Category: Politik

  • Mahdzir dakwa kenyataan Tok Mat tidak tepat

    Mahdzir dakwa kenyataan Tok Mat tidak tepat

    MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa prestasi menteri UMNO tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan sebagai tidak tepat.

    Naib Presiden UMNO itu berkata, semua menteri UMNO sudah melakukan yang terbaik terutama dalam membantu rakyat ketika berhadapan pandemik Covid-19.

    “Saya fikir kenyataan Tok Mat itu sendiri tidak tepat. Beliau tidak boleh ambil dari sudut orang yang di luar (daripada kerajaan).

    “Kita tahu apa yang kita buat dan kita berusaha sedaya-upaya supaya yang penting adalah untuk rakyat terutama ketika Covid-19 dan kita tahu macam mana nak tolong rakyat dalam pemulihan ekonomi,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Korporat Kementerian Pembangunan Luar Bandar bersempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap menteri tahu tanggungjawab dan tugas di setiap kementerian mereka.

    “Saya sebagai Menteri Luar Bandar, kita tahu apa naratif kita. Apa yang penting adalah perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengharapkan setiap pihak tidak menimbulkan sebarang polemik berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Perkara berkaitan pilihan raya ini adalah perkara yang besar. Hak pembubaran adalah hak Yang di-Pertuan Agong.

    “Semua pihak mesti menghormati sistem beraja. Perdana Menteri boleh berbincang dengan kepimpinan UMNO tarikh sesuai untuk adakan pilihan raya.

    “Jika dah bersetuju barulah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jadi, jangan timbulkan polemik,” katanya.

  • Permohonan naik tarif air Pulau Pinang tidak wajar

    Permohonan naik tarif air Pulau Pinang tidak wajar

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang menyifatkan cadangan menaikan tarif air di negeri itu buat masa ini adalah tidak wajar ketika ekonomi negeri dan majoriti penduduknya masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

    Sehubungan itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berharap Kerajaan Pusat khususnya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menolak permohonan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk menaikan tarif air tersebut.

    Menurut beliau, tarif air di Pulau Pinang juga telah dinaikkan banyak kali sejak DAP menjadi kerajaan negeri iaitu sepanjang 14 tahun lepas.

    “Ekonomi Pulau Pinang masih belum pulih dan rakyat masih berdepan dengan impak ekonomi akibat pandemik Covid-19.

    “Tetapi kerajaan negeri pula ingin menaikkan tarif air, adakah mereka ingin melihat rakyat terus hidup dengan sengsara?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Tong Keong yag juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat, semua pihak ketika ini harus memberi tumpuan dalam memacu pembangunan ekonomi Pulau Pinang dan menambah baik serta meningkatkan kehidupan rakyat, bukannya membebankan dan memburukkan lagi keadaan yang dihadapi mereka.

    Tegas beliau, PBAPP tidak seharusnya membuat cadangan itu dalam tempoh ketika ini kerana kehidupan rakyat masih terkesan akibat Covid-19.

    “PBAPP boleh mengemukakan cadangan kenaikan tarif air pada masa yang sesuai, tetapi bukan sekarang!”, katanya.

    Ekoran itu juga, Tong Keong menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP memandang serius tekanan kewangan yang bakal dihadapi rakyat akibat kenaikan tarif air tersebut sekiranya dilaksanakan kelak.

    Dalam masa sama, beliau menyeru penduduk Pulau Pinang tidak lagi memberi sokongan dan mandat kepada DAP sekiranya kerajaan negeri berkeras mahu menaikkan tarif air itu.

    “Parti Gerakan tetap berpendirian mana-mana institusi pun perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan kenaikan tarif air buat masa ini hanya akan membebankan rakyat sekali gus merupakan keputusan yang tidak wajar,” katanya.

    Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa dilaporkan akan memohon semakan tarif air di Pulau Pinang pada tahun ini untuk meningkatkan dana bagi pelaksanaan projek Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030).

    Menurut Jaseni, permohonan PBAPP itu akan dikemukakan kepada SPAN namun tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.

  • Khairuddin keluar Pas tak perlu kelulusan – Takiyuddin

    Khairuddin keluar Pas tak perlu kelulusan – Takiyuddin

    SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, permohonan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali untuk keluar parti tidak memerlukan kelulusan mana-mana pihak.

    Ini kerana, katanya keputusan itu dibuat sendiri oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus berkenaan untuk keluar parti.

    Takiyuddin mengesahkan menerima surat berkenaan pada jam 2.10 petang di bangunan Parlimen.

    “Dalam Pas, ada tiga kaedah seseorang ahli dipanggil berhenti menjadi ahli, yang pertama atas permintaannya sendiri, kedua seseorang itu dipecat berdasarkan tindakan tatatertib dan ketiga apabila seseorang ahli itu menyertai parti lain.

    “Saya hendak tegaskan dalam Pas ini tiada ahli sementara atau ahli tetap. Jika dia (Mohd. Khairuddin) berhenti menjadi ahli Pas, dia tidak lagi menjadi ahli Pas.

    “Permohonan seseorang ahli Pas untuk berhenti menjadi ahli tidak memerlukan kepada kelulusan mana-mana pihak, jadi apabila dia minta, dia akan dapat dan tidak perlu ada jawatankuasa untuk terima atau tolak,” katanya selepas Program Ceria Ke Sekolah Peringkat Parlimen Kota Bharu di pejabatnya, di Kelantan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, sekiranya selepas ini Mohd. Khairuddin hendak menjadi ahli Pas, dia perlu memohon semula.

    Beliau berkata, ia juga bergantung kepada keputusan parti sama ada hendak terima atau tidak permohonan kerana ia terlebih dulu akan dimasukkan ke Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat.

    “Hak seseorang yang keluar Pas jika mahu memohon semula, tetapi yang mahu melulus atau tidak bergantung kepada parti,” katanya. 

    Ketika ditanya Pas kehilangan satu kerusi Parlimen susulan tindakan Mohd. Khairuddin yang keluar parti, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, itu hakikat yang perlu diterima Pas.

    Beliau berkata, ia juga bukan kali pertama Pas hilang kerusi kerana pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Pas juga hilang kerusi selepas Ahli Parlimen parti itu menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

    “Itu biasa (hilang kerusi) kerana parti lain juga mengalami perkara sama. Malah, Pas juga pernah ada satu kerusi saja dalam Parlimen dan sekarang kita masih ada 17 kerusi lagi. Bersama dengan Perikatan Nasional (PN) kita ada 49 kerusi,” katanya.

    Sementara itu, ditanya berkenaan tindakan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu memilih berhenti daripada Pas bagi terus menegur kepimpinan parti, Takiyuddin berkata, perlembagaan Pas dalam Fasal 16 dengan jelas menyatakan setiap ahli berhak memberikan pendapat dan pandangan kepada parti.

    “Adalah amat tidak benar seorang ahli Pas, apatah lagi Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, pimpinan tertinggi mengatakan dia tidak boleh memberikan pandangan kepada parti.

    “Dalam perlembagaan Pas menjamin hak ahlinya memberi pandangan dan pendapat mengenai parti. Cuma isunya jika kita tidak hadir mesyuarat, macam mana hendak bagi pandangan, jika kita hadir ke mesyuarat tidak bercakap, macam mana kita boleh kata tidak diberi ruang untuk beri pendapat.

    “Ahli pimpinan Pas Pusat ini adalah orang yang berkaliber, berpandangan jauh dan sebagainya. Jika dia kata tidak dapat peluang beri pandangan, itu satu pembohongan yang besar,” katanya.

  • EXCO Johor bakal dilantik perlu isytihar harta:Sultan Johor

    EXCO Johor bakal dilantik perlu isytihar harta:Sultan Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya calon-calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta.

    Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di Johor Bahru, semalam.

    “Mereka (bakal calon Exco) perlu juga melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jangan kecil hati. Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.

    Pertemuan bersama-sama Sultan Johor itu berlangsung selama hampir sejam dan baginda turut bertitah supaya kelayakan akademik setiap calon-calon juga disemak kesahihannya dengan teliti.

    “Pilihan raya sudah pun habis. Kini tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor.

    “Saya pegang kata-kata Datuk Seri Hasni Mohammad, tiada ideologi ahli politik dan parti yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim,” titah baginda.

    Sultan Johor bertitah supaya sentiasa mengutamakan nasib rakyat, begitu juga wakil rakyat yang dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada rakyat.

    “Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan.

    “Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat. Jangan termakan budi.

    “Di peringkat awal ini, Datuk Onn juga perlu bekerjasama dengan Datuk Seri Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat,” titah baginda.

  • Situasi PRN Johor berulang dalam PRU-15 jika pembangkang terus berpecah

    Situasi PRN Johor berulang dalam PRU-15 jika pembangkang terus berpecah

    KEADAAN yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) dijangka berulang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika diadakan dalam masa terdekat.

    Menurut Pengerusi Parti Amanah Nasional (Amanah) Selangor, Ir. Izham Hashim, ini kerana perpecahan dalam kalangan parti pembangkang ketika ini sudah tentu akan memberi kelebihan kepada BN.

    “Situasi yang berlaku dalam PRN baru-baru ini sebenarnya tidak memperlihatkan kekuatan sebenar BN, namun kegagalan parti-parti pembangkang untuk bersatu telah mempengaruhi kemenangan BN sehingga memperoleh majoriti dua pertiga di Johor.

    “Ya, situasi yang sama akan berlaku jika PRU-15 diadakan dalam masa terdekat. Sebenarnya undi popular BN (pada PRN Johor) tidak bertambah banyak, hanya kegagalan pembangkang ialah terlalu berpecah.

    “Semua (parti pembangkang) nak bawa parti baharu dan jika kaedah ini berterusan tentulah yang untung BN dan nasihat saya supaya parti-parti pembangkang bersatu padu menghadapi BN (pada PRU15),” katanya memetik Sinar Harian hari ini.

    PRN Johor pada Sabru lalu menyaksikan cubaan 85 calon menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya itu pulang dengan ‘tangan kosong’ selepas kehilangan deposit.

    Ini termasuk calon tiga parti baharu yang membuat langkah sulung iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mempertaruhkan 42 calon, Parti Bangsa Malaysia (PBM) (empat) dan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) (satu).

    Mengulas lanjut, Izham tidak menolak kemungkinan calon-calon daripada parti baharu juga akan kehilangan deposit dalam saingan dengan calon sudah lama bertapak di Selangor sekiranya PRN negeri itu diadakan.

    “Parti-parti baharu agak sukar di Selangor kerana mereka tidak ada ‘power base’ dan ‘grass roots’ di sini namun Pakatan Harapan (PH) sedia bekerjasama untuk menjatuhkan BN di peringkat pusat,” katanya.

  • Keputusan mahu PRU-15 mesti dibuat secara berhemah – Noraini

    Keputusan mahu PRU-15 mesti dibuat secara berhemah – Noraini

    SEBARANG tindakan dan keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu dibuat secara berhemah, matang dan bijaksana.

    Pada masa sama, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berpendapat kesepakatan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dengan pembangkang juga perlu diambil kira.

    Kata beliau, ini kerana keabsahan MoU tersebut berlanjutan sehingga 31 Julai depan.

    “Kita harus sedar bahawa rakyat sedang melihat dan memerhati kita. Justeru, sebarang tindakan dan keputusan kita hendaklah dibuat secara berhemah, matang dan bijaksana.

    “Wanita UMNO percaya bahawa Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan membuat keputusan terbaik dalam mencadangkan masa yang tepat dan sesuai kepada Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

    “Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa Wanita UMNO sentiasa bersedia pada bila-bila masa,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2021, hari ini.

    Mengulas lanjut, Noraini turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

    Menurut beliau, pandemik yang melanda negara sejak dua tahun lalu masih memberi kesan mendalam kepada kehidupan seharian termasuk golongan wanita.

    Noraini berkata, langkah dilakukan Perdana Menteri itu pastinya memberi rahmat dan kelegaan besar kepada rakyat yang sedang berusaha memulihkan kehidupan.

    “Slogan membawa kestabilan politik mungkin relevan pada masa kini namun rakyat akan melihat apa kebaikan dan kemajuan yang akan kita laksanakan dalam membawa negara ini ke hadapan.

    “Terima kasih kepada Perdana Menteri yang begitu prihatin dengan keresahan hidup rakyat dengan membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000,” jelas beliau.

  • Rafizi sepatutnya terus lawan Anwar – Guan Eng

    Rafizi sepatutnya terus lawan Anwar – Guan Eng

    BEKAS Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sepatutnya bertanding melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mensasarkan jawatan Presiden dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bakal ditandingi beliau.

    Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Rafizi sepatutnya mensasarkan jawatan tertinggi dalam PKR bukannya sekadar jawatan Timbalan Presiden PKR.

    Guan Eng, menurut laporan Malaysiakini memberikan cadangan itu bagi membalas kritikan kononnya Pakatan Harapan (PH) sedang menimbang untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

    Berhubung kritikan Rafizi tersebut, Guan Eng menyifatkan ia sebenarnya ditujukan kepada Anwar dan Rafizi dilihat menggunakannya sebagai bahan kempennya dalam pemilihan PKR dalam masa terdekat nanti.

    “Saya malah keluarkan kenyataan sebelum dia (Rafizi) keluar (kenyataan) – saya mengatakan tidak kepada PN. Di mana isunya? Saya rasa yang ini pada dasarnya ditujukan kepada Anwar kerana dia menyebut bukan sahaja PH tetapi PKR (juga). Jadi, dari situ jelaslah kalau ada sebarang rundingan, mereka (PN) akan berbincang dengan Anwar.

    “Mereka tidak akan (bercakap) dengan kami. Jika perlu, anda minta kami (Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu) untuk sertai (perbincangan) tetapi pada asasnya, Anwar akan menjadi orang utama untuk ditemui. Jadi, sasaran dia (Rafizi) ialah Anwar. Saya fikir kerana ini adalah untuk kempennya bagi jawatan timbalan presiden, saya tidak mahu masuk campur. Mungkin, berbanding jawatan timbalan presiden, dia patut terus bertanding untuk jawatan presiden,” katanya.

    Guan Eng juga menjelaskan, Rafizi sebenarnya tersilap fakta berhubung dakwaan PH mahu bekerjasama dengan PN bagi melawan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

    Tambahnya lagi, sejak kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac, tidak ada mana-mana pemimpin utama PH yang mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan sebarang bentuk kerjasama.

    “Di pihak DAP, seperti yang saya katakan, tidak tidak berbincang dengan PN.

    “Setakat ketika atau selepas PRN Johor, di peringkat tertinggi, Mat Sabu dan saya tidak pernah bertemu Muhyiddin. Saya tak rasa Anwar ada berjumpa Muhyiddin,” terangnya lagi.

    Untuk rekod, Rafizi mengumumkan keputusannya untuk kembali aktif dalam kancah politik dan akan bertanding untuk merebut jawatan timbalan presiden PKR yang kosong sejak Datuk Seri Azmin Ali melepaskan jawatannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa Langkah Sheraton lalu. 

  • Shahrir jangan bawa fahaman tidak baik terhadap Bangsa Johor

    Shahrir jangan bawa fahaman tidak baik terhadap Bangsa Johor

    PEMUDA UMNO Pontian menggesa veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abd Samad segera menghentikan kritikan terhadap Datuk Onn Hafiz Ghazi kerana isu lantikan Menteri Besar Johor dianggap sudah selesai.

    Ketuanya, Mohd. Helmi Buang berkata, keputusan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu adalah muktamad dan jelas seperti yang termaktub di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

    Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru kata beliau, seharusnya menunjukkan teladan yang baik dengan merujuk kepada Perlembagaan UMNO yang menjunjung kedaulatan dan institusi Istana.

    “Bidang kuasa rakyat, ahli politik tidak boleh disamakan dengan bidang kuasa Sultan. Jika rakyat diberi kuasa untuk memilih siapakah wakil rakyat untuk mewakili suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Oleh yang demikian, Sultan juga berhak dan berkuasa untuk melantik Menteri Besar bagi mengetuai kerajaan baginda,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Jelas Mohd Helmi, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad pernah mengeluarkan kenyataan orang muda perlu diberi peluang mentadbir Johor kerana mereka mempunyai idea-idea yang kreatif dan kritis dalam mengatasi isu-isu ekonomi, sosial dan politik.

    “Pertumbuhan ekonomi di Johor perlu dirancakkan oleh idea-idea segar pemimpin yang baharu dan muda, kerana kami golongan muda hari ini adalah pelapis generasi akan datang bagi menerajui pentadbiran negara berjiwa besar memajukan negeri yang kami cintai ini.

    “Tambahan pula, dengan pelantikan dari generasi muda mampu menarik perhatian rakyat khususnya anak muda, dan juga pelbagai peringkat usia di bandar dan luar bandar.

    “Selain daripada itu, pemimpin dari generasi muda juga mampu mendepani serta berhujah dengan pihak pembangkang negeri ini yang rata-rata berusia muda,” katanya.

    Mohd. Helmi berharap agar Shahrir berpijak di bumi yang nyata dan menghayati budaya bersih dan proses pemutihan sedang berlaku untuk memilih ketua yang tergolong daripada dalam golongan muda.

    “UMNO Johor juga tidak pernah lupa sejarah lama di mana beliau pernah keluar dari UMNO kerana perkara yang kita pun tidak pasti, jadi jangan cuba-cuba membawa fahaman yang tidak baik terhadap masyarakat khususnya Bangsa Johor yang penuh dengan adab dan sopan santunnya,” katanya.

  • ”Saya mahu tahu apa yang tidak memuaskan” – Annuar ulas kenyataan Tok Mat Hasan

    ”Saya mahu tahu apa yang tidak memuaskan” – Annuar ulas kenyataan Tok Mat Hasan

    TAN Sri Annuar Musa berkata perwakilan ketiga-tiga sayap boleh menjadikan ucapan perasmian serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden sebagai bahan untuk dibahaskan.

    Merujuk ucapan Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai prestasi UMNO dalam kerajaan tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu menyifatkan ia sebagai pandangan peribadi Timbalan Presiden UMNO.

    “Saya mahu tahu apa yang tidak memuaskan? Berdasarkan apa, fakta apa? Portfolio mana yang dirasakan tidak memuaskan? Itu pandangan Tok Mat (sebagai individu) di luar kerajaan. 

    “Secara peribadi, ada yang saya setuju dan ada yang saya tidak setuju tetapi ia ucapan yang mungkin boleh dijadikan bahan untuk dibahas oleh Wanita, Pemuda dan Puteri dalam persidangan esok,” kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian serentak Perhimpunan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Persidangan Agung UMNO 2021 di Kuala Lumpur malam tadi.

    Mohamad, dalam ucapan perasmiannya, berkata prestasi UMNO dalam kerajaan tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan namun mengakui ada yang mencuba dan melakukan sehabis baik.

    — BERNAMA

  • ‘’Jangan bincang tarikh pilihan raya secara terbuka’’ – Annuar

    ‘’Jangan bincang tarikh pilihan raya secara terbuka’’ – Annuar

    PEMIMPIN kanan UMNO tidak sepatutnya membicarakan mengenai tarikh pilihan raya umum (PRU) secara terbuka, kata Tan Sri Annuar Musa.

    Mengulas ucapan timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan, kata Annuar, membincangkan tarikh pilihan raya secara terbuka “tidak kena pada tempatnya”.

    Malah kata Annuar, ia hanya akan mencetuskan polemik, lebih-lebih lagi hal itu merupakan hak mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya, manakala Perdana Menteri hanya berhak untuk memberi nasihat.

    “Kerana tidak pernah soal tarikh pilihan raya ini dibincang secara terbuka. Seingat sayalah, ini Perhimpunan Agung Umno (PAU) Ke 41 saya hadir, tarikh pilihan raya tidak diputuskan secara terbuka kerana ia satu strategi parti yang sangat penting,” katanya lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian persidangan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.

    Mohamad memberikan ucapan perasmian pada acara tersebut.

    Annuar menegaskan,  apabila dibincang secara terbuka, ia mendahului bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

    ‘’Satu daripadanya (bidang kuasa Agong) ialah menerima atau menolak pembubaran Parlimen. Jadi soal pembubaran parlimen tak boleh dibincangkan di luar konteks perlembagaan negara.

    “Sebab itu pada saya tarikh cepat atau lambat elok dibincangkan pucuk pimpinan secara tertutup dan mengekalkannya sebagai satu strategi parti bukan untuk bercakap secara terbuka,” katanya.

    Antara aspek yang perlu dibincangkan, tambah bekas Setiausaha Agung UMNO itu lagi, ialah baik dan buruk PRU itu disegerakan atau diawalkan.

    ‘’Apa kesan jika cadangan pembubaran parlimen itu tidak diperkenankan oleh Agong. Jadi pada saya tak kena pada tempatnya (untuk PRU dibincang secara terbuka),” katanya.

    Dalam ucapannya, Mohamad antara lain menyatakan sudah tidak ada lagi alasan untuk UMNO melengah-lengahkan PRU, dan turut mempersoalkan kewajaran pendirian sesetengah pemimpin kerajaan yang cenderung untuk menangguhkan pemilihan tersebut.

    Kata Mohamad, UMNO tidak boleh terus bergantung pada perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dan memorandum persefahaman (MOU) dengan pembangkang untuk mengurus kestabilan negara.

    Jika tidak, katanya, ia bererti UMNO bergantung pada ihsan dan simpati parti lain untuk memerintah.

    Mengulas lanjut, Annuar turut menyifatkan ucapan Mohamad sebagai “berat”, dan memandangnya sebagai satu “lontaran peribadi” sebagai seseorang yang “berada di luar kerajaan”.