Category: Politik

  • Calon PN tiada masalah kempen guna media sosial

    Calon PN tiada masalah kempen guna media sosial

    prn melaka mohd muhammad

    SEKATAN yang dikenakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap aktiviti ceramah atau kempen secara fizikal sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melalui prosedur operasi standard (SOP) ketat perlu diterima semua pihak.

    Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Bakri Jamaluddin berkata, sekatan berkenaan bertujuan menjaga nyawa rakyat dan ahli politik harus mematuhinya.

    “Saya berkempen sudah dua hari (dan) memang rasa ketat…tak boleh ceramah, memang rasa tersekat. Bagus juga guna digital kerana paling tidak ia memberi keselamatan kepada rakyat.

    “Kalau kita kempen rumah ke rumah, kita kena ingat ada (pengundi yang ada) anak kecil, orang tua… anak kecil ini tak vaksin… (dan) kita tak nak ia (penularan COVID-19) berlaku,” katanya dalam Bicara Harakah yang diadakan secara dalam talian.

    Beliau yang menyifatkan gelanggang perang pada PRN itu sebagai adil kepada semua pihak juga mahu semua pihak menggunakan teknologi sebagai alat untuk mendidik dan mematangkan rakyat dan bukan menimbulkan suasana tidak harmoni.

    “Saya berpegang kepada satu iaitu apabila anda memberikan maklumat yang betul, orang akan memberi anda keputusan yang betul. Bermain di media sosial hari ini, adalah adil tapi yang lebih penting jadikan medium ini sebagai alat mendidik dan matangkan rakyat,” katanya.

    kempen ahmad bilal rahudin

    Calon PN DUN Serkam, Ahmad Bilal Rahudin dalam sidang media bersama Naib Presiden PAS Idris Ahmad pula berkata, meskipun DUN yang ditandinginya terletak di kawasan luar bandar, kempen mempromosikan diri dan perjuangan menerusi media sosial tidak menjejaskannya.

    “Pengundi telah mengamalkan norma baharu sudah dua tahun dan saya rasa tidak ada masalah (untuk pengundi) tonton penjelasan dalam talian. Ia juga tidak menjadi masalah bagi saya berkempen dalam talian dan bagi PN, kita ada akar umbi yang cukup yang boleh bagi penerangan di lokaliti. Perkara ini perlu dititikberatkan untuk kesihatan awam,” katanya.

    SPR pada 8 Nov lepas melarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka diadakan sepanjang tempoh PRN Melaka.

    SPR menetapkan hari mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

    Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN, memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar. – BERNAMA

  • Mohd Azrudin seronok bila dapat selesai masalah rakyat

    Mohd Azrudin seronok bila dapat selesai masalah rakyat

    MESKIPUN membesar dalam keluarga ‘orang politik’ namun bagi calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu Mohd Azrudin Md Idris, bertanding buat kali pertama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) merupakan cabaran baharu dalam hidupnya.

    Mohd Azrudin, 40, dari Bersatu berkata antara cabaran ketara yang dihadapinya ialah terpaksa berkempen dalam norma baharu ekoran situasi penularan COVID-19 namun demi memenuhi hasrat untuk membantu rakyat, beliau tekad menempuh apa juga cabaran.

    Beliau merupakan anak kepada veteran politik Hazizah Mohd Sultan, 74, yang aktif dalam dunia politik sejak 1970-an serta pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Wanita UMNO Melaka, Ahli Dewan Negara dan wakil rakyat Tangga Batu.

    “Dalam bidang politik ini, dah jadi macam turun-temurun… mungkin darah politik itu ada tetapi sebenarnya penglibatan saya lebih untuk membantu rakyat. Saya rasa seronok bila dapat membantu menyelesaikan masalah mereka terutama golongan susah… tengok senyuman mereka, saya rasa gembira dan seronok.

    “Ia pengalaman pertama saya bertanding dan saya serius menceburi bidang politik berbanding sebelum ini… agak mencabar dan saya berharap dapat sambutan positif daripada penduduk dalam DUN Pengkalan Batu khususnya pengundi di kawasan ini,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan yang dilanda banjir kilat di Jalan Kampung Pulau Kelapa Bukit Baru hari ini.

    Ahli perniagaan itu berkata beliau berpegang kepada prinsip integriti untuk menyelesaikan masalah penduduk di DUN Pengkalan Batu terutama isu banjir kilat yang kerap berlaku.

    Beliau berkata beberapa kawasan di DUN itu seperti Kampung Pulau Kelapa, Kampung Sarang Helang, Batu Hampar dan Kampung Pasir Puteh banjir biasanya berlaku lebih tiga kali setahun yang menyebabkan kerugian harta benda kepada penduduk.

    “Apa yang kita lihat ialah isu banjir kilat ini perkara berulang…. saya juga menerima aduan daripada golongan muda terutama pelajar berkaitan akses Internet yang agak perlahan walhal DUN Pengkalan Batu terletak di kawasan bandar dan kita kini dah ke arah penggunaan optik gentian,” katanya.

    Mengulas pendekatan kempennya, Mohd Azrudin berkata media sosial merupakan antara medium yang digunakan bagi mendekati pengundi selain mengedar risalah berkaitan misi dan visinya ke rumah mereka.

    Beliau berdepan saingan lima penjuru menentang Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas), Datuk Kalsom Noordin (Barisan Nasional), Muhamad Danish Zainudin (Pakatan Harapan) dan Dr Mohd Aluwi Sari (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia).

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Pengkalan Batu dimenangi Norhizam (DAP) yang bertanding atas logo PKR dengan majoriti 2,756 undi menewaskan Chua Lian Chye (Barisan Nasional) dan Ramli Dalip (PAS).

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov ini manakala undi awal pada 16 Nov ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt selepas empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Melaka mempunyai 28 DUN dan 495,195 pengundi berdaftar. – BERNAMA

  • PN mampu buat kejutan pada PRN Melaka – Penyelidik

    PN mampu buat kejutan pada PRN Melaka – Penyelidik

    PERIKATAN Nasional (PN) mampu membuat kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika kena dengan strategi pemujukan terhadap pengundi.

    Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, kerusi-kerusi marginal seperti Lendu, Taboh Naning, Gadek, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Kelebang, Rim dan Merlimau akan jadi penentu siapa yang akan mendominasi takhta 20 November nanti.

    “Semua kerusi tersebut dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti kurang 1000 undi, sedikit peralihan pengundi akan merubah keputusan, bakal menjadi rebutan hangat antara parti-parti yang bertanding, serta berpotensi menentukan siapa yang akan keluar sebagai pemenang PRN Melaka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Pada masa yang sama, beliau berpandangan, PN juga masih boleh berharap kepada populariti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertungkus lumus turun berkempen untuk PRN Melaka.

    Mohd Yusri berkata, sepanjang mentadbir kerajaan dahulu, populariti Muhyiddin sebagai Perdana Menteri agak tinggi.

    Menurut beliau, PN boleh menggunakan Muhyiddin untuk cuba mengutip sebanyak mungkin undi daripada pelbagai segmen yang wujud untuk memberi saingan bermakna untuk membuat kejutan, atau sekurang-kurangnya mengumpul cukup undi sebagai semangat untuk menuju PRU-15 nanti.

    “Sehingga kini jentera kempen PN agak ghairah, ini sedikit sebanyak akan memberi momentum kepada mereka untuk menyaingi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),” jelasnya.

    Selain itu, katanya, keputusan pemilihan naib presiden dan ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat dalam muktamar hujung minggu lepas yang menyaksikan kemenangan majoriti pimpinan pro-PN juga bakal menambahkan lagi tonik kempen PN di Melaka.

    Sementara itu, Mohd Yusri memberitahu, PH pula dibelenggu oleh beberapa ancaman dan ketidakpastian seperti tahap sokongan semasa pengundi etnik Cina, kesediaan keluar mengundi pemilih Cina serta cabaran mengekalkan peralihan pengundi Melayu yang diperolehi pada 2018.

    “Walaupun hampir sepenuhnya etnik Cina memberi undi kepada PH dalam PRU-14, namun bermula Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai etnik Cina mula menjauhi PH disebabkan beberapa isu ketidakpuasan hati, situasi tersebut terus terbawa ke PRK DUN Slim selepas itu,” ujarnya.

    Berhubung BN pula, beliau berpandangan, kempen BN sedikit terencat apabila mereka tidak memiliki tokoh berkaliber untuk dinamakan sebagai Ketua Menteri.

    Menurut beliau, sama ada Datuk Seri Sulaiman Md Ali atau Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kedua-duanya tidak mempunyai aura mencukupi untuk dijadikan modal besar oleh BN.

    “Begitu juga prestasi memimpin kerajaan sekitar 19 bulan sebelum ini juga tidak banyak membantu, polisi dan prestasi kerajaan pimpinan UMNO sepanjang tempoh tersebut tidak meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Melaka.

    “Walaupun kerajaan yang diketuai oleh Sulaiman tersebut adalah kerajaan campuran PN, tetapi rakyat menilai prestasi kerajaan tersebut sebagai kerajaan BN kerana diketuai oleh UMNO dan majoriti anggotanya daripada BN,” katanya.

  • Apa kata calon-calon PN dalam Facebook?

    Apa kata calon-calon PN dalam Facebook?

    ahmad bilal rahudin

    Perubahan rakyat mestilah diterjemahkan untuk memilih kepimpinan yang lebih baik. Maka, Perikatan Nasional (PN) adalah pilihan terbaik untuk rakyat Melaka.

    AHMAD BILAL RAHUDIN
    Calon PN bagi DUN Serkam

    Aziah mohd sa'ad

    Orang Melaka..Kita Kasi Gegau..
    Undilah Calon Perikatan Nasional Kita
    Penyatuan Ummah, Cita-Cita Bersama
    Melaka Bertuah, Agama Bangsa Terbela

    AZIAH MOHD SA’AD
    Calon PN bagi DUN Kuala Linggi

    abdullah mahadi PRN Melaka

    Assalamualaikum dan Selamat Pagi Warga Lendu!
    Mohon sokongan, dokongan dan doa buat Warga Lendu dan sahabat sekalian.
    “Ingat Mejar Dolah, Undi Perikatan Nasional”.

    ABDULLAH MAHADI
    Calon PN bagi DUN Lendu

  • PRN Melaka : Zahid janganlah takut bayang-bayang…

    PRN Melaka : Zahid janganlah takut bayang-bayang…

    ANALISIS

    KELAKAR jugak apabila Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengundi Melaka supaya tidak tersalah pilih lambang biru selain Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

    Pengerusi Barisan Nasional (BN)  itu yang kini berada di Munich, Jerman menjalani rawatan tulang belakang membuat hantaran dalam Facebook mengingatkan orang Melaka jangan terperdaya dengan parti politik yang turut menggunakan lambang biru seakan-akan BN yang disifatkan beliau sebagai cetak rompak kerana hasilnya pasti mendukacitakan.

    Semua orang tahu, Ahmad Zahid mahu menyindir Perikatan Nasional yang kini dilihat menjadi ‘ancaman politik’ kepada BN yang ditolak oleh rakyat selepas 61 tahun memerintah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Sepatutnya Ahmad Zahid tidak perlu bimbang kerana berbanding Perikatan Nasional, usia Barisan Nasional jauh lebih lama , semua orang malah budak sekolah pun tahu lambang biru dan simbol Barisan Nasional macam mana.

    Jadi tidak mungkin pengundi Melaka akan keliru antara lambang dan warna Barisan Nasional dengan Perikatan Nasional. Yang berada dalam ‘keliru’ mungkin Ahmad Zahid sendiri kerana mungkin sudah menerima khabar bagaimana penerimaan orang Melaka terhadap calon-calon pilihan beliau  dalam PRN tersebut setakat ini.

    Justeru mungkin  untuk ‘menutup kesilapan’ pemilihan calon yang beliau lakukan, maka awal-awal lagi kekeliruan lambang biru dilontarkan supaya ia boleh dijadikan alasan jika BN gagal menawan Melaka kerana kesilapan memilih calon terutama di DUN ‘panas’.

    Begitu juga apabila beliau berkata, kalau pilih lambang biru yang dianggap cetak rompak itu hasilnya pasti mendukacitakan. Sebenarnya, itulah propaganda politik yang dilakukan oleh Barisan Nasional ketika Kerajaan Perikatan Nasional berkuasa di peringkat pusat dahulu.

    Yang pasti dan sudah terbukti tanpa perancangan rapi yang dilakukan oleh Kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selama 18 bulan dalam menangani pandemik Covid-19 negara tidak akan berada dalam keadaan sekarang, mungkin Ahmad Zahid pun tidak berada di Jerman ketika ini.

    Apa yang dinikmati sekarang sehingga negara semakin meloloskan diri daripada pandemik tersebut dan rakyat dapat meneruskan aktiviti seperti biasa adalah hasil usaha yang dilakukan oleh Muhyiddin dan Kerajaan Perikatan Nasional.

    Kini apabila PRN Melaka berlangsung dan Perikatan Nasional berpeluang memberi penjelasan kedudukan sebenar, Ahmad Zahid dan Barisan Nasional bimbang rakyat akan tahu apa yang berlaku.

    Jika itu bukan maksudnya, maka Ahmad Zahid tenang-tenang sahaja di Jerman, janganlah dilihat takut bayang-bayang. Beri kepercayaan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan menguruskan jentera Barisan Nasional di Melaka dan serah kepada rakyat Melaka menentukannya.

    Jangan bimbang, pengundi Melaka tidak ‘buta warna’ dan mereka juga ‘tidak buta’ untuk melihat kebenaran bagi menilai siapa yang bertanggungjawab ‘menyeret’ mereka keluar mengundi ketika pandemik Covid-19 masih mengancam disebabkan pergolakan politik dalaman.

  • PH dan BN tak boleh harap, PN pilihan terbaik selamatkan Melaka

    PH dan BN tak boleh harap, PN pilihan terbaik selamatkan Melaka

    prn melaka mohd muhammad

    TARIKH 9 Mei 2018 menandakan bermulanya era kegelapan di Malaysia apabila rejim Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk kerajaan.

    Rejim PH turut menguasai beberapa negeri selain yang sedia ada iaitu Selangor dan Pulau Pinang.

    Negeri-negeri lain yang jatuh ke tangan PH adalah Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Johor dan Sabah.

    Sepanjang 22 bulan rejim PH berkuasa, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat seolah-olah diabaikan kerana pemimpin-pemimpin mereka lebih gemar berpolitik daripada bekerja membantu rakyat.

    Mentaliti pembangkang masih kuat melekat dalam jiwa mereka walaupun selepas rejim PH diberi mandat oleh majoriti tipis pengundi untuk membentuk kerajaan.

    Bila sudah tersepit dan dikecam teruk oleh rakyat, pemimpin-pemimpin PH mengambil jalan mudah dengan menyalahkan pentadbiran terdahulu.

    Kalau baru setahun memerintah, tidak mengapalah sebab masih baharu dan mentah lagi.

    Tetapi kalai sudah hampir dua tahun mengulangi skrip lapuk yang sama, sudah tentu ada yang tak kena dengan cara pentadbiran mereka.

    Sesungguhnya, rakyat Malaysia termasuk di Melaka sangat beruntung apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negara setelah rejim PH tumbang dengan sendirinya.

    Kehadiran PN yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sememangnya satu rahmat buat rakyat ketika negara berdepan krisis pandemik COVID-19.

    Keprihatinan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin pentadbiran kerajaan PN ketika itu membantu rakyat Malaysia termasuk di Melaka mengharungi detik-detik sukar.

    Walaupun Melaka ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO mulai Mac 2020, PN tetap menganjurkan pelbagai program dan aktiviti bagi membantu rakyat yang terkesan di negeri itu.

    Boleh dikatakan, jenama PN kini begitu dekat di hati rakyat Melaka disebabkan oleh keprihatinan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpinnya.

    Sememangnya PN mempunyai potensi yang sangat cerah untuk beroleh majoriti yang diperlukan bagi membentuk kerajaan selepas PRN Melaka berakhir kelak.

    Menyentuh tentang peluang BN dan UMNO pula, rakyat Melaka sudah serik dan jemu dengan sikap pemimpin-pemimpin mereka yang angkuh dan tidak mahu belajar dari kesilapan.

    Mereka sudah dapat peluang untuk menunjukkan BN dan UMNO sudah berubah selepas menerima tamparan pedih dan perit pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Malang sekali peluang keemasan itu dipersia-siakan begitu sahaja di mana krisis dalaman yang membarah dalam UMNO telah membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

    Tidak cukup dengan itu, BN dan UMNO menolak tawaran kerjasama yang dihulurkan oleh PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta PAS yang merupakan sekutu mereka dalam Muafakat Nasional (MN).

    Berdasarkan kepada situasi semasa dan perangai pemimpin-pemimpinnya yang enggan berubah, BN dan UMNO pasti dihukum sekali lagi oleh para pengundi yang rata-ratanya percaya bahawa PN merupakan pilihan terbaik untuk mentadbir Melaka.

  • Menangkan PN dulu, soal calon Ketua Menteri fikir kemudian

    Menangkan PN dulu, soal calon Ketua Menteri fikir kemudian

    prn melaka mohd muhammad

    SOAL siapa yang bakal menjadi calon Ketua Menteri Melaka apabila Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini adalah perkara nombor dua bagi Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

    Keutamaan calon PN bagi DUN Tanjung Bidara itu adalah untuk menghadiahkan kemenangan di kerusi berkenaan kepada parti.

    Seperti dilaporkan oleh Malaysia Now, beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kemenangan PN pada PRN Melaka bakal membuka jalan untuk gabungan parti-parti politik itu mentadbir semula negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Sebenarnya tiada keperluan untuk saya bertanding pada PRN sebab saya sudah pun menjadi ahli Parlimen dan timbalan menteri.

    “Tetapi saya hendak sumbangkan kerusi untuk PN. Saya rasa PRN kali ini cukup penting kerana dia memberikan satu simbol untuk PRU-15 nanti.

    “Tugas saya hanya untuk menangkan kerusi Tanjung Bidara, itu hasrat dan amanah oleh pucuk pimpinan parti,” jelasnya.

    Desas-desus tentang kemungkinan Mas Ermieyati dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka mewakili PN timbul setelah beliau diletakkan bertanding di kerusi yang sama dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

    Ab Rauf disebut sebagai salah seorang calon Ketua Menteri mewakili Barisan Nasional (BN).

    Sekiranya desas-desus itu menjadi kenyataan, Mas Ermieyati bakal mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang menjadi Ketua Menteri di Malaysia.

    Pada masa yang sama, Mas Ermieyati yang telah menabur bakti selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah yakin pengundi-pengundi Melayu di Melaka akan beralih menyokong PN kali ini.

    “Pertamanya jenama PN itu sendiri, imej yang ditonjolkan Pengerusi PN yang juga mantan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin). Semasa pandemik melanda beliau fokus membantu rakyat.

    “Begitu juga dengan imej integriti dan bersih yang ditonjolkan beliau akan memberikan ‘wow factor’,” katanya.

    Beliau ingin menumpukan untuk memajukan lagi kegiatan pelancongan di Tanjung Bidara supaya hasilnya dapat dinikmati oleh penduduk setempat.

    “Tanjung Bidara cukup berpotensi. Orang ramai boleh mandi di sepanjang pantai, tidak seperti pantai Klebang atau Jasin. Ekonomi cukup penting selepas dua tahun pandemik, orang hilang kerja, terpaksa jual rumah,” ujarnya.

    Mas Ermieyati juga mahu memikirkan bagaimana mempelbagaikan sumber pendapatan nelayan yang kini berdepan cabaran kekurangan hasil tangkapan.

  • PRN Melaka: calon Pas boleh buat kejutan, tarik pengundi muda

    PRN Melaka: calon Pas boleh buat kejutan, tarik pengundi muda

    LAPAN wakil Pas yang dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah yang mampu membuat kejutan dan menarik pengundi muda, kata Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan.

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata kesemua calon Pas itu datang daripada pelbagai latar belakang, namun mempunyai ‘satu sasaran’ iaitu membawa kemenangan kepada parti di bawah ‘payung’ Perikatan Nasional (PN).

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lepas mengumumkan gabungan itu akan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, dengan 15 kerusi diwakili Bersatu, PAS (lapan) dan Gerakan (lima).

    Lapan kerusi yang ditandingi Pas adalah Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

    “Saya optimis mereka boleh bantu Pas untuk capai kemenangan kalau tidak 100 peratus pun, sekurang-kurangnya dapat tarik pengundi muda dan buat kejutan,” kata Takiyuddin kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penganugerahan ‘Product Safety Award’ 2021, hari ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.

    Ia susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – Bernama

  • PRN Melaka:Calon BERSATU tinggalkan kerjaya perubatan

    PRN Melaka:Calon BERSATU tinggalkan kerjaya perubatan

    MINAT mendalam terhadap politik dan niat menabur bakti kepada masyarakat, mendorong calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof melepaskan kerjaya sebagai doktor.

    Calon muda berusia 35 tahun itu yang dipertaruh BERSATU dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini berkata, minatnya untuk menabur bakti kepada rakyat dan negeri Melaka menerusi platform politik berputik sejak dibangku sekolah dan kian subur, ketika menuntut di universiti.

    Bagaimanapun cita-cita anak jati Melaka itu untuk terjun ke dunia politik pada usia lebih awal tertangguh, disebabkan terikat kontrak pekerjaan, selain mahu mencapai cita-cita menjadi seorang doktor.

    “PRN Melaka gelanggang pertama untuk saya berjinak-jinak secara serius (dengan dunia politik). Namun, saya yakin mampu menggalas amanah ini dengan meletakkan kebajikan rakyat sebagai fokus utama, sekiranya saya mendapat mandat nanti.

    “Selain itu, saya bertekad menjadikan platform politik ini sebagai saluran membanteras elemen rasuah dalam pengurusan dan pentadbiran dalam kerajaan,” katanya di Melaka.

    Dr Mohd Aleef yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Management and Science University (MSU) pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan kerajaan, sebelum berhijrah ke hospital swasta di Melaka.

    Katanya, beliau teruja dengan sikap keterbukaan PN membuka ruang lebih ramai calon muda dan profesional untuk bertanding dalam PRN Melaka dan pendekatan itu mampu menarik minat golongan muda bersama parti itu.

    Mohd Aleef bakal berhadapan saingan empat penjuru menentang Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Barisan Nasional), Hasmorni Tamby (Pakatan Harapan) dan Mejar Jeneral (B) Datuk Mohd Zahar Hasim (Bebas).

    Mengulas saingan dihadapinya di DUN Sungai Udang, beliau berkata, walaupun masih mentah dalam politik, beliau yakin dengan keupayaannya dan PN yang diwakilinya kerana ia sebuah parti yang semakin mendapat tempat di hati rakyat berbilang kaum.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi Datuk Seri Idris Haron dari BN dengan majoriti 2,229 undi menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR).

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala undi awal pada 16 Nov.

    Melaka yang mempunyai 28 DUN, mempunyai seramai 495,195 pengundi berdaftar dengan 48.57 peratus pengundi lelaki dan 51.43 peratus, wanita. – Bernama

  • Apa kata calon-calon PN dalam Facebook?

    Apa kata calon-calon PN dalam Facebook?

    calon PN xamzuri arifin

    Alhamdulillah pagi tadi selesai penamaan calon bagi DUN Rembia.. semoga semuanya dipermudahkan segala urusan..

    ZAMZURI ARIFIN
    Calon PN bagi DUN Rembia

    MUHAMMAD AL AFIZ

    Doakan saya sebagai calon Perikatan Nasional.
    N17 Bukit Katil.
    Semoga kemenangan milik kita Insya-Allah.

    MUHAMMAD AL AFIZ YAHYA
    Calon PN bagi DUN Bukit Katil

    Saya tak akan kempen burukkan lawan, cipta provokasi, fitnah dan serang peribadi lawan .. Jom sama-sama kita harmonikan PRN Melaka dengan persaingan yang sihat dan ikuti SOP yang ditetapkan ..

    MOHD FADLY SAMIN
    Calon PN bagi DUN Ayer Molek