MASIH terlalu awal untuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan sebarang calon Menteri Besar sekiranya parti itu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, kata Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Buat masa ini, kami (Pejuang) masih tidak membuat pengumuman sebegitu (calon Menteri Besar) kerana saya fikir ia terlalu awal kerana kita perlu memenangi pilihan raya (negeri) dahulu sebelum seseorang boleh dilantik menjadi Menteri Besar,” katanya kepada pemberita pada program Sarapan Pagi Ziarah Pejuang, di Muar, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas spekulasi mengatakan Ketua Pejuang Johor Datuk Dr Shahruddin Md Salleh merupakan calon Menteri Besar Johor sekiranya parti itu memenangi pilihan raya negeri.
Semalam Pejuang mengumumkan akan bertanding di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor dengan meletakkan Shahruddin yang juga anggota Parlimen Sri Gading dan bekas Timbalan Menteri Kerja Raya sebagai calon di kerusi DUN Machap.
Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata beliau melihat pengalaman Pakatan Harapan (PH) sewaktu bertanding pada PRN Melaka November lepas yang hanya memfokuskan kepada kemenangan seorang calon sahaja.
“Saya belajar daripada pengalaman Pakatan Harapan sewaktu bertanding di PRN Melaka yang ditumpukan kepada seorang saja sebagai Ketua Menteri, akhirnya dia seorang saja yang menang, yang lain tidak.
“Pengalaman saya di Kedah juga begitu…walaupun dinamakan calon Menteri Besar, saya wajib berkempen untuk rakan-rakan lain. Tidak guna dinamakan saya seorang saja tetapi akhirnya jikalau menang seorang pun tak boleh jadi MB (Menteri Besar), sebaliknya jadi ketua pembangkang. Itu bukan minat kami,” katanya.
Pada masa sama beliau berharap tawaran yang diberikan oleh parti itu kepada rakyat Johor pada PRN tersebut harus diyakini walaupun Pejuang adalah parti baharu dan tidak mempunyai rekod pencapaian memimpin negeri.
Esok adalah hari penamaan calon PRN Johor manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac dan undi awal pada 8 Mac. – Bernama
TINDAKAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin sekaligus menyebabkan pertembungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap sebagai amalan politik dangkal dan tidak matang.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Nasir berkata, meskipun tindakan MUDA itu tidak memberi kesan terhadap fokus perjuangan PKR, namun ia tidak lain hanya akan meyakinkan tanggapan buruk orang ramai terhadap MUDA.
“Tindakan Muda ini hanya, jika tidak berhati-hati ketika ini akan mengesahkan tanggapan ramai pihak yang menyifatkan daya politik Muda yang masih dangkal dan tidak matang dalam menilai pihak kawan dan lawan.
“Walaupun kita kena akui Muda ada hak demokrasi untuk meletakkan calon di mana-mana kerusi yang mereka inginkan, tetapi AMK tertanya-tanya apa motif sebenar Muda mahu meletakkan calon di DUN Larkin sedangkan Keadilan telah menamakan seorang tokoh profesional dan berpengalaman,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan DUN Larkin, Johor Bahru, hari ini.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan Dr. Zamil Najwah Arbain sebagai calon mereka di DUN Larkin.
Sementara itu, Muda pada Khamis mengumumkan Ketua Penerangan Muda Johor, Rasid Abu Bakar sebagai taruhan parti itu untuk kerusi tersebut.
Menurut Akmal, tindakan itu mampu menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan kepada pengundi DUN berkenaan apabila parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu sebelum ini dikatakan akan bersama Pakatan Harapan (PH).
Malah katanya, tindakan Muda itu juga bertentangan dengan pendirian Syed Saddiq sebelum ini yang mengumumkan tidak akan meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PKR.
“Muda meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PH adalah sama seperti mana dilakukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan.
“Walaupun berhadapan risiko pecah undi, akibat tindakan Muda, Keadilan tetap yakin akan mampu menawan semula Larkin yang sebelum ini dimenangi PH dalam PRU yang lalu.
“Pemilihan Dr. Jamil juga bertepatan dengan nilai, prinsip dan integriti yang dipegang oleh Keadilan dalam pemiilihan calon pilihan raya dan seterusnya menawarkan pemimpin berkredibiliti untuk diangkat sebagai wakil rakyat,” ujarnya.
Selain calon PKR dan Muda, turut dijangka bertanding di DUN Larkin ialah Ketua Pemuda UMNO Johor, Hairi Md Shah (UMNO); Zulkifli Bujang (Perikatan Nasional) dan Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang).
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin kerana jelas tidak menghormati semangat dan kerjasama politik.
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, PKR ‘melanggar’ kawasan PKR kerana tidak bersetuju dengan rundingan sebelum ini.
“Saya sedar mungkin tindakan ini diambil kerana kerusi yang dituntut oleh Muda dalam rundingan tidak dipersetujui oleh PKR.
“Namun wajar saya tegaskan dan ingatkan bahawa tindakannya itu bercanggah dengan pendekatan membawa suara rakyat dan lawan musuh bersama, malah lebih buruk lagi, ia seolah-olah memberi kemenangan kepada lawan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muda dan PKR sebelum ini dilapor akan bertembung di kerusi DUN Larkin pada PRN Johor.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti tersebut menyerahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan terbaik sama ada memilih Muda atau PKR.
Syed Ibrahim seterusnya mengingatkan Muda pimpinan Syed Saddiq itu menimbang semula tindakannya sebelum penamaan calon esok.
“Memang benar bahawa rakyat yang akan menentukan siapa pilihan mereka tetapi biarlah pertimbangan dibuat atas dasar dan sikap yang betul dalam politik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tidak akan mengambil langkah serupa untuk ‘melanggar’ kerusi Muda dalam PRN Johor kerana menghormati Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH).
“Itu tindakan kurang bijaksana malah akan dicemuh oleh pengundi dan rakyat yang sudah pun muak dengan politik perebutan kuasa.
“PKR akan terus bertanding di kerusinya untuk memenangi hati pengundi.
“PKR hanya akan tumpu kepada membantu calonnya dan calon Amanah serta DAP dalam PRN ini, sekiranya Muda tetap meletakkan calonnya di kerusi ditandingi PKR,” katanya.
PARTI Gerakan Malaysia (Gerakan) membuktikan komitmen serta kesetiaannya kepada Perikatan Nasional (PN) apabila semua lapan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menandatangani akuan bersumpah (SD) hari ini.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai berkata, langkah itu bagi meyakinkan kepimpinan tertinggi PN bahawa tidak ada calon mereka membelot setelah berjaya mendapat mandat rakyat jika menang kerusi ditandingi.
“Kerusi yang ditandingi Gerakan ialah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Stulang, Pekan Nanas, Bukit Batu, Bentayan, Yong Peng.
“Pendirian kita jelas bahawa kita tak mahu bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen kita lompat parti.
“Walaupun kita yakin sepenuhnya tidak akan ada dalam kalangan mereka yang lompat parti, tetapi ini adalah prosedur Yang perlu dilalui untuk mengelakkan perkara tak diingini berlaku di masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani SD di Ibu Pejabat Gerakan, Johor Bahru, hari ini.
Dalam majlis yang sama, Hoe Chai turut menyampaikan watikah pelantikan calon kepada kesemua calon parti Gerakan.
Calon Gerakan terdiri daripada Tan Kok Hong (Bentayan), Yong Fui Ling (Yong Peng), Loh Kah Yong (Puteri Wangsa) dan Datuk Dr. Ker Ching Sheng (Johor Jaya).
Turut menandatangani SD itu ialah Yap Chiang Youis (Stulang), Koo Shiaw Lee (Perling), Tan Heng Choon (Bukit Batu) dan Datuk Tan Chin Hock (Pekan Nanas).
Beliau berkata, menerusi SD itu, kesemua calon berjanji akan kekal setia dan tidak akan mengkhianati kepada Gerakan sekiranya terpilih sebagai ADUN kerajaan Negeri Johor.
“Sekiranya calon memilih untuk menyertai parti politik lain, mengisytiharkan diri sebagai bebas, dipecat atau diberhentikan sebagai ahli parti Gerakan, maka jawatan sebagai ADUN akan diisytihar kosong seperti telah meletak jawatan sebagai ADUN secara sukarela.
“Calon turut menandatangani surat peletakan jawatan yang akan dikemukakan kepada Speaker DUN Johor dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar jika pecah ikrar kesetiaan ini,” katanya.
Tambahnya, semua calon membuat pengakuan itu dengan rela hati dan dengan fikiran waras, SD berkenaan menurut Akta Akuan Berkanun 1960.
DATUK Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah mengulas mengenai isu sumpah laknat semasa beliau menjadi Mufti Wilayah Persekutuan kira-kira empat tahun lalu.
Menurutnya, istilah sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali melibatkan perkara mengenai li’an.
Kata beliau, ucapan li’an dilakukan oleh suami yang nampak isterinya berzina dengan lelaki lain, tetapi tidak dapat mendatangkan empat orang saksi.
Istilah “mubahalah” (saling laknat melaknati) kata Zulkifli, yang disebutkan dalam Surah Ali Imran ayat ke-61 pula tidak merujuk kepada perundangan Islam.
Ia sebaliknya dikategorikan dalam sumpah membabitkan perdebatan bagi menyokong hujah yang benar dan menolak hujah palsu.
Katanya lagi, mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes masih berjalan di mahkamah.
“Dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh kadi atau hakim,”katanya.
Pandangan itu diberikan susulan tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan isu pembunuhan Altantuya Shariibu melakukan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Najib melakukan sumpah laknat selepas bekas pegawai polis, Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya membuat dakwaan mengejutkan melalui Sumpah Berkanun (SD) dari Penjara Kajang.
Azilah Hadri mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib (ketika kejadian menjadi Timbalan Perdana Menteri) dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.
Ketika ini pula, isu sumpah laknat kembali menjadi tumpuan apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar Tan Sri Muhyiddin Yasin melakukan sumpah laknat susulan isu meminta bantuan dalam kes mahkamah dihadapi Presiden UMNO itu.
Seperti yang semua ketahui Zahid ketika ini telah diarahkan oleh mahkamah untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Zahid Hamidi, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid Hamidi didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Rakyat melihat Muhyiddin melakukan tindakan tepat apabila tidak melayan tuntutan Zahid supaya turut sama melakukan sumpah laknat.
Ini kerana, Muhyiddin mempunyai saksi dan sudah menunjukkan saksi bahawa Zahid membawa fail kes mahkamah dan berjumpa dengannya untuk meminta bantuan selepas beberapa hari Pengerusi Perikatan Nasional itu menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan pada Mac 2020.
Bagi rakyat marhaen, sumpah laknat bukanlah ‘ibu’ kepada segala tindakan untuk membuktikan bahawa seseorang itu bercakap benar atau ‘hakim’ untuk menunjukkan seseorang itu tidak bersalah.
Sekiranya sumpah laknat dijadikan sebagai penanda aras untuk membersihkan nama seseorang itu, maka mudahlah bagi setiap penjenayah untuk melakukan perkara sama setiap kali kesalahan dikaitkan dengan mereka.
Mahkamah adalah tempat sebaiknya untuk berhujah kerana segala keterangan dapat diberikan beserta bukti dan panel hakim dapat membuat pertimbangan sewajarnya.
Penulis adalah penganalisis politi dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Tazul Arifin mahu semua pihak tidak mensia-siakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Beliau yang juga Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pasir Gudang merangkap Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mengajak rakyat Johor supaya memilih PN pada PRN Johor.
“Kepada semua Bangsa Johor marilah kita bersama keluar mengundi pada 12 Mac 2022 dan memastikan kita semua memilih dan mengundi calon dari PN bagi membentuk kerajaan Johor yang mempunyai tadbir urus baik, berintegriti tinggi, bersih korupsi dan sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT telah dipilih menjadi calon bagi mewakili PN bagi N.43 DUN Permas. Ucapan terima kasih saya kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas pencalonan ini.
“Tidak saya lupa kepada semua barisan ahli jawatankuasa bahagian dan keseluruhan ahli Bersatu Pasir Gudang yang memberikan sokongan dan kepercayaan kepada saya bagi mewakili PN dalam PRN Johor bagi N.43 DUN Permas,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook rasmi beliau.
CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz menyeru anak muda supaya terlibat sama dengan proses demokrasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan bukan sekadar menjadi ‘keyboard warrior.
Ketua Pemuda PN itu berkata, mereka perlu faham peranan anak muda amat penting dan mereka bakal menjadi kuasa baharu serta menentukan politik negara.
Beliau berkata, PRN Johor akan menjadi satu sejarah baharu dalam sejarah politik negara apabila Undi 18 bakal direalisasikan.
Ketua Pemuda Pas Johor itu berkata, dalam PRN tersebut menyaksikan pertambahan 30 peratus pengundi baharu iaitu 749,731 pengundi hasil pelaksanaan Undi 18.
“Adakah anak muda sanggup beratur panjang di pusat pengundian bagi menentukan halatuju politik negeri mereka?
“Ataupun mereka hanya menjadi ‘keyboard warrior’ yang melepaskan amarah di media sosial sahaja.
“Oleh sebab itulah, kesedaran perlu digerakkan kepada setiap anak muda yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk turun mengundi dan terlibat di dalam proses politik dan demokrasi negara.
“Kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di 183 buah negara menunjukkan bahawa cabaran terbesar yang dihadapi oleh golongan muda adalah peluang yang sedikit dalam proses penentuan dasar dan polisi negara.
“Ini menyebabkan hilangnya kepercayaan golongan muda kepada kerajaan dan polisi kerajaan,” katanya menerusi Facebook rasmi beliau, hari ini.
Katanya, sejarah telah mengajar kita bagaimana kebangkitan golongan muda telah mengubah regime pemerintah di Timur Tengah.
Anak-anak muda di Malaysia katanya, perlu sedar kuasa yang mereka ada, satu kuasa yang besar untuk menentukan kepimpinan negara.
Ahmad Nawfal seterusnya menyatakan lima kelebihan yang ada pada anak muda apabila mereka turun mengundi:
Anak muda kena melihat di dalam proses demokrasi di Malaysia, setiap undi adalah dikira. Bahkan hanya dengan satu undi boleh menentukan wakil rakyat di setiap kawasan dan parti yang akan memerintah sesebuah negeri. Sejarah pernah menunjukkan kerajaan Pas di Kelantan hanya memerintah dengan kelebihan 1 kerusi dan 2 undi pada tahun 2004.
Golongan muda juga yang paling terkesan dengan impak ekonomi terutamanya pasca pandemik Covid-19. Beban hutang yang bertambah dan kadar pengangguran yang meningkat akan memberi kesan yang cukup besar kepada anak muda.
Situasi ini tidak akan berubah sekiranya anak muda berdiam diri dan tidak membuat satu keputusan politik yang besar. Kita hanya boleh membuat perubahan dengan memilih pemimpin politik yang menyokong polisi yang menguntungkan anak muda. Tidak ada orang yang akan mengundi untuk kepentingan orang muda melainkan golongan muda itu sendiri.
Akses kepada media sosial membolehkan golongan belia mengenali calon-calon yang bakal diundi. Hari ini kita boleh mengenali calon-calon yang bertanding dengan menaip nama mereka di Facebook, Twitter, Instagram, youtube dan google.
Carilah calon yang berkaliber, parti yang mempunyai dasar yang mesra anak muda dan parti yang mampu menunaikan apa yang mereka janjikan. Tidak ada istilah kami buta politik dalam dunia hari ini.
Keterlibatan golongan muda dalam politik adalah hak yang dijamin oleh perlembagaan negara. Rugi sekiranya hak yang diberi disia-siakan dan akhirnya kita yang merana.
Keterlibatan dalam proses pengundian merupakan satu usaha untuk merubah polisi dan memilih calon yang akan membawa polisi anak muda. ‘Vote early, vote often’, tahun ini kita mula turun mengundi, kita akan ingat inilah sejarah yang besar dalam hidup dan kita pasti akan terus turun untuk mengundi.
Hari ini kita mungkin berfikir, ‘apa guna aku turun mengundi, bukannya ada apa-apa kesan pada hidup aku’. Namun, sedarlah undi kita pada hari ni akan menentukan kehidupan kita pada empat tahun mendatang.
Akan datang apabila kita mula ‘struggle’ untuk membina kehidupan berkerjaya dan berkeluarga barulah kita sedar bahawa menyesalnya kita tidak turun mengundi.
Oleh itu, mulakan satu langkah pada hari ini, bersuara, buat pilihan, turun mengundi, inilah suara kita dan dan usaha kita untuk melindungi kehidupan kita pada masa akan datang.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua anak di Johor agar turun mengundi pada PRN Johor.
“Ayuh orang muda, jalankan tanggungjawab kita untuk menentukan pemimpin dan parti yang boleh membawa hasrat dan suara kita ke depan. Inilah usaha kita untuk menjaga kehidupan kita pada masa mendatang,” katanya.
KEPUTUSAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) calonnya akan menjadi bibit awal rosaknya kerjasama melibatkan Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, situasi tersebut masih boleh ‘diselamatkan’ bagi mengelakkan pertindihan kerusi benar-benar berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.
Memilih untuk tidak memenangkan mana-mana pihak, Guan Eng menjelaskan, masih ada masa sebelum hari penamaan calon kedua-dua parti itu bermusyawarah bagi mencari titik persefahaman.
“Oleh itu, Kita berharap mereka (Muda dan PKR) dapat duduk berbincang semeja supaya mengelakkan pertembungan di kerusi yang sama, ia hanya melibatkan satu kerusi sahaja.
“Saya optimis mereka mampu mencapai kata sepakat untuk elakkan sebarang pertembungan pada PRN Johor ini walaupun satu kerusi, kita tidak mahu menjadi seperti Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis memperkenalkan Liew Chin Tong dan Marina Ibrahim sebagai pelengkap calon DAP pada PRN Johor di Senai, Johor Bahru, hari ini.
Terdahulu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan Rasid Abu Bakar yang juga merupakan Ketua Penerangan Muda Johor sebagai calon bertanding di kerusi DUN Larkin.
Syed Saddiq berkata, pihaknya sudah cuba menjalankan rundingan demi rundingan dengan PKR malah menghormati parti itu yang telah umum calon di kesemua 20 kerusi mereka.
Ditanya sama ada beliau berharap salah satu parti menarik diri, Guan Eng bagaimana pun enggan campur tangan dalam isu tersebut.
Pada masa sama beliau turut menyuarakan kekecewaan apabila calon Muda yang disenaraikan setakat ini tidak melibatkan presiden parti, Syed Saddiq yang lantang bersuara sebelum ini.
“Saya harap beliau bertanding tetapi itu terpulang kepada kepimpinan parti Muda. Pemimpin seharusnya memimpin bukan sahaja untuk menang PRN dan hati rakyat tetapi membawa agenda yang diperjuangkan.
“Pemimpin seperti ini harus memimpin dari depan dan bukannya duduk di belakang. Sebab itu, walaupun Chin Tong enggan bertanding namun dia akur keputusan parti kerana pemimpin haruslah memimpin di hadapan,” ujarnya.
Syed Saddiq yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar bagaimanapun masih berteka-teki berhubung sama ada beliau bakal turut bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.