Category: Politik

  • Rakyat masih label BN sebagai ‘gila kuasa, korup’

    Rakyat masih label BN sebagai ‘gila kuasa, korup’

    DALAM keghairahan UMNO mendesak Parlimen segera dibubarkan, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bimbang dengan tanggapan negatif rakyat terhadap gabungan politik tersebut.

    Memetik laporan Malaysiakini hari ini, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO mengingatkan semua pihak dalam BN bahawa mereka sering dikaitkan oleh rakyat dengan gejala ‘gila kuasa, korup dan salah guna kuasa’.

    “Bila saya bertanya, bagaimana boleh kita mengungkapkan BN, jawapan yang saya terima kebanyakannya ‘standard’.

    “Rata-ratanya memberi jawapan, BN adalah parti politik pelbagai kaum. Atau BN adalah parti memerintah. Atau BN adalah gabungan pelbagai parti tetapi dikuasai UMNO.

    “Kalau jawapan versi yang lebih teruk pulak, BN dikaitkan dengan ‘gila kuasa, korup, salah guna kuasa dan pelbagai konotasi negatif’.

    “Semua ini sangat membimbangkan. Kita dilihat sebagai satu parti politik dengan ‘status-quo’ yang negatif dan tidak memukau imaginasi,” katanya dalam teks ucapan ketika merasmikan Konvensyen BN sempena ulang tahun ke-48 gabungan parti politik itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pagi ini.

    Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut menggesa BN agar tidak terus terperangkap dalam ‘nostalgia silam’ selaku parti pemerintah.

    “Kita tidak boleh leka dibuai nostalgia bahawa, BN akan memerintah semula, hanya kerana kita sekarang menjadi sebahagian dari kerajaan.

    “Apa yang berlaku, dalam semua kemenangan pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, bukan jaminan bahawa BN akan pasti menang, dan menguasai kerajaan dengan mudah.

    “Jika kita beranggapan sedemikian, maka saya tegaskan hari ini bahawa, anggapan seperti itu bukan sahaja salah.

    “Malah, berbahaya dan berisiko kepada BN,” ujarnya lagi.

  • Kalau Tengku Zafrul bertanding, Dzulkefly tak jadi undur

    Kalau Tengku Zafrul bertanding, Dzulkefly tak jadi undur

    AHLI Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersedia membatalkan hasratnya untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor sekiranya parti lawan mencalonkan nama besar seperti Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di situ.

    Memetik laporan FMT, bekas Menteri Kesihatan itu sanggup mengubah fikiran jika diberi kepercayaan oleh Parti Amanah Negara (Amanah) untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya itu.

    Dr Dzulkefly turut menafikan bahawa niatnya untuk berundur dari pentas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah kerana beliau takut untuk berdepan dengan nama besar seperti Tengku Zafrul.

    “Kalau kepimpinan tertinggi parti mahukan saya bertanding atas apa-apa sebab, contohnya diturunkan menteri-menteri persekutuan, seperti Tengku Zafrul dan lain-lain, saya akan mempertimbangkan (untuk bertanding pada PRU-15).

    “Kalau dia (Tengku Zafrul) tak tanding, saya akan beri laluan kepada kepimpinan muda,” katanya.

    Pada masa yang sama, Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa keputusan awalnya untuk tidak bertanding pada PRU-15 adalah bagi memberi peluang kepada calon-calon muda dari Amanah.

    Malah, kata beliau, hasrat itu bukan sesuatu yang baharu dan mengejutkan kerana sudah lama dimaklumkan kepada pimpinan parti.

    “Saya telah pun menyatakan hasrat untuk berundur. Saya sedia beri laluan kepada pimpinan muda daripada Amanah.

    “Hanya dengan cara ini, kita akan dapat pimpinan muda terlibat dalam pilihan raya kali ini. (Keputusan) ini bukan saya buat dalam sebulan. Telah diuar-uarkan sekian lama,” jelasnya.

    Dr Dzulkefly menjadi Ahli Parlimen Kuala Selangor untuk kali yang kedua setelah berjaya menewaskan penyandang, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dari Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

    Sebelum itu, beliau mula menjadi Ahli Parlimen kawasan berkenaan pada PRU-12 namun kalah di tangan Irmohizam pada PRU-13.

    Dr Dzulkefly juga pernah bertanding sebagai calon PAS di kerusi Parlimen Rembau pada PRU-11 dan di kerusi Parlimen Kapar pada PRU-10.

    Beliau tewas kepada calon-calon BN iaitu Datuk Firdaus Muhammad Rom Harun (Rembau) dan Komala Devi M Perumah (Kapar) dalam kedua-dua PRU tersebut.

  • Sekarang bukan masa sesuai adakan PRU15-PM

    Sekarang bukan masa sesuai adakan PRU15-PM

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak kemungkinan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lebih awal.

    Ini kerana beliau menganggap PRU-15 tidak sesuai memandangkan kenaikan harga barang makanan dan kos sara hidup yang berkaitan.

    Ahli Parlimen Bera itu masih menunggu waktu yang sesuai untuk membubarkan Parlimen.

    “Kenaikan harga barang makanan serta kos sara hidup itu, dilihat berpunca dari ketegangan yang berlaku di peringkat global akibat peperangan antara Rusia dan Ukraine.

    “Kita sekarang sedang menghadapi peningkatan inflasi, dengan harga barangan yang melambung tinggi … awak rasa ia waktu yang sesuai (untuk adakan pilihan raya,” katanya menerusi wawancara khas bersama Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini, lapor Astro Awani hari ini.

    Ismail Sabri, yang juga merupakan Naib Presiden dalam UMNO, didakwa sedang menghadapi tekanan dari pihak tertentu dalam parti, bagi membubarkan Parlimen lebih awal.

    Menurut laporan media terdahulu, Bank Negara Malaysia mengunjurkan kenaikan inflasi antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus tahun ini, dengan kenaikan harga barangan sekitar 4.3 peratus.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, perbubaran parlimen tidak boleh dilakukan melebihi tempoh yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan (Ogos 2023), tetapi untuk mengadakannya lebih awal bergantung kepada situasi semasa.

    “InsyaAllah saya akan membuat keputusan bila waktu yang sesuai,” katanya lagi.

    Selain itu Ismail Sabri dilaporkan sebagai berkata, beliau adalah seorang patuh kepada kehendak parti, dan akan menurut keputusan UMNO serta Kabinet dalam soal pembubaran Parlimen.

  • PRU-15: Pejuang sudah bincang dengan parti-parti PH, kecuali PKR

    PRU-15: Pejuang sudah bincang dengan parti-parti PH, kecuali PKR

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan bekerjasama dengan parti-parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, perbincangan sudah diadakan secara tidak rasmi dengan beberapa parti termasuk yang berada dalam kerajaan, pembangkang dan berkecuali.

    Beliau menambah, perbincangan juga sudah dilakukan dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) kecuali PKR.

    “Kalau ada pun perbincangan dengan anggota komponen PH, ia secara satu-satu parti bukan sekumpulan (PH).

    “Setakat ini tidak ada daripada PKR, mungkin mereka masih sibuk dengan pemilihan,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

    Ahli Parlimen Jerlun itu memberitahu, kemungkinan besar Pejuang tidak akan bertanding secara solo dalam PRU-15 namun kerjasama dengan parti-parti lain masih belum dimuktamadkan.

    Beliau berkata, perbincangan secara rasmi dengan parti-parti terbabit akan diadakan dalam masa terdekat.

    “Kita terbuka untuk kerjasama ini, baik dari segi gabungan atau pakatan literal,” jelasnya pada sidang media selepas perasmian Pemukiman Pejuang Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

    Sementara itu, berhubung sasaran kerusi akan ditandingi Pejuang di Kelantan, Mukhriz berkata, pihaknya memberi mandat kepada pimpinan negeri untuk mengenal pasti kerusi-kerusi yang berpotensi.

    “Kami memberi keterbukaan itu kepada majlis pimpinan negeri Kelantan untuk mengenal pasti kerusi mana yang kita bersedia tawarkan calon menjelang PRU-15.

    “Saya serahkan kepada pimpinan Kelantan untuk kemukakan cadangan.

    “Kita sudah membuat persiapan dan persiapan yang saya maksudkan dari segi jumlah ahlinya, calon yang terlatih dan yang diterima baik oleh penduduk setempat serta ada kriteria-kriteria lain,” ujarnya.

  • Kalau BN perintah Kelantan pun, masalah air tak selesai

    Kalau BN perintah Kelantan pun, masalah air tak selesai

    MASALAH air dijangka masih berlaku di Kelantan walaupun Barisan Nasional (BN) diberi peluang memerintah kembali negeri itu.

    Kemungkinan itu dibayangkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam wawancara bersama Malaysiakini yang disiarkan hari ini.

    Menurut beliau, jika ada pihak yang mahu menyalahkan kerajaan negeri Kelantan dan mahu agar parti pemerintah ditukar, mereka perlu berfikir dengan wajar.

    Andainya PAS digantikan dengan BN Kelantan, katanya, orang ramai perlu menyedari bahawa masalah air juga berlaku di negeri ditadbir parti terbabit.

    “Nak bagi kepada PH (perintah) pun sama. Selangor tu negeri PH. Maka nak tukar kerajaan ini tak boleh selesai masalah (air),” katanya.

    Mohd Amar menambah, masalah bekalan air sebenarnya tidak terhad kepada Kelantan semata-mata, bahkan turut dialami negeri-negeri lain termasuk di Selangor yang lebih maju.

    “Kita akui ada masalah air tetapi di Malaysia ini adakah Kelantan saja yang hadapi masalah air?

    “Sebab itu sepatutnya kena ada keseimbangan (semasa menilai). Lihat Selangor yang ada duit banyak dan maju pun berlaku gangguan-gangguan dan masalah air.

    “Negeri-negeri yang diperintah BN sendiri pun ada masalah air.

    “Justeru kalau kita fikir hanya kerana PAS memerintah Kelantan maka wujud masalah air – itu tak betul,” jelasnya.

    Dalam pada itu, berhubung dakwaan PAS bersikap menyalahkan Umno dalam isu tersebut, Mohd Amar berkata, beliau hanya menceritakan sejarah di sebalik masalah dan kekangan yang timbul.

    Beliau tidak bermaksud mahu menyalahkan BN, namun perlu menceritakan sejarah selepas BN memainkan isu berkenaan.

    “Sedangkan punca daripada UMNO. Dia (UMNO) katak (pukul) kaki kita hingga patah, lepas itu dia kata kita kewek (cacat). Padahal dia jadi punca kaki kita kewek.

    “Itu masalahnya, orang kata kenapa tak pasang besi di kaki kewek, (jawabnya) sebab duit tak ada nak beli besilah,” ujarnya secara berseloroh.

    Sehubungan itu, Mohd Amar berharap agar rakyat dapat melihat isu bekalan air di Kelantan melalui persepsi yang betul dan mengkritik secara adil.

    Beliau berkata, kerajaan Kelantan dan PAS bukanlah tidak boleh dikritik langsung.

    “Orang kata 30 tahun cari alasan… (sebenarnya) bukan cari alasan tetapi kita ini dah 30 tahun mengalami masalah, tiba-tiba nak suruh kita berlari dalam masa segera, memang tak boleh.

    “Kelantan sekarang memanglah sebahagian daripada kerajaan pusat tetapi baru berapa bulan, berapa tahun? Takkan penyakit 30 tahun boleh selesai dalam masa dua tahun.

    “Kalau nak selesai semua tapi tak ada peruntukan memang lambatlah, kalau turun peruntukan dengan anggaran kasar RM7 bilion diperlukan pun tak boleh selesai dalam satu hari,” katanya.

  • Pejuang tidak terlibat cubaan tukar kerajaan

    Pejuang tidak terlibat cubaan tukar kerajaan

    PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini berkata, parti itu hanya memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan tidak akan terlibat dengan sebarang percubaan untuk menukar kerajaan sedia ada.

    Beliau turut menegaskan, parti itu tidak terlibat dalam dakwaan terbaharu bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mendapat sokongan 119 Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri semula.

    Beliau berkata, sekiranya benar, perkara tersebut perlu dibuktikan serta tidak boleh sekadar mendakwa sahaja.

    “Dalam hal percaturan politik nak tumbangkan kerajaan sedia ada, tukar Perdana Menteri kami (Pejuang) tak campur tangan. Kami pun empat orang sahaja, bagi kami (Pejuang) hanya membuat persiapan menghadapi PRU15.

    “Saya ingat rakyat pun dah meluat kalau asyik nak tukar-tukar ini, dah penat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pemukiman Parti Pejuang Negeri Kelantan yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya di Kota Bharu hari ini.

    Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa beliau dihubungi Muhyiddin bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi Perdana Menteri semula kerana sudah mendapat sokongan 119 ahli Parlimen. – BERNAMA

  • Pemilihan PKR: Farhash dakwa berlaku manipulasi kiraan undi

    Pemilihan PKR: Farhash dakwa berlaku manipulasi kiraan undi

    FARHASH Wafa Salvador Rizal Mubarak yang tewas dalam persaingan merebut jawatan Ketua PKR Cabang Gombak mendakwa berlaku manipulasi dalam proses pengiraan undi pemilihan parti.

    Beliau yang dikalahkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jika dilihat secara kasar pun persoalan terhadap sistem pengundi atas talian (PAT) sudah mendedahkan satu mekanisme dan prosedur yang diragui ketelusannya.

    Menurut bekas pegawai khas Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, semua undi dikumpul dan dikira oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang terdiri dari ahli-ahli parti, lalu diumumkan, tanpa sebarang semak dan imbang.

    “Proses ini tidak berlaku dengan kehadiran pihak ketiga atau wakil-wakil calon, maka persoalan sama ada berlaku manipulasi adalah logik.

    “Tiada siapa dari pihak calon mahupun pihak ketiga hadir dalam kiraan undi untuk mengesahkan bahawa angka-angka yang dicatat adalah benar.

    “Kelewatan pengumuman keputusan sehingga beberapa hari selepas pemilihan sedangkan pengundian atas talian sepatutnya lebih memudahkan dan mempercepatkan proses, juga mendedahkan keputusan kepada manipulasi.

    “Bayangkan, dalam pilihan raya umum yang melibatkan jutaan rakyat yang mana undi dan kiraan dibuat secara fizikal sahaja pun, keputusannya boleh didapati dalam beberapa jam sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Farhash Wafa Salvador menambah, agak ketara dapat dilihat begitu banyak bantahan terhadap keputusan Pemilihan PKR 2022 setelah keputusan tidak rasmi disiarkan Ahad lepas.

    Beliau memberitahu, bantahan bukan sahaja daripada pihaknya, tetapi ramai calon yang bertanding turut menyuarakan berbagai keraguan terhadap keputusan tersebut.

    “Ini bukan soal tidak berlapang dada menerima kekalahan, tetapi persoalannya ada berbangkit keraguan atas kemungkinan sistem dan mekanisme pemilihan parti ini telah dikompromi dan berlakunya manipulasi oleh pihak-pihak tertentu,” jelasnya.

    Farhash Wafa Salvador mengingatkan bahawa PKR adalah antara suara besar dalam memperjuangkan ketelusan dan keadilan dalam proses pilihan raya di negara ini.

    “Kita turun ke jalan raya memprotes ketidakadilan dalam pilihan raya melalui himpunan Bersih.

    “Maka seharusnya perkara-perkara yang kita perjuangkan itu dipraktikkan dalam pemilihan parti kita sendiri, tetapi nampaknya yang sebaliknya berlaku,” katanya.

    Maka, katanya, gesaan daripada semua calon yang membuat bantahan untuk satu audit forensik oleh entiti bebas ke atas mekanisme pemilihan parti disusuli satu kiraan semula undi-undi di hadapan saksi terdiri dari wakil-wakil calon adalah wajar.

    “Setelah segala kesangsian dan keraguan bahawa pemilihan parti ini telah tercemar oleh manipulasi dapat di atasi, kita semua, termasuk saya sendiri, boleh berlapang dada menerima keputusan itu sebagai sesuatu yang sah.

    “Keputusan pun dapatlah dikira sebagai rasmi dan yang menang boleh terus menjalankan tanggungjawab mereka tanpa rasa sangsi.

    “Syor saya supaya pertikaian sebegini tidak berulang di pemilihan akan datang adalah supaya sistem pemilihan parti ini benar-benar bebas dari campur tangan pihak yang berkepentingan.

    “Aplikasi-aplikasi yang digunakan tidak boleh ada kaitan dengan mana-mana ahli. Ia sepatutnya dikendalikan oleh entiti bebas.

    “Begitu juga proses kiraan undi, sepatutnya dapat dilakukan dengan lebih terbuka dengan keputusan disiarkan secara langsung.

    “Saya amat berharap pihak JPP dan parti mengambil serius pandangan-pandangan ramai calon-calon yang telah mengemukakan bantahan secara rasmi dan mengambil kira cadangan-cadangan untuk penambahbaikan.

    “Jika kita melaungkan Reformasi, ia haruslah dipraktikkan dalam parti kita sendiri,” tegasnya.

  • Calon Naib Presiden PKR ragui keputusan, mahu siasatan dijalankan

    Calon Naib Presiden PKR ragui keputusan, mahu siasatan dijalankan

    SEORANG calon Naib Presiden yang kalah meragui hasil pemilihan PKR menggesa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) melaksanakan siasatan.

    Lebih menarik lagi, calon itu mendakwa berlaku “penipuan internet” yang menyaksikan kumpulan tertentu mencapai kemenangan.

    “Sekarang puak kami kalah teruk, terlalu teruk. Ini ‘permainan internet’ kita tak boleh cakap kerana internet kepakaran mereka, kami nak tahu respons JPP,” katanya lapor portal FMT.

    Calon itu yang juga Ahli Parlimen berkata, selain Gombak, beberapa bahagian lain seperti Bachok, Tanah Merah, Tanjong Karang, termasuk beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak telah memfailkan bantahan kepada JPP.

    “Terlalu banyak keraguan, majoriti keraguan amat luar biasa, berlaku banyak protes untuk disemak semula berpandukan rekod dan dokumen yang mereka (bahagian) ada.

    “Kami cadang buat audit forensik supaya lebih adil kepada mereka yang bertanding. Kita dah hantar surat, kita ada bukti jelas,” katanya.

    Semalam, Farhash Wafa Salvador Mubarak calon yang kalah dalam persaingan merebut jawatan Ketua Bahagian PKR Gombak, menggesa dilakukan audit forensik terhadap proses pemilihan parti itu.

    Farhash yang tewas kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bagi jawatan itu turut menuntut badan bebas yang dipersetujui semua pihak untuk meneliti dakwaannya.

    “Saya ingin menyatakan keraguan yang amat tinggi terhadap ketelusan dan kebenaran keputusan dikeluarkan itu. Pihak saya mempunyai bukti dan dokumentasi yang kukuh untuk menyatakan bantahan rasmi, dengan gesaan untuk parti menjalankan satu audit forensik terhadap sistem keputusan dan kaedah pelaksanaannya,” katanya.

  • Pemilihan PKR: Rafizi dahului Saifuddin di semua negeri

    Pemilihan PKR: Rafizi dahului Saifuddin di semua negeri

    RAFIZI Ramli mendahului Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2022, setelah keputusan pengundian di semua negeri dikeluarkan hari ini.

    Keputusan tidak rasmi yang dikemas kini melalui laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 itu menyaksikan, Rafizi yang sebelum ini merupakan Naib Presiden yang dilantik memperoleh sebanyak 68,451 undi berbanding Saifuddin dengan 48,223 undi.

    Bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang direbut oleh dua aktivis menyaksikan Adam Adli Abd Halim mendahului dengan meraih 13,749 undi, berbanding Fahmi Zainol dengan 11,674 undi.

    Sementara itu, bagi jawatan Ketua Wanita pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Rodziah Ismail mendahului dengan meraih 21,690 undi.

    Pencabarnya, Senator Fadhlina Sidek mengekori rapat dengan 21,201 undi.

    Pemilihan PKR 2022 berakhir dua hari lepas, setelah menyaksikan pengundian semula di 12 cabang melibatkan beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Sabah.

    Pengumuman keputusan rasmi akan dibuat di Kongres Parti Keadilan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini. – BERNAMA

  • Adam Adli menang jawatan Ketua Pemuda PKR

    Adam Adli menang jawatan Ketua Pemuda PKR

    ADAM Adli dipilih sebagai Ketua Pemuda PKR yang baharu selepas mengalahkan Fahmi Zainol dalam pemilihan parti itu.

    Aktivisi Mahasiswa itu mengesahkan kemenangannya selepas menerima ucapan tahniah daripada Fahmi.

    AKTIVIS mahasiswa Adam Adli mengesahkan beliau memenangi jawatan ketua Pemuda PKR pada pemilihan parti itu kali ini.

    “Saya baru dimaklumkan tentang (kemenangan) keputusan pemilihan,” katanya lapor portal FMT.

    Semalam, Adam dilaporkan mendahului bagi jawatan itu selepas memperoleh 7,545 undi di empat negeri.

    Mengulas lanjut Adam meminta semua barisan kepimpinan baharu dan ahli parti supaya kembali merapatkan saf dan memperkukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

    “Saya ucap terima kasih semua anggota telah jalankan demokrasi. Terima kasih untuk semua atas penghormatan dan komitmen ditunjukkan ahli dalam menunaikan tanggungjawab. Harapan saya untuk melihat kepimpinan baharu ini dapat jalankan tugas dengan lebih baik, dapat mengisi kelompongan yang ada dalam parti sebelum ini untuk terus perkuat parti hadapi PRU akan datang,” katanya.

    Beliau juga menafikan kononnya wujud puak-puak tertentu dalam pemilihan kali ini, sebaliknya berkata, semua bersatu hati untuk memperkuatkan parti.

    “Semua orang fokus persiapan PRU, tidak timbul isu puak-puak dalam parti dalam pemilihan. Tak timbul juga isu yang kalah merajuk, yang menang berbangga. Sebagai contoh semalam Saifuddin Nasution (calon timbalan presiden walaupun tewas) sudah tunjuk satu contoh baik,” katanya.

    Dalam pada itu, Adam berkata, setiap ahli parti yang bertanding dan tewas pemilihan kali ini akan diberi peranan masing-masing dan tidak akan dipinggirkan oleh parti.