Category: Politik

  • PRN Melaka banyak peristiwa, situasi ‘pertama kali’

    PRN Melaka banyak peristiwa, situasi ‘pertama kali’

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan beberapa situasi ‘pertama kali’ berlaku, bermula pada hari penamaan calon 8 Nov lepas.

    Melaka melakar sejarahnya tersendiri dengan menyaksikan ia negeri pertama mengikuti langkah Sabah yang bertukar ketua menteri sebanyak tiga kali selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

    Selain itu, bumi Hang Tuah itu juga buat pertama kali dalam sejarahnya mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan daripada pilihan raya pusat seperti kelaziman sebelum ini.

    PRN Melaka ini membariskan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) selain wujud satu Gagasan Bebas yang meliputi 13 calon, buat julung kalinya menyertai proses demokrasi negara.

    Pada pilihan raya negeri ini juga, PAS buat pertama kali ‘berkorban’ lambang sendiri dengan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

    Kali pertama PAS tidak menggunakan lambangnya adalah pada PRU keempat pada 1974 dan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), sebelum parti Islam itu meninggalkan BN pada 1977 dan bertanding sebagai pembangkang pada PRU kelima yang diadakan pada 1978.

    Parti Gerakan yang sebelum ini menggunakan lambang BN sebelum meninggalkan gabungan itu pada 23 Jun 2018 selepas PRU14, turut menggunakan logo PN pada PRN Melaka.

    Mengenai calon pula, Datuk Norhizam Hassan Baktee buat pertama kalinya bertanding atas tiket Bebas bagi mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Batu yang dimenangi pada PRU14 atas tiket Pakatan Harapan (PH).

    Pada 2 Mac 2020, Norhizam yang juga timbalan pengerusi DAP Melaka ketika itu, menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri baharu di bawah PN, lalu dipecat oleh DAP.

    Melaka juga bakal mencipta sejarah sekiranya Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang bertanding menentang Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Zainal Hassan (PH) di DUN Tanjung Bidara, dilantik Ketua Menteri wanita pertama sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan negeri.

    Sebelum ini, jawatan Ketua Menteri Melaka telah disandang oleh 12 pemimpin dengan individu pertama adalah Tan Sri Osman Talib, diikuti Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Talib Karim, Datuk Setia Abdul Ghani Ali, Datuk Seri Adib Adam dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

    Turut tersenarai sebagai bekas Ketua Menteri Melaka ialah Datuk Seri Mohd Zin Abdul Ghani, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Datuk Seri Idris Haron, Adly Zahari dan terakhir ialah Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    PRN yang berlangsung di tengah-tengah pandemik COVID-19 juga menyebabkan prosedur operasi standard (SOP) buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara diselaraskan dengan beberapa larangan dikenakan termasuk ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout) dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka. – BERNAMA

  • Hujan renyai tak halang orang Melaka keluar awal mengundi

    Hujan renyai tak halang orang Melaka keluar awal mengundi

    HUJAN renyai di beberapa kawasan pagi ini tidak menghalang pengundi keluar seawal 7.30 pagi, beratur di luar pusat mengundi merangkumi antaranya sekolah dan dewan bagi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Tinjauan Bernama di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar di Alor Gajah mendapati rata-rata yang keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat kawasan mereka, terdiri daripada golongan warga emas.

    Usia dan pergerakan terhad akibat masalah kesihatan juga tidak menghalang mereka untuk keluar mengundi.

    Maimun Hasan, 78, yang berkerusi roda menjadi pengundi pertama tiba di SK Durian Daun, Masjid Tanah kira-kira 7.35 pagi manakala Abdul Rahim Yaacob, 57, yang menghidap penyakit strok turut tiba awal untuk menunaikan haknya di pusat pengundian sama.

    Selain golongan warga emas, turut keluar awal mengundi adalah mereka yang bertanding, antaranya calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mengundi di SK Ramuan China Besar sejurus pusat pengundian dibuka.

    Begitu juga dengan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Bukit Katil, Adly Zahari yang tiba di SK Durian Tunggal, pada 8.10 pagi.

    Calon Barisan Nasional (BN) DUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mengundi di SK Kampung Jeram pula menunaikan tanggungjawabnya pada 8.43 pagi diikuti Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang merupakan calon BN DUN Lendu yang mengundi di SK Durian Daun.

    Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang merupakan calon BN DUN Sungai Udang pula tiba untuk mengundi pukul 8.47 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lih Jen, Pokok Mangga di sini diikuti calon PH DUN Asahan, Datuk Seri Idris Haron, yang tiba di pusat pengundian itu bersama isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah dengan menaiki motosikal Yamaha 135LC.

    Proses pengundian di Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

    Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi DUN sehingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.

    Pada 16 Nov lepas, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis menunaikan tanggungjawab masing-masing membabitkan 31 pusat pengundian awal dengan 47 saluran manakala seramai 7,601 orang layak mengundi secara pos.

    Proses pengundian juga menyaksikan amalan norma baharu apabila pengundi diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran dengan mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke pusat mengundi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka hari ini berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Sulaiman. – BERNAMA

  • Melaka pilih PN, tolak BN dan PH – Kongres Rakyat

    Melaka pilih PN, tolak BN dan PH – Kongres Rakyat

    KONGRES Rakyat hari ini menyeru kepada rakyat Melaka agar menolak calon-calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

    Pada masa yang sama, Kongres Rakyat menyeru mereka memilih calon-calon yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah yang bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN).

    Berikut adalah kenyataan penuh Kongres Rakyat:

    Kongres Rakyat mengikuti dengan dekat PRN Melaka yang akan diadakan pada hari Sabtu, 20 November 2021.

    Secara asasnya, Kongres Rakyat berpendapat PRN Melaka tidak sepatutnya diadakan semata-mata untuk memenuhi kehendak politik mereka yang berkepentingan dan bernafsu besar untuk merebut kuasa tanpa memikirkan kepentingan rakyat. Ditambah pula dengan situasi semasa covid-19 yang masih lagi tinggi dan menimbulkan kebimbangan rakyat untuk keluar mengundi.

    Bagaimanapun disebabkan pilihan raya terpaksa juga diadakan,Kongres Rakyat menyeru kepada rakyat negeri Melaka agar:

    1. Bersama-sama menunaikan tanggungjawab keluar mengundi dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
    2. Menolak empat orang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah menyebabkan politik negeri Melaka berada dalam keadaan kucar-kacir dan PRN terpaksa diadakan.
    3. Menolak calon-calon BN sebagai signal bahawa rakyat tidak bersetuju RM100 juta dibazirkan untuk memenuhi kehendak bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak . Beliau merupakan Penasihat BN kini.
    4. Menolak PH kerana ternyata telah gagal menunaikan janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) setelah berkuasa selama 22 bulan.
    5. Menyeru rakyat memilih calon-calon yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah yang bertanding di bawah PN, di samping menyokong seorang wanita sebagai calon Ketua Menteri pada kali ini.

    PRN Melaka menyusuli PRN Sabah
    Rakyat Melaka mampu merubah.

  • Berita baik untuk golongan B40 DUN Serkam

    Berita baik untuk golongan B40 DUN Serkam

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Ahmad Bilal Rahudin menawarkan pelbagai inisiatif yang bakal disalurkan PN kepada golongan B40 setelah membentuk kerajaan negeri Melaka esok.

    Beliau membentangkan tawaran-tawaran tersebut dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melalui hantaran Facebook, hari ini:

    Seluruh lapisan masyarakat merupakan tanggungjawab kita bersama. Tanggungjawab ini melangkaui tembok bangsa, agama, kepercayaan politik dan warna kulit. Berita baik buat golongan B40, anda bakal menikmati kemudahan-kemudahan hasil daripada tawaran Perikatan Nasional.

    Bagi menangani masalah kekurangan pendapatan, anda bakal mendapat kepelbagaian sumber pendapatan melalui sektor pertanian, perikanan dan perkhidmatan. Hal ini sedikit sebanyak bakal membaiki status kewangan yang dialami.

    Semasa lambakan rumah berharga tinggi berlaku, sudah pasti mengundang masalah pemilikan rumah untuk B40 khususnya, menariknya anda bakal menikmati skim perumahan mampu milik yang akan disediakan.

    Ahmad Bilal Rahudin b40

    Bagi anak-anak daripada keluarga B40, sudah pasti anda tidak diabaikan. Anak-anak yang berpotensi akan ditempatkan ke sekolah berasrama penuh. Ini bagi membantu dalam perkembangan intelek anak-anak warga Serkam khususnya.

    Bahkan, anak-anak yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan pula bakal menerima biasiswa khusus. Ini bagi membantu menampung kos pengajian mereka. Bagi pelajar yang dibiayai balik pinjaman Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), anda bakal menikmati penangguhan bayaran semula pinjaman anda. Ini kerana memahami situasi ekonomi masyarakat yang ramai terkesan dengan wabak Covid-19.

    Bagi kaum ibu, jangan lepaskan peluang ini! Anda akan diberikan platform serta galakan penglibatan dalam bidang keusahawanan. Platform dan galakan ini merupakan satu inisiatif bagi membantu golongan B40 menjana pendapatan tambahan.

    Manakala bagi mereka yang mempunyai perniagaan sendiri, anda bakal menikmati pengurangan sewa tapak sebanyak 50% bermula Januari sehingga Jun 2022. Jadi, para peniaga kecil dan penjaja boleh menghela sedikit nafas lega seterusnya giat memajukan perniagaan masing-masing.

    Oleh itu, sama-sama kita menyokong Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada kali ini. Jom bina masa depan yang lebih baik.

  • Penerimaan rakyat Melaka terhadap PN amat baik

    Penerimaan rakyat Melaka terhadap PN amat baik

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mendapati penerimaan masyarakat di Melaka terhadap Perikatan Nasional (PN) adalah amat baik.

    Malah, Pengerusi PN itu berkata, mereka berharap beliau terus menjadi pemimpin dan membantu memulihkan negara ini.

    “Persinggahan Abah ketika sarapan pagi, minum petang serta solat di masjid dan surau di sekitar Melaka di hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri Melaka.

    “Alhamdulillah, penerimaan masyarakat Melaka adalah amat baik.

    “Mereka bersyukur dan menghargai jasa Abah dan #KerajaanPerikatanNasional yang prihatin membantu mereka ketika negara dilanda pandemik COVID-19 sejak awal tahun 2020. Harapan mereka semoga Abah terus menjadi pemimpin dan membantu memulihkan negara ini.

    “Ayuh Melaka, mari kita terus berikan sokongan kepada calon-calon Perikatan Nasional esok!” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    PN yang bertanding buat kali pertama dalam PRN Melaka meletakkan calon di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan parti komponennya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di 15 kerusi manakala PAS lapan, dan Gerakan lima.

    Gabungan parti itu juga mencatatkan sejarah dalam dunia politik tanah air apabila menamakan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka apabila PN menang PRN Melaka kelak.

    Langkah itu menyaksikan buat julung-julung kalinya seorang wanita dinamakan sebagai calon Ketua Menteri di negara ini, sekali gus membuktikan komitmen PN menaikkan martabat pemimpin wanita khususnya di Melaka.

    Berdasarkan penerimaan dan sambutan hangat rakyat Melaka, PN pasti dapat meraih kerusi majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

    Rata-rata rakyat Melaka sudah bosan dengan retorik kosong Pakatan Harapan (PH) yang terbukti gagal melunaskan janji-janji yang ditabur pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Mereka juga sudah jelak dengan perangai pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang sentiasa bertelagah dan berebut kuasa sehingga mencetuskan PRN Melaka ketika pandemik COVID-19 masih belum reda.

    Melihat kepada prestasi buruk PH dan BN, maka tidak hairanlah PN yang diterajui oleh Muhyiddin pasti menjadi pilihan rakyat Melaka esok.

    Kerajaan PN telah membuktikan keupayaan menangani krisis pandemik COVID-19 di peringkat Pusat dan pentadbiran PN di bawah Mas Ermieyati pasti mengulangi kejayaan serupa di Melaka.

  • Najib tidak wajar minta aset, patut ada rasa malu

    Najib tidak wajar minta aset, patut ada rasa malu

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewajarnya malu untuk menuntut tanah dan rumah bernilai RM100 juta daripada kerajaan ketika negara masih dalam fasa pemulihan Covid-19.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, permohonan itu timbul ketika ramai rakyat Malaysia tidak berkemampuan untuk memiliki rumah pertama walaupun sudah lama bekerja dan berkeluarga.

    “Statistik awal daripada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada tahun lalu menunjukkan seramai 53 peratus penjawat awam masih tidak mampu memiliki kediaman sendiri.

    “Malah, masih ramai rakyat marhaen terutama mereka yang bukan penjawat awam sedang bergelut dengan masalah ekonomi akibat Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semalam, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Najib telah memohon ganjaran hadiah berupa sebidang tanah dan rumah bernilai RM100 juta daripada kerajaan.

    Tengku Zafrul berkata, perbincangan mengenainya sudah diadakan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan sedang menunggu keputusan untuk dimuktamadkan.

    Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, perlu diingatkan bahawa hak saraan bekas Perdana Menteri itu adalah tidak bersifat mutlak kerana ia masih tertakluk kepada kebenaran Kabinet.

    “Beliau tidak boleh anggap dirinya berhak kerana Kabinet boleh buat keputusan untuk menangguhkan pemberian itu sehingga keputusan di mahkamah rayuan diputuskan.

    “Pendek kata, Penasihat Barisan Nasional (BN) itu boleh memohon apa yang beliau mahukan, namun atas budi bicara Jemaah Menteri untuk meluluskannya atau tidak,” katanya.

  • Rafiq sokong keputusan Mas Ermieyati calon Ketua Menteri

    Rafiq sokong keputusan Mas Ermieyati calon Ketua Menteri

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menyokong penuh keputusan mencalonkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Menteri Melaka, sekiranya gabungan itu berjaya memperoleh majoriti kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.

    Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan kepimpinan pusat itu dan memohon seluruh jentera PN Melaka bekerja keras, bagi memenangkan semua calon PN.

    “Sebagai orang parti dan juga pemimpin parti, semua pihak harus menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan, biro politik Bersatu dan juga Majlis Tertinggi PN.

    “Saya sebagai Pengerusi PN Melaka memberikan sokongan sepenuhnya kepada keputusan tersebut dan saya meminta, memohon semua jentera PN seluruh Melaka harus bekerja keras bagi kemenangan calon-calon PN di semua kerusi yang kita tandingi,” katanya di Melaka, hari ini.

    rafiq naizamohideen

    Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri daripada PN, jika parti itu memperoleh mandat rakyat untuk membentuk kerajaan pada PRN Melaka.

    Mohd Rafiq yang juga calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas berkata, ura-ura mengatakan beliau tidak dicalonkan sebagai Ketua Menteri kerana tidak disokong sebagai akar umbi Bersatu hanyalah spekulasi semata-mata, malah secara konsisten berkempen bagi memenangi kerusi Telok Mas.

    “Saya yakin saya dah turun ke akar umbi, berjumpa secara tidak langsung dengan pengundi-pengundi di masjid, surau dan warung, sokongan kepada PN di Telok Mas sangat positif dan saya yakin rakyat akan terjemahkan sokongan ini pada esok hari iaitu hari mengundi PRN Melaka,” katanya.

    Ditanya sasaran kerusi dimenangi PN esok, beliau berkata: “Saya rasa tidak perlulah saya sebut di sini tetapi saya yakin PN walaupun kemunculan pertama (bertanding pilihan raya) di Melaka, kita akan buat kejutan dengan sokongan rakyat di Melaka”.

    PN bertanding di kesemua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka, esok dengan parti komponennya Bersatu bertanding di 15 kerusi manakala PAS lapan, dan Gerakan lima.

    Kerusi DUN Telok Mas menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Mohd Rafiq yang ditentang calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Ashraf Mukhlis Minghat, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dari Barisan Nasional (BN) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas).

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, kerusi Telok Mas dimenangi Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu) yang ketika itu bertanding di bawah tiket PH dengan majoriti 1,288 undi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada Sabtu (esok) berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA

  • Selepas dikecam, Najib batal mohon rumah percuma RM100 juta

    Selepas dikecam, Najib batal mohon rumah percuma RM100 juta

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik semula permohonan beliau untuk menerima sebidang tanah di Bukit Petaling selepas didedahkan.

    Memetik laporan Malaysia Now, beliau berkata, meskipun layak menerima tanah itu ‘secara prinsip’, beliau tidak mahu permohonan beliau dijadikan isu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    “Saya faham rakyat berdepan saat-saat sukar. Keutamaan negara haruslah kepada rakyat.

    “Memandangkan isu ini mencetuskan suasana tidak selesa, saya cadangkan kepada Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) melihat peruntukan dan tarik semula peruntukan ini kepada perdana menteri selepas ini,” katanya pada sidang media di Melaka hari ini.

    Najib memberitahu, beliau tidak tahu-menahu mengenai nilai tanah itu yang dilaporkan berjumlah RM100 juta termasuk kos pembinaan kediaman.

    Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan perkara itu sekali gus menghangatkan suasana Dewan Rakyat.

    “Bajet ini berkenaan dengan hadiah kepada Najib iaitu rumah bernilai RM100 juta kerana kononnya jasanya kepada negara. Ini tidak disebut kerana setakat yang kita tahu, dia adalah seorang pesalah yang dihukum 12 tahun penjara dan denda lebih RM200 juta.

    “Inikah jasa kerajaan yang ada ini nak balas budi. Akan datang nanti, perdana menteri akan curi duit kerana dapat tambah duit lagi. Duit yang dicuri juga diberi balik,” kata Dr Mahathir.

    Pemberian tanah itu dilaporkan menerima bantahan menteri-menteri kanan dalam Kabinet, antaranya Tengku Zafrul, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Blok pembangkang turut menyuarakan ketidakpuasan hati dengan perkembangan itu dengan Pakatan Harapan (PH) mahu membincangkan semula memorandum persefahaman mereka dengan kerajaan susulan pendedahan MalaysiaNow.

    Najib sedang dalam proses rayuan selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Pada sidang akhbar tersebut, ahli Parlimen Pekan itu mengulangi beberapa perkara yang disebutkan dalam hantaran di laman Facebook beliau. Katanya, keistimewaan itu diluluskan pada zaman Mahathir dan ia diperuntukkan kepada bekas perdana menteri.

    Katanya, beliau memilih tanah itu atas faktor lokasi yang paling sesuai untuk keluarganya.

    MalaysiaNow hari ini mendedahkan Najib memilih tanah itu selepas menolak pilihan yang lebih murah.

    Selepas Barisan Nasional tumbang, Najib tinggal di kediaman peribadinya di Taman Duta dan menerima elaun sebanyak RM10,000.

  • Mas Ermieyati pencetus perubahan senario politik Malaysia

    Mas Ermieyati pencetus perubahan senario politik Malaysia

    LANGKAH Perikatan Nasional (PN) menamakan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka yang ke-13 merupakan satu lagi langkah progresif setelah sebelum ini mengangkat seorang wanita sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Penyelaras Gerak Kerja Penerangan PN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Badrul Hisham Shaharin berkata, Mas Ermieyati bukanlah nama asing dalam kepimpinan politik tanah air.

    Beliau yang juga dikenali sebagai Che’gu Bard berkata, Mas Ermieyati merupakan seorang pemimpin wanita yang berkelayakan, profesional, muda dan mempunyai banyak pengalaman pentadbiran kerajaan.

    “Gaya kepimpinan yang ditonjolkan Mas Ermieyati itu sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan golongan wanita ini tidak boleh menjadi seorang pemimpin yang besar.

    “Saya yakin Mas Ermieyati mampu mencetuskan perubahan kepada senario politik tanah air,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Badrul Hisham menambah, peranan srikandi seperti Tun Fatimah dan Tun Teja tercatat kemas dalam sejarah Melaka di mana mereka memainkan peranan yang sangat bermakna dalam pembinaan sejarah bangsa.

    Menurut beliau, peranan wanita kian berubah seiring dengan peredaran masa dan golongan ini berupaya menggalas tanggungjawab besar bukan sahaja untuk menjadikan Melaka bahkan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan progresif.

    “Ramai orang kagumi Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand khususnya penyokong Pakatan Harapan (PH).

    “Kini peluang di depan mata. Warga Melaka perlu mengangkat wanita sebagai Ketua Menteri yang pertama dengan mengundi dan memberikan kemenangan kepada PN pada 20 November nanti,” jelasnya.

  • Abu Hashim sasar tubuh koperasi kariah masjid seluruh Taboh Naning

    Abu Hashim sasar tubuh koperasi kariah masjid seluruh Taboh Naning

    CALON Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Abu Hashim Abdul Samad bercadang menubuhkan koperasi kariah masjid di seluruh DUN berkenaan sekiranya diberi peluang menyandang kerusi kawasan itu.

    Menerusi satu bual bicara di Hijau FM, Abu Hashim berkata, masjid bukan sahaja tempat untuk mengerjakan ibadah, malah perlu dierluaskan fungsi masjid dalam bidang perniagaan.

    “Zaman Rasulullah selepas baginda dirikan Masjid Nabawi, baginda keluar dan tengok perniagaan di sekitar Masjid Nabawi dijalankan oleh orang Yahudi, jadi Rasulullah kata, kita juga akan berniaga. Sehingga kini, perniagaan di Masjid Nabawi berjalan lancar dan meningkatkan ekonomi orang islam,” katanya.

    Lebih dikenali sebagai Cikgu Hashim, beliau memaklumkan Koperasi Kariah Masjid di Masjid Al-Muhsinin, Kampung Melekek Luar yang ditubuhkan sejak setahun lalu aktif dengan beberapa aktiviti oleh masyarakat setempat.

    “Dengan adanya koperasi itu, yang pertama fokus kita adalah kepada kedai runcit yang dinamakan Muslim Mart, dan yang kedua adalah projek pertanian berkelompok.

    “Jadi koperasi kariah masjid ini dapat bantu dalam bidang petanian untuk kita gunakan tanah-tanah terbiar dan kita juga dapat bantu masyarakat sekeliling untuk mereka usahakan, beri peluang pekerjaan kepada mereka,” ujarnya.

    Tambah beliau, koperasi kariah masjid juga memberi peluang kepada masyarakat setempat yang mempunyai produk persendirian untuk memasarkan produk mereka yang mana setakat ini kira-kira 15 pengusaha telah menghantar produk mereka kepada pihaknya untuk dipasarkan.

    “Jadi, itulah cadangan saya untuk mengadakan koperasi kariah masjid di seluruh DUN Taboh Naning.

    “Kalau kita bergerak sebagai satu pasukan, amat cantik. Katakanlah kita nak beli barang seperti minyak masak melalui borong, harganya lebih murah berbanding beli dalam kuantiti yang sikit, maka kita boleh jual dengan harga yang murah juga.

    Abu Hashim menambah, usahanya menjayakan koperasi di Masjid Al Muhsinin bersama rakan seperjuangan turut mendapat sokongan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selain diiktiraf sebagai koperasi kariah masjid paling aktif di Melaka.