Category: Politik

  • Khairil Nizam, Ahmad Fadhli, Khalil dicalon Ketua Pemuda PAS

    Khairil Nizam, Ahmad Fadhli, Khalil dicalon Ketua Pemuda PAS

    KETUA Dewan Pemuda PAS, Khairil Nizam Khiruddin dicalonkan semula untuk mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti bagi sesi 2021 – 2023.

    Dua lagi pemimpin muda PAS yang dicalonkan bagi jawatan tersebut ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahaya.

    Pada masa yang sama, Ahmad Fadhli turut dicalonkan untuk mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS.

    Turut dicalonkan bagi jawatan nombor dua sayap berkenaan ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Farkhan Md Zain.

    Memetik laporan Harakahdaily, sebanyak 110 borang pencalonan bagi Dewan Pemuda PAS yang sah diterima daripada 185 PAS kawasan di seluruh negara.

    Berikut adalah senarai pencalonan:

    Pengerusi Tetap
    Kamal Shaari
    Dr Riduan Mohd Noor

    Timbalan Pengerusi Tetap
    Nor Azariza Mohd Alawi
    Dr Riduan Mohd Noor

    Ketua
    Ahmad Fadhli Shaari
    Khairil Nizam Khiruddin (penyandang)
    Khalil Yahaya

    Timbalan Ketua
    Afnan Hamimi Taib Azamudden
    Ahmad Fadhli Shaari (penyandang)
    Farkhan Md Zain

    Naib Ketua
    Hanapi Zulkafli
    Mohd Hafez Sabri
    Mohd Syahir Che Sulaiman
    Zuzalee Ariffin

    Ahli Jawatankuasa Kerja
    Abdul Malik Abd Razak
    Abdul Muiz Muhammad
    Adlan Mukhtaruddin
    Ahmad Bilal Rahudin
    Ahmad Nawfal Mahfodz
    Akram Ikrami Taib Azamudden
    Azlan Hj Alias
    Fairuz Azmi
    Hanapi Zulkapli
    Hanif Haron
    Khairul Azmi Fahmi Jamil
    Khairul Nazir Helmi Azhar
    Marwan Shukrimun
    Mohamad Omar Adam
    Mohamad Zikrullah Ismail
    Mohammad Arifiriazul Paijo
    Mohd Afiq Awang Bakar
    Mohd Aizat Zakaria
    Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli
    Mohd Faizzudin Mohd Zai
    Mohd Hafez Sabri
    Mohd Haikal Abdul Mutalib
    Mohd Huwaid Soleh
    Mohd Labib Abd Jalil
    Mohd Razali Saari
    Mohd Saifuddin Bin Hassan
    Mohd Syahir Che Sulaiman
    Muhamad Afiq Farhan Mazlan
    Muhammad Abdul Malik Abdul Karim
    Muhammad Hamdi Harun
    Muhammad Hilmi Ismail
    Muhd Khidhir Izaidin
    Nurul Amin Hamid
    Wan Abu Bakar Wan Mahussin

    Sementara itu, bagi Dewan Muslimat PAS, sebanyak 148 borang pencalonan yang sah diterima daripada 182 PAS kawasan.

    Senarai pencalonan bagi Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat adalah seperti berikut:

    Asmak Hussin
    Azimah Ibrahim
    Che Faridah Ismail
    Fairuz Idris
    Halimah Ali
    Huda Nordin
    Husna Hashim
    Jazlina Shafawi
    Kartini Ahmad
    Kintan Man
    Mardhiyah Hayati Salleh
    Mardhiyah Hayati Zolkeplai
    Mumtaz Hj Md Nawi
    Najihatussalehah Ahmad
    Noraini Hussin
    Norazlin Md Samsudin
    Norhafiza Fadzil
    Norhafizah Musa
    Nuri Muhammad
    Reen Mohd Amin
    Salamiah Mohd Nor
    Salmah Abd Latif
    Siti Ashah Ghazali
    Siti Zailah Mohd Yusoff
    Uyun Abdul Malek
    Wahibah Tahir
    Wan Hasrina Wan Hassan
    Zuraida Md Noor.

  • Siapa ketuai jentera BN di Melaka, Tok Mat Hasan atau Najib?

    Siapa ketuai jentera BN di Melaka, Tok Mat Hasan atau Najib?

    ANALISIS

    CARTA organisasi UMNO menunjukkan jika Presiden tidak ada, maka Timbalan Presiden boleh menjalankan tugas-tugas Presiden, begitu juga dalam Barisan Nasional (BN) jika Pengerusi tidak ada Timbalan Pengerusi boleh menjalankan tugas Pengerusi.

    Oleh itu apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan untuk menangguhkan perjalanannya ke Singapura bagi mengurus persediaan UMNO menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan, ramai tertanya-tanya, di manakah Datuk Seri Mohamad Hasan?

    Bukankah Tok Mat Hasan adalah Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN? Kenapa pula Najib ‘diamanahkah dengan tanggungjawab untuk memastikan bahawa UMNO sewaktu PRN Melaka bertindak secara teratur dan dengan sementara ketiadaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi?

    Soal Najib meminta penangguhan perjalanan itu hak beliau dan terpulang kepada mahkamah yang mana permohonan itu  dijadualkan akan didengar di hadapan tiga hakim Mahkamah Tinggi pada Selasa kerana beliau menghadapi tuduhan berasingan berkaitan kes 1MDB.

    Tetapi yang menjadi perhatian kenapa sampai ke tahap Najib terpaksa menangguh perjalanan? Adakah kepemimpinan UMNO tidak yakin Tok Mat Hasan boleh mengendalikan jentera UMNO dan BN dengan teratur? Bukankah beliau adalah Pengarah Pilihan Raya UMNO yang dilantik pada Julai lalu?

    Dan jangan lupa Tok Mat Hasan  pastinya akan mendapat sokongan padu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO dan Datuk Seri Khaled Noordin, ‘panglima perang’ UMNO, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki dan menteri-menteri UMNO.

    Justeru Ahmad Zahid dan Najib tidak perlu risau sangat. Mohamad sudah membuktikan keupayaan mengemudikan UMNO ketika Ahmad Zahid bercuti dahulu sehingga UMNO menang dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk di DUN Rantau kerusi bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sekaligus mengembalikan keyakinan serta memulihkan semangat ahli UMNO.

    Jadi kenapa pula Najib dilihat nak menyibuk? Adakah Najib masih yakin dengan populariti jenama ‘bossku’ ia akan membantu kemenangan UMNO dan BN?  Apa salahnya Mohamad Hasan mengemudi UMNO di Melaka dengan bantuan Ismail Sabri?

    Adakah Ahmad Zahid dan Najib bimbang populariti Mohamad Hasan dan Perdana Menteri akan meningkat jika BN dan UMNO menang di Melaka? Tidakkah kehadiran Najib akan dilihat boleh ‘menyambung  episod ‘dua singa atas satu gunung’ selepas beliau dilihat lebih popular dan lebih berpengaruh daripada Ahmad Zahid dalam UMNO? Atau Adakah ia ‘isyarat’ Najib mahu melakukan ‘come back’ dan PRN Melaka akan dijadikan platform untuk beliau membuktikan keupayaannya?

    Semua itu adalah persoalan, andaian dan tafsiran yang boleh dibuat berikutan permohonan Najib untuk menangguh perjalanan beliau ke Singapura. Apapun sama-sama kita tunggu siapa sebenarnya yang akan mengepalai jentera UMNO dan BN di Melaka. Yang pasti Mohamad Hasan sudah membuktikan keupayaannya semasa ketiadaan Ahmad Zahid dan beliau mungkin boleh mengulangi sekali lagi tanpa Ahmad Zahid dan Najib.

  • PH tak kenang budi, habis madu sepah dibuang

    PH tak kenang budi, habis madu sepah dibuang

    prn melaka

    YANG dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Itulah nasib malang yang menimpa empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menjadi watak-watak utama di sebalik krisis politik Melaka.

    Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Norhizam Hassan Baktee terpaksa bertanding sebagai calon Bebas sekiranya mereka ingin mempertahankan kerusi masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Mereka bukan sahaja ditolak oleh Pakatan Harapan (PH) malah didakwa boleh memberi kesan yang ‘memalukan’ gabungan pembangkang tersebut.

    Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Selayang yang juga pemimpin PKR, William Leong Jee Keen imej politik PH akan tercemar sehingga tidak boleh diperbaiki.

    “Keempat-empat Adun itu asalnya dari parti-parti yang menyokong politik perkauman dan ideologi menegakkan ketuanan Melayu.

    “Sekiranya PH / PKR menerima mereka masuk, itu bermaksud gabungan ini tidak lagi serius dalam agenda reformasi, manifesto, ideologi, dan perjuangannya untuk perubahan.

    “Ini bermaksud gabungan ini tidak lebih dari oportunis politik yang mencari jawatan, kepentingan dan kuasa, dan tidak ingin melaksanakan perubahan,” katanya.

    Sebelum ini, keempat-empat bekas ADUN terbabit dijulang seperti wira kerana tindakan mereka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah membuka ruang untuk PH merampas kuasa di Melaka.

    Namun, peluang itu tertutup apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan yang seterusnya membawa kepada PRN Melaka.

    Akhirnya, Idris, Nor Azman, Noor Effandi dan Norhizam dilayan seperti ‘sampah’ oleh PH setelah khidmat mereka tidak lagi diperlukan.

    Sememangnya sikap PH itu tidak mengejutkan kerana mereka pernah melakukan perkara yang serupa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Kepercayaan kira-kira 5.6 juta pengundi yang diberikan kepada PH pada PRU-14 dibalas dengan tuba apabila mereka terbukti gagal menunaikan janji-janji populis yang ditaburkan semasa berkempen.

    Pelbagai alasan diberikan bagi mewajarkan kegagalan mereka membalas kepercayaan pengundi terhadap mereka termasuk ‘negara hampir bangkrap’.

    Melihat kepada senario tersebut, jika lebih 5.6 juta pengundi boleh ‘dikencing’ oleh PH, apalah sangat setakat empat bekas ADUN yang berpaling tadah terhadap parti masing-masing.

    Sewajarnya 456,196 pengundi di Melaka mengambil iktibar daripada sikap PH yang tidak tahu mengenang budi terhadap kepercayaan yang diberikan terhadap mereka.

    Pilihan yang terbaik bagi mereka sudah tentu calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang terbukti mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat berbanding gabungan politik lain yang kemaruk kuasa dan sibuk berpolitik sepanjang masa tanpa kesudahan.

  • PN mahu jadikan Melaka lebih maju, tiada sesiapa terpinggir – Muhyiddin

    PN mahu jadikan Melaka lebih maju, tiada sesiapa terpinggir – Muhyiddin

    prn melaka

    PERIKATAN Nasional (PN) memberikan tawaran baharu kepada rakyat Melaka untuk negeri lebih maju tanpa meninggalkan sesiapa pun terpinggir daripada kemakmuran.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, prinsip yang diangkat PN juga tidak membenarkannya berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

    Kata beliau, kesempatan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dimaanfaatkan oleh rakyat neger itu untuk memilih kerajaan yang lebih baik dan diyakini membela rakyat.

    “Kita hendak membina kerajaan yang bersih, kita sanggup membela setiap rakyat, tidak kira anda Melayu, Cina, India, Portugis, Orang Asal, kita akan berusaha untuk anda,” katanya ketika berucap pada majlis Minum Petang Bersama Masyarakat di Dewan Serbaguna Taman Maju, Jasin hari ini.

    Hadir sama, Presiden Gerakan yang juga Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dominic Lau, Pengerusi PN Melaka yang juga
    Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen; Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mod. Harun; dan Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.

    Beliau menegaskan, PN sentiasa menekankan teras terhadap nilai-nilai agama, akhlak murni dan budi bangsa agar masyarakat sentiasa saling hormat-menghormati.

    “Inilah tawaran baharu untuk Melaka, kita akan memberikan yang terbaik, ada masa depan yang lebih baik jika PN diberi kuasa mentadbir Melaka,” katanya.

  • Satu lawan satu boleh bawa kejayaan besar, jangan ikut emosi – Pas

    Satu lawan satu boleh bawa kejayaan besar, jangan ikut emosi – Pas

    MURSYIDUL Am Pas,  Datuk Hashim Jasin berharap dengan agar pemimpin UMNO dan Bersatu berlapang dada melupakan perkara yang memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan dua parti itu dan terus bersatu demi kepentingan ummah.

    Katanya, Pas berharap dalam pilihan raya nanti kalau boleh ketiga-tiga parti  bersatu satu lawan satu kerana menerusi pertandingan satu lawan satu harapan untuk mencapai kemenangan adalah lebih besar daripada masing-masing bertanding atas parti sendiri.

    “Jadi saya dengan penuh tawaduk mengharapkan kepimpinan UMNO terutamanya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya berlapang dada melupakan segala perkara yang memecahbelahkan demi untuk mencapai tujuan yang lebih suci dan murni,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.

    Hashim berharap Pas, UMNO dan Bersatu dapat menghindari daripada memasuki pilihan raya dengan pertandingan banyak penjuru.

    “Saya tetap berharap dan merayu agar kita dapat bersedia menghadapi pilihan raya tidak kiralah di peringkat mana pun mulai sekarang dan tetap dengan pertandingan satu lawan satu.

    “Semoga UMNO faham dan seterusnya bersedia untuk meletakkan matlamat utama di tempat yang teratas bukan hanya mengikut emosi,” ujarnya lagi.

    Namun begitu, katanya, jika terdapat banyak halangan, maka Pas akan memilih halangan yang lebih ringan.

    “Kita bersedia memberi kerjasama dengan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip satu lawan satu. Kita minta dengan Allah supaya sekurang-kurangnya tiga parti ini akan bersama membuat persediaan dari sekarang untuk menghadapi pilihan raya akan datang, insya-Allah,” katanya.

  • Saya mahu berbaik dengan semua, tapi jika tiada kerjasama sedia hadapi tiga penjuru – Muhyiddin

    Saya mahu berbaik dengan semua, tapi jika tiada kerjasama sedia hadapi tiga penjuru – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau berhasrat untuk berbaik dengan semua yang ingin menjalin kerjasama dengan gabungan parti itu.

    Bagaimanapun kata Muhyiddin, jika tiada kerjasama yang ingin dijalinkan, maka PN perlu mengambil keputusan yang bakal membawa kesan yang tidak dapat dielakkan.

    “Kami ini pejuang, dalam politik kita hadapi realiti politik, hasrat saya kalau tanya saya hendak berbaik dengan semua orang.

    “Ummah ke, perpaduan ummah ke, itu perkara memang biasa kita alu-alukan, tetapi dalam pertimbangan politik dia tidak ada sebut perpaduan ummah pun, dia tengok perpaduan dan kepentingan parti masing-masing.

    “Bagi saya kita (PN) mungkin tidak (mahu) melambat-lambat, kita sudah ada keputusan tetapi apa pun bila sampai hari penamaan calon kita tengok apa berlaku, sama ada (wujud) gabungan atau tidak, PN sudah bersedia hadapi tiga penjuru,” katanya lapor Astro Awani.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, pertimbangan paling penting ketika ini adalah kuasa rakyat memilih parti yang akan mentadbir negeri Melaka dalam PRN November depan.

    “Realitinya dalam sistem demokrasi berparlimen, bila jadi macam itu (kejatuhan kerajaan), PRN kena diadakan. Saya tahu sentimen orang Melaka keseluruhan, kita akan ambil pendirian jelas dan tegas sama ada akan terkesan atau tidak memang tidak boleh elak.

    “Kalau tiga penjuru lain keputusannya, dua penjuru pula lain keputusannya. Tapi pertimbangan paling penting adalah rakyat, pengundi akan putuskan,” tegas beliau.

    Mengulas lanjut berhubung pergolakan politik Melaka selepas empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan sehingga jatuhnya kerajaan negeri, Muhyiddin berkata tindakan itu menyebabkan rakyat Negeri Melaka marah ekoran pemimpin politik yang hanya memikirkan kuasa dan bukannya kebajikan rakyat.

    “Saya lihat situasi politik melaka PRN Melaka diadakan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan jatuhkan kerajaan. Saya bukan orang Melaka tapi ramai saudara di Melaka, mereka agak marah dengan pandemik ini sewajarnya bagi masa.

    “Jangan kita sibuk memikirkan soal kuasa sehingga menjejaskan kehidupan rakyat, tetapi apa berlaku telah berlaku,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

  • Keputusan PAS buat pemilihan atau tidak, minggu depan

    Keputusan PAS buat pemilihan atau tidak, minggu depan

    KEPUTUSAN sama ada pemilihan jawatankuasa tertinggi PAS pada Muktamar Tahunan Ke-67 parti itu November ini akan dijalankan atau sebaliknya, bakal diketahui minggu depan.

    Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pengumuman akan dibuat selepas mengumpul maklumat daripada pihak PAS kawasan yang baru selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

    “Setakat ini kita tiada maklumat (sesi pemilihan) sebab PAS kawasan baru sahaja habis mengadakan mesyuarat agung, jadi kita tunggu mereka hantar keputusan kepada PAS pusat.

    “Dari situ baru kita tahu sama ada akan ada pertandingan, termasuk calon dan sebagainya. Kita jangka dalam seminggu ini mereka akan hantar keputusan, jadi selepas 25 Okt baru kita akan tahu,” katanya.

    Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di Kota Bharu hari ini.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Muktamar Tahunan PAS Ke-67 tahun akan diadakan secara hibrid mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu di Terengganu. – BERNAMA

  • PH bincang kedudukan 4 bekas ADUN Melaka petang ini

    PH bincang kedudukan 4 bekas ADUN Melaka petang ini

    prn melaka

    PAKATAN Harapan (PH) akan membincangkan kedudukan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri itu, sama ada diterima bertanding di bawah tiket PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada mesyuarat petang ini.

    Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya juga mengambil maklum rasa tidak senang beberapa pihak sekiranya keempat-empat bekas ADUN itu termasuk ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee menjadi calon mewakili gabungan parti pembangkang itu dalam PRN Melaka 20 Nov ini.

    “Apa-apa pun kita akan bincang dalam mesyuarat petang ini,” katanya selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Parlimen Port Dickson, hari ini.

    Mengenai langkah PKR menjemput keempat-empat ADUN berkenaan pada majlis taklimat bersama Presiden PKR pada Isnin lepas di Melaka, Anwar berkata ia sekadar bagi mengucapkan terima kasih atas langkah mereka membawa perubahan di Melaka.

    Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata parti memutuskan Norhizam tiada tempat dalam mana-mana parti komponen PH dan menolaknya sebagai calon pada PRN Melaka.

    Pada 10 Mac tahun lepas, DAP memecat Norhizam yang juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka selepas beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri baharu di bawah Perikatan Nasional.

    Norhizam, bekas ADUN Bebas-Pengkalan Batu adalah antara empat ADUN yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Okt selain Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas). – BERNAMA

  • DAP tolak Norhizam, PH Melaka pula kata ‘boleh runding’

    DAP tolak Norhizam, PH Melaka pula kata ‘boleh runding’

    prn melaka

    WALAUPUN DAP bertegas enggan menerima pencalonan Datuk Norhizam Hassan Baktee, Pakatan Harapan (PH) Melaka pula mempunyai pandangan yang berbeza dalam isu tersebut.

    Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, mereka masih membuka pintu rundingan untuk penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu itu.

    “Perkara ini (penolakan DAP) boleh diselesaikan secara baik. PH tidak mengetepikan pandangan mana-mana pemimpin dalam komponen PH, termasuk kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menolak penyertaan Norhizam,” katanya seperti dilaporkan BH, hari ini.

    Bekas Ketua Menteri Melaka itu menambah, PH tetap mengambil kira pandangan semua pihak dalam pakatan itu dan perbincangan boleh diadakan bagi mencapai persetujuan bersama.

    “Saya yakin kenyataan Setiausaha Agung DAP itu mampu diselesaikan dengan baik melalui perbincangan yang akan diadakan secepat mungkin,” jelasnya.

    Pada masa yang sama, beliau berpandangan, pemimpin DAP berhak menyatakan pandangan mereka mengenai penyertaan Norhizam dalam mana-mana parti komponen PH tetapi pandangan keseluruhan parti komponen juga harus diambil kira.

    Semalam, Guan Eng dilaporkan berkata, partinya tidak akan menerima jika Norhizam dinamakan semula sebagai calon PH pada PRN Melaka.

    Norhizam seterusnya mempersoalkan kewajaran Guan Eng enggan menerimanya bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Memetik laporan FMT, beliau berkata, Guan Eng sepatutnya sedar bahawa DAP tidak mendapat sokongan rakyat terutamanya orang Melayu.

    “Saya masuk DAP ke? Siapa DAP nak menghalang saya. Saya tidak kata nak kembali ke DAP, kalau saya masuk PKR, apa kena-mengena dengan Lim Guan Eng? Kalau saya masuk Amanah, apa ada kena mengena dengan Guan Eng? Kalau saya masuk Pejuang, apa kena mengena dengan Guan Eng? Dia orang DAP, jaga sajalah orang DAP.

    “Kecuali saya ini orang DAP, saya bukan ahli DAP lagi. Awak pun tahu, rakyat tolak parti Cina ini,” katanya.

    Selain isu pencalonan Norhizam, PH Melaka juga berdepan polemik berkaitan tiga penyandang kerusi DUN yang lain itu Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan dan Datuk Nor Effandi Ahmad.

    Mereka merupakan wakil rakyat yang berpaling tadah menyokong usaha PH Melaka membentuk kerajaan negeri yang baharu setelah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti.

  • Pemimpin UMNO Melaka tolak keputusan bertanding solo?

    Pemimpin UMNO Melaka tolak keputusan bertanding solo?

    prn melaka

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa berdepan kesukaran meyakinkan pemimpin parti itu di Melaka untuk bergerak bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Memetik laporan MalaysiaNow, sekurang-kurangnya 70 peratus ahli jawatankuasa UMNO Melaka membantah pengumuman Ahmad Zahid baru-baru ini bahawa UMNO akan bertanding dalam PRN tanpa PAS dan Perikatan Nasional (PN).

    MalaysiaNow mendakwa, pada mesyuarat jawatankuasa UMNO Melaka baru-baru ini, beberapa pemimpin bahagian secara terang-terangan mempersoalkan pengumuman Ahmad Zahid bahawa UMNO akan bersendirian dalam menghadapi PRN.

    Mereka manyatakan bahawa langkah itu pasti akan mengembalikan PH ke tampuk pentadbiran negeri.

    “Untuk UMNO bersendirian hadapi pilihan raya hanya mengulangi kebodohan pilihan raya umum yang lalu apabila PH menang akibat pertembungan antara tiga parti,” kata seorang ketua bahagian Melaka kepada MalaysiaNow.

    Pada 12 Oktober lalu, Ahmad Zahid berkata UMNO akan bertanding PRN Melaka dengan menggunakan lambang BN, selain mengatakan kerjasama dengan PAS juga sudah tidak lagi relevan.

    Langkah untuk bertanding solo itu bermakna PRN Melaka mungkin menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan PH, PN dan BN.

    Pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berpunca daripada kegagalan UMNO dan PAS membentuk pakatan pilihan raya walaupun pemimpin kedua-dua parti itu sempat meleraikan beberapa perbezaan mereka dalam beberapa pertemuan.

    Perpecahan undi menyebabkan calon PH memenangi banyak kerusi sekali gus menumbangkan BN buat kali pertama di beberapa negeri termasuk di Melaka.

    Pada PRU-14, PH memenangi 15 dari 28 kerusi DUN di Melaka.

    Sekurang-kurangnya lima kerusi dimenangi oleh gabungan pembangkang disebabkan kehadiran PAS, yang walaupun muncul di tempat ketiga, memperoleh lebih banyak undi daripada majoriti yang dimenangi PH.

    Antara kerusi DUN tersebut termasuk Gadek, Durian Tunggal, Klebang, Telok Mas dan Bemban, di mana BN dianggap boleh memenanginya jika bergabung dengan PAS.

    “Kenyataannya, undi penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberikan kepada PH pada pilihan raya 2018.

    “Tidak mungkin undi ini akan diberikan kepada PH pada pilihan raya akan datang,” kata seorang pemimpin UMNO di Bukit Katil.

    Ramai yang melihat PRN yang akan diadakan pada 20 November depan sebagai ujian litmus bukan hanya kepada UMNO, tetapi juga terhadap keputusan parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan PN.

    Beberapa pemimpin UMNO bahagian di Melaka juga menyatakan kebimbangan dengan pendirian parti yang dilihat tidak belajar daripada PRN Sabah tahun lalu, apabila ia gagal mendapatkan jumlah majoriti besar yang membolehkan jawatan Ketua Menteri diberikan kepada UMNO.

    Dalam PRN Sabah, UMNO memenangi kurang kerusi berbanding sekutunya dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebuah pakatan pilihan raya yang turut dianggotai PN dan UMNO.

    “Peralihan kecil sokongan orang Melayu kepada PH menyebabkan UMNO jatuh. Kini dengan PAS dan Bersatu di kem yang sama, ia boleh membawa kepada peralihan undi Melayu yang lebih besar, ” kata seorang pemimpin cawangan UMNO dari kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya.