Category: Politik

  • Noraini khianati Muhyiddin, Bangsa Johor di Semerah sangat marah

    Noraini khianati Muhyiddin, Bangsa Johor di Semerah sangat marah

    BANGSA Johor khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah sangat berbangga apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan setelah rejim Pakatan Harapan (PH) tumbang dahulu.

    Siapa yang tidak suka kerana Bangsa Johor menunggu agak lama untuk melihat seorang pemimpin dari negeri itu dilantik memegang jawatan nombor satu dalam pentadbiran negara.

    Kali terakhir ialah Tun Hussein Onn yang menjadi Perdana Menteri ketiga dari Januari 1976 hingga Julai 1981. Hampir 40 tahun kemudian, barulah pemimpin dari Johor menjadi Perdana Menteri.

    Lebih istimewa lagi, Muhyiddin mencatatkan sejarah tersendiri sebagai pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang pertama menjadi Perdana Menteri.

    Sebab itulah orang Parit Sulong, lebih-lebih lagi di DUN Semerah sangat marah apabila 15 pemimpin UMNO termasuk Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menarik sokongan terhadap Muhyiddin dahulu.

    Bagi mereka, perbuatan itu umpama mengkhianati semangat persaudaraan dan setiakawan Bangsa Johor.

    “Siapa yang tak marah? Bukan senang kita nak dapat PM dari Johor. Bila dah ada, UMNO pulak yang jatuhkan,” kata calon PN bagi kerusi DUN Semerah, Datuk Ariss Samsudin.

    Beliau percaya kemarahan Bangsa Johor di DUN Semerah yang terletak di dalam kawasan Parlimen Parit Sulong terhadap tindakan Noraini itu akan diterjemahkan dalam bentuk protes terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.

    Pengundi di DUN Semerah juga sudah bosan dengan kerenah UMNO dan BN yang rakus kuasa sehingga tergamak mencetuskan PRN Johor dalam situasi negara masih belum pulih sepenuhnya dari krisis pandemik COVID-19.

    Sentimen serupa terhadap UMNO dan BN turut dikesan di seluruh Johor termasuk di kawasan yang dianggap kubu kuat mereka seperti Rengit, Benut dan Sri Medan.

    Bangsa Johor amat merindukan kehidupan yang tenang ketika Muhyiddin mengemudi kerajaan PN dahulu dimana pemimpin-pemimpinnya lebih mengutamakan soal kebajikan rakyat.

    Situasi amat berbeza selepas BN dan UMNO kembali sebagai kerajaan negeri di Johor dan mengetuai kerajaan Persekutuan.

    Walaupun wakil-wakil rakyat dari Bersatu dan PAS telah memberi jaminan bahawa mereka tidak akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Johor, UMNO tetap meneruskan hasrat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

    Keangkuhan UMNO dan BN mesti diajar. Bangsa Johor mesti menunjukkan kuasa mereka dengan menolak kerakusan BN. Pilihlah PN yang terbukti lebih prihatin terhadap mereka.

  • PRN Johor:Lapor polis jika ada pihak halang keluar mengundi

    PRN Johor:Lapor polis jika ada pihak halang keluar mengundi

    POLIS meminta orang ramai membuat laporan jika terdapat cubaan daripada mana-mana pihak untuk menghalang mereka keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya juga akan sentiasa membuat pemantauan termasuk melihat jumlah kehadiran orang ramai semasa hari mengundi.

    “Beritahu polis (sekiranya ada pihak menghalang) dan kita akan pastikan bahawa perjalanan (mengundi) dipantau.

    “Kita pantau daripada segi jumlah kehadiran, apabila sudah sampai tengah hari, tengok kenapa orang tidak hadir, atas apa sebab kita akan semak, sama ada terdapat halangan dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau proses pengundian awal PRN Johor di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman mengulas mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya terdapat individu yang dihalang oleh mana-mana pihak untuk keluar mengundi.

    Beliau berkata, orang ramai juga diminta memberikan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat halangan lain seperti kawasan mereka dilanda banjir kilat.

    “Sekarang ini (apabila) petang selalu hujan dan dikhuatiri (boleh berlaku) banjir kilat. Jadi kita perlu kerjasama daripada masyarakat untuk maklum kepada kita, sekiranya mereka terhalang untuk ke pusat mengundi (sila) beritahu kita segera,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, seramai 11,500 anggota dan pegawai polis serta pasangan di negeri ini terlibat dengan pengundian awal PRN Johor di 83 saluran pada hari ini, dengan 1,500 daripadanya mengundi di Dewan Dato’ Onn.

    Beliau berkata proses pengundian berjalan agak perlahan awal pagi tadi berikutan hujan, namun berjalan lancar dua jam kemudian selepas cuaca kembali cerah.

    “Kita tidak dapat pastikan jumlah sebenar (keluar mengundi ketika ini) tetapi kita akan kemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Perancangan Muhyiddin semasa menjadi PM beri kesan sehingga kini

    Perancangan Muhyiddin semasa menjadi PM beri kesan sehingga kini

    SEMUA perancangan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri dilihat membuahkan hasil dan berkesan sehingga hari ini.

    Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, antara contoh langkah diambil Muhyiddin ialah bagaimana kerajaan PN sewaktu menggesa rakyat Malaysia divaksinkan dan perancangan pelbagai jenis bantuan yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini.

    “Bagaimana kaedah Muhyiddin menangani, walaupun pada masa itu timbul kononnya kerajaan gagal dan tidak berjaya dengan kes Covid-19 pada masa itu agak tinggi.

    “Tetapi kita tidak melihat itu sebagai gagal sebab itu adalah fenomena yang kita hadapi ketika itu. Istilah gagal tidak boleh kita guna walaupun ada kelompok-kelompok sebelum ini gunakan perkataan gagal semasa Muhyiddin.

    “Bagi kita, itu adalah fenomena yang perlu kita hadapi dan tangani bersama,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Di bawah pemerintahan Muhyiddin, rakyat diminta untuk mengambil vaksin Covid-19.

    Selain daripada itu, antara bantuan yang diumumkan oleh Muhyiddin bagi membantu rakyat berdepan penularan wabak Covid-19 adalah seperti Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

    Pada 2 Mac, Muhyiddin kemudiannya melancarkan Ikrar PN Untuk Johor, manifesto gabungan itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan slogan ‘Demi Bangsa Johor’.

    Muhyiddin berkata, PN menyediakan ikrar berteraskan lapan tunjang utama, berpasukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan.

    Mengulas lanjut, Khairul Faizi berpendapat dengan ikrar yang dilancarkan oleh Muhyiddin itu, calon PN bersedia untuk menjadikan agenda rakyat sebagai agenda utama.

    “Rakyat menjadi tumpuan kita. Segala bentuk permasalahan rakyat, menjadi keutamaan kita.

    “Dalam masa yang sama, untuk mencapai hasrat membantu rakyat kita letakkan integriti itu sebagai perkara yang paling utama dalam kerajaan PN yang kita akan bentuk pada masa akan datang,” ujarnya.

    Menyentuh mengenai pemberian bantuan yang diberikan menerusi bajet, Khairul Faizi menyifatkan pemerintahan pada waktu itu sangat kritikal sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar.

    “Dengan pelbagai dana yang telah disalurkan kepada rakyat dengan pelbagai pakej. Pada masa itu adalah masa yang sangat kritikal.

    “Ada yang menghadapi tekanan perasaan kerana tidak boleh keluar rumah dan ada yang tidak dapat berjumpa dengan keluarga dalam tempoh yang panjang,” ujarnya.

    Khairul Faizi juga berpandangan sewaktu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, keadaan ekonomi negara sudah semakin pulih.

    “Kalau kita lihat hari ini, tak ada isu orang sudah tidak boleh keluar kerja dan orang yang hilang kerja (sebelum ini) sebahagiannya sudah mendapat kerja.

    “Ketika ini kita tidak mendengar orang kena buang kerja kerana ekonomi sudah berjalan,” jelasnya.

  • DUN Skudai: Calon PN mampu tumbangkan PH, BN

    DUN Skudai: Calon PN mampu tumbangkan PH, BN

    PENGALAMAN membantu masyarakat dan perancangan menangani masalah rakyat menjadi modal dan taruhan kempen beberapa calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai bagi menambat hati pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

    Mereka juga menyatakan kesediaan untuk terus memperjuangkan agenda masing-masing seperti calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, Khoo Kong Ek yang telah merangka pelan perancangan 10 tahun bagi membangunkan kawasan itu, sekiranya diberikan mandat sekali lagi.

    Khoo yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai pada 1999 hingga 2004 berkata penubuhan Jawatankuasa Khas Pengurusan Banjir untuk menangani isu banjir kilat yang dialami penduduk di beberapa kawasan di Skudai sejak sekian lama dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif sekali gus dapat membantu memulihkan ekonomi rakyat, merupakan antara fokus pelan perancanganya itu.

    “Saya mengambil masa yang panjang untuk mengkaji dan meneliti pelan perancangan untuk kawasan ini sekali gus menjadikan Skudai lebih berdaya maju.

    “Saya akan memberi fokus kepada usaha untuk memacu kembali ekonomi Skudai yang terjejas akibat pelbagai isu termasuk banjir kilat, selain meningkatkan semula pendapatan rakyat jika diberi mandat mentadbir DUN ini sekali lagi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Johor Bahru, baru-baru ini.

    Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10, Khoo memenangi kerusi DUN Skudai atas tiket Barisan Nasional (BN) mewakili Gerakan. Namun, beliau mengambil keputusan keluar daripada parti itu pada 2020 dan menyertai Bersatu pada awal tahun lepas.

    Ketua Biro Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu Johor itu berkata, pelan perancangan yang dirangka itu juga antara lain akan memberi fokus menjadikan Skudai sebagai sebuah bandar pintar, membantu mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan muda dan menubuhkan dana bagi membantu golongan yang memerlukan terutama rakyat yang tidak mempunyai perlindungan perubatan.

    DUN Skudai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon DAP Marina Ibrahim; calon BN, Lim Soon Hai dan Khoo.

    Pada PRU ke-14, kerusi itu dimenangi Tan Hong Pin (PH-DAP) menewaskan S. Kanan (BN) dengan majoriti 35,126 undi. – BERNAMA

  • Undi awal PRN Johor bermula 8 pagi

    Undi awal PRN Johor bermula 8 pagi

    SEBANYAK 63 pusat mengundi bersiap sedia dibuka bagi proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 yang bermula 8 pagi, hari ini.

    Lebih 22,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing layak mengundi hari ini.

    Kemudahan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor di Jalan Tebrau di sini dan 10 Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negeri serta beberapa pejabat kerajaan turut dijadikan sebagai pusat mengundi.

    Anggota tentera akan mengundi di Kem Mahkota, Kluang; Kem Tebrau, Ulu Tiram; Kem Batalio Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Batu Pahat dan Kem Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD), Segamat.

    Sementara itu, anggota PGA dan pasangan masing-masing akan mengundi di Batalion ke-5, pasukan PGA di Simpang Renggam, Kluang dan Batalion ke-6 PGA di Bakri, Muar.

    Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN kali ini.

    Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac (Sabtu) ini.– Bernama

  • Seorang anggota tentera maut, empat cedera dalam kemalangan

    Seorang anggota tentera maut, empat cedera dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota tentera maut dan empat cedera dua selepas lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 16, Jalan Penawar-Punggai, Kota Tinggi, hari ini.

    Kemalangan pada pukul 3.40 petang itu berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari Pos Tanjung Leman, Mersing ke Pos Tanjung Sepang, Pengerang dekat Kota Tinggi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora, kemalangan itu mengakibatkan seorang anggota tentera berusia 23 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kemalangan melibatkan seorang pegawai dan empat anggota tentera. Dua lagi anggota tentera cedera ringan manakala dua lagi anggota tentera cedera parah dan menerima rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi.

    “Semua mereka yang cedera berusia antara 22 hingga 38 tahun. Siasatan awal mendapati punca kemalangan berlaku dipercayai gagal memotong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pihaknya masih lagi dalam peringkat siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan kematian anggota tentera berkenaan.

    Katanya, kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Pihak Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi arahan lalu lintas di jalan raya,” katanya.

    habis

  • PRN Johor:Penceramah dibenarkan buka pelitup muka ketika berceramah

    PRN Johor:Penceramah dibenarkan buka pelitup muka ketika berceramah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) membenarkan penceramah membuka pelitup muka semasa berceramah dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Menurut SPR, kebenaran tersebut hanya diberikan semasa berceramah dan selepas menyampaikan syarahan perlu memakai semula pelitup muka.

    “Pindaan pada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Johor Ke-15 berkuat kuasa serta merta.

    “Sementara semua yang hadir mendengar ceramah dalam kempen hendaklah sentiasa memakai pelitup muka. Penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter antara individu hendaklah sentiasa dikekalkan,” jelas SPR dalam kenyataan hari ini.

    SPR memaklumkan, semua ahli atau jentera parti yang hadir dalam mesyuarat parti wajib memakai pelitup muka sepanjang masa serta menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter.

    “Aktiviti bersalaman adalah dilarang,” tegas SPR lagi.

    SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan Covid-19 tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

    Ketetapan baharu itu berdasarkan pindaan dan tambahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Semalam satu sesi ceramah yang dihadiri Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tegang seketika apabila seorang pegawai kesihatan cuba memberi amaran kepada pemimpin politik itu untuk mematuhi SOP.

    Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meluahkan kekecewaannya apabila ditegur kerana menanggalkan pelitup muka ketika hendak memulakan ucapannya di ketika berucap di Jalan Bakawali di sini.

    Tegas beliau, perkara itu akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menganggap peraturan sedemikian hanya menyukarkan lagi perjalanan kempen dan ceramah ketika PRN Johor.

  • ‘Kita perlu buat perubahan’-Hadi Awang

    ‘Kita perlu buat perubahan’-Hadi Awang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mahu rakyat membuat perubahan kerana sudah 60 tahun diperintah sebuah parti sehingga berlaku banyak kelemahan, salah laku dan kes rasuah.

    “PRU-14 pula menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menang dengan manifesto yang tidak masuk akal. Sehinggakan janji mereka hanya tinggal janji, malah mencabar kedaulatan Islam dan institusi diraja.

    “Akhirnya kita berjaya membuat perubahan di peringkat nasional dengan mengubah kerajaan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional,” katanya dalam Facebook miliknya.

    Katanya, sepanjang pemerintahan PN banyak memberikan bantuan kepada rakyat yang ditimpa banyak musibah antaranya paling teruk ketika menghadapi wabak Covid-19 dan banjir di banyak negeri.

    “Tiba-tiba ada sebahagian pimpinan UMNO mahu bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membentuk jajaran baru.

    “Pesanan saya buat rakyat Johor, pilihlah calon yang berintegriti, berkebajikan dan tidak terpalit dengan penyakit rasuah dan salah laku,” katanya.

    Beliau mengakhiri catatan dalam Facebook dengan serangkap pantun.

    Kalau hendak memilih cincin,
    Pilihlah cincin muat di jari,
    Kalau hendak memilih pemimpin,
    Pilih pemimpin bermaruah diri.

  • Ikrar PN tiada rakyat yang tertinggal

    Ikrar PN tiada rakyat yang tertinggal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) memberi jaminan tiada seorang pun rakyat yang akan tertinggal jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

    Juseru kata calon PN bagi DUN Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz , rakyat terutama perlu memberi kepercayaan kepada gabungan itu.

    “Ikrar PN tiada tiada yang tertinggal. Kita akan bantu dan terus bantu. Cari yang mana perlu dibantu. Parit Yaani perlu dibangunkan.
    Misi kita mentadbir dan memberikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

  • Pejuang isu peluang pekerjaan anak tempatan di RAPID

    Pejuang isu peluang pekerjaan anak tempatan di RAPID

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar, Mohd. Faizal Asmar nekad memperjuangkan isu berkaitan peluang pekerjaan untuk anak tempatan di Kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang.

    Mohd. Faizal yang juga bekas pemain bola sepak Johor mendakwa, anak jati Pengerang cuma meliputi kurang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan jawatan sedia ada di RAPID kerana banyak dimonopoli oleh pekerja asing dan rakyat Malaysia dari negeri lain.

    Katanya, isu itu yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu perlu diberikan perhatian sewajarnya bagi mewujudkan keseimbangan sosioekonomi tempatan.

    “Penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menjadi antara punca pengangguran anak muda tempatan yang kini aktif mencari peluang pekerjaan, turut mendesak penyelesaian segera.

    “Saya mendapat maklumat bahawa projek minyak dan gas di Sarawak, Sabah serta Terengganu amat mengutamakan anak tempatan, namun mengapa Pengerang tidak melakukan perkara yang sama?

    “Kalau boleh, kita hendak memberi mereka pekerjaan tetap yang ada manfaat SOCSO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) agar nasib mereka terbela dan terjamin untuk jangka panjang berbanding pekerjaan yang mengamalkan sistem kontrak,” katanya ketika ditemui di Bandar Penawar.

    Penawar adalah satu daripada dua DUN, termasuk Tanjung Surat dalam kawasan Parlimen Pengerang.