Category: Politik

  • Bersatu tarik diri daripada PH, bolehkan UMNO jadi kerajaan – Tuan Ibrahim

    Bersatu tarik diri daripada PH, bolehkan UMNO jadi kerajaan – Tuan Ibrahim

    UMNO perlu sedar keberadaan parti itu dalam kerajaan pada waktu ini disebabkan Bersatu) menarik sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga tumbang.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, jika Bersatu tidak menarik sokongan, Pas dan UMNO pada waktu ini masih lagi berada dalam blok pembangkang.

    UMNO, tegas beliau, perlu mengingati jasa Bersatu yang membolehkan Pas dan UMNO menjadi parti yang berada dalam kerajaan ketika ini.

     Sehubungan itu, Tuan Ibrahim mengingatkan, sekiranya gagasan Muafakat Nasional (MN) berhasrat bergerak solo, maka Pas bersedia untuk menghadapi pertarungan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Bagaimanapun, beliau masih meletakkan harapan agar perbezaan pendapat antara Pas dan UMNO dapat dibawa ke meja rundingan dalam konteks mengukuhkan perpaduan orang Melayu.

    “(Pada masa ini) banyak sangat parti (politik) Melayu… akhirnya kekuatan kita makin lemah, sebab itu bagi Pas kami bersama PN (Perikatan Nasional),” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan projek pembinaan Maahad Tahfiz al-Quran Gerak Wira, di Kota Bharu, hari ini, lapor Astro Awani.

    Pada  masa sama, Tuan Ibrahim mempersoalkan tindakan UMNO yang ingin menyisihkan Bersatu selepas Pas menyertai PN.

    Tegas Tuan Ibrahim, tindakan tersebut tidak kena dalam adat persahabatan dan hayat MN masih ada, bahkan  platform penyatuan ummah itu wajar dipertahankan.

    Namun begitu, beliau berkata, ikatan MN longgar, namun, masih bertahan tanpa ada perbincangan bersama pimpinan UMNO dan Pas sejak sekian lama.

    Pas, ujar Tuan Ibrahim, masih mengharapkan hubungan MN dapat dipertahankan sehingga PRU15.

     Ini kerana, tambahnya, pertembungan sesama sendiri tidak menguntungkan dan menyebabkan umat Melayu-Islam berpecah.

    Tuan Ibrahim berkata, terdapat 27 kerusi Parlimen yang agak kritikal tidak dimenangi sama ada oleh Pas ataupun Barisan Nasional (BN) yang memerlukan perundingan bersama PN dan juga BN

    Beliau turut mengulangi pendirian Pas yang kekal utuh mempertahankan MN dan PN.

    Namun, kata Tuan Ibrahim, sekiranya UMNO bertegas untuk melawan Pas pada pilihan raya umum akan datang, parti itu tiada pilihan lain.

  • Zahid minta ahli UMNO bertenang, tanamkan tekad betulkan kepincangan sistem keadilan

    Zahid minta ahli UMNO bertenang, tanamkan tekad betulkan kepincangan sistem keadilan

    DATUK Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi meminta ahli UMNO bertenang berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam menolak rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Katanya, mereka perlu bertenang dan tanamkan tekad, segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan.

    Berikut kenyataan beliau;

    Keluarga  UMNO melahirkan rasa dukacita atas pengakhiran keputusan perbicaraan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.

    UMNO merasa amat terkilan kerana proses dan ruang untuk mantan Perdana Menteri mempertahankan dirinya terutama usaha untuk mengemukakan bukti-bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelanya yang baharu membuat persiapan telah dinafikan.

    Bagi UMNO keputusan Mahkamah Persekutuan semalam tidak sama sekali dapat memadamkan jasa besar Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri yang telah membawa Malaysia ke mercu kejayaan dan meletakkan Malaysia di persada sebelum disuramkan oleh kegagalan dua kerajaan selepas PRU-14 yang lalu.

    Walau jasad dipenjara, semangat dan daya juang mantan Presiden UMNO itu dalam usaha mempertahankan dirinya serta tampil berada di barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra UMNO sehingga mampu bangkit semula selepas kekalahan PRU-14, akan tetap membara.

    UMNO akan terus bersama Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam menghadapi perbicaraan kes lain yang sedang dihadapinya bagi menjamin beliau mendapat keadilan dan tidak dimangsakan dengan tekanan politik.

    Kepada seluruh ahli UMNO, kita perlu bertenang dan tanamkan tekad, segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan, akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan.

    Ini termasuklah pendedahan bekas Peguam Negara Tommy Thomas mengenai campur tangan politik Perdana Menteri Pakatan Harapan terdahulu dalam pelantikan Hakim dan perjalanan sistem perundangan negara.

  • Bayangkan kemarahan UMNO kalau Muhyiddin masih PM – Tuan Ibrahim

    Bayangkan kemarahan UMNO kalau Muhyiddin masih PM – Tuan Ibrahim

    KEMARAHAN dan kecaman UMNO bersama ahlinya pasti memuncak sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjadi Perdana Menteri, ketika keputusan dibuat ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung rayuan akhir kes penyewengan dana SRC International semalam.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kini baru beliau faham hikmah berlakunya peralihan kuasa kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin sebelum ini.

     “Saya nak bayangkan walaupun ramai setuju atau tidak puas hati, itu biasalah setiap keputusan mahkamah, tetapi bayangkan kalau sekiranya yang jadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekarang.

    “Baru saya nampak hikmah kenapa berlaku peralihan kuasa itu. Saya fikir kalau Tan Sri Muhyiddin jadi Perdana Menteri masa waktu ini kita boleh bayangkan bagaimana rasa tak puas hati UMNO pada Perdana Menteri.

    “Bila Ismail Sabri jadi Perdana Menteri walaupun daripada UMNO, kerajaan tak campur tangan dalam urusan mahkamah. Jelas bahawa kerajaan tak campur tangan macam kes LCS pun kerajaan serahkan kepada SPRM,” katanya lapor Astro AWANI.

    Tuan Ibrahim ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pembinaan Maahad Tahfiz di Pasir Tumbuh, Kota Bharu hari ini.

    Semalam Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib selepas didapati bersalah kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Tuan Ibrahim berkata, keputusan itu juga memberi keyakinan kepada rakyat dan juga dunia bahawa institusi mahkamah di Malaysia adalah bebas dan positif.

    Katanya lagi keputusan itu juga dapat memberikan peringatan kepada yang lain supaya semua pihak dapat membina sebuah negara yang bebas rasuah dan sudah cukup Malaysia dicemuh oleh pihak luar kerana mengamalkan rasuah.

  • Naib Canselor UUM tidak berhasrat jadi calon PRU-15

    Naib Canselor UUM tidak berhasrat jadi calon PRU-15

    Oleh BADLISHAH MAT

    NAIB Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menegaskan tidak pernah menyatakan hasrat kepada mana-mana pihak tentang kesediaan menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Sebaliknya, kata Haim Hilman, fokus beliau kini diberikan sepenuhnya kepada pembangunan universiti berkenaan sejak diberi kepercayaan sebagai Naib Canselor UUM pada 17 Januari lalu.

    “Fokus utama adalah membangunkan dan memajukan UUM serta komited bekerja bersama warga universiti dalam usaha merealisasikan visi menjadi universiti pengurusan terkemuka.

    “Selain itu, kita juga mahu memenuhi misi UUM iaitu mendidik pemimpin berperwatakan holistik untuk berbakti kepada komuniti global,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau mengulas laporan sebuah akhbar mengenai tiga nama calon yang akan dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) Selangor pada PRU-15.

    Ketua Komunikasi BN Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dipetik berkata, peranan ahli strategik sangat penting bagi mendepani pola baharu pengundi pasca PRU-14 khususnya dalam kalangan pengundi berusia 18 tahun yang dipercayai masih dipengaruhi politik persepsi.

    Laporan itu menyebut Haim Hilman sebagai salah satu nama daripada tiga calon berkenaan yang terdiri daripada ahli pemikir atau ‘think tank’ bagi mewakili negeri itu bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil dan Ketua Pembangkang Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail.

    Haim Hilman, 49, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada University of Portsmouth, United Kingdom.

    Beliau turut memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Strategik pada 2010 daripada Universiti Putra Malaysia

    Haim Hilman sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM sebelum dilantik menjadi Naib Canselor bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani.

  • Puad kata, UMNO tidak lagi perlukan ‘poster boy’,

    Puad kata, UMNO tidak lagi perlukan ‘poster boy’,

    DR.Puad Zarkashi  berkata parti itu tidak lagi memerlukan “poster boy” untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Ahli Majlis Kerja Tertinggi itu berkata ia kerana “poster boy” tidak relevan lagi dan menegaskan, “Ia boleh jadi bola tanggung, ‘punching bag’ atau senjata makan tuan.

    “Walaupun sudah ada keputusan, tetapi kalau sudah jadi liabiliti, elok batalkan sahaja ‘poster boy’. Manusia bernyawa mudah difitnah jika jadi ‘poster boy’,” katanya di Facebook beliau.

    Pada Perhimpunan Agung UMNO Khas Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden parti itu dipilih sebulat suara oleh perwakilan sebagai “poster boy” atau calon Perdana Menteri, jika UMNO dan Barisan Nasional menang PRU15 nanti.

    Dalam pada itu, Puad mencadangkan lebih baik logo BN dijadikan “poster boy” kerana ia tidak bernyawa dan sukar difitnah.

    “Lagi pun logo BN telah sebati dengan rakyat. ‘Poster boy’ tidak boleh mereka yang ‘over’ perasan dan lembik. Harapkan pagar, pagar makan padi,” katanya.

    Jika cadangan beliau ini diterima oleh kepemimpinan tertinggi UMNO, ia bermakna Ismail Sabri tidak akan lagi menjadi ‘poster boy’ BN dalam PRU-15.

    Selain itu, sudah ada desas desus, Ismail Sabri kini berhadapan dengan situasi sukar apabila didesak oleh pemimpin UMNO untuk mengadakan PRU-15 secepat mungkin.

    Bagaimanapun setakat ini, Ismail Sabri masih mempertahankan pendirian beliau bahawa PRU-15 tidak akan diadakan secara tergesa-gesa.

    Malah dalam kenyataan terbaru  beliau, Ismail Sabri yang genap setahun menjadi Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu menegaskan, tindakan mengadakan PRU secara tergesa-gesa tanpa mengkaji sama ada BN boleh menang atau tidak, boleh dianggap ‘tindakan bunuh diri’.

  • ‘’Tiada persamaan kes saya dengan Najib’’ – Anwar

    ‘’Tiada persamaan kes saya dengan Najib’’ – Anwar

    DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan situasi perbicaraan kes beliau dan kes Datuk Seri Najib Razak adalah tidak sama.

    Tegas Presiden PKR itu, apa yang berlaku pada 2016, beliau tidak dibenarkan untuk menangguhkan kesnya biarpun Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan meninggal dunia dan perlu diganti.

    Selain itu kata Anwar, perkara sama berlaku ketika hari keputusan rayuan, beliau terus dihukum ke penjara tanpa ada penangguhan.

     “Semasa Datuk Seri Najib jadi perdana menteri, saya juga disumbatkan ke penjara. Masa itu kebetulan Karpal Singh ketua pasukan peguam saya meninggal dunia.

    “Jadi kita minta tangguh kerana kita terpaksa lantik… bukan soal ambil, kemudian cara taktik nak lengahkan, buang, kemudian ambil pasukan lain, kemudian ambil peguam lain, kemudian ambil taktik buang, tidak, ini memang mati, bila mati harus diganti.

    “Tidak ada penangguhan, jalan terus. Malah hari dihukum, ini boleh tanya Datuk Seri Najib, kerana esoknya itu penamaan calon untuk PRK DUN Kajang, maka selesai jam 5, hari itu juga masa rayuan pertimbangan 6.30 atau 6.45 buat keputusan,” katanya dalam satu klip video yang disiarkan di media sosialnya.

    Beliau menjelaskan ketika kesnya pada 2008 dan 2016, pasukan peguamnya tidak pernah berdolak dalih untuk menarik diri atau meninggalkan kes.

    Anwar juga menegaskan untuk penyokong Najib menganggap tidak ada apa-apa berlaku dalam kes melibatkan Ahli Parlimen Pekan itu adalah tidak munasabah.

    “Untuk menganggap tidak ada apa-apa berlaku itu tidak munasabah, wang hilang berbilion ringgit, berlian intan permata dibeli.

    “Ratusan juta ringgit, belanja di sana sini, kapal dan sebagainya… itu bukti nyata, bagaimana kita boleh kata tidak apa-apa yang berlaku,” katanya lagi.

    Najib kini di peringkat rayuan akhir bagi mengetepikan sabitan dan hukuman ke atas tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

  • ”Peluang Najib dapat pengampunan 50-50” – Dr.Mahathir

    ”Peluang Najib dapat pengampunan 50-50” – Dr.Mahathir

    TUN Dr Mahathir Mohamad berpendapat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak “mempunyai peluang 50-50” dan akhirnya mendapat pengampunan diraja dan kemudian membuat kemunculan semula politik.

    “Ada 50-50 peluang beliau akan berjaya mendapat pengampunan dan kembali berpolitik. Beliau akan kembali dan dia mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi,” kata Mahathir dalam wawancara dengan agensi berita Bloomberg hari ini, lapor FMT.

    Dr. Mahathir berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh memberikan pengampunan kepada Najib dengan cara sama diberikan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 apabila beliau memohon pengampunan penuh diraja untuk bekas sekutunya selepas mereka bergabung untuk memenangi pilihan raya tahun itu susulan kemarahan rakyat terhadap Najib berhubung 1MDB.

    Najib telah disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, dan denda RM210 juta atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah melibatkan RM42 juta dana SRC International, sebuah syarikat berkaitan 1MDB.

    Beliau telah merayu terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan dan kes itu sedang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan, dengan peguam Najib diarahkan mahkamah untuk membuat hujahannya esok.

    Dr Mahathir berkata, sekiranya mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman penjara Najib, “sudah tentu dia akan meminta pengampunan”.

    Jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Najib, beliau akan dipenjarakan dan tidak akan dapat bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, yang mesti diadakan pada September tahun depan.

    Dr. Mahathir berkata, pilihan raya umum semakin hampir dengan tiada parti yang berkemungkinan menang besar.

    Beliau berkata parti baharunya, Pejuang, boleh membentuk kerajaan minoriti dan beliau tidak menolak gabungan dengan Anwar lagi walaupun sebelum ini bertelagah mengenai rancangan mengambil alih jawatan perdana menteri.

    Bagaimanapun beliau tidak berminat menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga, kata Dr. Mahathir.

    Dr. Mahathir baru-baru ini memasang perentak jantung dan awal tahun ini memberitahu pemberita bahawa beliau tidak akan bertanding lagi kerana kesihatan dan usia yang kurang baik.

    Bagaimanapun, pemimpin Pejuang “sangat marah jika saya katakan saya tidak bertanding,” “Jadi jika saya cukup sihat – jika mereka masih mahukan saya – saya tidak boleh menafikan mereka, walaupun ia ‘membunuh’ saya,’’ katanya.

  • Asyraf nafi ada desakan minta PM campurtangan urusan mahkamah

    Asyraf nafi ada desakan minta PM campurtangan urusan mahkamah

    KETUA  Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menafikan dakwaan bahawa terdapat desakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencampuri urusan mahkamah.

    Dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Isnin, Asyraf Wajdi mendakwa, laporan yang disiarkan Astro AWANI memetik sumber dalaman yang ‘tidak berasas’ hingga mencetuskan ‘persepsi negatif’.

    “Saya turut berada dalam mesyuarat yang bermula kira-kira pukul 11.30 pagi hingga pukul 1.30 tengah hari. Tiada langsung agenda perbincangan mendesak PM mencampuri urusan mahkamah apatah lagi seolah-olah wujud pertentangan di kalangan kepimpinan Bahagian mengenainya.

    “Apakah logik untuk mendesak PM campur tangan kes SRC yang sudah sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan? Lagipun bukan PM yang melantik Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan yang ada hari ini, tidak sebagaimana zaman Tun (Dr) Mahathir yang terlibat dalam pemilihan hakim-hakim seperti dakwaan Tommy Thomas selaku bekas Peguam Negara dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness.’

    “Apa yang boleh saya kongsikan secara umum, perbincangan tadi lebih kepada isu-isu mengenai PRU15 )(Pilihan Raya Umum ke-15). Saya berharap AWANI lebih bertanggung-jawab dalam penglaporan berita dan berpegang kepada etika kewartawanan yang tinggi bukan seperti media-media pojok murahan yang lain,” katanya.

      Terdahulu, Astro AWANI melaporkan mesyuarat tergempar melibatkan Ketua-Ketua Bahagian UMNO yang berlangsung di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn, di ibu negara, pada Isnin gagal mencapai kata sepakat untuk mendesak Perdana Menteri campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Sumber dalaman memberitahu Astro AWANI, ramai dalam kalangan Ketua-Ketua Bahagian yang hadir mesyuarat tersebut tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan pemimpin utama UMNO.

    Menurut sumber itu lagi, ada dalam kalangan kalangan Ketua Bahagian yang terpaksa datang selepas dipercayai diberi kata dua, tidak akan diberi watikah untuk bertanding dalam PRU15

  • Kerap hadir program bukan bermakna bertanding di Putrajaya – Dr Radzi

    Kerap hadir program bukan bermakna bertanding di Putrajaya – Dr Radzi

    MENTERI Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin hari ini menepis desas-desus  akan bertanding di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) susulan kekerapan menghadiri pelbagai program di pusat pentadbiran kerajaan itu sejak akhir-akhir ini.

    Radzi yang pernah bertanding pada PRU14 di Parlimen Ketereh, Kelantan pada 2018 itu berkata kehadirannya pada setiap program adalah bagi memenuhi jemputan kerana ia adalah anjuran Kementerian Pendidikan (KPM).

    Beliau yang juga Naib Presiden Bersatu itu berkata Putrajaya dipilih sebagai lokasi bagi setiap program bagi memudahkan pergerakan logistik dari KPM dan menjimatkan masa.

    “Ia (program KPM) diadakan di Putrajaya sebab banyak sangat program dan kita perlu cari lokasi dekat (KPM), mudahkan pergerakan. Itu penting.

    “Dalam bulan ini (Ogos) hingga September, hampir hari-hari akan ada program atau pelancaran perkara baharu bagi mengisi slot ‘Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan’,” katanya pada sidang media selepas melancarkan platform pembelajaran digital KPM Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMA): Agenda Digital Kita di sini hari ini.

    Sepanjang minggu lepas, Radzi telah menghadiri beberapa majlis di Putrajaya antaranya Kejohanan Bola Tampar Amatur di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 16 (1) pada 7 Ogos, Showcase Transformasi Pendidikan di Pusat Beli Belah Alamanda (13 Ogos), program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat di SMK Putrajaya 14 (1) (18 Ogos), Majlis Transformasi Pendidikan Pemerkasaan Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) di SMK Presint 18 (1) (20 Ogos) dan hari ini pelancaran DELIMA KPM di SMK Putrajaya Presint 8 (1).

    Timbul desas-desus Radzi sedang ‘mengintai’ kerusi Parlimen Putrajaya pada PRU15 selepas tewas pada PRU14 di tangan penyandang kerusi Parlimen Ketereh Tan Seri Annuar Musa.

    Parlimen Putrajaya disandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memegang kerusi itu selama empat penggal. – BERNAMA

  • Tuan Ibrahim nafi PAS bergerak solo PRU-15, kenyataannya disalah petik

    Tuan Ibrahim nafi PAS bergerak solo PRU-15, kenyataannya disalah petik

    PAS menafikan laporan media yang mengatakan parti itu mahu bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataannya sebelum ini telah disalah petik dan beliau menegaskan PAS akan bersama Perikatan Nasional (PN).

    “Salah petik itu. PAS komponen PN. Kita akan bersama PN dalam pilihan raya umum (PRU),” katanya kepada FMT.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan sama ada PAS mahu bergerak solo pada PRU15 seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

    Sabtu lalu, memetik laporan media, PAS dilaporkan bersiap sedia dengan pelbagai kemungkinan, termasuk bergerak solo pada PRU15.

    Tetapi, Tuan Ibrahim berkata, parti itu tetap akan memperkukuhkan PN dalam persiapan menghadapi PRU15.

    Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris yakin kenyataan Tuan Ibrahim itu disalah petik berikut PAS masih bersama PN untuk PRU15.

    Beliau berkata kenyataan rasmi yang boleh dipercayai hanyalah daripada keputusan tertinggi parti masing-masing dan selain itu hanyalah provokasi yang mahu melaga-lagakan parti-parti dalam PN.

    “Saya baca tulisan itu, kefahaman saya, PN bergerak solo, bukan PAS.

    “Kenyataan boleh pakai dalam PN adalah keputusan peringkat tertinggi. Contoh Bersatu melalui Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. Kalau PAS, PAS Pusat. Gerakan melalui Majlis Tertinggi Gerakan,” katanya kepada FMT.

    Beliau berpandangan selain kenyataan tertinggi parti itu hanyalah dianggap sebagai provokasi.

    Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman berkata secara peribadi beliau melihat tiada masalah hubungan PAS dengan Bersatu dalam PN setakat ini.

    Katanya, semua perkara biasanya dirunding dan disepakati secara musyawarah dalam kepimpinan tertinggi PN.

    “Kenyataan Timbalan Presiden PAS bahawa partinya mahu bergerak solo pada PRU15 hanya sekadar andaian dari pihak media saja,” katanya.