Category: Politik

  • Rafizi dakwa 63 peratus pengundi tidak tahu nak pilih parti mana

    Rafizi dakwa 63 peratus pengundi tidak tahu nak pilih parti mana

    BEKAS Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa 63 peratus daripada pengundi di negara ini tidak tahu untuk memilih mana-mana parti dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

    Justeru, beliau yang juga calon Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR berkata, golongan ini mengharapkan satu pembaharuan dan isyarat jelas daripada parti politik yang bertanding.

    Memetik laporan Berita Harian, beliau bagaimanapun yakin Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang untuk menang sekali lagi dalam PRU akan datang, dengan syarat keyakinan rakyat terhadap gabungan itu perlu dipertingkatkan.

    “Kita tengok keadaannya ialah undi UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bertambah. UMNO-BN masih lagi berada pada takat sokongan yang sama pada 2018, tetapi penyokong PH yang mengubah kerajaan pada 2018 membuat keputusan untuk mengalihkan sokongan itu kebelakangan ini kepada Perikatan Nasional (PN).

    “Ia menyebabkan dalam pertembungan tiga penjuru, BN tetap kembali tetapi sebenarnya dengan undi minoriti rakyat. Realitinya, 63 peratus pengundi negara ini tidak tahu untuk memilih mana-mana parti apabila masuk PRU akan datang dan mereka mengharapkan satu pembaharuan dan isyarat jelas daripada parti politik bertanding,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika program Berani Semuka bersama Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertajuk Siapa Layak Bersama Anwar? yang dianjurkan Sinar Harian, hari ini.

    Mengulas lanjut, Rafizi berkata penting untuk PH meyakinkan rakyat bahawa gabungan itu memiliki kemampuan untuk mentadbir sekiranya diberi peluang, bukannya sekadar berunding di bawah strategi khemah besar sehingga melalaikan apa yang disuarakan rakyat.

    “(Kita perlu yakinkan rakyat) dengan cara kita ada penyelesaian, kita ada pimpinan dan kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi kembali hati rakyat melalui gagasan itu dan bukannya dengan cara kita terus berunding sehingga kita melalaikan apa yang disuarakan oleh rakyat,” katanya.

    Dalam pada itu Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan turut menyenaraikan beberapa faktor yang menyebabkan kelesuan politik dalam kalangan rakyat.

    Katanya, ini termasuklah isu ekonomi sehingga tidak lagi mampu menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji setimpal kepada anak muda, isu perbekalan makanan yang negara banyak bergantung kepada import, kenaikan harga barang dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk peristiwa ‘Langkah Sheraton’ lebih dua tahun lalu.

    Beliau berkata, faktor dan peristiwa berkenaan mengakibatkan berlakunya kelesuan politik dan perkara itu dizahirkan dalam beberapa siri PRN lalu sehingga memperlihatkan semua parti lebih sibuk mencatur mendapatkan laba, kedudukan dan kuasa daripada benar-benar bersaing menyelesaikan masalah berbangkit.

  • PAS konsisten perkukuhkan MN, perkasa PN menjelang PRU-15

    PAS konsisten perkukuhkan MN, perkasa PN menjelang PRU-15

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PAS konsisten berpegang kepada keputusan dibuat parti itu sebelum ini, untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

    Menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, partinya konsisten terhadap keputusan itu memandangkan kedua-dua gagasan tersebut memiliki matlamat sama iaitu membawa kepada penyatuan ummah.

    Katanya, langkah untuk memperkukuhkan kedudukan politik orang Melayu dan menyatupadukan ummah amat penting ketika cabaran kepada umat Islam di seluruh dunia kini dilihat semakin hari, semakin meningkat.

    “Cabaran kepada umat Islam ini datang dari pelbagai penjuru dan ‘ubat’ untuk menghadapi semua isu ini adalah memperkukuhkan perpaduan serta kerjasama dalam kalangan umat Islam.

    “Pas tak ada masalah untuk bekerjasama dengan PN mahu pun MN dalam memperkukuhkan umat Islam di Malaysia terutamanya dalam bidang politik. Kedua-dua gagasan itu ada kepentingan untuk Islam dan Melayu,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

    Muhammad Sanusi menambah, walau apa pun alasan diberikan pihak lain untuk menolak apa-apa gagasan, Pas tetap mengajak untuk memperkukuhkan perpaduan Melayu politik Islam di negara ini.

    Katanya, kuasa politik Melayu mesti dominan berdasarkan komposisi kaum di Malaysia dan sejarah latar belakang negara.

    “Bagi berdepan cabaran masa depan pula, kita mesti bersatu padu. Benda lain yang mengganggu-gugat usaha menyatu padukan Melayu dan Islam, perlu diketepikan oleh sesiapa pun.

    “Ketepikan kepentingan diri, peribadi dan kelompok. Marilah bersatu-padu untuk mengukuhkan kuasa politik umat Islam dan Melayu,” katanya.

    Ditanya sama ada pegangan tersebut bermaksud Pas sedia bekerjasama dengan UMNO dalam PRU akan datang, Muhammad Sanusi kata partinya itu langsung tiada masalah dengan perkara itu.

    “Pas tak ada masalah apa. Kalau UMNO ada masalah, itu mereka punya pasal. Jadi merekalah yang kena selesaikan,” katanya.

  • Anthony Loke nafi lebih ramai MP DAP tak tanding PRU-15

    Anthony Loke nafi lebih ramai MP DAP tak tanding PRU-15

    SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menafikan dakwaan lebih ramai ahli Parlimen parti itu tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Namun Ahli Parlimen Seremban itu berkata, PRU-15 akan datang bakal menyaksikan lebih ramai calon baharu daripada DAP.

    “Setahu saya, satu-satunya ahli Parlimen yang membuat pengumuman ini ialah Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Bangi). Tiada pengumuman lain dibuat dan tiada keputusan lain oleh ahli parlimen lain.

    “Tetapi dalam setiap pilihan raya, pasti akan pembaharuan, akan ada calon baru,” katanya dalam sidang media di Kajang, hari ini yang turut dihadiri Kian Ming, lapor MalaysiaKini.

    Bekas Menteri Pengangkutan itu mengulas sama ada Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua akan mengikut jejak Ong.

    Pada 9 Mei lalu, Kian Ming mengumumkan keputusannya untuk tidak menawarkan diri sebagai calon untuk PRU-15 akan datang.

    Susulan pengumuman beliau berehat daripada politik dan tidak menyertai pilihan raya akan datang, spekulasi bertiup kencang bahawa Tony Pua mungkin akan melakukan tindakan serupa.

    Kawasan parlimen Bangi mempunyai tiga kerusi DUN – Sungai Ramal, Balakong dan Seri Kembangan.

    Kerusi Sungai Ramal disandang oleh Mazwan Johar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala Balakong dan Seri Kembangan diwakili oleh Wong Siew Ki dan Ean Yong Hian Wah, daripada DAP.

    Kain Ming yang merupakan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pertama kali menang kerusi Serdang pada 2013 dengan menewaskan veteran MCA dan bekas ahli Parlimen Yap Pian Hon dengan mengundi 79,238 undi (67.98 peratus).

    Pada 2018, beliau mempertahankan parlimen Bangi yang lebih luas (dinamakan semula selepas persempadanan semula 2018) dengan menewaskan Liew Yuen Keong daripada MCA, Shafie Ngah daripada Pas dan Dennis Wan daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) selepas meraih 102,557 undi (65.6 peratus).

  • Keluar masuk parti politik untuk jaga kepentingan rakyat:Hamzah

    Keluar masuk parti politik untuk jaga kepentingan rakyat:Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan pemimpin politik yang keluar masuk parti sama sebagai bukan isu baharu malah menganggapnya untuk menjaga kepentingan rakyat.

    Ahli Parlimen Larut itu berkata, situasi tersebut sudah berlaku sekian lama dalam melindungi kemaslahatan dan kepentingan rakyat seperti dilakukan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    “Pada saya, apa sahaja yang sudah berlaku dalam tiga tahun lalu, iaitu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) sudah pun terjadi. Ada yang berlaku dengan perancangan dan ada yang berlaku kerana strategi tertentu, tetapi semuanya untuk kepentingan rakyat.

    “Saya sendiri tidak pernah keluarkan kenyataan untuk membabitkan sesiapa, yang penting adalah supaya kerajaan ketika ini adalah kerajaan stabil yang mampu memastikan agenda kerajaan dilakukan dengan terbaik, juga supaya rakyat tidak hidup kegelisahan dalam keadaan kepemimpinan yang terumbang ambing.

    “Sama ada ahli parti keluar masuk, ia berlaku sejak dulu lagi. Almarhum Tunku Abdul Rahman sendiri pernah keluar parti, begitu juga Dr Mahathir,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad, yang menganggap mereka yang meninggalkan parti itu suatu ketika dahulu mempunyai alasan dan sebab tersendiri.

    Berikutan itu, tegas Md. Alwi, UMNO tidak boleh berdendam terhadap mereka yang pernah keluar parti, sebaliknya perlu bersikap terbuka dan memaafkan kekhilafan individu terbabit.

    Hamzah berkata, kepentingan rakyat menjadi tunjang utama dalam tindakan yang dilakukan oleh ahli dan pemimpin parti politik.

    “Agenda utama adalah untuk kepentingan rakyat dan bukannya individu. Sama ada guna kaedah kepartian, yang penting adalah apabila lakukan sesuatu dan harus dilakukan, ia perlu dilaksana dengan terbaik serta niat yang baik. Tidak timbul kehendak sendiri, sebaliknya (demi) kemaslahatan yang lebih besar,” katanya.

  • UMNO mesti dengar teguran, jangan syok sendiri-Mohamad Hassan

    UMNO mesti dengar teguran, jangan syok sendiri-Mohamad Hassan

    TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan mengingatkan parti itu supaya terus menjadikan pentas wacana sebagai platform diskusi serta mendengar sebarang teguran daripada semua pihak termasuk pemegang taruh dan rakyat.

    Beliau berkata, usaha itu perlu bagi memulihkan semula parti yang menjangkau usia 76 tahun itu agar kekal relevan dan diterima rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Jangan hanya perlu menunggu kehadiran tarikh 11 Mei yang bersamaan dengan ulang tahun penubuhan UMNO untuk berikrar memperkasakan parti dengan menyusun strategi, memperbaiki kelompongan dan kelemahan parti.

    “Jangan tunggu (setiap) 11 Mei sahaja, ini (wacana) permulaan UMNO untuk mencerdaskan (parti). Kita akan jadikannya suatu platform untuk sentiasa membuat hubungan dengan pemegang taruh. UMNO tidak boleh sesama kita sahaja.

    “(UMNO) mesti membuka telinga, minda kita kepada apa juga kritikan teguran dan pandangan daripada semua pihak untuk kita perbaiki dan untuk kita perkasakan semula UMNO dan menyusun strategi parti untuk terus relevan dengan masa,” katanya.

    Mohamad berkata demikian semasa merasmikan Wacana Aspirasi UMNO bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ sempena ulang tahun ke-76 UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, sudah tiba masanya UMNO terus digerakkan dalam usaha menjadi benteng kepada rakyat terutama ketika melangkah ke PRU-15.

    “Jangan kita berbincang sesama sendiri, mesti dibuat macam ini (wacana) bawa semua orang pemegang taruh, NGO (pertubuhan bukan kerajaan). Profesor, belia dan siapa sahaja yang ingin menyumbang nak melihat supaya UMNO supaya parti besar dan dominan terus relevan dan akan terus menjadi parti boleh dijadaikan sebagai asas kepada pentadbir negara.

    “Oleh sebab itu saya sebut tadi, jangan kita syok sesama sendiri, buka telinga, buka minda kita, jangan kita buat UMNO seperti sebuah parti yang pegun,” jelasnya lagi.

  • Jika perasuah terus didewakan Malaysia berisiko jadi seperti Filipina

    Jika perasuah terus didewakan Malaysia berisiko jadi seperti Filipina

    KEADAAN yang berlaku di Filipina ketika ini tidak mustahil berlaku di Malaysia sekiranya pemimpin yang terlibat rasuah terus didewakan dan diangkat sebagai pemimpin sedangkan rakyat berhak untuk memilih pemimpin bersih serta beramanah.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin, pemilihan pemimpin juga akan mencerminkan nilai dan akhlak rakyat Malaysia yang bakal menentukan kesejahteraan dan kemakmuran negara.

    “Kerana itu Malaysia memerlukan rakyat yang jujur dan mengutamakan nilai untuk mengangkat individu berwibawa, berintegriti sebagai pemimpin.

    “Kemenangan peperangan kita terhadap rasuah memerlukan strategi holistik dan komprehensif, bermula daripada daya tahan dalaman dan kemampuan menahan gejolak nafsu terhadap material dan kebendaan yang bersifat duniawi semata-mata.

    “Kezaliman akibat rasuah meninggalkan legasi yang hina dan keji sedangkan setiap daripada kita manusia tetap akan berakhir dengan kematian seperti mana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Anbiyaa ayat 35 yang bermaksud: Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.

    “Mengelakkan Malaysia menjadi seperti Filipina, Sri Lanka dan empayar lain yang jatuh akibat ketirisan, salah guna kuasa dan rasuah, pendekatan punitif dan preventif perlu dilaksanakan dengan penglibatan kolektif agensi penguat kuasa sebagai instrumen yang mengekang wabak rasuah tersebut daripada terus berleluasa,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas mengenai kemenangan besar Ferdinand Marcos Jr dalam Pilihan Raya Presiden Filipina, sekali gus mencatat kemenangan menerusi majoriti sejak revolusi 1986 yang menggulingkan pemerintahan diktator bapanya.

    Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, tumbangnya dinasti Marcos 36 tahun dulu adalah kerana amalan korupsi, nepotisme dan kronisme yang menyebabkan kontroversi politik berlaku dan akhirnya menyumbang kepada ketidakstabilan negara tersebut.

    Justeru katanya, rakyat tidak boleh membiarkan kedudukan meruncing Malaysia dalam indeks persepsi rasuah (CPI) bertambah buruk dan menjadi seperti Filipina.

    “Rakyat bersama-sama berperanan membanteras jenayah rasuah. Tanggungjawab ini bukan kuasa mutlak pihak berwajib semata-mata,” katanya.

  • Wujud penipuan, manipulasi undi pada Pemilihan PKR 2022

    Wujud penipuan, manipulasi undi pada Pemilihan PKR 2022

    BEBERAPA Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan mendakwa kemungkinan wujud manipulasi undi pada Pemilihan PKR 2022 menerusi sistem pengundian secara dalam talian yang digunakan.

    Menurut mereka yang enggan mendedahkan nama memberitahu, ini kerana nombor ‘One Time Password’ (OTP) yang dihantar kepada pengundi bagi tujuan itu boleh dikongsi dengan sesiapa sahaja.

    Sebagai contoh katanya, jika seseorang calon tahu mana-mana pengundi yang tidak mahir menggunakan aplikasi itu mereka boleh ‘mempergunakannya’.

    “Calon atau sesiapa sahaja boleh meminta nombor OTP yang telah dihantar ke telefon bimbit pengundi dan kemudian boleh mengundi untuk mereka yang kurang arif menggunakan telefon pintar,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR, Datuk M. Ravi mendedahkan ada menerima aduan daripada beberapa ahli yang tidak berpuas hati.

    “Mereka telah dinasihatkan membuat laporan polis jika benar wujud unsur penipuan. Ada yang datang buat aduan kepada saya tetapi apabila diminta buat laporan polis, mereka beri alasan takut.

    “Bagi saya sesiapa pun boleh mendakwa itu dan ini tetapi selagi tidak mahu tampil ke depan sertakan bukti dan buat laporan polis atau laporan bertulis kepada saya sendiri, macam mana kita nak ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, mereka tidak perlu takut jika mempunyai bukti kukuh wujudnya penipuan.

    Ravi mengakui sistem digunakan kemungkinan boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk mendapatkan undi.

    Namun katanya, sistem dalam talian yang digunakan adalah baik dan PKR merupakan parti pertama menggunakan cara itu.

    “Ini mungkin pertama kali kita guna, jadi ada masalah sikit dan saya rasa pada masa akan datang ia perlu ditambah baik.

    “Saya sendiri terpaksa minta bantuan seorang pelajar untuk gunakannya,” katanya.

  • Jangan buat andaian mudah, pandang rendah gerakan politik negara

    Jangan buat andaian mudah, pandang rendah gerakan politik negara

    AHLI Majlis Pimpinan Tinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Faiz Naaman berpendapat penganalisis politik tidak sewajarnya memandang rendah dan membuat andaian mudah kepada mana-mana wadah politik di negara ini.

    Dia berkata sedemikian sebagai respons terhadap artikel diterbitkan Free Malaysia Today (FMT) yang beranggapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai benteng terakhir bagi Perikatan Nasional (PN).

    Hal ini kerana dia melihat analisis yang dikeluarkan pakar politik bukanlah fakta dan bukanlah sesuatu yang semestinya berlaku.

    Faiz juga percaya pengalaman lepas telah menunjukkan bahawa ramalan mengenai parti yang dilihat sebagai ‘underdog’ untuk tewas dalam sesebuah pilihan raya tidak melumpuhkan atau menamatkan perjuangan parti berkenaan meskipun tidak memperolehi kejayaan.

    “PKR adalah contoh parti yang pernah dan sentiasa diramal untuk ‘bungkus’ jika mereka kalah PRU, namun mereka tetap wujud hingga ke hari ini,” ulasnya lanjut, lapor Satu Berita hari ini.

    Beliau turut percaya sambutan dan populariti sesebuah parti tidak menjadi kayu ukur untuk melihat perjuangan dan semangat yang akan diteruskan.

    Dalam artikel yang dikeluarkan FMT hari ini, James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania percaya PRU 15 merupakan peluang terakhir bagi PN dalam landskap politik negara.

    Artikel itu turut menyebutkan bahawa penganalisis itu percaya PN mampu bertahan sehingga pilihan raya akan datang, namun prestasi yang kurang memberangsangkan akan menghancurkan gabungan itu.

  • ‘’Tuduhan liar untuk pecah belahkan UMNO Melaka’’ – Ab.Rauf

    ‘’Tuduhan liar untuk pecah belahkan UMNO Melaka’’ – Ab.Rauf

    KETUA UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjelaskan tiada dalam pengetahuan beliau sama ada secara langsung atau tidak yang memaksa Datuk Seri Sulaiman Md Ali menandatangani dokumen untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Sehubungan itu beliau menyifatkan, dakwaan sesetengah pihak berhubung perkara itu sebagai tuduhan liar yang bertujuan memecahbelahkan UMNO Melaka yang  sedang bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Beliau yang juga Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri menegaskan, tidak wajar  untuk beliau serta pemimpin UMNO lain tidak menghormati keputusan pucuk kepimpinan parti sejajar janji dalam manifesto dibuat pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, tahun lalu.

    Ab Rauf menasihatkan semua pemimpin UMNO negeri yang pernah membangkitkan isu berkenaan tanpa bukti dan asas kukuh supaya menghentikannya bagi memberi fokus kepada usaha membangunkan Melaka.

    “Selaku Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, tidak berada dalam satu keadaan untuk memaksa Ketua Menteri meletakkan jawatan, untuk apa memaksa beliau (Sulaiman) kerana tiada arahan atau keputusan daripada pucuk kepimpinan parti untuk melakukannya./

    “Saya bersama Sulaiman dan semua jentera negeri berada dalam keadaan harmoni dalam menjalankan tugas membangunkan negeri, selaras dengan misi manifesto yang sudah kita buat,” katanya lapor Berita Harian.

    ADUN Tanjung Bidara itu turut mengingatkan semua pihak tidak membuat tuduhan liar yang boleh mengeruhkan suasana untuk menghadapi PRU15 kelak.

    Semalam, Pemangku Ketua Umno Bahagian Alor Gajah, Rospandi Leman, dilapor tidak menafikan wujud paksaan pihak tertentu supaya Sulaiman menandatangani surat peletakan jawatan dalam masa terdekat.

    Kenyataan itu susulan dakwaan dimuat naik di sebuah akaun Facebook kononnya Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Kelmarin, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Mohamad Ali Mohamad, menafikan khabar angin mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai ketua menteri serta menganggap ia sebagai fitnah dan tidak berasas.

    Sulaiman yang juga ADUN Lendu mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 21 Nov tahun lalu selepas Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka.

  • Biarlah Ismail Sabri tentu bila PRU-15…

    Biarlah Ismail Sabri tentu bila PRU-15…

    KETIKA Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semakin tenang menguruskan negara bersama dengan barisan Kabinet yang terdiri daripada pelbagai parti, masih ada suara-suara yang mahukan PRU-15 diadakan secepat mungkin.

    Mungkin menyedari keadaan itulah Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan, kestabilan yang sedang dikecapi sekarang tidak perlu dikucar-kacirkan dengan desakan agar Parlimen dibubarkan.

    Kata beliau, jika UMNO mahu Parlimen dibubarkan ketika ini, rakyat akan menghukum parti yang mengkucar-kacirkan kestabilan yang sedang dinikmati. Nazri turut mengingatkan titah Yang di-Pertuan Agong yang manu melihat sebuah kerajaan stabil.

    Kalau diperhatikan, biarpun ketika ini parti-parti tidak kira pembangkang atau yang berada dalam kerajaan tetap melakukan persediaan bagi menghadapi PRU-15, namun mereka tidak mahu ia diadakan dalam terdekat, mereka mahu kerajaan sedia ada dibenarkan menguruskan negara sehingga penggal berakhir.

    Tetapi malangnya yang buat kecoh dan sentiasa  berada dalam keadaan bagaikan ‘cacing kepanasan’ ialah segelintir pemimpin UMNO. Ada antara mereka adalah dalam kalangan disebut ‘kluster mahkamah’ . Mereka inilah yang teruja sangat mahu PRU-15, motifnya kita tidak pasti.

    Namun yang pasti mereka terlalu teruja dengan kemenangan di PRN Johor dan Melaka, walaupun pemerhati politik malah dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri menganggap kemenangan itu terutama di Johor tidak boleh dijadi ukuran kekuatan BN, tetapi fakta itu seolah-olah tidak dipedulikan.

    Kelompok pemimpin yang tempoh  ‘kuasa kepemimpinan’ mereka dalam parti sudahpun berakhir mahu PRU-15 tetapi terlalu takut mengadakan pemilihan dalam parti. Andaian kononnya pemilihan parti akan membawa perpecahan hanya alasan, sebenarnya mereka bimbang dengan kedudukan, kewibawaan dan populariti Ismail Sabri, apatah lagi keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang menamakan Ahli Parlimen Bera itu sebagai calon PM bagi BN dalam PRU-15.

    Dalam situasi itu, mereka mungkin bimbang Ismail Sabri akan mendapat sokongan padu ahli-ahli UMNO untuk menjadi Presiden parti itu. Jika itu terjadi ia bukanlah janggal malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi pasti memahami itulah cara terbaik untuk memperkukuhkan parti yang mana UMNO kembali kepada ‘tradisi’ iaitu Perdana Menteri adalah Presiden UMNO.

    Lagipun dengan menamakan Ismail Sabri sebagai calon PM, sewajarnya beliau diberi kuasa penuh untuk pasukannya dalam UMNO dan pada masa sama tidak diganggu oleh mana-mana pemimpin UMNO yang mendesak PRU-15 diadakan secepat mungkin.

    Ismail Sabri dikatakan orang parti dan amat setia kepada parti. Tetapi perlu difahami sebagai Perdana Menteri, beliau juga perlu mengambil kira kedudukan rakyat dan negara yang baru sahaja mahu bangkit semula selepas dilanda pandemik Covid-19. Justeru adalah tidak wajar jika rakyat mahu diseret ke medan pilihan raya.

    Kalau ada yang ‘dok teruja’ nak berdebat tu, biarkan saja…anggaplah itu ‘hiburan malam’. Apa yang penting Ismail Sabri tidak diganggu sama ada dari dalam atau luar parti ketika menguruskan negara. Bila pilihan raya mahu diadakan, biarlah Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri menentukannya.

    Lagipun setakat ini, Ismail Sabri tidak menghadapi apa-apa masalah dalam menguruskan negara bersama-sama rakan daripada Perikatan Nasional (PN) dan parti dari Sabah serta Sarawak. Keadaan itulah memberi keyakinan kepada pihak luar bahawa politik Malaysia semakin stabil.

    Namun penulis percaya kelompok ‘cacing kepanasan’ tidak akan duduk diam. Mereka akan mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen. Jika itu situasi itu berlaku terserahlah kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menentukannya. Kalau beliau merasakan hujung tahun selepas Bajet 2023 dibentangkan…silakan saja…tetapi pastikan dulu manuver oleh segelintir pemimoin dalam parti sendiri tidak berlaku.

    Tidak dapat dinafikan banyak usaha dilakukan oleh Ismail Sabri semakin menambat hati rakyat terhadap kepemimpinannya tetapi bukan bermaksud dalam partinya semua gembira! Kenapa? Fikirlah sendiri…jadi beliau harus berhati-hati..