Category: Politik

  • 11 kerusi Bersatu di Johor kekal boleh menang

    11 kerusi Bersatu di Johor kekal boleh menang

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBANYAK 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diyakini akan kekal dipertahankan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rekod pencapaian kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin antara faktor kepada keyakinan itu.

    Kata beliau, rakyat Johor akan membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan rekod itu selain faktor gabungan Bersatu dan Pas serta Gerakan atas nama PN.

    “Tan Sri Muhyiddin berdepan dengan dua krisis besar iaitu kesihatan dan ekonomi namun oleh kerana kepimpinan yang kuat dan berintegriti, mampu membawa negara keluar daripada pandemik dan memulihkan ekonomi Malaysia.

    “Ini kenyataan yang tidak boleh mereka nafikan. Jadi, kalau kita mahu kerajaan yang kuat, berkredibiliti, yang ‘deliver’ kepada rakyat, yang prihatin kepada rakyat.

    “Saya yakin mereka akan memberi peluang kepada PN untuk mentadbir negeri Johor,” katanya pada sidang akhbar selepas Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat, Batu Pahat, malam tadi.

    Turut serta, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Presiden Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat, Boo Chin Liong.

    Justeru, Mohamed Azmin berkata, PN berharap rakyat Johor memberi mandat pemerintahan kepada gabungan itu yang terbukti telah berwibawa.

    “Masa depan negeri ini biarlah ditentukan oleh rakyat Johor berasaskan fakta dan kejayaan-kejayaan yang telah dicatatkan oleh PN.

    “Kami di sini berkhidmat kepada rakyat, mengukuhkan ekonomi dan memberikan kestabilan kepada negeri Johor.

    “Berilah peluang kepada PN untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat yang dapat mencerdaskan ekonomi sekaligus membawa lebih banyak pelaburan serta mencipta peluang pekerjaan untuk anak-anak di negeri Johor,” katanya.

    Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, sekiranya kerajaan di peringkat pusat dan negeri lemah serta dipimpin oleh golongan yang tidak berwibawa akan menghalang keyakinan pelabur ke negeri ini.

    “Dewan Perniagaan Cina, ahli perniagaan dan komunitinya memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bagi menarik keyakinan pelabur ke negeri Johor. Sebab itu saya pesan ini bukan mengenai politik, ini adalah demi masa depan generasi kita,” katanya.

    Pada PRU-14, Bersatu memenangi lapan kerusi DUN iaitu Gambir, Puteri Wangsa, Tenang, Kempas, Bukit Kepong, Bukit Permai, Larkin dan Permas, manakala tiga kerusi tambahan diperolehi selepas wakil rakyat UMNO di Sedili, Johor Lama dan Endau bertindak keluar parti untuk menyertai Bersatu.

  • Muhyiddin harap SOP PRN Johor tidak terlalu ketat

    Muhyiddin harap SOP PRN Johor tidak terlalu ketat

    TAN SRI Muhyiddin Yassin berharap SOP Covid-19 yang akan diumumkan tidak terlalu ketat sehingga menjejaskan perjalanan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, walaupun menyedari ada kes varian Omicron Covid-19 namun berharap ada sedikit kelonggaran bagi menghadapi pilihan raya.

    “Jangan sampai tidak boleh berkempen. Sebagai contoh, calon tidak boleh jumpa sesiapa, nak tunjuk muka tak boleh, mungkin pakai media sosial sahajalah. Ini tidak memadai, orang kawasan nak lihat calon, nak lihat perwatakan, perawakan, tutur bahasa, itu orang nak menilai, nak pilih wakil rakyat bukan senang.

    “Saya harap ada sedikit pertimbangan, saya sedar ada kes Omicron…Kita harap ada sedikit ruang supaya demokrasi itu dibolehkan untuk menghadapi pilihan raya, jangan sampai tak boleh langsung (berkempen). Nak kenalkan diri tak boleh, itu jadi cabaran besar pada kita, terutama parti-parti yang baharu bertanding,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Geran Penyelidikan Pembangunan Dasar Masa (MPDP), di Kuala Lumpur.

    Mengenai pembahagian kerusi dengan komponen PN, beliau berkata, ia dijangka selesai esok berikutan wujud sedikit pertindihan

    Beliau berkata, rundingan pembahagian kerusi untuk Pas dalam PRN Johor telah selesai.

    “Cuma berbaki beberapa pertindihan dengan Gerakan yang tak banyak, dalam dua hingga tiga kerusi. Tetapi pasukan Setiausaha Agung yang mengetuai pasukan rundingan akan cuba selesaikan dan kita akan maklumkan nanti,” katanya.

  • Bersatu tak akan buat langkah bodoh tarik sokongan kepada kerajaan – Muhyiddin

    Bersatu tak akan buat langkah bodoh tarik sokongan kepada kerajaan – Muhyiddin

    PARTI Bersatu memikirkan kepentingan rakyat dan negara justeru tidak akan melakukan langkah bodoh dengan menarik sokongan kepada kerajaan.

    Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  situasi semasa Covid-19 masih meruncing dan rakyat bergelut untuk membina semula kehidupan.

     ‘’Atas sebab itu, Bersatu tidak akan mengambil langkah yang sekadar mengutamakan tembolok parti sehingga sanggup menjejaskan rakyat.

    “Bersatu fikir kepentingan rakyat dan negara, supaya rakyat tak terkorban disebabkan langkah bodoh kita dan hanya fikir kepentingan parti. Nanti rakyat akan cakap ‘apa yang cuba anda lakukan?’, pasal ‘push button’ (tekan butang), tarik sokongan ini, adakah wajar? Hanya untuk kepentingan saya atau parti tertentu saja?

    “Kerana rakyat akan fikir apalah sikap ahli politik ini yang asyik fikirkan soal kuasa saja,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar (MPDP), Institut Masa Depan Malaysia (MASA), di Kuala Lumpur hari ini.

    Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan sama ada parti lain turut memberi jaminan tidak terbabit dalam rasuah.

    “Seperti PRN Melaka, parti saya angkat sumpah untuk tolak rasuah, tetapi parti lain ada buat perkara sama?,” katanya.

    Sehubungan itu, katanya, pengundi di Johor wajar menggunakan mandat mereka untuk ‘membersihkan’ kepemimpinan negeri berkenaan pada PRN akan datang.

  • Zuraida masih Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu – Muhyiddin

    Zuraida masih Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu – Muhyiddin

    PARTI Bersatu belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin yang didakwa akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata setakat ini Ahli Parlimen Ampang itu masih lagi anggota parti yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

    “Kita belum lagi dapat membuat apa-apa keputusan tentang kedudukan beliau walaupun banyak yang menyatakan beliau sudah menyertai parti lain. Setakat ini saya tidak dapat lagi (tahu) keadaan sebenar.

     “Ringkasnya beliau masih lagi ahli MPT dan kalau ada apa-apa perkembangan mungkin kita nanti akan buat penilaian bagaimana status beliau kerana bukan sahaja kedudukanya dalam MPT malah sebagai menteri,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar Masa (MPDP), di Kuala Lumpur, hari ini.

    Status Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hangat diperkatakan selepas terdapat laporan beliau terbabit menubuhkan PBM dan bakal meninggalkan Bersatu. Beliau juga dilaporkan sudah lama tidak menghadiri mesyuarat penting Bersatu.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin mengakui turut dimaklumkan mengenai dakwaan membabitkan Zuraida walaupun tiada kenyataan dan laporan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak.

    Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Disiplin Bersatu sedang menyiasat dakwaan ‘tindakan meragukan’ Zuraida yang dikatakan terbabit dengan PBM.

    Ahli MPT Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata ia susulan isu itu dibangkitkan ketika Mesyuarat MPT parti pada 25 Januari lalu, yang antara lain menyentuh kemungkinan Zuraida perlu dipecat kerana pembabitannya dengan PBM.

  • Syed Saddiq bertemu Anwar bincang strategi hadapi PRN Johor

    Syed Saddiq bertemu Anwar bincang strategi hadapi PRN Johor

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan telah bertemu Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.

    Anwar dalam ciapan di Twitternya berkata, beliau menerima kunjungan Ahli Parlimen Muar itu di pejabatnya hari ini.

    “Pagi tadi saya dikunjungi Presiden Muda dan Ahli Parlimen Muar YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di pejabat.  Kami berbincang soal masa depan dan perihal pembangunan anak muda di negara ini,” jelasnya.

    Tambah Anwar, turut disentuh dalam perbincangan itu berhubung strategi dan perjalanan pihak pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “Kami juga turut menyentuh tentang strategi dan perjalanan Pilihan Raya Negeri Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi,” kata Anwar lagi.

    Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, Syed Saddiq berkata, Muda mahu pembangkang kekal bersatu.

    “Kami mahu pembangkang bersatu untuk melawan keangkuhan BN dalam memaksa pilihan raya diadakan ketika gelombang wabak Omicron. Semua urusan rundingan saya akan buat secara tertutup dengan sahabat sahabat di pihak pembangkang,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perbincangan kerjasama PH dengan Muda bagi menghadapi PRN Johor termasuk mengenai pembahagian kerusi, masih belum dimuktamadkan.

    Beliau berkata PH turut akan mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain dalam masa terdekat berhubung kerjasama itu sejurus selesai rundingan dengan Muda.

    “Kita mahu berbincang dengan semua parti untuk elak pertembungan tetapi buat masa ini perbincangan dengan Muda lebih realistik.

    “Jadi kami harap kalau kita berjaya, kita boleh buat barisan atau pentas kerana kita bukan nak menang kerusi sahaja tapi kita nak menang kerajaan. Itu yang rakyat hendak…kita boleh buat perubahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian ibu pejabat baru DAP Johor di Kulai hari ini.

  • Rayu Agong isytihar darurat tangguh PRN Johor

    Rayu Agong isytihar darurat tangguh PRN Johor

    PERTUBUHAN Gerak Tani Negeri Johor merayu pertimbangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Menurut Pengerusinya, Datuk Maslan Aliman, pengisytiharan darurat adalah perlu selepas melihat peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa hari lalu dan kebimbangan mengenai varian Omicron yang boleh tersebar luas.

    “Atas keprihatinan terhadap kesihatan rakyat ekoran peningkatan mendadak kes Covid 19 dan varian Omicron, patik merayu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN Johor.

    “Keutamaan ketika ini adalah melaksanakan langkah segera bagi mengekang Covid 19 yang kembali meningkat termasuk menghadkan pergerakan rakyat melalui prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Maslan yang juga bekas ahli jawatankuasa (AJK) Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional berkata, perkara itu dilihat bersesuaian apabila sebelum ini telah diisytiharkan darurat pilihan raya bagi beberapa negeri berikutan isu sama.

    “Perkara ini (darurat) telah dilakukan pada PRN Sarawak, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi (Sabah) dan PRK Gerik (Perak) atas alasan sama.

    “Nyawa rakyat adalah segala-galanya sekarang, manakala mandat (PRN Johor) yang diberikan rakyat kita boleh buat sekali ketika Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, lebih sesuai dan menjimatkan,” katanya.

  • BN digesa letak calon ikut majoriti kaum pengundi, bukan kerusi tradisi

    BN digesa letak calon ikut majoriti kaum pengundi, bukan kerusi tradisi

    KEPEMIMPINAN Barisan Nasional (BN) diharap melakukan pembaharuan dalam pemilihan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan tidak lagi mengambil kira kerusi tradisi sebagai kriteria utama.

    Ketika membuat gesaan itu, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Senator Datuk Jefridin Atan, berkata kriteria itu tidak lagi relevan berikutan perubahan kehendak dan keperluan pengundi masa kini.

    Katanya, BN perlu lebih terbuka mengikut selera pengundi berdasarkan majoriti kaum di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Istilah kerusi tradisi sama ada bagi UMNO, MCA dan MIC tidak lagi relevan digunakan pucuk pimpinan tertinggi BN dalam pembahagian kerusi pada PRN Johor. Jika majoriti di sesuatu kawasan DUN itu Melayu, sudah tentu, kena akur wakil rakyat di situ mestilah daripada UMNO begitu juga sekiranya kawasan itu majoritinya masyarakat Cina, MCA yang perlu bertanding, janganlah sesekali diletak calon Melayu.

    “Kehendak rakyat perlu diberikan keutamaan, kita sudah tidak boleh terima parti-parti komponen yang rakyat sendiri sudah tidak selesa dengan mereka,” katanya lapor Berita Harian.

    Jefridin berkata, pimpinan tertinggi BN seharusnya tidak lagi perlu terikat isu kerusi tradisi sewaktu membuat keputusan berhubung pengagihan kerusi untuk PRN Johor.

    “Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan presiden komponen parti perlu fikirkan perkara ini, jika kehendak rakyat tidak diikuti, saya risau rakyat akan beralih sokongan berikutan mempunyai banyak lagi parti politik yang boleh dipilih,” katanya.

    Dalam pada itu, Jefridin berharap UMNO Bahagian Tanjung Piai diberikan dua kerusi sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen bagi PRN atau Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

    “UMNO Bahagian Tanjung Piai cuma mempunyai satu kerusi DUN di Kukup. Manakala kerusi DUN Pekan Nanas dan Parlimen Tanjung Piai adalah kerusi MCA.

    “Masyarakat Melayu kini menjadi majoriti di Pekan Nanas apabila merekodkan peningkatan 57 peratus manakala di Kukup meningkat 60 peratus perlu dipandang serius pucuk pimpinan BN sewaktu membuat pertimbangan sebelum sebarang keputusan berhubung parti dan calon diputuskan,” katanya

  • Tiada keperluan percepat PRU-15:Pas

    Tiada keperluan percepat PRU-15:Pas

    TIADA keperluan untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat memandangkan kerajaan yang mentadbir negara ketika ini berada dalam keadaan stabil.

    Selain itu kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah, perkembangan terkini kes Covid-19 yang menunjukkan peningkatan dilihat tidak sesuai untuk membenarkan PRU-15 dilangsungkan.

    “PRU15 hanya sesuai dilangsungkan jika wujud ‘gangguan’ daripada pihak pembangkang yang boleh menjejaskan kestabilan serta majoriti kerajaan.

    “Sekiranya PRU15 terus dijalankan dalam masa terdekat, berkemungkinan jangkitan akan terus meningkat. Situasi itu dilihat boleh memberikan kesan dan membahayakan rakyat.

    “Kalau ikutkan saya sebagai orang politik menang hendak pilihan raya supaya dapat menentukan kerajaan yang kukuh. Cuma kita perlu lihat keadaan, pertama peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang sudah mencecah 10,000 kes ketika ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Terdahulu Timbalan Menteri Besar Kelantan itu merasmikan Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sumbangan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) serta Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Parlimen Pengkalan Chepa 2022, Kota Bharu, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu PRU-15 diadakan dengan segera untuk membolehkan rakyat memberikan mandat kukuh kepada kerajaan yang lebih stabil.

    Mohd Amar berkata, kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob ketika ini berjalan lancar dan mendapat sokongan daripada parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada 13 September lalu.

  • PRN Johor: PN selesai bahagi kerusi

    PRN Johor: PN selesai bahagi kerusi

    PERIKATAN Nasional (PN) telah selesai membahagikan semua kerusi yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi, kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Beliau berkata, pembahagian melibatkan Bersatu, PAS dan Gerakan itu selesai sepenuhnya petang semalam, namun pengumuman calon hanya akan dilakukan selepas 11 Februari ini apabila PN selesai mengadakan beberapa program termasuk pelancaran jentera di Johor Bahru.

    “Bagi kerusi yang dipertandingkan, kita akan fokus semua kerusi tetapi kita mempunyai beberapa tempat yang kita yakin ada peluang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Batu Pahat, malam tadi.

    Wan Saiful berkata, bagi kerusi tumpuan, ia akan diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya PRN Johor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beliau telah menggariskan strategi besar untuk seluruh negeri.

    Mengulas mengenai tindakan lebih 300 ahli Bersatu Bahagian Tanjung Piai keluar daripada parti itu dan menyertai Warisan, beliau berkata Bersatu tidak terkesan dengan perkara yang berlaku dan tetap akan bertanding di kawasan terbabit.

    Menurut Wan Saiful, pengumuman keluar parti itu hanya dibuat oleh individu dan tidak menjejaskan struktur parti malah keahlian mereka akan digantikan dengan orang lain.- Bernama

  • SKMM: Jangan terpedaya sebaran tegah warga emas keluar mengundi pada PRN Johor

    SKMM: Jangan terpedaya sebaran tegah warga emas keluar mengundi pada PRN Johor

    SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memberi peringatan kepada orang ramai agar berwaspada dan tidak terpedaya dengan penyebaran berita palsu yang meminta warga emas supaya tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

    SKMM dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya mengesan penularan mesej di media sosial yang meminta warga emas untuk tidak keluar mengundi pada PRN Johor yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan penyebaran COVID-19 dalam kumpulan tersebut.

    “Peringatan ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dan suasana panik dalam kalangan masyarakat yang boleh mencetuskan situasi yang tidak diingini,” kata suruhanjaya itu.

    MCMC berkata orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini dan menentusahkan maklumat yang diterima daripada sumber rasmi terutamanya melalui Kementerian Kesihatan (KKM) atau melalui portal Sebenarnya.my.

    “Tindakan tegas juga boleh diambil oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang menyebarkan berita-berita tidak benar di bawah peruntukan undang-undang sedia ada,” kata MCMC.

    Semalam, KKM menafikan telah mengeluarkan saranan hebahan kepada warga emas berumur lebih 60 tahun supaya tidak keluar mengundi pada PRN Johor akan datang, seperti ditularkan di media sosial baru-baru ini.

    KKM memaklumkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan saranan itu dan berharap orang ramai tidak menyebarkan maklumat palsu terbabit.- Bernama