Category: Politik

  • Muhyiddin, isteri mengundi di SMK Seri Muar

    Muhyiddin, isteri mengundi di SMK Seri Muar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muar di Muar pagi tadi.

    Ahli Parlimen Pagoh itu memuat naik foto beliau dan isteri mengundi di SMK tersebut dalam Facebook miliknya.

    “Alhamdulillah, saya dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman telah melaksanakan tanggungjawab mengundi di Sekolah Sri Muar, Muar, bagi kerusi N.15 Dewan Undangan Negeri Maharani pagi ini.

    “Cuaca pagi ini baik dan saya menyeru seluruh rakyat Johor agar dapat keluar mengundi awal.

    “Keluarlah mengundi beramai-ramai dan laksanakanlah peluang mengundi ini dengan penuh tanggungjawab.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas-petugas pilihan raya seperti kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian
    Kesihatan Malaysia dan semua anggota keselamatan yang terlibat. Selamat mengundi,” katanya dalam Facebook miliknya

  • Billboard gambar Muhyiddin disimbah cat merah

    Billboard gambar Muhyiddin disimbah cat merah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH billboard Perikatan Nasoional (PN) dan terpampang gambar Tan Sri Muhyiddin Yassin disimbah cat merah di bulatan Taman Putri, Kulai yang disedari pagi semalam.

    Kejadian disedari seorang lelaki yang merupakan petugas PRN Johor bagi PN sebelum membuat aduan polis pukul 8 pagi semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow, Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai ke lokasi kejadian menyiasat perkara itu.

    “Siasatan mendapati billboard gambar Pengerusi PN (Muhyiddin) pada billboard berkenaan disimbah cat merah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh didenda atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

  • PRN Johor:Pilih pemimpin yang bersih, amanah seperti dituntut Islam

    PRN Johor:Pilih pemimpin yang bersih, amanah seperti dituntut Islam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    HARI ini adalah hari yang amat penting dalam sejarah Johor moden. Ini kerana akan berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor iaitu pilihan raya pertama yang diadakan berasingan.

    Bagi pengundi PRN Johor sama ada baharu atau sudah lama, sudah tentu sukar membuat pilihan kerana terlalu banyak parti politik bertanding. Mereka tidak tahu adakah apa yang dipangkah nanti akan memberi kesan positif atau tidak untuk tempoh lima tahun akan datang.

    Semua yang akan dipilih itu melibatkan soal kepimpinan dan bagaimana caranya untuk mentadbir negeri ini.

    Kepimpinan adalah antara isu sangat mustahak diperbincangkan dan ditekankan kerana membabitkan masa depan negeri dan kemajuan rakyatnya. Dalam Islam sudah digariskan kaedah untuk memilih pemimpin.

    Tidak dapat dinafikan kepemimpinan hebat berupaya membangunkan masyarakat dan tamadun bangsa, sekali gus bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan daripada aspek fizikal mahupun spiritual.

    Kita tidak boleh pilih pemimpin secara semborono atau tangkap muat sahaja. Begitu juga dengan PRN Johor yang berlangsung hari ini.

    Dalam Islam terdapat tiga kriteria semasa kita memilih pemimpin iaitu pemimpin perlu beragama Islam. Tetapi jika perlu memilih calon bukan Islam dalam pilihan raya di Malaysia, mereka sebagai pemimpin adalah harus selagi tidak mengancam Islam dan penganutnya.

    Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, hasil penelitian terhadap ayat al-Quran dan pandangan pelbagai ulama tersohor, tiada dalil muktamad yang melarang mengundi calon bukan Islam.

    Katanya, ayat al-Quran yang dijadikan hujah oleh ulama untuk mengharamkan pemilihan bukan Muslim sebagai wakil rakyat, apabila diteliti sebenarnya merujuk kepada orang kafir yang memusuhi Islam dan penganutnya.

    Kriteria kedua adalah pemimpin yang mampu dan amanah. Dua sifat ini sangat penting dan wajib ada pada seorang pemimpin.

    Sementara kriteria ketiga pula adalah adil. Sifat ini sangat penting kerana apabila memilikinya akan mensejahterakan rakyat.

    Berbalik kepada PRN Johor, terdapat banyak parti dan gabungan politik yang memberikan pelbagai tawaran menerusi manifesto mereka.

    Terpulang kepada kebijaksaan dan penilaian kita dalam membuat keputusan sama ada berdasarkan sentimen kepartian atau condong kepada mana-mana sebab atau faktual yang mendorong untuk memilih pihak mana.

    Penulis berpandangan, sebagai seorang muslim, kita mempunyai pilihan untuk memilih dalam PRN Johor kerana masih ada pemimpin yang baik, bersih, amanah dan menolak kemungkaran.

    Apabila kita tahu seseorang pemimpin itu serta kepimpinannya mempunyai latar belakang dan rekod yang bersih, mengapa tidak memilih kepimpinannya? Bukankan ini dituntut dalam agama memilih pemimpin dan kepimpinan sedemikian?

    Adalah menjadi keganjilan dan kegilaan apabila kita masih mempunyai pilihan yang baik tetapi terus memilih pemimpin atau daripada kepimpinan yang rosak, mengamal rasuah dan salah guna kuasa.

    Jika ini berlaku, ini sesuatu yang sangat menghairankan. Adakah kita sebagai umat Islam sudah hilang pertimbangan dan kewarasan, tidak tahu menilai mana baik dan buruk? Adakah kita sudah buta mata hati?

    Sudah ada yang baik tetapi tetap memilih yang buruk? Atas alasan apa? Terlalu taksub pada parti politik hingga membelakangkan tuntutan agama? Tidakkah rasa bersalah atau dirasakan terus bersubahat sekiranya masih memilih pemimpin dan keimpinan yang sedemikian?

    Sekiranya kita tidak mempunyai pilihan, itu mungkin boleh difahami tetapi sebagai manusia bertamadun dan umat beragama, apabila ada pemimpin yang mempunyai tiga kriteria tersebut, mengapa masih mahu memilih yang sudah rosak?

    Bukankah dalam keadaan politik yang sudah dicemari pelbagai ketamakan duniawi, sudah sepatutnya kepimpinan negara perlu kembali kepada landasan Islamiah. Jika kita tidak mampu mengikut seperti yang nabi lakukan, memadailah dengan cuba mengambil contoh kepimpinannya.

    Menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr. Mohd. Afandi Mat Rani, kepemimpinan dan manhaj Rasulullah SAW, terlakar dalam sejarah, antara patut dicontohi kerana berjaya membina pentadbiran negara berkualiti dan menepati tuntutan syariat.

    Mohd. Afandi berkata, merealisasi kehebatan kepemimpinan Islam bukan mustahil, malah boleh diteladani tetapi kriteria wajib dalam diri individu perlu diketahui sebelum layak diangkat sebagai pemimpin.

    “Dalam Islam, nilai utama pemimpin ialah amanah, bukannya soal populariti. Rasulullah SAW menerangkan sifat amanah seperti sabda Baginda kepada Abi Dzar RA. Baginda menjelaskan kesan apabila hilangnya amanah dalam kepimpinan jika jatuh kepada orang yang tidak berhak menjadi
    pemimpin.

    Dalam hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Maka sekiranya hilang sifat amanah, tunggulah hari pembalasan.”

    Abu Dzar berkata: “Bagaimanakah hilangnya sifat itu?” Baginda bersabda: “Sekiranya tampuk kepimpinan jatuh kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah hari pembalasan,” katanya.

    Jadilah pengundi yang bijak dan bertanggungjawab, selamat mengundi!

  • Terima kasih Bangsa Johor kerana sudi mendengar – Muhyiddin

    Terima kasih Bangsa Johor kerana sudi mendengar – Muhyiddin

    PADA malam terakhir sebelum tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melabuhkan tirai tepat pada jam 12 tengah malam ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin masih kelihatan bersemangat.

    Boleh dikatakan beliau berkempen hampir setiap malam sejak Selasa lalu bagi membantu kemenangan calon-calon PN yang bertanding.

    Malam ini, Presiden Bersatu itu berucap pada program Pentas Presiden PN di pekarangan Bilik Gerakan Zon Utara di Pagoh Jaya.

    Muhyiddin menegaskan kembali tentang ikrar PN untuk mewujudkan kerajaan negeri Johor yang bersih dan berintegriti selepas menang kelak.

    Selain itu, keutamaan PN adalah membangunkan ekonomi Johor yang sepatutnya lebih maju berbanding sekarang.

    Beliau turut menceritakan pengalaman ketika berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dan DUN Tenggaroh semalam dan hari ini.

    Katanya, jalan di dua kawasan tersebut ‘beralun-alun’ sekali gus menunjukkan masih banyak usaha perlu dilakukan untuk membangunkan Johor.

    Ahli Parlimen Pagoh itu mengucapkan terima kasih kepada Bangsa Johor yang sudi mendengar penerangannya sepanjang tempoh berkempen.

    Beliau menyatakan bahawa segala pendedahan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sewaktu berkuasa dahulu adalah perkara yang benar.

    Sehubungan itu beliau berharap Bangsa Johor membuat pilihan yang betul esok dengan memberi kemenangan kepada PN agar segala ikrar yang dijanjikan sebelum ini dapat ditunaikan demi kesejahteraan mereka.

    Muhyiddin yakin ‘tsunami’ penolakan terhadap BN akan berlaku pada PRN Johor dengan mandat diberikan kepada PN.

  • PRN Johor: Pengundi mula pulang dari Singapura untuk tunai tanggungjawab

    PRN Johor: Pengundi mula pulang dari Singapura untuk tunai tanggungjawab

    MENJELANG hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok, platform bas Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) di Larkin Sentral, Johor Bahru dipenuhi penumpang yang pulang ke tanah air dari Singapura antaranya mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

    Muhammad Hazeq Amir Aziz, 26, yang bekerja sebagai penghantar surat di republik jiran itu adalah antara mereka yang pulang untuk mengundi dan pada masa yang sama melepaskan rindunya terhadap tanah air tercinta dan keluarganya di Mersing.

    “Saya dah dua tahun berada di Singapura dan rasa bertuah sebab dapat tiket untuk balik ke Malaysia hari ini, agak susah nak dapat tiket sebenarnya.

    “Niat saya memang balik untuk mengundi dan guna kesempatan ini nak jumpa keluarga yang telah dua tahun saya tidak jumpa. Memang dah menjadi tanggungjawab kita untuk mengundi, saya teruja untuk mengundi buat pertama kali,” katanya kepada Bernama di Larkin Sentral hari ini.

    Lee Chen Seng, 36, turut menggunakan kesempatan pulang mengundi pada PRN Johor kali ini untuk bersatu semula dengan keluarganya setelah dua tahun tidak dapat pulang akibat penutupan sempadan negara.

    “Mengundi itu memang tanggungjawab kita, semua orang perlu keluar mengundi. Saya pulang kerana bagi saya setiap undian itu penting,” katanya yang bekerja sebagai pengurus kilang di Singapura.

    Muhammad Hazeq Amir dan Lee sependapat bahawa perjalanan mereka merentasi Tambak Johor berjalan lancar dan proses yang ditetapkan melalui VTL adalah mudah.

    Malaysia dan Singapura melancarkan VTL-Darat pada 29 Nov 2021 bertujuan melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen bertujuan membantu mereka yang terpisah daripada orang tersayang akibat pandemik untuk kembali ke Malaysia.

    Esok adalah hari pengundian bagi PRN Johor. – Bernama

  • PRN Johor:Tolak mereka ‘yang bersalah’, tidak layak memimpin

    PRN Johor:Tolak mereka ‘yang bersalah’, tidak layak memimpin

    PERIKATAN Nasional (PN) menggesa pengundi muda keluar beramai-ramai membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi menyatakan pendirian mereka dalam menolak kemungkaran dan penyalahgunaan kuasa.

    Setiausaha Penerangan Bersatu Perak, Datuk Dr Zulkifli Abdul Aziz berkata, PNyang menggabungkan beberapa parti utama antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) konsisten dalam pendirian itu.

    “PN sendiri menawarkan satu wadah perjuangan kepada bangsa Johor iaitu memastikan kepemimpinan Johor bebas daripada penyalahgunaan kuasa.

    “Setiap pengundi haruslah menerima hakikat dan realiti bahawa ‘yang bersalah’ tidak layak untuk memimpin Johor.

    “Sebab itu wadah perjuangan PN iaitu bebas daripada penyalahgunaan kuasa. PN juga akan memastikan kepemimpinan PN yang ditawarkan kepada bangsa Johor adalah mereka yang berintegriti.

    “Dalam hal ini, PN mengajak bangsa Johor menerima hakikat ‘yang bersalah tidak layak memimpin’. Oleh itu, jangan pula kita bersubahat dengan mereka yang bersalah,” katanya memetika laporan Sinar Harian hari ini.

    Jelasnya, para pengundi muda menjadi penentu kepada masa depan bangsa dan negeri Johor dan kesempatan itu harus diterjemahkan dalam PRN Johor.

    “Jangan silap langkah memilih pemimpin ‘yang bersalah’ untuk mentadbir negara,” katanya.

  • Cikgu Lan pegang prinsip ‘ada dan berfungsi’

    Cikgu Lan pegang prinsip ‘ada dan berfungsi’

    CALON Perikatan Nasional (PN) DUN Tenggaroh, Roslan Nikmat tekad untuk sentiasa mengotakan janjinya kepada seluruh masyarakat di kawasan berkenaan tanpa mendiskriminasi masyarakat tidak kira latar belakang politik mahupun bangsa.

    Kata bekas guru itu, beliau tidak tunggu lama untuk bertidak dalam menyelesaikan permasalahan penduduk di DUN itu setelah mendengar keluhan mereka sedangkan calon-calon lain sedang sibuk berkempen.

    Menurut Roslan, Beliau memberikan contoh masalah ketiadaan lampu jalan dikebanyakkan tempat di kawasan itu yang sering menyebabkan kemalangan di jalan utama kawasan itu.

    “Saya terus pergi ke TNB unuk selesaikan masalah ini, saya minta mereka bertindak dengan pantas, lampu LED pun sudah memadai. Alhamdulillah mereka sudah pasang beberapa lampu LED di beberapa kawasan.

    “Saya memegang moto ‘ada dan berfungsi,’ malah sejak saya menjadi guru dahulu. Apabila saya telah tukar dari dunia pendidikan kepada dunia politik, saya cuba untuk mengaplikasikan perkara itu sebaik mungkin untuk menghubungkan masyarakat dengan kerajaan negeri,” katanya.

    Beliau berkata sedemikian ketika ditemui SatuBerita di Bilik Operasi Perikatan Nasional Mersing hari ini.

    Antara permasalahan lain yang sedang diusahakan oleh Roslan adalah berkenaan isu kekurangan peluang pekerjaan untuk anak muda, isu jalan raya dan jeti rosak, isu pertanian melibatkan anak muda, serta masalah ketiadaaan balai bomba di DUN berkenaan.

    Dalam pada itu katanya, walau apa jua keputusan pada Pilihan Raya Johor kelak, Roslan tetap akan terus memperjuangkan hak dan keluhan masyarakat di DUN Tenggaroh untuk didengari oleh pihak Kerajaan Negeri.

    “Kalau ditakdirkan saya kalah pun tiada masalah. Perikatan Nasional masih berkuasa di peringkat persekutuan, kita masih lagi berfungsi. Namun saya yakin untuk membantu negeri Johor dengan lebih telus dan prihatin jika diberikan kemenangan,” ujarnya lagi.

  • Poster tular kononnya Tosrin calon MB Johor adalah palsu

    Poster tular kononnya Tosrin calon MB Johor adalah palsu

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan bahawa calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi akan dilantik sebagai calon Menteri Besar jika gabungan politik itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “SAYA tak umum sesiapa (jadi calon Menteri Besar Johor),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersama komuniti agromakanan Johor di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang poster tular kononnya Tosrin dipilih sebagai calon Menteri Besar Johor.

    Muhyiddin turut menyifatkan penularan berita itu sebagai taktik jahat pihak tidak bertanggungjawab bagi mempengaruhi pengundi dalam PRN Johor.

    “Saya pun difitnah bahawa akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon Perdana Menteri, apa cerita tu? Sebab itu kita nafikan.

    “Dalam tempoh mutakhir ini, banyak pihak tertekan sampai sanggup buat cerita bohong, ini semua fitnah untuk mempengaruhi pengundi.

    “Saya fikir berjaga-jagalah, jangan mudah terpengaruh dengan orang berniat jahat ini. Pengundi Johor tidak akan termakan dengan taktik busuk ini,” katanya.

    Sejak semalam tular poster mendakwa Tosrin merupakan calon Menteri Besar PN sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan dalam PRN Johor.

    PN turut menghadapi satu lagi dakwaan palsu kononnya Muhyiddin menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri Ke-10 dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menerusi penularan sepucuk surat.

    Bagaimanapun, PN menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan surat bertarikh 22 Februari 2022 itu mengatakan surat tersebut sebagai palsu dan berniat jahat.

    Sementara itu, ketika ditanya laporan analisis bahawa BN bakal menang besar, Muhyiddin berpandangan, ada juga ramalan yang memihak kepada PN.

    “Wallahualam. Itu ramalan, banyak ramalan pun PN menang,” jawabnya ringkas.

  • SPR sedia 1,021 Pusat Mengundi dengan 4,638 saluran

    SPR sedia 1,021 Pusat Mengundi dengan 4,638 saluran

    SERAMAI 2.5 juta pengundi bakal menunaikan tanggungjawab mereka dengan memilih kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.

    SPR menyediakan 1,021 Pusat Mengundi dan 4,638 Saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 49,290 petugas akan bertugas bagi proses pengundian itu.

    “Semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

    “Pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi. Pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi.

    “Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan Garis Panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Jelas Indera Ikmalrudin lagi, pengundi yang bergejala akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.

    Katanya pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

  • Cikgu Lan ada rekod terbaik, dekat dan ikhlas dengan anak muda – Pengundi

    Cikgu Lan ada rekod terbaik, dekat dan ikhlas dengan anak muda – Pengundi

    PERSONALITI calon Perikatan Nasional (PN) DUN Tenggaroh, Roslan Nikmat yang tidak lekang dengan senyuman dan sentiasa menjenguk kawasan sekitar menjadikan pengundi lebih tertarik dan merasa dekat dengan beliau.

    Menurut seorang guru bahasa, Muhammad Ayub Hazizul, 30, pengundi-pengundi di DUN berkenaan memerlukan seorang wakil rakyat yang mesra dan sentiasa memberi perhatian kepada keluhan masyarakat.

    “Kita tak mahu pilih calon yang sekadar menang, dan tinggalkan kita di sini dengan masalah yang tidak selesai. Kalau tengok kepada rekod calon-calon, saya lihat calon yang terbaik adalah daripada PN.

    “Memang kita nampak dia sentiasa bersama dengan orang di kampung. Tambahan pula, beliau mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan,” katanya ketika ditemui SatuBerita di sekitar Tenggaroh, hari ini.

    Tambahnya, setelah melihat latar belakang Roslan atau Cikgu Lan sebagai seorang bekas pendidik dan Ahli Lembaga Pengarah GIATMARA, Ayub yakin beliau mempunyai pengalaman serta tahu selok belok untuk mendekati golongan muda dengan baik.

    Bagi Sakinah Omar, 31, diri mula tertarik untuk memberikan sokongan kepada Roslan setelah melihat kesungguhan dan motivasi beliau ketika berkempen selain keikhlasannya untuk membantu golongan muda di kawasan berkenaan.

    “Saya tengok apa pun posisi beliau di GIATMARA dan sebagainya kita boleh nampak dia sentiasa lakukan yang terbaik. Dia akan cuba cari juga penyelesaian kepada satu-satu masalah walaupun ada yang kata tidak.

    “Walaupun sebelum ini Cikgu Lan pernah kalah dalam Pilihan Raya Negeri, namun dia tetap bekerjasama dengan parti-parti lain untuk menyelesaikan masalah-masalah rakyat.