Category: Politik

  • ‘Kenapa UMNO beria-ia sangat nak buat PRU- 15 sekarang’ – Radzi

    ‘Kenapa UMNO beria-ia sangat nak buat PRU- 15 sekarang’ – Radzi

    NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Radzi Jidin hairan dengan sikap UMNO yang tetap mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera, sebolehnya tahun ini juga.

    Lapor Astro Awani, beliau berkata, jika benar UMNO benar-benar memikirkan kepentingan rakyat, parti itu sepatutnya tahu kegusaran rakyat pada waktu ini adalah banjir yang dijangka berlaku pada hujung tahun.

    “Kenapa nak buat sekarang? Kenapa beria sangat nak buat sekarang?

    “Kalau kita bercakap tentang kepentingan rakyat, maka kita tahu kepentingannya apa pada waktu ini. Seperti saya jelaskan sebelum ini, inilah dia perangai UMNO.

    “Mereka ingin menunjukkan bahawa mereka kuat, mereka parti paling kuat, paling teguh tapi mereka lupa yang paling kuat, apabila datangnya pilihan raya adalah rakyat.

    “Rakyat yang mempunyai kuasa untuk mengundi,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Inisiatif Menangani Beg Berat: Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, di Gombak, hari ini.

    Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap persediaan Kementerian Pendidikan (KPM) sekiranya PRU15 diadakan ketika sesebuah kawasan itu dilanda banjir.

    Radzi dalam laporan itu menjelaskan, sekiranya perkara itu berlaku, ia pasti mendatangkan kesukaran kerana bangunan sekolah bukan sahaja digunakan sebagai pusat mengundi malah ia juga digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) buat penduduk.

    “Penggunaan sekolah sebagai PPS ini adalah satu kebiasaan, telah digunakan sekian lamanya dan kita telah senaraikan sekolah yang memang kita gunakan sebelum ini dan dijadikan PPS.

    “Pada masa sama, sekolah juga digunakan untuk pusat mengundi. Kita tahu sekolah merupakan komponen utama apabila kita bercakap perihal mengundi. Bukan saja sekolah, guru pula banyak membantu dalam konteks pengurusan banjir.

    “Sebab itu saya kata, seolah-olah tiada masa lain pula untuk buat pilihan raya,” ujarnya.

    Sementara itu, ketika ditanya kerusi yang bakal ditandinginya dalam PRU15 nanti, secara ringkas Radzi menjawab beliau akur dengan setiap keputusan Bersatu dan bertanding di mana-mana kawasan ditetapkan parti.

  • Pas tak pernah keluar kenyataan namakan Abdul Hadi calon PM bagi PN

    Pas tak pernah keluar kenyataan namakan Abdul Hadi calon PM bagi PN

    PAS menafikan satu kenyataan media yang kononnya dikeluarkan Setiausaha Agung Parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa parti itu menamakan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pas menerusi kenyataan dalam akaun Facebook rasmi parti itu menegaskan, kenyataan tular bertajuk ‘Bersama Mempertahankan Kepimpinan Ulama’ tersebut bukan dikeluarkan pihaknya.

    “Pas menafikan kenyataan media yang kononnya dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS dengan tajuk ‘Bersama Mempertahankan Kepimpinan Ulama’.

    “Ditegaskan bahawa Pas tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut dan melahirkan rasa kesal atas tindakan tidak bertanggungjawab itu,” kata kenyataan itu hari ini.

    Kenyataan tular bertarikh 2 Oktober itu antaranya menyatakan kesyukuran parti itu di atas keputusan UMNO membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU-15 tahun ini selain memaklumkan kesediaan PN menghadapi pilihan raya berkenaan.

    Selain itu, ia turut menyatakan Pas bersama PN sentiasa memberikan komitmen dengan meletakkan calon yang terbaik membawa agenda Melayu Islam untuk menerajui kepimpinan negara.

    Sehubungan itu Pas mencadangkan Abdul Hadi sebagai calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN).

    Kenyataan itu juga didakwa menyeru rakyat Malaysia untuk berdiri teguh mengangkat dan mempertahan kepimpinan ulama untuk menerajui negara serta menolak Pakata Harapan pada PRU-15.

  • Utamakan kepentingan rakyat bukan kepentingan politik – Dewan Ulamak Pas

    Utamakan kepentingan rakyat bukan kepentingan politik – Dewan Ulamak Pas

    Desakan adakan PRU perlu dikaji semula

    Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa semua parti politik tidak mengutamakan kepentingan berpolitik semata-mata hingga sanggup tidak mempedulikan kepentingan rakyat dalam negara.

    Dalam kenyataan malam ini, Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, desakan yang berterusan terhadap pembubaran Parlimen dengan tujuan mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin dengan berselindung di sebalik alasan kehendak ‘akar umbi’ dan ‘menyerah mandat kepada rakyat’ perlu diteliti semula atas dasar kepentingan rakyat dan bukan kepentingan politik semata-mata supaya urusan menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat yang lebih utama hendaklah terlebih dahulu disclesaikan.

    ‘’Unjuran keadaan cuaca yang tidak menentu serta musim peralihan monsun merupakan tanda awal kepada perlunya kesiapsagaan yang rapi menghadapi kemungkinan bencana banjir yang besar. Ironinya, dalam keadaan yang tidak menentu ini ada pihak yang masih tegar mahu melaksanakan pilihan raya ketika rakyat sedang diselubungi kebimbangan,’’ katanya.

    Beliau berkata, semua pihak perlu diingatkan mengenai banjir puing yang dahsyat melanda beberapa negeri termasuklah negeri di Pantai Barat pada penghujung tahun lalu.

    ‘’Walaupun banjir sebesar itu jarang sekali berlaku, namun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, unjuran kebarangkalian berlakunya banjir-banjir besar oleh agensi tertentu tetap berasas,’’ kata beliau.

    Ahmad menegaskan,  rakyat pernah dikecewakan dengan perlaksanaan PRN Sabah pada Scptember 2020 ketika rakyat dan negara mash dihimpit pandemik Covid-19 ketika itu.

    ‘’Lebih mendukacitakan adalah pelaksanaan PRN tersebut dirujuk menjadi punca penularan sporadik kes yang kembali mencatatkan peningkatan selepasnya,’’ katanya.

    Oleh sebab itu, tegas beliau,  Dewan Ulamak Pas Pusat menyarankan agar semua pihak bertenang terlebih dahulu, menyelesaikan isu-isu rakyat dalam fasa endemik ini serta memastikan penggal pernerintahan berakhir sebelum melaksanakan PRU.

    ‘’ Ahli politik tidak mengira latar belakang seharusnya mengambil iktibar terhadap rantaian isu yang berlaku dalam negara ini. Jangan disebabkan sikap segelintir yang masih berdegil, habis rosak susu sebelanga,’’ tegasnya.

    Dewan itu juga kata beliau, sentiasa mencgaskan bahawa antara matlamat berpolitik adalah tanggungjawab menjaga keperluan dan kebajikan rakyat.

    ‘’Apalah ertinya jika politik hari in meminggirkan tujuan dan matlamat tanggungjawab terhadap rakyat ?,’’ tegasnya.

  • ‘’Kita tetap nak dua-dua sekali, dia tak mahu dia punya pasal’’ – Hashim jawab Zahid

    ‘’Kita tetap nak dua-dua sekali, dia tak mahu dia punya pasal’’ – Hashim jawab Zahid

    ‘’Kita tetap dengan pendirian nak kedua-dua sekali, dia (Umno) tidak mahu itu dia punya pasal.’’

    Itulah penegasan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bagi menjawab kata dua yang diberikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi sama ada Pas memilih Perikatan Nasional (PN) atau UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum.

    Memetik laporan portal FMT, Hashim berkata, Pas menetapkan pendirian untuk mengekalkan kerjasama dengan UMNO dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata,walaupun kedua-dua pihak iaitu UMNO dan PN mendesak membuat pilihan, namun demi meneruskan agenda perpaduan ummah parti itu enggan memilih antara satu.

    “Sama juga dengan Bersatu atau UMNO, dua-dua itu sama sahaja, jawapan dia kita nak dua-dua sekali, tetapi kedua-dua suruh pilih antara satu, dia minta begitu tetapi kita pun ada permintaan juga, sama-samalah meminta.

    “Kalau dia boleh minta dekat kita supaya pilih salah satu, suruh mereka (UMNO) pilih dua-dua (Pas dan Bersatu) sekali kalau tidak, tak bermakna agenda perpaduan ummah ini.

    Kita tetap dengan pendirian nak kedua-dua sekali, dia (UMNO) tidak mahu itu dia punya pasal,” katanya.

    Ahmad Zahid hari ini memberi kata dua kepada Pas sama ada memilih UMNO atau Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU-15.

    Katanya, Pas perlu memutuskan hubungan dengan PN jika mahu bersama UMNO.

    Beliau berkata, jika PAS tidak memenuhi syarat ditetapkan, Umno berhak menghadapi PRU mengikut kaedah sendiri.

  • Kata dua Zahid, apa pilihan Pas?

    Kata dua Zahid, apa pilihan Pas?

    ANALISIS

    SELEPAS memberi tiga syarat kepada Pas jika mahu bersama UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) beberapa hari lalu, hari ini Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka memberi kata dua kepada Pas sama ada memilih UMNO atau Perikatan Nasional (PN).

    Bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur Ahmad Zahid berkata, Pas perlu memutuskan hubungan dengan PN jika mahu bersama UMNO.

    Pas juga kata beliau sudah diberi tarikh akhir untuk membuat keputusan jika Pas tidak memenuhi syarat ditetapkan UMNO berhak menghadapi PRU mengikut kaedah sendiri – bergerak solo.

    “(Namun) jika mereka mahu bersama UMNOdan BN mereka bebas untuk menggunakan lambang parti mereka. Kita boleh toleransi kebersamaam jentera hadapi PRU,” katanya lapor portal Free Malaysia Today (FMT).

    Sebelum itu tiga syarat yang diberikan oleh Presiden UMNO kepada Pas ialah Pas perlu keluar daripada gabungan PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan.

    Persoalannya adakah Pas bersedia ‘mengikut telunjuk’ UMNO? Walaupun Pas berkali-kali mengulangi soal penyatuan ummah termasuk yang terbaru hari ini melalui Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang namun kenyataan Ahmad Zahid membuktikan itu bukanlah persoalan utama.

    Apa yang lebih penting bagi UMNO ialah Pas perlu masuk ke gelanggang dengan memilih salah satu pilihan yang diberikan oleh Ahmad Zahid bersama UMNO atau terus bersama PN.

    Kata dua yang diberikan oleh Ahmad Zahid sudah tentulah meletakkan Pas dalam dilema. Bagaimanapun Pas harus menyalahkan diri sendiri berikutan tindakan Ahmad Zahid itu.

    Presiden UMNO tersebut membuat keputusan yang tepat dengan berbuat demikian kerana bukan kata UMNO malah ramai tertanya-tanya apa sebenarnya pendirian Pas.

    Segala kekalutan ini tidak akan berlaku jika Pas terus komited dengan PN kerana mereka adalah anggota rasmi PN. Tetapi Pas dilihat ‘cuba berenang’ di dua kolam dengan menjadikan penyatuan ummah sebagai ‘pelampung’ – itulah persepsi yang wujud.

    Walaupun sebagai anggota PN, mereka dilayan dengan begitu baik sekali oleh Bersatu namun Pas masih juga ‘terhengeh-hengeh’ mahu bersama UMNO. Tindakan Pas inilah yang menyebabkan ia mengikis rasa gerun mungkin juga rasa hormat UMNO terhadap Pas sehingga Ahmad Zahid memberi kata dua tersebut.

    Oleh itu terserahlah kepada Pas untuk membuat keputusan sama ada mahu tunduk atau tidak dengan kehendak politik Ahmad Zahid tetapi apa yang pasti jangan sampai ‘jangan dikejar tak dapat, jangan dikendong berciciran’.

  • BERSATU jangka Pas tidak terima syarat UMNO

    BERSATU jangka Pas tidak terima syarat UMNO

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Rosol Wahid yakin Pas akan menolak untuk menjalin semula kerjasama politik dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan portal BeritaBersatu, Rosol berkata, ini kerana syarat dikemukakan UMNO bertentangan dengan hasrat parti diterajui Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Tegasnya, matlamat utama Pas adalah untuk menyatupadukan Melayu-Islam melalui parti-parti yang berteraskan kepada perjuangan tersebut.

    “Saya tidak pasti (PAS akan terima atau tidak syarat ditentukan UMNO) tetapi atas dasar perpaduan, saya rasa PAS tidak akan terima.

    “Itu pandangan saya, sebab kita tahu matlamat PAS tetapi syarat-syarat tersebut nampaknya lari daripada kehendak agama.

    “Jadi, saya yakin PAS lebih memilih penyatuan ummah (bersama BERSATU),” katanya kepada Sinar Harian, pada Isnin.

    Ditanya mengenai syarat yang diwujudkan UMNO, Rosol menjelaskan, perkara tersebut adalah hak untuk mana-mana parti.

    “Itu hak UMNO untuk tentukan syarat tersebut tetapi sama ada PAS terima atau tidak, terpulang kepada PAS. Bagi BERSATU mudah sahaja, orang tak ingin kita pun tak mahu,” jelas beliau.

  • Tidak wajar PRU tahun ini, rakyat sedang terbeban pelbagai masalah – Muhyiddin

    Tidak wajar PRU tahun ini, rakyat sedang terbeban pelbagai masalah – Muhyiddin

    SEMUA menteri dan Ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) telah diminta mempertegaskan pendirian gabungan itu bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak wajar diadakan pada tahun ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendirian itu  memandangkan Monsun timur laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.

    Anggota Jemaah Menteri daripada parti Perikatan Nasional telah diminta menegaskan pendirian ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Semua Ahli Perikatan Nasional juga diminta mengambil pendirian yang sama,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhyiddin menyifatkan, langkah mengadakan pilihan raya semasa musim banjir tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihan raya di samping menyusahkan rakyat.

    ‘’Kerajaan mestu memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercapatkan proses pemulihan negara pasca pandemik,’’ katanya

    Beliau berkata, rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan.

    ‘’Penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023,’’ katanya.

    Hari ini juga Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang turut menegaskan Pas berpandangan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tidak perlu disegerakan.

    Beliau menegaskan, ia mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.

    ‘’ Pas berpendirian dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan, di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan,’’ katanya

  • Bubar Parlimen tempoh terdekat tidak wajar, Pas usahakan satukan ummah – Hadi

    Bubar Parlimen tempoh terdekat tidak wajar, Pas usahakan satukan ummah – Hadi

    PAS berpandangan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tidak perlu disegerakan, Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Beliau menegaskan, ia mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.

    ‘’ Pas berpendirian dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan, di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau juga turut menegaskan,  Pas tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak (parti politik, NGO, ahli akademik, tokoh masyarakat) ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah.

    ‘’Ia,bagi mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan Pakatan Harapan,’’ katanya.

    Kenyataan Abdul Hadi berhubung kedua-dua isu menarik perhatian memandangkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) harus diadakan pada tahun ini.

    Manakala dalam soal perpaduan ummah, Pas dilihat berhadapan dengan cabaran memandangkan pertembungan antara UMNO dan Bersatu.

  • ‘’Kalau nak bincang, jangan letak syarat bukan-bukan, pelik-pelik’’ – Tuan Ibrahim

    ‘’Kalau nak bincang, jangan letak syarat bukan-bukan, pelik-pelik’’ – Tuan Ibrahim

    KEPEMIMPINAN Pas ternyata tidak senang dengan kenyataan Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang dianggap memberi kata dua kepada parti itu jika mahu bekerjasama dengan UMNO.

    Presiden UMNO tersebut sebelum ini mengemukakan tiga syarat tersebut iaitu Pas mesti keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ (berpisah) 100 peratus daripada PN dan Bersatu.

    Dan malam tadi, pada sidang media selepas Ceramah Jentera Pas Selangor yang disiarkam secara talian, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan UMNO supaya tidak meletakkan syarat ‘Puteri Gunung Ledang’ sekiranya ingin bekerjasama.

    Beliau menegaskan, jika UMNO meleletakkan syarat “berat” itu, ia tidak akan memenuhi hasrat yang sama.

    “Kita seboleh mungkin kalau boleh nak pakat tiga parti dan kita pun tahu, dua parti bagus, tapi tiga (parti) lagi bagus, kita kena ambil yang terbaik,” katanya.

    Sehubungan itu beliau berkata,  Pas akan bertemu dengan kepimpinan UMNO bagi mengadakan perbincangan berhubung syarat terbabit.

    “Jadi dalam konteks kerangka muafakat ini kita ada masa untuk bincang saya suka cari titik persamaan, jangan letak syarat bukan-bukan, pelik-pelik,” katanya lapor portak FMT.

    Ditanya, bila pertemuan itu akan berlangsung, Tuan Ibrahim berkata “masa belum boleh beri tahu lagi”, sambil menambah pemimpin Pas dan UMNO sentiasa berhubung memandangkan mereka berada dalam kerajaan persekutuan.

    Mengenai keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang mahu PRU-15 diadakan pada tahun ini juga, Tuan Ibrahim menegaskan, ia tidak sesuai.

    “Saya dah sebut kita masih ada masa, tempoh masa masih panjang, sekiranya dalam situasi tak stabil, kita tak tahu banjir tak banjir tapi kemungkinan. Biasa bula November, Disember berlaku banjir, oleh kerana kalau waktu itu kita adakan PRU, saya kira tak sesuai.

    “Kabinet akan bincang, dan Perdana Menteri akan maklum kerana kita anggota Kabinet bersama dari semua parti, bila dia nak bubar walaupun hak prerogatif Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong bila tarikh dicadangkan, terpulang pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

  • 2 lagi ahli Parlimen sertai PBM

    2 lagi ahli Parlimen sertai PBM

    AHLI Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Santhara Kumar hari ini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). 

    Bakal Presiden PBM Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan perkara itu berkata dengan kemasukan Xavier yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen bebas dan Santhara dari Parti Bersatu, PBM kini mempunyai enam orang Ahli Parlimen termasuk Zuraida sebagai Ahli Parlimen Ampang; Steven Choong (Tebrau); Larry Sng (Julau) dan Mohammadin Ketapi (Lahad Datu).

    “Dua orang lagi yang berpotensi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri dari Negeri Sembilan, insya-Allah kita sedang meneliti sedikit perkara dan akan membuat pengumuman,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan 2022 PBM di sini hari ini. 

    Beliau berkata susulan kemasukan Santhara yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ke dalam PBM, secara automatiknya beliau telah keluar dari Parti Bersatu. 

    Mengenai permohonan PBM yang mahu menyertai Barisan Nasional (BN), Zuraida berkata perbincangan masih berjalan dan maklum balas yang diterima adalah positif.  – BERNAMA