Category: Politik

  • Calon BN diumum tiga hari sebelum hari penamaan calon

    Calon BN diumum tiga hari sebelum hari penamaan calon

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BARISAN Nasional (BN) akan mengumumkan calon mereka tiga hari sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 Februari ini.

    Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, BN akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan gabungan calon baharu dan lama.

    “BN sekarang sedang dalam proses memuktamadkan pembahaguan kerusi dengan rakan-rakan komponen iaitu MCA dan MIC, kita juga sedang timbang (untuk memberikan kerusi kepada) ‘Friends of BN’,” katanya.

    Menteri Besar Johor itu berkata demikian dalam sidang akbar selepas majlis pelancaran The Common Ground Works Sdn Bhd (Common Ground) di Bandar Medini, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

    Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac, manakala tarikh mengundi awal pada 8 Mac dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari.

    Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata, calon BN itu akan menampilkan gabungan muka baharu, wanita, muda serta golongan profesional.

    “Keputusan menggabungkan calon tersebut adalah selepas mendengar pandangan dan saranan dibuat masyarakat dan akar umbi,” katanya.

    Ditanya mengenai peratusan muka baharu yang akan ditampilkan sebagai calon BN, perkara tersebut masih belum ditetapkan.

    “Soal peratusan calon muka baharu sukar untuk saya tetapkan sepertimana yang dilakukan di PRN Melaka iaitu 80 peratus muka baharu, ini kerana Johor dua kali ganda besar jadi ramai calon yang perlu dikenal pasti,” katanya.

    Sementara itu, Hasni nekad untuk bertanding di kerusi DUN Benut dalam PRN Johor yang sebelum disandangnya selama tiga penggal berturut-turut.

    “Saya akan meneruskan perjuangan saya di Benut,” katanya yang menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

    DUN Benut antara dua kerusi DUN yang terletak di Parlimen Pontian, selain DUN Pulai Sebatang.

    Pada PRU14 lalu, Hasni menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zulkifly Tasrep dan Mohd Firdaus Jaafar (Pas) dengan majoriti 4,447 undi.

  • Pemimpin, ahli PN jangan terpengaruh imbuhan ditawar parti lawan

    Pemimpin, ahli PN jangan terpengaruh imbuhan ditawar parti lawan

    MUSUH sebenar yang dihadapi Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja parti lawan bahkan sifat-sifat buruk yang sebati dalam diri pemimpin UMNO yang ternyata telah merosakkan sistem masyarakat, tadbir urus serta maruah negara.

    Sehubungan itu, Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri berharap ahli dan pemimpin parti tersebut tidak terpedaya dengan sebarang bentuk imbuhan keduniaan yang ditawarkan oleh kumpulan pecah integriti itu.

    Kenyataan penuh beliau hari ini adalah seperti berikut:

    Perikatan Nasional semakin mendapat sokongan dan kepercayaan kumpulan atas pagar serta pengundi baharu dan Undi 18 kerana menyakini prinsip-prinsip perjuangan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berteraskan integriti serta sistem nilai, mampu membawa pembaharuan dalam era kemajuan ini kepada negara.

    Sokongan dan sikap itu dizahirkan apabila mereka menjadi sebahagian audian yang menghadiri ceramah Siri Jelajah Penerangan Isu Semasa Negeri Johor di peringkat Dewan Undang Negeri (DUN) serta Parlimen serta pelbagai program sejak kebelakangan ini.

    Terkini, pejabat bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menerima banyak borang permohonan daripada ketiga-tiga kumpulan itu untuk menyertai parti manakala yang lain tampil menyatakan sokongan kepada Bersatu serta Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

    Mereka turut menyertai pelbagai platform media sosial untuk menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional dan memberi komen positif kepada teks yang dimuat naik pemimpin Perikatan Nasional dan ini membuktikan mereka menyenangi kepemimpinan parti.

    Perkembangan ini menunjukkan akar umbi mempunyai keyakinan tinggi kepada visi kepemimpinan Perikanan Nasional yang menawarkan elemen, prinsip serta penggabungan kerjasama bersifat universal dan boleh diterima secara harmoni oleh Bangsa Johor.

    Perikatan Nasional turut menerima banyak maklum balas termasuk keluhan rakyat yang mengalami kebosanan dan kelesuan politik berikutan tindak-tanduk pemimpin UMNO tertentu sehingga mereka begitu bertekad mahu menamatkan kehidupan era kerajaan parti tersebut.

    Pada masa sama, Perikatan Nasional menasihatkan ahli-ahli dan barisan kepemimpinan semua peringkat parti komponen supaya jangan berpaling tadah semata-mata kerana hal remeh seperti tidak puas hati atau tidak dicalonkan dalam PRN, tanpa menghiraukan kesan jangka panjang kepada keperibadian mereka.

    Adalah suatu yang merugikan jika seseorang ahli keluar parti kerana hal remeh sedangkan mereka sebenarnya bersekongkol dan tanpa disedari menggadai maruah untuk menjadi sebahagian daripada pihak yang telah merosakkan sejarah politik negara serta memalukan Malaysia di seluruh dunia.

    Musuh sebenar yang dihadapi Perikatan Nasional bukan sahaja parti lawan bahkan sifat-sifat buruk yang sebati dalam diri pemimpin UMNO yang ternyata telah merosakkan sistem masyarakat, tadbir urus serta maruah negara.

    Justeru, Perikatan Nasional berharap jangan ada ahli dan pemimpin parti ini terpedaya dengan apa juga bentuk imbuhan keduniaan yang ditawarkan oleh kumpulan pecah integriti ini.

    Setiap ahli Perikatan Nasional adalah pejuang yang mahu prinsip dan disiplin perjuangan ditunjukkan Pengerusi Perikatan Nasional itu diteruskan bagi memastikan pembaharuan landskap politik serta pentadbiran negara lebih baik menjadi realiti demi kesejahteraan rakyat mahupun kemajuan negara.

    Mereka juga jangan mudah terpengaruh dakyah yang tersebar konon ada ahli Bersatu keluar parti kerana itu semata-mata cubaan permainan parti lawan untuk mengelirukan kita.

    Ahli-ahli sebaliknya perlu melihat perkembangan apabila semakin ramai kelompok atas pagar, pengundi baharu dan Undi 18 menerima prinsip perjuangan berintegriti yang menjadi nilai teras kepada politik, tadbir urus serta semua urusan lain di seluruh dunia sekarang.

    Mana-mana organisasi yang enggan melakukan pembaharuan prinsip, takut melaksanakan perubahan organisasi serta menafikan penerapan sistem nilai akan ditolak rakyat mahupun pasaran.

    Jadi, saya memohon sokongan ahli parti dan seluruh Bangsa Johor untuk menyokong Perikatan Nasional yang sedang menerajui proses ini bagi membawa Johor menuju kehidupan era kemajuan yang gemilang, harmoni dan makmur.

  • Muda seperti budak manja, penakut – AMK Johor

    Muda seperti budak manja, penakut – AMK Johor

    SEORANG pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mempersoalkan mengapa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diberi layanan karpet merah sedangkan mereka belum lagi teruji.

    Naib Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad turut menyifatkan Muda seperti budak manja, penakut dan tidak sukakan cabaran kerana mahu bertanding di kerusi boleh menang sahaja.

    Kenyataan penuh beliau hari ini adalah seperti berikut:

    Orang ramai tidak akan dapat ukur kekuatan sebenar yang ada pada Muda kalau parti itu sekadar tanding di kerusi mudah menang atau kerusi pasti menang pada PRU Negeri Johor-15.

    Sangat relevan jika Muda diberi peluang tonjolkan kehebatan mereka dan terjemahkan populariti mereka di kerusi-kerusi sebelah pantai timur yang agak sukar seperti Penawar, Tanjung Surat, Tenggaroh, Sedili atau Johor Lama. Ini sedikit contoh, banyak lagi kerusi yang susah.

    Waktu itu, barulah kita boleh lihat sejauh mana Muda boleh bertahan dalam dunia politik. Barulah kita boleh ukur kekuatan jentera mereka. Barulah kita boleh nilai sama ada betul atau tidak orang Johor kenal Muda.

    Ya selama ini kita dengar mereka kuat di media sosial tapi belum tentu popular di dunia nyata terutamanya di mata orang Johor.

    Muda sepatutnya selari dengan sifat yang ada pada namanya. Orang Muda sinonim dengan sifat berani, sukakan cabaran baru dan berasa yakin. Jadi, Muda kenalah yakin bahawa mereka boleh beri cabaran sengit atau menang di kerusi yang telah saya sebutkan tadi.

    Tapi sayang, apa yang orang ramai nilai sekarang, Muda tak ubah seperti budak manja, penakut dan tidak sukakan cabaran apabila sekadar mengharap bertanding di kerusi-kerusi yang mudah menang atau kerusi yang ada potensi menang saja.

    Belum apa-apa lagi kita dah bentang karpet merah untuk Muda. Saya pun hairan, apa istimewanya Muda sedangkan mereka belum teruji?

    Maaflah, saya berbeza sedikit pandangan dengan rakan komponen dalam hal ini.

  • Pulangkan Puteri Wangsa kepada PKR, Manivanan beritahu Syed Saddiq

    Pulangkan Puteri Wangsa kepada PKR, Manivanan beritahu Syed Saddiq

    PKR sebenarnya berhasrat untuk mencalonkan Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.

    Memetik laporan Malaysiakini, Timbalan Ketua Penerangan PKR, G Manivanan berkata, partinya telah melakukan kerja-kerja politik di kawasan tersebut sejak setahun lalu.

    “Napsiah juga telah melakukan gerak kerja secara agresif di DUN tersebut dan mempunyai jentera kempen teratur yang diselaraskan untuk tempoh masa melebihi setahun.

    “Sekiranya Syed Saddiq menghayati perjuangan ini secara ikhlas dan jujur, seharusnya (Muda) mempertimbangkan untuk memulangkan kerusi tersebut untuk memastikan kemenangan PH atau blok pembangkang,” katanya merujuk kepada Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Manivanan menyatakan pandangan itu dalam sepucuk surat terbuka ditujukan kepada Ahli Parlimen Muar berkenaan.

    Semalam, Napsiah meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan keputusan Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa kepada Muda.

    Malah, beliau menganggap tindakan itu sebagai satu pengkhianatan.

    Kerusi Puteri Wangsa diserahkan kepada Amanah melalui rundingan yang dijalankan dalam kalangan pemimpin parti komponen gabungan tersebut.

    Namun, melalui rundingan berasingan yang dilakukan Amanah serta DAP, mereka mencapai persetujuan untuk menyerahkan kerusi tersebut kepada Muda, bersama lima kerusi lain.

    Manivanan menambah, dalam beberapa siri perbincangan mengenai pembahagian kerusi sesama Pakatan Harapan (PH) Johor, PKR telah memberikan hujah agar Puteri Wangsa diberikan kepada mereka.

    “Bagaimanapun, atas semangat setia kawan, PKR memberikan kerusi tersebut kepada Amanah. Seterusnya pucuk pimpinan tertinggi Amanah dan DAP telah memberikan kerusi ini kepada Muda.

    “Sekiranya benar perjuangan Muda berteraskan kefahaman strategik dan matlamat bersama untuk memastikan kemenangan rakyat dan membawa kestabilan politik di Johor, sewajarnya mereka memberikan kerusi Puteri Wangsa kepada Napsiah,” katanya.

  • Semakin panas! PKR, Muda didakwa berebut kerusi Gambir dan Larkin

    Semakin panas! PKR, Muda didakwa berebut kerusi Gambir dan Larkin

    DRAMA perebutan kerusi antara PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin panas.

    Memetik laporan Malaysiakini, kedua-dua parti berminat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang disandang oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Muhyiddin yang menang dengan majoriti 3,088 undi di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak akan bertanding mempertahankannya pada PRN Johor.

    Sumber PKR yang dipetik Malaysiakini berkata, parti itu bersedia memberi laluan kepada Muda untuk bertanding di tiga kerusi.

    Selain DUN Gambir, Muda dikatakan berminat untuk bertanding di DUN Larkin yang disandang oleh bekas pemimpin Bersatu Johor, Mohd Izhar Ahmad.

    Memandangkan Muda bersetuju untuk tidak meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi PKR pada PRU-14, parti itu hanya diberi tempat di kerusi-kerusi Bersatu yang diperuntukkan kepada PKR.

    Sementara itu, sumber PKR yang mengetahui rundingan itu berkata, tuntutan Muda di kerusi boleh menang itu sukar untuk diterima.

    Katanya, DAP dan Amanah telah pun menyerahkan kerusi boleh menang kepada Muda.

    Daripada enam kerusi diberikan DAP dan Amanah, empat daripadanya dimenangi PH melalui Bersatu sebelum ini.

    “Agak sukar nak terima… mereka sudah ada kerusi ‘pasti menang’ dan dua lagi dengan peluang besar untuk menang,” katanya.

    Kerusi ‘pasti menang’ dimaksudkan itu adalah DUN Puteri Wangsa, yang dipertahankan pembangkang sejak 2013 melalui PAS dan Bersatu.

    Semalam, Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan telah meluahkan kekesalan apabila Amanah menyerahkan kerusi tersebut kepada Muda.

    Malaysiakini difahamkan bahawa PKR bersedia menyerahkan kerusi Sri Medan, Semarang dan Benut kepada Muda di mana Pakatan Harapan (PH) kalah teruk pada PRU-14.

    Pada masa yang sama, Muda hanya berminat dengan hanya satu daripada tiga kerusi terbabit.

    Malaysiakini memaklumkan telah cuba menghubungi Muda untuk mendapatkan pengesahan tentang isu tersebut.

  • PBM akan bertanding 2 kerusi PRN Johor

    PBM akan bertanding 2 kerusi PRN Johor

    PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan meletakkan calon untuk bertanding di dua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Ketua Penerangannya, Zakaria Abdul Hamid berkata, perkara itu diputuskan oleh Majlis Tertinggi PBM.

    “PBM akan mengumumkan kerusi yang akan ditandingi dan nama calon sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Beliau menambah, PRN Johor adalah medan terbaik untuk PBM memperkenalkan Agenda The Great Reset 2030 yang terdiri daripada enam tunjang utama iaitu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan penglibatan golongan muda, memperkasakan peranan wanita, pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi serta peningkatan kualiti pendidikan di Malaysia.

    “Kami berharap akan dapat memberikan saingan yang sihat kepada parti-parti politik lain yang bertanding di dalam PRN pada kali ini, dengan iltizam bagi mengukuhkan aspirasi demokrasi di Johor,” jelasnya.

  • Jangan percaya dua menteri Bersatu masuk UMNO-Hamzah

    Jangan percaya dua menteri Bersatu masuk UMNO-Hamzah

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan kononnya dua menteri daripada parti itu akan menyertai UMNO.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu merupakan ‘psywar’ atau perang psikologi sesetengah pihak.

    Justeru beliau menggesa semua pihak agar tidak percaya dengan khabar angin tersebut.

    Beliau mengulas laporan sebuah portal berita pro-UMNO yang mendedahkan dua menteri daripada Bersatu dikatakan mahu melompat kembali untuk menyertai UMNO, menurut sumber.

    Lapor portal itu salah seorang menteri yang mahu melompat itu merupakan bekas ahli UMNO yang agak senior, manakala seorang lagi individu pula agak muda.

    Menteri senior tersebut memegang jawatan kanan dalam parti Bersatu manakala menteri yang agak muda pula hanya memegang jawatan biasa tetapi berstatus menteri.

    Sebelum ini, media melaporkan beberapa pemimpin Bersatu Johor termasuk bekas Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad dan bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang mengumumkan keluar Bersatu.

  • Siti Nora cuma ahli biasa, bukan Ketua Srikandi Maran

    Siti Nora cuma ahli biasa, bukan Ketua Srikandi Maran

    SITI Nora Mohamad Noor yang menyertai UMNO semalam bukan Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Maran, Pahang.

    Penjelasan itu diberikan oleh Ketua Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin dalam kenyataan media, hari ini

    Beliau menambah, kesemua 31 lagi individu yang turut menyertai UMNO bersama Siti Nora bukan ahli Srikandi Bersatu Bahagian Maran.

    Mereka didakwa ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Maran dan Bersatu Bahagian Maran tidak mempunyai rekod keahlian mereka.

    “Hanya Siti Nora seorang sahaja yang menjadi ahli Bersatu Bahagian Maran sejak 10 April 2021 dan beliau tidak terpilih sebagai Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Maran dalam persidangan dan pemilihan pada 28 November 2021.

    “Ketua Srikandi Bahagian Maran yang dipilih ialah Nur Amirah Shafiqah Mohamad Latipi,” katanya.

    Semalam, media melaporkan Siti Nora dan 31 individu lain menyerahkan borang permohonan keahlian UMNO kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan.

    Sehubungan itu, Jasri mendakwa, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin tidak meneliti dan memberi maklumat salah serta tidak tepat kepada Rosdy.

    “Saya juga ingin menegaskan bahawa kepimpinan Bersatu Bahagian Maran yang terpilih pada persidangan tahunan yang lalu masih kekal utuh dan bergerak sebagai satu pasukanm bersama kepimpinan Srikandi dan Armada bahagian,” ujarnya.

    Pada masa yang sama, beliau memberitahu, pimpinan Bersatu Bahagian Maran bersikap terbuka dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Siti Nora.

  • PH mahu PRN Johor ditangguhkan ekoran peningkatan kes Covid-19

    PH mahu PRN Johor ditangguhkan ekoran peningkatan kes Covid-19

    PAKATAN Harapan (PH) mahu kerajaan mempertimbangkan untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan pada 12 Mac depan.

    Ini ekoran gelombang varian Omicron yang semakin memuncak dengan kes baharu Covid-19 mencecah 17,134 jangkitan semalam.

    Majlis Presiden PH dalam kenyataan menegaskan, penangguhan itu perlu dilakukan bagi memastikan keadaan sedemikian tidak diperalatkan untuk tujuan politik.

    Bagaimanapun, Majlis Presiden PH berkata, kempen secara terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan sekiranya kerajaan enggan menangguhkan PRN Johor.

    “Majlis Presiden memandang serius gelombang Covid-19 dengan varian Omicron yang sudah bermula dengan jumlah kes mencecah 17,000 semalam.

    “Sekiranya kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti di negara Barat, maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan.

    “Yang pasti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

    Mengulas lanjut, Majlis Presiden juga telah memutuskan bahawa PH akan menyediakan siri tawaran di bawah kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’ untuk menghadapi PRN Johor.

    Katanya, tawaran berkenaan merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial serta reformasi politik yang akan diumumkan sebelum bermula kempen.

    “Majlis Presiden juga memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.

    “Ini demi menyatakan kesediaan PH menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk Kerajaan Negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik,” jelasnya.

  • Poster Anti Korupsi: Ketua Penerangan Muda mohon maaf

    Poster Anti Korupsi: Ketua Penerangan Muda mohon maaf

    KETUA Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Luqman Long hari ini memohon maaf atas sebuah poster kontroversi yang dikeluarkan Penerangan Muda Kedah malam semalam.

    Poster kontroversi yang tular itu dikatakan dihasilkan Penerangan Muda Kedah yang menunjukkan karakter empat individu memakai baju dengan warna rasmi parti politik – Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Perikatan Nasional (PN).

    Empat karakter itu dipotretkan bersebelahan antara satu sama lain, dengan masing-masing menghulurkan objek yang menggambarkan aktiviti rasuah kepada satu sama lain iaitu wang dan kontrak.

    Turut tertera ialah ialah mesej yang berbunyi – ‘Hentikan korupsi, Undi dan ubah persepsi’.

    Menurut Luqman, pihaknya menyedari poster itu telah menimbulkan salah faham dan tidak mematuhi prinsip jelas dalam parti.

    Beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden tersebut.

    “Sebagai langkah ke hadapan, saya telah mengambil keputusan untuk menggantung Penerangan Muda Kedah dari sebarang aktiviti berkaitan Muda.

    “Ini sama sekali tidak menafikan bahawa kekhilafan dari pihak saya telah mengeruhkan hubungan yang baik antara Muda dan rakan-rakan pembangkang yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Luqman mendakwa, perbincangan bersama-sama Penerangan Muda Kedah mendapati bahawa ‘posting’ itu juga tidak mendapat kebenaran dan sengaja dibuat dengan niat yang tidak baik.

    “Aku ambil tanggungjawab atas kesalahan yang dibuat tengah malam semalam. Posting itu tidak mencerminkan prinsip Muda dan telah mengeruhkan hubungan dengan kawan-kawan Pembangkang.

    “Aku akan serahkan kepada Muda untuk tindakan lanjut,” katanya.