Category: Politik

  • 349 calon berentap, DUN Dudong pertembungan 8 penjuru

    349 calon berentap, DUN Dudong pertembungan 8 penjuru

    PROSES Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang bermula hari ini menyaksikan seramai 349 calon layak bertanding dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong menjadi rebutan paling banyak calon iaitu lapan penjuru.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pertandingan enam penjuru berlaku di tujuh DUN, lima penjuru (24), empat penjuru (33), tiga penjuru (13) manakala satu lawan satu di empat kawasan.

    “Daripada 349 calon layak bertanding, 304 adalah lelaki dan 45 lagi adalah wanita,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Iskandar di sini selepas proses penamaan calon tamat hari ini.

    Terdapat kira-kira 1.2 juta pemilih berdaftar pada PRN Sarawak ke-12 yang mempunyai 82 kerusi.

    Beliau berkata, calon tertua pada pilihan raya itu berusia 79 tahun iaitu daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) di DUN Bawang Assan manakala calon termuda berumur 24 tahun dari DUN Batu Lintang (PKR) dan DUN Nangka (Parti Bumi Kenyalang).

    Bagi pecahan mengikut usia, Abdul Ghani berkata terdapat lapan calon muda berusia 24 hingga 29 tahun bertanding pada PRN kali ini.

    Seramai 37 calon berusia 30 hingga 39 tahun, 50 calon berusia 40 hingga 49 tahun, 113 calon berusia antara 50 hingga 59 tahun manakala 141 calon berusia 60 tahun ke atas.

    Daripada keseluruhan 349 calon, 82 adalah calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bumi Kenyalang (PBK) (73); Parti Sarawak Bersatu (PSB) (70); PKR (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11), Amanah (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (lima), PAS (satu) dan Bebas (30).

    Menyasarkan 70 peratus pengundi Sarawak akan keluar mengundi, Abdul Ghani percaya ramai yang akan menunaikan tanggungjawab mengundi, meskipun banyak tempat di Bumi Kenyalang sejak kebelakangan ini sering dilanda hujan.

    “Boleh… (capai 70 peratus). Kita tahu rakyat Sarawak orang baik-baik dan akan tunaikan tanggungjawab (mengundi),” katanya.

    — LAGI

    SARAWAK-SPR (CALON)  3 (AKHIR) KUCHING

    Terdahulu proses penamaan calon selama satu jam yang bermula 9 pagi berlangsung dalam suasana norma baharu, tanpa perarakan penyokong parti politik ke semua 82 pusat penamaan calon.

    Pada sidang media sama, Abdul Ghani mengumumkan tempoh rasmi berkempen bermula sebaik tamat pengisytiharan senarai calon pilihan raya, dan berakhir pada 11.59 malam, 17 Dis.

    Beliau berkata SPR menubuhkan 155 Pasukan Penguat Kuasa kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau aktiviti calon bertanding ketika berkempen.

    Sementara itu beliau berkata penetapan 64 kawasan DUN yang dibenarkan berkempen susulan tidak mempunyai capaian internet tinggi, ditentukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

    Semalam SPR memaklumkan penganjuran ceramah atau syarahan secara fizikal sepanjang tempoh berkempen PRN Sarawak ke-12, hanya dibenarkan di 64 kawasan DUN yang tidak mempunyai capaian Internet yang tinggi.

    Selain itu SPR juga tidak membenarkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan berkempen sepanjang tempoh pilihan raya negeri, kecuali lima pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding.

    SPR menetapkan pengundian awal pada 14 Dis dan hari pengundian pada 18 Dis. – BERNAMA

  • Ali Biju bertanding DUN Krian atas permintaan pengundi

    Ali Biju bertanding DUN Krian atas permintaan pengundi

    PERMINTAAN ramai sehingga di peringkat akar umbi, menjadi sebab utama Datuk Ali Biju memilih terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 (PRN) ini walaupun sebagai calon Bebas, menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu.

    Katanya, atas dasar menghormati permintaan pengundi di kawasan berkenaan, beliau hadir mendaftarkan diri sebagai calon di Dewan Masyarakat Sri Krian, di sini hari ini.

    Bagaimanapun Ahli Parlimen daripada parti Bersatu itu berkata, keputusannya mendaftarkan diri sebagai calon Bebas hari ini, tidak diketahui oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Ini permintaan rakyat.. kita perlu hormati permintaan akar umbi… itu saja.

    “Presiden (Bersatu) pun tidak tahu, sekarang mungkin dia dah tahu lah..,” kata Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok kepada Bernama.

    Menurutnya, soal sama ada keputusan beliau bertanding atas tiket Bebas akan memberi kesan kepada Bersatu, Ali berkata, perkara itu belum difikirkan lagi.

    “Itu kemudian.. bincang kemudian.. saya tak dapat komen sekarang sebab keputusan dibuat atas permintaan rakyat,” jawabnya ringkas.

    Dalam perkembangan sama, Ali, 53, berkata strategi kempennya pada PRN Sarawak kali ini sama sekali tidak akan terjejas walaupun sebagai calon Bebas, malah beliau yakin mampu meraih kemenangan pada hari pengundian 18 Dis nanti.

    “Krian adalah unik.. dia (pengundi) mahu ke arah personaliti, individu.. parti bukan perkara utama sangat.

    “Kita semua kena yakin yang kita akan menang,” katanya sambil disahut dengan sorakan para penyokongnya.

    Pertandingan di kerusi itu melibatkan tiga lagi calon iaitu Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Danny Kuan dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik.

    Ali memenangi kerusi DUN Krian pada PRN 2011 dan 2016. – BERNAMA

  • Ali Biju calon Bebas DUN Krian, guna logo kerusi

    Ali Biju calon Bebas DUN Krian, guna logo kerusi

    PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Datuk Ali Biju bertanding sebagai calon Bebas dalam usaha mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

    Ahli Parlimen Saratok berusia 53 tahun itu memenangi DUN Krian ketika bersama PKR pada 2011 dan 2016.

    Teka-teki sama ada Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu akan mempertahankan kerusi tersebut akhirnya terjawab apabila beliau hadir di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Masyarakat Sri Krian di sini sebagai calon Bebas menggunakan logo kerusi.

    Beliau yang juga ahli parti Bersatu hadir pada jam 9.02 pagi di dewan tersebut seterusnya menyempurnakan proses pencalonan.

    Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Krian Bilong Engkas mengumumkan pertandingan di kerusi itu melibatkan tiga lagi calon iaitu Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Danny Kuan dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik. – BERNAMA

  • Bukan PAS tak terasa hati serangan UMNO, namun…

    Bukan PAS tak terasa hati serangan UMNO, namun…

    WALAUPUN terasa hati dengan serangan dan perbuatan UMNO, PAS tetap mempertahankan hubungan bersama parti itu dalam Muafakat Nasional (MN).

    Tokoh ulama PAS, Mokhtar Senik berkata, PAS melihat suruhan Allah SWT agar menjaga persaudaraan dan ia adalah perkara yang lebih utama.

    Beliau turut maklum tentang tanggapan sesetengah pihak yang anggap PAS tak bermaruah bila pimpinan tertinggi UMNO membalun dan buli PAS, namun partinya masih tidak memutuskan hubungan dengan UMNO dalam MN.

    “Bukan PAS bukan tak dengar dan tak terasa hati dengan serangan UMNO dan perbuatan UMNO terhadap PAS namun PAS melihat suruhan Allah agar menjaga persaudaraan dan ia adalah sebahagian dari nikmat Allah adalah lebih utama dari serangan UMNO itu.

    “Lagipun serangan itu hanya datang dari beberapa orang individu sahaja. Mengapa melihat UMNO itu hanya Datuk Seri zahid,Tok Mat Hasan dan Mat Said?

    “Lihat la sama Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Ismail dan Datuk Seri Shahidan Kassim. Juga lihat sama ahli-ahli UMNO di bawah yang masih cintakan MN.

    “Lalu sebagai harakah dakwah PAS terus bergerak dengan semangat dakwahnya bukan hanya semangat politik. Walau apa pun semua jentera PAS tetap akan akur dengan keputusan tertinggi parti,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Kelamrin, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan piagam MN, dua parti Melayu itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Beliau berkata, PAS bukan ‘budak suruhan’ UMNO yang boleh diarah sesuka hati supaya hanya menerima parti itu sahaja dalam MN.

    Sebaliknya, katanya lagi, PAS mempunyai pendirian tersendiri dan bukan sebahagian daripada komponen Barisan Nasional (BN).

    Mokhtar mengingatkan kembali kepada semua pihak bahawa PAS adalah parti politik, dakwah dan tarbiyah.

    “Walaupun kadang2 ada pendekatan dan keputusan yang PAS ambil kelihatan tidak menguntungkan dari sudut politik namun sangat memberikan kebaikan dari sudut dakwah,” jelasnya.

    Beliau menambah, ada pihak yang memperli kononnya PAS kurang cerdik kerana bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak untuk merebut satu kerusi sahaja.

    Menurut Mokhtar, mereka mempersoalkan peluang PAS mengambil alih kerajaan negeri Sarawak dengan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja, sekiranya menang.

    “Di sinilah bezanya pemikiran PAS berbanding mereka yang bukan PAS. Dalam kepala ahli politik sekular hanya politik dan kuasa yang ada dlm fikiran mereka.

    “Begitu juga apabila PAS bersama PN. Ada orang kata dari sudut politik PAS rugi bersama PN. Kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mana ada akar umbi. Cawangan pun tak banyak. Macam mana nak gerakkan jentera pilihan raya.

    “Namun bagi PAS yang juga bersifat harakatu dakwah, Bersatu juga mad’u PAS,” katanya.

  • Angan-angan supaya Amanah diserap PKR adalah lawak

    Angan-angan supaya Amanah diserap PKR adalah lawak

    PEMIMPIN akar umbi Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan cadangan agar partinya bergabung dengan PKR sebagai angan-angan dan lawak.

    Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Amanah Kawasan Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib menolak cadangan tersebut.

    Beliau turut mengungkit tentang kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) yang dianggapnya berpunca daripada ‘kegagalan parti yang mengetuai PH.

    “Angan-angan supaya Amanah diserap ke dalam PKR adalah lawak lelucon. Masakan boleh Amanah yang semakin diterima rakyat dimakan oleh PKR yang semakin lemah.

    “Kepimpinan Amanah terutama (Pengerusi PH Melaka) Adly Zahari yang telah mengekalkan kemenangan di Bukit Katil sendiri telah menjadi ikon pemimpin PH dan dipsersetujui diangkat kembali menjadi ketua menteri jika PH menawan semula Melaka,” katanya dalam kenyataan.

    Asro sebaliknya mencadangkan agar konsep ‘khemah besar’ digunakan dalam PH dan bukannya penggabungan parti.

    Berbanding penggabungan, Asri mencadangkan kaedah “khemah besar” yang melangkaui parti komponen PH pada masa ini.

    “Sikap abang besar dan besar kepala harus disingkirkan dari mana-mana parti dalam PH. Ia langsung tidak membawa keuntungan, malah merugikan PH,” jelasnua.

    Merujuk kepada PKR, Asri berkata kekalahan dalam PRN Melaka adalah akibat kegagalan meraih sokongan pengundi Melayu serta pengundi muda.

    “Adakah mereka (pengundi muda) inginkan dinosaur PH bertukar kerana kegagalan beberapa kali untuk mendapatkan ‘angka’ dan golongan itu sendiri sudah meluat melihat rentak lakonan ketua PH yang tak mesra golongan muda, setelah menolak wakil parti Muda untuk menjadi calon?” soalnya yang jelas merujuk kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Terdahulu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menolak cadangan penggabungan dua parti itu.

    Beliau berkata, cadangan itu tidak perlu dipertimbangkan kerana ‘tidak pernah berbangkit’.

    Cadangan itu dikemukakan penganalisis politik, Wong Chin Huat susulan kekalahan PH dalam PRN Melaka.

  • ‘Siapa yang ikhlas, siapa yang langgar Piagam MN?’ – Wan Saiful

    ‘Siapa yang ikhlas, siapa yang langgar Piagam MN?’ – Wan Saiful

    APAKAH maksud sebenarnya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan apabila dia mengatakan Piagam Muafakat Nasional (MN) adalah persefahaman yang tidak mengikat?

    Persoalan itu ditimbulkan oleh Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai reaksi terhadap kenyataan Mohamad pada Sabtu merujuk kepada penolakan Pas terhadap UMNO dan MN.

    Mohamad, menurut laporan laporan media berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa UMNO telah memungkiri piagam MN adalah tersasar.

    Wan Saiful turut melontarkan pertanyaan kepada Mohamad, sekiranya piagam MN tidak mengikat, adakah itu bermakna hanya kata-kata UMNO sahaja yang perlu ditaati oleh mereka?

    “Adakah ‘firman’ UMNO satu-satunya ikatan yang diambil kira? Dan bagaimana pula Tok Mat boleh kata ‘untuk paksa UMNO terima Bersatu adalah bercanggahan dengan semangat sebenar MN itu diasaskan’?

    “Takkan Tok Mat buat-buat lupa bahawa dia sendiri yang pengerusikan mesyuarat yang putuskan untuk jemput Bersatu masuk MN. Bagaimana boleh dipaksa, bukankah Timbalan Presiden pengerusikan mesyuarat yang membuat keputusan jemput Bersatu, dan Presiden (UMNO) pula tandatangan surat jemputan serta umumkan ke seantero negara?” soalnya dalam dalam hantaran laman Facebook rasminya, hari ini.

    Tambah Wan Saiful, sekiranya dilihat kepada kronologi penubuhan MN,  semua pihak boleh melihat siapakah yang ikhlas berpegang kepada Piagam MN dan siapakah yang melanggarinya.

    “Piagam MN dilancarkan pada 2019. Pada Ogos 2020, Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) menyatakan bahawa Tok Mat telah mempengerusikan mesyuarat MN yang buat keputusan untuk jemput Bersatu.

    “Susulan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tok Mat itu, satu surat jemputan kepada Bersatu telah ditandatangani oleh Presiden Pas dan Presiden UMNO bertarikh 13 Ogos 2020. Bersatu kemudian bersetuju menerima jemputan itu. Tarikh surat penerimaan dari Bersatu ialah 18 Ogos 2020,” jelasnya. 

    Bagaimanapun katanya, pada Mac lepas UMNO membuat keputusan dalam Perhimpunan Agungnya untuk menolak penyatuan ummah dan tak mahu kerjasama.

    “Maksudnya UMNO sendiri mengubah keputusan yang dia buat pada Ogos sebelumnya. 

    “Ke mana hilangnya semangat Piagam MN yang membawa kepada keputusan untuk bekerjasama pada Ogos sebelum itu? Surat sudah ditandatangani, tetapi siapa yang ubah?” tanya beliau lagi.

  • PRN Sarawak: Dilarang rentas negeri untuk berkempen

    PRN Sarawak: Dilarang rentas negeri untuk berkempen

    prn sarawak

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan berkempen sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, kecuali lima pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding.

    SPR dalam laman sesawang rasminya memaklumkan kemasukan ke Sarawak adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa dan dihadkan kepada aktiviti yang diluluskan dalam permohonan melalui portal enterSarawak.

    “Nama-nama pemimpin tertinggi parti hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak,” katanya dalam dokumen SOP pencegahan COVID-19 PRN Sarawak yang dikemas kini hari ini.

    SPR menegaskan aktiviti berkempen yang dibenarkan adalah terhad di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan tidak dibenarkan merentas DUN yang lain.

    “Pengecualian diberikan kepada parti-parti politik yang bertanding untuk mengemukakan 15 nama pemimpin kanan setiap parti yang bertanding bagi tujuan merentas DUN kepada JPBN Sarawak dan SPR.

    “Hanya lima orang sahaja (maksimum) pemimpin parti kanan termasuk pegawai yang mengiring/pengawal/pemandu (tidak termasuk calon dan ejen pilihan raya) bagi setiap parti politik yang bertanding dibenarkan untuk merentas DUN bagi tujuan berkempen pada satu-satu lokasi dan masa. Semua yang terlibat hendaklah lengkap divaksinasi,” tambah SPR.

    Sementara itu, SPR menyatakan kebenaran untuk merentas sempadan daerah atau negeri bagi tujuan mengundi adalah tertakluk kepada arahan tetap yang sedang berkuat kuasa.

    Menurut SPR, pengundi di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu menjalani ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) dalam masa 24 jam sebelum tarikh mengundi.

    “Hanya pengundi yang didapati negatif COVID-19 dan mendapat kebenaran daripada pihak PDRM dibenarkan untuk keluar mengundi. Pengundi hendaklah mengemukakan dokumen berkaitan seperti maklumat pemilih dari aplikasi MySPR Semak atau semakan dari portal SPR kepada pihak PDRM untuk mendapat kebenaran keluar mengundi,” kata SPR.

    Bagi pengundi yang berstatus positif COVID-19, SPR tidak membenarkan mereka keluar dari tempat rawatan selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk mengundi.

    Manakala pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pemantauan (PUS) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada pegawai kesihatan daerah, pejabat kesihatan daerah yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian, tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan.

    “PUI dan PUS dikehendaki menggunakan pengangkutan sendiri untuk pergi ke pusat mengundi dan penggunaan pengangkutan awam adalah tidak dibenarkan,” tambahnya.

    SPR menetapkan hari penamaan calon esok manakala pengundian awal pula pada 14 Dis dan hari pengundian pada 18 Dis. – BERNAMA

  • 64 kawasan DUN boleh anjur ceramah fizikal – SPR

    64 kawasan DUN boleh anjur ceramah fizikal – SPR

    PENGANJURAN ceramah atau syarahan secara fizikal sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, hanya dibenarkan di 64 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mempunyai capaian Internet yang tinggi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi laman sesawang rasmi memaklumkan antara kawasan itu adalah Opar, Bukit Sari, Gedong, Dalat, Simunjan, Ba’Kelalan, Marudi, Saribas, Asajaya serta Tanjong Datu dan sebarang penganjuran ceramah dan syarahan selain daripada 64 kawasan itu adalah tidak dibenarkan.

    Antara prosedur operasi standard (SOP) bagi penganjuran ceramah dan syarahan ialah kehadiran peserta hendaklah 50 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 150 orang dalam satu-satu masa dan peserta yang menghadiri ceramah dihadkan kepada penduduk kampung atau rumah panjang itu sahaja.

    “Selain itu, parti-parti atau calon-calon yang bertanding bertanggungjawab untuk memastikan penduduk luar dari kampung atau rumah panjang tersebut tidak menghadiri ceramah atau syarahan yang dianjurkan.

    “Penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ceramah atau syarahan diadakan dengan tarikh, masa dan tempat hendaklah dinyatakan dalam permit untuk memudahkan pihak polis membuat pemantauan,” menurut laman sesawang itu hari ini.

    Menurut SPR, tempoh dua jam diberikan bagi setiap sesi ceramah fizikal dan tidak melebihi 10 malam, dengan penganjuran perlu dilakukan di lokasi tertutup seperti dewan, balai raya atau ruai serta tiada sebarang bentuk hiburan semasa berkempen.

    SOP lain termasuk memakai pelitup muka, mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sepanjang masa, membenarkan hanya individu lengkap vaksin hadir dan menyediakan kaunter saringan kesihatan.

    Sementara itu, SPR menggalakkan calon untuk mengaplikasikan penggunaan teknologi di dalam tempoh kempen selaras norma baharu susulan pandemik COVID-19.

    Oleh itu, penggunaan aplikasi sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, WhatsApp, Telegram, rangkaian televisyen dan akhbar tempatan untuk berkempen adalah digalakkan.

    Dalam pada itu, SPR tidak membenarkan temu bual secara spontan (terjah) atau di luar masa dan SPR juga akan menetapkan sesi sidang media atau temu ramah di pusat-pusat mengundi bagi memastikan pematuhan penjarakan fizikal.

    “Hanya wartawan yang telah lengkap menerima vaksin dibenarkan hadir ke sesi sidang media atau temu ramah dengan pematuhan SOP termasuk penjarakan fizikal. Wartawan yang bergejala atau positif COVID-19 atau kontak rapat tidak dibenarkan hadir ke sesi sidang media atau temu ramah,” menurut SPR.

    SPR menetapkan esok hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 14 Dis dan hari pengundian PRN Sarawak pada 18 Dis. – BERNAMA

  • Biarpun sukar namun masih ada ruang Bersatu bersama Pas,UMNO – Faizal

    Biarpun sukar namun masih ada ruang Bersatu bersama Pas,UMNO – Faizal

    WALAUPUN dilihat sukar namun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi berpendapat masih ada ruang buat parti itu bersama UMNO dan Pas.

    Timbalan Presiden Bersatu itu menegaskan, untuk menyaksikan kerjasama ketiga-tiga parti itu, usaha perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak dan tanpa Batasan masa.

    Tegas beliau, walaupun Bersatu fokus bersama-sama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional namun dalam masa sama mereka juga komited memberi sokongan padu kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    ‘’Kalau nak melakukan, kebaikan, sampai hujung nyawa pun (boleh lakukan), kalau kita sempat bertaubat, kita harap Allah akan terima taubat kita, kita boleh balik je jalan yang baik.

    ‘’Saya secara peribadi berpandangan bahawa demi kebaikan tidak ada had masa,’’ katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Pada Sabtu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan UMNO melanggar piagam Muafakat Nasional menjadi punca parti itu menolak untuk bersama gabungan itu.

    SEMENTARA ITU di Kota Bharu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ada kemungkinan kenyataan Abdul Hadi disalah petik.

    Katanya, apa yang ingin dinyatakan oleh Abdul Hadi ialah dalam piagam Muafakat Nasional , penyatuan ummah perlu dilaksanakan bukan hanya antara UMNO dan Pas sahaja, sebaliknya perlu dibuka kepada semua parti lain dan badan bukan kerajaan.

    ‘’Satu lagi MoU, saya nak sebut dengan jelas apa yang disebut oleh Presiden Pas dalam piagam Muafakat Nasional ini, penyantuan ummah perlu dilaksnaakan bukan hanya (antara)UMNO dan Pas sahaja..mesti dibuka kepada semua parti lain, NGO dan orang perseorangan yang mempunyai cita-cita sama.

    ‘’Itu yang ditekankan oleh Presiden (Abdul Hadi) jangan hadkan penyatuan ummah itu antara Pas dan UMNO sahaja,’’ katanya.

  • Kedudukan PAS dalam MN masih kekal utuh – Hashim

    Kedudukan PAS dalam MN masih kekal utuh – Hashim

    PAS menegaskan kedudukannya dalam Muafakat Nasional (MN) masih kekal utuh walaupun UMNO dikatakan gagal mematuhi piagam yang dipersetujui ketika kerjasama berkenaan dibentuk.

    Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, parti itu belum membuat apa-apa keputusan berkaitan kerjasama politik dengan UMNO sebaliknya komited untuk terus memperkukuhkan MN dan pada masa sama mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

    “Saya rasa kita belum buat keputusan untuk tolak UMNO pun, hubungan masih ada, tak ada apa-apa perubahan.

    “Apa pun perkara ini akan dibincangkan dalam Majlis Syura Ulama PAS pada minggu hadapan,” katanya, hari ini.

    Semalam Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan piagam MN, dua parti Melayu itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Beliau berkata, PAS bukan ‘budak suruhan’ UMNO yang boleh diarah sesuka hati supaya hanya menerima parti itu sahaja dalam MN.

    Sebaliknya, katanya lagi, PAS mempunyai pendirian tersendiri dan bukan sebahagian daripada komponen Barisan Nasional (BN).