Category: Politik

  • PAS Leak tidak tepat format minit mesyuarat Pas, ditulis Jebon

    PAS Leak tidak tepat format minit mesyuarat Pas, ditulis Jebon

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DOKUMEN Pas Leak yang tersebar di media sosial sejak minggu lalu diyakini palsu bersandarkan kepada ciri-cirinya yang sama sekali tidak menepati format minit mesyuarat ditetapkan parti itu.

    Malah menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika ditanya mengenai perkara tersebut, turut mempersoalkan ‘Jebon’ mana yang menulis minit mesyuarat tersebut.

    Selaku individu yang berada dalam hierarki kepimpinan parti katanya, beliau langsung tidak mempunyai pengetahuan berhubung perkara yang dinyatakan dalam dokumen tersebut.

    “Saya kalau bincang nak perang Amerika semua itu, saya tak tulis. Yang tulis itu orang bodoh saja, ada ke tulis lepas tu ‘pi’ bagi orang baca.

    “Entah siapa tulis tu? Jebon mana ‘pi’ tulis minit mesyuarat?” Soalnya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, beliau merasakan dokumen itu dibuat oleh pasukan ‘Cyber Trooper’ pihak tertentu, yang mahu mendapatkan kepentingan daripada kewujudan dokumen tersebut.

    “Contohnya Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jali yang asyik desak Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar buat sumpah laknat. Isham Jali tu ada kepentingan atas dokumen tersebut dan dia sedang menggunakan dokumen itu.

    “Orang macam itu ada potensi buat dokumen tersebut,” katanya.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi berkata, Perikatan Nasional (PN) sebelum ini pernah membincangan mengenai khemah besar yang dianjurkan Pakatan Harapan (PH) dengan Pas sudah pun membuat keputusan untuk tidak menyertainya.

    “Pas menolak rancangan itu. Kalau Pas tak turut serta, PN pun tak cukup kerusi dan tak boleh ‘pi’ la untuk sertai khemah besar itu.

    “Ada orang kata khemah besar itu melibatkan DAP, tetapi ada juga yang kata tanpa DAP. Tanpa DAP atau tidak, tak mungkinlah kami sertai khemah besar itu,” katanya.

    Tambahnya, pengalaman selama 20 tahun bersama PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) merupakan antara faktor mengapa Pas memilih untuk tidak menyertai gabungan baharu yang dirancang itu.

    “Benda yang kita pernah buat dengan PKR, semua strategi dalam pakatan itu tak akan berulang,” katanya.

  • Dr M ‘tak berganjak’, walaupun disaman Zahid

    Dr M ‘tak berganjak’, walaupun disaman Zahid

    TUN Dr Mahathir Mohamad terus berpegang kepada kenyataannya berhubung Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta bantuannya untuk menggugurkan tuduhan rasuah, sekalipun Presiden UMNO itu memfailkan saman fitnah terhadapnya.

    Peguamnya, Mior Haidir daripada Tetuan Haidir & Co berkata, bekas Perdana Menteri itu mungkin akan memfailkan tuntutan balas jika perlu.

    “Anak guam kami, Dr Mahathir Mohamad menafikan setiap dakwaan dan tuntutan fitnah seperti yang dinyatakan oleh plaintif (Zahid),

     Ingin dimaklumkan bahawa anak guam kami tidak berganjak bahawa kenyataan yang telah dinyatakan oleh beliau adalah benar dan memelihara hak beliau untuk memfailkan tuntutan balas jika perlu di mahkamah kelak,’’ katanya dalam kenyataan lapor FMT.

    Zahid dilaporkan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini minggu lepas bagi memohon injunksi untuk menghalang Mahathir daripada mengulangi dakwaannya selain menuntut ganti rugi teruk, am dan teladan.

    Dr. Mahathir, yang juga pengerusi Pejuang, dikatakan membuat kenyataan itu pada majlis parti di Yayasan Perdana, Putrajaya pada 23 Feb, dengan rakaman videonya disiarkan di beberapa portal berita.

    Ahmad Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, mendakwa kata-kata tersebut bermakna beliau menggunakan jalan pintas bagi menyelesaikan kes jenayahnya, selain membawa maksud beliau tidak menghormati pihak berkuasa atau sistem keadilan.

    Beliau tidak pernah berjumpa Mahathir untuk meminta bantuan menyelesaikan kesnya, katanya, dan kata-kata Mahathir tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan berniat jahat.

    Sementara itu Mior berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 17 Jun ini untuk pengurusan kes berhubung tuntutan Ahmad Zahid.

    Ahmad Zahid kini dibicarakan atas lebih 80 tuduhan berkait rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah di mahkamah Kuala Lumpur dan Shah Alam.

  • PRU-15: Pejuang hasrat bertanding di Sabah – Mukhriz

    PRU-15: Pejuang hasrat bertanding di Sabah – Mukhriz

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) berhasrat untuk bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

    Mukhriz, bagaimanapun berkata, parti itu belum membuat sebarang keputusan berkaitan jumlah kerusi dan kawasan ditandingi di Sabah pada PRU-15.

    “Insya-Allah, kita (Pejuang) akan menyertai pilihan raya umum termasuk di Sabah tetapi belum ada keputusan dibuat berkaitan jumlah kerusi, di mana (kawasan) hendak bertanding dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar bersama Pejuang Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

    Turut hadir Ketua Pejuang Sabah, Nicholas Sylvester Abdullah.

    Mengenai Pejuang Sabah, Mukhriz berkata, ia akan dilancarkan secara rasmi di negeri ini pada 22 Mei ini, selain pihaknya turut bercadang untuk memperluaskan lagi pengaruh parti itu di semua 25 kawasan Parlimen seluruh Sabah sebagai antara persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

    Mukhriz berkata, Pejuang berharap dapat membuka cawangan di semua kawasan Parlimen itu dan pada masa ini mempunyai 16 cawangan yang sekali gus menjadi negeri ketiga mempunyai keahlian paling ramai selepas Kedah dan Selangor.

    Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bersikap terbuka untuk membuat perbincangan mengenai jalinan kerjasama dengan mana-mana parti bagi mendepani PRU-15 bukan hanya di Sabah tetapi juga di Semenanjung Malaysia.

    Katanya, semua pihak walaupun mempunyai perbezaan ideologi politik, namun masing-masing memiliki persamaan iaitu untuk mengubah corak politik negara sepertimana pada PRU-14 lepas.

    Mengulas agenda “khemah besar” dibawa oleh Pakatan Harapan (PH), Mukhriz berkata, Pejuang ingin mendengar dan memahami terlebih dahulu maksud sebenar tawaran itu.

    “Apa peranan setiap parti termasuk kami yang dianggap sebagai parti kecil, hanya empat ahli Parlimen. Jadi kita mahu beri ruang kepada mereka untuk menerangkan maksud sebenar ‘khemah besar’ itu.

    Kalau ingat zaman PH pasca PRU14, ’khemah besar’ yang diwujudkan ketika itu memberi ruang kepada semua parti tidak kira berapa jumlah kerusi dimenangi penyertaan dalam jemaah menteri. Itu satu pendekatan. Jadi kita nak faham apakah pendekatan seperti itu juga hendak diamalkan atau ada pihak tertentu akan mendominasi ‘khemah besar’ tersebut,” katanya. – BERNAMA

  • Khemah Besar pembangkang; MUDA belum buat keputusan rasmi

    Khemah Besar pembangkang; MUDA belum buat keputusan rasmi

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) belum membuat keputusan rasmi berhubung kerjasama di bawah konsep ‘Khemah Besar’ yang diusulkan Pakatan Harapan (PH) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Naib Presidennya, Dr. Teo Lee Ken berkata, perkara itu bagaimanapun turut dibincangkan barisan kepemimpinan parti tersebut sebelum ini, namun tiada sebarang keputusan muktamad dibuat setakat ini.

    Bagaimanapun jelas beliau, parti MUDA sentiasa memberi sokongan kepada gabungan pembangkang sekali gus terbuka kepada sebarang perbincangan dan peluang bersama gabungan tersebut.

    “Setakat ini tiada keputusan muktamad mengenai konsep Khemah Besar ini dan perbincangan lanjut mengenainya akan terus dijalankan.

    “Sebarang kenyataan rasmi mengenai pendirian MUDA berhubung perkara ini juga akan dibuat Presiden kami, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran kerjasama rasmi antara Actnow dan MUDA Pulau Pinang di Penang Digital Library Pulau Pinang hari ini.

    Sebelum ini Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan meminta pemimpin pembangkang berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan ‘Khemah Besar’ sebagai persediaan menghadapi PRU-15.

    Malah, Salahuddin yang juga Naib Presiden PH menyarankan PH membuka pintu rundingan dan perbincangan termasuk dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas bagi memastikan pembangkang ampuh dalam menghadapi Barisan Nasional (BN).

    Sementara itu Lee Ken berkata, parti MUDA menerima sambutan menggalakan di Pulau Pinang yang mana seramai 3,000 orang sudah mendaftar sebagai ahli setakat ini.

    Jelasnya, sambutan itu merupakan petanda positif yang mana Pulau Pinang merupakan antara negeri yang diberikan tumpuan oleh MUDA selain Sabah; Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor.

  • [VIDEO] Lebih berpengalaman dan setia, Saifuddin yakin tewaskan Rafizi

    [VIDEO] Lebih berpengalaman dan setia, Saifuddin yakin tewaskan Rafizi

    SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yakin beliau mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan kesetiaan kepada parti berbanding pesaingnya bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

    Sehubungan itu, Saifuddin menganggap faktor tersebut memberi kelebihan kepadanya untuk menewaskan Rafizi dalam pemilihan PKR bulan depan.

    Memetik laporan FMT, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu merujuk kepada rekodnya yang tidak pernah berundir daripada perjuangan parti lebih-lebih lagi semasa PKR dilanda pelbagai masalah termasuk selepas rejim Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan berkuasa.

    “Saya bawa pengalaman yang lama dalam parti.. selama 23 tahun. Saya kekal dalam parti PKR tanpa rehat dan tanpa undur, saya bawa kesetiaan dalam parti…ketika parti diuji dengan episod khianat,” katanya dalam wawancara khas bersama FMT.

    Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan tiba-tiba membuat penampilan semula dalam politik arus perdana menjelang pemilihan PKR.

    Sebelum itu, beliau ‘bercuti’ sejak penghujung 2019 selepas tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan parti bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.

    Naib Presiden PKR itu dikecam oleh pemimpin-pemimpin partinya sendiri apabila mengumumkan ingin mencuba nasib sekali lagi bertanding jawatan nombor dua PKR serta memberi bayangan bakal kembali ke pentas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Berhubung tindakan Rafizi ‘bercuti’ ketika PKR berdepan krisis yang dianggap oleh pihak tertentu sebagai satu pengkhianatan, Saifuddin berpandangan sebaliknya.

    Beliau berkata, Rafizi tidak keluar PKR selepas meraih jawatan, dalam parti dan kerajaan seperti mana dilakukan individu lain.

    “Saya tidak melihat itu sebagai satu pengkhianatan. Rafizi memilih untuk berehat sementara dengan tujuan memberikan fokus kepada perniagaan. Sampai masa, beliau kembali ke gelanggang. Itu bezanya.

    “Setelah beliau tampil menawarkan diri, saya kira beliau sudah mampu menguruskan perniagaannya itu dengan jayanya, dan masanya (sampai) untuk beliau kembali menawarkan diri. Saya kekal menganggap beliau sebagai satu aset yang penting untuk parti,” jelasnya.

    Pada masa yang sama, Saifuddin percaya beliau mempunyai kelebihan dari segi menguruskan parti berbanding Rafizi.

    “Saya juga membawa kemahiran dalam berurusan dengan parti politik sahabat mahupun dengan parti lawan. Misalnya sekarang saya mengetuai jawatankuasa PH dalam MoU (kerjasama) dengan kerajaan persekutuan membolehkan saya berunding dengan Perdana Menteri atau menteri yang terlibat.

    “Jadi semuanya itu saya percaya akan memberikan nilai tambah dengan kedudukan saya untuk parti itu sendiri dan juga gabungan (PH),” ujarnya.

  • PRU-15: Rundingan Bersatu dan parti lain memberangsangkan

    PRU-15: Rundingan Bersatu dan parti lain memberangsangkan

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun rundingan untuk bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih di peringkat awal, tetapi ia sudah menunjukkan tanda memberangsangkan.

    “Kita memang sudah mula (berunding), tapi kita tak buat apa-apa pengumuman kerana masih di peringkat awal.

    “Dalam pertemuan awal pun dah ada petanda yang agak memberangsangkan. Mereka (parti lain) ada persediaan untuk berbincang, cuma kita belum selesai lagi cara macam mana nak bentuk dalam satu persefahaman untuk mengelakkan pertembungan.

    “Maka, saya fikir pimpinan parti lain seharusnya boleh berfikiran sama dan saya fikir mereka sudah menunjukkan reaksi agak positif, tapi belum lagi kita perhalusi macam mana cara jalinan kerjasama itu nak dilaksanakan,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa Bersatu di Menara PGRM, Kuala Lumpur.

    Tambah Muhyiddin, rundingan dengan parti lain bertujuan memastikan tiada pertandingan banyak penjuru bagi memudahkan saingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

    “Kita bersedia untuk duduk berbincang dengan mana-mana parti bagi mencari formula, baik parti yang kita sehaluan atau sepemikiran, dengan erti kata lain, kalau tak ada gabungan antara parti, maka undi berpecah.

    “Walaupun BN dan UMNO bukan parti yang berpengaruh seperti dulu, tetapi mereka parti yang mempunyai jumlah undi sedikit lebih daripada kita, sebab itu mereka cipta kejayaan (dalam pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini).

    “Kita perlu mencari formula menang-menang supaya akhirnya dapat berhadapan pilihan raya umum menentang BN satu lawan satu.”

    Ditanya sama ada Bersatu sedia bekerjasama dengan PKR dan Amanah dalam Pakatan Harapan, beliau tidak menjawab secara jelas, sebaliknya memaklumkan pendirian parti itu sejak dulu mengamalkan sikap terbuka untuk menjalin kerjasama dalam apa jua bentuk.

    “Persefahaman ini penting untuk mengelakkan perpecahan undi sebagaimana yang kita saksikan berlaku di PRN Melaka dan Johor.”

    Jumaat lalu, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, gabungan itu sedia berunding dengan mana-mana parti untuk bekerjasama dalam menghadapi PRU15.

    Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub kemudian menggesa kepimpinan PH tidak terus menutup ruang perbincangan dengan semua parti politik blok pembangkang menjelang PRU15, termasuk PAS dan Bersatu.

  • Motif tular PASLeaks agar MN tidak digerak semula – Tun Faisal

    Motif tular PASLeaks agar MN tidak digerak semula – Tun Faisal

    PENYEBARAN ‘PASLeaks’ dibuat oleh pihak yang tidak mahu melihat Muafakat Nasional (MN) digerakkan semula selain meningkatkan lagi kebencian kumpulan tertentu dalam UMNO terhadap PAS.

    Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, PASLeaks, yang tular di media sosial, bukan minit mesyuarat atau sebarang perancangan sebaliknya suatu catatan yang tidak diketahui dibuat oleh siapa dan sama ada kandungannya benar atau ditokok tambah.

    Setiausaha Akhbar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa itu berkata, bagi UMNO, PASLeaks dilihat boleh mencetuskan semula polemik dua mazhab iaitu ‘UMNO Go SOLO’ dan ‘Muafakat Ummah.’

    “Bagi penyokong mazhab Muafakat Ummah, tentulah berita yang diterima tanpa diketahui dengan jelas siapakah sumbernya, ditangani dengan cermat dan penuh tabayyun. Lebih baik bertanya kepada PAS dan menyelami sejauh mana agenda permuafakatan demi mengalahkan musuh yang berbeza ideologi masih kukuh dalam diri mereka,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

    Beliau berkata, bagi penyokong mazhab itu, MN masih boleh digerakkan bagi memastikan matlamat kemenangan dua per tiga majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, bagi penyokong mazhab UMNO Go SOLO pula, berita yang tidak diketahui sumbernya itu disambut ibarat ‘orang mengantuk disorongkan bantal’ kerana ia disebar secara meluas kepada ahli UMNO, ditambah dengan tuduhan yang membakar emosi bahawa ia ‘minit mesyuarat PAS untuk menghancurkan UMNO.’

    “Matlamat akhirnya adalah PAS perlu dibenci oleh UMNO; MN mesti dibenam sedalam-dalamnya dan hanya dengan bertanding solo, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mencapai kemenangan mutlak dua per tiga majoriti.

    “Ia kerana ketika ini, UMNO dalam posisi yang sangat kuat dan bukti daripada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, UMNO telah diterima rakyat dan boleh menang besar jika PRU15 dilaksanakan sekarang,” katanya.

    Beliau turut mengingatkan pihak berkaitan agar membuat pertimbangan yang betul sebelum mendesak PRU15 diadakan.

    Tun Faisal merujuk situasi pada PRU14 apabila Pegawai Khas Perdana Menteri ketika itu yakin BN akan menang besar dua per tiga majoriti dan mengajak meraikan kemenangan seawal 6.30 petang pada hari mengundi walaupun Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) meramalkan BN akan kalah dan hanya memenangi maksimum 90 kerusi.

    Sebelum ini, tular di media sosial beberapa keratan dokumen didakwa merupakan minit mesyuarat PAS yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan UMNO dan BN. – BERNAMA

  • Usah menikam dalam senyuman, Annuar Musa sindir siapa?

    Usah menikam dalam senyuman, Annuar Musa sindir siapa?

    SETIAP ahli mempunyai cara berbeza dalam menzahirkan kesetiaan kepada parti dan perkara itu perlu diraikan, kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

    Malah, beliau menyifatkan percubaan mempertikaikan kesetiaan mereka yang sepanjang hayat berjuang demi parti bukan satu tindakan baik kerana ia akan menanam kebencian sesama ahli sekali gus melemahkan parti.

    “Bercakap tentang setia kepada parti adalah satu tajuk yang sentiasa menarik. Malah hampir semua orang bercakap tentang setianya mereka pada parti…kadangkala bukti setia mereka adalah dengan menuduh pihak lain tidak setia.

    “Pendek kata, kalau pun jasa tak mahu dikenang, setiakawan mahu disalah ertikan, usah soal setia mahu dibicarakan. Usah menikam dalam senyuman,” menurut Annuar dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata kesetiaan kepada parti sememangnya amat penting dan ia berbeza dengan kesetiaan kepada individu yang kadangkala dianggap sebagai tanda setia pada parti.

    Annuar berkata, kesilapan serta perlakuan individu yang menyalahi roh, matlamat dan semangat perjuangan parti tidak boleh menuntut kesetiaan kerana ia adalah daripada aspek individu dan bukannya parti.

    “Begitu juga teguran kepada individu atau perlakuan tertentu, bukan satu perlakuan tidak setia pada parti. Sering parti dijadikan perisai tindakan peribadi. Parti tidak boleh diurus sebagai hak peribadi.

    “Membelakangi mandat parti, tidak menjunjung amanah parti, tindakan tidak patuh kepada keputusan parti, lain ditetapkan parti lain dibuat di luar pengetahuan parti, membohongi parti adalah antara tanda tidak setia kepada parti,” katanya. – BERNAMA

  • Rafizi tak pernah ada hubungan baik dengan Guan Eng – Saifuddin

    Rafizi tak pernah ada hubungan baik dengan Guan Eng – Saifuddin

    RAFIZI Ramli tiada kaitan dengan pelantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku penasihat kepada Lim Guan Eng ketika Ahli Parlimen Bagan itu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dahulu selama setahun.

    Memetik laporan FMT, Saifuddin mendakwa, Rafizi yang juga pesaingnya bagi jawatan Timbalan Presiden PKR tidak mempunyai hubungan baik dengan Guan Eng.

    “Saya kurang pasti kertas kerja apa yang disebut Rafizi yang memberikan saya jawatan di Pulau Pinang?

    “Paling saya ingat Rafizi tidak pernah mempunyai hubungan baik dengan Guan Eng, apa lagi untuk mencadangkan pelantikan saya melalui kertas kerja kepada kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.

    Saifuddin turut menafikan kenyataan Rafizi yang mengatakan dirinya telah berkorban demi membantunya yang ‘hilang kerja’ selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13),

    Menurutnya, beliau dilantik semula sebagai Setiausaha Agung PKR pada 2016 bagi menggantikan Rafizi kerana bekas ahli Parlimen Pandan itu berdepan dengan kes-kes mahkamah termasuk kes National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).

    “Hampir dua tahun selepas itu, iaitu pada November 2016 saya kembali dilantik oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Rafizi yang berdepan kes-kes mahkamah.

    “Rafizi kata dia beri laluan kepada saya. Laluan selepas dua tahun,” ujarnya.

    Semalam, Rafizi berkata beliau berkorban demi membantu Saifuddin ketika ‘hilang kerja’ selepas kalah pada PRU-13.

    Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau memujuk Saifuddin kembali aktif dalam politik susulan kekalahannya pada 2013 selain memberi laluan kepadanya menjadi setiausaha agung parti, jawatan yang kekal disandang Saifuddin sehingga kini.

    Sementara itu, Saifuddin menganggap percubaan Rafizi menjawab isu ‘bercuti’ adalah satu usaha yang baik.

    Beliau tidak mempunyai niat memanjangkan isu ini dan sentiasa menghormati Rafizi sebagai rakan seperjuangan.

    “Saya yakin pertandingan Timbalan Presiden ini tidak akan mencarikkan silaturrahim,” katanya.

  • Khemah Besar? Bersatu belum bincang lagi masuk khemah mana

    Khemah Besar? Bersatu belum bincang lagi masuk khemah mana

    BERSATU belum menetapkan sebarang pendirian berhubung pendekatan ‘Khemah Besar’ yang melibatkan gabungan beberapa parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia hanya akan diputuskan selepas perbincangan dilakukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

    “Kami belum bincangkan tentang khemah mana yang kami ingin sertai sama ada khemah besar atau kecil. Ini semua terserah kepada keputusan yang akan dibuat MPT setelah tiba masanya nanti.

    “Rakan-rakan dalam komponen Perikatan Nasional tentunya akan terus komited bersama kami, terutama sekali di Semenanjung ini,” katanya kepada pemberita ketika program Singgah Sahur Bersama Media dan Belia negeri Perak di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, fokus utama Bersatu pada masa ini adalah untuk memperkasa dan memantapkan hubungan dengan PAS yang dilihat mampu meneruskan agenda perjuangan agama, bangsa dan tanah air selain menolak segala kemungkaran dan salah guna kuasa.

    Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini dilapor berkata pemimpin parti pembangkang perlu berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan pendekatan ‘Khemah Besar’ untuk berdepan Barisan Nasional. – BERNAMA