BAGI mengurangkan penggunaan gelaran ‘senior’ atau ‘otai’ di kalangan anak muda, Calon Perikatan Nasional (PN) Durian Tunggal, Ja’afar Othman memilih untuk menjadi rakan kepada golongan berkenaan bagi mendengar impian serta mewakili suara mereka.
Bagi Ja’afar, melalui pendekatan itu, anak-anak muda ada tempat untuk mengadu dan lebih mudah untuk menyuarakan pendapat mereka dengan menggunakan saluran yang betul.
“Apa pun suara yang kita nak bawa, kita kena ada saluran, kalau kita bising sahaja tapi tiada penyudahnya ianya diibaratkan seperti lalat.
“Sebab itu dalam kempen kali ini, cara kita dekati anak muda ini ialah dengan berborak tentang isu dan membawa ciri seorang pemimpin yang mudah mesra dengan pemuda,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook rasmi beliau.
Beliau menyedari, golongan muda kini berasa agak kekok apabila berbual atau berborak bersama dengan orang yang lebih tua daripada mereka, apatah lagi yang dianggap sebagai ‘otai’.
Faktor usia yang belum mencecah 50-an juga memberikan kelebihan kepada Ja’afar kerana anak muda di kawasan Durian Tunggal merasa lebih lebih selesa untuk berbual dan berbincang denganya.
“Mungkin juga disebabkan personaliti saya yang gemar bergurau senda bersama mereka membuatkan mereka lagi selesa dengan saya”. katanya.
Ja’afar berdepan saingan pertandingan empat penjuru bagi merebut kerusi Durian Tunggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini.
JUMLAH kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital di Melaka mencatat peningkatan sehingga 57 peratus dalam tempoh tujuh hari lalu, ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memuncak dan memasuki minggu kedua.
Portal COVIDNOW menunjukkan kadar peningkatan itu kedua tertinggi di negara ini dan dicatatkan ketika pusingan akhir kempen PRN.
Lonjakan itu menjadikan jumlah penggunaan katil hospital kerajaan di Melaka semakin membimbangkan, iaitu pada kadar 77 peratus dengan 24.1 peratus daripadanya bagi kes Covid-19.
Tujuh hari lalu yang juga hari pertama kempen PRN Melaka, jumlah kemasukan harian pesakit Covid-19 mencatatkan 15 kes, namun meningkat kepada 26 kes pada Selasa, disusuli 70 kes (Rabu), 26 kes (Khamis), 31 kes (Jumaat), 32 kes (Sabtu) dan 33 kes semalam.
Selain itu, jumlah kes baharu Covid-19 di negeri bersejarah itu juga mencatat peningkatan tiga peratus sejak tujuh hari lalu, dengan 195 purata kes dalam tempoh seminggu.
Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di Melaka pula tidak menunjukkan sebarang penurunan dan menghampiri 1.0, apabila mencatatkan 0.97 semalam.
Jumaat lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, purata Rt di seluruh negara kembali mencatatkan 1.0, sekali gus bererti pola penurunan jumlah kes baharu sejak beberapa minggu lalu sudah terhenti.
“Ini bermakna kes harian semakin mendatar dan kebimbangan kita jika ia kembali meningkat.
“Orang ramai digesa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan kumpulan rentan disaran segera mendapatkan dos penggalak bila janji temu diberi,” katanya.
Kehangatan makin terasa, berbaki 4 HARI sahaja lagi untuk warga Melaka turun mengundi.
Jangan lepaskan peluang ini untuk menentukan masa depan Melaka.
Orang Melaka wajib turun mengundi! Jom undi Perikatan Nasional.
“Nafas Baru Serkam”
AHMAD BILAL RAHUDIN Calon PN bagi kerusi DUN Serkam
Setiap orang ada cara masing-masing bagi melepaskan penat lelah bekerja atau menghilangkan rasa tension mahupun stress akibat tekanan bekerja.
Bila ada masa terluang, saya layan jogging di laluan pejalan kaki Sungai Melaka.
Beginilah cara saya melepaskan tekanan penat bekerja. Kalau ada yang berselisih, jangan lupa tegur sapa saya ya😅
AZALINA ABDUL RAHMAN Calon PN bagi kerusi DUN Rim
Terus prihatin meninjau kawasan yang terjejas akibat banjir tempoh hari.
Satu jambatan yang terletak di Tanjung Rimau Dalam telah roboh akibat dilanda banjir pada tempoh hari. Jambatan ini menjadi penghubung jalan buat sebuah keluarga dikawasan tersebut.
Selain daripada isu jambatan roboh, penduduk di kawasan tersebut telah meminta saya memperbaiki papan tanda jalan di kampung tersebut.
MOHD AMIR FITRI MUHARAM Calon PN bagi kerusi DUN Gadek
Orang bijak selalu menepati janji, tapi orang paling bijak berhati-hati sebelum berjanji.
Perikatan Nasional terbukti kerajaan yang melaksanakan kebajikan serta tanggungjawab kepada rakyat tanpa perlu berjanji langit dan bintang.
DATUK KAMARUDIN SIDEK Calon PN bagi kerusi DUN Duyong
Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un (انّا للہ و انّا الیہ راجعون),
Saya sempat menziarahi keluarga Allahyarhamah Siti Binti Lassim di Kampung Ujong Pasir.
Salam takziah kepada keluarga Allahyarhamah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman.
Allahummagfirlaha warhamha wa ‘afiha wa ‘fu Anha Amin Allahumma amin Al-Fatihah
DATUK MOHD RAFIQ NAIZAMOHIDEEN Calon PN bagi kerusi DUN Telok Mas
TAN Sri Muhyiddin Yass yakin Ikrar Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berteraskan 6 tunjang utama, berpacukan 11 strategi dan berlandaskan 74 pendekatan bakal melakar sejarah baharu kepada rakyat negeri itu.
Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, beliau yakin dengan tawaran yang inklusif ini, Perikatan Nasional akan membawa perubahan besar kepada pendekatan pentadbiran negeri bertunjangkan nilai integriti dan ketelusan dengan jaminan kepentingan dan kesejahteraan rakyat senantiasa menjadi nadi dan keutamaan.
‘’Jika dipilih menerajui kerajaan selepas 20 November ini, saya berjanji akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan yang dianggotai anak jati Melaka daripada golongan profesional dan berpengalaman bagi memastikan tawaran ikrar Pilihan Raya Negeri Melaka ini dipenuhi.
‘’Saya yakin Pilihan Raya Negeri Melaka ini akan digunakan sebaiknya oleh rakyat untuk membetulkan keadaan dengan mengambil langkah berani melakukan perubahan dan memilih Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang baharu, insya-Allah,’’ katanya dalam catatan dalam Facebook beliau.
Muhyiddin berkata, tumpuan Perikatan Nasional jika dipilih untuk membentuk kerajaan negeri kelak akan berpaksikan kepada enam tunjang tersebut iaitu Keutuhan Ekonomi, Keprihatinan Kepada Rakyat, Kerancakan Sektor Pelancongan,Kelestarian Alam Sekitar,Kecekapan Infrastruktur serta Keteguhan dan Kejujuran Pentadbiran
‘’Kesemua tunjang ini akan menjadi paksi dalam memastikan setiap aspek keperluan rakyat diberi perhatian dan tiada golongan dipinggirkan daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri Melaka,’’ katanya.
Sementara itu dalam pesanan kepada pengundi Melaka melalui rakaman video, Muhyiddin berkata, beliau merayu supaya mereka memberi sokongan kepada kesemua calon-calon Perikatan Nasional yang berkaliber dan berkelayakan.
‘’Calon yang saya percaya calon yang bersih akan dapat dipilih untuk membentuk sebuah kerajaan di Melaka yang pastinya akan membawa negeri Melaka ke satu mercu kecemerlangan dan kegemilangan pada masa-sama akan datang.
“DARI kecil hingga dewasa, saya membesar di Ujong Pasir dan Padang Temu, malah belajar di Sekolah Kebangsaan Ujong Pasir selama enam tahun,” kata Datuk Wira Mohd. Rafiq Naizamohideen.
Sehubungan itu, calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi kerusi Telok Mas ini mengutamakan soal pembangunan ekonomi, kebajikan, pendidikan dan pelancongan untuk diberi perhatian sepenuhnya di situ.
Selaku anak tempatan, tentunya agenda memajukan Telok Mas menjadi tumpuannya demi keselesaan penduduk dan pengunjung ke kawasan itu.
Calon berusia 35 tahun itu berkata, sebagai calon anak tempatan, beliau gembira menerima reaksi positif daripada penduduk yang ditemui di surau, masjid, gerai, warung dan sahabat handai.
“Ayah dan ibu saya pernah berniaga di kedai runcit di sini (Ujong Pasir) selama tujuh tahun, selain berniaga sebagai pembekal gas memasak selama 10 tahun di Taman Jaya Padang Temu.
“Bertanding di kawasan ini mewakili PN ibarat sirih pulang ke gagang, sekali gus keputusan tepat buat diri saya untuk membangunkan Telok Mas,” katanya, memetik laporan BH, hari ini.
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Johor (Bersatu) Melaka itu mengakui, penduduk di situ sudah lama menanti pemimpin anak tempatan dari Telok Mas.
“Jika saya diberi peluang oleh warga Telok Mas dan seluruh rakyat Melaka pada PRN kali ini, Insya-Allah kerajaan PN yang dibentuk sedaya upaya memahami aspirasi rakyat seperti mana kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Persekutuan.
“Kerajaan di bawah Muhyiddin sebelum ini banyak memberi perkhidmatan yang terbaik dan prihatin rakyat.
“Jadi, PN Melaka akan sedaya upaya mengembali dan memulihkan semula ekonomi negeri ini, termasuk kebajikan, kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan penduduk, terutama di Telok Mas,” katanya.
DUN Telok Mas menyaksikan saingan empat penjuru, dengan Mohd. Rafiq dicabar Datuk Abdul Razak Abdul Rahman daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (Pakatan Harapan) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, DUN Telok Mas dimenangi oleh Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dengan majoriti 1,288 undi.
IKRAR Perikatan Nasional (PN) untuk Melaka yang dilancarkan semalam disifatkan sebagai satu rejunivasi baharu buat rakyat di negeri itu dengan kewujudan barisan pemimpin yang berintegriti dan beramanah daripada gabungan parti berkenaan.
Bekas Ketua Menteri Melaka yang keenam, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, butiran-butiran ikrar yang disebut oleh pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sangat tepat untuk mengembalikan kecemerlangan Melaka.
“Ini bukan janji angan-angan Mat Jenin, melalui pengalaman saya selama 50 tahun dalam politik ini, memang ikrar itu adalah janji yang boleh dilaksanakan.
“Kerana semua sudah ada, infrastruktur sudah ada. Cuma perlu adanya pemimpin-pemimpin yang berintegriti dan berwibawa untuk menggerakkan ikrar yang sudah dijanjikan,” katanya ketika ditemu bual media selepas majlis pelancaran Ikrar PN Untuk Melaka di Glanmerie Shah Alam, semalam.
Beliau menegaskan rakyat Melaka pada saat ini sudah cukup kecewa apabila amanah dan mandat yang diberikan telah disalah gunakan oleh kerajaan negeri sebelum ini sehingga menyebabkan kacau bilau ekoran amalan-amalan mereka yang merosakkan kepentingan rakyat.
“Ini adalah masa yang sesuai dan peluang keemasan untuk rakyat Melaka berhijrah kepada satu kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan berwibawa.
“Saya percaya dengan rekod baik Tan Sri Muhyiddin, Inshaa Allah, apa yang telah diikrarkan tadi akan memberi manfaat besar kepada rakyat Melaka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Rahim sebagai anak jati Melaka berterima kasih kepada pengerusi PN atas ikrar yang telah diberikan kepada negeri bersejarah itu dan percaya rakyat Melaka boleh menerima PN dengan hati terbuka.
“Insha Allah, di bawah kepimpinan kerajaan yang baharu, bukan kerajaan yang korup, rosak dan mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh rakyat. Kita hendak bangun dengan nilai-nilai baharu ini benar-benar memberi kesan kepada usaha untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat Melaka,” tambahnya.
ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyifatkan cabaran agar Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu menarik sokongan dibuat kerana UMNO ada agenda yang tersendiri.
Ketua Armada Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, hal itu kerana ada pihak cemburu dengan kejayaan Presiden Bersatu itu semasa menjadi Perdana Menteri yang kini membuahkan hasil.
“Kejayaan demi kejayaan yang dibuktikan Tan Sri Muhyiddin sepanjang tempoh menerajui kepemimpinan negara termasuk perancangan teliti dalam menangani pandemik Covid-19 sudah membuahkan hasilnya.
“Jadi, apakah Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Datuk Nur Jazlan Mohamed cemburu segala kejayaan dan pencapaian cemerlang menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Tan Sri Muhyiddin.
“Tindakan kedua-dua pemimpin UMNO itu jelas sekali mahu memburukkan kewibawaan serta kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin menerusi momokan kenyataan provokasi dan bersifat populis semata-mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhyiddin sebelum ini mendedahkan, Bersatu tidak ada masalah untuk mengambil langkah drastik yang boleh menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terbubar.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan berbuat demikian kerana mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat negeri Johor.
Muhammad Shamsuddin Paijan
Mengulas lanjut, Muhammad Shamsuddin turut memberitahu, sepatutnya kedua-dua pemimpin UMNO itu menjunjung titah Sultan Johor yang mahu kestabilan dan kemakmuran politik Johor terjamin.
Kenyataan itu berikutan Shahrir yang kini Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru seolah-olah mencabar agar Bersatu Johor menarik sokongan terhadap kerajaan negeri bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan seperti di Melaka.
“Armada Johor yakin rakyat boleh menilai dengan bijak pemimpin yang ikhlas memastikan keselamatan dan kehidupan rakyat terus terjaga seperti dikatakan Muhyiddin iaitu memastikan setiap meja di rumah rakyat sekurang-kurangnya ada makanan untuk dimakan.
“Sehubungan itu, Armada Johor menggesa rakyat untuk menolak pemimpin tamak dan gila kuasa yang memperjudikan rakyat demi kepentingan peribadi mereka sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Shamsuddin berkata, Armada Bersatu Johor sentiasa bersedia dalam segala kemungkinan yang berlaku jika ada pemimpin UMNO yang cuba mengganggu gugat kestabilan dan kemakmuran negeri Johor khususnya.
“Seluruh anak muda Johor juga akan memastikan segala perkara yang boleh mengganggu gugat kemakmuran Negeri Johor akan ditentang habis-habisan,” tambahnya.
SERAMAI 11,557 pengundi akan mengundi awal esok di 31 pusat mengundi awal, membabitkan 24 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata jumlah pengundi awal itu membabitkan 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.
“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan Covid-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuat kuasa seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, sanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan.
“Proses pengundian awal akan disaksikan ejen calon bertanding, selain SPR akan menyiarkan proses (pengundian) ini secara ‘live streaming’ menerusi Facebook SPR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Seramai 11,557 pengundi akan mengundi awal esok di 31 pusat mengundi awal, membabitkan 24 kawasan DUN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Katanya, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dengan kertas undi terbabit hanya akan dikira pada bermula jam 4 petang, Sabtu ini.
“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan ejen calon masing-masing,” katanya.
Tujuh lokasi mengundi bagi tentera dan pasangan akan dijalankan di Bilik Gerakan 96 DPP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Bilik Pusat Latih Palapes Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di DUN Durian Tunggal dan Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah membabitkan DUN Bukit Katil.
Di DUN Sungai Udang merekodkan jumlah pusat pengundian awal terbanyak iaitu di tiga lokasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak I, SK Kem Terendak II dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak serta Dewan Borhan.
Hanya empat DUN tidak terbabit dalam proses pengundian awal iaitu DUN Tanjung Bidara, Pengkalan Batu, Duyong dan Serkam.
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor memilih untuk tidak menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) yang akan mengakibatkan kerajaan negeri tumbang.
Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, pada masa ini semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu kekal menyokong kerajaan PN Johor dan tidak mahu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berlaku.
Tegas beliau, Bersatu Johor tidak akan termakan atau terpengaruh dengan provokasi Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mencabar mereka untuk menarik sokongan terhadap Menteri Besari, Datuk Ir. Hasni Mohammad
Jelasnya, ADUN Bersatu Johor tidak akan bertindak melulu sebaliknya sebarang keputusan dibuat mengikut kebaikan jangka masa panjang dan bukan berdasarkan emosi atau provokasi.
“Ini kerana kita memikirkan kesejahteraan rakyat dan bukan sebaliknya. Kalau bubar, kita (Bersatu) banyak kehilangan, tiada jawatan Exco, tidak ada apa tetapi bukan kerana itu, kita fikirkan kesinambungan kerajaan untuk membantu rakyat.
“Fikir panjang, sekurang-kurangnya sehingga apabila tiba masanya (Pilihan Raya Umum),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Sesi Roadshow Pasca RMK-12 di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Mohd. Solihan Badri
Pada 12 November lalu, Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru menerusi hantaran dalam Facebook miliknya menulis, UMNO Johor bersedia menghadapi PRN jika PN mahu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri itu.
Sehari selepas itu, Pengerusi PN, Tan Seri Muhyiddin Yassin menyifatkan veteran UMNO itu sebagai ‘bodoh’ dan ‘tidak bertanggungjawab’ kerana mencabarnya mengarahkan ADUN Bersatu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Johor yang diketuai UMNO.
Muhyiddin yang menyifatkan kenyataan Shahrir itu juga berniat jahat berkata, beliau boleh menyahut cabaran Shahrir itu dengan hanya dengan menekan ‘satu butang’ dan kerajaan Johor akan jatuh.
Komen bekas Perdana Menteri itu dijawab Shahrir menerusi Facebook miliknya semalam dengan berkata, pembubaran Dewan Rakyat mahupun DUN perlu mengikut Perlembagaan dan bukan semudah ‘tekan butang’ sahaja.
Mengulas lanjut, Mohd. Solihan berkata, tindakan Shahrir yang memprovokasi Muhyiddin turut tidak disenangi segelintir ahli UMNO dan perkara itu disampaikan kepada pihaknya terutama berhubung pertikaian kedua-dua pemimpin politik veteran berkenaan.
“Bukan sahaja kami (Bersatu) tetapi orang UMNO Johor juga tidak puas hati dengan kenyataan dibuat Shahrir, dia tu orang tua, yang berpengalaman dan sepatutnya tidak berfikir singkat sedemikian dengan mencabar kita.
“Memang betul kata Tan Sri Muhyiddin kalau dia arah kita untuk tarik sokongan, kita orang parti. Tapi kita pilih untuk tidak berbuat
seperti itu kerana di sini Johor lain, kita tak nak buat macam tu. Rakyat lantik kita untuk kita berkhidmat, itu sebab utama,” katanya.
Mohd. Solihan yang juga ADUN Tenang mendakwa, tindakan Shahrir adalah kerana tidak mempunyai sebarang jawatan hanya mahu menonjolkan dirinya dalam mencari publisiti murahan.