Category: Politik

  • PAU patut bincang agenda rakyat bukan desakan ‘luaskan kuasamu’

    PAU patut bincang agenda rakyat bukan desakan ‘luaskan kuasamu’

    PERHIMPUNAN  Agung UMNO (PAU) yang bermula hari ini memberi pilihan kepada perwakilan sama ada mereka mahu ia menjadi medan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 atau gelanggang bagi memperkukuhkan perjuangan parti itu membela nasib rakyat.

    Mereka tidak boleh terbuai dengan cerita-cerita indah berikutan kemenangan dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Melaka dan Johor sehingga merasakan inilah masa terbaik untuk mengadakan PRU-15. Kemenangan di negeri itu bukan bermakna Barisan Nasional (BN) dan UMNO sudah kembali diterima oleh rakyat.

    Dengan peratusan keluar mengundi yang rendah, ia bukan ukuran sebenar kekuatan BN dan tahap sokongan rakyat. PRU tidak sama dengan PRN. Semasa PRN, seluruh jentera parti tertumpu di negeri terlibat, segala masalah dalaman dapat ditangani kerana pemimpin pusat ada masa turun ke kawasan bermasalah…tetapi apabila PRU diadakan, masing-masing dengan urusan sendiri.

    Beberapa sumber dalaman UMNO memberitahu penulis, jika PRU diadakan belum tentu BN/UMNO boleh mencapai kejayaan bergaya seperti mana di Melaka dan Johor. Mereka amat memahami sejauh mana keterbatasan jentera di peringkat akar umbi untuk bergerak tanpa bantuan jentera luar, mereka juga mengetahui bagaimana di bahagian-bahagian terdapat konflik ibarat ‘gunung berapi yang tunggu masa untuk memuntahkan Lavanya’.

    Justeru pemimpin dan perwakilan UMNO tidak seharusnya begitu yakin apatah lagi angkuh untuk mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15. Pentas PAU bukan gelanggang untuk mengatur agenda memperkukuhkan kuasa atau ‘luaskan kuasamu’, sebaliknya ia harus membincangkan agenda melibatkan kepentingan rakyat.

    Walaupun UMNO menang dua PRN itu tidak bermakna, rakyat sudah menerima BN. Kemenangan BN adalah atas nasib kerana majoriti rakyat semakin muak dengan politik  dan parti-parti lawan sedang berhadapan dengan masalah. Ia sama seperti mana Leicester menjadi juara EPL pada 2016. Ketika itu semua kelab-kelab besar sedang berhadapan dengan masalah prestasi dan pengurusan.

    Maksudnya, UMNO dan BN tidaklah kuat serta bukanlah mendapat sokongan majoriti rakyat. Tetapi mereka bernasib baik dan bijak mengambil kesempatan untuk menunjukkan parti itu sudah diterima oleh rakyat.

    Dalam pertemuan penulis dengan beberapa pihak ketika PRN Johor, kesemua mereka mengakui, sebenarnya UMNO/BN tidak kuat tetapi lawan mereka yang lemah. Malah mereka juga mengakui kemenangan BN di negeri itu bukanlah jaminan bahawa PRU-15, parti tersebut akan menang besar.

    Perwakilan PAU yang sering digembar-gemburkan suara akar umbi UMNO perlu memikirkan dengan semasak-masaknya sebelum mengikut rentak beberapa kerat pemimpin parti itu yang begitu teruja mahu mengadakan PRU-15 selepas kemenangan di Johor.

    Betul seperti mana kata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, kenapa perlu memberi peluang kepada parti lawan menyusun barisan dan mengumpul kekuatan tetapi adakah UMNO benar-benar bersedia? Cukupkah dana? Mantapkah jentera? Khabarnya di PRN Johor pun…hampir terkapai-kapai kelemasan kerana pelbagai masalah termasuk dana.

    Soal bila PRU-15 biarlah, Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tentukan. Itu hak mutlak beliau untuk menentukan bila waktu sesuai memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen. Ismail Sabri harus melihat banyak faktor khususnya melibatkan rakyat bukannya tunduk dengan ‘nafsu politik’ sesetengah pemimpin dalam UMNO.

    Lagipun Ismail Sabri sudah membuat MoU dengan parti-parti lain termasuk dengan sekutu dalam kerajaan bahawa jika mahu membubarkan Parlimen ia mesti dibincangkan terlebih dahulu. Tak kanlah Ismail Sabri mahu memungkiri janji. Setakat ini Perdana Menteri masih berpegang kepada janji tersebut.

    Cuma apa yang menjadi persoalan sejauh manakah beliau bersedia berhadapan dengan tekanan daripada parti beliau sendiri iaitu UMNO. Bagaimanapun Ismail Sabri perlu faham beliau bukan sekadar Naib Presiden UMNO tetapi Perdana Menteri yang kuasanya amat luas sekali.

    Justeru itulah ramai mahu melihat Ismail Sabri menggunakan kuasa itu demi kepentingan rakyat dan negara, bukannya kehendak politik UMNO. Soal kestabilan hanyalah ungkapan atau slogan politik pemimpin-pemimpin tertentu dalam UMNO yang masing-masing mempunyai agenda tersendiri.

  • Segerakan PRU-15, momentum apa lagi BN  tunggu – Tok Mat Hasan

    Segerakan PRU-15, momentum apa lagi BN  tunggu – Tok Mat Hasan

    DATUK Seri Mohamad Hasan malam ini bagaikan ‘membuka tirai’ untuk Perhimpunan Agung UMNO mendesak supaya diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila menggariskan faktor kenapa parti itu perlu membuat pendirian supaya ia disegerakan.

    Timbalan Presiden UMNO itu berkata,  memenangi pilihan raya dan menguasai kerajaan bermakna merancang agar PRU diadakan pada masa dan waktu yang tepat.

    ‘’PRN di Melaka, Sarawak dan Johor memberi beberapa petunjuk penting. Bahawa masanya sekarang dan bukan tahun hadapan,’’ katanya merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Kuala Lumpur.

    Dalam teks ucapan yang mengandungi 211 para itu, Mohamad menggariskan faktor tersebut iaitu pertama, kerana pihak lawan ternyata sangat lemah.

    ‘’PKR kalah semua kerusi yang mereka tandingi di Melaka, Sarawak dan memenangi hanya satu kerusi Johor. DAP kehilangan banyak kerusi di Melaka dan kalah hampir semua kerusi ditandingi di Sarawak. Di Johor pula, mereka hanya memenangi 10 kerusi dari 14.

    ‘’PN pula dalam semua PRN lepas, hanya bergantung kepada jentera Pas dan tidak menjadi pesaing yang handal lagi digeruni. Di Johor, PN telah kita jinakkan dengan hanya menang tiga kerusi. Manfaatkan segala peluang dan ruang atas kelemahan musuh kita ini. Menyerang sewaktu mereka benar-benar lemah. ‘Strike while your enemy is weak, strike while the iron is hot’! Dengan izin.

    ‘’Itu falsafah peperangan. Melengahkan PRU akan membuka potensi kebangkitan pembangkang.,’’ katanya sambil menegaskan UMNO jangan mengulangi langkah sumbang PRU 14.

    Faktor kedua kata beliau, umum mengetahui persefahaman politik pembangkang adalah sangat bercelaru.

    ‘’Semua berlumba dengan cita-cita sendiri. Bagai enau dalam belukar, melepas pucuk masing-masing. Semua ghairah bertanding tanpa mengukur keupayaan sebenar. Ada yang tidak punya ‘struktur’. Hanya berpaut pada seorang dua personaliti, itu pun tanpa pengalaman. Tanpa kesatuan, mereka tidak boleh mengalahkan BN,’’ katanya.

    Beliau berkata,  ketidaksepaduan pembangkang adalah ‘strategik kepada UMNO’ dan inilah masanya UMNO pantas memintas saat pembangkang berpecah dan bertelagah.

    ‘’Ketiga, pelbagai pilihanraya semasa pandemik telah berlangsung dengan berjaya dan teratur. Maka tiada alasan untuk kita melengahkan PRU ke 15. Malah menganjurkan PRU sewaktu pandemik adalah pilihan terbaik. Semuanya dilaksanakan dengan disiplin dan ketertiban seperti di Melaka, Sarawak dan Johor,’’ katanya.

    Mohamad seterusnya berkata, faktor keempat ialah prestasi parti itu sebagai kerajaan sangat bergantung kepada pelbagai faktor dalam dan luaran.

    ‘’Dengan memuncaknya krisis Ukraine dan Russia, tergugatnya ‘Europe security order’, ketidakpastian tentang kemungkinan adanya ancaman pandemik baru, ketegangan hubungan USA dan China serta pembukaan perlahan sempadan sehingga menjejaskan ‘global supply chain’, prestasi ekonomi Malaysia sangat terdedah kepada semua kegawatan dampak semua ini.

    ‘’ Harga barang juga semakin naik mendadak, tidak terkawal dan tidak masuk akal. Kemarahan rakyat membuak-buak. Semakin lama dibiarkan, semakin ramai yang akan mengkambinghitamkan UMNO dan BN. Semua ini akan menjadi peluru politik PH untuk menembak Kerajaan dan UMNO akan menerima tempiasnya,’’ tegasnya.

    Kerana itu, tegas beliau adalah sangat berisiko untuk melengahkan PRU dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu akibat pelbagai faktor dalaman dan antarabangsa.

    Beliau berkata, faktor terakhir ialah  BN mesti mengembalikan semula mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang sah.

    ‘’UMNO adalah ‘the custodian of democracy’ di negara ini. Bukan sekadar pemain politik biasa. Kita yang membidani, menyubur dan melestarikan demokrasi di tanahair ini. Jangan terus berdolak dalih. Malaysia tidak pernah ditadbir oleh Kerajaan yang tidak terbentuk melalui pilihan raya yang demokratik.

    ‘’Keabsahan Kerajaan sekarang terus dipersoal. Kita tidak menang dalam PRU lepas. Kita hanya menguasai Kerajaan melalui percaturan politik. Sampai bila kita mahu terus bergantung dengan CSA dan MOU untuk mengurus kestabilan negara ini?  Sejak bila, kelangsungan serta keabsahan kita sebagai pemerintah, bergantung pada ihsan dan simpati parti lain? Sampai bila?,’’ soal beliau.

    Beliau berkata, negara  berkehendakkan kerajaan dengan parti yang terkuat, yang tanpanya, sebuah kerajaan yang stabil tidak boleh dibentuk.

    ‘’Mengambil kira semua ini, UMNO harus mengambil pendirian tentang kewajaran menyegerakan PRU ke 15. Saya maklum, ada dalam kalangan kita yang membantah cadangan ini. Akan tetapi, apakah jaminannya bahawa keadaan akan lebih memihak kepada BN jika kita terus menangguhkan PRU?

    ‘’Adakah alasan menolak PRU sekarang, berdasarkan satu penilaian risiko ‘risk analysi’ yang teliti dan mendalam? Atau sekadar mengikut kata hati dan bisikan emosi? Apakah dengan menangguhkan PRU, BN akan berada dalam keadaan yang lebih selesa untuk menang? Dan jika demikian, apakah rumus untuk perkara sedemikian berlaku?

    ‘’Momentum apa lagi yang BN perlu tunggu untuk menghadapi pilihan raya apabila ‘the feel-good feeling’ terhadap Kerajaan waktu ini sudah mula beransur pudar? Apakah jaminan bahawa CSA dan MOU yang kita meterai sekarang ini akan terus bertahan dalam keadaan politik yang sangat dinamik ini,’’ kata sambil meminta perwakilan memikirkan perkara tersebut.

  • Tuduhan Mohd. Khairuddin terhadap Pas, Abdul Hadi tidak betul

    Tuduhan Mohd. Khairuddin terhadap Pas, Abdul Hadi tidak betul

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DAKWAAN Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali yang menuduh Tan Sri Abdul Hadi Awang menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) tanpa mengikut lunas Perlembagaan parti, sama sekalI tidak benar.

    Malah menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, dakwaan Mohd. Khairuddin kononnya Abdul Hadi dipengaruhi oleh dua atau tiga individu saja untuk mendatangani penubuhan PN juga tidak betul.

    Sebagai salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa Harian Pas Pusat katanya, beliau tahu bahawa kedua-dua dakwaan Mohd. Khairuddin itu adalah salah.

    “Kalau ikut kenyataan Mohd. Khairuddin, seolah-olah Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan ikut proses yang betul manakala PN ditubuhkan melalui proses tidak betul.

    “Proses dalam parti ini ada banyak hierarki dan peringkat. Apabila kita nak tubuhkan MN dan nak berkawan balik dengan UMNO yang berkelahi selama 70 tahun, tentulah ambil proses yang panjang bagi memperbetulkan persepsi, hendak mengubat semula kudis, luka dan sebagaiya.

    “Tetapi nak tubuhkan Perikatan Nasional (PN) pula senang saja. Nak daftarkan PN, sebenarnya semua orang dah setuju, malah ketika Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijemput menyertai MN pun, ada surat kepada mereka dan Bersatu dah menyatakan persetujuan melalui surat rasmi. Tetapi UMNO pula yang tak mahu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) negeri di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Menerusi satu temu bual di siaran Bernama TV semalam, Mohd. Khairuddin mendakwa penubuhan PN tidak mengikut prosedur sepatutnya berbanding penubuhan MN.

    Menurut bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama itu, penubuhan MN melalui proses panjang, dimulakan dengan kertas kerja oleh Jawatankuasa Pas Pusat, dibawa ke Majlis Syura Ulama untuk diluluskan dan dibawa ke Muktamar Pas 2018 dan 2019.

    Kertas kerja itu kata Mohd. Khairuddin, akhirnya dipersetujukan dengan draf MN kemudiannya dibawa kembali ke Jawatankuasa Pas Pusat, dibetulkan ke Majlis Syura, sebelum ditandatangani di depan ahli Pas dan UMNO pada 14 September 2019.

    Bagaimanapun menurut Mohd. Khairuddin, penubuhan PN pula langsung tidak mengikut lunas parti kerana ia hanya dibuat melalui tandatangan Presiden dengan nasihat dua, tiga orang saja tanpa dibawa ke Dewan Harian Pas serta Majlis Syura.

    Muhammad Sanusi menambah, Mohd. Khairuddin perlu faham mengenai kuasa Presiden yang diperuntukkan Perlembagaan dan kuasa Presiden sebagai khalifah yang memimpin jemaah Pas.

    “Tak semua orang boleh faham disiplin dalam Pas. Tak semua orang ada ijazah doktor falsafah (PhD) faham perkara itu tetapi ramai juga orang di Sik yang belajar huruf jawi saja tetapi kekal dengan Pas sampai mati,” katanya.

  • ‘’Khairuddin keluar Pas…itu dia punya pasal’’ – Ahmad Samsuri

    ‘’Khairuddin keluar Pas…itu dia punya pasal’’ – Ahmad Samsuri

    PAS menganggap tindakan Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali meninggalkan parti itu mulai kelmarin sebagai hak peribadi ahli parlimen Kuala Nerus berkenaan.

    Naib Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata oleh itu parti tidak akan berusaha memujuk bekas setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkenaan.

    “Itu dia punya pasal, itu hak dia dalam negara demokrasi. Setahu saya kita tidak ada apa-apa usaha (memujuk Khairuddin),” katanya pada sidang media di Kuala Terengganu hari ini,lapor Malaysiakini.

    Ahmad Samsuri berkata, Pas akan mengadakan mesyuarat pada Sabtu ini dan isu Khairuddin mungkin menjadi satu daripada banyak agenda yang akan dibincangkan.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Khairuddin yang keluar daripada menjadi ahli Pas kelmarin dalam tindakan yang dilihat sebagai protesnya terhadap kepemimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

    Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan,  Ladang dan Komoditi mengemukakan permohonan berhenti sebagai ahli Pas kepada Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau juga mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen bebas.

    Ahmad Samsuri berkata, Pas bukanlah tidak kisah dengan langkah diambil Khairuddin namun menganggap ia adalah pilihan masing-masing.

    “Bukan tak kisah tetapi oleh kerana pilihan masing-masing kita tiada konsep paksaan.

    “Kalau dia tak mahu bersama (Pas) dan (atas) apa jua alasan terserah masing-masinglah. Tidak ada apa-apa masalah dengan kedudukan yang ada sekarang.

    “Dalam parti semua penting, pemimpin dan ahli di bawah pun penting,” katanya yang juga menteri besar Terengganu.

  • Keputusan Pas tak bubarkan DUN awal cukup relevan

    Keputusan Pas tak bubarkan DUN awal cukup relevan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPUTUSAN Pas untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri sehingga habis penggal tahun depan, cukup relevan bagi membolehkan semua pihak memiliki masa mencukupi untuk melaksanakan tugas masing-masing demi kesejahteraan rakyat.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau malah yakin akan terdapat beberapa negeri lagi selepas ini yang bakal mengikuti jejak Kelantan, Kedah dan Terengganu yang dipimpin Pas.

    “Keputusan ini sebenarnya sangat relevan kerana kita ada masa untuk buat kerja dan tak kalut dengan pilihan raya.

    “Tak payah serabut nak menghadap pilihan raya secara tiba-tiba sebaliknya tunggu hingga habis penggal dan bubar,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berakhir Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam memaklumkan keputusan parti itu untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasainya sehingga habis penggal, tahun depan.

    Menurut Abdul Hadi, pendirian itu muktamad bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

    Muhammad Sanusi menambah, bagi mengelakkan proses pengundian DUN dan Parlimen dijalankan secara berasingan hingga mendatangkan kesan kepada kos penganjuran pilihan raya, semua pihak diminta untuk memastikan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) turut diadakan selepas penggal berakhir.

    “Tak perlu pun adakan PRU awal sebaliknya tunggulah hingga habis penggal. Saya cadangkan PRU pun ikut hingga habis penggal, tak salah pun.

    “Yang nak buat PRU awal itu sebanyar menjadi masalah. Sebab apa kalut nak adakan awal? Tentulah kerana ada udang di sebalik mi,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut menafikan dakwaan kononnya Pas takut kalah sekiranya DUN dibubarkan awal.

    “Apa pula nak takut kalah? Kitakan berlawan dan kami pun bukannya tak biasa kalah.

    “Lama dah kami kalah jadi buat apa nak takut? Kita lawanlah dulu,” katanya.

  • Selangor tidak berhasrat bubar DUN jika PRU-15 diadakan – MB

    Selangor tidak berhasrat bubar DUN jika PRU-15 diadakan – MB

    KERAJAAN Selangor tidak berhasrat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan dalam masa terdekat, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

    “Hasil perbincangan saya dengan beberapa rakan Menteri Besar Pakatan Harapan (PH), kami sepakat adalah lebih baik dan berkesan jika pentadbiran ini diselesaikan sehingga penggal berakhir iaitu antara April dan Mei tahun hadapan.

    “Bagaimanapun perkara itu masih bergantung kepada perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini. 

    Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata ini kerana selepas dua tahun negeri itu menempuh jangkitan wabak COVID-19, banyak perancangan dan projek kerajaan negeri terpaksa mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

    Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Negeri Sembilan hanya akan membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir tahun depan dan perkara itu sudah dibincangkan bersama lima negeri lain ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

    Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 menyaksikan Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor dimenangi PH manakala PAS membentuk kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    Semalam Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang turut mengeluarkan kenyataan bahawa DUN ketiga-tiga negeri di bawah pimpinan parti itu tidak akan dibubar sehingga tamat tempohnya.

    — BERNAMA

  • MoF akan perincikan pengeluaran KWSP dalam masa terdekat

    MoF akan perincikan pengeluaran KWSP dalam masa terdekat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Kewangan (MoF) akan memberikan perincian berkenaan pengeluaran khas simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 yang diumumkan Perdana Menteri hari ini.

    Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perincian tersebut akan diberikan dalam masa terdekat.

    “Saya ingin memaklumkan bahawa butir-butir mengenai pengeluaran tersebut akan diperincikan oleh KWSP dalam masa terdekat.

    “KWSP juga akan mengumumkan langkah-langkah perlu bagi menangani isu dana persaraan ahli-ahli KWSP yang telah berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Hari ini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju meluluskan pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000.

    Ismail Sabri berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP akan akan dibuat MoF dan KWSP.

    “Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan,” kata Perdana Menteri.

  • Syed Hamid tegur pemimpin UMNO

    Syed Hamid tegur pemimpin UMNO

    VETERAN politik, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar mendapat penghormatan daripada UMNO meskipun beliau hanya memegang jawatan Naib Presiden.

    Beliau mengemukakan pandangan tersebut sebagai teguran kepada pemimpin-pemimpin UMNO terhadap Perdana Menteri.

    “Saya ingin menegur pemimpin-pemimpin UMNO tentang layanan kepada Ismail Sabri.

    “Beliau adalah ketua kerajaan Malaysia walaupun dalam parti hanya Naib Presiden UMNO.

    “Justeru perlu diberi kehormatan dan tempat yang sewajarnya. Satu pandangan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Pandangan itu dipercayai susulan penularan video menunjukkan barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) meraikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

    Dalam klip video berkenaan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat menarik tangan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pada asalnya berada pada kedudukan agak terlindung untuk berada di tengah.

    Tindakan itu menyebabkan Ismail Sabri yang pada awalnya jelas berada di tengah-tengah barisan dilihat terpaksa berganjak sedikit ke belakang dan agak terlindung.

  • PM umum kerajaan benarkan pengeluaran KWSP RM10,000

    PM umum kerajaan benarkan pengeluaran KWSP RM10,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

    Perdana Menteri berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP akan akan dibuat Kementerian Kewangan dan KWSP.

    “Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

    “Walaupun kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

    “Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan,” katanya yang mengumumkan perkara tersebut hari ini.

    Katannya, kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

    Beliau berkata, berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan daripada segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

    “Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP,” katanya.

  • Onn Hafiz mulakan tugas rasmi sebagai MB Johor

    Onn Hafiz mulakan tugas rasmi sebagai MB Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATUK Onn Hafiz Ghazi memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Menteri Besar Johor yang bahru di Pejabat Menteri Besar, Kota Iskandar, Iskandar Puteri pagi ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu tiba di Bangunan Dato Jaafar Muhammad pada pukul 10 pagi dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

    Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salehuddin Hassan.

    Upacara ringkas kemudian dimulakan dengan bacaan doa diikuti dengan sesi bergambar bersama ketua-ketua jabatan negeri.

    Beliau kemudian menandatangani perakuan memulakan tugas rasminya di pejabat Menteri Besar.

    Semalam, cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar itu dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.

    Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, semalam.

    Sebelum ini, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu, Onn Hafiz berjaya memenangi kerusi DUN Machap dengan majoriti 6,543 undi.

    Beliau menggantikan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.