Category: Politik

  • PRN Johor:BN tawar 30 peratus muka baharu

    PRN Johor:BN tawar 30 peratus muka baharu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BARISAN Nasional (BN) menawarkan 30 peratus calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

    Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad memberitahu, keputusan itu diharap akan memperkuatkan peluang gabungan itu memenangi PRN.

    “BN juga akan mengumumkan 56 calonnya bagi menghadapi PRN Johor, pada Khamis ini. Kita dah peringkat akhir muktamadkan calon-calon untuk PRN Johor.

    “Johor ada muka baharu yang ramai termasuk calon muda di bawah 40 tahun. Oleh itu, sekurang-kurang 30 peratus calon kita nanti akan menampilkan golongan muka baharu.

    “Saya yakin langkah menyenaraikan ramai calon muka baharu dan muda ini akan dapat memperkuatkan peluang BN untuk berjaya pada PRN nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Penyumbang Sektor Agromakanan Negeri Johor 2022, Johor Bahru, hari ini.

    Pada 28 Januari lalu, UMNO dan BN Johor dilaporkan akan melakukan perubahan termasuk mengemukakan calon muda seperti kemahuan masyarakat dan akar umbinya.

    Hasni dilaporkan berkata, calon parti akan mengambil kira keperluan semasa termasuk pertambahan pengundi baharu susulan pelaksanaan secara automatik Undi18.

    BN turut dilaporkan akan mengumumkan senarai calonnya bagi PRN Johor dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon, 26 Februari ini.

  • PRN:Peneroka Felda penentu hala tuju politik Johor

    PRN:Peneroka Felda penentu hala tuju politik Johor

    PENEROKA Felda memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju politik Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Setiausaha Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Selangor, Muhammad Hilman Idham berkata, ini dibuktikan apabila pemerintahan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan dan Johor tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akibat protes peneroka Felda.

    Jelas beliau, protes itu dilakukan terhadap dasar dan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Terdapat 72 Tanah Rancangan Felda di Johor yang meliputi 20 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Datuk Seri Najib dilihat mengabaikan kebajikan dan kepentingan peneroka.

    “Kerajaan PN diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin pula telah bertindak dengan tegas dan efektif dengan melaksanakan syor-syor yang terkandung dalam Kertas Putih Felda demi memelihara kepentingan para peneroka.

    “Hasil keputusan dan pelaksanaan syor tersebut oleh PN, peneroka pada hari ini mendapat manfaat dan terlepas dari beban hutang sekali gus menjamin kepentingan golongan berkenaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Muhammad Hilman berkata, Kertas Putih Felda merupakan dokumen penting yang memperincikan pelan pemulihan bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan memastikan kebajikan peneroka terus dibela.

    Mengulas lanjut Muhammad Hilman berkata, Kertas Putih Felda yang digubal Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan diluluskan Parlimen ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) telah gagal dilaksanakan akibat politik perkauman bekas Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng dan DAP yang menafikan kepentingan orang Melayu.

    “Sebagai Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng telah menghalang pembayaran Bantuan Khas Hari Raya kepada peneroka Felda yang pada saat itu amat terbeban dengan hutang.

    “Akibat daripada sikap dan kepentingan politik Lim Guan Eng, segala syor-syor Kertas Putih Felda tidak dapat dilaksanakan termasuk usaha pemulihan dan pemberdayaan peneroka bernilai RM6.23 bilion yang telah dipersetujui oleh kabinet dan Parlimen,” katanya.

  • Pengerusi Muda Johor cuba nasib di DUN Bukit Permai

    Pengerusi Muda Johor cuba nasib di DUN Bukit Permai

    Oleh ABU UBIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor, Azrol Rahani, akan mencuba nasib bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Azrol yang berusia 41 tahun dan sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia politik, mahu membawakan isu-isu Felda terutama masalah generasi ketiga dan keempat peneroka.

    Ini kerana beliau sendiri merupakan generasi ketiga Felda dan amat memahami keperluan dan masalah anak muda dari tanah rancangan itu.

    Dakwanya, generasi ketiga dan kempat Felda terpaksa keluar dari Felda kerana tiada peluang pekerjaan.

    “Saya adalah anak Felda yang sudah lebih 20 tahun menetap di Felda, sangat mengetahui keadaan ini. Sekiranya menang kita akan

    cuba bangunkan tanah-tanah Felda dengan projek pertanian dan penternakan yang moden.

    “Ini bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan mereka tidak perlu berhijrah ke bandar,” katanya dalam majlis Muda mengumumkan tiga calon mereka yang akan bertanding dalam PRN Johor di Taman Soon Chong, Labis, Segamat, hari ini.

    Tiga calon bagi DUN Bukit Permai, Bukit Kepong dan Tenang itu diumumkan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Azrol dilahirkan di Masai, Pasir Gudang, menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Cahaya Baru, Sekolah Menengah

    Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang I dan meneruskan pengajian di Kolej Yayasan Melaka dalam bidang Teknologi Animasi.

    Beliau sebelum ini merupakan antara tulang belakang pasukan animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man yang pernah popular sebelum ini.

    Sementara itu, calon DUN Tenang, Lim Wei Jiet, 31, yang merupakan seorang peguam setuju dicalonkan di kawasan tersebut selepas tidak sanggup lagi melihat kepincangan politik negara yang terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa.

    “Saya mengambil keputusan menyertai politik pada tahun 2020 apabila melihat korupsi dan penyalahgunaan kuasa berleluasa. Saya tidak mahu mewariskan negara ini kepada anak saya dalam keadaan negara yang tidak progresif dan ketinggalan,” katanya.

    Wei Jiet dilahirkan dan dibesarkan di Muar dan merupakan anak kepada pasangan guru, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) St Andrew Muar dan Sekolah Tinggi Muar sebelum menyambung pengajian ke Universiti Malaya.

    Bagi calon DUN Bukit Kepong, Nurafiqah M. Zulkifli, 31, yang merupakan seorang aktivis berhasrat membawa pembangunan di kawasan luar bandar kerana beranggapan kemajuan yang dikecapi di Johor ketika ini tidak seimbang antara bandar dan luar bandar.

    “Contohnya kawasan di Johor utara, kami kurang merasai limpahan pembangunan. Kebanyakan pembangunan berlaku di Johor Bahru. Di kawasan Johor utara banyak potensi boleh digembeling. Kemudahan asas, jaringan telekomunikasi dan internet juga masih tidak bagus,” katanya.

    Nurafiqah merupakan anak jati Muar dan juga dibesarkan pasangan guru, mendapat pendidikan di SK Sultan Abu Bakar 2, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa.

  • KPLB sedia bekerjasama jika MRSM jadi pusat pengundian

    KPLB sedia bekerjasama jika MRSM jadi pusat pengundian

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor digunakan sebagai pusat pengundian untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPLB tiada masalah untuk bekerjasama dengan SPR berhubung hal itu.

    “SPR adalah sebuah badan bebas yang diberi kuasa untuk mengendalikan pilihan raya,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

    Menurut Kementerian Pendidikan, sebanyak 151 sekolah menengah akan digunakan sebagai pusat mengundi bagi PRN Johor.

    Mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap MARA Corp, beliau berkata tindakan akan diambil sebaik sahaja siasatan selesai. – BERNAMA

  • Tidak mungkin berlaku PRN di Kedah – Firdaus

    Tidak mungkin berlaku PRN di Kedah – Firdaus

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JIKA dinilai daripada situasi semasa, Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah tidak mungkin akan berlaku seperti yang terjadi di Johor dan Melaka baru-baru ini.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad, ketika ini kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap kukuh dengan masing-masing memiliki 15 dan enam kerusi.

    “UMNO pula ada dua kerusi dan kalau mereka keluar, kedudukan kerajaan masih kuat lagi. Jadi kalau nak ada PRN, itu tak mungkinlah.

    “Lagi pun sekarang ini apa yang dilakukan sudah cukup baik. Kemasukan perniagaan, pelaburan ke Kedah antaranya yang tertinggi dengan pencapaiannya juga amat memberangsangkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Negeri Kedah, Alor Setar, hari ini.

    Mohd Firdaus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Langkawi dari Bersatu menambah, apa yang dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta barisan exco selama ini merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan dan dipuji.

    “Semuanya sepakat bekerja di bawah satu bumbung dan masing-masing senang berbincang bersama. Antara Menteri Besar dan Exco juga hubungannya cukup baik tanpa ada hierarki.

    “Kalau ada hierarki, susah kita nak buat kerja tetapi apabila tiada hierarki seperti sekarang ini, kita boleh sembang terus. Jadi tak payah ada yang ‘lompatlah’” katanya.

    Tambahnya, pendiriannya selepas ini akan kekal mengikut keputusan parti untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN).

    “Dalam keadaan kes Covid-19 tengah tinggi sekarang ini dan ekonomi belum pulih sepenuhnya, tak perlulah buat PRN. Banyak belanja perlu dibuat,” katanya.

  • Elak berebut kerusi, Muda tidak tanding di kerusi PKR, Amanah, DAP

    Elak berebut kerusi, Muda tidak tanding di kerusi PKR, Amanah, DAP

    Oleh ABU UBIDILLAH RAHMAN

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan kerusi antara parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti tersebut akan memberikan komitmen tidak meletakkan calon mereka di kerusi yang akan ditandingi semua parti komponen Pakatan Harapan (PH).

    Jelasnya, Muda hanya akan tanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini dimenangi UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Kita akan cuba mencari kata sepakat. Kita akan bantu mereka sebaik mungkin. Kita mahukan parti-parti pembangkang memang dan mahukan perubahan di peringkat negeri Johor,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan tiga calon baharu parti itu yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Bukit Kepong dan Tenang, di Taman Soon Chong, Labis, Segamat, hari ini.

    Azrol Rahani akan bertanding di kerusi DUN Bukit Permai, Nurafiqah M Zulkifli (DUN Bukit Kepong) dan Lim Wei Jiet (DUN Tenang).

    Malam tadi, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap melancarkan jentera PH Johor di Kulai, mengharapkan Muda akan terus berada dalam blok PH bagi menghadapi PRN Johor.

    Anwar yang juga Presiden PKR yakin, kerjasama politik itu akan terjalin dan Muda akan memberi maklum balas positif walaupun sebelum ini berlaku masalah pembahagian kerusi DUN antara PKR dan Muda.

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, penyertaan Muda bersama-sama PH dalam PRN Johor adalah untuk menghentikan kegilaan UMNO yang menerusi teori domino mereka iaitu mahu menjatuhkan kerajaan di beberapa negeri.

    “Kita akan menghentikan politik domino yang dilakukan UMNO iaitu satu persatu kerajaan negeri dibubarkan sehingga tidak ada kestabilan politik langsung, politik kucar-kacir dan rakyat diheret ke kancah politik yang tidak habis-habis.

    “Selepas ini (jika BN menang dalam PRN Johor) mereka dikatakan akan ke Kedah, Perak dan Sabah (untuk mengadakan PRN), sampai bila nak berhenti? Kita akan berikan tawaran sebaik mungkin kepada rakyat Johor,” katanya.

  • Muda umum calon kerusi DUN Bukit Permai, Bukit Kepong, Tenang

    Muda umum calon kerusi DUN Bukit Permai, Bukit Kepong, Tenang

    Oleh ABU UBIDILLAH RAHMAN

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini mengumumkan tiga lagi calon mereka yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Azrol Rahani akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Nurafiqah M Zulkifli (DUN Bukit Kepong) dan Lim Wei Jiet (DUN Tenang).

    Nurafiqah M Zulkifli

    Pengumuman tersebut dibuat Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu majlis khas di Taman Soon Chong, Labis, Segamat, hari ini.

    Lim Wei Jiet

    Berita selanjutnya menyusul

  • Penyertaan PN dalam PRN Johor adalah ‘perjuangan suci’

    Penyertaan PN dalam PRN Johor adalah ‘perjuangan suci’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KeTUA Penerangan Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat, S Gobi Krishnan menyifatkan penyertaan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu ‘perjuangan suci’.

    Jelas beliau, ini kerana PN kerana melawan kemungkaran yang dibawa UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    “Rakyat Johor terutama pengundi tidak seharusnya bersekongkol sekali gus tidak membenarkan BN kembali memerintah di Johor.

    “Sebagai satu perjuangan yang suci menentang BN dan juga Pakatan Harapan (PH), maka kita harus menang dalam PRN Johor tidak kira kita akan berdepan dengan siapa pun.

    “Kita tentang UMNO dan BN kerana sifat mereka yang rakus, tamak dan mementingkan diri, langsung tidak memikirkan rakyat kerana memaksa kita semua berdepan dengan PRN Johor,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak, Kulai, malam tadi.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan turut melancarkan jentera PRN Johor bagi kawasan Kulai dalam program itu.

    Gobi Krishnan berkata, semua parti komponen gabungan itu terdiri daripada Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) perlu bergerak dalam satu pasukan di bawah panji PN.

    Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kawasan Kulai, Kamaruddin Sairan berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan pemimpin berjiwa besar kerana sanggup disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata mahu melawan kemungkaran.

    Katanya, Pengerusi PN itu merupakan pemimpin contoh yang prihatin rakyat, sanggup berkorban dan tidak pernah terpalit dengan kes rasuah, salah guna kuasa atau sebarang kes mahkamah.

    “Begitu juga dengan kepimpinan tertinggi Pas, selama menjadi kerajaan bertahun-tahun (di Kelantan) tidak pernah ada kes, begitu juga

    parti Gerakan yang menjadi kerajaan selama 39 tahun di Pulau Pinang, bersih dan tiada kes,” katanya.

    Justeru katanya, PN adalah gabungan politik yang bersih dan sesuai bukan sahaja untuk negeri ini tetapi juga negara.

    “Ini adalah mesej yang perlu disampaikan kepada rakyat jelata terutama pengundi di Kulai supaya mengundi PN,” katanya.

  • Peneroka Felda terhutang budi dengan Muhyiddin

    Peneroka Felda terhutang budi dengan Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENEROKA Felda terhutang budi dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menjadi Perdana Menteri telah melupuskan RM8.3 bilion hutang mereka.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, itu merupakan antara sumbangan terbesar Muhyiddin dalam memastikan peneroka tidak lagi dibebani hutang.

    Beliau berkata, langkah tersebut tidak dapat dilaksanakan semasa UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah negara.

    “Kita kena beritahu semasa Felda di bawah pemerintahan UMNO dan BN dulu, mereka terpaksa tanggung hutang yang amat tinggi.

    “Semasa kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin dimansuhkan hutang warga Felda bernilai ratusan ribu ringgit untuk setiap keluarga.

    “Ini jasa-jasa yang ditinggalkan kerajaan semasa dipimpin Tan Sri Muhyiddin,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak, Kulai, pada malam tadi.

    Pada 7 Julai 2021, Muhyiddin semasa menjadi menjadi Perdana Menteri mengumumkan cadangan pihak Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

    Wan Saiful berkata, jasa Muhyiddin itu perlu diketahui rakyat Johor terutama warga Felda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Katanya, usaha dilakukan Ahli Parlimen Pagoh itu menunjukkan Perikatan Nasional (PN) adalah sebuah gabungan politik yang prihatin dengan masalah rakyat dan sumbangan tersebut tidak dapat dinafikan mana-mana pihak.

    “Ini bukan retorik, ini bukan sembang kosong, ini fakta. Kita yang buat untuk bantu warga Felda. Apa yang dilakukan ini tidak dapat dijawab oleh UMNO. Jadi ini perlu diketahui dan disampaikan kepada rakyat.

    “Bila Pakatan Harapan (PH) ambil alih pentadbiran di Putrajaya, tiada ‘political will’ ditunjukkan PH untuk bantu warga Felda. Ini bukan saya kata tapi rakan pimpinan daripada Parti Amanah Rakyat (Amanah) akui sendiri kata PH tak sungguh-sungguh bantu warga Felda,” katanya.

    Namun apabila Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau berkata, tidak sampai tiga bulan pertama cuba menyelesaikan hutang peneroka termasuk masalah lain yang dihadapi Felda ketika itu.

  • Khairuddin letak jawatan Setiausaha Majlis Syura PAS

    Khairuddin letak jawatan Setiausaha Majlis Syura PAS

    AHLI Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.

    Peletakan jawatan tersebut diumumkan pada mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS malam tadi.

    Pada 11 Februari lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pengguguran Mohd Khairuddin daripada jawatan tersebut.

    Sebelum itu, beliau digugurkan daripada jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

    Berikut adalah kenyataan penuh Mohd Khairuddin yang dikeluarkan hari ini:

    Saya dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Syura Ulama (MSU) PAS yang diadakan secara hibrid pada malam semalam, 20 Februari 2022, jam 9 malam sebagai Ahli dan Setiausaha MSU.

    Pada mesyuarat berkenaan, saya mengumumkan peletakan jawatan atau pemberhentian sebagai Setiausaha MSU berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(7).

    Saya juga meletakkan jawatan atau pemberhentian sebagai Ahli MSU berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(5).

    Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada PAS yang memberi peluang untuk saya berkhidmat sebagai Ahli MSU sejak 2013 seterusnya Setiausaha MSU sejak 15 Disember 2020.

    Rakaman jutaan terima kasih juga kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Hj Hashim Jasin dan semua Ahli MSU yang telah bertindak selaras dengan Perlembagaan PAS untuk mengelakkan sebarang krisis perlembagaan parti.

    Saya terus istiqamah menjalankan amanah sebagai Ahli Parlimen PAS dan juga tugasan-tugasan lain dalam parti.