Category: Politik

  • Pemimpin UMNO main wayang isu i-Citra KWSP – Pemuda Pas

    Pemimpin UMNO main wayang isu i-Citra KWSP – Pemuda Pas

    SEGELINTIR pemimpin UMNO dilihat cuba bermain wayang apabila seringkali berkeras mengatakan keputusan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kali kedua adalah keputusan terdesak Perdana Menteri.

    Menurut Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri yang mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tiada hasrat untuk menbenarkan pengeluaran i-Citra KWSP kali kedua.

    “Bagaimana ada sebahagian pemimpin UMNO berkeras menyebut ia keputusan ‘tanpa rela’ Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.

    Beliau merujuk kepada kenyataan yang pernah dikeluarkan Perdana Menteri pada 26 Disember tahun lalu berkenaan isu berkenaan.

    Dalam kenyataan itu, Perdana Menteri menjelaskan bahawa kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra dengan ada antaranya berisiko menjadi miskin tegar selepas pencen.

    “Akuilah hakikatnya Perdana Menteri dari UMNO sendiri sebenarnya tidak bersedia laksanakan keputusan ini. Kenapa masih bermain wayang,” soal Ahmad Fadhli lagi.

    Tegasnya lagi, beri ruang selesa kepada Perdana Menteri untuk buat pertimbangan berasaskan kemampuan kerajaan.

    “Janganlah perlekehkan Perdana Menteri dari parti sendiri seolah-olah jadi ‘puppet’ semata-mata,” ujarnya.

  • PRN Johor dirancang untuk kukuhkan ‘kluster mahkamah’

    PRN Johor dirancang untuk kukuhkan ‘kluster mahkamah’

    Oleh TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

    *Surat kepada pengundi Johor

    Besarlah harapan saya sekalian dalam keadaan baik dan sihat serta mendapat kerahmatan sentiasa.

    Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk berkongsi beberapa pandangan berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Undi saudara dan saudari akan menentu parti mana yang akan menerajui kerajaan negeri Johor dan adalah amatlah penting pilihan yang dibuat, selain memberi kebaikan kepada rakyat, tidak akan merugikan bangsa, agama dan tanah air.

    Saya sedar wujud di kalangan saudara dan saudari perasaan bahawa PRN Johor tidak akan memberi kesan apa-apa tidak kira siapa yang berjaya menerajui negeri.

    Di sini ingin saya memberi pandangan bahawa kesan PRN Johor ini kepada pilihan raya umum amat besar dan tidak boleh diambil ringan.

    PRN telah dirancang oleh kumpulan yang dikenali sebagai kluster mahkamah dan kleptokrat dari UMNO. Tujuan mereka ialah untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri sebagai langkah awal sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15.

    Perancangan mereka ialah apabila menang di pilihan raya umum nanti, mereka akan dapat mengguna kedudukan untuk menyelesai kes-kes salahguna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat.

    Ada pengundi yang berkata bahawa kumpulan kluster mahkamah dan kleptokrat tidak bertanding di dalam PRN Johor. Memang benar tetapi mereka yang bertanding di atas tiket Umno dan Barisan Nasional akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat.

    Saudara-saudari sekelian,

    Rakyat Johor telah menolak calon-calon UMNO dan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)  pada tahun 2018 kerana mereka tidak mahu bertindak dan mendesak (Datuk Seri) Najib Razak untuk melepas jawatan dan sebaliknya terus mempertahankannya.

    Kali ini mereka masih mempertahankan kleptokrat. Kerana itu, parti saya Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menyertai PRN Johor dan akan berusaha menyekat dan kleptokrat dan kluster mahkamah mencapai perancangan mereka.

    Saya pasti pengundi Johor akan bersama Pejuang untuk menyekat perancangan mereka. Saya akan menulis lagi kepada saudara dan saudari, Insya-Allah.

    Semoga saudara dan saudari akan terus mendapat keberkatan.

    Sekian. Terima kasih.

  • PRN Johor: Jentera pilihan raya PN dilancar 18 Februari

    PRN Johor: Jentera pilihan raya PN dilancar 18 Februari

    JENTERA pilihan raya Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dilancarkan di Kota Tinggi pada 18 Februari ini.

    Memetik laporan Harakahdaily, semua pemimpin utama parti-parti komponen PN dijangka menghadiri majlis pelancaran jentera tersebut.

    Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata,Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai merupakan antara pemimpin yang dijangka hadir.

    Menurut beliau, majlis pelancaran itu akan memperhebatkan momentum gerak kerja pilihan raya semua parti dalam PN yang sebenarnya sudah dimulakan.

    “Walaupun belum sah lagi di kawasan mana kita akan bertanding, penyusunan dan gerak kerja seluruh jentera PAS sudah dimulakan,” katanya yang juga Naib Pengerusi PN Johor.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh PRN Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, manakala hari mengundi awal adalah 8 Mac. Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 11 Mac.

    Abdullah menambah, Jabatan Pilihan Raya PAS Johor juga membuat pemantauan terhadap jentera pilihan raya parti setiap hari, termasuk pergi ke kawasan untuk mendengar taklimat dan memastikan gerak kerja pilihan raya berjalan lancar.

    Buat kali pertama di PRN Johor, katanya hanya akan ada pusat operasi PN dan tiada lagi pusat operasi mengikut parti seperti dalam PRN Melaka.

    “Perkara ini sudah diputuskan di peringkat pusat. Kita bersetuju kerana pusat operasi secara berasingan dari segi gerak kerja kurang berkesan, berbanding jika kita bergabung.

    “Atas dasar semangat setiakawan PN, sesiapa pun yang bertanding di sesuatu kawasan, kita sejak awal sudah sedia bekerja memastikan calon PN berjaya,” katanya.

    Mengulas pengagihan kerusi dan kawasan ditandingi dalam PRN Johor, katanya perkara itu belum 100 peratus selesai.

    “Perundingan berjalan dengan baik dan ini membabitkan pimpinan peringkat pusat, cuma belum dimuktamadkan kerana masa masih panjang,” katanya.

  • Ajar parti yang bongkak pada PRN Johor – Ketua Pemuda PAS

    Ajar parti yang bongkak pada PRN Johor – Ketua Pemuda PAS

    PAS perlu mengajar parti dan orang politik yang bongkak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sebelum ini, PAS berkempen dengan penuh keikhlasan membantu calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda PN memberitahu, ketika itu, PAS bersungguh-sungguh membantu kempen BN dengan mengarahkan para ahli dan penyokongnya mengundi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

    Namun, Ahmad Fadhli mendakwa, ada pihak tertentu yang mendakwa PAS tidak ikhlas berkawan dengan mereka.

    “Saya tak nak sebut nama siapa, tapi inikah nilai sebuah persahabatan? Inikah cara kamu menilai sebuah persahabatan?” katanya seperti dipetik daripada laporan Malaysiakini.

    Ahli Parlimen Pasir Mas itu menambah, Johor adalah tempat berkumpulnya beberapa pemimpin BN yang mengeluarkan kenyataan tajam sehingga melukakan hati PAS dan PN.

    “Maka sampai masanya kita kena ajar orang yang bongkak. Bukan semuanya, tidak,” katanya lagi.

    Beliau juga yakin Pakatan Harapan (PH) tidak akan memenangi PRN Johor.

    “Dalam situasi yang ada pada hari ini […] PH tak boleh menang. PH sudah menjadi pakatan yang tak ada harapan,” katanya.

    Hubungan PAS dan UMNO ketika ini agak panas, lebih-lebih lagi menjelang PRN Johor yang dijadualkan pada 12 Mac.

    Pemimpin kedua-dua parti sering melancarkan kecaman terbuka terhadap satu sama lain sekali gus menjadikan hubungan yang terjalin dalam Muafakat Nasional (MN) semakin renggang.

  • Hasrat BN hidupkan KMK langkah ke belakang, galakkan rasuah

    Hasrat BN hidupkan KMK langkah ke belakang, galakkan rasuah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGUMUMAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mahu menghidupkan semula skim kuota menegak kerajaan (KMK) jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai langkah ke belakang.

    Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu juga dilihat tidak berintegriti dan mengalakkan budaya rasuah.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar itu berkata, ini kerana skim KMK sudah dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018 selepas didapati terdapat banyak salah laku dan ketidakadilan.

    “Skim KMK ini dimansuhkan kerana skim ini terdedah kepada elemen rasuah, penyalahgunaan kuasa di mana akhirnya Rumah Mampu Milik ini tidak sampai kepada kumpulan sasarannya iaitu golongan B40.

    “Sebagai contoh pernah berlaku sebelum ini Ketua Pemuda UMNO Gelang Patah bersama-sama rakan wanitanya terlibat dalam penipuan tawaran Rumah Mampu Milik Johor yang melibatkan ratusan ribu ringgit.

    “Melalui skim KMK ini akhirnya Rumah Mampu Milik bukan dimiliki kumpulan sasaran khususnya golongan B40 tetapi dimiliki oleh pimpinan politik parti UMNO, MCA dan MIC,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Hasni yang juga Menteri Besar Johor ketika berucap pada Majlis Pelancaran Briged MIC Johor Stadium Tertutup Educity, Iskandar Puteri pada malam semalam, berhasrat menghidupkan semula skim KMK.

    Menurut Hasni yang juga Menteri Besar Johor, KMK akan memberikan peluang perumahan kepada semua masyarakat jika menang PRN Johor.

    Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, semasa kerajaan PH memerintah Johor sudah memperkenalkan sistem pengagihan Rumah Mampu Milik yang lebih telus bermula 1 Ogos 2018.

    Jelasnya, pengagihan Rumah Mampu Milik dilakukan secara undian terbuka kepada mereka yang layak dengan semua proses permohonan pembelian kediaman tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perumahan.

  • UMNO yang amalkan politik katak-Syed Saddiq

    UMNO yang amalkan politik katak-Syed Saddiq

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendakwa UMNO mengamalkan politik katak hingga mengakibatkan beberapa kerajaan negeri tumbang.

    Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu jelas dapat dilihat dalam senario politik ketika ini.

    Justeru katanya yang juga Ahli Parlimen Muar, tuduhan UMNO bahawa Muda mengamalkan politik katak adalah tidak benar sama sekali.

    Jelas beliau, pendirian Muda itu adalah selaras dengan cadangan yang diusulkan parti itu sebelum ini iaitu Akta Lompat Parti yang diharap dapat diluluskan secepat mungkin.

    “Ketua Penerangan UMNO yang cakap macam itu? Saya nak ingatkan kepada UMNO ya, yang dalam UMNO, mereka telah pun menjatuhkan beberapa kerajaan negeri melalui politik katak yang tidak ada pengakhirannya.

    “Muda daripada awal mencadangkan Akta Lompat Parti diusulkan dan diluluskan secepat mungkin, supaya politik kata ini dapat diperangi.

    “Pada masa yang sama Muda telah menerima keahlian daripada pelbagai latar belakang, daripada kepimpinannya juga ada bekas pemimpin Pas, UMNO malah ada kawan baik Ketua Penerangan UMNO itu sendiri dan ada kawan-kawan daripada parti yang lain juga,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan Amira Aisya Abd Aziz calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dalam satu majlis di Taman Eco Cascadia di sini malam tadi.

    Syed Saddiq mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang mempersoal tindakan Muda kerana sebelum ini menjanjikan politik bersih dan menolak politik katak dalam parti itu.

    Shahril berkata, ini berikutan lantikan ahli Jawatankuasa Pusat Muda, Nurainiee Haziqah Shafii yang sebelum ini adalah calon Exco Wanita PKR Pusat 2018 dan Ahli jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2021.

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, 92 peratus ahli Muda datang daripada mereka yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik.

    “Sekarang ini kita menggembeleng tenaga rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, latar politik pun berbeza muda dan yang tua untuk mengangkat politik khidmat, politik dasar dan politik nilai. Itu adalah keutamaan kami,” katanya.

  • Ketua Penerangan AMK Johor nafi letak jawatan kerana tidak dicalon dalam PRN Johor

    Ketua Penerangan AMK Johor nafi letak jawatan kerana tidak dicalon dalam PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MOHAMAD Taufiq Ismail menafikan peletakan jawatannya sebagai Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor dan Setiausaha PKR Cabang Johor Bahru kerana tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau menjelaskan, peletakan kedua-dua jawatan itu tidak ada kena mengena dengan isu pencalonan parti itu yang diumumkan semalam.

    “Tidak benar saya letak jawatan kerana kecewa tidak dicalonkan pada PRN Johor. Ia 100 peratus tidak benar. Sebenarnya ada isu yang perlu selesaikan dengan cabang sehingga saya mengambil keputusan meletakkan jawatan.

    “Saya membuat keputusan letak jawatan selepas berfikir panjang dan keputusan ini adalah muktamad. Saya tidak akan tarik balik keputusan yang dibuat. Bagaimanapun, saya tidak keluar parti dan akan terus setia dengan PKR sebagai ahli biasa,” katanya ketika dihubungi.

    Menerusi entri dalam Facebook miliknya malam tadi, beliau mengumumkan perletakan jawatan itu dan kedua-dua surat perletakan jawatannya itu dimuat naik dalam akaun Facebooknya malam tadi.

    Mohamad Taufiq turut memuat naik status yang menggambarkan kekecewaannya, namun tidak merujuk kepada mana-mana parti.

    Beliau sedang menunggu surat rasmi PKR berhubung perletakan jawatannya itu sebelum membuat kenyatan lanjut.

    “Tunggulah sehari dua lagi. Saya akan beri kenyataan penuh berhubung perletakan jawatan saya,” katanya.

    Sementara itu, menerusi Facebook miliknya, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan AMK Johor atas segala tunjuk ajar dan kepercayaan diberi sepanjang tempoh menjawat jawatan berkenaan.

    “Saya berharap AMK Johor akan terus maju ke hadapan dalam memenangi isu rakyat dan menjayakan agenda reformasi parti,” katanya.

    Mohamad Taufiq turut memuat naik satu kenyataan ringkas yang menunjukkan kekecewaan dengan sebuah parti politik, namun tidak menamakan parti berkenaan.

    “Parti ini parti derita, memang deritalah sampai bila-bila. Tiba di penghujung kerjaya politik saya. Terima kasih semua,” tulisnya.

  • Harap tidak berlaku sabotaj di DUN Puteri Wangsa

    Harap tidak berlaku sabotaj di DUN Puteri Wangsa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KONTROVERSI kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa melibatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diyakini tidak akan berlarutan sehingga menjejaskan kempen atau akan berlaku sabotaj dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz menggangap, isu tersebut sudah selesai selepas persefahaman dicapai dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum kerusi itu diberikan kepada Muda.

    Beliau yang dicalonkan di kerusi DUN Puteri Wangsa berkata, semua pihak perlu memandang ke hadapan dan fokus kepada PRN Johor.

    Pada masa sama, beliau menghormati Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Napsiah Kamis Maharan yang sebelum ini tidak berpuas hati kerusi tersebut diberikan kepada Muda.

    “Saya amat menghormati semua rakan dalam parti-parti pembangkang seperti PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan kawan-kawan dalam PRN negeri Johor.

    “Saya juga menghormati puan Napsiah dan saya tahu Napsiah telah melakukan banyak kerja-kerja baik di kawasan Puteri Wangsa. Namun begitu saya telah diamanahkan untuk membawa nama Muda dan juga nama ‘our partners’ di DUN Puteri Wangsa,

    “Saya pasti Napsiah juga seorang yang sangat senior dalam politik dan beliau juga memahami amanah tersebut. Ia tidak akan mengganggu gerak kerja saya di sini dan pastikan gerak kerja diperkemas,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkannya sebagai calon kerusi DUN Puteri Wangsa dalam satu majlis di Taman Eco Cascadia di sini malam tadi.

    Amira Aisya, 27, merupakan anak kelahiran Kampung Melayu Majidee di sini dan merupakan calon pertama diumumkan Muda untuk bertanding dalam PRN Johor sementara calon lain akan diumum selepas ini.

    Pada 9 Februari, Napsiah meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan keputusan Amanah yang menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa kepada Muda dan menganggap tindakan itu sebagai satu pengkhianatan.

    Kerusi Puteri Wangsa diserahkan kepada Amanah melalui rundingan yang dijalankan dalam kalangan pemimpin parti komponen gabungan tersebut.

    Mengulas lanjut, Amira Aisya bersyukur dan menganggap isu tersebut sudah selesai terutama selepas Muda mementerai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan DAP dan Amanah baru-baru ini.

    “Dalam MoU tersebut kita juga telah tandatangani bahawa Muda akan membantu calon-calon DAP dan Amanah dan mereka juga akan membantu kami, ‘together we stronger’. Untuk PKR pula sebenarnya sesi rundingan bersama PKR belum tamat,” katanya.

  • Muda bukan milik saya, parti untuk semua-Syed Saddiq

    Muda bukan milik saya, parti untuk semua-Syed Saddiq

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEWUJUDAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bukan hanya platform untuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meneruskan karier politik sebaliknya turut memberi peluang kepada ramai ahli dan kepimpinan muda yang berbakat untuk diketengahkan.

    Syed Saddiq yang juga Presiden Muda berkata, parti tersebut menawarkan pembaharuan politik untuk rakyat Malaysia dan calon-calon Muda akan menjadi wadah untuk merealisasikan hasrat dan perjuangan mereka.

    “Apabila Muda ditubuhkan, ia adalah untuk memberikan peluang kepada lebih ramai calon yang beribawa dan berwawasan, bukan sekadar memberikan peluang kepada seorang yang telahpun dipilih di Parlimen Muar.

    “Apa yang penting sekarang adalah prioriti untuk menonjolkan pimpinan Muda Johor dan bakat baharu yang sebelum ni tak diberikan peluang,” katanya mengulas berkenaan khabar angin beliau akan bertading dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Terdahulu beliau mengumumkan Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd. Aziz sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada PRN Johor dalam satu majlis di Taman Eco Cascadia di sini malam tadi.

    Amira Aisya, 27, merupakan anak kelahiran Kampung Melayu Majidee di sini dan merupakan calon pertama diumumkan Muda untuk bertanding dalam PRN Johor sementara calon lain akan diumum selepas ini.

    Kelmarin, Syed Saddiq tidak mahu Muda dibayangi dirinya sekali gus tidak mahu Muda menjadi parti peribadi miliknya kerana hakikat sebenar ramai yang menjadi penggerak dan tulang belakang.

    Berkenaan saranan Menteri Besar Johor supaya terma pengundi muda tidak diguna pakai kerana bimbang akan dikaitkan dengan Muda sebaliknya perlu menggunakan terma pengundi baharu, beliau berkata, tiada sesiapa yang memaksa anak muda untuk memilih Muda.

    Ahli Parlimen Muar itu menjelaskan, itu hak golongan tersebut berbuat demikian dan Muda tidak terbatas untuk orang muda dan bukan sekadar pada nama sahaja kerana ideologi, perjuangan dan pembaharuan yang ingin dibawakan lebih daripada itu.

    “Secara jujurnya fokus kami bukan perkataan, fokus kami politik nilai dasar dan khidmat yang jauh lebih penting.

    “Kalau kita bicarakan soal ‘wording’ tetapi hilang integriti maruah dan fokus kepada pembaharuan dasar, itu lagi susah. Itu pandangan dia (UMNO Johor) dan saya hormati tapi Muda fokus kepada yang lebih teras,” katanya.

  • PKR umum tujuh calon PRN Johor untuk zon utara

    PKR umum tujuh calon PRN Johor untuk zon utara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan tujuh lagi calon mereka yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kawasan zon utara.

    PKR menampilkan empat muka baharu iaitu C. Subramani bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Yoong Thau (DUN Pemanis); Azmi Masrani (DUN Sri Medan) dan Abdullah Sahid (DUN Sungai Balang).

    Bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar kekal mempertahankan kerusi DUN Semerah yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Md. Ysahruddin Kusni jug kekal di kerusi DUN Bukit Naning yang disandangnya dan menempatkan Na’im Jusri yang sebelum ini bertanding di Sungai Balang ke kawasan DUN Gambir.

    Pengumuman tersebut dilakukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pelican Hotel, Kim’s Park Business Centre di sini malam ini.

    Sementara itu, ketika nama Mohd. Khuzzan disebut, terdapat sedikit kekecohan daripada penyokong PKR yang hadir ke majlis pengumuman itu dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan pencalonannya.

    Anwar sebaliknya meminta keputusan tersebut dihormati dan menasihatkan Mohd. Khuzzan agar menyantuni isu tersebut untuk diselesaikan secara baik.

    “Kita sudah buat keputusan, hormat keputusan. Saya harap Khuzzan ambil iktibar supaya menyantuni sesiapa yang kurang berpuas hati, saya ingat ini perkara biasa,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohd. Khuzzan ketika ditemui berkata, ini.meruapakan kali kedua beliau berhadapan dengan situasi itu sama seperti ketika diumumkan sebagai calon pada PRU-14 lalu.

    “Ini kali kedua (menerima protes), pilihan raya umum lepas juga begini. Tetapi, saya menyerahkan kepada masyarakat dan pemilih untuk memilih. Ini cuma sebahagian sahaja tetapi masih ramai lagi yang menyokong.

    “Bagi mereka yang memprotes tadi, saya akan pastikan dapat mengukuhkan semula hubungan sesama anggota parti untuk memastikan kemenangan kerusi DUN Semerah pada PRN akan datang,” katanya.

    Terdahulu pada sebelah petang, Anwar turut mengumumkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik sebagai calon di kerusi DUN Layang-Layang.