Category: Politik

  • Manifesto khas calon PN selesai masalah di DUN Tenggaroh

    Manifesto khas calon PN selesai masalah di DUN Tenggaroh

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Roslan Nikmat mempunyai manifesto atau ikrar sendiri dalam menyelesaikan masalah penduduk di kawasan tersebut.

    Menurutnya, sudah sekian lama keperluan asas di Tenggaroh yang melibatkan kemudahan kediaman, pengangkutan dan kesihatan seperti tidak mendapat perhatian yang serius daripada pihak berwajib.

    Jelasanya, keadaaan tersebut sehinggakan menjejaskan keselesaan dan keselamatan penduduk.

    Atas rasa tanggungjawab dan demi warga Tenggaroh, Roslan berikrar akan memberikan sepenuh komitmen untuk :

    1 Menyegerakan penyelesaian rumah generasi kedua

    ▪️ Pembaikan kemudahan asas
    ▪️ Pemulihan projek perumahan terbengkalai
    ▪️ Perancangan dan pembangunan projek perumahan baharu

    2 Memperbaik infrastruktur jalan raya

    ▪️ Penandaan baharu garisan jalan
    ▪️ Penurapan jalan yang rosak dan berlubang
    ▪️ Pemasangan lampu jalan di kawasan berisiko

    3 Mewujudkan pusat dialisis

    ▪️ Pewujudan di beberapa lokasi terpilih
    ▪️ Penglibatan bersama agensi/jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat
    ▪️ Penganjuran program kesedaran penjagaan kesihatan

  • Perbicaraan Roger Ng: Najib upah firma PR antarabangsa

    Perbicaraan Roger Ng: Najib upah firma PR antarabangsa

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa telah mengupah firma komunikasi global, Karv Communications, untuk menyediakan sokongan perhubungan media ketika bekas eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng menghadapi perbicaraan di mahkamah persekutuan di New York.

    Memetik laporan Malaysiakini, jurucakap firma itu mendedahkan kepada portal berita dalam talian yang berpangkalan di Washington DC, Politico Influence (PI) bahawa mereka telah diupah “untuk membantu memastikan tindakan dan pandangan Najib Razak difahami oleh wartawan Amerika Syarikat (AS) dan dibentangkan dengan tepat dalam mana-mana liputan media AS — termasuk semasa perbicaraan Roger Ng yang sedang dijalankan di Daerah Timur New York.”

    Portal itu melaporkan bahawa menurut dokumen yang difailkan dengan Jabatan Kehakiman pada Isnin dan firma itu, Karv akan berkhidmat sebagai subkontraktor kepada peguam Najib, Tania Scivetti, untuk tempoh awal selama dua bulan dan dibayar hampir RM600,000.

    Menurut laman sesawang Karv, firma itu antaranya mengkhususkan dalam strategi komunikasi berkesan sekitar perkara berkaitan undang-undang dan litigasi rumit yang boleh berpunca daripada krisis.

    Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 28 Julai tahun lalu berhubung penyelewengan dana milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Portal itu menjelaskan bahawa dakwaan dalang skim itu, ahli perniagaan Malaysia Jho Low sedang dalam pelarian.

    Kata portal itu lagi, Low merupakan tokoh penting dalam pertuduhan terhadap pengumpul dana parti Republikan Elliott Broidy.

    Portal itu menulis bahawa Broidy ialah sekutu bekas Presiden Donald Trump yang telah diampunkan selepas mengaku bersalah bersubahat melanggar Akta Pendaftaran Ejen Asing.

    PI menjelaskan bahawa Broidy didakwa bersubahat dengan dua yang lain untuk menyembunyikan usaha bagi melunakkan pendirian pentadbiran Trump terhadap penipuan 1MDB.

    Ini termasuklah dakwaan usaha Broidy untuk menganjurkan acara bermain golf antara Trump dan Najib.

  • Cikgu Lan nekad bantu penduduk Pulau Sibu, Pulau Tinggi

    Cikgu Lan nekad bantu penduduk Pulau Sibu, Pulau Tinggi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Roslan Nikmat nekad memastikan kebajikan masyarakat di Pulau Sibu dan Pulau Tinggi, Mersing terjamin serta tiada yang tercicir.

    Menurutnya yang lebih dikenali penduduk setempat sebagai Cikgu Lan, pihaknya sudah pergi ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mersing hari ini bagi melihat bantuan yang boleh diberikan kepada penduduk dari kedua-dua pulau itu.

    “Cikgu ke pejabat JKM Mersing hari ini bagi memastikan kebajikan masyarakat di Pulau Sibu dan Pulau Tinggi terjamin.

    “Di sana maklumat terperinci berkenaan bilangan keluarga yang menerima bantuan JKM dan berapa bantuan yang mereka perolehi dibincangkan satu persatu.

    “Cikgu tidak mahu ada penduduk di sana yang layak menerima bantuan tetapi tercicir,” katanya dalam Facebook milinya, hari ini.

    Katanya, bukan satu halangan untuk memberikan sebarang bentuk bantuan walaupun jumlah penduduk tidak ramai di kedua-dua pulau itu.

    “Alhamdulillah beberapa masalah dan solusi dicapai bersama bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela.

    “Cikgu akan terus memastikan setiap kesusahan yang dihadapi oleh masyarakat dibantu segera,” katanya.

    Beliau berkata, masyarakat di pulau itu boleh memaklumkan jika perlukan bantuan dan perkara tersebut akan dibawa kepada kepada JKM.

  • Hapus bayaran lesen, sewa tapak tawaran PN ringan beban peniaga

    Hapus bayaran lesen, sewa tapak tawaran PN ringan beban peniaga

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan bagi penjaja menerusi Ikrar Perikatan Nasional (PN) merupakan tawaran istimewa bagi meringankan benan peniaga golongan kecil dan sederhana.

    Calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Samsudin Ismail berkata, ini kerana gabungan politik itu sedar masalah dan beban peniaga selain merupakan satu galakan untuk merancakkan ekonomi.

    “Dalam Ikrar PN yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekiranya PN membentuk kerajaan, kami menyatakan komitmen kami untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan sewaan tapak niaga pihak berkuasa tempatan (PBT) percuma selama lima tahun.

    “Ini termasuk lesen Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) juga dikecualikan pembayaran selama lima tahun juga,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Justeru beliau merayu dan memohon supaya pihak berkuasa mempertimbangkan isu kos kadar sewa tapak bazar yang tinggi itu.

    “Ramai yang susah, ada juga yang baru nak bangkit semula tetapi kenaikan kos tapak sewa ini akan menjadi bebanan pula kepada mereka.

    “Tinggi harapan saya supaya pihak berkuasa dapat mempertimbangkan semula isu kos kadar sewa tapak bazar yang meningkat ini,” katanya.

  • Tun Mahathir minta Bangsa Johor tolak parti dipimpin perasuah, penyamun

    Tun Mahathir minta Bangsa Johor tolak parti dipimpin perasuah, penyamun

    DALAM surat kelima kepada Bangsa Johor yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan mereka agar menentang rasuah dan menolak parti yang dipimpin oleh perasuah, penyamun dan yang tidak amanah.

    Berikut adalah petikan kandungan surat tersebut seperti yang disiarkan dalam laman Facebook beliau hari ini:

    Pilihan saudara dan saudari bukan sekadar menentu siapa yang akan memerintah Johor tetapi akan menjadi kayu pengukur hala tuju politik Negara di dalam pilihanraya mum yang akan datang.

    Perkara utama yang saya tekan ialah menentang rasuah dan menolak parti yang dipimpin oleh perasuah, penyamun dan yang tidak amanah.

    Ada yang memandang remeh isu rasuah dan menganggap ia tidak sepenting isu untuk meneruskan kehidupan seharian.

    Saya setuju meneruskan kehidupan yang stabil amat penting tetapi jika dipilih Kerajaan perasuah, penyalahguna kuasa dan penyangak, kestabilan negara tidak akan tercapai.

    Empayar-empayar Islam dan bukan Islam yang maha hebat dahulu telah jatuh kerana pemimpin pemimpinnya perasuah atau tidak menyekat amalan rasuah di kalangan pentadbir dan pegawainya.

    Rasuah ini seperti api di dalam sekam yang tidak kelihatan sangat kerosakan pada permulaan, tetapi apabila ianya menjadi nyata, ia sudah terlambat untuk diselamat.

    Perjuangan melawan perasuah-perasuah, penyamun-penyamun dan penyangak-penyangak bukan untuk yang muda sahaja.

    Selagi ada hayat perjuangan in mesti diteruskan.

  • Walaupun dikhianati Noraini, Muhyiddin tetap bersikap gentleman

    Walaupun dikhianati Noraini, Muhyiddin tetap bersikap gentleman

    RAMAI penyokong Perikatan Nasional (PN) yang menghadiri Ceramah Umum PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah di pekarangan Pejabat PN / Bersatu Bahagian Parit Sulong malam tadi menjangka Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin melepaskan geram terhadap Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Mana tidaknya, Ahli Parlimen Parit Sulong merangkap Ketua Wanita UMNO itu merupakan salah seorang daripada 15 Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin tahun lalu.

    Secara logiknya, sesiapa sahaja yang mengalami nasib yang sama seperti Muhyiddin akan menggunakan pentas ceramah di kawasan Parlimen Parit Sulong untuk menghentam Noraini.

    Seperti yang pernah dinyatakan oleh calon PN bagi kerusi DUN Semerah, Datuk Ariss Samsudin baru-baru ini, ramai orang di DUN Semerah yang sangat marah dengan Noraini.

    Bagi Bangsa Johor, Muhyiddin merupakan kebanggaan mereka kerana berjaya meletakkan kembali anak Johor di persada tertinggi arena politik negara.

    Namun, segala-galanya berakhir apabila Noraini dan 14 rakan-rakan separtinya menarik sokongan sehingga menyebabkan Muhyiddin terpaksa meletak jawatan dalam suasana negara masih belum pulih daripada krisis pandemik COVID-19.

    Namun, jangkaan hadirin bahawa Muhyiddin akan menghentam Noraini meleset sama sekali. Dalam ucapan kira-kira 40 minit malam tadi, tidak sekali pun nama Noraini disebut.

    Memang Muhyiddin ada menyebut nama Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetapi beliau langsung tidak memburuk-burukkan Noraini.

    Dalam hal ini, Ahli Parlimen Pagoh itu bersikap ‘gentleman’ walaupun Noraini seolah-olah tidak mengenang budi beliau yang melantiknya sebagai menteri Kabinet selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan.

    Sesuai dengan julukan ‘Abah’, Pengerusi PN dan Presiden Bersatu itu bersikap tenang dan tidak membalas pengkhianatan yang dilakukan terhadap beliau dahulu.

    Itu tidak bermakna Noraini akan terlepas daripada api kemarahan Bangsa Johor di Parit Sulong. DUN Semerah dan DUN Sri Medan yang berada dalam kawasan Parlimen Parit Sulong dijangka menjadi milik PN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.

    Tidak mustahil calon-calon PN menjadi pilihan Bangsa Johor di kawasan DUN terbabit bagi meluahkan perasaan kesal dan marah mereka terhadap pengkhianatan yang dilakukan kepada Muhyiddin.

    Tokoh yang terlibat dalam ‘tragedi tikam belakang’ itu mesti diajar.

  • 1,021 undi pengundi di Singapura selamat tiba di Johor

    1,021 undi pengundi di Singapura selamat tiba di Johor

    SEBANYAK 1,021 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melibatkan pengundi dari negeri ini yang menetap dan bekerja di Singapura, tiba di sini hari ini.

    Kertas undi yang diisikan dalam satu bagasi itu dibawa oleh sukarelawan 1thirdmedia, Mohd Hafeez A Jaz, 36, menaiki pengangkutan awam bas menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat antara Malaysia-Singapura.

    Mohd Hafeez yang membawa bagasi mengandungi kertas undi tersebut, tiba di Terminal Bas Larkin Sentral di sini kira-kira pukul 1.50 tengah hari, selepas memulakan perjalanan dari Woodlands, Singapura pada pukul 12.40 tengah hari.

    Sejurus tiba, anak kelahiran Sarawak yang turut menetap serta bekerja di Singapura itu melalui beberapa prosedur operasi standard (SOP) di pintu sempadan, termasuk proses menjalani ujian saringan Covid-19.

    Selepas segala proses SOP tanpa sebarang permasalahan selesai, Mohd Hafeez menyerahkan bagasi yang mengandungi kertas undi tersebut kepada sukarelawan Undi18, Mandeep Singh pada pukul 2.15 petang di dalam terminal bas itu.

    Ketika ditemui pemberita, Mohd Hafeez berkata, tanggungjawab yang diberikan 1thirdmedia untuk membawa kertas undi pos itu tidak dirasakan beban bagi dirinya.

    “Saya menganggap ini adalah kerja amal untuk membantu serta memudahkan rakyat Malaysia yang berada di Singapura, menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pos berdaftar,” katanya yang telah tinggal di Bayu Puteri, Permas Jaya, Johor Baru sejak kira-kira tujuh tahun lalu.

    Sementara itu, Mandeep berkata, tugas pasukannya adalah untuk menyerahkan kertas undi pos tersebut kepada setiap Pegawai Pengurus Pilihan Raya, PRN Johor pada Jumaat selepas pihaknya selesai menjalankan proses pengiraan serta pengagihan kertas undi pos itu mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Selasa lalu, media melaporkan sukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia di bawah naungan 1thirdmedia, berganding bahu mengumpul kertas undi pos tersebut di sekitar Singapura untuk dihantar ke negeri ini.

    Menurut sukarelawan, Farrah Diyana Mohamad Ali, kira-kira 5,000 kertas undi pos dikumpul dengan dua penghantaran telah dilaksanakan pada 6 dan 8 Mac lalu dan penghantaran terakhir dibuat pada Khamis.

    Untuk tiga hari pertama sejak 1 Mac, SPR dilaporkan telah mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos, kepada yang layak untuk mengundi secara pos pada PRN Johor.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 7,814 undi pos dikeluarkan bagi kategori Borang 1B iaitu warga Malaysia yang berada di luar negara.

    Semua kertas undi pos perlu dikembalikan kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan Negeri berkaitan, sebelum jam 5 petang pada hari pengundian yang akan berlangsung Sabtu ini. – Bernama

  • Badan kehakiman diganggu jika parti kluster mahkamah menang PRN Johor

    Badan kehakiman diganggu jika parti kluster mahkamah menang PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CAMPUR tangan terhadap institusi kehakiman negara akan berlaku jika parti daripada kluster mahkamah menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Justeru bagi memastikan perkara itu tidak berlaku, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz mengajak pengundi menolak mereka pada PRN Johor.

    “Kini, nasib Bangsa Johor terletak di tangan 749,731 pengundi muda termasuk diri anda! Cuba bayangkan wajah-wajah pemimpin yang tidak berintegriti dan kayakan kroni mereka kembali tersenyum lepas PRN ni. Badan kehakiman mahu diganggu.

    “Semua ini mungkin terjadi kalau anda abaikan tanggungjawab mengundi. Jika PRU lepas kerajaan yang sudah bertapak lebih 60 tahun di negara kita akhirnya tumpas dengan jari-jari anak muda yang turun ke pusat mengundi memilih pemimpin mereka.

    “Mengapa tidak kali ini? Pilih pemimpin yang ternyata bersih dan boleh diharap. Insyaallah demi jaminan masa depan anak muda dan kita semua. Jom turun mengundi,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

  • Penyokong Ayub boikot Puad Zarkashi?

    Penyokong Ayub boikot Puad Zarkashi?

    KHIDMAT dan hubungan akrab penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Ayub Ramli dengan rakyat di kawasan itu sememangnya tidak dapat disanggah oleh sesiapa pun.

    Apabila pucuk pimpinan parti beliau, UMNO memutuskan untuk menggantikan Ayub dengan Datuk Seri Dr. Puad Zarkashi calon di Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, timbul desas desus yang mengatakan ia telah menimbulkan kekecewaan besar dalam kalangan rakyat Rengit khususnya penyokong penyandang.

    Salah seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 38 dari Kampung Seri Bahrum, Rengit berkata, dia hairan bagaimana pucuk pimpinan UMNO boleh membuat keputusan untuk menukarkan seorang pemimpin yang baik khidmatnya seperti Ayub dengan calon yang amat jarang mengambil tahu mengenai penduduk di situ.

    “Ayub mesra, kerap bantu orang kampung dan banyak bawa kemajuan di Rengit, berbeza dengan yang sebelumnya dan dapat dilihat dengan jelas di sini.

    “Saya tak ok dengan Puad Zarkashi, yang tak logiknya bagaimana dia boleh dicalonkan di sini. Orang-orang kampung tak berapa minat dengan dia jauh beza dengan Ayub yang mesta dengan orang kampung,” katanya kepada SatuBerita.

    Mat turut menambah, Puad hanya muncul di Rengit pada musim pilihan raya tidak sebagaimana yang Ayub lakukan.

    Menjawab kepada soalan kenapa tidak mematuhi keputusan parti, Mat berkata, itu bukan satu kewajipan apabila menyentuh soal calon.

    “Saya nak pesan pada pimpinan UMNO, nilai semula calon yang dipilih daripada segi gerak kerja dan khidmatnya, tak bolehlah main suka-suka pilih.

    “Untuk 12 Mac ini, saya boikotlah logo dacing ini,” katanya.

    Sementara itu penduduk Kampung Simpang Enam, Misni Mohd. Hamdi, 56, pula berkata, apa yang berlaku dalam UMNO telah menghilangkan minat beliau kepada parti itu.

    Apa yang berlaku, kata beliau, membuatkan dirinya tidak lagi mempedulikan siapa yang diletakkan oleh UMNO di Rengit.

    “Puad ini saya memang saya jarang perasan.

    “Saya sekarang ini sudah tidak pedulikan sesiapapun yang diletakkan UMNO, Puad atau sesiapa sekalipun,” katanya dalam nada marah. 

  • Peja tak selesa kempen di Parit Sulong, ada pengkhianat

    Peja tak selesa kempen di Parit Sulong, ada pengkhianat

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengaku beliau berasa tidak selesa berkempen di kawasan Parlimen Parit Sulong yang diwakili Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu terkilan kerana Noraini telah menarik sokongan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu.

    Menteri Belia dan Sukan itu amat kesal kerana Muhyiddin telah memberi sepenuh kepercayaan kepada Ahli Parlimen Parit Sulong dengan melantik sebagai Menteri selepas kerajaan PN dibentuk sebelum ini.

    “Saya rasa cukup tak selesa nak kempen dalam Parlimen Parit Sulong kerana kawasan ini ada wakil dalam Kabinet.

    “Waktu Muhyiddin dijatuhkan, salah seorang yang menarik sokongan adalah ‘kawan awak’ semua itu yang mewakili Parlimen sini.

    “Muhyiddin telah ambil orang Parit Sulong jadi menteri tetapi orang yang sama juga tarik sokongan kepada anak Johor yang berjaya menjadi Perdana Menteri terbaik dalam negara,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah di pekarangan Pejabat PN / Bersatu Bahagian Parit Sulong malam tadi.

    Untuk rekod, Noraini merupakan salah seorang daripada 15 Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sekali gus menyebabkan Ahli Parlimen Pagoh itu terpaksa melepaskan jawatan selaku Perdana Menteri, tahun lalu.

    Sementara itu, Ahmad Faizal mendedahkan ramai dalam kalangan ahli UMNO sebenarnya berbelah bahagi untuk terus mendukung parti berkenaan.

    Kata beliau, ramai yang mengakui pemimpin tertinggi UMNO termasuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan figura yang telah menjatuhkan UMNO.

    Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, kebanyakan ahli UMNO masih belum mempunyai semangat dan kekuatan untuk menolak pemimpin-pemimpin tersebut.

    “Mereka sekarang dalam keadaan tak tahu ke mana, hati tak berapa nak. Mereka tahu pemimpin mereka telah melakukan mungkar, pemimpin ini yang meletakkan mereka menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Kita sembang dengan mereka, mereka mengaku Najib dah sebabkan kekalahan, Zahid dah buat UMNO jadi macam syarikat sendirian berhad, ini pemimpin besar UMNO sendiri yang beritahu kita.

    “Jadi, kita kena bantu mereka dengan beri sedikit kesedaran dengan cara mengundi PN dan pastikan pada 13 haribulan ini, wakil kita mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor,” katanya.