkan di pawangan seluruh negara pada Khamis lalu.

    Saifuddin turut mempersoalkan kewajaran Anwar mengadakan sambutan rumah terbuka Aidilfitri di enam negeri, berbeza dengan majlis rasmi di Putrajaya seperti yang dilakukan perdana menteri sebelumnya.

    “Dia juga tunjuk pandai maka setengah kenyataan dia (buat) mengelirukan, termasuklah dalam isu kalimah Allah.

    Jadi saya nak cakap kat Anwar Ibrahim, tolong jangan merapu boleh tak? Sejak ketika dia bentangkan belanjawan, kami Ahli Parlimen pun susah nak ikut ucapan dia,” katanya lagi.

    Saifuddin merujuk kenyataan Anwar bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam penggunaan kalimah Allah adalah khusus untuk kes di Sarawak dan tidak terikat dengan keputusan di negeri lain.

    Beliau memetik kenyataan ADUN Ba’kelalan Baru Bian yang berpandangan penghakiman yang dibuat Mahkamah Tinggi terpakai di seluruh negara.

    Bagaimanapun, Anwar berkata kerajaan akan mengekalkan dasar sedia ada berhubung isu penggunaan kalimah itu dalam kalangan orang bukan Islam.

    Saifuddin turut mendakwa Anwar sebagai seorang yang suka memburukkan orang lain dan itu tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

    “Siapa yang dia tak serang dalam kalangan orang Melayu? Golongan nasionalis yang diwakili Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, golongan agama wan diwakili Tan Sri Hadi Awang.

    “Tak payah perlilah guna istilah ‘lebai’ dan ‘serban’ – awak tu perdana menteri,” katanya lagi.

  • Muhyiddin beri ‘lampu hijau’ pemimpin Bersatu sokong Proklamasi Orang Melayu – Razali

    Muhyiddin beri ‘lampu hijau’ pemimpin Bersatu sokong Proklamasi Orang Melayu – Razali

    Muhyiddin beri ‘lampu hijau’ pemimpin Bersatu sokong Proklamasi Orang Melayu

    KETUA Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, belum sampai masanya untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad ‘duduk semeja’, walaupun Muhyiddin merestui pemimpin Bersatumenyokong Proklamasi Orang Melayu.

    Katanya,  umum tahu hubungan kedua-dua ahli politik itu pernah dilanda krisis.

    “Ada krisis di tengah jalan namun ia hanya krisis politik, bukan lebih dari itu. Bukan masa lagi untuk mereka berdua duduk semeja, tetapi akan datang saya akan cuba usahakan,” kata Razali kepada portal FMT.

    Beliau berkata Muhyiddin beri ‘lampu hijau’ kepada pemimpin Bersatu untuk menyokong proklamasi itu atas kapasiti peribadi demi penyatuan Melayu.

    Razali antara tiga pemimpin Bersatu selain Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

    “Saya tak tahu apa yang tersirat dalam hati Muhyiddin, tapi saya tak nampak dia menentang apa yang Mahathir buat, lagi pun beliau bekas pengerusi Bersatu,’’ katanya.

    Dr. Mahathir pernah menyifatkan Muhyiddin “pengkhianat” susulan peristiwa Langkah Sheraton pada 2020, yang menyaksikan pentadbiran beliau ketika itu tumbang dan digantikan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu.

    Selain pemimpin Bersatu, turut menandatangani proklamasi itu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. 

    Razali menolak sebarang andaian mengatakan sokongan Hadi kepada proklamasi itu akan menjejaskan Muhyiddin mahupun Bersatu, lebih-lebih lagi apabila pemimpin partinya yang menandatangani proklamasi itu terlebih dahulu.

    “Tak timbul sebarang krisis, tak timbul Hadi nak tinggalkan Muhyiddin,” katanya, menyifatkan dakwaan-dakwaan seperti itu hanya mahu menjejaskan ‘persahabatan’ Pas-Bersatu.

    Razali menjelaskan bahawa pemimpin Bersatu menyokong proklamasi cetusan Mahathir itu kerana “agenda Melayu”.

    “Walaupun dia kalah dalam PRU tetapi dia bawa satu isu yang baik. Dia ada pengikutnya. Kita bersama menyokong,” katanya.