Category: Politik

  • Negeri PN dicadang guna logo,tema Hari Kebangsaan berbeza – Fadhli

    Negeri PN dicadang guna logo,tema Hari Kebangsaan berbeza – Fadhli

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) akan mencadangkan supaya kerajaan negeri ditadbir komponen itu menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan diperkenalkannya.

    Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari hari ini memperkenalkan logo berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

    Fadhli berkata logo itu bakal digunakan untuk ucapan pimpinan PN sempena Hari Kebangsaan, namun tidak menolak kemungkinan diperluaskan ke peringkat kerajaan negeri ditadbir PN iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

    “Bagi Pemuda PN, kita akan cuba bertemu kerajaan negeri sebab mereka pasti ada persiapan masing-masing. Kalau belum terlewat, kita tidak menolak kemungkinan bertemu kerajaan negeri di bawah PN untuk guna tema dan logo yang sama (untuk sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri),” katanya lapor Berita Harian.

    Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, penggunaan tema dan logo berbeza dengan diperkenalkan oleh Putrajaya boleh diterima rakyat.

    “Rakyat boleh menerima tindakan seperti ini yang dicerminkan PRN lalu, bahawa rakyat menerima langkah politik daripada PN,” katanya.

    Pada Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.

  • Suhaizat,Nazri calon Amanah di PRK Pulai, Simpang Jeram

    Suhaizat,Nazri calon Amanah di PRK Pulai, Simpang Jeram

    BEKAS Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat diumumkan sebagai calon Parti Amanah Negara (Amanah) mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September depan.

    Perkara itu diumumkan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Amanah turut mengumumkan Jurutera Majlis Perbandaran Muar, Nazri Abdul Rahman sebagai calon DUN Simpang Jeram.

    Mohamad memaklumkan, nama kedua-dua calon itu telah dikemukakan Jawatankuasa Pemilihan Calon yang diketuai Naib Presiden Amanah, Adly Zahari.

    “Jawatankuasa ini telah bermesyuarat dan telah mengemukakan senarai calon kepada saya serta Ahli Jawatankuasa Nasional Amanah pada 17 Ogos untuk dimuktamadkan.

    “Setelah mengambil kira semua faktor dan pandangan daripada jawatankuasa ini, saya dengan ini mengumumkan calon-calon yang akan bertanding mewakili Amanah/PH serta parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan. Insya-Allah, calon-calon ini akan diperkenalkan dalam majlis memperingati Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayob pada 23 Ogos ini di DUN Simpang Jeram,” katanya dalam kenyataan itu.

    Suhaizan, 50, merupakan Setiausaha Politik kepada Salahuddin sewaktu Allahyarham menjawat jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

    Naib Pengerusi Amanah Johor itu pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 862 undi.

    Susulan kemenangan PH di Johor pada PRU-14, beliau telah dilantik sebagai Speaker DUN pada Jun 2018.

    Suhaizan turut bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada tahun 2022 di kerusi Pulai Sebatang, namun sekali lagi tewas kepada calon BN. Beliau yang memperoleh 6,148 undi kalah kepada Hasrunizah Hassan dengan majoriti 6,325 undi.

    Dalam pada itu, Nazri, 56, yang telah berkhidmat lebih 30 tahun sebagai Jurutera di Majlis Perbandaran Muar merupakan Timbalan Ketua Amanah Bakri.

    Beliau yang memiliki Sarjana Kejuruteraan Awam Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) turut memegang jawatan Ketua Biro Ekonomi Pusat Khidmat DUN Simpang Jeram.

    Kedua-dua PRK itu dilaksanakan disebabkan kekosongan luar jangka susulan kematian Salahuddin pada 23 Julai lepas.

    Timbalan Presiden Amanah itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, pada usia 61 tahun.

    Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Ogos, sementara pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September.

  • PRN: Kekalahan UMNO bukti kebencian, kemarahan pengundi Melayu – Ismail Sabri

    PRN: Kekalahan UMNO bukti kebencian, kemarahan pengundi Melayu – Ismail Sabri

    KEKALAHAN UMNO dalam PRN minggu lalu menunjukkan kebencian dan kemarahan pengundi Melayu “bertambah marak seperti api membakar jerami”, termasuk dalam kalangan penyokong dan ahli parti.

    Sehubungan itu Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta pucuk pimpinan parti mendengar desakan akar umbi, termasuk melepaskan jawatan bagi memulihkan UMNO susulan kekalahan teruk itu.

    Beliau berkata, untuk memulihkan UMNO, ia memerlukan kepimpinan dinamik dan berkebolehan bagi mengembalikan idealisme perjuangan parti.

    Pada PRN Sabtu lalu, UMNO menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, hanya satu kerusi di Kelantan, tetapi gagal menang sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

    “Lebih membimbangkan trend kemerosotan undi Melayu kepada Umno kini turut merebak ke Negeri Sembilan. Satu-satunya negeri yang tidak terjejas dengan gelombang peralihan undi Melayu dalam PRU15, kini turut menerima tempiasnya.

    “Melihat kepada semua keputusan di atas seolah-olah Umno terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk mencapai kemenangan. Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

    “Jangan membiarkan nasib Umno persis MCA dan Gerakan yang terpaksa berpapah kepada undi Melayu untuk memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya,” tulisnya dalam kolum Utusan Malaysia.

    Bekas perdana menteri itu berkata, pengundi Melayu menolak Umno kerana ia menyimpang daripada idealisme perjuangan asal.

    “Lebih parah kepimpinan Umno memusnahkan Muafakat Nasional yang menjadi harapan umat Melayu terhadap penyatuan ummah. Lebih buruk apabila kepimpinan tertinggi mengheret Umno untuk bersama DAP, malah menggesa jentera bekerja dan mengundi parti itu.”

    Ahli Parlimen Bera itu berkata, Umno memerlukan perubahan drastik dari segi pendekatan, menjual naratif boleh diterima rakyat dan perubahan kepimpinan untuk terus relevan dalam arus politik negara.

    Katanya, Umno juga perlu mengubah cara ia berkempen, di mana jenteranya perlu mendekati pengundi atas pagar dan parti lawan, bukannya “berdakwah” kepada ahli sendiri, selain menguasai media sosial sepenuhnya.

    “Sejarah telah mengajar kita. Lihat kembali bagaimana dan kenapa Umno ditubuhkan 77 tahun lalu. Semoga parti yang saya cintai ini bukan sahaja bangkit, malah kembali memimpin negara.”

  • ”Jika  terus lena dibuai mimpi, satu hari UMNO akan dikuburkan’’ – Ketua Pemuda

    ”Jika  terus lena dibuai mimpi, satu hari UMNO akan dikuburkan’’ – Ketua Pemuda

    UMNO harus mengambil tanggungjawab atas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Sabtu lalu.

    Sehubungan itu Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh mendesak supaya UMNO  segera melakukan perubahan yang boleh meningkatkan keyakinan rakyat khususnya orang Melayu.

    “Apabila Pemuda bersuara, dikatakan Pemuda masih mentah, Pemuda dimomokkan dengan bayaran. Tugas saya hari ini mendengar suara Pemuda untuk disampaikan kepada pucuk pimpinan.

    “Jika cara kita tak langsung didengar, kita akan lakukan sesuatu. Saya nak bagi jaminan, kita boleh bincang secara baik, ilmiah.. jika tak ada apa-apa yang berlaku, maka baru kita akan bertindak. Dia minta Pemuda hormati saluran, maka kita hormati saluran. Kita bagi apa mereka nak, kita ikut secara prosedur.. tetapi saya tak akan teragak bertindak jika suara kita dibakulsampahkan,” tegasnya.

    Beliau membuat penegasan itu ketika majlis Post Mortem PRN Pemuda UMNO – ‘Dimana Salah Kita’ di Kuala Lumpur, malam tadi yang dihadiri lebih 1,000 kepemimpinan Pemuda UMNO dari seluruh negara.

    Pada PRN Sabtu lalu, UMNO mengalami kekalahan teruk pada PRN Sabtu lalu selepas hanya menang di 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 DUN yang ditandingi parti itu.

    Muhamad Akmal berkata, selain pertemuan post mortem itu, Pemuda juga akan menjelajah ke seluruh negara bagi mendengar pandangan dan idea akar umbi lain.

    “Saya tak gentar walau ditekan. Saya tidak berganjak walau ditolak. Saya tak pekakkan telinga, saya tak butakan mata. Apa sekalipun, jika kita terus lena dibuai mimpi, satu hari UMNO akan dikuburkan, sebab itu kita tak akan benarkan itu terjadi,” katanya.

    Beliau juga secara terbuka menegaskan, sedia meletak jawatan jika kekalahan teruk parti itu disebabkan oleh kedudukannya sebagai Ketua Pemuda UMNO.

    Tegasnya,  tindakan itu akan dilakukannya jika majoriti suara daripada sayap itu menyatakan pendirian sedemikian.

    “Pemuda UMNO mesti berkata benar walaupun pahit. Jika majoriti yang ada ini membuat keputusan bahawa UMNO ini tidak diterima oleh rakyat kerana Ketua Pemudanya berada di situ, jika itulah keputusan majoriti, saya sedia letak jawatan Ketua Pemuda.

    “Apa yang lebih penting adalah survival parti. Ini bukan soal saya, Mohd Hairi (Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Md Shah), tetapi ini soal parti kita,” katanya .

    Muhamad Akmal turut mendedahkan ramai pihak panas hati apabila Pemuda UMNO mahu mengadakan majlis terbabit, namun ia tidak wajar menjadi satu bentuk ketakutan atau berasa terancam oleh sayap parti itu.

    “Kalau nak ikut diri saya, Sabtu malam (selepas PRN) saya mahu keluarkan kenyataan, tetapi kenyataan dikeluarkan tanpa berbincang dengan Pemuda, saya rasa tak adil tanpa suara kita dalam Pemuda.

    “Jadi, hari ini tidak ada lagi takut untuk menyatakan kebenaran, tetapi kena ada abad dan tatasusilanya. Ramai panas hati, saya tahu ramai ada idea baik. Kita jadikan malam ini (malam tadi) pendirian Pemuda UMNO. Apabila kenyataan dikeluarkan oleh saya, Naib ketua Pemuda, Ketua Pemuda Negeri selepas ini, itu bukan lagi kenyataan peribadi,” katanya.

  • Anwar utama ‘misi cari musuh politik’ berbanding tumpu isu rakyat – Muhyiddin

    Anwar utama ‘misi cari musuh politik’ berbanding tumpu isu rakyat – Muhyiddin

    PENGERUSI  Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat lebih memberi keutamaan dalam “misi mencari musuh politik” berbanding menumpukan isu rakyat.

    Kata beliau, sepatutnya daripada awal lagi sebagai seorang Perdana Menteri, perhatian utama yang harus diberikan adalah kebajikan rakyat,soal pembelaan nasib serta meringankan beban rakyat seperti kos sara hidup dan sebagainya.

    “Tetapi rupanya bukan itu yang menjadi keutamaan. Keutamaannya ialah mengenal pasti siapa musuh politiknya. Walaupun kita tak pernah bermusuh, dia (Anwar) mengambil ssikap mencari siapa musuh.

    “Kalau dia kata yang musuh itu saya, mencari jalan bagaimana caranya untuk ‘membunuh’ musuh ataupun parti-parti yang berkaitan dengan musuh,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran PN di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), malam tadi.

    Muhyiddin berucap demikian bagi menjawab kenyataan Anwar yang mahukan bekas Perdana Menteri itu  memberi tumpuan kepada kes mahkamah dihadapinya daripada mendesak Anwar meletak jawatan.

    Dalam ucapan itu juga Muhyiddin berkata Jabatan Peguam Negara tidak sepatutnya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskannya daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta.

    “Saya yakin betul apa yang diputus Hakim dalam perbicaraan kes saya bahawa sebenarnya tiada suatu asas yang kukuh untuk mereka merayu,” katanya.

  • Bersatu gesa Peguam Negara beri penjelasan kes Zahid akan gugur atau tidak

    Bersatu gesa Peguam Negara beri penjelasan kes Zahid akan gugur atau tidak

    PARTI menggesa Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun segera menyatakan sama ada pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan digugurkan ataupun tidak, sehari selepas Jabatan Peguam Negara menafikan sebarang campur tangan politik atau tekanan dalam kes yang dibawa ke mahkamah setakat ini.

    Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Januari bagi menggugurkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya.  

    Pihak pendakwaan kemudian berkata bahawa mereka m diarahkan oleh peguam negara untuk tidak membuat bantahan ke atas permohonan penangguhan perbicaraan sementara menunggu keputusan mengenai surat representasi.  

    “Selepas melalui representasi yang panjang lebar dan mengandungi isu rumit, kami diarah untuk tidak membantah permohonan (penangguhan pendengaran) kerana pihak pendakwaan memerlukan masa yang munasabah untuk mempertimbangkan (representasi),” kata Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.

    Timbalan Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-undang Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif dalam satu kenyataan hari ini berkata perbicaraan hanya disambung semula bulan ini, dengan pihak pendakwaan berkata representasi itu masih dalam pertimbangan.

    “Mengapa peguam negara masih tidak dapat memutuskannya? Kini timbul kebimbangan umum bahawa pertuduhan terhadap Zahid, yang sokongannya kritikal untuk survival kerajaan Anwar Ibrahim, mungkin digugurkan. 

    “Lebih-lebih lagi apabila ketua pendakwa raya Raja Rozela yang tidak berkompromi digugurkan daripada kes itu,” tambahnya, merujuk kepada Raja Rozela Raja Toran, lapor MalaysiaNow.

    Idrus bagaimanapun memaklumkan ketidakhadiran Raja Rozela di mahkamah awal bulan ini adalah kerana beliau memohon untuk bersara awal.

    Sambil menggesa Idrus berhenti “bercakap perkara tidak penting” mengenai kes Ahmad Zahid, Sasha berkata beliau perlu menyatakan dengan segera dan jelas sama ada pertuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid akan digugurkan ataupun tidak. 

    “Adalah demi kepentingan umum dan keyakinan pelabur bahawa tiada keraguan lagi mengenai status kes ini,” tambahnya.

    Ahmad Zahid, yang memainkan peranan penting dalam membawa sokongan 30 ahli Parlimen BN kepada kerajaan Anwar, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Antara pertuduhan CBT yang dikenakan terhadap Zahid ialah beliau didakwa menjelaskan hutang kad kreditnya menggunakan dana Yayasan Akalbudi melalui 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016. 

    Sasha berkata rentetan pertuduhan terhadap beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) selepas pilihan raya umum tahun telah menimbulkan keraguan terhadap kebebasan Jabatan Peguam Negara.

    “Peguam negara perlu berdepan hakikat ini dan bertindak sewajarnya untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap Jabatan Peguam Negara. Mengeluarkan kenyataan yang mendakwa beliau bebas hanyalah kata-kata kosong dan tidak mencukupi,’’ tegasnya.

  • Anwar hadapi dilema besar tarik sokongan Melayu – KJ

    Anwar hadapi dilema besar tarik sokongan Melayu – KJ

    KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu lalu memberikan dilema yang besar buat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menarik semula sokongan orang Melayu.

    Felo Kanan Pelawat di Institut Yusof Ishak (ISEAS), Khairy Jamaluddin berkata, analisis awal menunjukkan bahawa ‘keuntungan’ Perikatan Nasional (PN) sebahagian besarnya datang daripada pengundi Melayu.

    Pengundi-pengundi ini katanya, yang sebelum ini menyokong UMNO telah memindahkan sokongan mereka kepada pakatan pembangkang.

    “Dilema pertamanya ialah ideologi. Adakah beliau akan tetap setia pada platform progresif dan reformisnya atau akan terus menolak PN dengan memperkenalkan dasar yang lebih konservatif?

    “Pangkalannya telah bertindak balas terhadap keputusan pilihan raya dengan menggesa Anwar untuk berhenti berpihak kepada ‘hak Melayu’ dan menumpukan pada mengembangkan ekonomi, memperkenalkan pembaharuan dan memperjuangkan kepelbagaian budaya.

    “Tetapi dengan ‘teguran’ sekeras-kerasnya daripada pengundi Melayu sekali lagi, Anwar boleh tergoda untuk memainkannya dalam dua cara iaitu meneruskan rancangan dan program etnosentrik dan pada masa yang sama berharap ekonomi bertambah baik untuk rakyat Malaysia biasa,” katanya dalam portal Fulcrum yang berpangkalan di Singapura, lapor Sinar Harian.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO itu menambah, dilema kedua yang dihadapi Anwar kini adalah politik kerana rakan gabungannya, UMNO yang diharap dapat menentang PN telah gagal dengan teruk.

    Daripada 108 kerusi yang ditandingi UMNO, parti itu hanya menang 19, dengan kadar kejayaan 17.5 peratus iaitu yang paling teruk dalam PRN kali ini.

    “Jika UMNO gagal melakukan pembaharuan dengan antara lain, memecat Presidennya yang amat tidak popular, Anwar akan menghadapi keputusan strategik yang penting.

    “Beliau  boleh berpegang kepada laluan semasa dan menuju ke pilihan raya umum akan datang dengan bekerjasama dengan UMNO dan mempertimbangkan untuk mengesyorkan Pengampunan Diraja untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjaya mengekalkan sokongan besar dalam parti.

    “Sebagai alternatif, Anwar boleh berpisah dengan UMNO dan mengambil pilihan lain. Beliau boleh memperjuangkan undi Melayu dengan meningkatkan daya tarikan Parti Keadilan Rakyat kepada segmen demografi atau memanfaatkan lebih banyak kepada rakan gabungan Parti Amanah Negara, yang meraih kemenangan mengejut di satu kerusi di Kelantan,” jelasnya.

    Khairy berkata, pilihan terakhir Anwar adalah menghubungi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang merupakan parti penting dalam PN.

    Katanya, walaupun pilihan itu mungkin belum dapat difikirkan, perkara yang aneh pernah berlaku dalam politik Malaysia sebelum ini, sebagaimana PH berpasangan dengan UMNO.

    Kesemua dilema ini, kata Khairy pasti akan membebankan Anwar yang juga Perdana Menteri dan kerajaannya dalam beberapa tahun akan datang.

  • UMNO perlu cermin diri bukannya salahkan anak muda dan ‘hidangan KFC’ – penganalisis

    UMNO perlu cermin diri bukannya salahkan anak muda dan ‘hidangan KFC’ – penganalisis

    UMNO  tidak perlu menyalahkan pihak lain atas prestasi buruk mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) minggu lalu, yang menyaksikan mereka hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di enam negeri, kata penganalisis. 

    Profesor Sains Politik, Universiti Putra Malaysia, Jayum Jawan berkata, kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengenai anak muda “disogok dengan KFC” untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) merupakan refleksi budaya politik yang diasuh oleh UMNO selama lebih 50 tahun.

    “UMNO terus hilang sokongan Melayu kerana kepimpinan parti itu semakin terpisah dengan pengundi Melayu luar bandar. UMNO tidak menyantuni Melayu bandar walaupun golongan itu terhutang budi kepada UMNO,” katanya kepada portal MalaysiaNow. 

    Katanya, parti itu tidak mengendahkan golongan Melayu pertengahan yang menyebabkan mereka tidak lagi berterima kasih kepada Umno. 

    UMNO yang terkenal dengan kubu kuatnya di kawasan luar bandar, hanya memenangi dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor, serta satu kerusi di Kelantan.  Di Kedah dan Terengganu, parti itu gagal memenangi sebarang kerusi.  UMNO mencatatkan prestasi yang agak baik di Negeri Sembilan dengan memenangi 14 daripada 17 kerusi yang ditandingi. 

    Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai mempertahankan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang didesak berundur susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN). 

    Antara pemimpin yang mula bersuara termasuklah bekas menteri besar Terengganu, Idris Jusoh dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Isham Jalil selain Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh. 

    Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilihat menjadi punca penolakan pengundi terhadap UMNO yang bermula sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 30 kerusi Parlimen. 

    Mereka turut tewas di kerusi-kerusi yang dianggap deposit tetap kepada BN, seperti Gerik dan Tanjung Karang.

    Menurut Jayum, walaupun usaha Nur Jazlan mencari punca kekalahan itu satu perkara yang bagus, menyalahkan anak muda tidak akan diterima baik oleh golongan tersebut. 

    Penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Kartini Aboo Talib pula berkata, kenyataan Nur Jazlan itu boleh dilihat daripada beberapa perspektif. 

    “Kita boleh sahaja mengatakan Umno dalam penafian untuk mengaku kelemahan dan kebobrokan pemimpinnya.  Walaupun ada isu berkenaan pengundi muda yang tiada pendedahan tentang demokrasi atau hubungan politik dan negara, ia bukan sebab UMNO kalah,” katanya. 

    Menurut Kartini, ketiadaan literasi pengundi muda diakui boleh menyebabkan undi rosak dan pilihan raya lesu dengan kadar peratusan yang rendah. 

    Menurut beliau, parti Melayu itu tewas kerana turut gagal mendapat undi orang-orang lama.

    “Sejarah perjuangan Umno diajar dalam silibus sekolah, dan tokoh seperti Dato’ Onn Jaafar sangat dikenali. Mungkin semangat patriotisme telah berevolusi kepada ketaatan kepada raja, dan mematuhi undang-undang,” katanya. 

    Dalam pada itu, Jayum berkata, UMNO membawa beban memandangkan beberapa pemimpin mereka masih mempunyai isu-isu kredibiliti dan integriti yang terpalit dan belum selesai. 

    Zahid sendiri masih mempunyai 47 kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang sedang dibicarakan.

    “Orang ramai mula mempersoalkan kualiti pemimpin. Mereka mahukan perubahan, menunggu perubahan dan apabila perubahan tidak sampai, mereka sendiri melakukannya. 

    Kos dan aibnya sangat besar. Soalan yang sebenarnya selepas ini- bolehkah UMNO diselamatkan?,’’ katanya.

  • Haim mahu bawa anak muda jadi tunjang kebangkitan Jitra

    Haim mahu bawa anak muda jadi tunjang kebangkitan Jitra

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBAGAI bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah tidak dapat lari daripada memikirkan mengenai kepentingan anak muda yang sememangnya mewarnai kehidupannya selaku pendidik.

    Justeru menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu, beliau memiliki perancangan besar untuk menjadikan golongan tersebut sebagai tunjang kebangkitan Jitra pada masa akan datang.

    Katanya, beliau akan memperkenalkan suatu perancangan dikenali sebagai pelan pembangunan anak muda Jitra yang bersifat menyeluruh, merangkumi pelbagai bidang antaranya pendidikan, sukan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    “Pada dasarnya saya memang dapat merasakan hubungan cukup akrab dengan anak-anak muda di Jitra dan saya akan teruskan usaha mendekati mereka dengan pelbagai program dirancang.

    “Saya telah telah fikirkan dan akan bangunkan satu pelan pembangunan anak muda Jitra yang menyeluruh, merentasi pelbagai bidang. Jadi secara keseluruhan, anak muda akan menjadi tunjang kebangkitan Jitra,” katanya kepada Warta Rakyat, baru-baru ini.

    Dalam PRN baru-baru ini, Haim yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) menewaskan Sabrina Ahmad dari Pakatan Harapan dengan majoriti 23,172 undi.

    Haim memperolehi 34,342 undi manakala Sabrina sekadar mendapat 11,170 undi.

    Mengulas lanjut Haim berkata, beliau tidak menyangka mampu menang dengan majoriti besar ke atas pesaingnya itu dan menganggap kemenangan tersebut merupakan hasil daripada gerak kerja menyeluruh pasukannya.

    “Kita hendak sampaikan mesej penyatuan Melayu dan sikap yang inklusif kepada bangsa lain. Saya yakin langkah itu akan diterima baik dan kita akan sama-sama berusaha membina ‘Jitra Sejahtera’.

    “Sepanjang dua minggu berkempen, antara perkara dibangkitkan adalah soal ekonomi serta peluang pekerjaan selain kebajikan golongan petani. Saya telah beri komitmen untuk melihat perkara ini secara menyeluruh termasukan terhadap minat orang muda untuk berniaga,” katanya. ‘

    Dalam pada itu Haim berkata, beliau bersedia menyumbang kepakaran bagi membantu kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan di Kedah bermula dari peringkat sekolah rendah dan menengah hingga ke universiti.

    “Antara pendekatan yang boleh diambil adalah mengintegrasikan pusat-pusat pengajian tinggi di negeri ini seperti UUM, Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman (IPDA), Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dan lain-lain lagi. Kita akan bekerjasama dengan semua institusi ini untuk membolehkan anak-anak Kedah yang cemerlang akademik, terus berada di landasan itu agar menjadi profesional.

    “Dalam masa sama, kita akan manfaatkan agensi berkaitan kemahiran agar menjadi laluan potensi kerjaya yang dinamik buat anak-anak muda. Insya Allah, semua ini akan dibangunkan secara bersepadu,” katanya.

  • PH hantar tiga nama kepada Istana, setuju secara konsensus kekalkan Amirudin MB

    PH hantar tiga nama kepada Istana, setuju secara konsensus kekalkan Amirudin MB

    PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) Selangor mengesahkan gabungan parti itu menghantar tiga nama calon Menteri Besar kepada pihak Istana Negeri Selangor.

    Ini bermakna dua lagi calon selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari juga berpeluang untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

    Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim bagaimanapun berkata, gabungan parti itu secara konsensus telah bersetuju untuk mengekalkan Amirudin.

    “Tiga nama (calon menteri besar) itu telah dihantar tetapi satu nama (Amirudin) yang kita setujui (secara bersama) kerana istana minta tiga nama, kita kena beri tiga nama.

    “Kita sebut secara konsensusnya kita menyokong Amirudin sebagai Menteri Besar, kita sebut begitu dalam surat (kepada pihak istana),” katanya lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Izham menafikan dakwaan mengatakan ada pemimpin PKR Selangor terlibat dalam perbincangan berhubung perkara itu selepas berakhir pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

    Sebaliknya beliau berkata, perbincangan mengenai calon Menteri Besar sudah selesai dibincangkan dan ia dibincangkan secara bersama dalam kalangan pemimpin PH Selangor sebelum ini.

    “Memang istana minta tiga nama tetapi nama Amirudin sebagai Menteri Besar secara konsensus (dipersetujui) dari awal lagi, tiada perubahan sejak awal,” katanya.

    Ketika ditanya mengenai dua lagi calon selain Amirudin yang dihantar kepada pihak Istana Negeri Selangor, Izham bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon terbabit.

    “Saya tidak boleh dedahkan nama,” katanya.

    Difahamkan, majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor mungkin tidak berlangsung sehingga Jumaat.

    Ini kerana Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang sedang pulih daripada pembedahan prostat di London baharu sahaja pulang ke tanah air.

    Pada penggal lalu, pihak istana meminta lebih daripada satu nama untuk dipertimbangkan Sultan Selangor.