Category: Politik

  • Sambutan meriah program Najib, namun pengundi Cina belum sedia tinggalkan DAP

    Sambutan meriah program Najib, namun pengundi Cina belum sedia tinggalkan DAP

    RAMAI yang nampaknya masih teruja dengan sambutan yang diberikan masyarakat Cina kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika bekas Perdana Menteri itu turun padang ke beberapa kawasan di Pulau Pinang lebih seminggu lalu.

    Tidak dinafikan jika diukur dari segi jumlah kehadiran orang ramai, Mohd Najib boleh dikatakan mendapat perhatian apabila ramai penduduk Cina memenuhi setiap majlis yang diadakan.

    Lebih mengujakan pemerhati politik juga apabila sambutan meriah itu diterima Mohd Najib daripada masyarakat Cina di Pulau Pinang yang diketahui kubu kuat penyokong DAP.

    Namun untuk membuat andaian masyarakat Cina khususnya di Pulau Pinang sudah beralih sokongan kepada BN masih terlalu awal atau boleh diibaratkan seperti jauh panggang daripada api.

    Kesimpulan mudah yang mungkin boleh dibuat daripada sambutan hangat mereka terhadap kunjungan Mohd Najib baru-baru ini adalah mereka seperti rakyat Malaysia lain tidak mahu melepaskan peluang bertemu dan bergambar dengan bekas Perdana Menteri berkenaan.

    Sesiapa pun tidak boleh menafikan Mohd Najib kini adalah ‘persona politik’ yang popular di media sosial dan kunjungan beliau di mana-mana acara sentiasa berjaya menarik kehadiran orang ramai, begitulah juga yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini.

    Hakikatnya sokongan pengundi Cina lebih-lebih lagi di Pulau Pinang terlalu kuat dan sedikit pun tidak goyah terhadap DAP.

    Dalam apa jua situasi sekali pun, pengundi Cina dilihat akan memastikan Pulau Pinang tidak akan sesekali dirampas oleh mana-mana parti politik selain sekutu DAP.

    Sokongan itu semakin kuat di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika ini yang dilihat lebih mengutamakan pembangunan negeri berbanding bermain politik seperti yang sering dinilai ketika era Lim Guan Eng sebelum ini.

    Kecekapan pentadbiran Kon Yeow dalam menangani krisis ketika pandemik Covid-19 turut meningkatkan keyakinan penduduk sekali gus memanjangkan lagi hayat DAP di Pulau Pinang.

    Sebab itu parti pembangkang di Pulau Pinang khususnya BN tidak boleh terlalu teruja dengan sambutan yang diterima Mohd Najib daripada masyarakat Cina baru-baru ini.

    Ia mungkin boleh menjadi pemangkin atau tonik dalam menarik pengundi Cina atas pagar, tetapi untuk menjangkakan tsunami politik kepada BN seperti yang terjadi dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan negeri (PRN) sebelum ini masih terlalu jauh dalam konteks politik di Pulau Pinang.

  • Prestasi Bersatu lebih baik dari parti lain, tak perlu tukar Presiden

    Prestasi Bersatu lebih baik dari parti lain, tak perlu tukar Presiden

    BERSATU menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, prestasi partinya itu dapat dilihat pada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Sehubungan itu, beliau berpandangan, Bersatu tidak dalam keadaan terdesak dan tidak memerlukan Presiden baharu untuk memimpinnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “PAS masih teguh dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan kami mempunyai hubungan rapat dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Baru-baru ini, penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, prospek Bersatu dan PN suram, terutamanya berikutan kegagalan percubaannya untuk menjalin kerjasama dengan Pejuang dan PH.

    Azmi berpendapat, individu lain harus mengambil alih kepimpinan Bersatu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Namun menurut Faiz, parti itu yakin terhadap kepimpinan Muhyiddin dan tiada perbincangan diadakan untuk menggantikannya sebagai presiden parti.

    BN memenangi 40 kerusi pada PRN Johor, diikuti DAP dengan 10 kerusi dan PN dengan tiga kerusi. PKR, Amanah dan Muda masing-masing memperoleh satu kerusi.

    Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, BN memperoleh 43.11 peratus daripada undi popular, manakala PN 24.04 peratus.

    Sementara itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Ahmad Kamal berkata, usaha partinya untuk menjalin kerjasama dengan parti lain bukanlah tindakan terdesak, sebaliknya merupakan strategi bagi menjamin kemenangan.

    “Selain berkhidmat kepada rakyat pada setiap masa, politik adalah mengenai memikirkan kaedah terbaik untuk menang dan membentuk kerajaan,” katanya kepada FMT.

    Tambahnya, Bersatu menerima permintaan daripada parti-parti lain untuk membincangkan hala tuju pada PRU-15.

    “Mereka meminta bertemu dengan Muhyiddin selepas melihat dan mengalami prestasi buruk pada pilihan raya baru-baru ini. Mungkin mereka sedar bahawa pertembungan banyak penjuru akan membolehkan golongan kleptokrat kembali berkuasa dan mereka mahu menghalangnya.”

    Beliau berkata, ini bukan masanya untuk menggantikan Muhyiddin.

    “Kita ada ramai pemimpin berkebolehan yang bersedia untuk menggantikan Muhyiddin apabila tiba masanya, tetapi sekarang ini kita fokus kepada usaha menyatukan parti untuk PRU-15.”

    Baru-baru ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti itu telah memberikan kepada biro politiknya yang diketuai Muhyiddin mandat penuh untuk membincangkan kerjasama dengan parti lain menjelang PRU-15.

  • Bersatu nafi tolak RUU Anti Lompat Parti

    Bersatu nafi tolak RUU Anti Lompat Parti

    KETUA Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menyangkal dakwaan parti itu menolak Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti.

    Katanya, Bersatu sentiasa komited memastikan reformasi institusi berjalan dengan baik dengan menghantar wakil ke sesi konsultasi mengenai Akta Anti Lompat Parti dan Akta Mengehadkan Tempoh Khidmat Perdana Menteri.

    “Laporan Utusan Malaysia ini langsung tidak melambangkan semangat perbincangan dalam mesyuarat MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) pada 5 April lalu. Dalam setiap sesi, kami menyuarakan pandangan secara konstruktif untuk memastikan kerajaan dapat menghasilkan draf yang terbaik untuk negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Saiful berkata, Ahli MPT, Datuk Mas Ermieyati Samsudin adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), yang memainkan peranan penting dalam proses penyediaan draf akta berkenaan.

    ‘’Tidak pernah ada penolakan kolektif seperti didakwa. Saya tidak tahu sumber mana yang dipetik dan apa niat di sebalik ulasan tersebut,” katanya.

    Wan Saiful memaklumkan parti itu kan membuat kenyataan rasmi apabila mendapat salinan draf Akta Anti Lompat tersebut.

  • Pandangan Muhyiddin perlu berundur gopoh,pramatang – Dr.Marzuki

    Pandangan Muhyiddin perlu berundur gopoh,pramatang – Dr.Marzuki

    Oleh DATUK DR.MARZUKI MOHAMAD

    ULASAN Dr Azmi Hassan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu berundur sebagai Presiden BERSATU susulan kegagalan Perikatan Nasional memenangi PRN Johor adalah agak gopoh.

    Saya tidak pasti mengapa pandangan sedemikian dilontarkan. Adakah untuk melihat BERSATU menjadi lebih kuat atau sekadar komen cakap buang sahaja.

    Apapun, dalam dunia politik komen sedemikian mudah mendapat tarikan dan dijadikan polemik oleh mereka yang mempunyai motif tertentu.

    Saya ingin berikan sedikit pandangan balas.

    Jika kekalahan pertama PN dalam PRN Johor dijadikan sebab mengapa Muhyiddin perlu berundur, maka ramai Presiden parti lain yang mesti berundur juga.

    Ada parti yang semua calonnya hilang wang deposit. Pengerusi dan Presiden parti ini mesti berundur lebih awal daripada Muhyiddin. Ada parti yang kerusinya merosot hanya tinggal satu. Presiden parti ini pun mesti berundur jugalah agaknya.

    Jika lojik Presiden parti mesti berundur apabila parti kalah pilihanraya, maka banyak parti di negara kita telah mengalami pertukaran kepimpinan akibat partinya kalah. Tetapi perkara tersebut tidak berlaku kepada semua parti.

    Pas misalnya tidak pernah menang dalam pilihanraya persekutuan kecuali di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Presiden Pas tidak bertukar dengan sebab Pas kalah pilihanraya.

    Sebaliknya parti itu terus teguh. Apabila Kerajaan Perikatan Nasional dibentuk pada 1 Mac 2020, Pas menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

    Ada juga parti yang mengalami kekalahan dalam banyak pilihanraya, tetapi akhirnya menang tanpa menukar kepimpinannya. Misalnya PKR di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengalami kekalahan dalam PRU tahun 1999, 2004, 2008 dan 2013 tetapi akhirnya menang dalam PRU 2018.

    Adakah kekalahan PN dalam PRN Johor adalah amat teruk sehinggakan Muhyiddin mesti letak jawatan?

    Dari segi bilangan kerusi mungkin nampaknya begitulah. Tetapi dari segi trend sokongan pengundi, data menunjukkan sebaliknya.

    Dalam PRN Johor, PN adalah satu-satunya parti yang mencatat peningkatan sokongan pengundi Melayu berbanding BN dan PH.  Jika undi Pas dalam PRU 2018 dijadikan undi asas PN, sokongan pengundi Melayu Johor kepada PN telah meningkat daripada 18.1% dalam PRU 2018 kepada 34.5% dalam PRN 2022.

    Sebaliknya sokongan pengundi Melayu kepada BN telah merosot daripada 58.8% dalam PRU 2018 kepada 51.1% dalam PRN 2022. Data menunjukkan berlaku peralihan hampir 8 mata peratus sokongan pengundi Melayu BN kepada PN.

    Perlu diingat, Johor adalah kubu kuat BN.

    Sokongan pengundi Melayu kepada PH juga telah merosot dengan ketara iaitu daripada 28.3% dalam PRU 2018 kepada 11.3% dalam PRN 2022. Sebanyak 17 mata peratus sokongan Melayu PH telah beralih kepada PN.

    Bukankah ini suatu pencapaian kepda PN iaitu sebuah parti baharu di bawah kepimpinan Muhyiddin?

    Malah, sebuah kajiselidik tinjauan pendapat umum pengundi negeri Johor yang dijalankan oleh Institut Masa Depan Malaysia dengan kerjasama Merdeka Centre for Opinion Research pada 4 hingga 21 Februari 2022 mendapati Muhyiddin adalah pemimpin paling popular di Johor dengan approval rating sebanyak 52% berbanding Datuk Seri Najib Razak 39%, Tun Dr Mahathir Mohamad 35%, Lim Guang Eng 24% dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 14%.

    Dalam kalangan pengundi Melayu negeri Johor, kajian ini juga menunjukkan Muhyiddin adalah pemimpin paling popular dengan approval rating sebanyak 67% berbanding Najib 43%, Mahathir 43%, Zahid Hamidi 17% dan Lim Guan Eng 12%.

    Muhyiddin juga mendahului sebagai calon PM iaitu dengan 29% responden bersetuju berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim 23% dan Datuk Seri Ismail Sabri 16%.

    Dalam kalangan responden Melayu, Muhyiddin memperolehi 41%, Ismail Sabri 22% dan Anwar 10%.

    Trend peralihan sokongan pengundi Melayu yang ketara kepada PN dalam PRN negeri Johor mungkin juga disebabkan oleh populariti Muhyiddin sebagai bekas Perdana Menteri dan anak Johor.

    Berdasarkan data-data ini, bagi saya pandangan supaya Muhyiddin berundur hanya dengan sebab PN kalah dalam PRN Johor adalah agak gopoh dan pramatang.

    *Datuk Dr.Marzuki Mohamad adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Ke-8

  • PN masih perlukan kepimpinan, ketokohan Muhyiddin – Faiz Na’aman

    PN masih perlukan kepimpinan, ketokohan Muhyiddin – Faiz Na’aman

    PERIKATAN Nasional (PN) masih memerlukan kepimpinan dan ketokohan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengemudi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, kepimpinan PN dan Bersatu tiada isu untuk menggantikan Presiden Bersatu itu.

    “Memang saya lihat, ada spekulasi daripada beberapa penganalisis politik yang cukup teruja konon-kononnya menyentuh soal kepimpinan Muhyiddin dalam PN, pada pandangan dan peringkat kami, ia tidak berbangkit sama sekali untuk menukar pimpinan.

    “Tidak berbangkit sama sekali cadangan, persoalan apatah lagi debat di kalangan kami pemimpin Bersatu memerlukan kepimpinan Muhyiddin dalam parti Bersatu.

    “Kerana kita tahu, reputasi PN walaupun kita akui kita kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tapi kita lihat dari segi penerimaan rakyat terhadap PN, adalah jauh lebih baik berbanding parti-parti lain,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

    Tambah beliau, aura ketokohan Muhyiddin dalam kalangan rakyat masih diterima dan dihormati, malah mereka tidak patut menunding jari hanya kerana kalah di dalam PRN Johor, kerana kekalahan itu merangkumi pelbagai faktor.

    “Muhyiddin dengan kepimpinannya, aura ketokohannya masih boleh diterima dan dihormati oleh rakyat, cuma kita kalah dari segi nombor sahaja, kerana mereka yang keluar mengundi lebih kurang 50 peratus.

    “Jadi, itu antara faktor yang kita kalah. Kita bermuhasabah diri, kerana bila kita kalah, kita tidak boleh menunding jari kepada satu individu sahaja. Ia merangkumi banyak faktor kenapa kita kalah,” ujarnya.

    Terdahulu, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan menerusi laporan The Star, mendakwa Muhyiddin merupakan satu halangan dalam kejayaan Bersatu dan parti itu dilihat terdesak.

    Menjawab persoalan Bersatu dilihat lemah dan terdesak dalam mencari rundingan kerjasama bersama-sama parti lain, Faiz Na’aman berkata, pelawaan untuk bertemu itu bukan hanya bertepuk sebelah tangan, tetapi ia merupakan pertemuan yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

    “Mungkin sekarang ada pemimpin-pemimpin tertentu daripada parti-parti politik tertentu seolah-olah dia menolak pelawaan dan rundingan dari pihak Bersatu. 

    “Muhyiddin berbincang, berunding, ataupun bertemu, kerana adanya jemputan ataupun adanya persetujuan kedua-dua belah pihak, bukan kita yang terhegeh-hegeh nak bertemu, kita juga tidak jual mahal, tidak sombong, tidak angkuh. 

    “Cuma bila ada pelawaan daripada wakil-wakil parti yang tertentu maka kita menyahut pelawaan itu dan Muhyiddin ambil inisiatif dengan merendah diri untuk membuat pertemuan,” katanya.

    Sebelum ini, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan perjumpaan antara Muhyiddin dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membincangkan kerjasama berdepan PRU-15.

  • PH perlu buat gabungan besar termasuk dengan PN

    PH perlu buat gabungan besar termasuk dengan PN

    PAKATAN Harapan (PH) perlu menangani perpecahan dan situasi tiada kuasa penyatu serta dalam masa sama membentuk gabungan besar termasuk dengan Perikatan Nasional (PN) untuk PRU-15.

    Ketua penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, membentuk blok gabungan pembangkang adalah jalan terbaik untuk tempoh terdekat untuk berdepan dengan BN.

    “Pilihan yang ada ialah gabungan. Tanpa gabungan yang besar termasuk dengan PN (Perikatan Nasional), saya tidak nampak satu peluang yang sangat besar (untuk menang) kecuali kalau berlaku dinamika yang besar pada saat-saat akhir nanti.

    Dr Yusri berkata demikian dalam bual bicara ‘Diagnosis Membedah Politik Melayu-Islam Siri 1’ anjuran Pemuda AMANAH Nasional baru-baru ini.

    Menurutnya, BN tidak begitu mudah untuk mendominasi dalam PRU-15 jika PH mencapai titik temu dengan PN dengan sekurang-kurangnya mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru.

    Mengulas kesediaan PH menghadapi PRU-15, beliau berpendapat PH sedang berpecah dan berada dalam keadaan yang lemah dengan tiada pemimpin berperanan sebagai kuasa penyatu.

    “Saya tidak melihat PH berada di trek yang betul untuk menghadapi PRU-15. PH berada dalam keadaan yang lemah sekarang yang akan dimanfaatkan oleh PN untuk menyerang pada waktu tepat.

    “PH berpecah dan PH tiada kuasa penyatu sekarang. Tidak ada pemimpin dalam PH yang dapat menyatukan PH sekarang.

    “Kalau isu sekecil logo (semasa pilihan raya) pun tiada kata sepakat dan tiada pemimpin, saya tidak nampak (peluang PH menang).

    “Anwar akhir-akhir ini sudah hilang cengkaman, sangat longgar,” ujarnya sambil sekali lagi menekankan pentingnya PH untuk membentuk gabungan atau persefahaman politik blok pembangkang untuk mendepani BN.

  • Kenapa Zahid bimbang dengan pengaruh Muhyiddin?

    Kenapa Zahid bimbang dengan pengaruh Muhyiddin?

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    Nampak ketara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bimbang dengan pengaruh Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Presiden Bersatu itu mahu menggerakkan kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Zahid dalam kenyataannya mendakwa Muhyiddin mahu menjadi Perdana Menteri semula atas kepentingan peribadi sedangkan majoriti rakyat faham bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu secara jelas tidak mahu BN kembali berkuasa dengan dipengaruhi oleh kleptokrat dan kluster mahkamah.

    Di sebalik tuduhan terhadap Muhyiddin, semua orang tahu prinsip beliau yang tegas dalam soal berkaitan amanah dan integriti apabila sanggup kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana menyuarakan kepincangan dalam 1MDB.

    Kini telah terbukti, masalah besar yang pernah disuarakan Muhyiddin benar-benar berlaku hinggakan 1MDB kini dibicarakan di mahkamah Malaysia, mahkamah di luar negara dan masih diperkatakan seantero dunia sebagai skandal rompakan terbesar dalam sejarah.

    Dari kaca mata rakyat marhaen, jika Muhyiddin seorang yang mengutamakan kepentingan peribadi, sudah pasti beliau akan menggunakan pelbagai cara untuk mengekalkan jawatan sebagai PM kelapan.

    Sebaliknya ia tidak berlaku dan beliau sanggup menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Naib Presiden UMNO untuk menjadi PM kesembilan semata-mata kerana tidak mahu krisis politik berlarutan hingga mendatangkan mudarat kepada negara yang masih berdepan pandemik Covid-19.

    Ketika menjadi PM juga, beliau dilihat sebagai pemimpin yang lebih banyak membicarakan permasalahan negara contohnya Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat diwujudkan dengan wang berbilion-bilion ringgit disalurkan untuk kepentingan bersama.

    Dalam keadaan tidak mendapat sokongan ahli Parlimen yang kukuh, ditambah dengan dugaan Covid-19 yang besar beliau masih lagi boleh mentadbir dengan baik walaupun sesetengah keputusan itu tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

    Malah, Muhyiddin juga dilihat bersih dan bebas daripada sebarang kes mahkamah yang menjadi ciri penting wajib dimiliki oleh setiap pemimpin terutamanya pemimpin Islam yang menjadi peneraju pimpinan negara.

    Di samping itu, sebagai anak ulama terkenal iaitu Allahyarham Tuan Guru Mohammad Yassin Muhammad, Muhyiddin turut disenangi oleh banyak pihak yang mengimpikan satu pemerintahan yang meletakkan agama sebagai perkara paling utama dalam kehidupan.

    Oleh itu, tidak hairanlah apabila Zahid memberi peringatan kepada mana-mana ahli UMNO yang menaruh harapan untuk bekerjasama, mempercayai dan mempertahankan Bersatu dan Perikatan Nasional supaya menilai semula keputusan mereka.

    Zahid bimbang dengan ‘track record’ ditunjukkan Muhyiddin akan menyebabkan ahli dan pemimpin UMNO beralih arah dan menyokong Bersatu untuk menjadi parti yang lebih dominan bagi membela nasib rakyat ketika ini.

    Sama-sama kita berdoa dan berharap, parti-parti selain BN dapat bekerjasama dan membentuk blok yang lebih kukuh bagi menghadapi BN pada PRU15 nanti kerana jika tidak rakyat akan terpaksa melalui episod diperintah oleh mereka yang pernah ditolak rakyat sebelum ini.

  • Balu Allahyarham Jamaludin Jarjis mohon pinda tuntutan saman harta sepencarian RM1 bilion

    Balu Allahyarham Jamaludin Jarjis mohon pinda tuntutan saman harta sepencarian RM1 bilion

    PUAN Sri Kalsom Ismail, balu bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter, telah memfailkan permohonan bagi meminda tuntutan samannya terhadap empat anak dan ibu mertuanya berhubung harta sepencarian kira-kira RM1 bilion.

    Peguam Syarie, Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Kalsom selaku plaintif berkata pihaknya akan meminda pernyataan tuntutan saman membabitkan beberapa aset antaranya hartanah.

    “Permohonan plaintif (Kalsom) bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk meminda tuntutan saman itu akan didengar 17 Mei ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sebutan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Hadi Hamat.

    Sementara itu, Peguam Syarie, Nur Hidayah A. Bakar yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah, 88, selaku defendan kelima berkata pihak plaintif telah memfailkan permohonan itu pada 25 Mac lepas.

    Menurut Nur Hidayah, pindaan itu membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat yang akan dibuang dalam pernyataan tuntutan tersebut.

    “Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan arwah (Jamaludin) semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Selangor akan dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda itu,” katanya.

    Kalsom, 66, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan ibu mertuanya Aminah sebagai defendan.

    Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

    Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. – BERNAMA

  • Semua Ahli Parlimen PH sokong RUU Anti Lompat Parti

    Semua Ahli Parlimen PH sokong RUU Anti Lompat Parti

    PAKATAN Harapan (PH) menyatakan komitmen penuh bahawa kesemua ahli Parlimen gabungan itu akan memberi sokongan terhadap meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan Isnin depan.

    Majlis Presiden PH dalam kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan komitmen bahawa tiada perubahan kepada notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat dijadualkan 11 April ini.

    Menurut Majlis Presiden PH, komitmen itu disuarakan Perdana Menteri dalam pertemuan bersama pimpinan utama PH pagi tadi.

    Majlis Presiden PH berkata, pertemuan itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung status pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan (Anti Lompat Parti) pada 11 April ini.

    “Perdana Menteri telah memberi komitmen bahawa tidak ada perubahan kepada notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 April seperti mana yang telah diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen.

    “Majlis Presiden PH memberi komitmen penuh bahawa kesemua ahli Parlimen PH akan memberi sokongan bagi tujuan meluluskan pindaan Perlembagaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kenyataan bersama itu dikeluarkan pimpinan utama PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfried Madius Tangau.

    Kenyataan itu turut memaklumkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang turut membangkitkan isu aplikasi MySejahtera yang didakwa dimiliki sebuah syarikat negara asing.

    Majlis Presiden PH beranggapan, isu tersebut perlu diberi penjelasan penuh kepada Dewan Rakyat.

    Pada 24 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan keputusan Perdana Menteri supaya satu Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membentangkan rang undang-undang itu yang akan diadakan pada 11 April ini.

    Namun, ia tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan pada 6 April ini, katanya.

  • Zahid patut ‘cermin dulu’ sebelum cakap soal Muhyiddin

    Zahid patut ‘cermin dulu’ sebelum cakap soal Muhyiddin

    Analisis

    Oleh Mikail Firdaus

    BILA Zahid Hamidi mula bersuara susulan pertemuan Muhyiddin Yassin dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan mengkritik Presiden BERSATU itu, maka jelaslah bahawa sebenarnya UMNO dan BN dalam keadaan cuak. Zahid cukup takut jika kerjasama politik antara PN dengan parti pembangkang menjadi kenyataan.

    Ini kerana Zahid tahu UMNO dan BN bakal tewas dalam PRU-15 nanti jika undi untuk pembangkang tidak terpecah. Zahid sedar bahawa senario di PRN Melaka dan PRN Johor yang sebelum ini menguntungkan BN tidak akan berulang, jika usaha penyatuan yang digerakkan oleh Muhyiddin menjadi kenyataan.

    Lebih menjadi mimpi ngeri buat Presiden UMNO itu ialah jika BN tewas dia tidak akan kembali berkuasa. Namun, bila Zahid menuduh Muhyiddin tidak berprinsip susulan pertemuan Presiden BERSATU itu dengan Tun Mahathir – ini kelakar.

    ‘Tubuh’ Zahid sendiri sebenarnya penuh dengan calar, parut serta ‘dosa politik’. Zahid ini barangkali lupa agaknya bahawa Muhyiddin tidak salah untuk merintis kerjasama politik bagi berdepan PRU-15 kerana faktanya UMNO dan BN sendiri bermati-matian menolak PN.

    Jadi kenapa Zahid perlu melenting jika benar sekalipun Muhyiddin mahu kembali jadi Perdana Menteri? Muhyiddin bukan ada kes mahkamah seperti Zahid – yang tidak patut dan tidak boleh dibenarkan menjadi Perdana Menteri adalah orang yang ada kes mahkamah seperti yang berlaku pada Zahid sekarang.

    Dalam hal ini sebenarnya, Zahid perlu malu dengan Muhyiddin. Muhyiddin tidak menafikan beliau bertemu Tun Mahathir dan Anwar serta ada berbincang dengan Shafie Apdal. Sebaliknya, mengakui perkara itu demi merintis kerjasama – bukan untuk mengguling kerajaan tetapi bagi menghadapi PRU-15.

    Berbeza dengan Zahid – walaupun tersebar audio perbualan telefon bersama gurunya – walaupun tular surat akuan bersumpah sokongannya untuk Anwar menjadi Perdana Menteri – Zahid tetap menafikan perkara tersebut.

    Dia hanya mengakui perkara itu dalam mesyuarat tertutup bersama Ismail Sabri. Itu pun setelah didesak beberapa pemimpin dalam Majlis Tertinggi UMNO tetapi Zahid sampai sekarang tidak pernah membuat pengakuan terbuka bagi mengesahkan hal itu.

    Sebab itu, bijak pandai Melayu selalu memberi nasihat sebelum mengata orang elok cermin diri dulu kerana ketika satu jari menuding kepada orang lain, empat lagi jari ‘menembak’ diri sendiri.

    Lebih teruk, dibimbang nanti orang melabelkan kita ibarat ayam jantan – berkokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.Artikel ini adalah pandangan peribadi penulid dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.