Category: Politik

  • Lima pemimpin tertinggi UMNO akan bincang tarikh PRU-15 dalam masa terdekat – Ismail Sabri

    Lima pemimpin tertinggi UMNO akan bincang tarikh PRU-15 dalam masa terdekat – Ismail Sabri

    PERBINCANGAN antara lima pemimpin tertinggi UMNO bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka diadakan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata tempoh untuk mengadakan PRU15 dalam tahun ini masih terbuka dan tarikh itu akan ditentukan selepas mesyuarat lima pemimpin tertinggi UMNO.

    “Seperti yang saya beritahu sebelum ini, setiap keputusan mengenai PRU akan dibuat selepas perbincangan lima pemimpin tertinggi UMNO,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) di sini hari ini.

    Ketika ditanya sama ada perbincangan itu akan diadakan sebelum atau selepas pembentangan Bajet 2023 pada 7 Okt ini di Dewan Rakyat, Ismail Sabri berkata perkara itu masih belum ditentukan.

    “Perbincangan boleh dibuat secepat mungkin atau mungkin lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023,” kata beliau.

    Lima pemimpin tertinggi UMNO itu merujuk kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden parti iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.

    Sementara itu, semasa ditanya mengenai keadaan Datuk Seri Najib Tun Razak, Ismail Sabri berkata beliau telah memberitahu Kementerian Kesihatan (KKM) supaya melihat keperluan bekas perdana menteri itu.

    “Saya telah meminta KKM supaya bantu apa yang Najib perlukan… kalau boleh masuk ke Institut Jantung Negara (IJN) atau tidak, itu akan ditentukan KKM,” katanya.

    Terdahulu di Mahkamah Kuala Lumpur, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya itu tidak akan dapat hadir ke mahkamah kerana masalah kesihatan dan akan dipindahkan dari Hospital Kuala Lumpur ke IJN hari ini.

    — BERNAMA

  • PRU-15: Amanah sasar tanding 40 kerusi Parlimen

    PRU-15: Amanah sasar tanding 40 kerusi Parlimen

    AMANAH mensasarkan bertanding di 40 kerusi Parlimen, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Timbalan presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia pertambahan 13 berbanding 27 kerusi sebelum ini.

    Menurutnya, Amanah akan meletakkan calon di semua kawasan sama ada di bandar dan kawasan luar bandar.

    “Kita tidak memilih kawasan tertentu sahaja, Amanah bertanding di semua kawasan.

    “Untuk masa depan Amanah kita mesti bertanding di semua kawasan, ada kawasan majoriti dan kawasan campuran, kita akan letakkan calon,” katanya mengikut laporan Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Salahuddin menjelaskan, pemilihan senarai calon Amanah akan meneliti semua aspek dan latar belakang mereka termasuk biodata serta rekod

    Beliau menambah, senarai calon akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini.

  • Parlimen Rembau: ‘Saya cakap benar’, Khairy jawab Tok Mat

    Parlimen Rembau: ‘Saya cakap benar’, Khairy jawab Tok Mat

    MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin mempertahankan pendedahannya bahawa beliau diarah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk “memberi laluan” bertanding di Parlimen Rembau, kawasan yang disandangnya sejak 2008.

    Katanya, apa yang diperkatakannya pada minggu lalu adalah benar, namun enggan mengulasnya lagi secara terbuka.

    “Saya sudah nyatakan apa yang perlu saya katakan sebagai jawapan kepada kenyataannya (Mohamad). Ia adalah benar dan saya tidak perlu membuktikannya. Saya tidak akan sentuh perkara itu di khalayak ramai lagi.

    “Biar saya selesaikan perkara ini secara tertutup,” katanya lapor Berita Harian.

    Pada 4 Sept, Khairy berkata beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), jika tidak diberikan kawasan.

    “Saya (baru-baru ini) menerima satu mesej daripada (timbalan presiden UMNO) Mohamad (Hasan) untuk memberi laluan. Saya akan ikut apa yang Umno mahu dan di mana mereka mahu saya bertanding. Tak apa. Saya belum terima sebarang arahan. Saya akan berasa malu untuk ceroboh kawasan lain.

    “Tak apa. Senario terburuk, saya tidak akan bertanding,” katanya.

    Bagaimanapun, semalam Mohamad yang juga ADUN Rantau, menafikan akan bertanding di Parlimen Rembau seperti diperkatakan.

    “Saya belum cakap pasal kerusi lagi dan Rembau pun, saya hanya bercakap soal kesiapsiagaan jentera parti. Saya hanya bagi tahu akan bertanding di peringkat Parlimen dan tiada nyatakan kerusi di mana pun. Fokus kami bincang soal jentera dan belum lagi membabitkan soal calon dan kerusi mana,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Katanya, beliau hanya memberitahu bahawa sudah sampai masanya bertanding di peringkat Parlimen sejajar statusnya sebagai timbalan presiden Umno.

    “Saya tak pernah cakap nak bertanding (kerusi Parlimen) di mana-mana, cuma saya bagi tahu sudah sampai masanya untuk bertanding di peringkat Parlimen, di Parlimen mana suka hati sayalah, saya timbalan presiden,” katanya.

  • Muda bukan proksi Tun M, asas perjuangan berbeza – Amira

    Muda bukan proksi Tun M, asas perjuangan berbeza – Amira

    MUDA bukan proksi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pejuang berdasarkan perbezaan perkara asas diperjuangkan, kata timbalan presidennya, Amira Aisya.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau berkata, sekiranya Muda tidak ikhlas berjuang, adalah lebih baik mereka menyertai parti kerajaan sahaja mengambil kira tawaran “macam-macam” kepada Syed Saddiq sebelum ini.

    “Buat apa susah-susah mahu lawan kerajaan, keluar masuk balai, naik turun mahkamah kalau apa yang saya buat sebagai pimpinan Muda ini tidak ikhlas untuk negara?

    “Nak kaitkan Muda dengan Tun Mahathir dan Pejuang juga tak boleh. Muda bukan ejen atau proksi mereka. Banyak hal asas kami berbeza pendapat.

    “Muda mahu raikan semua agama, kaum dan warna kulit. Waktu PRN (pilihan raya negeri) Johor, kami bergerak dengan PH – itu sangat jelas,” katanya di Facebook.

    Beliau berkata demikian memandangkan timbul kerisauan dan keraguan terhadap niat sebenar Muda untuk menjadi parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti diumumkan presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada 6 September.

    Mengulas lanjut, Amira berkata dakwaan yang ditujukan kepada Muda hanya kerana hasrat parti itu ingin menjadi sebahagian dari PH dibina dengan imaginasi.

    “Muda ini dibina oleh sekumpulan orang muda yang mahu Malaysia maju ke depan. Setelah kekecewaan dengan Langkah Sheraton, saya dan kawan-kawan fikir, lebih baik kita tubuh parti politik dan jadi orang politik yang bersih, rajin dan bersungguh-sungguh mentadbir negara,” katanya.

    Beliau yang juga ADUN Puteri Wangsa, berkata beliau memahami setiap kritikan dan keraguan dari parti komponen PH berhubung “rekod” bekerja Muda dan PH.

    Pada PRN Johor, Muda bertembung dengan parti komponen PH, di Larkin.

    Katanya, justeru, beliau dan pimpinan Muda bersedia mengadakan pertemuan rasmi dengan PH bagi meleraikan setiap isu berbangkit.

    “Lumrah membina sebuah gabungan bersama – pasti ada banyak persoalan. Sebab itu saya dan pimpinan Muda bersedia untuk adakan pertemuan rasmi bersama PH untuk kita leraikan setiap hal bersama-sama,” katanya.

    Susulan kenyataan Syed Saddiq mahu membawa Muda menyertai PH, pemimpin akar Umbi daripada PKR paling kuat menyatakan kritikan mereka.

    Khamis lalu, Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat Razeef Rakimin, mahu Muda terus memutuskan sebarang kerjasama dengan Warisan memandangkan parti itu tidak lagi mesra PH.

    Beliau turut menyelar kenyataan Ketua Muda Sabah Amos Thien, yang masih mengharap kerjasama dengan Warisan, ketika Muda sudah meluahkan hasrat menyertai PH.

    “Muda perlu belajar lagi dalam berpolitik dan bukan menjadi sebuah parti yang menempel sana sini untuk menang. Malah, status Muda dengan Pejuang sehingga hari ini masih belum ada noktah daripada parti itu,” katanya.

    Terdahulu, Ketua Penerangan PKR Selangor Halimey Abu Bakar, mahu Muda menyatakan pendirian merek terhadap Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pejuang, ditunjangi Mahathir, selain mahu parti itu menyatakan sokongan tuntas kepada Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal perdana menteri, pada pilihan raya umum akan datang.

  • PH selesai bahagi kerusi di beberapa negeri, tentukan penyertaan MUDA dalam masa terdekat

    PH selesai bahagi kerusi di beberapa negeri, tentukan penyertaan MUDA dalam masa terdekat

    PAKATAN Harapan (PH) akan memuktamadkan keputusan sama ada menerima atau menolak penyertaan Muda ke dalam gabungan itu dalam masa terdekat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

    Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata, setakat ini gabungan itu belum mengadakan sebarang perbincangan dengan semua pimpinan komponen, yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Upko , menerusi mesyuarat Majlis Presiden berhubung perkara itu.

    “Belum ada perbincangan (dalam PH tentang penyertaaan Muda setakat ini). Ia akan dibincangkan secepat mungkin,” katanya selepas menghadiri ceramah Angkatan Muda di Taman Medan, lapor FMT

    Pada 6 Sept, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Muda berhasrat menyertai PH menjelang PRU-15.

    Katanya, Muda juga terbuka mengadakan perbincangan rasmi bersama Majlis Presiden PH berhubung perkara itu, selain menyasarkan bertanding kawasan Parlimen tidak lebih 15 kerusi.

    Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, pembahagian kerusi PH untuk PRU-15 telah dimuktamadkan di beberapa negeri di Semenanjung.

    Beliau juga telah dimaklumkan yang gabungan pembangkang itu telah memuktamadkan rundingan kerusi di tiga hingga empat negeri.

    Loke turut mendedahkan, bahawa Majlis Presiden PH telah menerima permohonan rasmi daripada Muda untuk menyertai gabungan itu.

    “Kita akan bincangkan permohonan itu pada mesyuarat Majlis Presiden akan datang dan kita berharap keputusan mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat ini.

    “Kami melihat hasrat parti yang mahu menyertai PH ini sebagai satu perkara yang positif dan ia menunjukkan gabungan ini mempunyai satu keistimewaan dan daya tarik,” katanya seperti dilaporkan The Star.

    Loke berkata, rundingan kerusi yang kini masih berjalan juga tidak akan terjejas sekiranya Muda menyertai PH kerana rundingan lanjut boleh dibuat selepas itu.

    Katanya, PH tidak boleh menunggu sehingga keputusan dibuat mengenai Muda selesai untuk membuat rundingan mengenai kerusi.

    “Peruntukan kerusi untuk komponen sedia ada akan diteruskan dan apabila keputusan akhir telah dibuat (mengenai permohonan Muda), kita akan menjalankan rundingan lanjut (kerusi untuk Muda),” katanya.

  • Muhyiddin seru ahli Bersatu jadi contoh budaya politik murni

    Muhyiddin seru ahli Bersatu jadi contoh budaya politik murni

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun baru berusia enam tahun, Bersatu telah memberikan sumbangan yang besar dalam pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.

    Presiden Bersatu itu berkata, mereka telah berjuang melawan kleptokrasi, mewujudkan pemerintahan yang berintegriti dan bebas rasuah serta melaksanakan pelbagai program prihatin rakyat yang menunjukkan parti tersebut berada di landasan perjuangan yang selari dengan matlamat penubuhannya.

    ‘’Kekuatan Bersatu semestinya terletak di tangan ahli-ahlinya. Sekiranya ahli-ahli parti terus istiqamah dalam menghayati semangat perjuangan parti dan terus mendokong matlamat dan perjuangan parti sepertimana yang termaktub dalam perlembagaannya, maka Bersatu akan terus melangkah gagah dalam menjulang obor perjuangan parti,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Ulang Tahun Ke-6 penubuhan parti Bersatu hari ini.

    Muhyiddin berkata, perjuangan Bersatu termasuk mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang bebas rasuah, melaksanakan tadbir urus yang berintegriti, menegakkan sistem demokrasi berparlimen dan memperjuangkan keadilan sosial.

    Selain itu kata beliau, Bersatu juga menghormati doktrin pengasingan kuasa termasuk kebebasan badan kehakiman, menegakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, menghormati hak semua individu untuk mengamalkan agama masing-masing, mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah bagi semua kaum, memelihara hak-hak asasi rakyat, memupuk perpaduan dan keharmonian rakyat, mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara dan mendokong Perlembagaan Persekutuan.

    ‘’Ini adalah prinsip-prinsip penting perjuangan parti yang terkandung dalam Perlembagaan Bersatu. Prinsip-prinsip ini mestilah diamalkan dan diperjuangkan oleh setiap ahli Bersatu Ahli-ahli Bersatu mesti dikenali dengan prinsip-prinsip ini yang membezakan mereka dengan yang lain,’’ katanya.

    Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, ahli-ahli Bersatu juga mestilah sentiasa bersatu padu dan menjadi contoh teladan yang baik dalam membentuk suatu budaya politik yang murni supaya parti kita dihormati oleh semua.

    Kata beliau, ia penting supaya Bersatu terus kekal bersatu, beramanah dan bermaruah selaras dengan cogan kata parti tersebut.

    ‘’Sepertimana yang kita semua maklum, pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa. Justeru, saya menyeru kepada seluruh ahli parti, terutamanya jentera parti di semua peringkat, supaya sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi pilihan raya. Insya-Allah, berkat usaha dan doa saudara-saudari semua, dokongan rakyat dan izin Allah SWT.Bersatu akan kembali menerajui kerajaan menerusi Perikatan Nasional,’’ katanya.

  • Tiada rundingan rasmi Pas-UMNO – Muhyiddin

    Tiada rundingan rasmi Pas-UMNO – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) menjelaskan, tiada sebarang rundingan rasmi antara Pas dan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata perbincangan antara dua parti itu yang didakwa berlaku adalah secara tidak rasmi dan tidak membabitkan pucuk pimpinan parti.

    “Tiada apa-apa kemajuan dicapai daripada perbincangan ini selepas UMNO membuat pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Pas dalam PRU-15. Pas juga mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti anggota dalam PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ketika Muktamar Tahunan Pas di Kedah minggu lalu mendakwa wujud rundingan tidak rasmi antara parti itu dan pemimpin UMNO tertentu bagi membincangkan kerjasama menjelang PRU ke-15 akan datang.

    Beliau berkata, pemimpin UMNO terbabit mempunyai jawatan dan kedudukan serta boleh mengesahkan perkara dibincang kedua-dua parti.

    Muhyiddin berkata, Majlis Tertinggi PN sudah membuat ketetapan untuk memberi tumpuan kepada usaha membela nasib rakyat khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah dalam menghadapi kesan inflasi dan keadaan ekonomi yang diunjur tidak bertambah baik.

    “Mesyuarat mengambil maklum bahawa kumpulan B40 meningkat menjadi kumpulan B60 dan penyediaan bantuan bagi kumpulan pendapatan terkebawah ini mesti diberikan tumpuan oleh kerajaan.

    “Bagi membantu meringankan beban kumpulan ini, PN mengarahkan seluruh jentera parti di semua peringkat agar melaksanakan program Prihatin Rakyat di seluruh negara bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

    Muhyiddin berkata, Majlis Tertinggi PN dalam mesyuarat malam tadi juga telah meluluskan pelantikan ketua-ketua kawasan bagi Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.

  • Rundingan hanya sah apabila diputuskan kepimpinan UMNO – Ismail Sabri

    Rundingan hanya sah apabila diputuskan kepimpinan UMNO – Ismail Sabri

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa setiap rundingan yang melibatkan UMNO hanya akan dianggap sah apabila ia diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

    Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata sebarang rundingan perlu dijalankan secara ‘terang’ dan mengikut dasar parti.

    “Parti mesti memutuskan siapa wakil parti yang sah untuk berunding dan sebagainya. Kalau pergi sendiri-sendiri tidak boleh dianggap sebagai mewakili parti.

    “Apa pun rundingan yang nak dijalankan mesti secara rasmi dan diputuskan UMNO sendiri… kalau rundingan-rundingan lain tu mungkin pertemuan yang dianggap tidak rasmi, tidak akan menjadi keputusanlah kepada UMNO,” katanya selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur hari ini.

    Ismail Sabri diminta mengulas mengenai dakwaan seorang pemimpin Pas mengenai rundingan sulit membabitkan pemimpin tertentu dalam UMNO dan Pas yang menyentuh keperluan satu lawan satu antara mereka dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

     Mursyidul Am Pas Hashim Jasin dilaporkan berkata parti itu, yang merupakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN), mahu UMNO tahu bahawa musuh utama pada PRU15 kelak adalah PH dan bukannya Bersatu.

    Mengenai cadangan Pas untuk mengadakan rundingan mengenai 27 kerusi kritikal Parlimen pada PRU15, Ismail Sabri berkata cadangan itu boleh dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO untuk dibincangkan dan jika bersetuju boleh melantik wakil untuk mengadakan rundingan.

    Sebelum ini, Pas dalam Muktamar di Kedah berharap rundingan dengan BN boleh diadakan bagi membincangkan perkara yang melibatkan 27 kerusi kritikal bagi peringkat Parlimen pada PRU15.

    Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata Pas masih terbuka untuk berunding dengan BN terutama dalam memuktamadkan pembahagian kerusi untuk berdepan PRU15 demi penyatuan ummah.

    — BERNAMA

  • Tindakan Pas timbul persoalan siapa musuh bakal ditentang PN dalam PRU-15

    Tindakan Pas timbul persoalan siapa musuh bakal ditentang PN dalam PRU-15

    Muhyiddin minta penjelasan Pas malam ini soal kerjasama dengan UMNO,

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, keputusan dan tindakan Pas mahu meneruskan kerjasama serta mengadakan ‘rundingan tidak rasmi’ dengan UMNO menimbulkan persoalan mengenai musuh yang bakal ditentang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN itu berkata, ia memandangkan  UMNO sudah memutuskan menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

    “Kita sudah tubuh PN. Pas bersama kita, jadi kita nak dapat penjelasan Pas macam mana kita nak menghadapi PRU? Adakah akan tentang BN? Bagi saya memang begitu kerana kita tak mahu kleptrokrasi terus berkuasa dan berleluasa, dikaitkan dengan pimpinan BN.

    “Apa pun nanti saya akan dapat penjelasan, selepas itu PN akan buat pendirian jelas supaya tak ada keraguan mana hala tuju kita ke depan,” katanya pada majlis pelancaran buku The Doctor Will See You Now – My Life With Ampikaipakan Kandiah di sini, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mendedahkan ada rundingan tidak rasmi antara parti itu dan pemimpin UMNO tertentu bagi membincangkan kerjasama menjelang PRU-15.

    Selain itu, Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-68 turut meluluskan usul, meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) bagi memastikan situasi satu lawan satu pada PRU-15.

    Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, beliau akan meminta penjelasan daripada pimpinan Pas dalam mesyuarat PN malam ini berhubung keputusan dan tindakan parti itu.

    Beliau berkata, tindakan pimpinan Pas menjalankan rundingan dengan UMNO mengenai kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tidak dimaklumkan kepada PN.

    “Kita akan bincang dalam mesyuarat PN malam ini. Saya akan minta Presiden atau Setiausaha Agung Pas untuk beri sedikit penjelasan, kalau ya ada perundingan atau perbincangan (dengan UMNO).

    “Apakah benar-benar serius dan sejauh mana perkara itu akan berlaku. Perkara ini saya akan bangkitkan, kerana sekarang ini saya tak boleh nak komen kerana hanya dengar dari media sahaja,” katanya.

    Muhyiddin seterusnya menegaskan, parti dalam PN sewajarnya berbincang terlebih dahulu dengan rakan komponen supaya tidak dilihat berbeza pendirian, yang berisiko menjejaskan masa depan PN.

    “Bila saya mengadakan rundingan dengan mana pemimpin politik seperti yang pernah saya buat dulu, saya akan maklum (pada parti komponen PN) dan saya dapatkan pandangan sama ada wajar atau tidak.

    “Ini kerana kita tidak mahu dilihat sebagai parti yang mempunyai pelbagai pendirian. Tentulah tak baik bagi masa depan PN dan kita nak jelas perkara ini kepada rakyat dan masyarakat umum apa sebenarnya pendirian PN,” katanya.

  • PRU-15: GTA bakal guna lambang obor

    PRU-15: GTA bakal guna lambang obor

    GERAKAN Tanah Air (GTA) berhasrat menggunakan lambang obor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya permohonan pendaftaran gerakan itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

    Jawatankuasa penaja GTA hari ini bertemu Ketua Pengarah RoS Mohd Nawardi Saad bagi menyerahkan dokumen berkaitan serta berbincang berhubung pendaftaran itu.

    Pada 4 Ogos lepas, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA yang disertai empat parti iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

    “Bagi melayakkan GTA bertanding dalam PRU15 maka kita melakukan proses sewajarnya berdasarkan undang-undang dengan mendaftarkan gabungan politik ini kepada RoS,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja GTA dalam kenyataan yang dibacakan Ketua Setiausaha GTA Datuk Marzuki Yahya di sini hari ini.

    Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang masih menjalani kuarantin di rumah selepas dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada Ahad lepas. Beliau dimasukkan ke IJN selepas disahkan positif COVID-19 pada 31 Ogos lepas.

    Presiden Pejuang yang juga Timbalan Pengerusi Penaja GTA Datuk Seri Mukhriz Mahathir berharap permohonan pendaftaran bagi membolehkan GTA menyertai PRU15 nanti dapat pertimbangan sewajarnya daripada  RoS.

    Mukhriz berkata GTA menawarkan kepada rakyat satu gabungan baharu yang setanding dengan gabungan sedia ada seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PN).

    “Persediaan menghadapi PRU15 sedang berjalan dan parti-parti gabungan bergerak bersama dengan berkongsi kekuatan masing-masing,” katanya.- BERNAMA