Category: Politik

  • Rakyat Johor jangan takut keluar mengundi – Annuar

    Rakyat Johor jangan takut keluar mengundi – Annuar

    RAKYAT tidak perlu bimbang untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan walaupun berlakunya peningkatan kes COVID-19 ketika ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

    Beliau berkata, meskipun terdap at banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh berkempen, namun susun atur proses pengundian dan SOP yang ditetapkan mampu mengawal penularan wabak COVID-19.

    “Tidak perlu ada rasa takut dan bila nak pergi mengundi mungkin ada proses ujian kendiri, malah pusat undi ada ruang khusus sekiranya (ada yang) positif (COVID-19)… di peringkat pihak berkuasa telah susun atur mengikut SOP dan norma baharu dalam mengendalikan PRN Johor.

    “Insya-Allah, semuanya akan berjalan baik dan terkawal,” katanya pada sesi soal jawab ketika program Bicara Keluarga Malaysia di Dewan Auditorium RTM Johor di Johor Bahru hari ini.

    Beliau ditanya oleh seorang hadirin mengenai SOP berkempen dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memberi lebih banyak kelonggaran berbanding PRN sebelum ini walaupun berlaku peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini.

    Penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen PRN Johor.

    Menurut SOP dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang, manakala bagi kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan tidak melebihi lima orang.

    Mengulas lanjut, Annuar berkata rakyat perlu memahami bahawa negara ini sedang beralih ke fasa endemik yang bermakna kehidupan termasuk sistem demokrasi perlu kembali seperti biasa namun dengan amalan norma baharu.

    “Banyak kelonggaran dibenarkan seperti ceramah, kempen dan ziarah rumah ke rumah berdasarkan SOP yang ditetapkan. Ini maknanya kita mesti kembali kepada keadaan biasa tetapi dengan norma baharu dan pilihan raya adalah sebahagian proses dituntut dalam Perlembagaan.

    “Sekiranya, berkempen tidak boleh maka cacatlah proses demokrasi itu. Kita perlu bergerak ke arah biasa tetapi dengan norma baharu. Kalau perkara itu difahami maka pengundi tidak perlu takut,” jelasnya.

    Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Annuar sekali lagi mengulangi bahawa kerajaan bersikap terbuka dalam mengizinkan media rasmi kerajaan dijadikan medium memperkenalkan calon parti bertanding termasuk pihak pembangkang.

    “Soal berkempen itu ada lagi medium-medium lain yang boleh digunakan termasuk media sosial. Kita ambil kira pandangan diberikan tetapi buat masa ini, belum lagi kempen secara langsung melalui RTM,” katanya.

    Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis pengumuman calon zon tengah dan zon timur berkata parti pembangkang masih belum diberi ruang untuk menggunakan saluran media rasmi seperti yang pernah disebut Ahli Parlimen Ketereh itu sebelum ini. – BERNAMA

  • ‘Komedi’ dituju perangai Zahid, Muhyiddin bukan persenda bapanya

    ‘Komedi’ dituju perangai Zahid, Muhyiddin bukan persenda bapanya

    GELARAN ‘Zahid Komedi’ yang digunakan oleh Presiden Bersatu, Tan Muhyiddin Yassin dalam ceramah baru-baru ini tidak ditujukan kepada bapa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Sebaliknya, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menjelaskan, gelaran itu merujuk kepada perangai Ahmad Zahid dalam berpolitik.

    Sehubungan itu, beliau berkata, Muhyiddin tidak berhasrat mempermainkan nama bapa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

    “Saya tidak rasa Tan Sri Muhyiddin mempermainkan nama bapa Zahid. Zahid Komedi bukan merujuk kepada bapa dia tetapi perangai dia yang perangai macam badut, (Zahid Komedi merujuk kepada) perangai dia.

    “Zahid kata dia terasa hati nama bapa dia dipermainkan, baru kau tahu terasa hati.

    “Kalau dalam hati ada taman, cepat ‘koyak’, tak payahlah masuk politik,” katanya ketika berucap sebelum melancarkan Jentera Perikatan Nasional (PN) Ledang di pekarangan Pejabat Operasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Pusat Perdagangan Bukit Gambir, Tangkak, malam tadi.

    Gelaran Zahid Komedi dilaporkan diucap oleh Muhyiddin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PN Bahagian Mersing, di Felda Tenggaroh 3, Mersing malam Rabu lalu.

    Sementara itu, Wan Saiful mendakwa, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah pilihan raya yang dipaksakan ke atas rakyat hanya kerana kepentingan dan mahu menyelamatkan kepimpinan tertinggi UMNO yang terpalit dengan kes mahkamah.

    “Ini adalah PRN yang dipaksakan ke atas kita sebab UMNO ada pemimpin yang mahu menyelamatkan diri. Tetapi tidak mengapa kita akan hadapi PRN ini dan nyatakan kepada rakyat kita mempunyai tawaran yang berbeza kepada mereka.

    “Jadi rakyat Johor mesti menghalang kebangkitan UMNO ini, kalau tidak dihalang satu Malaysia akan rosak. Ini soal maruah orang Johor, takkan kita nak undi parti yang dipimpin oleh pemimpin yang bakal ke penjara,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Wan Saiful berpandangan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk PRN Johor yang didakwa berat sebelah, tidak praktikal dan menyusahkan.

    “SOP yang baru dikeluarkan untuk PRN Johor beri banyak kekurangan kepada kita contohnya hanya 100 orang dibenarkan dalam satu majlis dan program perlu habis sebelum jam 10 malam.

    “Ini adalah pentas PRN yang tidak adil dan memang menyusahkan. Sepatutnya program boleh dibuat dengan jumlah ramai tetapi mengikut SOP dengan melakukan penjarakan dan mematuhi semua peraturan ditetapkan,” ujarnya.

    Beliau menambah, tempoh masa yang diberikan untuk ceramah tidak cukup untuk parti-parti politik menyampaikan ceramah dan mesej mereka kepada lebih ramai orang.

  • Muhyiddin terima laporan kewangan negara atas kapasiti Pengerusi MPN

    Muhyiddin terima laporan kewangan negara atas kapasiti Pengerusi MPN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menerima laporan berkaitan kedudukan kewangan negara atas dasar kapasitinya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, laporan yang sama turut diberikan kepada menteri-menteri Kabinet tanpa mengira parti.

    Menurut beliau, Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu Perdana Menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-COVID.

    “Malahan, fakta-fakta ekonomi yang ada di dalam laporan tersebut merupakan fakta yang telah saya sebut berulang kali kepada Kabinet dan sesiapa sahaja orang awam. Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum-forum, jawapan-jawapan parlimen dan laporan-laporan agensi seperti Bank Negara, Jabatan Statistik dan sebagainya.

    “Sebab tu sejak tahun lepas, kita dah cakap mengenai Akta Tanggungjawab Fiskal, untuk mengelakkan isu-isu seperti 1MDB, SSER dan sebagainya dari berlaku lagi,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Ketika berucap pada majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Johor di Kota Tinggi malam kelmarin, Muhyiddin tidak menolak akan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang didakwa “tidak semolek” seperti digambarkan.

    Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, sekiranya mandat diberikan kepada Barisan Nasional (BN) sekali lagi, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku kepada negara yang sudah dirosakkan.

    Muhyiddin turut menyatakan laporan tersebut dikemukakan kepada beliau oleh Tengku Zafrul dan beliau akan ‘membocorkan’ kedudukan kewangan negara yang sebenar satu hari ini.

    Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong dilaporkan membuat laporan polis terhadap ucapan Muhyiddin itu.

  • Gelaran Premier bukan langkah megah diri – Abang Jo

    Gelaran Premier bukan langkah megah diri – Abang Jo

    PERUBAHAN gelaran Ketua Menteri Sarawak kepada ‘Premier’ bukan satu langkah untuk megah diri, kata Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Ketua Menteri itu berkata, langkah tersebut bagi membezakan status Sarawak daripada negeri lain dalam persekutuan.

    “Saya hanya ingin mengatakan bahawa ia bukan mengagungkan diri sendiri dan juga sesuatu yang boleh dibanggakan.

    “Kerajaan negeri berpandangan bahawa gelaran ketua kerajaan (Sarawak) perlu berbeza daripada negeri-negeri lain dalam persekutuan.

    “(Perubahan jawatan adalah untuk) menekankan bahawa Sarawak berbeza daripada negeri lain di Malaysia, bukan untuk saya tetapi untuk Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis Tahun Perpaduan Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Sarawak di Miri, malam tadi.

    Pada 15 Feb, Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ dengan majoriti lebih dua pertiga ahli dewan menyokongnya.

    Pindaan itu juga melibatkan pertukaran gelaran ‘Menteri Muda’ kepada ‘Timbalan Menteri’.

    Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang membentangkan rang undang-undang tersebut berkata pindaan gelaran jawatan Ketua Menteri kepada ‘Premier’ itu hanya akan berkuat kuasa selepas diwartakan. – BERNAMA

  • Tun M ikrar terus meratib nama Najib,  halang ‘penyamun tongong’ berkuasa semula

    Tun M ikrar terus meratib nama Najib, halang ‘penyamun tongong’ berkuasa semula

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau akan terus meratib nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau sesiapa sahaja yang cuba merosakkan negara dan menipu rakyat.

    Beliau menyatakan pendirian itu dalam surat kedua yang ditujukan kepada pengundi di Johor hari ini.

    Dalam surat yang turut disiarkan dalam laman Facebook miliknya, Dr Mahathir berkata, surat khabar luar negara menggelarkan Najib sebagai ‘plundering idiot’ atau seperti yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Langkawi itu, ‘penyamun tongong’.

    Beliau menambah, Mahkamah Rayuan pula menghukum Najib sebagai ‘national embarassment’ atau orang yang memalukan negara.

    “Walaupun begita, Najib masih tidak malu dan sedang berusaha untuk mendapat kembali kekuatan politik. Dia percaya dengan memegang kembali kuasa politik, dia dapat lepas diri dari hukuman.

    “Dia perlu disekat kerana jika dia kembali berkuasa, ini bermakna negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptokrat dari kluster mahkamah untuk disamun dan dirompak,” kata bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu.

    Dr Mahathir memberitahu, tiada dendam peribadi antara beliau dan Najib.

    Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa adik Najib iaitu Tan Sri Nazir Razak sendiri telah menemuinya ketika skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memuncak.

    Dr Mahathir mendakwa, Nazir meminta beliau melakukan sesuatu kerana wang berbilion telah hilang dan keadilan belum lagi dicapai terhadap jenayah yang telah dilakukan.

    “Tan Sri Nazir menulis panjang lebar mengenai skandal 1MDB dan jenayah-jenayah yang dilakukan oleh abangnya.

    “Tulisan Nazir disebabkan perasaan malu keluarganya begitu bersalah,” jelasnya.

    Beliau berkata, banyak lagi yang didedahkan oleh Nazir yang mendedahkan skandal Najib secara terperinci.

    Dr Mahathir memberitahu, beliau sebenarnya berasa amat malu meratib nama Najib.

    “Dia memalukan negara, bangsa dan agama. Malangnya dia sendiri tidak malu malahan berpura-pura seolah-olah dia teraniaya termasuk oleh saya.

    “Dia berharap rakyat Malaysia akan percaya dia tidak bersalah dan sebenarnya adalah mangsa penganiayaan saya dan musuh-musuh politiknya.

    “Ada yang terpengaruh dan percaya dan tampil mempertahankannya malah sanggup memanggilnya Boss, cium tangannya,” katanya.

    Dr Mahathir menjelaskan, sebelum skandal 1MDB berlaku, beliau menyokong Najib malah memberi tekanan kepada Tun Abdullah Badawi ketika menjadi Perdana Menteri itu lambat melantik Najib sebagai timbalannya.

    “Akhirnya Abdullah lantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

    Dr Mahathir mengakui, selain percaya Najib layak memegang jawatan tersebut, beliau terhutang budi dengan bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kerana membantu kerjaya politiknya.

    “Malangnya, Najib bukan seperti bapanya. Tun Razak seorang nasionalis dan pejuang bangsa yang bermaruah.

    “Najib pula curi harta negara dengan bantuan Jho Low,” jelasnya yang turut mengucapkan terima kasih kepada Najib yang mendoakan kesembuhannya semasa beliau menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

    Dalam surat kepada pengundi Johor sebelum ini, Dr Mahathir menyifatkan Najib sebagai seorang individu yang tidak tahu malu walaupun mahkamah telah mendapatinya bersalah.

    Najib menyindir kembali Dr Mahathir dengan menyatakan, apabila Pengerusi Pejuang itu meratib namanya, ia bermakna beliau benar-benar sudah sembuh.

  • Muda henti mengugut, isu rundingan kerusi sudah selesai-PKR Johor

    Muda henti mengugut, isu rundingan kerusi sudah selesai-PKR Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mengingatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) supaya tidak lagi mengugut atau membangkitkan isu pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ini kerana isu rundingan pembahagian kerusi antara dua parti itu sudah selesai.

    Syed Ibrahim berkata, memandangkan mereka adalah sama-sama parti pembangkang dan mempunyai musuh yang sama, maka ketepikan sikap mengugut dan mengancam antara satu sama lain.

    “Berbalik soal prinsip, PH ada kerjasama dengan Muda daripada segi pembahagian kerusi apabila Muda menerima kerusi daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP. PKR juga sebahagian daripada PH.

    “Jadi tak perlulah berkata kalau kita tak boleh runding dengan PKR, maka kita akan langgar, saya rasa itu sikap yang tidak betul,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlia pengumuman calon PKR zon tengah dan zon timur bagi PRN Johor di Dewan Serbaguna Kampung Kopok Baru, Pasir Gudang, hari ini.

    Ahli Parlimen Ledang itu berharap Muda bersifat terbuka, tidak lagi membuat ugutan dan menumpukan perhatian terhadap enam kerusi yang akan ditandingi pada PRN tersebut.

    Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berharap, bagi menjernihkan keadaan Muda tidak berterusan mempersoalkan perkara itu dan bersama-sama PH menjalankan tanggungjawab dan membantu antara satu sama lain di kawasan ditandingi.

    Katanya, PKR akan memberi tumpuan di 20 kerusi yang ditandingi manakala Muda perlu memastikan kerusi yang diperoleh hasil rundingan dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP tidak dipersiakan.

    “Ini bukan bermakna kita ketepikan terus Muda, jika kita bertanding di kawasan bersebelahan, kita akan saling tolong menolong membantu satu sama lain. Kalau berterusan mengugut seperti ini, kerja tak jalan,” ujarnya.

    Semalam Muda memaklumkan, tindakan PKR mengumumkan 20 calon mereka yang akan bertanding pada PRN Johor menjejaskan sekali gus menamatkan rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu.

    Syed Saddiq juga seperti membayangkan kemungkinan pertindihan kerusi susulan gagal mencapai kata sepakat dengan PKR.

    Dalam kenyataan balas PKR terhadap Muda, PKR menjelaskan bahawa Muda tolak tiga kerusi yang ditawarkan parti itu selain menuntut kerusi lain selain daripada kerusi yang ditawarkan PKR kepada mereka.

  • Khairuddin antara tujuh calon PKR diumum hari ini

    Khairuddin antara tujuh calon PKR diumum hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ir. Khairuddin A. Rahim, 63 dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Beliau yang sebelum ini menimbulkan kontroversi keluar Parti Amanah Negara (Amanah) selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14), kini bertanding atas tiket PKR.

    Khairuddin merupakan antara tujuh calon PKR diumumkan akan bertanding pada PRN Johor bagi kawasan zon timur dan zon tengah.

    Pengumuman itu dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di Dewan Serbaguna Kampung Kopok Baru, Pasir Gudang, hari ini.

    Seorang lagi yang pernah menjadi calon ialah Ketua Cabang PKR Pontian, Haniff@Ghazali Hosman, 42, yang sebelum ini bertanding dalam PRU ke-13 di Parlimen Pontian tetapi kini bertanding di DUN Benut.

    Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Omar Mokhtar A. Manap, 29, bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama dan Naib Ketua Wanita PKR Johor, Haryati Abu Nasir, 52, (DUN Semarang).

    Sementara Ketua Cabang PKR Tanjung Piai, Mohd. Zaiful Bakri, 43, (DUN Kukup); Timbalan Ketua Wanita PKR Johor, Zulinah A. Johari, 47, (DUN Tenggaroh) dan aktivis PKR, Rosman Tahir, 53, (DUN Tanjung Surat).

    Menerusi pengumuman pada Sabtu, PKR telah selesai mengumumkan kesemua 20 calon yang akan mewakili parti itu dalam PRN Johor 12 Mac ini.

    Pada 15 Februari, Anwar mengumumkan calon PKR bagi kawasan zon tengah, zon selatan dan zon utara.

    Sementara itu, Khairuddin, berharap, rekod cemerlangnya ketika menjadi ADUN Senggarang akan menjadi asas kepada pemilihan dirinya kali ini.

    “Saya berharap penduduk di DUN Rengit akan dapat menerima saya seadanya, sekaligus membawa kepada kemenangan Pakatan Harapan pada kali ini,” katanya ditemui pemberita selepas majlis pengumuman calon.

    Omar Mokhtar pula yang merupakan calon paling muda PKR bagi PRN Johor berkata, pengumumannya sebagai calon merupakan hadiah paling manis sempena hari lahirnya yang ke-29 hari ini.

    Beliau akan memperjuangkan isu-isu rakyat seperti kos sara hidup meningkat, peluang pekerjaan dan Undi18, pada kempen beliau nanti.

  • DAP umum penyandang pertahan kerusi Bentayan, Pekan Nenas

    DAP umum penyandang pertahan kerusi Bentayan, Pekan Nenas

    DAP hari ini mengumumkan dua lagi calon dari parti itu yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan dan Pekan Nenas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

    Menurut Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, kedua-dua calon itu dipersetujui sebulat suara oleh pimpinan parti pusat dan negeri.

    “Hari ini saya ingin umumkan dua calon untuk DUN Bentayan dan Pekan Nenas. Seperti saya umumkan tadi semua pemimpin dan ahli telah buat keputusan untuk bersama dengan parti, menjayakan usaha kita menangkan calon yang telah dipilih parti.

     “Saya percaya dengan niat bersama ini, dengan semangat perpaduan parti akan memberikan peluang lebih besar untuk kita mengekalkan misi bertanding dan capai kemenangan. Saya ingin umumkan calon Bentayan ialah saudara Ng Yak Howe dan calon Pekan Nenas ialah saudara Yeo Tun Siong,” katanya pada sidang media, lapor Astro Awani.

    Pengumuman itu menjawab teka-teki dua daripada lima kerusi yang belum diumumkan parti tersebut.

    Tambah Guan Eng, pengumuman baki tiga lagi kerusi itu akan dibuat dalam masa terdekat.

    “Kalau nak umumkan mengenai pencalonan Liew Chin Tong, bukan hari ini, kita akan tetapkan hari yang sesuai.

    “Hari ini (ialah) tentang kita semua terus mendalami wawasan parti memenangkan parti dan menyokong calon yang ditetapkan parti. Itulah semangat semua ahli dan pemimpin di peringkat negeri,” jelasnya.

    Sebelum ini, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dikhabarkan akan membuat kemunculan bagi kerusi DUN Perling dalam PRN kali ini.

    Bagaimanapun, persoalan itu hanya akan terjawab apabila pengumuman rasmi dibuat parti itu.

    Dalam sidang media sama, Guan Eng turut menyatakan penghargaan kepada Tan Hong Ping (Skudai) dan Cheo Yew How (Perling) atas semangat yang diberikan kepada parti.

    Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya, sama ada dua pemimpin itu akan dipilih bagi tiga lagi kerusi yang belum diumumkan, atau sebaliknya.

    “Saya juga ingin ucapkan penghargaan kepada saudara Tan Hong Ping dan Cheo Yew How atas semangat diberikan kepada parti dan juga percaya mereka sama-sama (akan) menjayakan semua calon dipilih parti dalam PRN Johor.

    “Marilah kita bersama menjayakan calon DAP, Pakatan Harapan supaya kita boleh buat satu perubahan bermakna bukan sahaja untuk anak muda kita, tapi untuk masa depan Johor dan Malaysia,” jelas Guan Eng lagi.

    Sebelum ini DAP telah diperuntukkan oleh Pakatan Harapan 16 daripada keseluruhan 56 kerusi, tetapi telah bersetuju untuk menyerahkan dua kerusi iaitu Machap dan Bukit Permai kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

  • PN bertanding bawah satu logo bukti kesepakatan-Gerakan

    PN bertanding bawah satu logo bukti kesepakatan-Gerakan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) setuju menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai berkata, bertanding menggunakan satu logo sahaja membuktikan keutuhan dan kesepakatan antara parti komponen iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

    Katanya, ini adalah kali kedua Gerakan bertanding di bawah logo PN selepas PRN Melaka, November tahun lalu.

    “Kita bersetuju untuk terus menggunakan logo PN pada PRN kali ini. Langkah ini menjadikan hubungan parti komponen lebih erat dan saling memahami cara kerja masing-masing.

    “Kita tak sama dengan Pakatan Harapan (PH) apabila PKR ingin menggunakan logo parti mereka sendiri sedangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Pengerusi PH.

    “Bagaimana Pengerusi gabungan enggan menggunakan logo tersebut, ini menunjukkan parti itu hilang kepercayaan terhadap gabungan pembangkang tersebut. Sekiranya perkara semudah ini susah nak capai kata sepakat, macam mana hendak memimpin negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan di Pejabat Gerakan di Taman Jaya, Skudai, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir ialah, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dan Pengerusi Perhubungan Gerakan Negeri Johor, Senator Datuk Teo Kok Chee.

    Sebelum ini, Anwar mengumumkan PKR akan menggunakan logonya sendiri dalam PRN Johor, manakala dua sekutunya dalam PH iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo gabungan pembangkang itu.

    Susulan keputusan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, dua parti itu menghormati keputusan PKR untuk menggunakan logo sendiri, meskipun mempunyai perbezaan pendapat mengenainya.

    Hoe Chai memberitahu, dalam mesyuarat itu bersetuju untuk melantik Kok Chee sebagai Pengerusi Jentera PRN Negeri Johor dan pejabat itu sebagai bilik parti Gerakan.

    Tambahnya, semua pemimpin Gerakan di setiap negeri akan berkampung di negeri ini bagi membantu jentera PN berkempen dan memberi sokongan bagi memastikan kemenangan pada PRN Johor.

  • Pemimpin PKR terus bidas tindakan Syed Saddiq

    Pemimpin PKR terus bidas tindakan Syed Saddiq

    TINDAKAN Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menamatkan rundingan dengan PKR berhubung pembahagian kerusi terus menerima kritikan daripada pemimpin PKR.

    Hari ini, Pemuda PKR Johor melalui satu kenyataan  mempertikai tindakan MUDA yang memilih bertanding dalam kawasan bandar dan menolak tawaran PKR yang dilihat seolah-olah takut meletakkan calonnya di kawasan majoriti pengundi Melayu.

    Ketuanya R Yuneswaran berkata, PKR Johor sebelum ini membuka ruang luas kepada MUDA dalam membuat rundingan dua hala pilihan raya negeri (PRN) Johor, namun gagal mencapai kata sepakat.

    “Dalam perbincangan yang diadakan bersama MUDA, parti telah menawarkan tiga kerusi kepada mereka namun mereka tolak ketiga-tiga kerusi dan sebaliknya minta tiga kerusi yang lain.

    “Adakah MUDA hanya mewakili suara rakyat bandar sahaja? Bagaimana pula kawasan luar bandar? Kenapa MUDA tidak mahu bertanding di kawasan yang mempunyai pengundi Melayu melebihi 78%? Apakah mereka takut pengundi Melayu akan tolak mereka dalam PRN Johor?” katanya dalam satu kenyataan, lapor FMT.

    Kenyatan itu dibuat susulan kenyataan Syed Saddiq yang mengumumkan rundingan pengagihan kerusi dengan PKR tamat tanpa persetujuan susulan langkah parti itu mengumumkan 20 calonnya secara bersendirian.

    Ahli Parlimen Muar itu juga membayangkan kemungkinan berlakunya risiko pertindihan kerusi di Johor antara dua parti itu..

    Yuneswaran berkata, sekiranya parti MUDA mengangkat atau mewakili suara dan aspirasi rakyat, maka parti itu harus membuktikan mereka mempunyai sokongan di semua kawasan termasuk dari pelbagai latar masyarakat khususnya di luar bandar.