Category: Politik

  • Alasan UMNO mahu kestabilan politik naratif palsu – Anwar

    Alasan UMNO mahu kestabilan politik naratif palsu – Anwar

    DATUK Seri Anwar Ibrahim mendakwa, alasan UMNO yang mahu mewujudkan kestabilan politik dan perpaduan untuk mewajarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan adalah naratif palsu.

    Memetik laporan Malaysiakini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, tumpuan utama sepatutnya adalah bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan rakyat seperti peluang pekerjaan, kualiti pendidikan dan kos sara hidup.

    “Stabil untuk senang ambil tanah? Stabil untuk senang rompak? Stabil ini untuk memastikan nasib rakyat terbela,” kata Presiden PKR itu ketika berucap pada majlis pelancaran jentera PKR di Pulai Springs Resort, Johor Bharu malam tadi.

    Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pernah mengeluarkan kenyataan mempertahankan permintaan partinya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri dan menggesa PRN, dengan mengatakan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak boleh terus berfungsi dengan hanya majoriti satu kerusi daripada 56 kerusi DUN.

    Hasni berkata, kerajaan negeri tidak stabil dan memerlukan mandat baharu untuk meneruskan rancangannya di Johor.

    Anwar berkata, naratif palsu itu juga terbukti selama 60 tahun pentadbiran BN sebelum PH berkuasa pada 2018.

    “Stabil untuk apa? Stabil ini untuk memastikan nasib rakyat terbela.., 60 tahun memang stabil! Tapi tidak menjamin keselesaan hidup rakyat. Jadi naratif stabil ini jangan mengelirukan.

    “Begitu juga naratif perpaduan. Semua bicara soal perpaduan. Perpaduan Melayu, kesatuan ummah, perpaduan rakyat.

    “Ya, negara yang merdeka harus bersatu-padu tapi untuk apa? Bersatu untuk keselesaan rakyat.

    “Bukan bersatu turun-temurun punggah kekayaan,” kata Anwar yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO.

    Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, beliau telah bertemu dengan jentera parti di kesemua 20 kerusi, untuk mengenal pasti dan menyelesaikan pelbagai isu menjelang tempoh berkempen bermula selepas penamaan calon pada 26 Februari ini.

  • PRN Johor medan tolak kebangkitan UMNO, BN

    PRN Johor medan tolak kebangkitan UMNO, BN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGUNDI harus menolak kebangkitan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana matlamat mereka untuk menang adalah bagi menyelamatkan pemimpin tertinggi mereka yang terlibat kes rasuah.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mereka menggunakan PRN Johor kerana semata-mata mahu melindungi salah laku pemimpin mereka.

    “Ini adalah PRN yang dipaksakan UMNO dan BN ke atas Bangsa Johor, ini bukan PRN yang dikehendaki orang Johor. PRN Johor ini diadakan kerana ada pemimpin UMNO yang terdesak, kalau tidak ada kuasa yang boleh disalahgunakan, ada pemimpin mereka yang akan masuk penjara.

    “Disebabkan ketakutan itu mereka tidak ada pilihan dan mereka paksakan PRN ini dengan niat satu gelombang yang akan menyokong mereka dapati diwujudkan di Johor. Jadi menjadi tanggungjawab kita untuk menolak gelombang yang cuba diwujudkan ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak, Kulai, malam tadi.

    Katanya, UMNO dan BN ketika ini sudah terdiam membisu kerana banyak isu yang ditimbulkan Bersatu dan PN tidak mampu dijawab sebaliknya cuba mencari isu-isu kecil dan remeh sebagai modal politik.

    Menurutnya, UMNO tidak dapat menjawab apabila isu-isu berkaitan kepincangan dan kerosakan Felda didedahkan semasa di bawah pemerintahan BN, begitu juga kes-kes rasuah yang sedang dihadapi pemimpin tertinggi parti itu.

    Sebaliknya apa yang cuba dimainkan UMNO katanya, adalah isu Tan Sri Muhyiddin Yassin mencemarkan nama dan maruah bapa Presiden UMNO, sedangkan gelaran ‘Zahid Komidi’ ditujukan bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada perangai Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    “Ada pemimpin UMNO yang mempunyai berpuluh kes mahkamah masih mampu berdiri depan orang ramai, tak malu ke, ini perangai badut. Kalau nak jaga maruah ibu bapa dan keluarga, kita kena fikir banyak kali sebelum songlap duit rakyat,” katanya.

    Beliau beranggapan, pemimpin berkenaan ‘belajar’ daripada bekas ketuanya yang tidak lagi mempunyai rasa malu selepas melakukan rasuah.

    “Ini saya tak tahu macamana boleh wujud manusia seperti ini di muka bumi ini. Dia ajar rakyat, ajar masyarakat supaya berpegang kepada nak malu apa. Malu ini sebahagian daripada iman. Tiada perasaan malu maka tiada iman.

    “Apa yang dia nak ajar kepada rakyat? Apa yang lebih pelik ada macai-macai dia menyokong. Malu apa bosku. Anak muda kena fikir adakah kita nak didik keluarga, membesar dengan didikan bahawa tiada perasaan malu, tiada masalah. Ini kita kena fikir secara serius,” soalnya.

    Menurutnya lagi, disebabkan ketandusan isu UMNO memainkan isu Bersatu memecahbelahkan orang Melayu sedangkan apabila Bersatu mahu menyertai Muafakat Nasional (MN) untuk kesatuan Melayu, UMNO tidak ‘merestuinya’.

  • Harap masalah pembahagian kerusi tidak tidak halang Muda bersama PH

    Harap masalah pembahagian kerusi tidak tidak halang Muda bersama PH

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MASALAH pembahagian kerusi antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diharap tidak menjadi penghalang untuk Muda bersama-sama Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin, kerjasama politik antara Muda dan gabungan tersebut akan terjalin dan seterusnya bersama-sama dalam satu blok.

    “Sekiranya Muda mengikut semangat manifesto yang sama dan selesaikan masalah rundingan, saya tidak ada masalah untuk pastikan calon-calon muda turut menang pada PRN Johor.

    “Kita tunggu respon mereka dan saya percaya, InsyaAllah respons itu akan positif,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRN Johor di Pulai Spring Resort, Kulai, malam ini.

    Turut hadir Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengarah Pilihan Raya Pusat, Fuziah Salleh.

    Semalam, Syed Ibrahim menjelaskan pintu rundingan pembahagian kerusi PKR dengan Muda sudah tertutup selepas parti itu mengumumkan kesemua 20 calon PKR bagi kerusi yang akan ditandinginya.

    Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, memang ada rundingan awal tentang pembahagian kerusi membabitkan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

    “Belum pernah seawal ini Kita mencapai kata sepakat membabitkan tiga parti dalam soal pembahagian kerusi, di Johor ini adalah yang pertama,” katanya.

    Justeru beliau berharap, hubungan baik itu dapat diteruskan dalam meneruskan perjuangan PH sebelum melakar kemenangan dalam PRN Johor.

  • AMK persoal SOP PRN Johor

    AMK persoal SOP PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir mempersoalkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dilihat tidak praktikal semasa berkempen.

    Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, contohnya SOP yang hanya membenarkan ceramah terhad kepada 100 orang di bilik gerakan parti adalah terlalu sedikit.

    Jika sudah ada SOP tertentu untuk dipatuhi katanya, tidak perlu penganjuran ceramah hanya dibenarkan di bilik gerakan yang juga agak terhad keluasannya.

    “Kenapa tidak ambil kira juga pematuhan SOP itu di tempat-tempat di mana sesuatu ceramah itu berlaku.

    “Kalau ceramah, tidak perlu hadkan hanya di bilik gerakan, mungkin boleh dibuat di tempat awam dengan SOP sama dipatuhi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan ke Bilik Gerakan Utama PKR Johor di Larkin, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

    Sementara itu, Dr. Wan Azizah berkata, semua pihak perlu mematuhi SOP yang ditetapkan kerana kes Covid-19 masih tinggi.

    “Kita perlu seimbangkan, jika SOP itu dibuat untuk kita kurangkan kadar jangkitan, itu bagus tetapi kita perlu seimbangkan juga antara faktor kesihatan dan berkempen.

    “Kebimbangan itu perlu supaya kita lebih berhati-hari bagi mengelakkan diri dijangkiti virus berkenaan dan dalam masa yang sama tidak mahu membebankan kesihatan dan kos hidup jika dijangkiti,” katanya.

    Dr Wan Azizah berkata, satu usaha dan cara menangani masalah itu perlu difikirkan supaya PRN tersebut lancar

  • Sarawak tetap tuntut peruntukan satu pertiga kerusi Parlimen

    Sarawak tetap tuntut peruntukan satu pertiga kerusi Parlimen

    SARAWAK akan tetap menuntut diberi satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen tanpa mengira sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat atau tidak.

    Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali berkata, ini kerana perkara tersebut adalah antara hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    “Sama ada (dapat dipenuhi tuntutan) sebelum pilihan raya atau selepas pilihan raya itu saya tak tahu, tapi kita memang sentiasa bawa perkara ini ke atas, ke peringkat yang tertinggi dan di Parlimen,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ‘Let’s Talk With Wanita Pemadam’ sempena Sambutan Hari Antidadah Pemadam Sarawak di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya di Kuching hari ini.

    Sharifah Hasidah malahan mengalukan sekiranya tuntutan Sarawak terbabit boleh dipenuhi kerajaan Persekutuan sebelum ketibaan PRU15.

    “Kalau tidak (dipenuhi tuntutan terbabit sebelum PRU15) kita akan teruskan juga sampai bila-bila perjuangan kita ini,” katanya. – BERNAMA

  • Kelantan tidak pernah dianaktirikan anjur Sukma – KJ

    Kelantan tidak pernah dianaktirikan anjur Sukma – KJ

    KELANTAN tidak pernah dianaktirikan dalam pemilihan sebagai tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma), kata bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

    Khairy yang menyandang portfolio Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018 berkata, Kelantan pernah ditawarkan menjadi penganjur temasya itu melalui beberapa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma selepas edisi Perlis 2014 berjaya dianjurkan dengan cemerlang.

    Beliau berkata, pemilihan tuan rumah temasya sukan itu dibuat secara saksama melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dianggotai 14 Exco Belia dan Sukan Negeri selain tertakluk kepada kesanggupan dan kesediaan negeri yang dipilih.

    “Mengikut penggiliran negeri penganjur, selepas Sukma Sarawak 2016, hak penggiliran penganjuran akan kembali ke negeri di Pantai Timur. Kelantan yang belum pernah menganjurkan Sukma merupakan pilihan namun kerajaan Kelantan ketika itu tidak bersedia untuk menganjurkannya atas beberapa kekangan.

    “Kita juga semasa membuat keputusan Sukma 2018 kepada Perak dan Sukma 2020 kepada Johor turut mengalu-alukan agar Kelantan mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah Sukma 2022 supaya temasya sukan itu dapat dibawa kepada rakyat Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, tanpa merujuk kepada mana-mana menteri Belia dan Sukan, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam video TikToknya antara lain mendakwa beliau ‘mengembalikan semula hak penganjuran’ Sukma kepada Kelantan.

    Mengulas lanjut, Khairy yang kini Menteri Kesihatan berkata, kenyataan Syed Saddiq itu yang menerajui Kementerian Belia dan Sukan dari 2018 hingga 2020, seolah-olah memperlihatkan menteri Belia dan Sukan sebelum ini menafikan hak negeri berkenaan menjadi tuan rumah temasya sukan tersebut. – BERNAMA

  • SOP PRN Johor untuk kebaikan semua

    SOP PRN Johor untuk kebaikan semua

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PROSEDUR operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah untuk kepentingan semua parti politik yang bertanding.

    Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, SOP berkenaan untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan dalam mengekang penularan Covid-19.

    “Parti politik harus bersyukur kerana masih diberi peluang untuk berkempen walaupun dalam keadaan terhad kepada seramai 100 orang sahaja.

    “Dulu ketika PRN Melaka, banyak perkara yang tidak boleh dilakukan, sekurang-kurangnya sekarang kita boleh duduk di bilik gerakan, di pejabat masing-masing dan mengadakan perbincangan atau membuat program.

    “Kalau sebelum ini tidak boleh berkempen rumah ke rumah, sekurang-kurangnya sekarang kita dapat buat walaupun tidak masuk ke dalam, di luar pagar atau di luar pintu sahaja mencukupi,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) Johor Bahru di Renaissance Hotel, Johor Bahru, pada Ahad.

    Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, keputusan SOP itu dibuat selepas SPR melakukan penilaian risiko melibatkan situasi semasa Covid-19 di negara dan negeri ini khususnya.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika berucap melancarkan Jentera Perikatan Nasional (PN) Ledang di Tangkak, pada malam tadi, menyifatkan SOP untuk PRN Johor tidak adil dan memihak kepada UMNO dan BN.

    Beberapa parti politik sebelum itu antaranya DAP dan PKR mengkritik SOP tersebut yang dianggap berat sebelah dan menyusahkan rakyat.

    Sehubungan itu mereka mendesak SPR mengkaji semula SOP berkenaan serta memberi lebih kelonggaran khususnya jumlah peserta dan tempoh berkempen yang dihadkan sehingga jam 10 malam dipanjangkan.

  • Mazlan Aliman akui Muhyiddin berjaya ubah nasib peneroka Felda

    Mazlan Aliman akui Muhyiddin berjaya ubah nasib peneroka Felda

    SEORANG pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mengakui Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa perubahan kepada nasib peneroka dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)

    Memetik laporan Malaysia Now, Datuk Mazlan Aliman berkata, dasar yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri itu untuk melupuskan 80 peratus hutang peneroka adalah salah satu kejayaannya.

    Beliau yang juga aktivis isu-isu Felda dengan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) memberitahu, kerajaan yang dipimpin Muhyiddin memiliki “keazaman politik” yang kuat dalam melakukan perubahan tersebut sehingga ia dialami sendiri oleh peneroka Felda.

    “Tidak dapat disangkal, Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri, mengambil langkah proaktif dalam membawa perubahan di Felda.

    “Pengambilalihan semula pegangan lebih 80 peratus kepentingan di FGV, pelupusan 80 peratus hutang peneroka dan pelaksanaan Program Pembangunan Peneroka (PPP) adalah antara kejayaan yang dilihat peneroka,” katanya.

    Sebaliknya, Mazlan berkata, tempoh 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) menyaksikan proses reformasi yang perlahan terhadap isu-isu yang menghambat peneroka Felda.

    Katanya, perkara itu menyebabkan warga Felda kecewa terhadap kerajaan PH walaupun alasan boleh diberikan mengenainya.

    “Ia mengundang kritikan dan kecaman hebat warga Felda yang mempersoalkan manifesto dan janji yang diutarakan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14,” jelasnya.

    Kenyataan Mazlan ini tampil menjelang PRN Johor, negeri yang menempatkan lebih 70 kawasan penempatan Felda yang sering dianggap sebagai kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN).

    Dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, 72 kawasan Felda berada di 20 DUN negeri itu dengan jumlah populasi sekitar 180,000 orang.

    “PRN Johor akan menjadi kayu ukur sebenar tahap sokongan pengundi Felda.

    “Adakah pengundi Felda yang terdiri dari peneroka dan generasi Felda sekitar 180,000, kembali sebagai simpanan tetap BN?”

    Sebelum ini, Mazlan membayangkan kekalahan PH dan memberi amaran jika gabungan itu memutuskan untuk menghadapi PRN Johor dengan kedudukan sekarang ini, ia akan berdepan kekalahan seperti apa yang berlaku pada PRN Melaka.

    Berikutan itu, Mazlan menggesa supaya gabungan PH memperluaskan kerjasama bagi menghadapi PRN Johor dengan melibatkan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya.

    “PH yang dianggotai PKR, Amanah, DAP dan UPKO ibarat ‘serah tengkuk’ kepada BN jika berada pada status quo seperti di Melaka dan Sarawak,” katanya.

  • MCA elak perang mulut, rebut kerusi dalam BN

    MCA elak perang mulut, rebut kerusi dalam BN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MCA tidak akan mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum diumum secara rasmi kerana mahu mengelak berlaku ‘perang mulut’ atau tuntutan kerusi dalam komponen Barisan Nasional (BN).

    Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, jumlah kerusi yang ditandingi akan dimaklumkan selepas perbincangan dalam BN selesai dan diumum satu atau dua hari sebelum hari penamaan calon.

    “Perbincangan dilakukan secara musyawarah serta. Apa sahaja yang dibincangkan tidak boleh didedahkan dan apa yang belum dimuktamadkan tidak wajar dimaklumkan. Kita bukan nak tuntut kerusi melalui media (kalau ada laporan tuntutan kerusi dalam media) itu hanya perang mulut sahaja.

    “Kita akan cari formula terbaik untuk semua pihak,”
    katanya mengulas jumlah kerusi yang akan ditandingi MCA pada PRN johor.

    Beliau berkata demikian
    dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) Johor Bahru di Renaissance Hotel, Johor Bahru, hari ini.

    Apabila ditanya mengenai sentimen pengundi Cina pada PRN Johor, beliau berkata, secara umumnya rakyat perlu menilai pihak yang boleh membawa dan mengutamakan kestabilan politik di negeri ini.

    Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, apabila politik tidak stabil akan memberi kesan kepada kerajaan negeri malah sukar untuk satu-satu projek berjalan lancar termasuk tidak mampu menarik pelaburan domestik ataupun dari luar negara.

    Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, BN akan memastikan kestabilan politik wujud dan terus menumpukan isu-isu yang sedang dihadapi rakyat ketika ini apabila menang PRN Johor.

  • Tak salah Muhyiddin terima laporan kewangan, kenapa buat laporan polis?

    Tak salah Muhyiddin terima laporan kewangan, kenapa buat laporan polis?

    DATUK Dr Marzuki Mohamad mempersoalkan kewajaran pihak tertentu membuat laporan polis terhadap kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima laporan prestasi kewangan negara daripada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri ketika era pentadbiran Muhyiddin berkata, Muhyiddin ialah Pengerusi MPN bertaraf Menteri dan Menteri Kewangan adalah Menteri Penyelaras MPN.

    Marzuki berkata, selain melapor kepada Perdana Menteri, Menteri Kewangan juga bertanggungjawab melapor secara terus kepada Pengerusi MPN.

    “Jadi tidak salah Pengerusi MPN minta laporan daripada Menteri Kewangan dan tidak salah Menteri Kewangan beri laporan kepada Pengerusi MPN.

    “Malah, wajib Menteri Kewangan beri laporan bila diminta. Tak boleh bantah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Beliau menambah, sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri, Muhyiddin juga boleh mengumumkan kepada rakyat apa jua laporan yang dikemukakan oleh mana-mana menteri atau kementerian, atau apa-apa butir perbincangan dalam mana-mana mesyuarat MPN.

    “Bila diumum, ia tidak lagi menjadi rahsia.

    “Kedudukan fiskal negara adalah antara perkara yang dibincangkan di peringkat MPN. Ia sebahagian penting daripada aspek pemulihan negara yang mesti diberikan perhatian oleh kerajaan dan mesti diketahui oleh rakyat.

    “Jadi apa sebab nak buat laporan polis?” soalnya.

    Ketika berucap pada majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Johor di Kota Tinggi malam kelmarin, Muhyiddin tidak menolak akan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang didakwa “tidak semolek” seperti digambarkan.

    Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, sekiranya mandat diberikan kepada Barisan Nasional (BN) sekali lagi, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku kepada negara yang sudah dirosakkan.

    Muhyiddin turut menyatakan laporan tersebut dikemukakan kepada beliau oleh Tengku Zafrul dan beliau akan ‘membocorkan’ kedudukan kewangan negara yang sebenar satu hari ini.

    Hari ini, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa Muhyiddin menerima laporan berkaitan kedudukan kewangan negara atas dasar kapasitinya sebagai Pengerusi MPN manakala laporan yang sama turut diberikan kepada menteri-menteri Kabinet tanpa mengira parti.

    Menurut beliau, Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu Perdana Menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-COVID.

    Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong dilaporkan membuat laporan polis terhadap ucapan Muhyiddin itu.