Category: Politik

  • RUU Anti Lompat Parti dibentang di Parlimen 18 Julai

    RUU Anti Lompat Parti dibentang di Parlimen 18 Julai

    JAWATANKUASA Pilihan Khas sudah memuktamadkan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya 18 Julai ini

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU Anti Lompat Parti ini akan membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 10, 48, dan penggubalan Artikel 49(a).

    “Pindaan juga akan dibuat dalam Perkara 160 dan Jadual Lapan dalam Perlembagaan Persekutuan. RUU ini akan terpakai kepada Ahli Parlimen yang keluar daripada parti yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) untuk masuk ke parti lain.

    “Ahli Parlimen yang bertanding sebagai calon Bebas namun selepas menang kemudiannya menyertai parti politik lain juga akan terpakai bagi RUU ini.

    “Dalam dua keadaan ini, Ahli Parlimen terbabit perlu mengosongkan kerusi mereka seterusnya PRU perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 60 hari selepas Speaker Dewan Rakyat menerima maklumat mengenai perkara berkenaan (lompat parti),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, menerusi cadangan RUU itu juga, Ahli Parlimen yang disingkirkan daripada parti yang diwakili ketika menang PRU tidak perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi mereka.

    Wan Junaidi berkata, jika berlaku kekosongan kerusi, Speaker Dewan Rakyat perlu mengesahkan perkara itu dalam tempoh 20 hari.

    Katanya, dalam tempoh itu Speaker akan memberi notis kepada SPR mengenai kekosongan kerusi sebelum pilihan raya diadakan.

    “Saya akan mengusulkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar RUU ini dibentangkan namun terpulang kepada beliau sama ada ia akan dibentangkan dalam Persidangan Khas Parlimen atau persidangan seterusnya Julai ini.

    “Jika ia dibentangkan dalam persidangan khas, saya jangka RUU ini boleh digunakan pada September dan selewat-lewatnya Januari depan jika menanti sidang Parlimen pada Julai ini,” katanya.

    Beliau berkata, bagi membolehkan RUU ini diluluskan, seramai 148 Ahli Parlimen perlu menyokong ketika pembentangan kelak.

    Namun, katanya, beliau yakin RUU ini mendapat sokongan hasil daripada komitmen yang ditunjukkan setiap parti yang berada Jawatankuasa Pilihan Khas selain respons baik yang diterima daripada ramai Ahli Parlimen.

  • Bersatu akan isi kekosongan jawatan Menteri Perladangan – Hamzah

    Bersatu akan isi kekosongan jawatan Menteri Perladangan – Hamzah

    JAWATAN Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu tergugur dengan serta-merta selepas beliau mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) hari ini, kata Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Hamzah berkata beliau telah ambil maklum mengenai kenyataan yang dibuat Zuraida itu dan akan membawa perkara berkenaan ke pertimbangan MPT serta bentuk tindakan yang akan diambil terhadap Zuraida.

    “Buat masa ini beliau (Zuraida) belum meletakkan jawatan dalam Bersatu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen 2022 di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya  hari ini.

     Mengulas lanjut, Hamzah berkata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada dua minggu lepas telah bersetuju untuk untuk menggantikan jawatan Zuraida sebagai MPT Bersatu dengan individu lain.

    “Ini berikutan satu surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada Zuraida pada 9 Mei untuk beliau menjawab beberapa soalan berhubung penglibatannya dengan aktiviti yang dianjurkan oleh PBM.

    “Namun, pada 23 Mei menerusi satu surat balas daripada Zuraida, beliau menolak pertuduhan bahawa beliau merupakan ahli PBM dan memohon pejabat Setiausaha Agung Bersatu menyertakan bukti atas tuduhan berkenaan. Tetapi segalanya terjawab pada hari ini,” katanya.

    Mengulas mengenai jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang disandang Zuraida, Hamzah berkata jumlah menteri Kabinet daripada Bersatu telah dipersetujui sebelum ini oleh Presiden Bersatu dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Bermakna, jika Zuraida digugurkan daripada Bersatu maka tempatnya itu akan digantikan oleh seseorang dari Bersatu seperti yang dicadangkan presiden parti untuk menjadi menteri yang mewakili Bersatu,” katanya.

    Ketika ditanya sama ada Bersatu akan terkesan dengan kehilangan Zuraida, Hamzah berkata parti tidak terkesan kerana Zuraida juga sudah tidak aktif dan hanya menggunakan Bersatu untuk kepentingan dirinya.

    “Mesyuarat Agung dan MPT juga beliau tidak hadir. Saya berpendapat, beliau telah menunjukkan sikap sebenarnya. Beliau tidak hadir beberapa mesyuarat parti, iaitu lebih daripada enam mesyuarat,“ katanya.

    Zuraida hari ini mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) kerana percaya dengan perjuangan parti itu dan enam prinsip terasnya.

    — BERNAMA

  • ‘’No way’’ jawapan  Redzuan apabila diajak Zuraida tinggalkan Bersatu

    ‘’No way’’ jawapan  Redzuan apabila diajak Zuraida tinggalkan Bersatu

    AHLI Majlis Pimpinan Tertingg Bersatu, Datuk Seri Redzuan Md Yusof mendedahkan bagaimana beiau menerima jemputan daripada Ahli Parlimen Datuk Zuraida Kamaruddin untuk meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Bagaimanapun Ahli Parlimen Alor Gajah itu dengan tegas menolak tawaran yang dikemukakan kepadanya ketika di luar sidang Parlimen, Disember lalu, iaitu bulan sama ketika parti itu secara rasmi dilancarkan.

    “Zuraida kata…beliau mahu tinggalkan (Bersatu) selepas hilang keyakinan dengan Bersatu dan pimpinannya, katanya Pak Wan, saya mahu keluar Bersatu untuk mempengerusikan PBM. Dia juga ada menjemput saya menyertai, tapi saya kata ‘no way’ kerana saya pengasas bersama Bersatu”,’’ jelas beliau kepada portal berkta FMT.

    Redzuan berkata, beliau menasihati Zuraida agar tidak mendedahkan rancangan secara terbuka susulan beliau merupakan sebahagian daripada Kabinet.

    Katanya, tidak lama selepas itu, pimpinan Bersatu mengadakan perbincangan berhubung laporan pembabitannya di sebalik PBM.

    Beliau berkata, Zuraida mendengar nasihat diberikan dengan menjauhkan diri daripada terbabit dalam pelancaran PBM, namun Zuraida bertindak mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti itu, yang mana diketahui Bersatu, sekali gus parti mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya.

    Redzuan berkata, PBM sedang melakukan persiapan menawarkan “dinamik” dalam politik negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang diramalkannya tidak akan didominasi satu parti tunggal sahaja.

    “Jadi, saya fikir sejumlah orang sedang meletakkan diri pada kedudukan (termasuk) menubuhkan parti untuk mereka menguasai jawatan kanan. Mereka akan menyatakan sokongan kepada mana-mana kerajaan yang akan terbentuk, dan saya fikir mereka boleh menggunakan platform itu untuk mendapat jawatan dalam pentadbiran (baharu). Itu sahaja yang dapat saya katakana,’’ katanya.

    Sementara itu, Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad, mengesahkan menerima borang permohonan Zuraida menyertai parti berkenaan.

    “Permohonan Zuraida akan mengikut proses seperti ahli lain seperti mana ahli lain yang mengikut proses termasuk kelulusan dalam biro politik sebab kita ada beberapa ribu lagi permohonan menjadi ahli yang tertangguh,” katanya.

    Beliau berkata, parti belum membuat keputusan berhubung kedudukan Zuraida dalam parti itu.

    “Belum, kita selesaikan isu status permohonan dahulu dan bincang status jawatan yang sesuai berdasarkan pengalaman yang akan dibincangkan dalam mesyuarat nanti,” katanya sambil menambah Zuraida mampu menguatkan serta memberi nilai tambah kepada PBM.

  • Tindakan Zuraida sudah dijangka, kata Bersatu…Pas kata tak jejas PN

    Tindakan Zuraida sudah dijangka, kata Bersatu…Pas kata tak jejas PN

    PARTI Bersatu menyifatkan tindakan  peletakan jawatan oleh Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bukan suatu yang mengejutkan  sebaliknya ia sudah dijangka.

    Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Ahli Parlimen Ampang itu yang mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM)  sudah menunjukkan tindak-tanduk bertentangan dengan parti terlibat sejak kebelakangan ini.

    “Bersatu memang sudah membincangkan kedudukan Zuraida, selepas meneliti tindak-tanduk beliau yang terkini. Surat tunjuk sebab juga telah dikeluarkan hasil daripada pertimbangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Saiful berkata, Biro Politik Bersatu juga sudah mengambil ketetapan mengenai kedudukan Zuraida dalam parti itu.

    “Dalam keadaan seluruh negara sedang bercakap mengenai peri pentingnya kestabilan politik, nampaknya Zuraida bertindak berdasarkan pertimbangan sendiri saja,” katanya.

    Beliau menjelaskan,  Presiden Bersatu yang juga  Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan mencalonkan pemimpin Bersatu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Zuraidah.

    DI KUALA TERENGGANU, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan Zuraidah tidak akan menjejaskan PN.

    Beliau parti itu yakin sokongan rakyat adalah kekuatan yang seterusnya menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah parti.

    ‘’Setiap individu bebas membuat keputusan memandangkan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. (Ini) negara demokrasi, boleh ikut mana-mana parti (kerana kita) negara demokrasi.”(Peletakan jawatan itu) tak jejaskan PN (sebab) kita (bergantung kepada) sokongan rakyat, Pas bergantung pada rakyat (tetapi) pemimpin boleh pergi boleh datang,” katanya

    Menjawab satu soalan, Abdul Hadi berkata, partinya akan berusaha mempertahankan  gabungan parti politik dalam PN serta mengekalkan prinsip penyatuan ummah yang dimeterai menerusi piagam MN bersama UMNO.

    Katanya agenda perpaduan ummah merupakan agenda terbesar kekal dipertahankan.

    “Kita yakin akan menang (dalam PRU15) dengan mempertahankan PN dan masih kekal bersama MN,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Pas Terengganu.

  • Zuraida letak jawatan menteri kabinet, keluar Bersatu sertai PBM

    Zuraida letak jawatan menteri kabinet, keluar Bersatu sertai PBM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau mengambil keputusan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan langkah itu dibuat selepas mengambil pertimbangan mendalam.

    “Saya telah berkecimpung dalam politik selama 24 tahun, termasuk 14 tahun terakhir sebagai Ahli Parlimen Ampang. Sepanjang penglibatan dalam politik, saya amat bersyukur kerana dapat menyumbang kepada kebajikan rakyat, khususnya pengundi di Ampang dan di kedua-dua Kementerian yang saya telah diberikan amanah untuk berkhidmat.

    “Beberapa bulan kebelakangan ini saya mula berfikir tentang politik negara dan hala tuju masa depan politik saya. Saya telah mendapat maklumbalas dari penyokong rapat saya, pengundi di Ampang, rakan sekerja dalam kerajaan, wakil-wakil dari pertubuhan masyarakat sivil serta kumpulan dari sektor perniagaan dan korporat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, keputusan itu dibuat kerana amat tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

    “Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama yang membantutkan kemajuan negara. Insya Allah, penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat parti ini ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

    “Penyertaan saya ini juga akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara. Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan kini mempunyai beberapa orang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam barisannya,” katanya.

    Beliau bersyukur kerana pendiriannya sebagai Ahli Parlimen Ampang menyokong kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri adalah selari dengan pendirian PBM.

    Zuraida akan bertemu Ismail Sabri dalam masa terdekat untuk membincangkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

    Beliau juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia.

    “Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan mereka melantik saya sebagai menteri Kabinet.

    “Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua kementerian, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka.

    “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan padu yang saya terima sepanjang perkhidmatan saya di kedua-dua Kementerian.
    Saya kini berada di Turki memenuhi undangan memberikan ucapan pada majlis pembukaan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin,” katanya.

    Jelasnya, persidangan itu akan berlangsung selama tiga hari bermula esok dan seterusnya beliau akan ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia.

    Pada 22 Ogos 2020, Zuraida yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama-sama Timbalan Presiden PKRDatuk Seri Mohamed Azmin Ali, seorang lagi bekas Naib Presiden PKR, Ali Biju; Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Indera Mahkota), Datuk Mohd. Rashid Hasnon (Ahli Parlimen Batu Pahat), Datuk Seri Dr. Santhara Kumar (Ahli Parlimen Segamat), Willie Mongin (Ahli Parlimen Puncak Borneo) serta Datuk Kamaruddin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak) mengumumkan keluar PKR dan menyertai Bersatu.

    Semuanya menyatakan pendirian menyokong kepemimpinan Muhyiddin yang ketika itu sebagai Perdana Menteri dan mereka bersedia ditempatkan di 222 kerusi Parlimen dan lebih 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

  • Pemilihan PKR: Undi semula di 13 cabang Jumaat dan Sabtu

    Pemilihan PKR: Undi semula di 13 cabang Jumaat dan Sabtu

    PKR menetapkan proses pengundian semula melibatkan 13 cabang di lima negeri akan dilaksanakan pada Jumaat dan Sabtu ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, undian semula secara fizikal Jumaat ini melibatkan cabang Tumpat, Ketereh, Bachok, Pengkalan Chepa, Gua Musang dan Tanah Merah di Kelantan.

    Beliau berkata, undian pada hari Sabtu ini pula membabitkan cabang Dungun, Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman (Terengganu); Padang Serai (Kedah); Hulu Selangor (Selangor) dan Kota Kinabalu (Sabah).

    “Cabang terlibat akan mengadakan pengundian semula selaras dengan Notis Penangguhan Pengundian terdahulu. Pusat-pusat pengundian akan dimaklumkan secepat mungkin,” katanya menerusi notis makluman yang dimuat naik di Facebook rasmi Pemilihan PKR 2022, hari ini.

    Sebelum ini, JPP memaklumkan undian semula terpaksa dilakukan di 13 cabang berkenaan disebabkan beberapa masalah termasuk isu teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.

    Susulan itu tarikh keputusan tidak rasmi pemilihan peringkat MPP dan Cabang turut dipinda dan tarikhnya akan dipaparkan di laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 Ahad ini.

    Tarikh pencalonan bagi pemilihan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Majlis Pimpinan Wanita turut dipinda pada Ahad. – BERNAMA

  • Gerakan teguh dengan pendirian berjuang demi hak rakyat pelbagai kaum

    Gerakan teguh dengan pendirian berjuang demi hak rakyat pelbagai kaum

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berpegang teguh dengan pendirian berjuang demi hak dan kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama meskipun kini menyertai Perikatan Nasional (PN).

    Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, sejak penubuhan parti itu pada tarikh hari ini pada 54 tahun lalu, parti Gerakan tetap mengutamakan dan melindungi hak serta kepentingan semua kaum.

    Ujarnya, Gerakan akan terus bersuara demi rakyat, mempertahankan kesaksamaan dalam sebarang polisi yang berhubung kait dengan kepentingan serta kebajikan rakyat.

    “Parti Gerakan merupakan sebuah parti yang ahlinya terdiri daripada pelbagai etnik. Kami akan terus berpegang dan memperjuangkan ideologi Parti sungguhpun kami merupakan ahli keluarga PN.

    “Kami tetap akan bersuara demi kepentingan rakyat dan memantau kerajaan yang memerintah kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, serangan dan penularan Covid-19 telah mengakibatkan ekonomi dan kehidupan rakyat berubah.

    Sehubungan itu katanya, adalah penting kepada kerajaan kini untuk memberi tumpuan mengendalikan hal-ehwal negara, memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara supaya rakyat hidup bersatu padu dan harmoni.

    “Memandangkan keadaan penularan wabak Covid-19 di negara kita semakin pulih, dan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) telah diumumkan kerajaan, kami berharap kerjasama antara kerajaan dan rakyat dapat diteruskan dan dieratkan lagi.

    “Ini untuk membanteras Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara kita secepat mungkin supaya kehidupan rakyat kembali normal,” katanya.

  • PN, PH perlu segera kenal pasti ‘kepentingan bersama’ – Penganalisis

    PN, PH perlu segera kenal pasti ‘kepentingan bersama’ – Penganalisis

    GABUNGAN parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu segera mengenal pasti kepentingan bersama bagi merintis penyatuan dan kerjasama sesama mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.

    Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Rusdi Omar, ‘kepentingan bersama’ itu boleh menjadi kunci kepada penyatuan yang selama ini dianggap mustahil oleh banyak pihak ekoran sejarah kerjasama lalu.

    Beliau menegaskan, tanpa penyatuan dan kerjasama, PH dan PN seolah-oleh sudah memberikan kemenangan mudah kepada Barisan Nasional (BN)

    “Kepentingan bersama ini adalah ‘common interest’, yang dia boleh bawa dan, semua boleh terima kerana hendak memperjuangkan parti masing-masing agak sukar.

    “Contoh common interest ni, dari segi rasuah. Semua parti bersetuju, pemimpin semua perlu ada integriti, tiada rasuah dan sebagainya,” katanya kepada  portal SatuBerita.

    Beliau diminta mengulas sikap sesetengah pemimpin PH yang masih berkeras enggan untuk mengadakan sebarang kerjasama bagi menumbangkan BN pada PRU-15 akan datang.

    Rusdi berkata, kepentingan bersama yang dipersetujui itu boleh disertakan ke dalam manifesto gabungan tersebut untuk menyerlahkan lagi hala tuju perjuangan mereka kepada orang ramai.

    Hal ini sekali gus menjadi tarikan kepada pengundi, khusunya dalam kalangan pengundi atas pagar yang dapat membantu meningkatkan peluang mereka semasa pilihan raya akan datang.

    “Kepentingan bersama ini juga penting kerana dapat mengelakkan berlakunya pergolakan antara parti sehingga berlakunya keretakan dalam kerjasama tersebut nanti,” ujarnya.

    Mengulas lanjut Rusdi berkata, PN dan PH tidak mempunyai peluang cerah untuk memenangi hati rakyat sekiranya berlaku pertembungan melebihi dua penjuru dalam sesuatu kawasan.

    “Kalau wujudnya tiga penjuru antara parti pembangkang dengan BN, kemenangan besar dimenangi oleh BN.

    “Kalau kita tengok dalam dua PRN di Melaka dan di Johor, tanpa kerjasama daripada PH dan PN, saya tak nampak mereka boleh berjaya dalam PRU-15. Ini memberi satu kelebihan kepada BN,” katanya.

    Rusdi berkata, sikap hormat menghormati dan saling mempercayai juga perlu ditanam bagi memastikan kerjasama yang terjalin lebih utuh dan mampu bersaing dalam jangka masa yang lebih panjang.

    Perkara ini dilihat berdasarkan pengalaman lalu yang menyaksikan pergolakan antara parti disebabkan tiada kerjasama dan kepercayaan sesama mereka.

    “Setiap parti-parti ini mesti hormat menghormati antara satu sama lain dan bersikap sehati sejiwa, barulah boleh membentuk satu perikatan pembangkang yang kuat,” katanya.

  • Amaran awal untuk PKR,  hanya 12% ahli keluar mengundi

    Amaran awal untuk PKR,  hanya 12% ahli keluar mengundi

    PEMILIHAN PKR kebangsaan menyaksikan sambutan suram dengan hanya 12.26% daripada 1.1 juta ahlinya keluar mengundi, dan sumber dalaman parti memberi amaran bahawa PKR mungkin menuju bencana pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Memetik laporan FMT yang melihat dokumen kiraan, hanya 137,127 daripada 1,118,423 ahli yang layak keluar mengundi secara fizikal atau secara dalam talian. Ini tidak termasuk lapan cabang yang perlu melalui pemilihan semula selepas terdapat gangguan dalam pemilihan pada hujung minggu.

    Jumlah itu menunjukkan undian dalam talian disambut baik dengan 70,200 daripada 76,932 yang mendaftar mengundi.

    Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi secara fizikal sangat rendah dengan hanya 59,056 daripada 1.04 juta pengundi layak mengundi.

    Peratusan keluar mengundi tertinggi di cabang-cabang Selangor, di mana PKR menerajui kerajaan, bagaimanapun, purata bagi negeri itu adalah 13% daripada mereka yang layak mengundi.

    Yang tertinggi adalah di Shah Alam dan Sabak Bernam, di Selangor, di mana kira-kira 24% pengundi mengundi secara fizikal dan dalam talian. Yang terendah adalah di Saratok, Sarawak, di mana hanya 0.27%, atau 4,405 orang mengundi.

    “Ini adalah yang terendah keluar mengundi dalam sejarah pemilihan PKR. Pemimpin harus menganggapnya apa yang berlaku sebagai amaran kerana perkara membabitkan kepentingan dipandang enteng ahli sendiri. Tak perlu lah meneka apa tanggapan orang ramai,’’kata sumber.

    Katanya, sama ada pengundi sudah lesu atau tiada lagi keyakinan terhadap pemimpin utama, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk persengketaan kepimpinan, PKR perlu mengambil perkara ini sebagai petunjuk berhubung prestasi parti itu, pada PRU15.

    Seorang calon di Perak, berkata beberapa cara kempen membabitkan “beli undi” pada pemilihan parti menyebabkan banyak ahli tidak berminat turut serta, justeru menjadi persoalan mengenai integriti parti yang mahu melakukan pembaharuan di negara ini.

    “Akar umbi terjejas mengambil kira kurangnya jumlah keluar mengundi dan bimbang mungkin parti akan kalah teruk pada PRU15,” katanya.

    Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa, mengesahkan jumlah keluar mengundi rendah, sambil menyatakan ia mungkin dikaitkan dengan banyak jawatan tidak ditandingi di semua peringkat, membabitkan kesemua sayap.

    “Bagi perebutan jawatan tertinggi, ramai ahli tidak mengundi kerana menganggap persaingan berlaku secara kekeluargaan, terutama membabitkan jawatan timbalan presiden,” katanya.

    Sementara itu, Naib Presidennya, Tian Chua, menggambarkan jumlah keluar mengundi sebagai “agak baik”.

    “Kita hilang beberapa pemimpin utama di akar umbi yang mungkin menyumbang kepada jumlah keluar mengundi rendah di beberapa bahagian susulan kurangnya persaingan.” Katanya.

    “Saya fikir ada 20% atau lebih ketua bahagian juga menang tanpa bertanding. Selain itu, kita mengadakan pemilihan parti dengan notis singkat, dan juga ketika musim perayaan.”

  • Mahu tanding di Tambun, Aziz Bari ditegur Pemuda Amanah

    Mahu tanding di Tambun, Aziz Bari ditegur Pemuda Amanah

    GARA-GARA terlalu ghairah ingin bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15, pemimpin DAP, Dr Abdul Aziz Bari ditegur Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Khairol Najib Hashim.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu diingatkan supaya menghormati proses rundingan kerusi dalam Pakatan Harapan.

    Khairol Najib berkata demikian ekoran kenyataan Abdul Aziz semalam menyatakan hasrat bertanding di kerusi Parlimen Tambun yang kini disandang Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    “Pemuda Amanah Perak ingin membuat teguran kepada pimpinan PH di semua peringkat agar menghormati mandat yang diberikan oleh kesemua parti anggota dalam PH terhadap jawatankuasa perundingan kerusi yang ditubuhkan dalam menguruskan hal pembahagian kerusi.

    “Kenyataan terbuka yang bersifat peribadi harus dielak supaya proses perundingan dihormati dan semua parti dapat menjaga keharmonian dengan membawa apa sahaja isu berkaitan dalam mesyuarat rasmi jawatankuasa tersebut,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Beliau menambah, PH Perak tidak semestinya akur dengan kehendak Abdul Aziz yang disifatkannya sebagai hasrat peribadi.

    Pada masa yang sama, Khairol Najib mengingatkan Abdul Aziz yang juga Ketua Pembangkang Perak untuk memberi tumpuan lebih besar dalam usaha memperjuangkan isu-isu berkaitan negeri, untuk meningkatkan sokongan PH di negeri itu.

    “Mengenai calon, PH Perak mempunyai ramai calon berkelayakan dan mempunyai merit yang baik untuk bertanding melawan siapa sahaja yang diletakkan oleh pihak lawan termasuk di parlimen Tambun.

    “Sudah semestinya sebagai sayap pemuda, kami akan berusaha untuk meletakkan calon yang lebih bertenaga di setiap kerusi dalam PRU-15 dan berupaya memberi kemenangan kepada PH,” jelasnya.

    Namun, tidak dapat dipastikan sama ada Amanah juga berhasrat untuk meletakkan calonnya di kerusi Parlimen Tambun.

    Walau apa pun, Ahmad Faizal dijangka mampu mengekalkan kerusi tersebut ekoran rekod prestasinya yang memberangsangkan sepanjang berkhidmat sejak PRU-14 lalu.