Category: Politik

  • Anwar seru tolak pemimpin rasuah, rakyat perlu berani

    Anwar seru tolak pemimpin rasuah, rakyat perlu berani

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa rakyat tidak mempunyai pilihan untuk membawa perubahan kepada negara jika mereka menolak politik secara total pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, jika pengundi terus menolak politik, gejala rasuah akan terus berleluasa andai pemimpin yang salah diangkat.

    “Rakyat perlu berani membuat perubahan dengan memilih pemimpin politik yang bersih dan tidak rasuah.

    “Kalau pilih untuk tolak politik, masa depan anak-anak kita akan ditentukan orang yang korup. Tak peduli Melayu, Kadazan, Cina, India kita ada pilihan, jangan izinkan rakyat dihumban (dengan politik rasuah),” katanya ketika berucap dalam Sidang Nadi Rakyat, lapor FMT.

    Hadir sama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.

    Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) konsisten menolak kerajaan yang mengamalkan politik rasuah.

    “Siapa boleh nafikan elit politik kaut kekayaan untuk diri dan pergunakan rakyat, bukan soal kaum. Ada elit politik Melayu yang khianat, dan Cina serta India yang kaut keuntungan termasuk daripada kalangan pekerja Bangladesh.

    “Semua terpalit penyalahgunaan kuasa dan rasuah sebab itu ada langkah sekarang, yang mula menyerang badan kehakiman sebab takut dengan badan yang berani dan bebas,” katanya.

    PKR dan PH katanya, sejak dari awal untuk menegakkan keadilan dan menyuarakan denyut nadi rakyat.

    Sementara itu, Mohamad Sabu dalam ucapannya berkata, walaupun PH dituduh tidak pandai memerintah apabila mentadbir Putrajaya hanya 22 bulan, gabungan berkenaan berjaya menurunkan kedudukan indeks persepsi rasuah (CPI) dari 61 ke 51.

    “Bagaimanapun, satu tahun lebih mereka (kerajaan Melayu Islam PN-BN) ambil alih kerajaan, kedudukan itu naik ke tangga 61. Tahun ini barangkali cecah kedudukan 70 ke atas,” katanya.

  • Hans Isaac nafi terlibat politik wang raih undi dalam pemilihan PKR

    Hans Isaac nafi terlibat politik wang raih undi dalam pemilihan PKR

    PENGARAH dan pelakon, Datuk Gerald Hans Isaac, 51, atau dikenali sebagai Hans Isaac menafikan terlibat politik wang bagi meraih undi ketika Pemilihan PKR 2022.

    Pegawai Politik Pejabatnya, Nadhirah Farhanah berkata, surat aduan rasmi yang mendakwa Hans Isaac melakukan perbuatan tersebut adalah cubaan bagi menjatuhkan nama baik serta reputasi dalam karier politik beliau.

    “Pengundian beliau sewaktu Pemilihan PKR 2022 dibuat menggunakan sistem demokrasi oleh pengundi PKR di Ampang, selain sokongan pengundi atas pagar yang mahukan pembaharuan.

    “Hans Isaac selaku penyandang Ketua PKR Cabang Ampang yang baharu tidak pernah sama sekali mengamalkan politik wang bagi meraih undi, malah beliau serta pasukan sentiasa bersikap professional dan berintegriti dalam melaksanakan sesuatu tugas.

    “Sekali lagi, ditegaskan bahawa Hans Isaac sama sekali tidak terlibat dan menafikan kesemua dakwaan yang dilempar serta tohmahan palsu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik dalam Instagram Story Hans Isacc, lapor Sinar Harian hari ini.

    Dalam pada itu, Nadhirah berkata, pihaknya akan menyerahkan kenyataan rasmi dan laporan kepada pihak berwajib termasuk Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bagi meneliti aduan dan tuduhan untuk menepis segala fitnah yang dilemparkan.

    Semalam, Hans Isaac berjaya memenangi jawatan Ketua PKR Cabang Ampang dalam Pemilihan 2022.

    Beliau berjaya meraih 748 undi selepas pemilihan semula dilakukan pada Rabu berikutan kes salah laku pengundian di cabang berkenaan pada hujung Mei lalu.

  • Dakwa ada penipuan besar dalam pemilihan, PKR kini di persimpangan

    Dakwa ada penipuan besar dalam pemilihan, PKR kini di persimpangan

    MENJELANG kongres kebangsaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan pada 15 Julai ini dijangka akan mengundang dilema kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

    Perkembangan itu berlaku selepas sebuah syarikat pakar membuat audit forensik mendapati berlakunya penipuan besar-besaran dalam pemilihan parti itu yang diadakan pada Mei lalu.

    Perkara berkenaan disahkan oleh pelbagai sumber dalam parti kepada Malaysiakini baru-baru ini.

    Menurut sumber kepada portal berkenaan, terdapat empat isu utama dibentangkan pakar audit forensik kepada MPP dalam dua mesyuarat berasingan masing-masing pada 9 Jun dan 20 Jun.

    “Menggunakan tab haram, mengundi selepas waktu pengundian tamat, mengundi berpuluh kali menggunakan Mykad yang sama, mengundi secara besar-besaran dalam satu-satunya masa merupakan antara empat perkara disimpulkan sebagai ‘digital discrepancies’ oleh syarikat itu.

    “MPP kini berada di persimpangan jalan. Mereka perlu membuat keputusan dan langkah seterus parti berhubung penemuan menerusi audit forensik ini,” kata satu sumber yang menghadiri kedua-dua mesyuarat tersebut kepada Malaysiakini.

    Untuk rekod, MPP sebelum ini bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR mengenai keperluan melakukan audit forensik ke atas keputusan tidak rasmi pemilihan parti.

    Pemilihan PKR kali ini diadakan secara hybrid iaitu gabungan pengundian atas talian (PAT) dan pengundian secara fizikal. JPP menerima lebih 1,800 aduan ekoran pengumuman keputusan tidak rasmi pada 30 Mei lalu.

    Banyak aduan dibuat membabitkan dakwaan berlaku manipulasi khususnya ketika pengundian secara fizikal.

    Susulan itu, JPP melantik Alliance IFA Sdn Bhd, sebuah syarikat pakar audit digital untuk membuat audit forensik ke atas 4,000 tab yang digunakan untuk pemilihan secara fizikal.

    Sementara itu, sumber itu memberitahu MPP kini mempunyai tiga pilihan berhubung penemuan penipuan besar-besaran dalam pemilihan parti.

    “Yang pertama, ‘mengetepikan’ penemuan audit forensik dan mengekalkan keputusan tidak rasmi. Ini selepas mengambil kira masa depan lebih-lebih pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat.

    “Kedua, membatalkan keputusan pemilihan dan mengekalkan ahli jawatankuasa penggal 2018 sebelum mengadakan pemilihan semula selepas PRU. Ada pihak berpandangan pilihan kedua itu tepat iaitu membatalkan keputusan selaras dengan pendirian parti bahawa keadilan bagi semua dan telus dalam semua perkara.

    “Yang ketiga, menolak semua undi yang dikenal pasti menerusi penipuan dan mengumumkan keputusan terakhir hanya berdasarkan undi yang ‘bersih’.

    “Ahli MPP berpandangan bahawa pilihan ketiga paling selamat bagi semua pihak,” katanya.

    Namun, sumber itu memberitahu pilihan ketiga mungkin tertakluk kepada campur tangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

    “Sebagai contoh, pada 2013 ROS mengarahkan DAP membuat pemilihan semula bagi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) setelah mendapati ada cawangan tidak wujud mengundi dalam pemilihan.

    “Walaupun jumlah undi daripada cawangan tidak wujud itu sangat kecil, dan tidak mengubah keputusan pemilihan CEC, ROS bertegas untuk mengadakan pemilihan semula.

    “Bagi pemilihan PKR kali ini, jurang penipuan undi agak tinggi. Lebih penting terdapat 40 laporan kepada ROS berhubung pemilihan PKR kali ini.

    “Jadi kita perlu lihat apakah keputusan MPP yang kebiasaannya mengadakan mesyuarat khas sebelum kongres kebangsaan,” ujarnya.

    Dalam pada itu, satu lagi sumber tertinggi parti memberitahu Malaysiakini bahawa JPP akan mengumumkan keputusan terakhir pemilihan parti bermula 2 Julai Sabtu ini (esok).

    “Semalam, syarikat audit itu telah memberikan taklimat kepada JPP. Dan JPP menerima sepenuhnya penemuan dan hasil audit forensik.

    “Maka JPP akan memaparkan keputusan akhir di laman sesawang www.pemilihankeadilan2022.com.

    “Keputusan akhir itu hanya berdasarkan undi ‘bersih’ sahaja,” tambah sumber itu.

  • PRU-15:Fahmi selar Asyraf Wajdi, sifatkan hanya fikir periuk nasi sendiri

    PRU-15:Fahmi selar Asyraf Wajdi, sifatkan hanya fikir periuk nasi sendiri

    AHLI Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyelar kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkenaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) seawal Oktober.

    Beliau sifatkan Dr. Asyraf Wajdi tidak sensitif terhadap isu semasa negara dan seharusnya memikirkan keadaan rakyat yang terjejas dengan harga barangan yang semakin meningkat.

    “Saya rasa Datuk Asyraf seakan-akan tidak sensitif. Rakyat tengah sengsara cari kerja, dengan minyak dan ayam harga tinggi tetapi beliau mahu PRU. Saya rasa ini hanya memikirkan periuk nasi sendiri, dia patut fikirkan periuk nasi rakyat.

    “Pada waktu ini, semua pihak sedang berusaha untuk membantu rakyat. Macam saya, tengah bantu rakyat di Lembah Pantai, tetapi beliau hendak PRU, saya rasa tidak sesuai,” katanya lapor Sinar Harian.

    Fahmi berkata demikian kepada pemberita pada Program Jualan Amal Prihatin Rakyat di Dewan Terbuka Dataran Seri Angkasa, Kuala Lumpur, hari ini.

    Semalam, Asyraf memaklumkan bahawa PRU-15 mungkin diadakan seawal-awalnya dalam tempoh dua bulan dari sekarang dengan jangkaan sama ada September atau Oktober.

    Perkara tersebut disuarakan berdasarkan keperluan segera untuk mengembalikan mandat kepada rakyat dalam usaha menstabilkan kerajaan.

    Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Asyraf seharusnya mengikuti prosedur yang ada tanpa melangkaui proses yang ditetapkan.

  • Zahid usah tuding jari, selesai dulu masalah parti sendiri – Gerakan

    Zahid usah tuding jari, selesai dulu masalah parti sendiri – Gerakan

    PARTI Gerakan hari ini mengecam tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak fokus terhadap masalah dalaman parti pimpinannya, UMNO, sebaliknya, mengalih perhatian orang ramai terhadap pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang lain di dalam kes perbicaraan mahkamah beliau.

    Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan, Puvaniten Helan Gova berkata, pendedahan yang dibuat oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman baru-baru ini jelas menunjukkan kedudukan sebenar UMNO di peringkat kepimpinan tertinggi.

    “Sila selesaikan masalah dalaman UMNO dahulu. Amat jelas situasi sebenar UMNO yang didedahkan oleh Tajuddin berhubung politik dalaman UMNO ketika ini.

      “Pendedahan ini sudah pasti mencetuskan banyak persoalan di peringkat akar umbi parti itu sendiri. Cubalah lihat apa reaksi orang ramai yang meledak di dalam media sosial satu dua hari ini. Rakyat nak kepastian berhubung apa yang sedang berlaku di dalam pucuk pimpinan parti berkenaan dan bukannya menyerong perhatian orang ramai atau menuding jari terhadap parti politik lain dan ahli-ahlinya,” katanya dalam kenyataan, lapor Astro AWANI.

    Puvaniten turut mempersoalkan pendirian Presiden UMNO itu yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dari segi isu yang diketengahkan Tajuddin.

    ” Pengerusi Barisan Nasional itu kini menghala serangan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara. Rakyat sedang membuat perhatian dan ini bukan budaya politik zaman dulu yang boleh menyalahkan sesiapa pun atau rakyat senang mempengaruhi untuk apa tohmahan,” ujarnya lagi.

    Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak beberapa hari lalu mendakwa Ahmad Zahid tidak layak memimpin UMNO dan perlu undur diri secara terhormat, selain mendedahkan keputusan mesyuarat MKT parti itu selama ini dibuat mengikut kehendak bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

  • Shahidan tidak tandatangan SD sokong Anwar

    Shahidan tidak tandatangan SD sokong Anwar

    DATUK Seri Dr. Shahidan Kassim menafikan terbabit dalam menandatangani akaun bersumpah (SD) untuk menyokong ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    Beliau juga tidak akan berbuat demikian kerana seorang ahli UMNO yang patuh kepada arahan dan ketetapan yang diputuskan oleh parti.

    Meskipun seorang yang patuh pada parti, beliau mendedahkan terdapat pihak tertentu dalam parti yang suka menuduhnya dengan pelbagai dakwaan termasuk tidak patuh pada apa yang diputuskan parti.

    “Saya tak ‘involve’ (terbabit). Saya ini orang yang patuh kepada parti. Kalau Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kata ‘No Anwar, No DAP’, parti buat keputusan saya akan patuh.

    “Saya juga sering kali dituduh tidak patuh oleh kawan-kawan yang tak tahu. Tetapi saya patuh sebab saya lebih lama (dalam politik) daripada orang yang tuduh saya.

    “Saya berada dalam politik sudah lama. Kalau orang nak tuduh saya tak apa. Paling penting UMNO dan Barisan Nasional (BN)…kami akan datang dengan gagah perkasa di Wilayah Persekutuan,” katanya mengulas pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada Rabu lalu berkenaan Ahli Parlimen UMNO yang menandatangani SD tersebut.

    Ahli Parliman Arau itu berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pasar Harian Selayang Kuala Lumpur dan Jejambat Jalan Ipoh di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Berita Harian.

    Baru-baru ini, Tajuddin mendedahkan wujud SD dalam kalangan ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

    Sehubungan itu, Tajuddin menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya secara terhormat demi kepentingan parti.

    Ini kerana, Tajuddin mendedahkan Ahmad Zahid mengetuai bagi menandatangani SD dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

    Kata Tajuddin, beliau adalah saksi hidup yang turut menandatangani SD itu meskipun yang pada awalnya menolak cadangan pucuk pimpinan parti berkenaan.

  • Segelintir pemimpin UMNO ada ‘bisul di punggung’ – Mohd Amar

    Segelintir pemimpin UMNO ada ‘bisul di punggung’ – Mohd Amar

    NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mendakwa UMNO mempunyai ‘bisul di punggung’ sehingga menyebabkan mereka tidak memiliki pendirian yang tetap berhubung gagasan pembentukan Muafakat Nasional (MN).

    Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, UMNO adalah pihak yang mencetuskan masalah dalam MN dan bukan Pas.

    “Yang rok rak (tidak tetap pendirian) ialah UMNO, bukan Pas,” katanya mengulas pendirian parti berkenaan yang masih utuh dengan Piagam MN yang diasaskan Pas dan UMNO.

    Mohd. Amar berkata demikian semasa berucap merasmikan Muktamar Muslimat kawasan Pengkalan Chepa di Kota Bharu, hari ini, lapor Astro Awani.

    Menurut Mohd Amar, penubuhan MN pada asalnya ialah untuk menyatukan umat Melayu-Islam yang pada ketika itu berasa terancam.

    “Pas masih tetap dengan pendirian Muafakat Nasional (yang) merupakan penyatuan ummah bagi memperkasakan umat Islam dan menghimpunkan umat Islam-Melayu dalam satu gagasan demi agama dan ummah.

    “Yang menimbulkan masalah adalah kalangan segelintir pemimpin UMNO yang naik ‘bisul di punggung’ (apabila Pas menyertai Perikatan Nasional) sedangkan Pas tetap dengan pendirian mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan pada masa sama memperkasakan MN,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Mohd Amar berkata, UMNO Kelantan telah mendahului Pas apabila mengisytiharkan pembubaran MN di negeri itu, sedangkan Pas masih menaruh harapan untuk mempertahakannnya.

    “Jadi siapa yang rok rak (tidak tetap pendirian),” soal beliau sekali lagi.

    Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian mutkamar itu, Mohd. Amar membayangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkemungkinan diadakan selepas pembentangan Bajet 2023.

    “Melihatkan perkembangan politik saya jangka mungkin Pilihan Raya Umum ke 15 akan diadakan Oktober selepas pembentangan Belanjawan 2023 dan belanjawan dibentangkan lebih awal sedikit, mungkin pada akhir September.

    “Perdana Menteri juga mungkin akan melihat (faktor) wow sebelum menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen… sesiapa pun jadi Perdana Menteri akan melihat penerimaan rakyat sebelum menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

    “Cara yang paling sesuai untuk wujudkan wow faktor ialah melalui belanjawan. Belanjawan dalam jadual Parlimen adalah bulan Oktober, tapi saya dengar Perdana Menteri minta pembentangan belanjawan diawalkan (iaitu) akhir September.

    “Itu (yang) kita dengar tapi saya tak tahulah, kerana jadual Parlimen tak keluar lagi,” katanya.

    Pas juga, jelas beliau, bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya sama ada diawalkan atau dilewatkan.

    Parti itu juga, katanya, meletakkan sasaran untuk bertanding sekurang-kurangnya di 50 kerusi Parlimen dengan 40 kawasan daripada jumlah itu dimenangi.

    “Target (sasaran) kita 50 kerusi Parlimen, tambah kerusi dari sebelumnya, tapi ianya perancangan, kalau perancangan betul dan keadaan memihak kepada kita (Pas) tak mustahil kita dapat capai sasaran,” ujar Mohd. Amar.

  • Pucuk pimpinan perlu cari jalan harmonikan semula UMNO – Annuar

    Pucuk pimpinan perlu cari jalan harmonikan semula UMNO – Annuar

    PUCUK pimpinan UMNO perlu mencari jalan untuk mengharmonikan semula parti selepas pendedahan mengenai wujudnya akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

    Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam keadaan negara menghadapi isu harga barang, UMNO seharusnya mengurangkan kegawatan dalam parti sebaliknya memperkukuh solidariti dan terus fokus dalam memberikan khidmat kepada rakyat.

    “Saya fikir sekarang ini elok kurangkan kegawatan, pucuk pimpinan harus cari jalan harmonikan keadaan.

    “Dari terus serang-menyerang dan terus-menerus gawat, kalau boleh saya cadangkan harus ada pihak ambil tindakan uruskan hal ini, dan tidak membincangkan ia secara terbuka,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

    Annuar yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak itu pada satu sidang media khas selepas digugurkan dari MT UMNO pada 24 Jun.

    Ditanya sama ada beliau menandatangani SD berkenaan, Annuar berkata: “Saya tidak terlibat”.

    Sementara itu, Annuar menafikan laporan media mengenai mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ada dibincangkan pada mesyuarat Kabinet.

    “Palsu! Sebagai menteri komunikasi saya boleh jawab dengan ringkas, ia adalah palsu,” katanya.

    Beliau berkata mesyuarat Kabinet yang diadakan setiap minggu hanya membincangkan soal berkaitan negara dan kebajikan rakyat. – BERNAMA

  • Hans menang Ketua PKR Cabang Ampang, atasi Altimet 2 undi

    Hans menang Ketua PKR Cabang Ampang, atasi Altimet 2 undi

    PENGARAH dan pelakon, Datuk Hans Isaac memecah tradisi apabila memenangi jawatan Ketua PKR Cabang Ampang bagi Pemilihan PKR 2022 selepas pemilihan semula diadakan pada Rabu berikutan kes salah laku pengundian di cabang tersebut pada 21 Mei lalu.

    Memetik laporan Astro Awani, berdasarkan keputusan dalam laman sesawang Pemilihan PKR 2022, Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 51, berjaya memperolehi 748 undi.

    Beliau menewaskan seorang lagi selebriti, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, 43, dengan perbezaan dua undi apabila menyaksikan penyanyi rap itu meraih 746 undi.

    Tiga lagi pesaing iaitu Abdullah Md Zain hanya memperolehi 101 undi; Sam Hoo Wai (70) dan Abdul Latif Shaari meraih 10 undi, manakala Abdul Halim Mohamed Yusof menarik diri dalam pemilihan semula peringkat cabang tersebut.

    Pada 29 Mei lalu, Daing Muhammad Reduan Bachok menewaskan Hans dan Altimet dalam persaingan merebut jawatan Ketua Cabang .

    Beliau menerima jumlah undian tertinggi dengan 942 undi, manakala Hans dan Altimet masing-masing mendapat dengan 609 undi dan 589 undi.

    Bagaimanapun, berikutan dakwaan pelanggaran etika dalam pemilihan cabang berkenaan, jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR telah menubuhkan panel siasatan yang kemudiannya mendapati Daing Muhammad terlibat dalam kegiatan “membeli undi”.

    Dalam perkembangan sama, Hans menerusi hantaran di IG Story malam tadi turut memuat naik kenyataan mengesahkan kemenangannya sebagai Ketua PKR Cabang Ampang yang baharu.

    “Dengan berbesar hati mengumumkan secara rasminya ia rasmi. #KetuaCabangAmpang,” tulisnya dalam entri tersebut.

    Pada Pemilihan PKR 2018, jawatan Ketua Cabang Ampang dimenangi oleh Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Bagaimanapun, beliau meninggalkan PKR pada 2020 dan menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

    Pemilihan PKR 2022 berlangsung sejak 13 Mei lalu dan berakhir pada 22 Mei lalu.

  • Joachim menang saingan Timbalan Presiden PBS

    Joachim menang saingan Timbalan Presiden PBS

    TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Dr Joachim Gunsalam menang dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi kuota bumiputera bukan Islam.

    Beliau mengatasi Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Joniston Bangkuai dengan majoriti tipis.

    Memetik laporan FMT, Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang menerima 339 undi manakala Joniston beroleh 334 undi, dan sebanyak 65 undi rosak.

    Perebutan jawatan timbalan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi kuota bumiputera bukan Islam yang menjadi perhatian pada pemilihan kali ini menyaksikan Joachim Gunsalam berjaya memenanginya dengan keputusan tipis.

    Joachim yang juga timbalan ketua menteri mengatasi Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Joniston Bangkuai.

    Joniston yang juga ADUN Kiulu seterusnya dilantik sebagai Ketua Penerangan PBS.

    Dua lagi yang dilantik ialah ADUN Matunggong Julita Majungki sebagai Setiausaha Agung dan Lu Kim Yen sebagai Bendahari Agung.

    Dalam perkembangan sama, satu lagi jawatan Timbalan Presiden bagi kuota Cina dimenangi bekas Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Yee Moh Chai.

    Beliau mengatasi bekas ADUN Tanjung Aru, Edward Yong Oui Fah dengan kelebihan 259 undi.

    Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengekalkan jawatan presiden selepas tidak dicabar.

    Seorang lagi iaitu ADUN Tamparuli, Jahid Jahim turut mengekalkan jawatan Timbalan Presiden bagi kuota bumiputera Islam selepas turut tidak dicabar.

    Lain-lain keputusan adalah seperti berikut:

    Naib Presiden :

    Arthur Sen Siong Choo
    Ruslan Muharam
    Mursid Mohd Rais
    Hendrus Anding
    Johnny Mositun

    Ahli Majlis Tertinggi:

    Johnny Goh
    Kong Nyuk Thou
    Lim Vun Chan
    Gan En Siong
    Fazidah Mohd Yassin
    Kasirin Kamiran
    Juin Saman
    Azmi Ahmad
    Omar Abdul Hakim
    Peter Jino Allion
    Samuil Mopun
    Fredolin Totin Bangon
    Stanis Buandi
    Suman Yasambun
    William Majimbon
    Masum Takin