Category: Politik

  • Hubungan UMNO, Pas dan Bersatu dijangka tak terjejas

    Hubungan UMNO, Pas dan Bersatu dijangka tak terjejas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JALINAN kerjasama antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat Persekutuan dijangka sama sekali tidak akan terjejas di sebalik keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tidak lama lagi.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau percaya terdapat persefahaman antara ketiga-tiga parti itu di peringkat Persekutuan bagi memastikan hubungan dalam kerajaan Persekutuan terus kukuh.

    Malah katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri telah memutuskan supaya program-program kementerian tidak dibawa ke Melaka di sepanjang tempoh perjalan PRN itu nanti.

    “Itu bermakna kalau menteri turun ke Melaka, mereka bergerak sebagai ahli parti dan bukannya menteri. Tak payah ‘carry’ mana-mana kementerian di Melaka dalam waktu pilihan raya ini sebab kita ada persefahaman di peringkat Persekutuan.

    “Jadi itu bermakna, tiada program yang melibatkan kementerian di Melaka di sepanjang tempoh PRN nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang (APC) Kemas Peringkat Negeri Kedah di Dewan Kolej Mara Kuala Nerang, hari ini.

    Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengumumkan bahawa gabungan tersebut akan bergerak secara solo dengan menampilkan 20 calon UMNO, tujuh MCA dan MIC dalam PRN Melaka.

    Menurut Mohamad Hasan daripada jumlah itu, sebanyak 24 calon atau 86 peratus adalah muka baharu dan ia tidak pernah dilakukan BN dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.

    Mahdzir menambah, hubungan antara Ahli Parlimen ketiga-tiga parti juga setakat ini tidak bermasalah dengan kalangan menteri juga membuat keputusan secara bersama dalam Mesyuarat Kabinet, Rabu lepas.

    “Saya punya perasaan bahawa semua pihak akan memahami keadaan ini. BN bergerak solo di Melaka tetapi di peringkat Persekutuan, kita masih mempunyai hubungan atas nama kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya.

    Diminta mengulas peluang BN di Melaka, Mahdzir berkata, secara tradisinya negeri itu sememangnya berada di bawah pentadbiran BN sebelum ini.

    “Jadi saya fikir PRN ini pun akan mengikut tradisi sebelum ini juga di mana kemenangan berpihak kepada BN,” katanya.

  • Pas sokong calon PN  jika berlaku pertembungan tiga penjuru -Hadi

    Pas sokong calon PN jika berlaku pertembungan tiga penjuru -Hadi

    SEGALA teka-teki berhubung siapa yang Pas akan sokong jika berlaku pertembungan tiga penjuru terjawab.

    Ia berikutan kenyataan  Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi yang menegaskan, Pas akan mengundi calon Perikatan Nasional jika berlaku pertembungan tiga penjuru.

    Kenyataan itu sekaligus bermakna Pas tidak akan menyokong calon penyandang daripada UMNO dalam pilihan raya berkenaan.

    Bercakap selepas menyampaikan ucapan dasar di Muktamar Tahunan Pas Ke-67 di Terengganu, Abdul Hadi berkata, sokongan terhadap PN tidak akan berubah sekiranya berlaku pertembungan antara calon Bersatu dan Barisan Nasional (BN).

    Katanya, keputusan itu juga selaras dengan komitmen Pas untuk terus mendukung gabungan itu termasuk persetujuan menggunakan logo PN.

    “Kita pegang pada asas kita tiga parti… kalau ada parti tak mahu kerjasama terpulang pada dia la.. bila sebut kerjasama, maka bersedialah berlaku peralihan kerusi daripada parti-parti bukan sahaja Muafakat Nasional termasuk Perikatan Nasional bahkan di Melaka melibatkan bukan sahaja Pas di Melaka termasuk… sikap kita tegas pembahagian yang adil dalam kerjasama Perikatan Nasional,” kata beliau.

    Kenyataan Abdul Hadi itu sekaligus menghilangkan kekeliruan berikutan sebelum ini ada pemimpin Pas menegaskan, walaupun menggunakan logo Perikatan Nasional namun parti tersebut akan menyokong penyandang jika berlaku pertembungan tiga penjuru.

    Langkah itu dilihat tidak wajar memandangkan Pas adalah anggota rasmi Perikatan Nasional dan pada masa memberi kelebihan kepada UMNO yang menang 13 kerusi dalam PRU-14 lalu berbanding sekutu Pas, Bersatu yang hanya menang dua kerusi.

    Penyokong-penyokong Pas dilihat boleh menjadi pengundi di kawasan-kawasan DUN yang dimenangi tipis oleh UMNO seperti DUN Lendu, Asahan, Pantai Kundor, Rim, Merlimau dan Taboh Naning.

  • Tiada kerjasama, BN tanding solo…Rauf sah bertanding di Tanjong Bidara, Suleiman di Lendu

    Tiada kerjasama, BN tanding solo…Rauf sah bertanding di Tanjong Bidara, Suleiman di Lendu

    WALAUPUN dikatakan akan meneruskan kerjasama dengan Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun Barisan Nasional (BN) tetap memilih untuk bergerak secara bersendirian.

    Ia dapat dilihat selepas BN mengumumkan untuk bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mengharungi PRN, 20 November ini.

    Malah, UMNO turut sah bertanding di 20 kerusi dengan parti komponen iaitu MCA diperuntukkan tujuh kerusi manakala MIC mengekalkan satu kerusi.

    Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, BN menampilkan 86 peratus muka baharu dengan mengekalkan hanya empat penyandang jawatan.

    Empat penyandang jawatan itu adalah Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang akan mempertahankan DUN Lendu; Datuk Rahmad Mariman di DUN Ayer Molek dan Datuk Zaidi Atan di DUN Serkam.

    Sulaiman turut menjadi calon BN sebagai Ketua Menteri Melaka sekiranya berjaya menubuhkan kerajaan selepas PRN nanti.

    Seorang lagi penyandang jawatan adalah bekas ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang menang atas tiket PKR sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

    Menurut Mohamad, BN juga mengetengahkan 28 peratus calon berumur 45 tahun ke bawah di samping lima calon wanita iaitu masing-masing empat dari UMNO dan seorang dari MCA.

    Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan memperkatakan sesuatu kepada
    Datuk Seri Sulaiman Md Ali selepas mengadakan sidang media.

    “BN akan pergi secara bersendirian, tidak akan bersama-sama dengan mana-mana parti.

    “Kita akan gunakan logo kita sendiri sebagai sebuah parti melambangkan dan mewakili kemajmukan masyarakat berbilang kaum dalam negara kita. Tidak ada lagi soal jawab untuk bersama dengan siapa-siapa,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman calon BN hari ini.

    Antara calon nama besar yang dipertaruhkan BN dalam menghadapi PRN kali ini termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang akan tampil buat pertama kali di DUN Tanjung Bidara.

    Selain itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar atau Dira diletakkan di DUN Rim; Ketua Pemuda UMNO Melaka, Fairul Nizam Roslan (DUN Asahan) dan Naib Ketua UMNO Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh (DUN Merlimau).

    BN juga mencalonkan semula Ketua Bahagian Kota Melaka, Datuk Abd. Razak Abd. Rahman di DUN Telok Mas walaupun tewas dalam PRU-14 sebelum ini.

    Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad pula diletakkan di DUN Sungai Udang.

    Dengan tema ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’, Mohamad atau Tok Mat turut mengulangi pendirian parti itu bahawa kesemua calon BN yang ditampilkan pada PRN kali ini untuk menandatangani perjanjian supaya tidak melakukan tindakan lompat parti.

    Kata beliau, tindakan undang-undang yang sesuai dengan terma perjanjian akan dikenakan terhadap sesiapa yang lompat parti selepas memenangi kerusi atas tiket BN.

    “Sesuai dengan tema, buat pertama kali dan hasil komitmen BN untuk pastikan kestabilan politik dicapai supaya kesejahteraan rakyat tidak diperjudikan oleh mainan politik tidak bermaruah.

    “Saya berharap komitmen ini akan memberikan keyakinan kepada rakyat untuk memilih sebuah parti yang benar-benar komited memastikan kestabilan dapat dicapai demi kemakmuran Melaka dan kesejahteraan Malaysia,” jelas beliau.

    SENARAI CALON BARISAN NASIONAL (BN) DALAM PRN MELAKA:

    N01 Kuala Linggi – Rosli Abdullah
    N02 Tanjung Bidara – Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh
    N03 Ayer Limau – Hameed Mytheen Kunju Basheer
    N04 Lendu – Datuk Seri Sulaiman Md. Ali
    N05 Taboh Naning – Zulkiflee Mohd. Zin
    N06 Rembia – Datuk Muhammad Jailani Khamis
    N07 Gadek – P. Shanmugam
    N08 Machap Jaya – Ngwe Hee Sem
    N09 Durian Tunggal – Zahari Abd. Kalil
    N10 Asahan – Fairul Nizam Roslan
    N11 Sungai Udang – Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad
    N12 Pantai Kundor – Tuminah Kadi @ Mohd. Hasim
    N13 Paya Rumput – Datuk Rais Yasin
    N14 Klebang – Datuk Lim Ban Hong
    N15 Pengkalan Batu – Datuk Kalsom Nordin
    N16 Ayer Keroh – Yong Fun Juan
    N17 Bukit Katil – Datuk Hasnoor Sdg. Husin
    N18 Ayer Molek – Datuk Rahmad Mariman
    N19 Kesidang – Leong Hui Ying
    N20 Kota Laksamana – Benjaminn Low Chin Hong
    N21 Duyong – Mohd. Noor Helmy Abdul Halem
    N22 Bandar Hilir – Lee Kah Sean
    N23 Telok Mas – Datuk Abdul Razak Abdul Rahman
    N24 Bemban – Datuk Koh Chin Han
    N25 Rim – Datuk Khaidhirah Abu Zahar
    N26 Serkam – Datuk Zaidi Attan
    N27 Merlimau – Dr. Muhamad Akmal Saleh
    N28 Sungai Rambai – Siti Faizah Abdul Azis

  • Jangan kurung Pas dalam permuafakatan tertutup- Hadi

    Jangan kurung Pas dalam permuafakatan tertutup- Hadi

    MUKTAMAR TAHUNAN PAS KE-67

    PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan, parti itu jangan dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup dalam lingkungan sekadar menjadi penumpang dalam perjalanan politik tanah air.

    Sehubungan itu, beliau berkata, Pas  menolak sebarang usaha untuk membentuk penjajaran baharu dengan pelbagai jenama atau perubahan yang dicadangkan.

    ‘’ Secara tegas, dinyatakan bahawa kita baru sahaja menubuhkan MN (Muafakat Nasional) mengikut acuan asal yang lengkap sebagai pendahuluan mengikut Piagam yang terbuka bukan tertutup.

    ‘’Dalam pada itu, kita berjaya menubuhkan PN yang lebih terbuka dan kuat, sehingga berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan, laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur. Maka, sebarang cadangan lain laksana tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan,’’ tegasnya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar di Muktamat Pas Kali Ke-67 di Kuala Terengganu hari ini.

    Abdul Hadi berkata, kemunculan MN pada mulanya hanya dianggotai oleh Pas dan UMNO sahaja, kemudian, kedua-dua buah parti tersebut bersetuju untuk menjemput Bersatu, sekali gus menjadi asas permulaan kepada konsep Islam Memimpin dan Perpaduan Ummah yang lebih kukuh.

    ‘’Seterusnya, ia dilangsungkan kepada pembentukan gabungan yang lebih majmuk iaitu Perikatan Nasional (PN) bersama parti-parti yang mewakili pelbagai agama dan kaum yang berjaya mengambil alih kerajaan. ‘’Gabungan ini menerima asas Perlembagaan Persekutuan dan terbuka penyertaannya kepada semua parti yang tidak menyeleweng daripada Perlembagaan. Inilah acuan perpaduan nasional yang kita ingin perkenalkan kepada semua,’’ katanya.

    Presiden Pas itu juga menegaskan, untuk mendapat jaminan paling kuat bagi menegakkan konsep kepimpinan Islam yang berprinsip, maka  Pas wajib berusaha sekurang-kurangnya menjadi penentu dalam keputusan PRU-15 berasaskan jumlah kerusi yang menang, bukannya banyak jumlah kerusi yang bertanding tanpa kerusi yang dimenangi.

    ‘’Mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama’ dan Pas Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi bagi menghadapi pilihan raya dan segala kemungkinan selepas pilihan raya, demi memastikan Islam terus memimpin,’’ katanya.

    Beliau berkata, usaha penyatuan ummah tidaklah mudah kerana memerlukan kesungguhan dan jiwa besar, saling bertoleransi dan bersabar demi mencapai kejayaan yang didambakan.

    ‘’Namun, kita wajib menghadapi PRU-15 dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini. Jangan wujud sebarang perpecahan kerana sikap tamak, mementingkan diri atau dendam kesumat sehingga keputusan PRU-14 berulang lagi,’’ katanya.

    Abdul Hadi juga mengingatkan, Pas perlu konsisten dengan menampilkan pendekatan politik yang jujur dan bersih untuk memulihkan negara.

    Kata beliuau, kukuhnya integriti itu laksana teras yang tidak akan musnah dan cahaya yang tidak akan padam, sekalipun dilanda dengan segala ribut taufan dan gelombang lautan yang besar, hatta gempa bumi yang paling kuat.

    ‘’Mereka yang gagal dalam integriti, akan tenggelam dalam cabaran yang mengepung kehidupannya dan dalam partinya sendiri serta berlaku krisis nilai diri.

    ‘’Apakah faedahnya jika sekadar mendapat jumlah sokongan majoriti yang besar tetapi tidak berintegriti, sekiranya pada awal lagi sudah mula berbohong kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan majoriti.

    ‘’Berbohong itu sahaja sudah cukup untuk menjadi tanda hilangnya integriti, yang pasti mengundang semua perangai buruk yang lain, termasuk menjadi kleptokrat. Kehilangan integriti pemimpin diikuti dengan kelemahan kerajaan dan penamatnya dengan kemusnahan negara,’’ katanya.

  • 28 calon BN mesti tandatangan SD halang lompat parti

    28 calon BN mesti tandatangan SD halang lompat parti

    prn melaka

    KESEMUA 28 bakal calon yang dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi mengelakkan mereka daripada melompat parti.

    Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, SD tersebut kini sedang disiapkan oleh peguam dan akan ditandatangani semua bakal calon BN sebelum majlis pengumuman calon parti itu esok.

    ”Ini supaya kestabilan politik di negara terutama di Melaka (dapat dikekalkan). Sementara dalam Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri) belum ada lagi akta atau enakmen ini (lompat parti), maka kita terpaksa membuat aku janji dan ada dua, tiga lagi dokumen untuk ditandatangani bakal calon sebelum diberi tauliah esok,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan DUN angkat membabitkan Lendu, Taboh Naning dan Ayer Limau kepada UMNO Negeri Sembilan di Kampung Pulau di Alor Gajah, hari ini.

    Dalam pada itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihan Raya PRN Melaka berkata 90 peratus calon yang bakal mewakili parti itu terdiri daripada muka baharu.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

    PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas). – BERNAMA

  • PRN Melaka: DAP cuma berani letak seorang calon Melayu

    PRN Melaka: DAP cuma berani letak seorang calon Melayu

    prn melaka

    DAP hanya berani mengetengahkan dua muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan daripada lapan calon yang dipertaruhkan, seorang sahaja yang berketurunan Melayu.

    Seramai enam penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikitar semula iaitu G. Saminathan (Gadek), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Damian Yeo Shen Li (Duyong), Datuk Tey Kok Kiew (Bemban) dan Low Chee Leong (Kota Laksamana).

    Memetik laporan Bernama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika mengumumkan calon-calon partinya pada PRN Melaka secara maya memberitahu, Muhamad Danish Zainudin, 25, dicalonkan untuk merampas semula kerusi DUN Pengkalan Batu.

    Kerusi tersebut disandang oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

    Seorang lagi calon muka baharu DAP ialah Leng Chau Yen, 37, yang bakal diletakkan di DUN Bandar Hilir bagi menggantikan tempat Kok Kiew.

    Kok Kiew yang juga Pengerusi DAP Melaka mengambil tempat Dr Wong Fort Pin yang tidak mempertahankan kerusi DUN Bemban.

    Walaupun DAP sering mendabik dada menyatakan bahawa parti itu mewakili semua kaum, kali ini ia tidak mahu mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada 31 Mei 2014.

    DAP mengetengahkan calon Melayu, Dyana Sofya Mohd Daud dalam pertembungan satu lawan satu menentang calon Barisan Nasional (BN) dari Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

    Keputusan di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu itu akhirnya memihak kepada Siew Keong dan ditafsirkan oleh penganalisis mempunyai kaitan dengan pola pengundian masih cenderung berasaskan kaum.

    Pola pengundian serupa dijangka berlaku di tujuh DUN yang mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu yang besar di Melaka iaitu Gadek, Ayer Keroh, Kesidang, Duyong, Bemban dan Kota Laksamana.

    Terdapat kemungkinan calon Melayu mengalami nasib yang sama dengan Dyana Sofya jika diletakkan di tujuh DUN terbabit.

    Maka, Muhamad Danish diletakkan di kawasan yang difikirkan selamat iaitu Pengkalan Batu yang baru diwujudkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Nampaknya, DAP sendiri kurang yakin dengan ideologi Malaysian Malaysia yang diperjuangkannya dapat diguna pakai pada PRN Melaka.

    Jika tidak, pasti calon Melayu dari DAP diberi kepercayaan untuk menarik sokongan pengundi dari kaum lain untuk mengekalkan dominasi itu di kawasan bandar di Melaka.

  • DUN Sarawak bubar 3 Nov, buka laluan untuk PRN

    DUN Sarawak bubar 3 Nov, buka laluan untuk PRN

    PRN Sarawak

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sarawak bakal diadakan dalam masa terdekat berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mulai 3 November lalu.

    Memetik laporan BH, perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dalam sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, hari ini.

    Beliau memberitahu, Yang Dipertua DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar akan memaklumkan tentang pembubaran tersebut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Pada masa yang sama, Abang Johari berkata, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan berperanan sebagai kerajaan sementara sehingga PRN diadakan.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, Abang Johari berkata, GPS telah mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara parti-parti komponen bagi menghadapi PRN.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi GPS berkata, masih terlalu awal untuk mengumumkan senarai calon pakatan itu dan akan berbuat demikian tidak lama lagi.

    “Tunggu dulu, kita baru sahaja bubarkan (Dewan Undangan Negeri) jangan terburu-buru,” katanya.

    Pada 3 November lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

    Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, perkenan Seri Paduka terhadap penamatan Proklamasi Darurat berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

    Penamatan Proklamasi Darurat itu secara tidak langsung akan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 diadakan setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak tamat pada 6 Jun lepas.

    PRN Sarawak perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas DUN dibubarkan dan ramai pemerhati menjangka ia akan berlangsung bulan depan.

    Sebelum dibubarkan, GPS mempunyai majoriti besar di DUN Sarawak dengan menyandang sebanyak 68 kerusi dengan satu kerusi Perikatan Nasional (PN) yang menyokong kerajaan negeri.

    Di blok pembangkang pula, PSB mempunyai enam kerusi, DAP menyandang lima kerusi manakala satu kerusi disandang wakil Bebas.

    Pada 24 Oktober lepas, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, GPS akan bertanding di semua 82 kawasan PRN Sarawak.

    GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

    PRN Sarawak merupakan pilihan raya negeri ketiga di negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Sebelum ini, PRN Sabah berlangsung pada 26 September 2020 apabila kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) tumbang dan membawa kepada pembubaran DUN.

    PRN Melaka pula akan diadakan pada 20 November ini selepas empat bekas ADUN yang sebelum itu menyokong kerajaan negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

  • Pas yakin kesepakatan antara parti dalam kerajaan dapat dicapai elak tiga penjuru

    Pas yakin kesepakatan antara parti dalam kerajaan dapat dicapai elak tiga penjuru

    prn melaka

    PAS yakin kesepakatan antara parti-parti di dalam kerajaan akan dapat dicapai dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

    Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata meskipun penaman calon bagi PRN Melaka hanya berbaki tiga hari lagi, usaha dan rundingan masih berlangsung bagi mengelak berlakunya pertembungan antara Pas, UMNO dan Bersatu.

    “Secara idealnya parti-parti yang ada dalam Kerajaan Persekutuan tidak boleh bertanding menentang satu sama lain. Inilah yang dipopularkan oleh Presiden Pas sendiri (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), kita ini  sebagai ‘mediator’ atau pemudah cara untuk tidak wujudnynya perpecahan.

    “Di Melaka ini, ada 28 kerusi kalau bahagi tiga itu sudah banyak dapat.  Dalam sembilan atau 10 seorang (setiap parti). Kita perlukan hanya 19 kerusi untuk dapatkan majoriti dua pertiga. Kita boleh bertanding 28 kerusi kalau tidak ada pertandingan tiga penjuru, jadi kita cuba elak lah,” katanya dalam sidang media sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-67, di sini hari ini.

    PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, 8 Nov hari penamaan calon dan 16 Nov tarikh undi awal.

  • Hadi kekal terajui Pas bersama Tuan Ibrahim

    Hadi kekal terajui Pas bersama Tuan Ibrahim

    PRESIDEN Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing apabila menang tanpa bertanding dalam pemilihan Muktamar Pas ke-67.Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kedua-dua pemimpin terbabit mempertahankan jawatan itu menerusi pemilihan sesi 2021-2023.

    Katanya bagi jawatan Naib Presiden pula, ia menyaksikan empat pencalonan termasuk seorang muka baharu bagi merebut tiga jawatan berkenaan.

    “Calon-calon Naib Presiden untuk kita pilih tiga orang seterusnya dalam muktamar ini juga ditetapkan dalam perlembagaan Pas.

    “Kita memilih 18 orang Ahli Jawatan Kuasa Pas Pusat dan kita menerima pencalonan yang disahkan seramai 36 orang yang akan bertanding untuk mengisi 18 kedudukan dalam Ahli Jawatan Kuasa Pas Pusat.

    “Satu lagi sepatutnya diadakan pemilihan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap, tapi saya disahkan tidak ada pertandingan (untuk jawatan-jawatan itu),” katanya lapor Astro Awani.

    Menurut Takiyuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad; Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki akan bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden parti.

    Katanya, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sebelum ini dicalonkan bagi bertanding sebagai Naib Presiden telah menarik diri daripada merebut jawatan itu.

    Jelasnya bagi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Pula, seramai 36 calon akan bertanding bagi merebut 18 tempat.Takiyuddin berkata Muktamar Tahunan ke-67 yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini di Kuala Terengganu akan diadakan secara hibrid.

    Muktamar pada kali ini menyaksikan seramai 694 daripada 1,546 perwakilan akan hadir secara fizikal manakala selebihnya secara dalam talian.

  • Syed Saddiq, usahlah kecewa sangat…itulah politik

    Syed Saddiq, usahlah kecewa sangat…itulah politik

    PENULIS meneliti setiap patah perkataan ‘Surat Terbuka Kepada Sahabat Pakatan Harapan’ yang ditulis oleh Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

    Kalau membacanya, kita dapat merasakan betapa kecewanya Ahli Parlimen Muar itu apabila parti pimpinannya MUDA tidak dipertimbangkan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, maka terpancul ayat ini;

    ‘’Meskipun segala apa yang telah kita lalui bersama, PH yang erat bekerja bersama saya dilihat cenderung untuk berunding dengan mereka yang tidak berprinsip, melompat keluar dari parti berbanding rakan dan sahabat seperjuangan, termasuk saya sendiri. Malangnya mereka lebih nampak nilai yang ada pada katak politik yang tidak ada prinsip.’’

    Ayat-ayat itu dizahirkan selepas empat para pertama dalam kenyataan tersebut, Syed Saddiq menyenaraikan ‘jasa’ dan ‘pengorbanan’ yang beliau lakukan.

    Ia termasuklah menyokong idea United Opposition dan menandatangani Akuan Bersumpah untuk Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selaras dengan semangat PRU-14.

    Syed Saddiq berhak berasa kecewa maklumlah selama ini beliau memang mempunyai hubungan rapat dengan Pakatan Harapan. Jadi beliau berharap dengan hubungan itu, apabila ada apa-apa pilihan raya, MUDA akan berada dalam bahtera yang sama dengan pakatan pimpinan Anwar tersebut.

    Tetapi malangnya itu tidak berlaku. Namun Syed Saddiq usahlah kecewa sangat…itulah politik. Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi pengajaran bahawa dalam politik ‘seninya cukup hebat’, bukan sekadar bijak berhujah, berdebat atau membuat Tik Tok sahaja, banyak lagi…

    Syed Saddiq kena belajar untuk hadam kenapa dalam politik, orang kata ‘’tidak ada musuh dan kawan yang kekal’’ – yang baik dengan kita belum tentu ada bersama selama-lamanya dan yang bermusuh dengan kita, belum tentu akan berperang dengan kita selama-lamanya.

    Selain itu, politik juga berkaitan soal bijak mengambil kesempatan tidak kira ke atas kawan atau lawan, apa yang penting ialah matlamat tercapai. Dan politik turut dikaitkan dengan perhitungan kuasa – siapa boleh beri untung, siapa tidak?

    Jadi semua inilah yang memungkinkan Syed Saddiq tidak termasuk dalam perkiraan Pakatan Harapan dalam pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Tak payahlah berhujah soal pengkhianat atau tidak, dalam politik mana ada istilah tersebut apa yang penting boleh menang pilihan raya dan mendapat kuasa.

    Kalau Syed Saddiq nak bercakap soal khianat mengkhianati lebih baik, beliau tubuh sahaja NGO (tu pun ada kes pengkhianatan). Ia kerana tafsiran pengkhianat dalam politik mengikut berlaku di pihak mana… siapa yang untung, siapa yang rugi.

    Jika kita dikhianati maka berdegar-degar berhujah soal pengkhianatan, tetapi apabila kita mengkhianati, tersembur pula hujah demi rakyat dan negara.

    Lagipun apa istimewa sangat MUDA sehingga parti-parti dalam Pakatan Harapan perlu memberi laluan kepada parti itu di Melaka? Kalau MUDA istimewa dan boleh bawa kemenangan kepada Pakatan Harapan, sudah pasti DAP paling awal menawarkan kerusinya kepada Syed Saddiq kerana hubungan baik mereka.

    Tetapi mereka lebih tahu daripada Syed Saddiq. Gelanggang pilihan raya bukan macam dalam media sosial, ada banyak pengikut atau tanda suka, kita sudah boleh ‘berkepak’ rasa popular dan boleh menang dalam pilihan raya.

    Kalau parti yang bertahun-tahun berkawan dan bertanding pun ada masalah bila berhadapan pilihan raya, apatah lagi parti Syed Saddiq yang ‘bukan kata setahun jagung’, ‘benihpun belum tentu tumbuh lagi’.

    Lagipun Syed Saddiq ibarat ‘sekadar di pinggiran’, beliau bukan anggota rasmi Pakatan Harapan justeru usah la kecewa sangat. Belajarlah menguruskan parti sendiri untuk bertanding dalam pilihan raya dengan populariti dan kekuatan sendiri.

    Nasihat penulis kepada Syed Saddiq, daripada bermuram durja kerana layanan Pakatan Harapan, lebih baik Syed Saddiq tumpu kukuhkan kedudukan di Parlimen Muar yang khabarnya belum tentu beliau mampu pertahankannya dalam PRU-15.