Category: Politik

  • Tiada apa-apa perbincangan tentang PRN – Dr. Sahruddin

    Tiada apa-apa perbincangan tentang PRN – Dr. Sahruddin

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SETIAUSAHA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menegaskan parti itu belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, setakat ini.

    Kata bekas Menteri Besar Johor itu, biarpun khabar angin mengenai perkara itu semakin diperkatakan ketika ini, Bersatu teguh dengan tumpuan membantu rakyat di negeri itu yang terjejas banjir serta berdepan kesukaran kerana penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu.

    Beliau berkata, mereka di peringkat negeri juga tidak mengetahui jika terdapat mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti mengenai PRN Johor yang kononnya diadakan di ibu negara, malam tadi.

    “Cerita tentang PRN Johor ini pun saya tahu daripada hebahan media menerusi kenyataan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad serta rakan-rakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain.

    “Kami masih belum membuat apa-apa perbincangan tentang PRN setakat ini. Buat masa ini Bersatu Johor fokus untuk bantu rakyat yang terjejas banjir dan Covid-19 selain ekonomi yang masih belum pulih,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Senator Isa Ab. Hamid berkata, pucuk pimpinan parti akan mengeluarkan arahan untuk mengadakan mesyuarat bahagian sekiranya MPT mengadakan mesyuarat tertentu termasuk membincangkan soal PRN Johor.

    “Setakat ini, saya serta 25 ketua bahagian Bersatu Johor belum dimaklumkan sama ada mesyuarat MPT diadakan malam tadi atau sebaliknya. Kebiasaannya, selepas mesyuarat MPT, giliran ketua-ketua bahagian pula yang akan bermesyuarat.

    “Sekiranya MPT mengadakan mesyuarat tentang PRN Johor malam tadi, pastinya dalam tempoh sehari dua ini, kami ketua-ketua bahagian Bersatu akan terima arahan untuk adakan mesyuarat susulan pula,” katanya.

    Spekulasi pembubaran DUN yang membuka laluan kepada PRN Johor dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan sejak ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

    Hasni dilaporkan mengakui kerajaan negeri ‘tidak suka’ dengan istilah satu yang merujuk kepada hanya satu majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki biarpun memaklumkan sokongan Bersatu dan Pas tidak goyah.

  • Hanya desas-desus tetapi Bersatu sentiasa bersedia hadapi pilihan raya – Hamzah

    Hanya desas-desus tetapi Bersatu sentiasa bersedia hadapi pilihan raya – Hamzah

    WALAUPUN pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini, namun Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan ia hanyalah desas-desus sahaja.

    Hamzah malah menyifatkan perkara itu juga sama dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dikatakan akan diadakan tahun ini.

    Bagaimanapun, Hamzah memaklumkan, Bersatu sentiasa bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan termasuk berhadapan dengan pilihan raya.

    Sebagai Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah berkata, beliau sentiasa mengadakan mesyuarat dan memastikan rakyat tahu siapa untuk dipilih.

    “Desas-desus ini bukan hanya di Johor tetapi juga pilihan raya umum akan dilakukan. Bila ketetapannya itu akan dibuat oleh mereka yang bertanggungjawab. Saya sebagai Setiausaha Agung Bersatu sentiasa mengadakan mesyuarat dan memastikan supaya rakyat tahu siapa untuk dipilih, kepimpinan lebih baik bagi kepentingan negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan dan Amanat Tahun Baharu Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

    Khabar angin pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam masa terdekat semakin banyak diperkatakan.

    Kelmarin, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata beliau tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan untuk mengadakan PRN.

    Menurutnya, kerajaan Johor masih memantau dan melihat keadaan semasa berhubung keperluan untuk mengadakan PRN.

    Kerajaan Johor yang kini dipimpin Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai kelebihan satu kerusi susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember tahun lalu.

    BN mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11) dan Pas pula satu kerusi menjadikan keseluruhan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi.

  • Pembangkang tidak cipta persepsi PRN Johor – AMK

    Pembangkang tidak cipta persepsi PRN Johor – AMK

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SPEKULASI akan ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi adalah persepsi yang diwujudkan sendiri oleh UMNO yang dilihat mahu lebih dominan dengan kuasa pemerintahan meskipun tiada apa-apa pergolakan ketika ini.

    Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir mendakwa, UMNO sebenarnya berhasrat untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu bagi tujuan itu berbanding hanya berkelebihan satu kerusi majoriti ketika ini.

    “PRN Johor memang menjadi persoalan kerana bagi saya persepsi itu diwujudkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dalam keadaan kita sedang berdepan dengan situasi banjir tetapi isu itu dibangkitkan beliau.

    “Saya tidak nampak pihak lain memulakan perkara ini (PRN Johor), melainkan di pihak Menteri Besar sendiri.

    “Memang kerajaan negeri ada kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi yang mewujudkan suasana tidak stabil ini bukan Pakatan Harapan (PH) tetapi sebelah sana, jadi kalau boleh lebih baik tumpu untuk membantu rakyat sahaja ketika ini,” ujarnya.

    Beliau sebelum itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi memberi keterangan berkaitan Konvoi AMK Selamatkan SPRM.

    Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, alasan PRN Johor perlu dilakukan demi kestabilan politik tidak seharusnya dicanangkan kerana apa yang dituntut rakyat ketika ini adalah kerajaan yang menjaga kebajikan mereka.

    “Menteri Besar sahaja tidak boleh bercakap mengenai PRN kerana beliau bukan pimpinan paling tinggi, tetapi bukan itu rakyat perlukan ketika ini kerana kita masih dalam fasa pandemik serta musibah banjir yang belum selesai sepenuhnya.

    Khabar angin menyatakan Johor bakal menghadapi PRN dalam waktu terdekat semakin kedengaran selepas kerajaan negeri kini hanya memiliki kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang, 27 kerusi.

    Semalam, PH Johor mendesak Hasni berterus terang tanpa perlu berdolak dalik sekiranya mahu mengadakan PRN Johor dalam masa terdekat kerana penjelasan itu setidak-tidaknya dapat melenyapkan khabar angin dan kembali fokus terhadap isu lebih utama iaitu membantu rakyat terjejas Covid-19 dan bencana banjir serta pemulihan ekonomi negeri

    Disebabkan spekulasi PRN yang kini berlegar, fokus kerajaan negeri untuk memajukan negeri dan membantu rakyat akan terganggu dan beralih kepada mendapatkan kuasa dan lobi-melobi untuk bertanding.

    Maklum balas Menteri Besar mengenai akan berlakunya PRN dalam tempoh terdekat atau tidak kurang jelas dan seakan-akan berdolak-dalik dalam hal ini sedangkan desas-desus tersebut bermula dari parti mereka juga.

    “Umumkan segera tarikhnya jika benar mahu PRN diadakan, jadilah ‘gentleman’. Ini secara tidak langsung membolehkan ‘politiking’ keterlaluan ketika ini dihentikan seterusnya dapat memberi tumpuan kepada rakyat yang terjejas serta pemulihan ekonomi negeri,” kata Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan.

  • 1,000 ahli DAP keluar parti bakal sertai Bersatu

    1,000 ahli DAP keluar parti bakal sertai Bersatu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KIRA-KIRA 1,000 ahli DAP dari 13 cawangan di seluruh Johor mengumumkan keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

    Pengumuman tersebut dilakukan dalam satu sidang akhbar di Dato’ Dr. Harjit Singh Johor Cricket Academy and Oval, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadirKetua Pemuda Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, K. Alagenthiran.

    Jurucakap mereka, A. Sandra Segaran memberitahu, mereka merupakan ahli DAP antaranya Cawangan Taman Nusa Bestari, Taman Mewah, Taman Nesa, Senai Utama, Taman Puteri Wangsa, Kampung Sepakat, Bekok Timur dan Tangkak Jaya.

    Beliau yang kini bekas Ketua Cawangan DAP Taman Nusa Bestari berkata, keputusan berkenaan diambil selepas berbincang dan tiada paksaan daripada mana-mana pihak.

    “Chin Tong gagal dalam peranan untuk memimpin malah beliau mengamalkan sistem ‘devide and rule’ selain menjadi diktator dan tidak berminat untuk mendengar pandangan rakan-rakan akar umbi.

    “Kami juga merasakan diketepikan oleh jawatankuasa DAP negeri selepas pemilihan di peringkat negeri pada Mei tahun lalu,” katanya.

    Sementara itu, Alagenthiran berkata, ramai dalam kalangan bekas ahli DAP itu menyatakan hasrat untuk menyertai Bersatu tetapi mereka masih belum membuat keputusan muktamad.

    Jelas beliau, mereka akan membuat pengumuman menyertai parti mana dalam sehari dua ini.

    Dalam pada itu, usaha untuk mendapatkan komen Chin Tong tidak berhasil apabila beliau gagal dihubungi.

  • Jika mahu buat PRN, umum segera tarikh..jadilah ‘gentleman’ – Pakatan Harapan beritahu Hasni

    Jika mahu buat PRN, umum segera tarikh..jadilah ‘gentleman’ – Pakatan Harapan beritahu Hasni

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SAMA ada mahu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat atau tidak perlu dijelaskan dengan terang oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad tanpa perlu berdolak-dalik, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan.

    Menurut Aminolhuda, penjelasan itu setidak-tidaknya dapat melenyapkan khabar angin yang bertiup ketika ini dan kembali fokus terhadap isu lebih utama iaitu membantu rakyat terjejas Covid-19 dan bencana banjir serta memulihkan ekonomi negeri jika tiada PRN.

    Katanya, disebabkan spekulasi PRN yang kini berlegar, fokus kerajaan negeri untuk memajukan negeri dan membantu rakyat akan terganggu dan beralih kepada mendapatkan kuasa dan lobi-melobi untuk bertanding.

    “Maklum balas Menteri Besar mengenai akan berlakunya PRN dalam tempoh terdekat atau tidak kurang jelas dan seakan-akan berdolak-dalik dalam hal ini sedangkan desas-desus tersebut bermula dari parti mereka juga.

    “Umumkan segera tarikhnya jika benar mahu PRN diadakan, jadilah ‘gentleman’. Ini secara tidak langsung membolehkan ‘politiking’ keterlaluan ketika ini dihentikan seterusnya dapat memberi tumpuan kepada rakyat yang terjejas serta pemulihan ekonomi negeri,” katanya seperti dilaporkan beberapa media, hari ini.

    Tambah Aminolhuda, satu perincian yang jelas mengenai perkara itu juga perlu dilakukan sekaligus memudahkan pelbagai pihak membuat persediaan sekiranya PRN tetap terpaksa diadakan dalam masa terdekat.

    Bagaimanapun Aminolhuda berkata, PH Johor tetap dengan pendirian memberi jaminan kepada kerajaan negeri bahawa tidak akan mengganggu gugat kestabilan politik negeri saat ini.

    Menurut Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu lagi, pembangkang pada masa sama bersedia berganding bahu bersama kerajaan negeri dalam membantu rakyat melalui waktu yang mencabar ketika ini.

    “PH Johor tidak mahu PRN diadakan dalam keadaan rakyat dan ekonomi negeri yang masih belum stabil kerana ia hanya akan menimbulkan kemarahan rakyat selain memberi persepsi buruk terhadap semua parti dan ahli politik.

    “Fokus dan keutamaan kita seharusnya kepada rakyat dan memulihkan ekonomi negeri selain Covid-19, sehinggalah cukup penggal nanti. Ketika itu semua pihak terutama rakyat sudah bersedia jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan,” katanya.

  • Otai Reformis kecewa kerajaan PH Selangor gagal, minta Anwar campur tangan

    Otai Reformis kecewa kerajaan PH Selangor gagal, minta Anwar campur tangan

    KUMPULAN pro-Anwar Ibrahim, Otai Reformis 1998 sangat kecewa dengan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor menyelesaikan isu Rimba Komuniti Shah Alam dan Koridor Hutan Simpan Bukit Cherakah walaupun setelah tiga penggal berkuasa di negeri itu.

    Memetik laporan Malaysiakini, Setiausahanya, Abdul Razak Ismail menempelak Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian yang juga dari PKR kerana mengambil jalan mudah menyalahkan kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) dalam isu tersebut.

    Walhal katanya, Lot 57621 Hutan Simpan Cherakah yang merupakan milik kerajaan negeri Selangor didapati diberikan pajakan 99 tahun kepada sebuah syarikat pada 12 Ogos 2020, ketika zaman pemerintahan PH.

    Sehubungan itu, beliau menggesa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam kemelut itu.

    “Apa maknanya rakyat pilih PH sudah hampir tiga penggal memerintah Selangor sedangkan exco kerajaan negeri masih menyalahkan kerajaan lampau sebagai jalan keluar bagi menutup ketidakmampuan mereka menyelesaikan isu ini.

    “Kita mohon Anwar sebagai Presiden PKR dapat mengarahkan Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor untuk segera memberhenti aktiviti pembersihan hutan dan kerja-kerja tanah di sebahagian kawasan hutan tersebut di Seksyen 10 kerana telah berlakunya hakisan tanah yang menyebabkan sebuah tasik takungan hujan telah keruh berwarna ‘teh tarik’ dan penduduk setempat khuatir berlakunya banjir dalam masa terdekat,” katanya.

    Otai Reformis menyuarakan gesaan berkenaan kepada Anwar dalam surat bertarikh 10 Jan, yang antara lain memetik laporan Malaysiakini pada 8 Jan.

    Laporan itu melaporkan dakwaan penduduk tentang hakisan tanah dan tanah runtuh di kawasan Bukit Cherakah sehingga air tasik tercemar dan bertukar warna seperti teh tarik ekoran pembersihan hutan dan kerja tanah.

    Dalam surat itu, Abdul Razak berkata, menjadi dasar PH untuk memelihara alam sekitar.

    Beliau merayu campur tangan Anwar dalam isu itu, sepertimana ditunjukkan Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam mempertahankan kes Hutan Simpan Kuala Langat Utara baru-baru ini.

    “Untuk makluman Datuk Seri (Anwar), kawasan ini agak hampir dengan lokasi banjir di kawasan persekitaran pinggiran pusat bandar raya Shah Alam baru-baru ini dan saya percaya penggondolan kawasan hutan simpan ini nescaya akan mengakibatkan banjir yang lebih besar di pinggiran pusat bandar raya Shah Alam pada masa akan datang.

    “Kita sewajarnya belajar dari banjir besar yang melanda negara baru-baru ini. Pemusnahan hutan antara penyebab dan punca utama banjir besar tersebut,” tambahnya.

    Turut dikepilkan, surat daripada NGO Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) kepada Anwar bertarikh 27 Okt 2021 yang turut meminta kerjasama Anwar dalam isu pemeliharaan Rimba Komuniti Shah Alam.

    Isu rancangan pembangunan di kawasan SACF telah berlanjutan, dengan pihak yang menentang – terdiri daripada penduduk dan aktivis alam sekitar – berkata ia berfungsi sebagai habitat flora dan fauna, termasuk spesies terancam seperti ungka tangan putih, monyet lutong, kongkang sunda.

    Status kawasan itu kini turut menjadi pertikaian.

    Persatuan SAFC mendakwa ia sebenarnya termasuk dalam Hutan Simpan Bukit Cherakah, namun Loy Sian berkata ia dinyah warta pada 2006 oleh kerajaan BN terdahulu yang memerintah Selangor, menjadikan ia dikeluarkan daripada rizab hutan simpan kekal.

    Namun, Persatuan SACF mendakwa tiada notis yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan Negeri berkenaan penyahwartaan itu .

    Pembangunan di sekitar hutan Bukit Cherakah mengundang kebimbangan penduduk sejak beberapa ketika. Mereka bimbang ia menyebabkan banjir kilat kerana kawasan yang sedang dibangunkan itu berfungsi sebagai kawasan tadahan air semula jadi dengan terdapat dua buah tasik di sekitarnya.

    Kawasan berkenaan dikenali sebagai Kompartmen 35 hutan Bukit Cherakah. Laman sesawang Jabatan Perancangan Bandar dan Desa menyatakan tanah yang ditandakan sebagai Lot 57621 itu dimiliki oleh kerajaan negeri.

    Rekod Pejabat Tanah dan Daerah pula menunjukkan terdapat satu pemaju yang memperoleh pajakan 99 tahun ke atas tanah itu pada 11 Ogos 2020. Gambar satelit memaparkan kerja pembersihan tanah telah pun bermula sebelum daripada tarikh itu lagi.

  • Tangguh dahulu PRN Johor – Armada

    Tangguh dahulu PRN Johor – Armada

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) menyarankan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu ditangguhkan buat sementara waktu susulan bencana banjir dan peningkatan kes Covid-19 membabitkan varian Omicron di negeri itu.

    Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, faktor kepentingan rakyat yang mendesak ketika ini seharusnya diambil kira semua pihak.

    Katanya, kesan pelaksanaan PRN Joho perlu dikaji supaya ia tidak menghilangkan ‘kepercayaan’ rakyat terhadap pemimpin parti politik ekoran mereka masih dibelenggu kesusahan.

    Malah, tambah Timbalan Menteri Perpaduan itu, setiap pihak yang terlibat perlu bersabar kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) juga akan diadakan dalam tempoh tidak sampai setahun sahaja lagi.

    “Sebagai wakil orang muda, saya merayu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor kalau boleh tangguh-tangguhkanlah dulu PRN ini. Tak lama pun, PRU paling lambat lagi setahun, buat masa ini bermuafakatlah jaga kepentingan rakyat.

    “Kalau tidak orang akan persalahkan parti politik. Dengan varian Omicron semakin naik, jangan pandang remeh walaupun ada dos penggalak.

    “Kita tidak mahu rakyat benci ahli politik. Nanti bila PRU-15 peratusan keluar mengundi rendah. Apa guna kita buat pilihan raya kerana nanti back to square one macam sekarang bergaduh lagi,” katanya.

    Tambah Wan Ahmad Fahysal, pilihan raya yang dilakukan sebenarnya adalah untuk menyelesaikan masalah dan bukan untuk menambah masalah.

    Terdahulu, beliau ditanya persediaan mengenai desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN yang kononnya akan diadakan dalam masa terdekat.

    Khabar mengenai pembubaran DUN dan PRN Johor itu bertambah kuat apabila parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH) Johor mengakui ada membincangkan perkara itu dalam mesyuarat mereka, baru-baru ini.

    Semalam, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri masih memantau dan melihat keadaan semasa berhubung keperluan untuk mengadakan PRN.

    Wan Ahmad Fahysal sebelum itu menyertai kira-kira 200 ahli Armada Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kampung Spang Loi, Segamat.

  • PRN Johor: Apakah Hasni berada dalam dilema?

    PRN Johor: Apakah Hasni berada dalam dilema?

    ‘’KALAU ada pihak mengatakan bila nak ada pilihan raya atau ada tarikh untuk adakan pilihan raya kecil atau negeri ini, saya rasa seingat saya sebagai Menteri Besar, saya tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan.”

    ‘’Tetapi hanya melihat dan meninjau kemungkinan-kemungkinan apabila Kerajaan Johor hanya mempunyai satu majoriti sahaja. Itulah keadaannya yang masih ada pada hari ini.”

    ‘’Saya masih lagi berpendapat bahawa saya perlu melihat kepada keadaan apabila kerajaan negeri hanya mempunyai satu majoriti. Walaupun semua orang suka menjadi nombor satu tetapi Johor mungkin tidak suka dengan istilah satu itu.’’

    ‘’Sokongan daripada rakan-rakan gabungan dalam kerajaan itu semua saya percaya tidak berbangkit pada waktu ini.’’

    Empat petikan tersebut dilontarkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohamed yang mungkin semakin merasai bahang desas-desus berhubung kemungkinan Johor akan  mengadakan pilihan raya negeri (PRN) memandangkan kerajaan negeri kini ditadbir dengan kelebihan satu kerusi sahaja berikutan kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian.

    Mengkaji satu demi satu petikan itu, tidak salah untuk penulis mentafsirkan, Hasni berada dalam dilema sama ada untuk mengadakan pilihan raya negeri atau tidak. Dari satu segi penulis percaya Hasni yang dianggap berjaya meredakan suhu politik dengan menjalinkan kerjasama bersama pembangkang keberatan untuk melaksanakan PRN.

    Tambahan pula pada masa ini seperti mana kata beliau, belum wujud sebarang isu yang akan memungkinkan sokongan diberikan kepada kepemimpinan beliau khususnya oleh ADUN-ADUN Bersatu ditarik balik. Tetapi pada masa sama beliau juga memahami dengan kelebihan satu kerusi – ia adalah satu kedudukan yang cukup getir.

    Ia seperti mana kata beliau, ‘’Kita perlu melihat jika terdapat gambaran bahawa sokongan berubah ataupun sekiranya ada agenda-agenda yang perlu dibawa yang memerlukan sokongan DUN sama ada perkara itu boleh (lulus) atau tidak diperolehi.’’

    Justeru timbul persoalan, apakah langkah Menteri Besar Johor itu? Adakah beliau benar-benar mahukan PRN diadakan bagi menghapuskan ‘dilema kelebihan satu kerusi’? Atau berusaha bertahan sekurang-kurangnya setahun setengah lagi sementara menanti PRU-15?

    Tetapi berdasarkan ‘angin-angin sepoi-sepoi bahasa’ dari negeri tersebut ‘membisikkan’ bahawa PRN Johor seolah-olah tidak dapat dielakkan lagi. Khabarnya juga ia mungkin akan diadakan selewat-lewatnya pada awal atau pertengahan bulan Mac nanti manakala pembubaran DUN pula dijangka sama ada hujung bulan ni atau pada awal Februari.

    Keadaan inilah yang dikatakan meletakkan Hasni dalam situasi dilema, apatah lagi khabarnya kepemimpinan UMNO di peringkat pusat juga ‘begitu teruja’ untuk mengadakan PRN Johor selepas kemenangan di PRN Melaka.

    Terdapat keyakinan luar biasa dalam kalangan segelintir pemimpin UMNO Johor dan pusat bahawa UMNO/Barisan Nasional boleh mencatat kemenangan lebih dua pertiga di negeri itu jika PRN diadakan. Penulis tidak tahu congak apa yang digunakan.

    Namun yang pasti sama ada betul atau tidak, ada cakap-cakap yang mengkhabarkan bahawa UMNO percaya senario di PRN Melaka akan berulang dan boleh memberi kelebihan kepada parti itu. Apa senario tersebut? Senario itu ialah UMNO percaya Pakatan Harapan berada dalam keadaan lemah dan pengundi luar tidak akan pulang untuk PRN.

    Jika senario pengundi luar tidak pulang berulang seperti mana di Melaka, UMNO yakin peratusan mengundi akan rendah dan ia akan memberi kelebihan kepada parti tersebut.

    Penulis tidak pasti sejauh manakah teori itu relevan untuk situasi politik di Johor tetapi apa yang pasti sejarah telah membuktikan bahawa parti tersebut pernah hilang kuasa di negeri kelahiran UMNO itu. Dan mungkin ini juga dilema Hasni.

  • Adakah Azalina yakin dengan integriti kluster mahkamah UMNO?

    Adakah Azalina yakin dengan integriti kluster mahkamah UMNO?

    AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sepatutnya bertanya kepada diri sendiri sama ada beliau yakin dengan integriti sekumpulan pemimpin UMNO yang tergolong dalam kluster mahkamah.

    Timbalan Ketua Penerangan II Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, amatlah tidak adil Azalina cuba mengalihkan polemikl isu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mengaitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau turut menggesa agar penasihat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu agar tidak mengambil jalan mudah dengan menuding jari terhadap pihak lain dan cuba lari dari tanggungjawab menyelesaikan isu yang melanda SPRM.

    “Sewajarnya beliau bermuhasabah dengan bertanya pada diri sendiri bahawa apakah beliau telah lakukan semakan dan yakin dengan integriti pimpinan UMNO yang menjadi sebahagian daripada apa yang dipanggil kluster mahkamah,” katanya dalam kenyataan media.

    Baru-baru ini, Azalina yang juga Penasihat Khas Kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) dalam hantaran Facebook bertanya sama ada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan telah membuat semakan latar belakang Tan Sri Azam Baki sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

    Azalina membuat kenyataan itu susulan kontroversi yang melanda Azam berhubung pemilikan saham, selepas dia mengaku adiknya Nasir Baki menggunakan akaun perdagangan miliknya untuk membeli lebih dua juta saham dan waran dua syarikat pada 2015 dan 2016.

    Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Abu Zahar Ujang telah membersihkan Azam daripada sebarang salah laku, namun anggota panel LPPR yang lain kemudian mendakwa pendirian tersebut hanyalah pandangan peribadi Abu Zahar.

    Azam dilantik mengetuai SPRM berkuatkuasa 9 Mac 2020 selepas ketua pesuruhjaya sebelumnya Latheefa Koya melepaskan jawatan.

    Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad semalam menjelaskan, tidak timbul soal sama ada Muhyiddin membuat semakan latar belakang pegawai sebelum pelantikan dibuat kerana proses pelantikan dibuat secara teratur mengikut peraturan dan kaedah yang ditetapkan.

    Walaupun pelantikan Azam dibuat ketika beliau menerajui negara, Muhyiddin menjelaskan, Ketua Setiausaha Negara yang mencadangkan pelantikan Azam dan ia dibuat selepas diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong.

    Dr Afif menambah, Azalina juga sepatutnya maklum tentang prosedur dan hasil tapisan yang perlu dijalani oleh setiap kakitangan kerajaan sebelum mereka dilantik memegang sebarang jawatan.

  • Serangan terhadap Azam melalui media ada agenda tertentu

    Serangan terhadap Azam melalui media ada agenda tertentu

    SUARA-SUARA yang nyaring dalam media yang menggembar-gemburkan isu urus niaga saham dan mahu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilucutkan jawatan didakwa mempunyai agenda tertentu.

    Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mereka tidak menurut kedaulatan undang-undang di mana tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya adalah asas keadilan.

    Menurut beliau, mereka ingin menghukum Azam sebelum ada perbicaraan dan bukti yang kukuh menurut undang-undang negara.

    “Agensi SPRM adalah amat penting di dalam agenda membanteras rasuah dan perang media sebegini untuk memulaukan Azam dengan memainkan isu sebegini nampaknya bertujuan memberi persepsi negatif kepada reputasi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM.

    “Penjawat awam, khasnya SPRM perlu terus menjalankan tugas mereka dengan berani dan tidak harus takut menjalankan amanah mereka hanya kerana ada pihak tertentu yang berkomplot menjatuhkan imej penjawat awam sebelum ada bukti kukuh dan perbicaraan mahkamah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat dan pada Rabu lepas, Azam dalam sidang media menafikan tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

    Azam berkata, saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adiknya yang menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli oleh adiknya itu juga tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.

    Dalam sidang media berasingan hari yang sama, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang menyatakan LPPR, satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

    Ahmad Faizal turut menyarankan kepada semua pihak agar menegakkan kedaulatan undang-undang dalam kes yang melibatkan penjawat awam dan tidak sewenang-wenangnya menghukum mereka melalui perang media.

    Beliau memberitahu, ini adalah kerana penjawat awam, dalam menjalankan tugas adakalanya akan dijadikan sasaran kerana ketegasan mereka.

    “Semua pihak mesti memberi ruang yang seluas-luasnya supaya siasatan dapat dijalankan tanpa prejudis oleh pihak berkuasa – baik Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan siasatan dalaman oleh SPRM sendiri.

    “Azam telah membuat penjelasan berkenaan isu ini pada 6 Januari 2022, menunjukkan integriti beliau yang tinggi sebagai penjawat awam yang mengamalkan sifat keterbukaan.

    “Kerelaan beliau untuk disiasat oleh pihak berkuasa juga harus dipuji dan isu kebertanggungjawaban beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak harus dibangkitkan dalam hal ini,” jelasnya.

    Ahmad Faizal berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Januari lalu yang menyatakan siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa menolak dakwaan kerajaan berdiam diri dalam hal ini.

    “Penjelasan oleh Datuk Dr Marzuki Mohamad, bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri kelapan, juga menunjukkan bahawa pelantikan Azam adalah di bawah peruntukan Seksyen 5 Akta SPRM 2009.

    “Di bawah seksyen ini, Ketua Pengarah SPRM dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,” katanya.