Category: Politik

  • Setiausaha Agung Muda bertanding di DUN Puteri Wangsa

    Setiausaha Agung Muda bertanding di DUN Puteri Wangsa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SETIAUSAHA Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd. Aziz dicalonkan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengumuman tersebut dibuat Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu majlis khas di Taman Eco Cascadia di sini malam ini.

    Amira Aisya yang berusia 27 tahun merupakan calon pertama yang diumumkan Muda manakala calon lain akan diumumkan selepas ini.

    Menurut beliau, pencalonannya selaras dengan usaha parti itu untuk menampilkan pimpinan yang muda, aktif dalam politik khidmat serta sentiasa fokus dalam merangka dasar yang adil dan saksama untuk Johor.

    “Muda merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan pimpinan pembangkang yang sentiasa menyokong iltizam politik Muda untuk negara.

    “Fokus Muda adalah untuk memastikan negeri Johor bangkit sebagai sebuah negeri yang maju dan berjaya,” katanya ketika ditemui.

    Amira Aisya merupakan anak kelahiran Kampung Melayu Majidee di sini dan mendapat pendidikan sekolah rendah dan menengah di Sultan Ibrahim Girls School.

    Kemudian beliau meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengambil jurusan Ijazah Sarjana Undang-Undang.

    Amira merupakan seorang ahli Johor Student Leaders Council (JSLC) sewaktu berusia 16 tahun dan kemudian menjadi seorang perancang strategik dan panel penasihat di Johor Student leaders Council Alumni (JSLCA) ketika berumur 18 tahun.

    Pada tahun yang sama, Amira juga merupakan ahli termuda dalam Majlis Mesyuarat Perunding dan Penasihat Undang-Undang Kanak-Kanak Kebangsaan.

  • PRN Johor: Amanah umum calon Jumaat ini

    PRN Johor: Amanah umum calon Jumaat ini

    PARTI Amanah Negara (Amanah) akan mengumumkan kesemua 16 calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Jumaat ini.

    Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, maklumat lanjut mengenai pengumuman tersebut akan dimaklumkan sehari sebelum itu.

    Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Johor berkata, apa dijanjikan adalah calon yang diketengahkan itu boleh dipercayai dan tidak lompat parti.

    “Kita mahu beri satu jaminan kepada rakyat yang mengundi di Johor ini, keluarlah mengundi.

    “Jangan bimbang. Insya-Allah wakil rakyat yang diundi itu tidak akan dapat melompat parti lagi selepas ini. Itu komitmen yang kita berikan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Jentera PH + MUDA’ di Pulai Springs Resort di Johor Bahru hari ini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Amanah bertanding 12 kerusi DUN dan menang sembilan kerusi iaitu Kemelah, Serom, Simpang Jeram, Maharani, Parit Yaani, Senggarang, Mahkota, Kota Iskandar dan Pulai Sebatang. – BERNAMA

  • Maszlee sah jadi calon PKR DUN Layang-layang

    Maszlee sah jadi calon PKR DUN Layang-layang

    AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik diumumkan sebagai calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran Facebook beliau malam ini.

    “Saya yakin kemampuan beliau untuk terjemah aspirasi parti serta membawa suara dan kehendak rakyat keseluruhan,” katanya.

    Sebelum ini, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan era rejim Pakatan Harapan (PH) disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor.

    Walau bagaimanapun, perkara itu masih belum disahkan oleh pucuk pimpinan PH.

    DUN Layang-layang merupakan salah satu kerusi di dalam kawasan Parlimen Simpang Renggam.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), calon BN, Datuk Onn Hafiz Ghazi menang tipis di kerusi DUN berkenaan dengan memperoleh hanya 364 majoriti.

    Beliau menewaskan calon PKR, Cikgu Murugan dan calon PAS, Haji Jubri.

    Onn Hafiz yang juga anak saudara Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka bertanding mempertahankan kerusi tersebut.

    Setakat ini, sukar dijangka peluang Maszlee untuk memenangi kerusi DUN Layang-layang.

    Rekod prestasi beliau yang kurang cemerlang sewaktu menjadi Menteri Pendidikan dahulu pasti memberi kesan terhadap jumlah undi yang bakal diterima.

    Selain itu, rakyat Johor masih belum pulih daripada trauma yang dialami akibat hidup menderita semasa era pemerintahan rejim PH selama 22 bulan dahulu.

    Faktor tersebut sedikit sebanyak menjejaskan peluang Maszlee untuk menjadi Menteri Besar Johor yang pertama dari PKR, sekiranya beliau dan PH menang.

  • 4 pemimpin utama pembangkang atas satu pentas, komited tumbangkan UMNO, BN

    4 pemimpin utama pembangkang atas satu pentas, komited tumbangkan UMNO, BN

    WALAUPUN berlaku ketegangan dan perselisihan faham antara Pakatan Harapan (PH) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam isu pembahagian kerusi sebelum ini, tidak menghalang pemimpin kanan mereka untuk sepentas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yakin dengan kerjasama itu apabila hadir bersama-sama di Majlis Pelancaran Jentera PH + Muda bagi PRN Johor di Pulai, Johor Bahru, hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan rundingan antara PKR dan Muda seperti tergantung apabila Anwar mengumumkan calon partinya sendiri untuk lima kerusi di Johor Selatan, termasuk dua yang diminta Muda, iaitu Kempas dan Larkin.

    Namun, di sebalik isu berkenaan, Anwar dalam ucapannya menegaskan, perlu ada sinergi yang berterusan antara rakan-rakan dalam pembangkang dengan tujuan yang satu iaitu menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    “Apa yang kita lalui ialah mewariskan pola pemikiran, menggagaskan pembaharuan, mendambakan pembaharuan, supaya ada kebangkitan baharu di negeri ini.

    “Dan saya sama sependapat dengan rakan-rakan kita, iaitu meletakkan harapan kepada rakyat Johor, untuk mereka membuat satu keputusan yang bijak dan berani, dan lakukan perubahan untuk kita mendepani masalah rakyat,” katanya memetika laporan Astro Awani, hari ini.

    Dalam pada itu, Syed Saddiq, yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, rakyat Johor perlu menghentikan ‘keangkuhan’ UMNO dan BN yang dikatakan cuba menjatuhkan satu-persatu kerajaan negeri yang bukan dikuasai mereka.

    Beliau berkata, jika rakyat Johor enggan memberikan titik noktah, maka berkemungkinan besar akan ada lagi pilihan raya negeri yang lain, biarpun negara masih diancam dengan gelombang baharu Covid-19.

    “Sebab itu PRN ini bukan berkenaan Pakatan Harapan, bukan berkenaan Muda atau Perikatan Nasional, atau BN. PRN ini pilihan raya yang akan tentukan kebangkitan rakyat. Semua parti guna slogan sama, iaitu Johor Bangkit,” katanya lagi.

    Sementara itu Guan Eng, yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, ‘keangkuhan’ itu termasuk insiden seorang menteri yang ditugaskan untuk membuat prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, namun beliau sendiri melanggarnya dan akhirnya dikenakan kompaun.

    “Dan apabila didedahkan… oh hanya kena denda saja. RM1,000 atau RM10,000, denda tak ada kesan sama sekali. Paling penting, yang langgar SOP adalah yang buat SOP. Law makers become law breakers.

    “Ini timbulkan pertanyaan, adakah kerajaan serius lawan Covid-19? Atau adakah Covid-19 begitu serius seperti mereka uar-uarkan. Sampai yang buat keputusan, tak takut dengan COVID-19,” katanya lagi.

    Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu pula berkata, rakyat Johor wajib membuat perhitungan dalam PRN kali ini.

    “Oleh itu kita tumpu bagaimana nak ambil pemerintahan Johor, kembalikan mandat, dan PRU kembalikan kepada rakyat buat perubahan.

    “Kalau tidak kehancuran demi kehancuran akan berlaku kepada rakyat Malaysia, hanya tunggu dan lihat. Sebab itulah kita mahu supaya kita semua bekerja, bersama, dengan semua rakan yang ingin melihat perubahan ini,” katanya.

  • Saya masih menteri, belum terima notis – Zuraida

    Saya masih menteri, belum terima notis – Zuraida

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin tidak menerima apa-apa notis berhubung statusnya dalam parti berkenaan.

    Malah, Zuraida yang baru pulang daripada lawatan kerja rasmi ke Iran menegaskan beliau masih lagi Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

    “Saya baru balik dari Iran, saya tahu saya masih menteri di sini.

    “Saya tak tahu apa yang berlaku dan saya tak dapat sebarang notis rasmi daripada parti,” katanya seperti dilapor portal Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen dan Expo Antarabangsa Industri Getah Malaysia.

    Sebelum ini timbul desas-desus bahawa Ahli Parlimen Ampang itu akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), April ini.

    Tindakan Zuraida keluar parti April depan dikatakan mengambil kira jangkaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membentangkan rang undang-undang antilompat parti ketika itu.

    7 Februari lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, jawatan MPT dan status Zuraida selaku menteri menjadi pertaruhan sekiranya dakwaan terlibat dengan PBM didapati benar.

    Zuraida juga dikatakan telah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp MPT bersatu yang turut dianggotai Muhyiddin.

    Sementara itu, Zuraida turut menyambut baik penyertaan parti baharu seperti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan PBM untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Menurut Zuraida, ia merupakan proses demokrasi yang harus disambut baik.

    “Saya sangat alu-alukan. Ia adalah langkah demokrasi, saya percaya mana-mana parti politik dalam negara ini mahu memberikan yang terbaik untuk negara.

    “Selagi objektif mahu berkhidmat kepada rakyat, kita patut alukan mereka. Kalau mereka melencong daripada matlamat asal, kita tak perlu pergi pada mereka,” jelas beliau. 

  • Kestabilan politik dapat diwujud tanpa ada sikap untuk mendominasi, menguasai kebersamaan

    Kestabilan politik dapat diwujud tanpa ada sikap untuk mendominasi, menguasai kebersamaan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KESTABILAN politik negara hanya dapat diwujudkan dengan kesatuan antara semua pihak tanpa ada sikap untuk mendominasi, mahu pun menguasai kebersamaan yang telah dimeterai.

    Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd. Azam Abd. Samat berkata, selain itu semua pihak perlu mengelak daripada melakukan tindakan bersifat ekstrem, melampau, merugikan rakyat dan negara atau menyeleweng daripada kerangka Perlembagaan mahu pun keluhuran undang-undang.

    Dalam masa sama katanya, kalangan pemimpin terdiri daripada orang politik pula perlu fokus bekerja dan menyelesaikan masalah rakyat menerusi mandat diberikan, hingga tamat penggal.

    “Itu yang perlu dilakukan dan bukannya menimbulkan keresahan serta suasana politik tegang dengan mengisytiharkan Pilihan Raya Negeri (PRN), lalu bertanding sendirian meninggalkan rakan-rakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, pemerintahan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di Kedah telah membentangkan contoh baik yang boleh dijadikan sebagai rujukan kepada usaha mewujudkan kestabilan politik seperti dinyatakan Pengarah Pilihan Raya Pas Kedah itu dalam siri ceramahnya di Johor baru-baru ini.

    “Walaupun UMNO hanya memiliki dua kerusi mewakili Barisan Nasional (BN) di Kedah, tetapi jumlah sedikit itu tidak pernah diperkecilkan. Seorang daripada mereka malah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

    “Agihan turut diberi dalam jawatan di peringkat Ahli Majlis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Keterbukaan itu adalah bukti ketelusan kerjasama sekali gus membantu memacu pembangunan Kedah serta kesejahteraan terhadap rakyatnya tanpa hiruk-pikuk politik,” katanya.

    Tambahnya, tindakan itu selari dengan langkah Kerajaan Persekutuan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggabungkan parti-parti didukung dan mewakili masyarakat majmuk pelbagai latar belakang di seluruh negara.

    “Pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pembangkang juga demi mewujudkan kestabilan politik demi menjaga kepentingan rakyat dan negara. Jika itu model dan pendekatan yang dibuat, mengapa pula kuasa yang dipegang sendiri, digugat dan dirungkaikan?

    “Tindakan sedemikian membuka lebih peluang kepada bahaya yang sedia menerkam. Malah itu adalah tindakan tidak matang bagi memanipulasi demokrasi, bagi mencari lebihan penguasaan atau dominasi ke arah melunaskan kepentingan pihak tertentu,” katanya.

  • Tiga ADUN Sarawak dikuarantin terlepas angkat sumpah

    Tiga ADUN Sarawak dikuarantin terlepas angkat sumpah

    TIGA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tidak menghadiri upacara mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, hari ini selepas dua daripada mereka positif Covid-19 manakala seorang lagi menjadi kontak rapat.

    Wakil rakyat berkenaan yang disahkan positif Covid-19 ialah ADUN Kuala Rajang yang juga Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datuk Len Talif Salleh dan ADUN Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii.

    Sementara Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pula dikuarantin kerana menjadi kontak rapat kepada kes positif.

    Berikutan itu, hanya 79 daripada 82 Adun yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) pada 18 Disember lalu mengangkat sumpah, hari ini.

    Upacara angkat sumpah berlangsung di hadapan Speaker Dun Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, lapor Harian Metro.

    Ketua Menteri yang juga ADUN Gedong, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mendahului upacara itu disusuli tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Adun Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Adun Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Adun Batu Kawa, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian.

    Upacara itu kemudian diteruskan dengan angkat sumpah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang juga ADUN Muara Tuang, Datuk Idris Buang disusuli semua ADUN termasuk 16 muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta enam wakil pembangkang iaitu empat ADUN Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan dua ADUN DAP.

    Majlis angkat sumpah kesemua ADUN itu menjadi pembuka Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dun Sarawak ke-19 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu ini.

    Tiada upacara perasmian oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada persidangan kali ini.

  • Kalau nak main politik hati jangan tisu, Sanusi tempelak UMNO

    Kalau nak main politik hati jangan tisu, Sanusi tempelak UMNO

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan kenyataan dibuatnya mengenai kestabilan politik tanah air yang didakwa akan lebih terjamin sekiranya UMNO memiliki jumlah kerusi yang sedikit.

    Katanya, kenyataan itu dibuat bersandarkan pemerhatiannya sendiri dengan beliau sudah pun mengemukakan fakta berkaitan dalam pentas ceramah tersebut.

    Justeru katanya, mereka yang mahu membalas kenyataan tersebut perlu turut melakukannya secara berfakta selain menampilkan testimoni kepadanya.

    “Kerusi UMNO banyak di Perak, Melaka, Johor termasuklah di kerajaan Persekutuan. Semuanya bergolak dengan tukar Menteri Besar, tukar Ketua Menteri serta dibuat Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Semua itu disebabkan ketidakstabilan politik, antaranya disebabkan kerusi UMNO banyak. Mereka nak jawab, kena ada hujahlah, bawa testimoni kepada saya,” katanya.

    Muhammad Sanusi bercakap kepada pemberita selepas bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan melancarkan Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kedah di Dewan Al-Hana Sik, hari ini.

    Dalam beberapa siri ceramah di Johor baru-baru ini, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat formula politik mudah yang mampu membawa kestabilan politik di tanah air iaitu dengan memastikan UMNO memiliki jumlah kerusi yang sedikit.

    Muhammad Sanusi menambah, kenyataannya itu juga dibuat dalam konteks PRN dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan perkara lain yang tidak berkaitan.

    “Janganlah orang kaitkan benda lain… Bawa balik Kedah kononnya negeri ini bergoncang dan sebagainya kerana itu bukan dalam konteks dia. Konteks saya berucap itu dalam pilihan raya.

    “Bila berlaku pertembungan takkanlah saya nak berkempen untuk parti yang bertembung dengan parti saya? Kalau nak main politik, hati jangan tisu, kena kental,” katanya.

  • PAS minta UMNO Kedah hentikan politik ala anak manja

    PAS minta UMNO Kedah hentikan politik ala anak manja

    DEWAN Pemuda PAS Kedah meminta UMNO Kedah menghentikan pendekatan politik anak manja apabila berdepan dengan kritikan daripada pihak lain.

    Ketua Penerangannya, Adnan Yusof berkata, UMNO kelihatan begitu marah dengan kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang didakwa kononnya memperlekehkan UMNO Kedah.

    Menteri Besar itu dilaporkan berkata: “Kita tengok negeri lain bila mereka (UMNO) kerusi sikit, sikapnya lain. Seperti di Kedah kita tidak mengalami masalah, jadi syarat dia senang, kerusi dia (BN) sikit, jadi penting kita tentukan BN jangan menang banyak.”

    Sehubungan itu, Adnan dalam kenyataan media yang disiarkan dalam laman Facebook Dewan Pemuda PAS Kedah mempertahankan kenyataan Muhammad Sanusi tersebut.

    “Pertama, Muhammad Sanusi memuji sikap dan sifat wakil UMNO dalam kerajaan Kedah yang tiada masalah sekaligus mampu memberi kestabilan kepada kerajaan negeri dan hasilnya pelaburan negeri Kedah adalah yang tertinggi di Malaysia hari ini hasil kestabilan politik dan juga sikap UMNO di Kedah.

    “Kedua, dalam mengeluar kenyataan sepanjang pembubaran DUN Johor, UMNO yang galak menyerang kesemua parti lain dan kelihatan marah melenting dan menjadikan MN ‘punching bag’ mengugut PAS apabila dijawab oleh PAS walaupun secara lunak. Ini kelihatan politik anak manja yang bukan patut ada pada sebuah parti tua.

    “Ketiganya, UMNO seolah-olah melupakan kesemua kenyataan UMNO Terengganu dan Kelantan terhadap PAS di mana PAS tidak pernah menyerang dan memperlekeh UMNO di negeri pentadbiran PAS. Di mana waras UMNO semasa memutus hubungan dengan PAS di dua buah negeri berkenaan?” jelasnya.

    Beliau menambah, Dewan Pemuda PAS Kedah berpandangan, kecaman terhadap Menteri Besar Kedah itu adalah satu lagi kenyataan untuk mewujudkan sekali lagi ketidakstabilan politik dalam negara seterusnya menjustifikasikan ketidakstabilan politik di Kedah dengan melanjutkan lagi operasi pilihan raya negeri (PRN) UMNO yang semakin rakus dan tamak kuasa.

    “Di saat wabak masih memuncak, bencana alam yang silih berganti, kebajikan rakyat pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan banjir yang masih dan perlu diurus, UMNO galak berbicara soal kuasa mahu mengadakan pilihanraya dan mendesak rakyat memilih mereka semula secara mutlak.

    “Ini satu pemikiran politikus yang tidak sihat dan patut direnung semula oleh rakyat jelata,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Adnan berkata, Dewan Pemuda PAS Kedah mengikuti kenyataan demi kenyataan merujuk kepada kenyataan UMNO Kedah dan Pemuda UMNO Kedah sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubar hingga kini.

    Beliau mendakwa, UMNO menjulang diri sebagai parti keramat yang merasakan merekalah sahaja dapat menyelamatkan negara dan Johor menyebabkan mereka menyerang juga PAS serta memperlekeh kenyataan PAS berkenaan agihan kerusi yang tidak dilakukan melalui perbincangan yang sihat.

    “Akibatnya hasil muzakarah antara PAS bersama Bersatu menetapkan penyertaan sebagai satu pasukan dan diisytiharkan pada 29 Januari 2022 Perikatan Nasional (PN) bertanding dengan satu logo,” ujarnya.

  • Hidupkan semula skim KMK, ‘gula-gula pilihan raya’ Hasni?

    Hidupkan semula skim KMK, ‘gula-gula pilihan raya’ Hasni?

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad ketika berucap pada Majlis Pelancaran Briged MIC Johor StadiumTertutup Educity, Iskandar Puteri malam tadi, berhasrat menghidupkan semula skim kuota menegak kerajaan (KMK).

    KMK sebelum ini dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa memerintah Johor pada Mei 2018 di bawah kepimpinan Allahyarham Datuk Osman Sapian iaitu bekas Menteri Besar Johor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika itu.

    Menurut Hasni yang juga Menteri Besar Johor, KMK akan memberikan peluang perumahan kepada semua masyarakat jika menang pada PRN Johor.

    “Kalau BN menang esok (PRN Johor), KMK ini perlu BN kembalikan semula kepada semua masyarakat kerana itu perkara paling penting untuk beri peluang perumahan kepada semua masyarakat,” katanya.

    Pengumuman Hasni itu mengejutkan kerana KMK dimansuhkan sebelum ini kerana wujud ketidaktelusan dalam pelaksanaannya.

    Keadaan itu menunjukkan BN mahu mengulangi skim tersebut yang dilihat menindas rakyat Johor selain mempunyai unsur kronisme.

    KMK adalah kuota politik yang berat sebelah dan dilihat tidak membantu golongan sasar yang memerlukan rumah sebelum ini.

    Semasa pemerintahan Osman, KMK dimansuhkan supaya rumah mampu milik yang berharga RM40,000, RM80,000 dan RM150,000 dimiliki golongan benar-benar memerlukan terutama anak muda yang memerlukan kediaman selesa.

    Sistem berkenaan dilihat tidak adil kepada rakyat Johor. Pemansuhan itu sebenarnya merupakan satu daripada janji dalam manifesto sekiranya Bersatu Johor dan PH berjaya menjadi kerajaan negeri pada Piliha Raya Umum ke-14.

    Sebelum ini sistem tersebut didapati memberikan hampir 30 peratus kepada pemimpin UMNO dan BN dan diagihkan kepada penyokong mereka.

    Dalam erti kata lain, KMK membuka ruang untuk salah guna kuasa dan rasuah.

    Tidak diketahui apa tujuan atau agenda Hasni mengumumkan perkara itu yang dilihat lebih kepada ketandusan ‘isu rakyat’ untuk menarik pengundi memangkah BN pada PRN Johor yang akan diadakan 12 Mac ini.

    Hasni sedar, hujah batil bahawa PRN Johor diadakan kerana mahukan kestabilan politik tidak diterima rakyat Johor yang waras.

    Jadi adakah ini sebagai satu lagi ‘gula-gula pilihan raya’ kerana sedar isu pemilikan rumah adalah sesuatu yang sangat serius dan mendesak di negeri itu kerana masih ramai rakyat Johor tidak memiliki rumah sendiri?

    Rakyat terutama pengundi perlu sedar, adakah sistem KMK untuk mengagihkan rumah di Johor benar-benar memberi manfaat kepada mereka?

    Perlu diingat, pengagihan menerusi parti politik pastinya akan berpihak kepada orang tengah yang mempunyai pengaruh politik sahaja.

    Jadi adakah sistem ini adil kepada rakyat lain yang tiada apa-apa kaitan dan kepentingan dengan parti mahupun ahli parti politik?

    Berdasarkan rekod pada 2017 yang dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor iaitu dua tahun sebelum KMK dimansuhkan, daripada jumlah 119,696 permohonan yang dibuat untuk perumahan mampu milik, hanya 8.16 peratus atau 9,773 permohonan yang diluluskan.

    Lebih separuh daripada jumlah itu iaitu 4,988, adalah daripada skim KMK iaitu melalui BN.

    Sehubungan itu, pengundi perlu bijak dan tidak terperangkap dengan ‘tawaran’ Hasni sekiranya BN kembali memerintah selepas PRN Johor.