KAJI selidik yang dijalankan oleh firma analisis Rafizi Ramli, Invoke Solutions (Invoke), merumuskan kemenangan bekas Ahli Parlimen Pandan itu kemunginan besar akan memberikan kesan songsang terhadap Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Memetik laporan Malaysiakini, kaji selidik tersebut dijalankan sebelum PKR menjalankan pemilihan baru-baru ini.
“Kemenangan untuk Rafizi kemungkinan besar akan membunuh sebarang peluang untuk ‘khemah besar’ pembangkang menjelang PRU k-15, dan memberi peluang cukup tinggi untuk Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar,” kata Invoke dalam rumusan kaji selidik berkenaan.
Rafizi sebelum ini lantang menentang gagasan khemah besar yang bertujuan memastikan pertembungan banyak penjuru yang memberi kelebihan kepada BN dapat dielakkan pada PRU-15.
Pendirian Rafizi itu berlawanan dengan hasrat beberapa pemimpin PH yang berharap gagasan tersebut dapat direalisasikan.
Selain itu, Parti Warisan dan PAS tidak berminat untuk menyertai khemah besar menentang BN.
Walau bagaimanapun, Invoke berpandangan, kemenangan besar BN akan memberi kelebihan kepada PKR dalam jangka masa panjang.
“(Kemenangan Rafizi) juga berkemungkinan akan mempercepatkan proses penjanaan semula parti dan mewujudkan prospek jangka panjang yang lebih baik untuk parti dalam kalangan penduduk Malaysia,” kata firma itu.
Rafizi diisytiharkan secara rasmi sebagai pemenang dalam persaingan untuk jawatan Timbalan Presiden PKR pada Isnin lalu setelah menewaskan pencabarnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan majoriti 16,668 undi.
Sementara itu, mengenai sokongan orang ramai terhadap PKR, Invoke mendapati 35 peratus responden setuju untuk mendukungnya berbanding 19 peratus yang enggan, manakala 46 peratus lagi tidak membuat keputusan.
Namun, Invoke berteori bahawa tahap sokongan terhadap PKR berkemungkinan mendapat dukungan penyokong DAP dan Amanah memandangkan mereka berada dalam gabungan yang sama.
“(Jumlah sokongan untuk PKR) berkemungkinan lebih rendah jika PKR menentang PH,” kata laporan itu.
Pada masa yang sama, tinjauan dalam kalangan ahli PKR menunjukkan 47 peratus menyokong agar parti itu bertanding sendirian, manakala 34 peratus menentangnya, dan 18 peratus tidak pasti.
Kaji selidik itu membabitkan 1,500 responden bukan daripada ahli PKR, selain 1,500 ahli parti dan dijalankan antara 1 Mac hingga 8 April lalu.