Category: Politik

  • Tak patut desak bubar Parlimen awal – Abdul Hadi

    Tak patut desak bubar Parlimen awal – Abdul Hadi

    DESAKAN pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah tidak wajar memandangkan ketika ini rakyat agak terbeban dengan isu ekonomi dan kos sara hidup, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata, Pas bersedia untuk berdepan PRU-15 pada bila-bila masa, namun kesusahan rakyat perlu diberi keutamaan dan diselesaikan.

    “Berdasarkan perkembangan ekonomi dunia banyak pihak yang terkesan akibat peperangan antara Rusia-Ukraine di samping krisis harga minyak yang turut mempengaruhi ekonomi negara.

    “Tambahan pula, Covid-19 masih belum diisytiharkan tamat lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di Rusila, Marang hari ini.

    Menurut Abdul Hadi, kerajaan tidak perlu tunduk desakan mana-mana pihak untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan.

    “Kita tidak bergantung kepada desakan sesiapa. Mereka (yang mendesak) hanya mahukan kuasa.

    Kita bukan nak kuasa kita mahu kepada rakyat sahaja, jangan susahkan rakyat.

    “Mereka yang mendesak supaya diadakan PRU dalam keadaan negara berdepan inflasi ini hanya pentingkan diri sendiri,” ujar beliau.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi menyangkal pandangan mengatakan 32 kerusi Pas kritikal jika tiada kerjasama dengan BN dalam PRU-15.

    “Kita ada kajian kita sendiri di mana post- mortem Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor kita dapati undi BN tak berganjak.

    “Mereka yang undi Pakatan Harapan (PH) pula sudah tidak undi PH malah undi kita meningkat 100 hingga 200 peratus,” katanya.

    Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan berbincang tarikh PRU-15 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

    Ahmad Zahid berkata, pertemuan bersama Ismail Sabri serta ‘lima teratas’ bagi menentukan pembubaran Parlimen yang dijangka berlaku bila-bila masa.

  • Hans Isaac, Afdlin Shauki bertanding jawatan MPP PKR

    Hans Isaac, Afdlin Shauki bertanding jawatan MPP PKR

    DATUK Hans Isaac dan Datuk Afdlin Shauki masih tidak berputus asa walaupun tewas dalam pertandingan merebut jawatan ketua cabang PKR.

    Kedua-duanya ingin bertanding untuk jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pula.

    Memetik laporan Malaysiakini, perkembangan itu dapat diketahui melalui aplikasi ADIL.

    Hans dan Afdlin telah mencalonkan diri bersaing jawatan anggota MPP PKR yang akan diadakan pada kongres parti pada 25 Jun ini di IDCC Shah Alam.

    Setakat ini, mereka merupakan antara 74 ahli PKR yang bertanding merebut 20 jawatan ahli MPP.

    Proses pencalonan yang bermula pada 30 Mei akan berakhir pada 12 malam 4 Jun ini.

    Sebelum ini, Hans dan penyanyi rap, Altimet bertanding jawatan ketua cabang di Ampang tetapi tewas kepada Daing Muhammad Reduan Bachok yang menang dengan mendapat 942 undi.

    Hans Isaac, berada di kedudukan kedua dengan undian sebanyak 609. Sementara itu, Altimet yang juga komposer berada di tempat ketiga memperolehi 589 undian.

    Sementara itu, Afdlin kalah dalam saingan merebut Ketua PKR Cabang Setiawangsa apabila memperoleh 372 undi berbanding Nik Nazmi yang memperoleh 482 undi.

  • Mahathir tidak tunai janji lepas jawatan PM kepada Anwar – Saifuddin

    Mahathir tidak tunai janji lepas jawatan PM kepada Anwar – Saifuddin

    SETIUASAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata bahawa tidak timbul isu Presiden parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mencukupi sokongan untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad memegang janjinya.

    Saifuddin juga menafikan kenyataan Mahathir yang mendakwa bahawa dia masih lagi perdana menteri jika bukan kerana langkah Anwar.

    “Tidak timbul Anwar tak sokong. Perjanjian sebelum PRU14 ialah Dr Mahathir jadi Perdana Menteri ketujuh. Anwar, PKR dan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji. PH menang PRU14 dan Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ketujuh negara.

    “Saya sendiri yang mewakili PKR di samping pimpinan DAP dan Amanah yang terlibat tahu bahawa Dr Mahathir setuju sebagai interim PM. Beliau tidak setuju menetapkan tarikh untuk berhenti tetapi setuju dua tahun untuk tidak dilihat sebagai ‘lame duck’ atau pemimpin yang akan pincang. Ternyata Dr Mahathir mungkir janji,” katanya lapor Malaysiakini.

    Saifuddin mengulas dakwaan Mahathir dalam satu wawancara bahawa beliau masih lagi Perdana menteri dan bahawa Anwar sebagai ‘tidak lurus’.

    Menjelaskan krisis politik negara pada 2020, Saifuddin yang juga Ahli Parliman Kulim Bandar-Baharu berkata Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri tanpa membuat perbincangan dengan pimpinan PH.

    “Beliau hilang jawatan akibat perbuatan sendiri yang silap. Jika beliau mengakui kesilapannya beliau akan lebih dihormati. Janji PKR dan PH untuk menjadikan Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh telah ditunaikan.

    “Mahathir sendiri tidak tunai janji untuk melepaskan jawatan PM kepada Anwar. PKR tidak pernah janji sokong Mahathir sebagai PM kelapan. Jika, Mahathir tunai janji, tidak timbul Anwar tak cukup majoriti,” katanya.

  • GST: Jangan kenakan cukai terhadap barang asasi

    GST: Jangan kenakan cukai terhadap barang asasi

    KERAJAAN perlu mengambil kira semua aspek dan membuat pertimbangan sewajarnya jika ingin melaksanakan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST).

    Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sebarang keputusan yang diambil kelak perlu mengambil kira kebajikan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

    “Jangan kenakan cukai terhadap barangan asasi…rakyat sudah terhimpit dengan pelbagai kenaikan kos hidup yang berlaku sekarang.

    “Pertimbangkan ia dengan cara yang saksama iaitu kesannya terhadap bebanan rakyat dan tanggungjawab (yang perlu dilakukan) kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila di Marang, hari ini

    Rabu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan GST.

    Ia sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat selain GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara. – BERNAMA

  • Tangguh pemilihan parti, usaha halang Ismail jadi Presiden UMNO, dakwa Nazri`

    Tangguh pemilihan parti, usaha halang Ismail jadi Presiden UMNO, dakwa Nazri`

    TINDAKAN kumpulan kluster mahkamah dalam UMNO menangguhkan pemilihan parti bertujuan untuk menghalang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada menjadi Presiden parti itu, dakwa Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

    Bercakap kepada portal MalaysiaNow, beliau berkata, sejarah Malaysia menyaksikan individu yang dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri akan disahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebagai Timbalan Presiden.

    “Hampir semua Timbalan Perdana Menteri terdahulu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulu, kemudian parti akan undi sebagai Timbalan Presiden. Ismail dipilih oleh ahli Parlimen kita sendiri menjadi Perdana Menteri, tak logik dia tak jadi Presiden dalam parti,” katanya.

    Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan ahli Parlimen Umno yang diketuai Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak yang mempunyai pelbagai pertuduhan berkait jenayah rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

    Nazri berkata, kepimpinan UMNO sedia ada dijangka tewas sekiranya pemilihan diadakan dalam masa terdekat kerana rata-rata ahli UMNO tidak bersama-sama dengan kepimpinan dalam soal tarikh pilihan raya.

    “Mereka tidak mahu pilihan raya awal. Mereka ini orang yang jujur yang terkesan dengan yang apa sedang berlaku. Kluster mahkamah dan mereka yang kalah pilihan raya sahaja yang mahu pilihan raya,” katanya.

    Ahmad Zahid dalam Konvensyen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini.

    Ismail pula berkata pilihan raya perlu diadakan selepas BN benar-benar bersedia.

    UMNO baru-baru ini meminda Perlembagaan dalam Perhimpunan Agung Khas bagi membolehkan pemilihan parti ditangguhkan sehingga enam bulan selepas pilihan raya umum.

    Menurut Nazri, walaupun beliau menyokong pindaan itu sekiranya ia dikehendaki majoriti, ia tidak boleh terus dilaksanakan.

    “Tempoh 18 bulan akhir ini ialah untuk kita mengadakan pemilihan parti, bukan digunakan untuk membuat sesuatu yang tidak dibenarkan dalam perlembagaan parti sebelum ini. Ia untuk masa depan, bukan untuk memanjangkan tempoh pemegang jawatan,’’ katanya.

    Pentadbiran Ismail kata beliau berdepan cabaran harga barangan asas yang naik dan inflasi yang mampu menggugat kepercayaan orang ramai.

    Justeru, Nazri berkata tidak wajar untuk diadakan PRU15 dalam masa terdekat.

    Dalam pada itu, bekas Menteri Undang-undang tersebut berkata, sukar untuk gesaan mengadakan PRU15 lebih awal diterima.

    ‘’Ini kerana cadangan membubar Parlimen perlu melalui beberapa tahap antara berbincang dengan ketua-ketua parti komponen dalam kerajaan, perbincangan bersama Kabinet dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Pilihan raya tidak akan terjadi hanya kerana UMNO yang mendesak agar Parlimen dibubar,” katanya.

  • DAP bidas sikap tidak konsisten Ismail Sabri

    DAP bidas sikap tidak konsisten Ismail Sabri

    TINDAKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  yang dilihat tidak konsisten atau fllip flop dalam membuat kenyataan berkaitan bila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dikecam DAP.

    Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke berkata, Perdana Menteri  yang dipetik oleh Nikkei Asia pada Isnin berkata, PRU-15 tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat, namun dalam ucapan di konvensyen Barisan Nasional (BN) semalam, beliau mengatakan tidak akan melengah-lengahkan pembubaran Parlimen walaupun sesaat jika gabungan itu telah bersedia.

    “Namun dalam masa 48 jam sahaja, beliau telah menukar nada semasa berucap di konvensyen BN. Pokoknya perdana menteri perlu konsisten dan tegas dalam pendiriannya,” katanya melalui  Facebook hari ini.

    Beliau turut mengingatkan Ismail Sabri bahawa keputusan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen adalah budi bicara Perdana Menteri.

    Oleh itu katanya, keputusan yang begitu penting itu tidak seharusnya dipengaruhi oleh pihak tidak berkaitan yang hanya mementingkan “survival” politik mereka.

    “Sekiranya beliau benar-benar ingin menangani isu inflasi daripada memanggil pilihan raya dalam tempoh terdekat, maka sebagai Perdana Menteri beliau perlu mencari konsensus merentasi parti supaya seluruh fokus nasional menjurus kepada agenda membantu rakyat,” katanya.

    Pada masa sama, Loke menegaskan bahawa DAP tidak pernah bimbang untuk menghadapi pilihan raya yang diadakan pada bila-bila masa tetapi kenyataan dan mesej “flip-flop” hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berlanjutan dan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara.

    “Kami telah bersedia. Isu utamanya ialah Perdana Menteri perlu lebih tegas dalam pendiriannya,” katanya.

    Top of Form

    Bottom of Form

  • Nazri bidas ahli Parlimen gesa adakan PRU-15

    Nazri bidas ahli Parlimen gesa adakan PRU-15

    AHLI Parlimen Padang Rengas Datuk Nazri Aziz membidas tindakan ahli-ahli politik yang menggesa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan ketika negara berhadapan dengan inflasi.

    Beliau menyifatkan golongan tersebut penting dan tidak memikirkan situasi yang dihadapi oleh rakyat.

    Sehubungan itu beliau menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam wawancara bersama akhbar kewangan Nikkei dua hari lalu yang menegaskan akan menunggu “masa yang sesuai” untuk membubarkan Parlimen.

    “Saya setuju dengan Perdana Menteri. Keutamaan kita sekarang adalah kesusahan rakyat dan kita semua tahu inflasi berlaku sekarang, jadi kita kena utamakan rakyat. Kita perlu cari jalan untuk mengatasi inflasi dan memastikan rakyat ada wang yang cukup untuk menyara kehidupan.

    “Itu lebih penting berbanding mementingkan diri sendiri secara politik dengan merasakan ini waktu yang sesuai untuk PRU,” katanya lapor Malaysiakini.

    Mengulas lanjut, Nazri mengkritik pihak dalam partinya yang merasakan kini waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU, dengan keadaan pembangkang yang goyah dan kemenangan UMNO dalam beberapa PRN sebelum ini sebagai pertimbangan.

    “Jika itu yang anda fikir, yang inflasi bukan perkara penting dan pilihan raya lebih penting, itu mementingkan diri sendiri. Ahli parlimen dari kedua-dua pihak kini menyokong perdana menteri jadi tiada sebab langsung untuk buat pilihan raya.

    “Bagaimana Ahli Parlimen daripada pihak lain sokong Perdana menteri, tetapi parti Perdana Menteri sendiri tidak menyokongnya?” soal Nazri.

    Dengan keadaan ekonomi semasa, katanya lagi, negara perlu bersedia untuk menangguhkan pilihan raya, malah sehingga akhir penggal ini jika perlu.

    ‘’Apabila penggal sudah tamat dan pilihan raya perlu diadakan, Umno tidak akan dipersalahkan atas perkara itu,’’ katanya.

  • Bila PRU-15? GPS serah kepada Ismail Sabri

    Bila PRU-15? GPS serah kepada Ismail Sabri

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) menyerahkan soal bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu merupakan prerogatif Perdana Menteri.

    “Pilihan Raya Umum adalah (perkara) kebangsaan yang melibatkan parlimen. Oleh itu, kita serahkan kepada Perdana Menteri (mengenai soal itu),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Gawai Dayak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di Kuching, hari ini.

    Semalam, dalam temu bual bersama akhbar Nikkei di Jepun, Ismail Sabri dilaporkan berkata sekarang bukan masa sesuai mengadakan PRU-15 dalam keadaan negara berdepan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi tinggi.

    GPS merupakan gabungan yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), dan di peringkat parlimen, ia memiliki 18 kerusi. – BERNAMA

  • “Pasal apa pulun nak PRU sangat?” Soal Sanusi

    “Pasal apa pulun nak PRU sangat?” Soal Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI
    “Saya pun hairan pasal apa ‘pulun’ nak Pilihan Raya Umum (PRU) sangat? Boleh menang ka?”

    Itu persoalan diajukan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap golongan tertentu yang dilihat ‘kalut’ mendesak supaya PRU-15 diadakan segera.

    Menurut Muhammad Sanusi, dirinya tetap kekal dengan pendirian bahawa PRU sepatutnya diadakan selepas berakhir penggal ini serta tidak perlu diawalkan.

    Katanya, sementara masih ada masa sebelum berakhir penggal, semua pihak perlu berusaha mengatasi masalah-masalah yang berlaku dalam negara, ketika ini.

    “Saya rasa di negeri-negeri tak ada isu (nak adakan pilihan raya awal) kerana Kelantan, Terengganu, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor, semuanya buat kenyataan sama iaitu mahu menanti hingga habis penggal.

    “Kalau yang nak PRU sangat itu, saya tak tahulah di peringkat mana tetapi saya takutlah nanti mereka kalah lagi teruk. Tunggulah sampai habis penggal dan tak payahlah kalut,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada 358 ketua isi rumah di Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena, Kedah, hari ini.

    Kesemua penerima bantuan bernilai RM1,000 sumbangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu merupakan mereka yang terjejas dalam kejadian banjir pada 31 Oktober tahun lalu di daerah ini.

    Dalam temu bual eksklusif bersama Nikkei Asia baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan yang beliau tetap menunggu waktu sesuai bagi mengadakan pilihan raya walaupun didesak pihak tertentu supaya mempercepatkannya.

    Muhammad Sanusi menambah, sekiranya PRU ditetapkan untuk dilaksanakan selepas habis penggal, semua pihak sudah tidak perlu lagi berspekulasi mengenai perkara itu.

    “Tak payah lagi nak tekan sesiapa atau nak berkelahi. Tunggu saja sampai hujung penggal, baru pilihan raya akan diadakan… Habis cerita.

    “Sementara waktu yang ada ini, kita usahalah atasi apa jua masalah yang ada dalam negara ini. Tak perlulah sebarkan salah orang itu dan orang ini kerana semua itu tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada negara,” katanya.

    Tambahnya, adalah tidak wajar untuk mengheret seluruh negara ke dalam kancah politik hanya kerana satu atau dua orang punya ‘pasal’.

    “Lebih baik tunggu sampai habis penggal saja. Tak payah susah hati dan semua orang pun boleh buat kerja masing-masing,” katanya.

  • Pemilihan PKR: Audit atau tidak? Minggu depan baru tahu

    Pemilihan PKR: Audit atau tidak? Minggu depan baru tahu

    KEPUTUSAN berkaitan desakan agar audit dilakukan terhadap pemilihan PKR akan diketahui selewat-lewatnya minggu depan.

    Malaysiakini yang memetik The Star melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, tindakan itu diambil susulan aduan bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

    Farhash mendesak agar audit forensik dilakukan terhadap keputusan pemilihan PKR yang didakwanya meragukan.

    “Mereka minta audit forensik. Itu adil bagi saya. Jadi, kita boleh pertimbangkan untuk membuktikan integriti kita.

    “Kami akan membuat keputusan secepat mungkin, kerana kami sedang melihat beberapa perkara lagi, seperti aduan. Kami harus membuat keputusan dalam masa seminggu,” katanya.

    Beliau menambah, terdapat ‘beberapa ratus aduan’ yang dikemukakan oleh calon-calon pemilihan tersebut.

    “Kami mempunyai panel aduan untuk melihatnya. Ada aduan mengenai (beberapa perkara ‘yang tidak kena’ dalam pengiraan undi), tetapi kami masih memperincikannya,” jelasnya.

    PKR mengadakan pemilihan kepimpinan tiga tahun sekali awal bulan ini. Keputusan rasmi hanya akan diumumkan semasa kongres tahunan parti pada 25 Jun dan 26 Jun.

    Pemilihan itu dijalankan menggunakan aplikasi telefon pintar Adil. Undian dibuat sama ada secara bersemuka melalui komputer tablet atau dari jauh, pada tarikh yang ditetapkan.

    Proses pemilihan itu menyaksikan Farhash tewas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam saingan merebut Ketua PKR Cabang Gombak.

    Beliau antara lain mendakwa proses pengiraan undi dijalankan tanpa kehadiran pemeriksa.

    Selain itu, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail pula mendakwa terdapat cabang yang bercanggah mengenai bilangan ahli yang benar-benar mengundi dan jumlah ahli yang mendaftar untuk mengundi.

    Pemilihan PKR kali ini berlangsung dalam suasana panas lebih-lebih lagi dengan kemunculan semula Rafizi Ramli yang bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden.

    Sementara itu, Bernama melaporkan, tempoh bantahan bagi pencalonan pemilihan PKR akan dibuka bermula esok hingga 3 Jun manakala tempoh rayuan akan bermula pada 4 hingga 6 Jun.

    Zaliha berkata, tempoh itu melibatkan pencalonan bagi ahli majlis pimpinan pusat (Ahli MPP), Ahli majlis pimpinan angkatan Muda keadilan pusat (Ahli MPAMKP) dan Ahli majlis pimpinan wanita pusat (Ahli MPWP).

    Beliau dalam satu pekeliling hari ini turut memaklumkan, senarai calon akan dimuktamadkan pada 7 Jun.

    Katanya, setiap bantahan perlu didahulukan dengan yuran bantahan RM50 beserta lampiran bukti yang berkenaan melalui aplikasi ADIL, dan sebarang bantahan tanpa bayaran yuran akan ditolak secara automatik.

    “Segala urusan dan perjalanan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) adalah menurut Peraturan Pemilihan dan Tatacara Pemilihan Parti pindaan 21 Feb 2022,” katanya dalam pekeliling itu.