Category: Politik

  • UMNO semakin galak tekan Ismail Sabri, mahu Zahid jadi PM lepas PRU-15

    UMNO semakin galak tekan Ismail Sabri, mahu Zahid jadi PM lepas PRU-15

    PEMIMPIN-PEMIMPIN UMNO dikatakan melancarkan gerakan secara untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar tunduk dengan desakan mereka supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal.

    Memetik laporan Agenda Daily, mereka bertindak sedemikian ekoran terlalu yakin rakyat kembali menerima Barisan Nasional (BN) dan UMNO selepas kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu.

    Sumber-sumber yang rapat dengan anggota Majlis Kerta Tertinggi (MKT) UMNO memberitahu Agenda Daily, gerakan itu menjadikan pelbagai isu semasa untuk menyerang Ismail Sabri, termasuk kenaikan harga barang, kemenangan ketika PRN Melaka, selain menuduh beliau yang juga Naib Presiden UMNO sebagai penyokong kuat Perikatan Nasional (PN).

    Menurut sumber-sumber itu, jika diperhatikan sekarang ini, pemimpin tertinggi parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dan Datuk Seri Najib Razak, memberi tekanan kepada Ismail Sabri dengan cara menyerang kementerian tertentu.

    “Malah mereka menjadikan PN, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS, sebagai kambing hitam, apabila menyatakan kedua-dua parti itu menyusun gerakan untuk menaikkan semula Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

    “Semakin dekat tempoh Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan terhadap rayuan Najib, dan semakin dekat juga Mahkamah Tinggi akan memutuskan sama ada Zahid akan dipanggil membela diri dalam kes rasuahnya, semakin hebat juga serangan dilakukan.

    “Ianya bukan melibatkan kes mahkamah sahaja tetapi dalam banyak hal, termasuk kenaikan harga barang dijadikan alat untuk menyerang Naib Presiden UMNO, dan kerajaan PN sebelum itu,” kata sumber berkenaan.

    Sumber itu berkata. usaha juga dilakukan supaya Ismail Sabri menggantikan pemimpin PN yang menduduki kerusi menteri kanan dalam kerajaan, serta portfolio penting dengan pemimpin UMNO dan komponen BN.

    “Ini bagi membolehkan tekanan lebih hebat dikenakan supaya Ismail Sabri menerima cadangan untuk membubarkan Parlimen lebih awal atau selewat-lewatnya sebelum Julai tahun depan.

    “BN, khususnya UMNO sekarang ini terlalu yakin akan mencapai kemenangan besar jika PRU-15 diadakan dalam masa terdekat. Jika BN menang besar dalam PRU-15, siapa yang akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan nama PM? Siapa yang akan diangkat menjadi PM?

    “Sudah tentulah Zahid… kerana beliau adalah Pengerusi BN… siapa pula calon PM? Mestilah individu yang mengetuai BN… Zahid,” katanya sambil menjelaskan jika itu berlaku ia bakal mempengaruhi beberapa kes di mahkamah.

    Menurut sumber itu, usaha paling hebat digerakkan kepemimpinan UMNO sekarang ini lebih menjurus dengan memberi tekanan kepada Ismail Sabri supaya mengadakan PRU-15 sebelum Julai tahun depan.

    “Ini yang paling penting bagi UMNO sekarang… untuk menang besar dalam PRU-15 dan melepaskan pemimpin mereka daripada kes mahkamah. Sudah diketahui umum selama BN/UMNO memerintah sebelum ini, campur tangan dalam insitutsi kehakiman kerap berlaku.

    “Sebab itu tekanan diberikan terhadap Ismail Sabri dengan pelbagai cara sekarang ini, terutama setelah mereka melihat PM tidak berupaya mentadbir negara tanpa sokongan PN,” katanya.

  • Tak perlu Tanah Besar Malaysia, istilah Malaysia Timur sudah memadai

    Tak perlu Tanah Besar Malaysia, istilah Malaysia Timur sudah memadai

    CADANGAN menjenamakan Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia tidak membawa sebarang keistimewaan kepada kedua-dua negeri itu.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kerajaan berpandangan, istilah sedia ada dalam undang-undang iaitu Malaysia Timur adalah memadai.

    Beliau berkata, berdasarkan semakan undang-undang yang dibuat Jabatan Peguam Negara, didapati istilah Tanah Besar Malaysia tidak pernah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.

    “Penjenamaan itu tidak membawa apa-apa, kerana ia hanya bagi easy reference, tidak menambah atau menolak apa-apa keistimewaan kepada mana-mana negeri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) mengenai sama ada kerajaan akan mengkaji untuk menjenamakan Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia memandangkan Federation of Malaya sudah sekian lama dinamakan sebagai Semenanjung Malaysia.

    Menurutnya, di bawah undang-undang sedia ada, terdapat beberapa istilah yang digunakan seperti East Malaysia dan Peninsular Malaysia.

    Tambahan pula katanya cadangan pindaan Perkara 1(2) seperti yang diperuntukkan dalam Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 sekiranya diluluskan kelak, akan memperuntukkan kembali istilah Negeri-Negeri Borneo bagi merujuk kepada Sabah dan Sarawak.

    Pada 3 Nov lepas, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat antaranya untuk memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.

    Bacaan kali kedua rang undang-undang itu dijangka dibuat pada sesi Dewan Rakyat ini. – BERNAMA

  • Tuduh terima ‘macam-macam’ dari kerajaan, Dr Mahathir bagi Najib sedas

    Tuduh terima ‘macam-macam’ dari kerajaan, Dr Mahathir bagi Najib sedas

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menempelak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menuduh secara melulu kononnya beliau menerima ‘macam-macam’ daripada kerajaan selepas bersara.

    Minggu lalu, Najib dalam laman Facebook miliknya mendakwa, Dr Mahathir beroleh pajakan tanah di Langkawi semasa anaknya Datuk Seri Mukhriz menjadi Menteri Besar Kedah.

    Beliau turut mempersoalkan tentang kenyataan Dr Mahathir bahawa tanah di Putrajaya dibeli daripada kerajaan.

    Berikut adalah penjelasan penuh Dr Mahathir bagi menjawab tuduhan Najib seperti dalam hantaran Facebook beliau:

    Nampaknya ada orang yang berbuih mulut tuduh saya dapat macam-macam daripada Kerajaan selepas bersara dari jawatan Perdana Menteri.

    Ada juga dikeluar ‘bukti’ berkenaan pajakan tanah di Langkawi. Pajakan dengan bayaran bukan makna hadiah. Bukan dapat free, diskaun pun tidak.

    Agaknya orang ini cuba nak alih pandangan dari masalah dia ‘tolak’ permintaan dia sendiri untuk dapat hartanah mewah dari Kerajaan. Ada orang beritahu saya mewah tahap kayangan.

    Saya akui saya pajak tanah. Pajak, bukan minta. Pajak kena bayar. Tak dapat free pun. Saya juga beli dua keping tanah di Langkawi selepas bersara. Tidak ada yang saya dapat percuma sebagai hadiah dari Kerajaan Persekutuan atau Negeri. Sebaliknya kos sewaan dinaikkan berkali ganda sehingga saya serah balik kepada LADA, Langkawi.

    Bermacam usaha saya lakukan, ternak kerbau, buat keju, tanam sayuran. Ada yang berjaya, ada yang tidak. Yang tidak “economically viable” apabila sewa dinaikkan oleh LADA, saya kembalikan pajakan pada pihak berkuasa.

    Kalau ada salah laku, siasatlah. Dah 18 tahun saya berhenti dari Kerajaan semasa jadi Perdana Menteri pertama kali. Selama itu, saya jadi Perdana Menteri semula 22 bulan. Apabila jadi PM kali kedua, pencen saya dihentikan. Pencen diberi balik selepas saya berhenti dari jadi PM kali kedua.

    Macam-macam tuduhan yang dibuat tentang “salah laku” saya. Kalau benar dakwa lah. Kalau bersalah hukumlah.

    Malahan masa saya mula buka mulut pasal 1MDB berbagai usaha nak tuduh saya buat salah dilakukan kepimpinan masa itu.

    Bila gagal sampai tukang masak saya pun dilucut jawatan.

    Isteri saya pun turut disoal siasat. LHDN pula siasat anak-anak saya.

    Alhamdulillah, cukai semua dibayar ikut undang-undang dan tak timbul hutang cukai sampai berbilion. Jadi tak perlu mintak pelepasan passport untuk ke luar negara.

    Saya ingat buat masa ini saya tak perlu lah jelaskan apa-apa. Kalau pihak berkuasa terbabit nak jelas tentang pajakan-pajakan saya, sila lah.

    Tidak ada apa-apa yang nak saya sembunyi pun. “Nothing to Hide”.

  • Cukuplah Najib, sampai bila mahu ‘burukkan’ Muhyiddin…carilah modal lain

    Cukuplah Najib, sampai bila mahu ‘burukkan’ Muhyiddin…carilah modal lain

    KOMEN terbaru Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa Bersatu sedang menyusun propaganda untuk menumbangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan mengembalikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di kedudukan itu menimbulkan persoalan.

    Beliau menyebut, ‘’page-page propaganda PPBM-PN utama seperti page Otai pun telah memulakan serangan bertubi-tubi ke atas PM Ismail Sabri.’’

    Kadang kala kasihan penulis melihat Najib yang nampak semakin ‘tidak keruan’ dan tidak habis-habis menyerang Muhyiddin, walaupun Ahli Parlimen Pagoh itu amat jarang sekali menyebut nama Ahli Parlimen Pekan tersebut.

    Tetapi penulis tertanya-tanya apakah motif Najib menggunakan perkataan, ‘’ Paling membimbangkan ialah menteri-menteri dalam kerajaan Ismail Sabri merupakan menteri utama yang mengatur dasar ekonomi, pertanian, kewangan,perladangan yang mempengaruhi harga barang khususnya harga makanan juga adalah daripada parti yang mahu tumbangkan Ismail.

    ‘’Diorang (Mereka) serang Ismail berkenaan harga barang naik tapi korang (mereka) juga yang bertanggungjawab atas dasar yang disebabkan harga barang naik.’’

    Kalau begitu hujah Najib, macam mana pula ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, siapakah menteri yang menguruskan Covid-19? Bukankah ketika itu Ismail Sabri adalah Menteri Kanan Pertahanan, bukankah Dr.Adham Baba (Menteri Kesihatan), bukankah Khairy Jamaluddin (Menteri Sains Teknologi dan Inovasi) dan bukankah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Luar).

    Bukankah kesemua mereka daripada UMNO berada di ‘barisan hadapan’ bersama Muhyiddin sebagai Perdana Menteri bagi menguruskan negara yang sedang ‘diserang’ pandemik Covid-19? Adakah kita boleh meragui kesungguhan mereka? Adakah kita boleh mewujudkan persepsi ‘korang juga bertanggungjawab’…tentukan segala tindakan kerajaan bagi menangani pandemik tersebut yang dicanang oleh Najib sebagai ‘kerajaan gagal’?

    Bagaimana perasaan Najib dan UMNO, kalau wujud tafsiran seumpama itu seperti mana ‘hujah jahil’ Najib dalam membangkit soal parti mana menteri yang bertanggungjawab menjaga harga makanan dan barang-barang?

    Tetapi kita semua tahu menteri-menteri tersebut sama ada daripada UMNO mahupun Bersatu melakukan kerja mereka dengan jujur dan ikhlas, tetapi malangnya mereka diganggu dan terganggu oleh pemimpin seperti Najib yang merasakan hanya beliau sahaja bijak menguruskan negara, beliau sahaja prihatin rakyat dan beliau sahaja pandai bab ekonomi.

    Namun jangan lupa di bawah kepemimpinan beliau juga, Barisan Nasional (BN) hilang kuasa selepas 61 tahun memerintah dan di bawah pentadbiran beliau juga tercetus skandal 1MDB yang ‘menggegarkan dunia’ hingga ia akan difilemkan.

    Najib seharusnya tidak terlalu teruja mahu terus ‘menyerang’ atau memburuk-burukkan Muhyiddin dan Bersatu, kalaulah apa yang ditulis dalam media sosial mahu dijadikan ‘senjata’ untuk membuat dakwaan, rasanya perkara yang sama boleh dilakukan ke atas beliau.

    Tetapi itu bukanlah politik yang bijak, sebaliknya hanya menampakkan seseorang itu semakin ‘muflis modal politik’ dalam usaha  melemahkan ‘musuh politiknya’.

    Dalam bab kenaikan harga barang ini, Najib sepatutnya boleh mendapat pandangan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang  berhujah jauh lebih objektif dan bijak berbanding Najib yang dilihat lebih bermotif politik!

    Seperkara lagi, apa salahnya dengan kenyataan Timbalan Ketua Penerangan II Bersatu Malaysia, Dr.Ariff Bahardin bahawa Bersatu akan berusaha untuk menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sekali lagi?

    Kalaulah dalam UMNO pun sudah ada bunyi-bunyi mahu ‘bossku’ kembali menjadi Perdana Menteri, pelikkah kalau penyokong Bersatupun mempunyai impian yang sama untuk Muhyiddin?

    Lagipun Muhyiddin adalah Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional berbeza dengan Najib hanya sekadar Penasihat BN dan tiada apa-apa jawatan dalam kepemimpinan UMNO…sepatutnya itu lagi nampak pelik.

    Atau adakah Najib melihat peluang Muhyiddin jauh lebih cerah daripada beliau untuk membuat ‘come back’? Kalau tidak ada perasaan itu, carilah modal lain untuk terus diingati, bukannya siang malam dok ‘meratib’ nama Muhyiddin.

  • ”Jangan anggap menang di Melaka, undi percaya kepada UMNO’’ – Ku Li

    ”Jangan anggap menang di Melaka, undi percaya kepada UMNO’’ – Ku Li

    BEKAS Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah mengingatkan Barisan Nasional (BN) supaya tidak terlalu yakin dengan kemenangan besarnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu.

    Beliau berkata, UMNO tidak seharusnya “terperdaya” kerana ramai rakyat Melaka yang tidak keluar mengundi sehingga peratus keluar mengundi hanya  326,068 undi atau 65.8% daripada pemilih berdaftar di negeri itu.

    Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, pengundi lebih rela “tunggu dan lihat” menjelangnya PRU nanti yang dijangka diadakan tahun depan.

    “Saya tidak katakan Melaka akan mengadakan satu lagi pilihan raya (negeri) bersama dengan pilihan raya umum bagi Parlimen juga. Tetapi saya katakan bahawa mereka merasakan bahawa ini adalah pilihan raya kecil berbanding pilihan raya besar yang akan menggerakkan segalanya selepas PRU15.

    “Tetapi ia adalah amaran jelas kepada semua, termasuk dalam UMNO. Jangan terlalu yakin. Anda mungkin mempunyai sokongan kuat di beberapa bahagian di Melaka. Di peringkat persekutuan anda mungkin berdepan kumpulan anti-BN, (sentimen) anti-UMNO yang kuat berkembang dan akan memberi kejutan serta kekecewaan apabila tibanya PRU15,’’ kata kepada portal Free Malaysia Today.

    Pekembar UMNO 1946
    TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

    Peringatan Ku Li itu dilakukan berikutan keghairahan beberapa pemimpin UMNO yang mendesak supaya PRU-15 diadakan secepat mungkin. Gesaan itu dibuat selepas UMNO mencatatkan kemenangan dua pertiga dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan di PRN Melaka.

    Tengku Razaleigh seterusnya mengingatkan, BN menang dengan margin tipis di beberapa kerusi di Melaka dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi dan memberi amaran pengundi mungkin tidak bersama dengan gabungan itu sekiranya ia gagal menunjukkan prestasi baik.

    Beliau berkata, BN tidak boleh menganggap kemenangan besar di Melaka itu sebagai “undi percaya” pengundi terhadap parti itu sambil menjelaskan bahawa gabungan itu memperolehi kurang 40 peratus daripada jumlah undi.

    “Kita akan tersilap besar jika kita menganggap bahawa majoriti dua pertiga adalah “undi percaya” untuk parti. Saya fikir kita perlu bekerja keras dan berhati-hati,’’ katanya.

    Ku Li menegaskan, UMNO perlu melalui proses transformasi secara berterusan dan kepimpinan UMNO diberi terlalu banyak kuasa.

    Katanya, ini menyebabkan mereka terpisah daripada hakikat di peringkat akar umbi apabila pemimpin menjadi lebih elitis, yang akan menghakis sokongan terhadap UMNO.

  • Nilai semula tawaran PN kepada anak muda, penjawat awam-Armada

    Nilai semula tawaran PN kepada anak muda, penjawat awam-Armada

    ANGKATAN Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menjadikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai rujukan termasuk menilai semula tawaran kepada anak muda dan penjawat awam yang dibuat sebelum ini.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ini bagi memastikan sama ada tawaran itu memenuhi kehendak mereka atau sebaliknya.

    “Kita akan lihat semula soal kebajikan rakyat dan ia sudah diperhalusi jawatankuasa Armada pusat yang akan membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat.

    “Armada sudah lakukan post-morterm di peringkat sayap parti, tidak ada apa-apa yang serius melainkan kelemahan jentera di PRN Melaka, kita akan perbaikinya,” katanya.

    Menurutnya, Armada dalam konteks Perikatan Nasional (PN) perlu lebih memahami denyut nadi rakyat khususnya membabitkan kestabilan politik serta perkara asas seperti ekonomi dan kebajikan.

    Beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara berkata, perkara sama juga diingatkan kepada jentera parti pada Persidangan Bahagian Bersatu Titiwangsa baru-baru ini dan menjadi titik tolak kepada perubahan gerak krja yang lebih mantap.

    “Di peringkat Pusat, kita lakukan bedah siasat punca kekalahan di Melaka serta untuk tidak mengulanginya adalah dengan terus memperkukuh hubungan bersama rakan-rakan parti komponen dalam PN sama ada di peringkat negeri, bahagian mahupun cawangan,” katanya.

  • Amanah sedia wujud persefahaman dengan UMNO tumbangkan Pas di Terengganu

    Amanah sedia wujud persefahaman dengan UMNO tumbangkan Pas di Terengganu

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah membayangkan persefahaman antara gabungan itu dengan UMNO boleh dibentuk bagi menyekat Pas memenangi kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Raja Kamarul berkata persefahaman tersebut boleh dibentuk dalam mencatur kerusi PRU15 nanti.

    “Walaupun kita dengan UMNO tidak di bawah payung sama tapi perbezaan kita tak begitu tajam. Kita tak serang UMNO, UMNO pun tak serang kita.

    “Saya rasa kita dengan UMNO ada kelebihan, kita boleh berkomunikasi, dan mungkin ada peluang persefahaman untuk kita memberi tumpuan fokus dalam kerusi tertentu,” katanya seperti dilaporkan The Malaysian Insight.

    Beliau memberitahu, PH Terengganu sukar untuk “berbincang” dengan Pas, berbanding dengan UMNO biarpun mereka berbeza pendapat.

    Pada PRU-14, Pas memenangi 22 dari 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu sekali gus mengambil alih pentadbiran negeri daripada BN dengan majoriti dua pertiga manakala PH gagal mendapat sebarang kerusi dan 19 calonnya hilang deposit.

    Bagi kerusi Parlimen, Pas memenangi enam kerusi Parlimen, sementara PH gagal memenangi sebarang kerusi bahkan tiga calonnya kehilangan deposit. UMNO menang dua kerusi di Hulu Terengganu dan Besut.

    Dalam pada itu, Raja Kamarul menjelaskan persefahaman yang boleh dilakukan itu bukan sebuah persefahaman dalam bentuk kerjasama rasmi.

    “Ada ruang duduk berbincang dan bertolak ansur. Keutamaan UMNO sekarang ini asalkan bukan Pas dan kepentingan kita pun sama, kerana Pas ini merosakkan Terengganu. Kita ada persamaan nak menyelamatkan Terengganu ini daripada Pas, ada matlamat. Kalau kita bertembung (kerusi) pun tak akan ada pertembungan yang sengit,” katanya.

  • Kumpulan pro-Anwar sentap, hentam Anthony Loke pula

    Kumpulan pro-Anwar sentap, hentam Anthony Loke pula

    DUA kumpulan yang menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya ‘sentap’ dengan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook.

    Mereka kesal apabila Anthony menggesa agar usaha menjadikan Anwar sebagai calon tunggal Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH).

    Ahli Parlimen Rasah itu membuat gesaan berkenaan ekoran kekalahan memalukan PH dan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Setiausaha Otai Reformasi, Abdul Razak Ismail berkata, bedah siasat sepatutnya dilakukan untuk mencari punca sebenar kekalahan PH di Melaka, bukannya menjadikan Anwar kambing hitam.

    Menurut beliau, PRN Melaka menjadi arena baharu bagi PH disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang mengehadkan keupayaan parti itu mengadakan ceramah dan kunjungan rumah ke rumah.

    “Kami menyelar keras ‘kegopohan’ Anthony Loke yang mencadangkan pengganti Anwar, sedangkan kita tertanya-tanya siapakah gerangan pemimpin yang dimaksudkan mempunyai karisma yang boleh menyaingi ketokohan Anwar setakat ini,” katanya pada sidang media.

    Sementara itu, Presiden Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM), Mustapa Mansor, yang mengkritik Anthony berkata, beliau sepatutnya membincangkan isu itu pada mesyuarat Majlis Presiden PH, bukan membuat kenyataan terbuka.

    Menyatakan hampir 20 peratus pengundi di Melaka tidak mengundi, beliau berkata, jika lebih ramai pengundi hadir, PH boleh memberikan saingan lebih sengit kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    Anthony juga dilaporkan oleh Malaysian Insight sebagai berkata, gabungan itu harus lebih menyentuh mengenai agenda reformasi berbanding hal Anwar menjadi Perdana Menteri.

    Sementara itu, susulan kenaikan harga barangan baru-baru ini, kedua-dua kumpulan menggesa orang ramai menyuarakan bantahan.

    “Kami akan beri tempoh seminggu kepada kerajaan untuk menurunkan harga. Jika tidak, semua rakyat harus bersama membuat protes,” kata Razak.

  • PRU-15: PKR mahu kitar semula logo partinya wakili PH

    PRU-15: PKR mahu kitar semula logo partinya wakili PH

    PKR seolah-olah menyalahkan keputusan konsensus menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) sebagai salah satu punca mereka kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

    Sehubungan itu, parti yang gagal memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka itu menggesa agar logo PKR dikitar semula mewakili PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Desakan itu dilemparkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR yang bermesyuarat semalam.

    “Dari dapatan awal pimpinan, SOP (prosedur operasi standard) dikenakan ke atas cara berkempen bagi PRN Melaka telah menyukarkan proses pengenalan calon-calon baharu serta logo yang berbeza dari yang dibawa pada PRU-14.

    “Namun, ke hadapan PKR berpandangan bahawa wujud kewajaran logo PKR digunakan semula. Perkara ini akan dibincang dengan lebih lanjut pada mesyuarat PH yang akan datang,” katanya dalam kenyataan media.

    Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menambah, isu penggunaan logo calon bertanding sudah ditekankan sejak dari awal oleh pimpinan dan akar umbi PKR, sebelum PRN Melaka lagi.

    Walau bagaimanapun, menurut beliau, PKR akhirnya bersetuju menggunakan logo PH kerana memahami sikap sekutu-sekutunya.

    Pada PRN Melaka lalu, PKR tewas di semua 11 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Machap Jaya, Rembia, Kelebang, Paya Rumput, Asahan, Rim, Tanjung Bidara, Sungai Udang, Ayer Molek dan Sungai Rambai.

    Namun, ramai pemerhati politik berpandangan bahawa punca sebenar prestasi buruk PKR adalah disebabkan keputusan menerima bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Idris Haron bertanding mewakili parti itu di kerusi DUN Asahan.

    Sebahagian besar penyokong PKR berpandangan tindakan itu melanggar prinsip menolak calon lompat parti selain menutup peluang pemimpin parti untuk bertanding.

    Mereka juga kesal kerana pimpinan PKR seolah-olah menutup sebelah mata terhadap tindakan semberono Idris dan tiga bekas ADUN Melaka yang menyebabkan rakyat di negeri itu terjerumus dalam kemelut politik UMNO.

    Selain itu, rakyat Melaka masih tidak lupa betapa azabnya kehidupan mereka semasa negeri itu dan negara dicengkam oleh rejim PH selama hampir dua tahun.

    PRN Melaka telah dijadikan platform bagi mereka untuk melampiaskan kemarahan yang tersimpan terhadap sikap angkuh dan bongkak rejim PH yang hanya tahu menabur janji tetapi kemudia memungkirinya.

  • Ku Li mahu berundur daripada politik apabila PRU-15 diumumkan

    Ku Li mahu berundur daripada politik apabila PRU-15 diumumkan

    SELEPAS lebih 50 tahun menjadi wakil rakyat, veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah mungkin berundur daripada arena politik sebaik sahaja Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diumumkan.

    Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Malaysia itu mengakui beliau mahu menamatkan kerjaya politiknya yang panjang disebabkan usia, walaupun keputusan itu terletak di tangan pucuk pimpinan UMNO.

    “Saya agak tua sekarang. Sebenarnya bukan ‘agak’, saya dah tua. Saya dah banyak kali cakap perkara ini. Dua pilihan raya lalu (PRU13 dan PRU14) saya juga cakap ‘jangan pilih saya’, tetapi saya rasa kali ini ia akan berlaku. Ia bergantung kepada pucuk pimpinan parti.

    “Masalah saya ialah jika saya menarik diri, kawasan Parlimen (Gua Musang) mungkin tidak lagi menjadi kerusi selamat. Itu alasan yang diberikan kepada saya sebelum ini, itu sebabnya saya perlu bertanding pada dua PRU lepas,’’ katanya dalam wawancara bersama portal Free Malaysia Today.

    Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, berkata ramai individu dalam parti akan berebut-rebut mahu bertanding di kerusinya yang dianggap kerusi selamat untuk UMNO, jika beliau berundur.

    Tetapi katanya, Gua Musang hanya dilihat selamat untuk UMNO atas beberapa faktor.

    “Sebenarnya, tiada kerusi yang selamat, melainkan anda mempunyai orang berpengaruh, strategi boleh diterima dan dilaksanakan, serta anda mempunyai sokongan kukuh untuk meningkatkan undi anda pada PRU. Tanpa itu dan perpaduan, saya rasa anda tidak boleh kata kawasan anda selamat,’’ katanya.

    Tengku Razaleigh mula menjadi wakil rakyat pada 1969 di kerusi Dewan Undangan Negeri Ulu Kelantan Barat. Pada 1974, beliau memenangi kerusi Parlimen Ulu Kelantan, yang kemudiannya dinamakan sebagai Gua Musang. Beliau adalah Ahli Parlimen Gua Musang selama 11 penggal sehingga kini.