Category: Politik

  • PM perlu bertemu dengan delegasi rasmi PN – Rina

    PM perlu bertemu dengan delegasi rasmi PN – Rina

    PERTEMUAN membabitkan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendaharinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kira-kira dua minggu lalu, bukan pertemuan rasmi delegasi pakatan itu.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Serikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Harun, sependapat dengan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang menyifatkan pertemuan antara ketiga mereka itu, bukan perjumpaan rasmi.

    Rina menegaskan, pertemuan itu sepatutnya berlangsung membabitkan wakil rasmi yang diputuskan PN iaitu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Bendahari PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    “Saya kira sebenarnya perjumpaan kita (PN) dalam parti sudah memutuskan perjumpaan itu diwakili keempat-empat mereka yang telahpun disebut sebagai wakil rasmi.

    “Jadi, jika itu yang diputuskan dalam parti, saya kira itulah wakil rasmi parti (BERSATU) untuk berjumpa dengan Perdana Menteri untuk membincangkan hal berkaitan PN dan Bersatu,” katanya pada sidang media mesyuarat exco Srikandi di Petaling Jaya semalam.

    Bagaimanapun, Rina menjelaskan pertemuan membabitkan menteri daripada kalangan menteri PN yang lain, tidak mewakili delegasi rasmi yang telah terlebih dahulu ditetapkan parti.

    “Yang lain-lain itu kalau ada perjumpaan, mungkin sebab mereka adalah menteri. Takkanlah kalau saya (sebagai menteri) berjumpa dengan PM (Perdana Menteri) maka saya dikatakan mewakili parti kepada isu ini, sedangkan mandat diberi kepada mereka yang diputuskan PN sebagai wakil ramai,” katanya.

    Kelmarin, Wan Saiful menyifatkan pertemuan Hamzah dan Ahmad Samsuri dengan Perdana Menteri kira-kira dua minggu lalu adalah makan tengahari biasa dan bukan perjumpaan rasmi delegasi PN.

    Untuk rekod pada 13 Ogos lalu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan bersama delegasi PN pada minggu terakhir sesi sidang Dewan Rakyat.

    Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan keempat-empat wakil rasmi PN itu hadir dalam pertemuan makan tengah hari berkenaan.

    Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa semalam dilaporkan berkata, soal pertemuan itu bukanlah hal yang sulit dan perlu dihebohkan kepada media, apatah lagi tiga daripada empat yang dikatakan wakil Bersatu, Hamzah, Azmin, Takiyuddin dan Samsuri adalah anggota jemaah menteri.

    “Mereka setiap minggu berjumpa dan bersama Perdana Menteri,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu, seperti dilaporkan media.

    Sementara itu, semalam Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, PN masih mencari tarikh baharu untuk delegasi rasmi empat pemimpinnya bertemu Perdana Menteri.

    Dalam perkembangan berhubung kenyataan Barisan Nasional (BN) mengatakan akan bergerak solo, Rina menjelaskan ia terpulang kepada pendirian parti masing-masing.

    “Saya tak boleh nak kata apa, itu parti dia (komponen BN). Tetapi, kami di Bersatu , persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 akan terus dijalankan. Pendekatan mendekati rakyat terus akan diadakan dan kita akan meneruskan usaha itu.

    “Bagi kami, apa yang penting bukanlah sekadar memenangi pilihan raya. Tetapi, isu isu rakyat itu yang perlu kita utamakan dan kita dekati. Ini kerana sekarang ini banyak isu dihadapi rakyat yang perlu beri perhatian,” katanya.

  • Najib terkejut, rakyat pula tidak lupa ‘kejutan’ derma ‘Tok Arab’

    Najib terkejut, rakyat pula tidak lupa ‘kejutan’ derma ‘Tok Arab’

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    SEMALAM, bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti tambahan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Najib kecewa apabila panel lima hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya berkaitan kedudukan hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam kumpulan Maybank sebelum ini yang didakwa Najib mempunyai konflik kepentingan cukup besar.

    Najib juga gagal memohon kebenaran mahkamah untuk menangguhkan perbicaraannya sehingga empat bulan atas alasan peguam baharu yang dilantik mewakilinya tidak bersedia dengan rayuan akhir.

    Berdasarkan keputusan semalam, panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendapati tiada kaitan antara jawatan Mohd Nazlan sebelum ini sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank yang boleh menyebabkan berat sebelah terhadap Najib.

    Selain itu, Tengku Maimun yang membacakan penghakiman berkata, mahkamah berpandangan bukti tambahan yang ingin dimasukkan tidak relevan dengan pertuduhan ke atas Najib.

    Begitu juga dengan alasan Najib untuk menangguhkan prosiding yang ditegaskan oleh mahkamah sebagai tidak munasabah dan tidak adil kepada semua pihak termasuk dana awam apabila mahkamah terbiar tidak bersidang.

    Jika dilihat kepada reaksi orang ramai di media sosial pula, majoritinya berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu kerana kes berkenaan sudah lama berlarutan.

    Keputusan untuk mensabitkan Najib bersalah juga sudah dibuat pada 28 Julai 2020 di mana dia telah didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan dihukum dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta.

    Ramai berharap pelaku kes penyelewengan itu dapat dihukum dengan segera kerana kes berprofil tinggi itu membabitkan sejumlah wang yang sangat besar.

    Rakyat tidak akan lupa bagaimana penyelewengan itu memberi kesan ke atas kepentingan awam kerana dana RM42 juta itu adalah milik Kementerian Kewangan yang berkemungkinan berasal daripada dana pencen Kumpulan Wang Persaraan berjumlah RM4 bilion.

    Begitu juga dengan alasan penghakiman ketika mensabitkan kesalahan terhadap Najib, hakim Mohd Nazlan berkata penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd adalah kesalahan dan pengubahan wang haram yang paling teruk.

    Rakyat juga masih ingat bagaimana Mohd Nazlan berkata bahawa Najib selaku tertuduh tidak menunjukkan penyesalan, malah mempertahankan pembelaan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd itu.

    Rakyat juga tak akan lupa sampai bila-bila bagaimana kisah derma Arab yang dicanang-canang apabila Najib dikatakan menerima RM42 juta daripada raja Arab Saudi dan semuanya gagal dibuktikan di mahkamah.

    Mahkamah Rayuan ketika mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib pada Disember tahun lalu juga telah mendapati pembelaan Najib berhubung sumbangan derma negara Arab sebagai tidak mempunyai kredibiliti dan bercanggah.

    Dalam penghakiman penuh, tiada bukti sama sekali bahawa RM42 juta itu datangnya atau mungkin daripada raja Arab Saudi dan secara jelas terbukti dana itu datang daripada SRC International Sdn Bhd.

    Maka, sama-sama kita tunggu prosiding rayuan akhir yang bermula esok untuk mengetahui pengakhiran kes penyelewengan ini.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • Beza pandangan dalam PAS tak pecahkan parti – Mursyidul Am

    Beza pandangan dalam PAS tak pecahkan parti – Mursyidul Am

    MURSYIDUL Am PAS, Datuk Hashim Jasin menolak tanggapan bahawa perbezaan yang berlaku antara pemimpin parti itu berhubung kerjasama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan membawa kepada perpecahan, menjelang muktamar parti yang berlangsung awal bulan depan.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau berkata, adapun pimpinan berbeza pandangan ia hanya sekadar cadangan dalam usaha memantapkan PAS, dan bukannya untuk memecahbelahkan parti.

    “Dalam PAS keputusan dibuat pimpinan pusat, jadi biasanya apabila keputusan sudah dibuat, wajib diikuti pengikut.

    “Dalam PAS juga tidak ada masalah kerana setiap dasar kita nak putuskan itu walaupun ada yang tidak puas hati dalam kalangan pimpinan, itu hanya ibarat air berkocak dalam cawan sahaja, boleh diatasi dengan mudah dan setelah keputusan besar dibuat semua pimpinan akan patuh, walaupun di peringkat awal ada yang beza pendapat,” katanya kepada FMT.

    Muktamar PAS dijadualkan berlangsung pada awal September ini, dengan isu melibatkan kerjasama MN serta PN dijangka hangat dibincangkan.

    Beliau menegaskan sekalipun berlaku perbezaan pendapat dalam PAS sekarang ini, ia tidak akan membawa kepada penyingkiran beramai-ramai seperti dilihat pada 2015 yang melihat pembentukan Amanah.

    Katanya, jika adapun pandangan dari pimpinan PAS bahawa parti itu perlu memilih hanya satu iaitu Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO atau Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, itu hanyalah pandangan peribadi dan bukannya keputusan parti.

    “Keputusan PAS untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan pada masa sama mempertahankan Perikatan Nasional (PN) masih kekal sampai sekarang, dan saya rasa akan berterusan. Tak timbul isu pemimpin sokong PN sahaja (atau) sokong MN sahaja,” katanya.

    Sebelum ini seorang pemimpin PAS membidas beberapa individu dalam parti itu yang mendakwa kononnya pendekatan mengeratkan hubungan kerjasama MN bersama UMNO dan PN dengan Bersatu sebagai melanggar arahan Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Ahli Jawatankuasa Kerja Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik berkata beliau hairan bagaimana pemimpin tertentu dalam PAS boleh membuat tuduhan sebegitu, sedangkan Hadi sendiri menegaskan perlunya mengekalkan kerjasama termasuk dengan UMNO.

    Beliau juga memberi bayangan insiden penyingkiran beramai-ramai dalam parti itu pada 2015 boleh berulang, apabila ada ahli parti yang “bersilat di belakang presiden” dan tidak ikhlas.

    Tanpa menyebut atau memberikan gambaran secara jelas pihak yang dimaksudkannya itu, ulama PAS terbabit berkata, sikap berkenaan menunjukkan mereka membawa kepentingan sendiri.

  • PN akan tetapkan tarikh baharu jumpa PM

    PN akan tetapkan tarikh baharu jumpa PM

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menetapkan tarikh baharu untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Memetik laporan Berita Harian, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada masa ini, tarikh baharu itu belum ditetapkan tetapi menegaskan perjumpaan dan perbincangan dengan Perdana Menteri sudah diadakan secara santai sambil makan tengah hari sebelum ini.

    Menurutnya, walaupun perjumpaan yang turut disertai Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu secara santai, banyak perkara dan pelbagai isu diutarakan.

    “Saya antara empat pemimpin yang diberi tanggungjawab oleh pucuk pimpinan PN akan berusaha tetapkan tarikh baharu untuk berjumpa dengan Ahli Parlimen Bera,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 408 daripada 663 bekas pegawai dan anggota polis di Terengganu, hari ini.

    Yang turut hadir adalah Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan dan Perjawatan), Deputi Komisioner Mohd Alwi Zainal Abidin.

    Mengulas kenyataan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang menyifatkan perjumpaan Ismail Sabri dengan Hamzah dan Ahmad Samsuri bukannya perjumpaan rasmi, Ahmad Samsuri yang juga Bendahari PN, enggan mengulas lanjut dan menganggap kenyataan itu hanya pandangan peribadi dan tidak sedikit pun membantutkan usaha ke arah perjumpaan rasmi membabitkan delegasi yang dilantik pimpinan tertinggi parti.

    “Kenyataan Wan Saiful tidak sedikit pun menjejaskan usaha untuk kita sentiasa bertemu dan berbincang serta mengadakan pertemuan membabitkan delegasi yang dilantik pimpinan tertinggi parti.

    “Saya sebagai salah seorang antara empat anggota delegasi tidak akan berputus asa dan masih berusaha untuk mengadakan perjumpaan itu,” katanya.

  • Kerjasama dengan UMNO: Bersatu persoal integriti pimpinan DAP

    Kerjasama dengan UMNO: Bersatu persoal integriti pimpinan DAP

    SIKAP pimpinan DAP dan Pakatan Harapan (PH) terhadap integriti masih boleh dipersoalkan, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Yazid Mohd Yunus.

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, kenyataan dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, baru-baru ini mengambarkan seolah-olah parti itu sanggup bersekongkol dengan UMNO bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15.

    “Adakah Anthony (Loke) sedang bermimpi sedangkan sebelum ini, mereka sering melaungkan perkataan integriti, ketelusan dan menolak rasuah serta kleptokrasi?

    “Saya nak tanya pengundi PH dan penyokong DAP, adakah mereka setuju untuk bekerjasama dengan UMNO?

    “Kalau jawapan mereka ya (setuju) amat malang sekali kerana ia membawa maksud DAP dan PH menyokong dan menghalalkan apa saja dilakukan UMNO dahulu dan sekarang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini di Kuantan, hari ini.

    Mohd Yazid yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang memberitahu, pimpinan DAP dan PH sering menuduh Bersatu sebagai pengkhianat.

    Hakikatnya, dakwa Mohd Yazid, Bersatu merupakan parti yang konsisten menolak kluster mahkamah dan mengutamakan integriti.

    Katanya, sikap DAP dan PH juga menunjukkan mereka sedia ‘berjalan berpimpin tangan’ dengan penjenayah bagi mendapatkan kuasa.

    “Rakyat sudah muak dengan bahasa ‘silang kata’ digunakan pemimpin pembangkang kerana rakyat mahu melihat satu mesej dan pendirian yang jelas hala tujunya.

    “Kita (PN) lebih memikirkan hal (kebajikan) rakyat, mencari jalan memajukan negara dan keluar dari tekanan ekonomi yang sedang dihadapi ketika ini.

    “Jika Anthony Loke dan PH ingin mencari rakan sekutu atau electoral pact yang mengutamakan rakyat, Umno bukanlah pilihan yang tepat,” katanya.

    Tambah Mohd Yazid dengan memilih UMNO, itu menunjukkan DAP dan PH adalah “pengkhianat sebenar” kepada rakyat.

    Dalam temu bual dengan sebuah portal pada 8 Ogos lalu Loke dipetik sebagai berkata DAP tidak akan menolak kemungkinan bekerjasama dengan UMNO kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik.

    Katanya, politik Malaysia mengalami perubahan drastik sejak PRU 2018, terutamanya dengan ketiadaan parti tunggal yang dominan.

    Bagaimanapun, Loke menegaskan, sebarang kerjasama hanya akan berlaku selepas PRU ke-15.

    Namun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media di Ipoh, Perak pada Khamis lalu menjelaskan, tidak timbul soal PH akan bekerjasama dengan UMNO selepas PRU ke-15.

    Anwar berkata, jika dilihat konteks ucapan Loke tersebut, ia tidak sampai ke tahap kerjasama seperti yang difahami sesetengah orang.

    “Kenyataan Anthony tempoh hari merujuk pada kemenangan PRU ke-15 adalah atas nama PH, namun, seandainya keadaan selepas PRU ke-15 rumit dan gawat, maka beliau tidak menolak kemungkinan yang akan berlaku,” kata Anwar.

  • PRU-15: UMNO, Pas perlu berkorban jika tak mahu terkorban

    PRU-15: UMNO, Pas perlu berkorban jika tak mahu terkorban

    Oleh BADLISHAH MAT

    PEMIMPIN UMNO dan Pas perlu sedia berkorban bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi sekiranya kedua-dua parti itu tidak mahu ‘terkorban’, apabila ia berkemungkinan akan membawa keuntungan kepada Pakatan Harapan (PH).

    Menurut Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail, pertembungan antara kedua-dua parti itu terutamanya dalam konteks Parlimen Alor Setar hanya akan membawa kemenangan kepada PH.

    “Kalau bertembung UMNO dan Pas, memang PH yang untung. Jadi pemimpin atasan perlu lihat dan janganlah sampai nak jaga ego atau pendirian, menyebabkan bangsa atau negara ini tergadai kepada orang lain.

    “Pemimpin UMNO dan Pas kena duduk sekali dan kalau kena korban, berkorbanlah kerana saya tengok, akan ada yang terkorban. Kita jangan tengok hanya kepada kepentingan peribadi sebaliknya lihat kepentingan ummah dan biarlah kehilangan satu atau dua kerusi tetapi negara masih dalam kekuasaan kita daripada hilang seluruh kuasa seperti PRU-14 lalu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) PRU-15 Peringkat Parlimen Alor Setar di Taman Budiman, Alor Setar malam tadi.

    Semalam, Ketua Komunikasi BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, mereka sama sekali tidak berminat dan tidak mahu berkasih sayang dengan Pas, hanya kerana ada kepentingan tertentu yang hendak dicapai.

    Menurutnya, penolakan tersebut bukan kerana UMNO atau BN sombong sebaliknya penyatuan perlulah dibina atas niat serta sebab yang baik, dan bukan semata-mata kerana hendak kekal berkuasa atau mahukan lebih banyak kerusi.

    Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Yusof turut mengakui UMNO bahagian itu memerlukan sokongan Pas sekiranya parti itu diberi peluang untuk bertanding di Parlimen Alor Setar.

    “Walaupun tiada kesepakatan di peringkat atas, tetapi saya seru ahli-ahli kita serta orang UMNO sekiranya UMNO diberi peluang bertanding di Parlimen Alor Setar ini, tuan-tuan perlu dapatkan sokongan daripada sahabat kita daripada Pas.

    “Kalau tidak UMNO tak menang, Pas tak menang. Yang menang adalah PH ibaratnya gajah sama gajah berperang, yang untung orang lain,” katanya.

    Mohd. Yusof menyifatkan Muafakat Nasional (MN) sebagai muafakat terbaik memandangkan hitungan sebelum ini menjangkakan gabungan tersebut mampu meraih sehingga 148 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu sekiranya bersama.

    Namun beliau berpandangan, MN kini sudah berada di penghujung tetapi memaklumkan beliau bersama pasukannya akan ke Kuala Lumpur bagi proses memulihkan semula muafakat berkenaan.

    “Tetapi kalau dilihat kepada kenyataan dikeluarkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, kalau beliau nak mengata pun biarlah berlapik kerana kita ini orang Melayu. Beliau menyindir, mengata UMNO dengan menyatakan ‘mailah’ kalau nak tumpang Pas.

    “Janganlah cakap begitu kerana dalam hidup, kita tak boleh angkuh dan riak. Kalau nak jemput, jemput elok-elok dan kalau nak panggil, kita bermusyawarah sebab beliau menjadi Menteri Besar pun hasil daripada UMNO.

    “UMNO yang melaksanakan tugasan awal untuk membolehkan beliau menjadi Menteri Besar. Walaupun cuma ada dua kerusi pada masa itu, tetapi parti inilah yang memainkan peranan membolehkan beliau menjadi Menteri Besar dan saya seru kepimpinan UMNO atau Pas untuk bermuhasabah diri,” katanya.

    Dalam pada itu, UMNO Bahagian Alor Setar yakin dapat kembali merampas dua daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di bawah Parlimen Alor Setar iaitu Suka Menanti dan Alor Mengkudu.

    “Kita akan menang di DUN Suka Menanti dan Alor Mengkudu. Daripada apa yang kita lakukan termasuk program-program dilaksanakan di kawasan berkenaan, kedua-dua DUN itu kita pasti menang.

    “Keadaan semasa menampakkan sokongan dan pengundi kita pada PRU-13 akan kembali. Kita sudah kira dan kali ini mereka tidak akan lagi tertipu dengan PH,” katanya.

    Suka Menanti kini diwakili Datuk Zamri Yusuf daripada PKR, manakala Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah menyandang DUN Alor Mengkudu.

  • Shafie menang tanpa bertanding jawatan Presiden Warisan

    Shafie menang tanpa bertanding jawatan Presiden Warisan

    AHLI Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden Parti Warisan (Warisan), kata Setiausaha Agung parti itu Loretto Padua Jr.

    Beliau yang mengesahkan perkara itu berkata Mohd Shafie satu-satunya nama yang dicalonkan bagi jawatan Presiden untuk pemilihan parti yang dijadual diadakan pada Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2021 pada 26 hingga 27 Ogos ini.

    Loretto berkata dalam pencalonan yang ditutup pada 7 Ogos lepas, Ahli Parlimen Penampang Datuk  Darell Leiking juga menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden Warisan apabila menjadi satu-satunya calon bagi jawatan itu.

    “Dalam perlembagaan parti kita ada tiga jawatan Naib Presiden, dan hanya tiga orang menghantar pencalonan jadi mereka juga menang tanpa bertanding,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Warisan di Kota Kinabalu hari ini.

    Beliau berkata tiga naib presiden parti itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan Datuk Dr Jaujan Sambakong, ADUN Tanjong Aru Datuk Junz Wong dan Bendahari Agung Warisan Terrence Siambun.

    Loretto berkata 20 jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) akan dipertandingkan pada perhimpunan itu dan pihaknya telah menerima 50 pencalonan untuk jawatan berkenaan, namun hanya 40 calon layak bertanding jawatan berkenaan.

    “Jawatan dilantik pula kita ada Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Ketua Penerangan, dua Naib Presiden dan 11 AMT akan dilantik,” katanya.

    Sementara itu, Mohd Shafie berkata mesyuarat AMT hari ini memutuskan untuk menggantung tiga bahagian parti itu iaitu Lahad Datu, Kota Marudu dan Beaufort berikutan beberapa isu berlaku pada mesyuarat agung dan pemilihan peringkat bahagian parti berkenaan pada awal bulan ini.

     “Lahad Datu dan Kota Marudu kita gantung mereka kerana dalam menganjurkan mesyuarat agung itu ada beberapa perkara agak bercanggah dengan peraturan yang ada, kekecohan dan pergeseran berlaku tetapi kita boleh kawal ketenteraman di dua bahagian ini.

    Dua bahagian ini kita gantung pentadbirannya dan diurus secara terus daripada ibu pejabat. Beaufort tidak mengadakan mesyuarat agung mereka setelah didapati ada perkata-perkara yang tidak lengkap di bahagian tersebut,” katanya menambah Warisan mempunyai 25 bahagian di Sabah dan satu bahagian di Labuan.

    Beliau berkata tiga bahagian itu dijangka mengadakan mesyuarat agung selepas Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2021 nanti, dan perwakilan daripada tiga bahagian itu akan hadir sebagai pemerhati pada perhimpunan berkenaan yang dijangka dihadiri 5,000 orang ahli parti.

    Mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15, Mohd Shafie berkata Warisan telah menyusun perancangan dan jentera, namun sehingga kini masih belum memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen yang akan ditandingi kelak.

    — BERNAMA

  • Jumpa waktu makan tengah hari bukan pertemuan rasmi – Bersatu

    Jumpa waktu makan tengah hari bukan pertemuan rasmi – Bersatu

    SEORANG pemimpin Bersatu menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengandungi ‘penipuan’ susulan pengakuannya sudah berjumpa dengan delegasi Perikatan Nasional (PN) ketika makan tengah hari.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perjumpaan pada waktu itu tidak patut dianggap pertemuan rasmi.

    “Kalau setakat jumpa waktu ‘lunch’, itu bukan perjumpaan rasmi yang sepatutnya.

    “Bagi saya kenyataan Ismail Sabri mendakwa telah bertemu delegasi PN adalah penipuan dan tidak beradab. Ismail perlu jelaskan kenapa dia menipu media dan rakyat,” katanya di Facebook.

    Pada Sabtu, Ismail Sabri berkata beliau telah mengadakan pertemuan bersama PN dua minggu lalu.

    Beliau berkata, pertemuan yang berlangsung pada minggu terakhir sesi sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen itu dihadiri Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari PN Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Bagaimanapun, Ahmad Samsuri hari ini berkata PN sedang mengusahakan pertemuan baharu dengan Ismail Sabri selepas pertemuan 4 Ogos lalu.

    Beliau yang juga bendahari PN berkata isu dibangkitkan PN dalam pertemuan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat itu memerlukan satu ruang baharu bagi membolehkan delegasi penuh untuk berjumpa dengan perdana menteri.

    Dalam pada itu, Wan Saiful berkata beliau berterima kasih kepada Ahmad Samsuri yang mengesahkan kenyataan beliau tempoh hari berhubung Ismail Sabri belum berjumpa dengan PN secara rasmi.

    Katanya, wakil rasmi yang PN namakan adalah empat orang iaitu Hamzah, Penolong Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ahmad Samsuri dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    “Semasa (pengerusi PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri, beliau menubuhkan Majlis Presiden parti-parti dalam kerajaan.

    “Semua presiden parti ada dalam Majlis Presiden itu. Itu barulah perdana menteri yang berani. Bercakap depan-depan secara rasmi, bukan sembang waktu lunch,” katanya.

    Beliau juga mempersoalkan apa yang ditakutkan Ismail Sabri untuk berjumpa dengan delegasi PN.

    “Apa yang Ismail takut sangat. Nak jumpa kawan segabungan secara rasmi pun tak berani.

    “Atau ada perkara yang Ismail mahu sembunyi dan takut delegasi PN tanya. Maklumlah kita sudah tahu mengenai pelbagai skandal seperti kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang kena atas batang hidung pemimpin UMNO sekarang ini,” katanya.

  • Selesai konflik PAS, UMNO, Bersatu sebelum bincang ‘kerusi MN’

    Selesai konflik PAS, UMNO, Bersatu sebelum bincang ‘kerusi MN’

    KONFLIK antara PAS, UMNO dan Bersatu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum cadangan “kerusi Muafakat Nasional,” dibincangkan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin.

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, persefahaman perlu diwujudkan bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRU akan datang.

    “Seboleh-bolehnya kita wujudkan persefahaman antara parti-parti khususnya PAS, UMNO dan Bersatu supaya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru, (jika) pertandingan dua penjuru, baru kita bincang masalah pembahagian kerusi.

    “Kalau itu pun kita tak (selesaikan), mungkin kita akan katakan (PRU-15) akan bertanding tiga penjuru. Ini belum dipastikan lagi kerana kita masih berusaha untuk laksanakan pertandingan dua penjuru sahaja,” katanya hari ini.

    Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki memberi cadangan pembentukan “kerusi MN” antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA), bagi mengelakkan kemenangan besar Pakatan Harapan.

    Ini memandangkan terdapat 27 kerusi di Semenanjung Malaysia yang sangat berisiko untuk jatuh ke tangan PH sekiranya UMNO dan PAS bertembung dalam PRU nanti.

    Bagaimanapun, Hashim berkata, beliau yakin setiap parti dalam tiga gabungan itu telah bersedia dengan calon mereka tersendiri untuk PRU.

    “Kalau persediaan itu dibuat, kemudian tiada persetujuan dua penjuru, maka dia akan bertembunglah. Itu yang kita nak elakkan,” katanya.

    Terdahulu Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali baru-baru ini berkata, umat Islam dalam PAS dan UMNO kerugian jika perpecahan berlaku sekali lagi selepas mereka meleraikan persengketaan politik lebih 44 tahun.

    Bekas AJK PAS Pusat itu turut menyuarakan kebimbangannya bahawa umat Islam dalam kedua-dua parti dominan itu akan kerugian berikutan peluang mensia-siakan muafakat tersebut.

    Sementara itu, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Razali Idris pula mempersoalkan keberadaan PAS dalam PN dan MN.

    Menurutnya Bersatu tiada isu sekiranya PAS memutuskan untuk bekerjasama dengan MN.

    “Itu antara PAS dengan UMNO. Di situ ada persoalan lagi kenapa PAS ada dalam MN dan PN? Kita sebenarnya terbuka PAS nak bekerjasama dengan MN… kita tak ada masalah. Go ahead (Teruskan).

    “Tapi tentang agreement PN nak bertanding di mana tu, itu satu perspektif lain. Jadi kita serahkan PAS berunding dengan Umno kalau boleh,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya apa yang menjadi masalah apabila terdapat laporan mengatakan Umno ingin bertanding di semua kerusi di Terengganu dan Kedah yang merupakan negeri di bawah pimpinan PAS.

    “Jadi kita tak tahu apa justifikasi UMNO nak bekerjasama dalam MN. Kita tak nampak di situ.

    “Tapi pemimpin PAS kita nampak masih lagi berbincang untuk (kerjasama dengan) MN. Itu tak apa, kita serahkan kepada pemimpin PAS.

    “Tapi dalam masa yang sama, PN sekarang ni dah bergerak untuk bertanding untuk persiapan PRU15,” katanya.

  • Bubar Parlimen jika kajian sikap tunjukkan BN boleh menang PRU15-PM

    Bubar Parlimen jika kajian sikap tunjukkan BN boleh menang PRU15-PM

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob akan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika hasil kajian sikap pengundi yang dilakukan secara menyeluruh menunjukkan Barisan Nasional (BN) boleh menang.

    Menurut Perdana Menteri, jaminan tersebut perlu menghadapi PRU15 supaya BN boleh melakar kemenangan.

    “Kita masuk pilihan raya untuk menang dan memerintah tak kiralah di peringkat persekutuan atau negeri.

    “Untuk mengetahui sejauh mana kemampuan kita untuk menang, ia adalah berdasarkan kajian sikap yg dilakukan Wanita BN,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada slot Bicara Hati Perdana Menteri sempena Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketika menyampaikan ucapan, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut mengarahkan wanita komponen BN menjalankan kajian sama bagi memastikan kajian sikap pengundi dilaksanakan secara menyeluruh.

    Menurutnya, sebelum ini hanya Wanita UMNO yang melakukannya kajian itu setiap kali pilihan raya.

    “Kali ini saya minta wanita komponen juga bersama-sama dengan Wanita UMNO untuk membuat kajian sikap pengundi.

    “Sebabnya kita tahu setiap kawasan terutama di Pantai Barat dan Pahang pengundinya bercampur-campur,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Ismail Sabri menambah, kajian sikap itu juga perlu dilakukan kepada seluruh pengundi merangkumi pelbagai kaum dan membabitkan pengundi atas pagar atau pengundi hitam serta tidak hanya tertumpu kepada ahli UMNO sahaja.

    “Kalau setakat mendapat kajian sikap dari segi ahli UMNO semata-mata mungkin ia tidak mencukupi dan kita perlu dapat hasil kajian sikap yang tepat juga daripada pengundi-pengundi kaum lain. Peranan tersebut boleh dimainkan oleh Wanita MCA dan Wanita MIC.

    “Ini kerana saya menjangkakan, penyokong UMNO atau BN (hanya) ada lebih kurang 30 peratus daripada jumlah pengundi, bermakna kita juga perlu dapat sokongan daripada pengundi yang bukan penyokong. Jadi baharu kita boleh tahu sama ada kita boleh menang secara menyeluruh atau tidak.

    “Selepas memperoleh hasil kajian tersebut, baharulah saya yakin untuk membubarkan Parlimen,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.