Category: Politik

  • PAS enggan letak calon sekadar ‘pacak’ – Abdul Hadi

    PAS enggan letak calon sekadar ‘pacak’ – Abdul Hadi

    PAS enggan meletakkan calon sekadar ‘pacak’, sebaliknya perlu mempunyai potensi untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

    Beliau berkata, meskipun terdapat wakil daripada sayap-sayap parti menyeru pimpinan memilih calon daripada kalangan mereka pada PRU15 nanti, namun keupayaan calon itu untuk memenangi pilihan raya harus diberi keutamaan.

    “Saya dengar dewan-dewan ini banyak minta kerusi hendak bertanding pilihan raya, memang kita hendak suruh bertanding pilihan raya, tetapi kita hendak letak calon yang mesti lah calon yang menang, bukan calon yang ‘pacak-pacak’ tinggal, ikut suka kamu lah hendak menang atau kalah, asalkan contohnya Dewan Muslimat atau Dewan Himpunan.

    “Kita letak calon untuk menang dan berperanan. Kita tahu banyak calon-calon kita yang berperanan, ada (dalam) kalangan ulama, profesional dan pemimpin masyarakat,” katanya dalam ucapan penangguhan Presiden pada Muktamar Tahunan Ke-67 sesi 2021-2023 di Kuala Terengganu, hari ini.

    Abdul Hadi berkata, sayap-sayap parti iaitu Dewan Ulama, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), seharusnya terus memainkan peranan menarik rakyat untuk menyokong PAS pada PRU15.

    Dalam pada itu Ahli Parlimen Marang tersebut berkata, sehingga ke hari ini, PAS sentiasa diberi peranan untuk menyatupadukan ummah, termasuk dalam kalangan parti-parti politik yang ‘datang’ kepada PAS apabila mempunyai masalah.

    “Bila UMNO dalam keadaan lemah mengajak PAS menyertai kerajaan campuran, 1974 ditubuhkan Barisan Nasional (BN), UMNO sanggup ‘lempar’ simbol kapal layar, kita (PAS) tinggal (simbol) bulan dan pakai simbol dacing sama-sama. (BN) menang besar (pada PRU) 1974,” katanya.

    Selain itu, Abdul Hadi turut mengajak ahlinya mengenang jerit perih PAS dalam perjuangan politik selama ini sehingga hari ini berjaya menyertai Kerajaan Persekutuan.

    “PAS tidak pernah gagal melalui pasang surut pilihan raya, rebah bangun kerajaan memerintah, dikacau luar dan dalam, dikacau dengan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), peristiwa Memali serta berlaku krisis dalaman. PAS tidak rebah.

    “Pernah juga berlaku krisis dalaman PAS…berlaku serpihan (tetapi) tidak menghancurkan. Laksana satu dahan dicantas, 10 tunas tumbuh lain,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi dalam kenyataan hari ini berkata, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan kekal sebagai Setiausaha Agung PAS dan bekas Naib Presiden parti, Datuk Iskandar Abdul Samad kekal sebagai Bendahari.

    Abdul Hadi berkata berdasarkan peruntukan Fasal 25 (4), dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu turut mengekalkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya parti. – BERNAMA

  • Larangan berkumpul, berarak di pusat penamaan calon

    Larangan berkumpul, berarak di pusat penamaan calon

    prn melaka

    AKTIVITI berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti politik bertanding di mana-mana pusat penamaan calon sepanjang tempoh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok, adalah tidak dibenarkan.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon yang dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

    “Penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

    Ikmalrudin berkata calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka boleh mengemukakan kertas penamaan calon bermula 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 28 pusat penamaan calon.

    Katanya, bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

    Beliau juga berkata bagi memudahkan proses penamaan calon, bakal calon yang ingin bertanding juga diingatkan agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka sebelum hari penamaan calon esok.

    “Selain itu bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal. Perlu diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

    “Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.

    Sementara itu, SPR juga menyeru semua calon terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan pada hari tersebut.

    SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA

  • Muktamar: 3 Naib Presiden PAS kekal pegang jawatan

    Muktamar: 3 Naib Presiden PAS kekal pegang jawatan

    KETIGA-TIGA penyandang Naib Presiden PAS disahkan kekal memegang jawatan itu dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi parti pada Muktamar Tahunan Ke-67 sesi 2021-2023.

    Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman berkata, berdasarkan pemilihan yang diadakan semalam, Idris meraih 1,164 undi, Mohd Amar (956 undi) manakala Ahmad Samsuri (778 undi).

    Bagaimanapun katanya, bekas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang turut bertanding bagi jawatan tersebut sekadar meraih 623 undi sekali gus gagal melayakkan diri.

    “Bagi pemilihan kali ini, jumlah perwakilan yang layak mengundi adalah 1,299 orang manakala jumlah undi yang diterima melalui e-voting adalah 1,221 undi,” katanya ketika mengumumkan keputusan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PAS Pusat pada Muktamar Tahunan Ke-67 sesi 2021-2023 di sini, hari ini.

    Terdahulu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing selepas menang tanpa bertanding.

    Turut menang tanpa bertanding ialah Hussin Ismail sebagai Pengerusi Tetap dan Kamal Ashaari sebagai Timbalan Pengerusi Tetap.

    Pemilihan kali ini turut melantik 18 ahli jawatankuasa daripada 36 pencalonan.

    Berikut senarai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2021-2023:

    Muhammd Khalil Abdul Hadi
    Muhammad Sanusi Md Nor
    Kamaruzaman Mohamad
    Senator Khairil Nizam Khirudin
    Dr Riduan Mohamad Nor
    Datuk Iskandar Abdul Samad
    Dr Halimah Ali
    Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
    Datuk Ahmad Marzuk Shaari
    Datuk Mohd Nassuruddin Daud
    Dr Najihahtussalehah Ahmad
    Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff
    Dr Azman Ibrahim
    Nasrudin Hassan
    Datuk Ahmad Amzad Mohamed
    Dr Ali Akhbar Gulasan
    Datuk Dr Mahfodz Mohamed
    Dr Rosni Adam

    • BERNAMA
  • Jangan pertikai hala tuju hubungan PAS bersama MN, PN

    Jangan pertikai hala tuju hubungan PAS bersama MN, PN

    KETUA Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, semua pihak tidak seharusnya mempertikaikan hala tuju hubungan PAS bersama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), yang telah diputuskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

    “Keadaan hari ini bukan masanya untuk berteka teki dengan hala tuju. Kita dalam lautan bergelombang. Bagi mandat kepada Presiden. Tidak perlu ramai bercakap tentang hala tuju parti. Bagi kepercayaan kepada satu nahkoda untuk kemudi, sebab beliau tahu di manakah ikan jerung dan taufan.

    “Kalau semua nak jadi jururunding. Bimbang ada yang akan jual nama parti kepada pihak lain. Bagi mandat pada Majlis Syura dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan di Muktamar Tahunan PAS Kali ke-67 di Kuala Terengganu, hari ini.

    Ahmad Fadhli berkata, ketika negara dilanda gelombang politik, PAS menjadi satu-satunya parti yang menonjolkan integriti tinggi, dengan tidak melompat ke parti lain.

    Disebabkan itu beliau mencadangkan supaya perwakilan dan pemimpin PAS terus mempertahan serta ‘turun padang’ di kawasan masing-masing, terutama dalam mendekati golongan muda.

    “Kita mesti terima hakikat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula dari umur 18 tahun. Kita akan beri fokus untuk mereka dan perlu ada agenda sesuai, sama ada lelaki atau perempuan. Kita mesti rancang program yang jelas untuk tarik mereka,” katanya.

    Muktamar PAS bertemakan Islam Menyatukan Ummah berlangsung dua hari bermula semalam, dan diadakan secara hibrid dengan 694 daripada 1,546 perwakilan hadir secara fizikal, manakala selebihnya secara maya.

    Perwakilan negeri berada di negeri masing-masing kecuali perwakilan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang, serta kesemua 197 Yang Dipertua PAS kawasan yang hadir secara fizikal.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Rosni Adam berkata, PAS perlu memberi peluang dan menampilkan lebih ramai calon wanita dalam PRU-15.

    Beliau berkata, cadangan itu bukan sahaja untuk meraih perhatian dan sokongan pengundi wanita yang hampir 50 peratus, tetapi juga membolehkan golongan itu berjuang dengan cara tersendiri.

    “Kita lihat calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya seorang daripada lapan calon, hanya 12.5 peratus.

    “Saya yakin insya-Allah, dalam PRU15 nanti peratus ini akan bertambah. Berilah kami peluang untuk membantu memperjuangkan agama Allah ini melalui gerakan wanita, sebab kita tahu hampir 50 peratus pengundi di luar sana adalah wanita tidak kira umur,” katanya

    Dr Rosni berkata, sekiranya PAS mahu meletakkan calon wanita muda, pihaknya sedia bekerjasama dan akan menampilkannya mengikut kriteria yang ditetapkan.

    “Nak calon wanita muda, kita boleh bagi calon wanita muda. Kita yang berumur ini boleh berundur jika nak muka-muka segar…kerana tangan yang menghayun buaian mampu mempertahankan Malaysia,” katanya yang kemudiannya mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan lain.

    Sementara itu Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Senator N. Bala Subramaniam mengingatkan pemimpin dan ahli, supaya terus berwaspada dengan maklumat yang diperolehi bagi mengelak salah faham.

    “Maklumat yang diperoleh perlu diselidik kesahihannya terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada pihak lain, perlu berhati-hati. Tujuan saya membawa perkara ini adalah kerana kepesatan dunia media sosial yang memungkinkan berlaku salah faham dan membawa keruntuhan parti PAS, pada masa akan datang,” katanya.

  • ‘Saya bukan kroni…’ Luah Haryaty selepas gagal jadi calon BN

    ‘Saya bukan kroni…’ Luah Haryaty selepas gagal jadi calon BN

    prn melaka

    SEHARI selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan senarai calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sudah kedengaran suara tidak berpuas hati dalam kalangan pemimpinnya di negeri itu.

    Salah seorang yang menyuarakan keluhan secara terbuka dalam Facebook ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah.

    Beliau yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong tidak masuk dalam senarai.

    Sebaliknya, BN meletakkan Mohd Noor Helmy Abd Halem dan bukannya Haryaty yang merupakan tokoh lebih popular.

    Haryaty memberitahu, beliau yang kini berusia 42 tahun dimaklumkan ‘masih terlalu muda’ walaupun mempunyai pengalaman dan latar belakang pendidikan yang cukup.

    “Saya malas nak ulas tentang ‘masih muda’ ni. Hmmm…) Habis daya usaha sama ada sendiri / sahabat-sahabat yang prihatin untuk membantu membolehkan saya tercalon. Tidak berjaya.

    “Biarpun ada ketua yang boleh berfungsi seperti payung. Tapi, payung itu tidak berfungsi. Tidak tau di mana silapnya. . . Saya bukan kroni…

    “Kerana itu jika ada yang kata, UMNO menawarkan ‘calon nenek vs cucu’. Itu bentuk realitinya…” katanya.

    Beliau juga seolah-olah mempertikaikan kriteria yang digunakan oleh UMNO dan BN untuk memilih calon.

    “Saya akui tidak pandai menjadi sesumpah, tidak secantik Cleopatra, tidak melobi setengah mati,” jelasnya.

    Haryaty turut menggalakkan para pemimpin dan ahli Wanita UMNO supaya berani bersuara agar mereka tidak ‘dipijak’.

    “Jika untuk wanita menjadi calon, dikatakan terlalu muda. Tapi untuk menjadi ‘jentera’ dikatakan pada saya… Wanitalah sebenarnya keris UMNO! Bahaya dan berkemampuan….

    “Teruslah bekerja wanita… Teruslah bekerja… Tapi jangan lupa bersuara. Kalau tidak dipijaknya kita. Habuan diagih sesama mereka sahaja nanti…” katanya.

    Pada PRN Melaka, hanya empat pemimpin Wanita UMNO yang dinamakan sebagai calon iaitu Datuk Kalsom Nordin (Pengkalan Batu), Tuminah Kadi (Pantai Kundor), Datuk Khaidirah Abu Zahar (Rim) dan Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai).

  • Reaksi calon-calon Perikatan Nasional pada PRN Melaka

    Reaksi calon-calon Perikatan Nasional pada PRN Melaka

    perikatan nasional mohd yadzil yaakub

    Alhamdulillah selesai sudah majlis penerimaan watikah pelantikan 15 calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang akan bertanding bersama rakan-rakan lain dalam Perikatan Nasional (PN) di Glenmarie Hotel and Golf Resort, Shah Alam, sebentar tadi.

    Amanat dan pesanan Abah sebagai Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin demi memberikan kepimpinan bersih dan berintegriti kepada rakyat Melaka akan kami jadikan pegangan.

    Antara lain kata-kata Abah yang begitu mengesan di hati kami adalah menjalankan komitmen yang tinggi apabila diberikan mandat oleh rakyat dan pastinya kami mesti memberikan yang terbaik.

    “We will deliver to the best of our ability and we will ensure that no one will be left behind’ (Kami akan berikan perkhidmatan terbaik yang mampu dan akan memastikan tiada siapa ketinggalan).”

    Selamat berkempen yang akan bermula dua hari lagi saya ucapkan juga kepada calon-calon yang terpilih dan jangan lupa patuhi SOP yang telah ditetapkan.

    DR MOHD YADZIL YAAKUB
    Calon PN DUN Bemban

    Bismillahirrahmannirrahim. Alhamdulillah, saya menziarahi mak di kampung, Ujong Pasir bertanya khabar dan memohon doa dan restu dari mak agar diberikan kejayaan kepada saya & Perikatan Nasional di N23 DUN Telok Mas dan kejayaan Perikatan Nasional memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka kali ini.

    DATUK MOHD RAFIQ NAIZAMOHIDEEN

    Calon PN DUN Telok Mas

    Perikatan Nasional (PN) menawarkan pemimpin serta kerajaan yang bersih. Inilah masanya untuk rakyat Negeri Melaka memilih pilihan yang terbaik.

    MUHAMMAD AL AFIZ YAHYA

    Calon PN DUN Bukit Katil

    Kerajaan bersih berintegriti, berwibawa mendorong kesejahteraan rakyat dipimpin oleh Perikatan Nasional.

    Demi perpaduan rakyat, Melaka harus memilih Perikatan Nasional (PN) kerana masa depan yang sejahtera bermula dari perubahan yang baik.

    DATUK KAMARUDIN SIDEK

    Calon PN DUN Duyong

    Terima Kasih Tan Sri Muhyiddin Yassin (Abah) diatas peluang ini. Peluang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk suara Anak muda.

    MUHAMMAD JEFRY SAFRY

    Calon PN DUN Sungai Rambai

  • 9 PDM BN di DUN Bemban ditutup, apa sudah jadi?

    9 PDM BN di DUN Bemban ditutup, apa sudah jadi?

    prn melaka

    KEMPEN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka belum pun dimulakan secara rasmi namun kem Barisan Nasional (BN) yang didominasi UMNO sudah kacau-bilau.

    Khabarnya, sebanyak sembilan pusat daerah mengundi (PDM) BN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban ditutup semalam.

    Tindakan mengejutkan itu dibuat dalam masa kurang 24 jam selepas calon-calon BN pada PRN Melaka diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Sembilan PDM terbabit adalah Pondok Kempas, Kesang Tua, Seri Bemban, Tehel, Taman Maju, Air Panas, Air Kangkong, Air Barok dan Kesang Jaya.

    Tidak diketuai punca sebenar insiden yang boleh menjejaskan persiapan BN pada PRN Melaka itu berlaku.

    Ada pihak mendakwa ia disebabkan oleh protes jentera UMNO terhadap keputusan meletakkan calon dari MCA iaitu Koh Chin Han yang ditewaskan oleh calon DAP, Dr Wong Fort Pin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Sekiranya dakwaan itu benar, timbul persoalan sama ada UMNO telah mengetepikan semangat setiakawan dan kerjasama dalam BN sehingga sanggup bertindak sedemikian?

    Sebelum ini, UMNO tidak mempedulikan semangat Muafakat Nasional (MN) yang dijalinkan dengan PAS apabila memutuskan untuk bertanding di semua kerusi.

    Akibatnya, PAS tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa bertanding menentang UMNO di beberapa kerusi majoriti pengundi Melayu.

    Sikap ego dan angkuh UMNO yang menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencetuskan pertembungan tiga penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Tidak pasti mengapa jentera UMNO menolak calon MCA namun perkara itu akan memberi kelebihan kepda calon PN, Dr Mohd Fadzil Yaakub bagi menewaskan calon PH yang juga Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew untuk mempertahankan kerusi tersebut.

    Terdapat kemungkinan gejala tutup PDM seperti yang berlaku di DUN Bemban akan menular ke kawasan-kawasan lain yang ditandingi BN memandangkan terdapat beberapa calon yang tidak berapa digemari akar umbi UMNO di Melaka.

  • UMNO perlu kalah PRN Melaka, kata ulama PAS

    UMNO perlu kalah PRN Melaka, kata ulama PAS

    prn melaka

    AHLI Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik berpandangan, UMNO perlu kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Menurut beliau, situasi itu akan mengajar UMNO agar benar-benar memahami erti persaudaraan serta kepentingan agama, negara dan ummah.

    “Mudah-mudahan kekalahan UMNO di Melaka akan banyak mengajar politik jujur dan bersih kepada UMNO.

    “Oleh itu, semua pengundi PAS perlu menjadi guru politik kepada UMNO,” katanya dalam hantaran Facebook.

    Pada PRN Melaka, UMNO memilih untuk bertanding secara solo di bawah tiket Barisan Nasional (BN).

    Keputusan itu sekali gus menyebabkan berlaku pertembungan tiga penjuru di kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu dan dikhuatiri membuka ruang kepada rejim Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa di Melaka.

    Pada masa yang sama, Mokhtar menjelaskan bahawa beliau masih sayangkan Muafakat Nasional (MN) yang dibina berteraskan persaudaraan Islam.

    Dalam hantaran berasingan, beliau berkata, elok juga sekiranya UMNO ditakdirkan kalah supaya menjadi pengajaran kepada parti itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Sebab kadang-kadang kalau asyik mendongak ke langit anda akan lupa bumi tempat berpijak,” jelasnya.

    Mokhtar juga mengingatkan bahawa PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding dalam PRN Melaka untuk menang.

    Maka, kata beliau, PAS dan Bersatu terpaksa mengalahkan BN dan Pakatan Harapan (PH).

    “Ada orang bertanya mengapa begitu? Saya jawab dah UMNO nak letak calon di semua kerusi. Maka terpaksalah bertembung tiga penjuru yang kita semua tak suka.

    “Ada orang tanya? Boleh menang ke UMNO? Saya jawab wallahu’alam.. yang kuat tu UMNO sebelum PRU-14. Tapi selepas itu UMNO dah separuh lumpuh,” katanya.

  • Perikatan Nasional letak 43 peratus calon berusia bawah 40 tahun

    Perikatan Nasional letak 43 peratus calon berusia bawah 40 tahun

    BERIKUT adalah senarai calon Perikatan Nasional  yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini seperti mana diumumkan oleh Pengerusinya Tan Sri Muhyiddi Yassin.

    Dari segi latar belakang calon, 43 peratus berusia bawah 40 tahun dan sebahagian besarnya adalah golongan profesional dan berpendidikan tinggi.

    Perikatan Nasional akan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pembahagian Bersatu (15 kerusi), Pas (8 kerusi) dan Gerakan (5 kerusi)

    N01 KUALA LINGGI – AZIAH MOHD SA’AD – (Pas)    

    Mas Ermieyati Samsudin

    N02 TANJUNG BIDARA – DATUK WIRA MAS ERMIEYATI SAMSUDIN – ( Bersatu)

    N03 AYER LIMAU – DR NORDINA ABD LATIF – (Bersatu)

    N04 LENDU – MEJAR (B) ABDULLAH MAHADI – (Bersatu)

    N05 TABOH NANING  – ABU HASHIM ABDUL SAMAD – (Pas)

    N06 REMBIA – ZAMZURI ARIFIN – (Bersatu)

    N07 GADEK – MOHD. AMIR FITRI MUHARAM – (Bersatu)    

    N08 MACHAP JAYA – TAI SIONG JIUL – (Bersatu)

    N09 DURIAN TUNGGAL –  JA’AFAR OTHMAN – (Pas)

    N10 ASAHAN – DHANESH A/L BASIL – (Gerakan)

    N11 SUNGAI UDANG – DR MOHD ALEEF YUSOF – (Bersatu)

    N12 PANTAI KUNDOR – MOHAMAD RIDZWAN MUSTAFA – (Bersatu)

    N13 PAYA RUMPUT – MUHAMMAD FARIS IZWAN MAZLAN – (Bersatu)

    N14 KELEBANG – BAKRI JAMALUDDIN – (Pas)

    N15 PENGKALAN BATU – MOHD AZRUDIN MD IDRIS – (Bersatu)

    N16 AYER KEROH  – DATUK SERI MICHEAL GAN PENG LAM – (Gerakan)

    Muhammad Al Afiz

    N17 BUKIT KATIL – MUHAMMAD AL AFIZ YAHYA – (Pas)

    N18 AYER MOLEK – MOHD FADLY SAMIN – ( Bersatu)

    N19 KESIDANG – PATRICK NG CHIN KAE – (Gerakan)

    N20 KOTA LAKSAMANA – FONG KHAI LING – (Gerakan)

    N21 DUYONG –  DATUK HAJI KAMARUDIN BIN SEDIK – (Pas)

    N22 BANDAR HILIR – PUAN CLARICE CHAN MING WANG – (Gerakan)

    N23 TELOK MAS – DATUK WIRA MOHD RAFIQ BIN NAIZAMOHIDEEN – (Bersatu)

    Dr Mohd Yadzil

    N24 BEMBAN – DR MOHD YADZIL YAAKUB – (Bersatu)

    N25 RIM – AZALINA  ABDUL RAHMAN – (Bersatu)

     N26 SERKAM – AHMAD BILAL RAHAUDIN – (Pas)

    N27 MERLIMAU – ABD ALIM SHAPIE – (Pas)

    N28 SUNGAI RAMBAI – MUHAMMAD JEFRI SAFRY – (Bersatu)

  • Mas Ermieyati ‘lawan’ Rauf di Tanjong Bidara, Pas tanding  lapan kerusi

    Mas Ermieyati ‘lawan’ Rauf di Tanjong Bidara, Pas tanding lapan kerusi

    prn melaka

    AHLI Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin akan berhadapan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bidara, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merupakan antara 28 calon yang akan mewakili Perikatan Nasional bertanding di pilihan raya berkenaan. Pengumuman calon Perikatan Nasional  oleh Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menarik perhatian apabila Pas diberikan lapan kerusi manakala Gerakan pula lima kerusi.

    Lapan kerusi yang akan ditandingi oleh Pas ialah Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau. DUN Duyong akan diwakili oleh Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sedik.

    Parti Gerakan pula akan mencuba nasib di DUN Asahan, Ayer Keroh, Kesidang, Machap dan Bandar Hilir.

    Bersatu pula akan bertanding di 15 kerusi dengan menyaksikan Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen bertukar kawasan dari DUN Paya Rumput ke Telok Mas.

    Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi Telok Mas dimenangi oleh Datuk Noor Effandi Ahmad yang mewakili Bersatu ketika parti itu bersama Pakatan Harapan.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Dr.Mohd Yazril Yaakub pula akan bertanding di DUN Bemban yang dimenangi oleh DAP pada PRU-14 dengan majoriti 1,345 undi.

    Muhyiddin dalam ucapannya berkata, dari segi latar belakang calon, 43 peratus adalah golongan profesional dan berpendidikan tinggi.

    ‘’Dari segi komitmen untuk berkhidmat sepenuhnya demi kepentingan kebajikan rakyat 100 peratus.

    ‘’Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat tetapi kita mempunyai komitmen yang tinggi apabila diberikan mandat oleh rakyat, kita mesti melakukan yang terbaik. We will deliver to the best of our ability and we will ensure that no one will left behind,’’ katanya.

    Beliau berkata, rekod Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara boleh dijadikan rujukan utama oleh pengundi negeri Melaka.

    ‘’Kita prihatin kepada nasib rakyat dan melaksanakan apa juga perkara yang boleh membantu rakyat menghadapi waktu yang paling sukar dalam hidup mereka.

    ‘’Saya tidak berniat mendabik dada tetapi lihatlah kejayaan yang kita capai hari ini dalam pengurusan pandemik dan bantuan untuk rakyat hasil daripada usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

    ‘’ Inilah buku rekod kita yang akan kita bentangkan kepada rakyat negeri Melaka sebagai panduan untuk mereka membuat pilihan yang terbaik,’’ katanya.