Category: Politik

  • Dr. Maszlee akui sertai PKR dalam keadaan parti itu lemah

    Dr. Maszlee akui sertai PKR dalam keadaan parti itu lemah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik hari ini menamatkan spekulasi dan khabar angin apabila beliau secara rasmi mengumumkan penyertaannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Pengumuman itu dilakukan dalam program Jelajah Presiden yang dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan JKKK Kampung Baru Machap, Simpang Renggam, Kluang, hari ini.

    Menurut Dr. Maszlee, kemasukan dalam PKR itu ibarat sirih pulang ke gagang kerana sebelum ini pernah menjadi ahli parti itu bagi Cabang Ampang pada tahun 2017.

    “Sementelahan Keadilan berada dalam situasi dan populariti yang tidak begitu menggalakkan pada waktu ini terutamanya selepas kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, saya terpanggil melakukan sesuatu untuk membawa perubahan.

    “Ada yang mengejek mengapa masuk parti kalah, malah presidennya diserang dari pelbagai sudut oleh lawan dan segelintir kawan. Lebih malang ada yang sindir apa ertinya sertai Keadilan ketika mereka sedang lemah dan tidak menjadi pilihan.

    “Saya katakan inilah harga sebuah perjuangan (kerana) saya tidak masuk parti untuk mengaut laba keuntungan dan tidak mahu menjadi opurtunis politik yang tukar parti untuk dapat jawatan atau ganjaran,” katanya ketika berucap dalam program itu.

    Maszlee sebelum ini merupakan seorang ahli akademik yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Parlimen Simpang Renggam.

    Beliau pernah menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun meletak jawatan susulan beberapa kontroversi.

    Maszlee dipecat daripada Bersatu pada Mei tahun lalu susulan konflik sebelum menjadi Ahli Parlimen Bebas pada November tahun lalu selepas beberapa bulan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

  • Belum sesuai adakan pilihan raya umum dalam masa terdekat 

    Belum sesuai adakan pilihan raya umum dalam masa terdekat 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat ketika tumpuan semua pihak perlu difokuskan terhadap usaha membangunkan negara setelah lebih dua tahun ‘berperang’ dengan Covid-19.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini pelbagai usaha masih perlu dilakukan untuk melandaikan lagi Covid-19.

    Dalam masa sama katanya, semua pihak turut perlu memberi fokus terhadap ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik tersebut.

    “Saya kira elok kita landaikan lagi Covid-19 kerana terdapat pelbagai masalah melanda negara dalam tempoh dua tahun ini. Lagi pun sekarang ini kita dalam usaha memulihkan ekonomi yang terjejas.

    “Dua perkara ini perlu diberi penekanan dan selepas itu kalau keadaan dah selesa, eloklah kita fikirkan nak buat PRU,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Sahabat Komuniti Desa (Skod) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dekat Naka, Padang Terap, hari ini.

    Baru-baru ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menggesa agar PRU-15 dipertimbangkan untuk diadakan dalam masa terdekat mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN).

    Beliau juga ada menyuarakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik sahaja BN memenangi PRN Melaka.

    Namun semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, Kementerian Kesihatan berpandangan tidak sesuai untuk PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan penularan kes Covid-19 di negara ini masih membimbangkan selain berdepan peningkatan kadar kemasukan ke hospital.

  • Pengganti Mohd Rafiq akan diumum dalam masa terdekat – Muhyiddin

    Pengganti Mohd Rafiq akan diumum dalam masa terdekat – Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, pengganti Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen yang meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka akan diumum dalam masa terdekat.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tidak menolak, menerusi pengumuman tersebut nanti akan turut melibatkan rombakan kepimpinan BPN Melaka sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Nanti saya akan putuskan siapa yang bakal mengganti ataupun rombakan yang lain dalam tempoh beberapa hari kehadapan.

    “Tindakan diambil Datuk Mohd Rafiq ini sebagai langkah terhormat selain memudahkan rombakan BPN dapat dibuat susulan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh kali ke-3 di Dewan Belia Batu 28, Lenga, Pagoh, hari ini.

    Mohd. Rafiq yang juga Naib Presiden Bersatu mengumumkan peletakan kedua-dua jawatan itu berkuat kuasa semalam dan surat rasmi peletakan jawatannya akan diserahkan kepada Muhyiddin hari ini.

    Beliau berkata, keputusan tersebut bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk mengetuai PN dan Bersatu Melaka supaya mempunyai masa yang cukup membuat segala persiapan menghadapi PRU-15.

    Tambah Mohd Rafiq, langkah tersebut juga membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab sebagai Naib Presiden Bersatu menjelang PRU-15.

  • Bersatu beri laluan penuh GPS, tidak bertanding dalam PRN Sarawak

    Bersatu beri laluan penuh GPS, tidak bertanding dalam PRN Sarawak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan parti itu tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan pada Disember ini.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, langkah itu bagi memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar pada PRN Sarawak sekali gus menyapu bersih semuau 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

    Bekas Perdana Menteri itu yakin GPS mempunyai kekuatan sendiri dan keputusan tersebut juga diambil Bersatu kerana menghormati GPS.

    “Kita juga telah berbincang di peringkat Bersatu bahawa kita tidak akan bertanding kerana kita hendak memastikan parti yang sudah ada di Sarawak itu menang dengan cemerlang dan itu juga hasrat pimpinan GPS.

    “Walaupun kita ada tempat tertentu yang parti percaya kita boleh menang, tetapi pandangan daripada pihak GPS perlu dihormati dan saya percaya GPS juga mempunyai kekuatannya tersendiri,”katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh kali ke-3 di Dewan Belia Batu 28, Lenga, Pagoh, hari ini.

    Muhyiddin tidak menolak kemungkinan GPS bekerjasama dengan parti-parti komponen PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Pandangan daripada pihak GPS adalah kerusi sedia ada dikekalkan, cuma di peringkat PRU15 nanti ada gambaran yang mengatakan mungkin GPS akan memberi pertimbangan dimana parti lain boleh bersama mereka termasuk PN.

    “Apapun kita tetap menghormati pandangan mereka dan atas dasar itu, jentera parti kita yang berada di sana akan tolong membantu untuk pastikan GPS capai kemenangan besar,” katanya.

  • Pakatan Harapan ‘semakin berantakan’, PKR, DAP berebut kerusi di Sarawak

    Pakatan Harapan ‘semakin berantakan’, PKR, DAP berebut kerusi di Sarawak

    SELEPAS tercetusnya desakan oleh ADUN DAP supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang, disusuli dengan berbalas-balas kecaman antara parti itu dan PKR, keadaan di dalam Pakatan Harapan ‘semakin berantakan’.

    Ia susulan penegasan ‘perebutan kerusi’ bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak apabila PKR negeri itu menegaskan, perjanjian rundingan kerusi Pakatan Harapan sebelum ini tidak boleh diguna pakai.

    Malaysiakini melaporkan, sambil menyifatkan ia sebagai “batal dan tidak sah”, mereka berkata perjanjian itu dibuat antara pemimpin terdahulunya, Larry Sng dan DAP Sarawak, tanpa persetujuan akar umbi PKR.

    Dalam kenyataan tegas malam tadi, PKR Sarawak turut mengecam DAP yang didakwa enggan membincangkan perjanjian kerusi baru sejak beberapa bulan lalu.

    “PKR Sarawak sentiasa berusaha untuk bermurah hati dan mengamalkan prinsip ‘setiakawan’ dalam kalangan rakan gabungan kita di Sarawak.

    “Namun kami ingin menyatakan untuk rekod bahawa bukan kami yang cuba menimbulkan isu di kerusi tertentu tetapi DAP Sarawak yang enggan berunding secara terbuka dan telus dengan kami.

    “Selama beberapa bulan kami cuba bertemu dengan pimpinan tertinggi DAP Sarawak untuk membincangkan perkara itu tetapi berdepan dengan penolakan.

    “Kami telah menjelaskan bahawa susulan tindakan bekas Pengerusi PKR Sarawak Larry Sng keluar daripada parti kami pada Feb 2021, sebarang perjanjian peribadi yang dibuat oleh beliau dengan DAP Sarawak adalah terbatal dan tidak sah kerana ini dilakukan sendiri tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pemimpin akar umbi PKR di Sarawak,” kata mereka.

    Pada 2 Januari lalu, PH Sarawak telah bersetuju bahawa PKR akan bertanding di 47 kerusi, DAP 26 dan Amanah sembilan. Perjanjian itu ditandatangani oleh Sng, Pengerusi DAP Sarawak Chong Cheng Jien dan Pengerusi Amanah Sarawak Abang Abdul Halil Abang Naili.

    Sebulan kemudian, Sng keluar dari PKR untuk menjadi ahli parlimen bebas pro-Perikatan Nasional.

    Chong sebelum ini menegaskan bahawa perjanjian kerusi PH sebelum ini akan diguna pakai meskipun Sng telah keluar parti.

    Chong mengumumkan calon DAP untuk 18 kerusi semalami, termasuk Kemena, Senadin, Pujut dan Piasau.

    Malam tadi, PKR Sarawak berkata ia sebelum ini meminta untuk bertanding di empat kerusi ini tetapi DAP “enggan terlibat dalam sebarang rundingan”.

    “Dengan ini kita bertanya kepada DAP Sarawak – di manakah perkongsian dan pembinaan muafakat? Pembinaan muafakat gabungan mesti dilakukan secara terhormat, terbuka dan telus.

    “Membina pembangkang yang kuat di Sarawak yang boleh membawa pembaharuan dan perubahan secara berkesan bukan sekadar menguasai kerusi majoriti Cina di bandar.

    “Pakatan pembangkang di Sarawak perlu diterajui dengan berkesan oleh sepasukan pemimpin berbilang kaum, dengan sokongan akar umbi yang kuat, untuk mendekati rakyat di kawasan pedalaman Sarawak,” katanya.

    Hari penamaan calon untuk pilihan raya Sarawak ialah pada 6 Disember. Hari pengundian pada 18 Disember. PKR Sarawak setakat ini belum mengumumkan senarai calon yang akan bertanding.

  • Maszlee Malik masuk PKR pula, apa motifnya?

    Maszlee Malik masuk PKR pula, apa motifnya?

    AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dilaporkan akan menyertai PKR setelah tidak menganggotai mana-mana parti sejak meninggalkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada November 2020.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

    Difahamkan, bekas Menteri Pendidikan era rejim Pakatan Harapan (PH) itu akan menjadi ahli PKR hari ini.

    Walau bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Maszlee akan diberi peranan penting dalam PKR atau sekadar menjadi ahli biasa.

    Sebelum menjadi Ahli Parlimen Bebas, beliau merupakan salah seorang pengasas Pejuang yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Tidak diketahui dengan jelas mengapa Maszlee tiba-tiba meninggalkan parti yang dikuasai Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz itu.

    Semasa menerajui Kementerian Pendidikan, terdapat beberapa isu membelenggu pentadbiran Maszlee seperti peruntukan kepada sekolah persendirian Cina.

    Beliau juga terkenal dengan julukan ‘menteri kasut hitam’ setelah secara tiba-tiba mengumumkan tentang pemakaian kasut hitam di sekolah dalam satu wawancara yang disiarkan di televisyen.

    Keputusan tersebut menimbulkan rungutan dalam kalangan ibu bapa kerana mereka terpaksa berbelanja lebih untuk membeli kasut baharu bagi anak-anak.

    Pengilang kasut dan penjual juga mengeluh kerana dasar pemakaian kasut hitam menyebabkan kasut putih yang berada di pasaran dan gudang tidak laku.

    Walaupun Kementerian Pendidikan era rejim PH kemudian memberi kelonggaran dari segi tempoh penguatkuasaan dasar tersebut, kerosakan telah pun berlaku.

    Peniaga pakaian sekolah terpaksa menjual kasut putih dalam stok mereka pada harga yang sangat rendah bagi mengurangkan kerugian yang terpaksa ditanggung.

    Melihat kepada kontroversi yang menyelubungi Maszlee, terdapat kemungkinan beliau akan menjadi liabiliti kepada PH yang kini semakin merudum setelah kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

  • Peletakan jawatan Mohd Rafiq perlu jadi teladan pemimpin politik

    Peletakan jawatan Mohd Rafiq perlu jadi teladan pemimpin politik

    PELETAKAN jawatan Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka perlu menjadi tauladan kepada ramai pemimpin politik di negara ini.

    Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu mencerminkan kualiti tinggi seorang pemimpin kerana mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

    “Jadi saya kagum dengan tahap kepimpinan sebegini berbeza dengan pemimpin-pemimpin lain yang pernah ditewaskan pada pilihan raya tetapi masih sibuk berpolitik hingga mengakibatkan banyak kekeliruan dalam negara sekarang kerana masih nak memegang jawatan.

    “Saya fikir apa yang telah dibuat beliau ini perlu menjadi tauladan kepada begitu ramai lagi pemimpin-pemimpin besar yang jauh lebih berumur…apabila rakyat sudah tolak tu mesti tahu bila nak bersara,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Sebelum itu Ahmad Faizal hadir ke Wisma Bernama bagi menghadiri sesi Program Bual Bicara Bersama Menteri Belia dan Sukan yang disiarkan Bernama TV, hari ini.

    Mohd Rafi mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta hari ini bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk mengetuai Bersatu Melaka dan supaya PN Melaka mempunyai masa mencukupi bagi membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Sementara itu, Ahmad Faizal berkata tiada desakan supaya Mohd Rafiq meletakkan jawatannya itu.

    Dalam perkembangan berasingan, Ahli Parlimen Tambun itu mengalu-alukan kehadiran Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Segama Datuk Mohamaddin Ketapi sebagai ahli Bersatu yang baharu secara rasmi hari ini.

    “Saya percaya beliau yakin dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) sama seperti sebilangan besar rakyat yang selesa dengan kepimpinannya.

    “Saya harap beliau (Mohamaddin) dapat bekerjasama rapat dengan saya dalam Bersatu dan berusaha untuk dapatkan sokongan rakyat dalam PRU akan datang melalui gabungan dalam PN,” katanya. – Bernama

  • PRU15 tidak sesuai diadakan ketika ini

    PRU15 tidak sesuai diadakan ketika ini

    KEMENTERIAN Kesihatan berpandangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan ketika ini, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

    Katanya, ia berikutan kemasukan pesakit ke hospital semakin meningkat selain kes COVID-19 yang membimbangkan dan kemunculan varian baharu Covid-19 dalam negara.

    “Saya rasa kalau diadakan pilihan raya pada waktu ini adalah sangat tidak bertanggungjawab,” katanya di sidang media di ibu pejabat KKM pada Jumaat bagi menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan perlu diadakan PRU15 dengan segera.

    Mengenai prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, Khairy berkata, beberapa siri perbincangan dan libat urus telah diadakan antara KKM dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak berhubung perkara itu.

    “Mereka telah mengemukakan beberapa permintaan yang sedikit berbeza daripada PRN Melaka, contohnya ada kawasan di Sarawak tiada capaian internet dan ia menyukarkan untuk calon melaksanakan kempen di kawasan berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang ditugaskan untuk perkara berkaitan SOP dan ia akan dimuktamadkan pada 30 November, kemudiannya diusulkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti. 

    SPR menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak dan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember, manakala hari pengundian awal pada 14 Disember.

    Ketika ditanya mengenai situasi Covid-19 berkaitan PRN Melaka, beliau berkata kebiasaannya jika diadakan program atau perhimpunan besar, kesannya dapat dilihat dalam 10 hari selepas program diadakan.

    “PRN Melaka baru sahaja selesai, kita mungkin tunggu beberapa hari lagi sebelum kita melihat sekiranya ada trend kenaikan mendadak,” katanya. – Bernama

  • Bersatu cari pengganti Mohd. Rafiq – Hamzah

    Bersatu cari pengganti Mohd. Rafiq – Hamzah

    BERSATU akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk mencari pengganti Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka selepas Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen mengumumkan peletakan jawatannya hari ini.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menerima keputusan yang telah dibuat dan menzahirkan penghargaan ke atas jasa Mohd Rafiq selama memegang jawatan tersebut.

    “Terima kasih kami ucapkan kepada Mohd. Rafiq. Kami baru terima pengumuman mengenai peletakan jawatannya pada hari ini.  Kami akan buat keputusan tidak lama lagi, dan ia akan diumumkan selepas dipersetujui Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Ahli Parlimen Larut itu sewaktu merasmikan Persidangan Tahunan Bahagian Larut 2021, hari ini.

    Mohd. Rafiq mengumumkan peletakan jawatan tersebut hari ini bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu selain memberi tumpuan untuk memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap PN Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu.

    Ditanya mengenai post-mortem Bersatu yang gagal mempertahankan kerusi disandang mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Hamzah berkata, pihaknya akan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti selain membuat analisa sokongan terhadap calon-calon yang telah dipilih.
     
    “Semalam ada bincang dalam mesyuarat. Analisa awal adalah kami ada sokongan yang tinggi mencecah 77,000 sokongan walaupun kami parti baharu. Ini agak baik kerana kami pertama kali letak calon. Kami juga akan perbaiki kelemahan yang kami kenal pasti,” katanya.

    Pada PRN Melaka yang melabuh tirainya Sabtu lepas, Bersatu hanya memenangi dua dari 15 kerusi ditandingi parti tersebut iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban melalui Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Sungai Udang melalui Dr Mohd Aleef Yusof.

    Ditanya mengenai kedudukan dua kerusi tersebut dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka kelak, Hamzah berkata, setakat ini pihaknya belum memberikan arahan dan hal ini akan ditentukan Speaker DUN kelak. – Bernama

  • Veteran UMNO gesa bubar Muafakat Nasional, elak polemik

    Veteran UMNO gesa bubar Muafakat Nasional, elak polemik

    BUBARKAN sahaja Muafakat Nasional (MN) bagi mengelakkan polemik berpanjangan dengan PAS, gesa Kelab Veteran UMNO.

    Setiausaha Agung Kelab Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kedua-dua parti telah membuat keputusan muktamad apabila UMNO menolak Perikatan Nasional (PN) dan PAS memilih PN.

    “Sekiranya status MN dibiarkan tergantung maka akan berlaku tuduh menuduh dan salah menyalah di antara kedua parti.

    “Oleh itu lebih baik dibuat keputusan muktamad dengan membubarkannya. Habis cerita dan tutup buku,” katanya seperti dilaporan Malaysiakini.

    Hubungan UMNO dan PAS yang dirintis selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) melalui jalan berliku selepas PAS memilih bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN.

    Ia diburukkan lagi selepas BN dan PN bertembung sesama sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

    Dalam kenyataan petang ini, Mustapha berkata MN bukan ada ikatan berdaftar.

    “Ia hanya satu gagasan yang telah gagal dan tidak diperlukan lagi,” jelasnya.

    Katanya, jika MN dibubarkan, UMNO dan PAS tidak perlu bersusah-susah untuk menjaga hati masing-masing.

    “Biarlah masing-masing meneruskan perjuangan berdasarkan tujuan dan matlamat masing-masing.

    “UMNO menghormati keputusan PAS untuk bersama PN dan PAS juga mesti menghormati UMNO yang tidak mahu bersama PN,” katanya.

    Mustapha menegaskan pembubaran MN bukan atas dasar marah atau kecewa, tetapi bagi mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir di kalangan ahli UMNO.

    Katanya, masih ada menganggap MN masih wujud sedangkan ‘hakikatnya MN telah terkubur’.