Category: Politik

  • Tiga negeri PH tidak bubar DUN – Anwar

    Tiga negeri PH tidak bubar DUN – Anwar

    MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil bagi memastikan persiapan dibuat bagi menangani banjir di tiga negeri terbabit.

     “Oleh demikian saya dan parti Amanah yang mempunyai pendirian sama pada peringkat awal, DAP mengambil masa menjelaskan pendirian mereka.

    “Tapi akhirnya Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) memutuskan bahawa kita PH dan tiga negeri (di bawah pentadbiran) PH akan bersama membuat keputusan menangguhkan pilihan raya negeri, supaya tumpuan dibuat menangani permasalahan banjir,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH di Petaling Jaya hari ini.

    Anwar yang juga Presiden PKR berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan diadakan bersama DAP dan Amanah serta wakil rakyat di beberapa negeri terbabit.

    Oleh itu tegas beliau jentera kerajaan yang sah ketika ini perlu memberi tumpuan kepada persiapan menangani banjir dan bukannya pilihan raya.

    “PH adalah satu badan yang utuh dan kita berikan ruang perbincangan cukup terbuka, apa alasan kita buat keputusan bersama. Pertama kita menolak kerakusan pemerintah memaksa pilihanraya dalam keadaan rakyat derita susah menghadapi banjir.

    “Kedua, kita mahu jentera kerajaan yang sah dan punyai mandat menumpukan bukan pada pilihan raya atau kedudukan mereka, tetapi sepenuhnya tumpu persiapan dan penyelesaian mengurangkan beban kesukaran hidup mangsa-mangsa banjir,” jelasnya lagi.

    Turut hadir dalam sidang media itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

  • Bersatu sedia hadapi pertandingan pelbagai penjuru, tiada kerjasama dengan PH -Muhyiddin

    Bersatu sedia hadapi pertandingan pelbagai penjuru, tiada kerjasama dengan PH -Muhyiddin

    PARTI Bersatu bersedia untuk menghadapi pertandingan pelbagai penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) melibatkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti lain yang akan bertanding.

    Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkukuhkan PN bersama Pas, Gerakan, SAPP dan STAR Sabah sebagai gabungan politik pelbagai kaum di negara ini yang berhasrat menawarkan kepemimpinan yang bebas rasuah, cekap dan prihatin demi kemakmuran seluruh rakyat.

    Dalam kenyataan hari ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, Bersatu telah membuat ketetapan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan PH dalam menghadapi PRU-15.

    ‘’Bersatu juga mengambil maklum pendirian Majlis Presiden PH yang telah membuat keputusan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Bersatu,’’ katanya.

    Penegasan Muhyiddin itu berikutan terdapat gerakan yang cuba memburuk-burukkan beliau dengan mendakwa, bekas Perdana Menteri tersebut akan bekerjasama dengan PH dan Gerakan Tanah Air (GTA) diketuai Tun Dr.Mahathir Mohamad.

    Dakwaan itu sengaja diwujudkan oleh musuh politik Bersatu dan PN bagi memecah belahkan perpaduan dalam gabungan berkenaan dan menjejaskan sokongan  kepada PN.

  • Najib tak layak bertanding kecuali dapat pengampunan

    Najib tak layak bertanding kecuali dapat pengampunan

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak boleh bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, melainkan beliau mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

    Bekas Presiden Badan Peguam, Salim Bashir, berkata penangguhan kehilangan kelayakan seseorang ahli Parlimen mengikut Perkara 48(4) Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai jika parlimen belum dibubarkan.

    “(Ia) bukan untuk tujuan pencalonan, pelantikan atau pemilihan ke mana-mana dewan parlimen,” kata Salim kepada Malaysiakini.

    Tambah Salim, hal itu dinyatakan secara jelas oleh perlembagaan melalui perkara 48(5).

    Sekiranya seseorang itu mengemukakan pencalonan walaupun terdapat larangan Perlembagaan, katanya, pegawai pengurus pilihan raya boleh menolak kertas tersebut mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya 1981.

    Bagaimanapun, Salim berkata, Najib boleh bertanding dalam pilihan raya jika mendapat pengampunan daripada Agong, juga melalui Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

    Kenyataan Salim itu dibuat selepas UMNO Pekan mengesahkan mereka mengemukakan lima nama, termasuk Najib, untuk dipertimbangkan sebagai calon bagi kerusi parlimen di situ pada PRU ke-15 yang dijangka ditetapkan tarikhnya tidak lama lagi.

    Kerusi parlimen Pekan disandang Najib sehinggalah dia disabitkan bersalah atas pertuduhan jenayah oleh mahkamah dan dihukum penjara 12 tahun.

    Walaupun Najib disabitkan bersalah, dia kekal sebagai ahli parlimen Pekan sehingga pembubaran parlimen pada 10 Okt ekoran permohonan pengampunan dirajanya yang dikemukakannya.

  • PRU-15: Agihan kerusi PN selesai sebelum Jumaat depan – Ahmad Samsuri

    PRU-15: Agihan kerusi PN selesai sebelum Jumaat depan – Ahmad Samsuri

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menyelesaikan agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan parti komponennya bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum Jumaat depan.

    Pengerusi PN Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara berkenaan akan dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang.

    “Sebelum Jumaat akan selesai perbincangan kerusi. (Mesyuarat) fokus pada kerusi DUN dan Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian hadiah kejohanan bola sepak Terengganu Football League di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam tadi.

    Naib Presiden PAS itu berkata mesyuarat tersebut juga akan memperincikan soal pemilihan calon yang bakal diketengahkan gabungan politik itu pada PRU15 dan menurutnya PAS sudah mempunyai senarai calon berpotensi, namun masih memerlukan penelitian bagi memastikan calon terpilih adalah layak dan boleh menang.

    “Senarai calon itu ada…akan dibincangkan dalam mesyuarat itu nanti. Semua sekali kami bincangkan. Kami akan selesaikan cepat kerana sedar pengundi 20 tahun dahulu dengan sekarang berbeza. Dahulu orang tengok (undi) atas parti, tetapi sekarang orang tengok calon,” kata Menteri Besar Terengganu itu.

    Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata senarai akhir calon yang akan bertanding akan diputuskan kepimpinan peringkat pusat selari dengan pembahagian kerusi komponen dalam PN kelak.

    — BERNAMA

  • UMNO Alor Setar mengaku kalah awal, jika MCA tanding kerusi Parlimen Alor Setar

    UMNO Alor Setar mengaku kalah awal, jika MCA tanding kerusi Parlimen Alor Setar

    Oleh BADLISHAH MAT

    ‘KALAU MCA bertanding juga di Parlimen Alor Setar, Pakatan Harapan (PH) akan menang dalam keadaan amat selesa. Calon mereka boleh tidur, makan nasi dan dakap isteri di rumah tanpa perlu kempen teruk-teruk kerana kita sama kita akan ‘bunuh’ calon sendiri,” kata Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail.

    Beliau menjangkakan calon PH akan menang mudah di Parlimen itu sekiranya MCA diberi laluan untuk terus bertanding di kerusi tradisi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

    Menurut Mohd. Yusof, keadaan itu dijangka berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya MCA dilihat berdepan kesukaran untuk mendapatkan undi daripada orang Melayu yang merupakan pengundi majoriti di kawasan itu.

    Justeru katanya, UMNO Bahagian Alor Setar akan terus mendesak hingga ke saat akhir agar Parlimen Alor Setar diberikan kepada mereka yang dilihat memiliki peluang lebih cerah merampas kawasan itu daripada PH.

    “Cukup calon PH keluar naik kereta dan tunjuk gambar sahaja untuk menang jika MCA bertanding di sini, tetapi kalau UMNO diberikan ruang, PH kena sinsing lengan jugalah kalau nak menang.

    “Minggu lepas saya sudah ke Kuala Lumpur dan minggu depan akan pergi lagi untuk terus bersuara kerana bagi saya kerusi ini sepatutnya sudah lama diserahkan kepada UMNO kerana kami mendampingi pengundi sejak sekian lama terutamanya sewaktu pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan Tunku, Alor Setar, hari ini.

    Melihat peluang tipis kepada UMNO mendapat kerusi itu, Mohd. Yusof berkata, beliau bercadang untuk menyerahkan jawatan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Alor Setar kepada MCA sekiranya parti tu terus diberikan mandat bertanding.

    “Namun ia belum diputuskan lagi kerana masih di peringkat awal, saya bimbang kalau UMNO pegang jawatan tersebut dan BN kalah nanti, kami pula dituduh sabotaj parti, apatah lagi ketika saya sendiri masih belum bebas sepenuhnya daripada hukuman penggantungan yang kini hanya ditangguhkan sementara.

    “Jadi kalau MCA bertanding, mereka ketuailah dan kami akan bantu. Kami tak boleh pimpin kerana dalam keadaan ini, takut kita buat kerja tak sepenuh hati tetapi kalau mereka tak tahu cara buat orang suka, datanglah bertanya supaya kami boleh tunjukkan caranya,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, UMNO Bahagian Alor Setar tidak kisah siapa sahaja yang diangkat menjadi calon parti itu jika diizinkan bertanding di Parlimen berkenaan kerana tumpuan utama mereka adalah untuk memenangkan kerusi tersebut kepada BN.

    Katanya, lima nama individu berkelayakan untuk diangkat menjadi calon UMNO di Parlimen itu telah dihantar dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk memutuskan perkara itu.

    “Bagi kami ini bukan soal manusia sebaliknya Allah jualah yang menentukan. Sebelum ini pun ada yang sudah dapat watikah tetapi tak dapat jadi calon. Kalau tuhan tetapkan orang itu jadi wakil rakyat, dia akan menanglah, Insya-Allah,” katanya.

  • ‘’Saya tak akan menongkat langit…PRU-15 pilihan raya terakhir’’ – Muhyiddin

    ‘’Saya tak akan menongkat langit…PRU-15 pilihan raya terakhir’’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak akan bersikap seperti ‘menongkat langit’ atau selama-lama berada di atas dalam menerajui parti politik.

    Tegas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu apabila sampai masanya, beliau akan menyerahkan kepimpinan PN dan Bersatu kepada pemimpin lain yang layak.

    Atas dasar itu juga kata Presiden Bersatu itu, beliau menetapkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai pilihan raya terakhir beliau sertai.

    “Saya tidak sewajarnya menongkat langit, sampai dah jadi tua bangka, jangan salah faham. Saya fikir dalam situasi terkini banyak juga yang berkualifikasi, berpengalaman. Tengok kabinet saya terdahulu.

    “Jadi masa saya sudah sampai. Ini penyertaan terakhir saya. Saya serahkan kepada pengundi, nak saya lagi atau tidak? Kalau ya, saya teruskan, jika tidak, saya balik kampung,” katanya pada sidang media di Masjid Pekan Panchor pada Jumaat.

    Terdahulu Muhyiddin yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Pagoh menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan dan menghadiri kenduri rakyat.

    Muhyiddin berkata, tidak timbul soal pengganti susulan penggundurannya nanti.

    “Kerana dalam parti saya, Bersatu khususnya, kita banyak tokoh-tokoh yang dah berpengalaman, di kalangan yang muda termasuk wanita, ramai. Malahan di Pagoh pun ada. Itu satu pertimbangan,” katanya.

    Muhyiddin menambah, pada usia 75 tahun, beliau telah berkhidmat untuk negara hampir 50 tahun.

    Oleh sebab itu beliau yakin masa depan parti ada dalam kalangan pimpinan sedia ada untuk meneruskan.

    “Apa pun, sementara itu, kerana kita berdepan PRU-15, saya diminta untuk meneruskan dan menawarkan diri untuk bertanding, di sini juga (Pagoh),” katanya.-satuberita.my

  • Pas masih terbuka bentuk gabungan mana-mana politik hadapi PRU-15- Takiyuddin

    Pas masih terbuka bentuk gabungan mana-mana politik hadapi PRU-15- Takiyuddin

    PAS masih terbuka untuk membentuk gabungan dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Selagi belum tiba hari penamaan calon, katanya semua parti termasuk PAS masih mempunyai pilihan menyertai atau mewujudkan sebarang gabungan politik.

    “Hari penamaan calon menentukan satu-satu parti itu di dalam gabungan mana dan sebagainya. Jadi, saya rasa belum berakhir sekiranya ada parti ingin membuat atau mewujudkan gabungan,” katanya.

    Beliau yang juga menteri tenaga dan sumber asli berkata demikian selepas merasmikan Karnival KetSA @ Kota Bharu Prihatin anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA ) di Kota Bharu.

    Ditanya sama ada keputusan Pas memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) atas prinsip penyatuan ummah juga bererti parti itu menolak Muafakat Nasional (MN), Takiyuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu menafikan dakwaan itu.

    “Kenyataan itu mengukuhkan hubungan dengan PN kerana Pas adalah gabungan PN…tetapi ada jumpa (dalam) kenyataan menyatakan kita (Pas) memutuskan hubungan dengan MN? Ada atau tidak?” soalnya.

    Mengenai kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung parti itu sedia mempertimbangkan jalinan kerjasama dengan Pejuang pada PRU15, Takiyuddin berkata, Pas tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

    “Dia (Bersatu) belum minta pandangan kita, saya boleh mengesahkan. Ura-ura itu saya tidak tahu betul atau tidak, kalau betul perkara itu belum dalam pengetahuan kita…kita tidak dirujuk atau diberitahu.

    “Berada dalam satu keluarga nak buat apa-apa kita berbincang. Contohnya, Pas berbincang dengan UMNO, kita maklumkan dengan Bersatu secara rasmi,” katanya.

    Hari ini di MARANG, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi penjelasan kenapa parti itu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU-15 dan menolak sekeras-kerasnya kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) serta menangguhkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

    Abdul Hadi juga menegaskan, walaupun Pas akan menghadapi kesukaran dan lebih mudah menang bersama dengan UMNO namun ahli Pas tidak boleh gopoh.

    ‘’Walaupun ini lebih payah, lebih senang dengan UMNO boleh menang cepat,  orang ramai sokong tapi kita tak gopoh, macam buah durian..jangan kait cepat sangat..kalau kait cepat sangat tak masak lagi, kembung perut, bagi masak betul-betul dulu.

    ‘’Saya tahu ada orang Pas ini, tak tahan liur, nak makan peringat durian..durian mentah lagi, kena sabar dulu, kena masak molek dulu, ada ni..bukan yang jahil…yang alim pun ada.. dia tak boleh baca politik..saya boleh baca politik, saya mengaji politik, ada yang alim dia tak baca politik, dia baca kitab aje,’’ katanya.

  • Mukhriz umum pertahan kerusi Parlimen Jerlun

    Mukhriz umum pertahan kerusi Parlimen Jerlun

    DATUK Seri Mukhriz Mahathir hari ini mengesahkan, beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun.

    Presiden  Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, beliau memohon mandat baru sebagai Ahli Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    “Saya memohon sokongan dan undi tuan-tuan dan puan-puan warga Jerlun menjelang PRU-15 ini. Dengan penuh rendah diri, saya dan seluruh parti Pejuang Tanah Air yang menjadi komponen gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) mohon diberi kepercayaan untuk berkhidmat bagi seluruh rakyat di Parlimen Jerlun sekali lagi,” katanya dalam rakaman video.

    Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam  turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat Jerlun yang telah memberinya peluang berkhidmat sebagai wakil rakyat.

    “Saya amat terharu dengan sokongan yang tak berbelah bahagi yang diberikan semasa kami menjadi kerajaan dan semasa menjadi pembangkang.  Sokongan yang sentiasa konsisten itu sangat kami hargai,” katanya.

    Beliau memberitahu, sepanjang bergelar wakil rakyat di situ, pelbagai pembangunan dilakukannya dan pelbagai bantuan disalurkan kepada penduduk.

    Antaranya, kata Mukhriz pembangunan seperti membina dan menaik taraf prasarana seperti kompleks sukan, projek perumahan rakyat, melebarkan jalan dan membina sekolah-sekolah baharu.

    Pada PRU-14, Mukhriz yang bertanding atas tiket Bersatu memenangi kerusi Parlimen Jerlun dengan menewaskan Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Othman Aziz dan Calon Pas Abd Ghani Ahmad dengan 5,866 undi.

    .

  • ‘’Saya tak tahu mana nak tanding, saya malu ‘ceroboh’ kawasan lain’ – KJ

    ‘’Saya tak tahu mana nak tanding, saya malu ‘ceroboh’ kawasan lain’ – KJ

    MENTERI Kesihatan sementara Khairy Jamaluddin belum pasti kawasan mana beliau akan bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    “Jika saya tahu, saya tidak begitu bimbang,” katanya secara berseloroh, dan memaklumkan beliau menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan.

    Khairy, yang menyandang kerusi Parlimen Rembau sejak 2008 berkata demikian ketika ditemui selepas persidangan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM).

    Bulan lalu, Khairy berkata, beliau diminta untuk tidak mempertahankan Parlimen Rembau bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, yang mahukan peranan dalam politik di peringkat persekutuan.

    “Baru-baru ini, Mohamad menghantar mesej kepada saya supaya mengosongkan kerusi tersebut. Saya patuh apa yang UMNO mahu dan di mana mereka mahu saya bertanding. Tidak mengapa.

    “Saya belum menerima sebarang arahan. Saya akan berasa malu untuk ‘menceroboh’ kawasan lain. Senario terburuk, saya tidak akan bertanding,” katanya lapor FMT.

    Mohamad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sejak 2004, tidak menyatakan kerusi Parlimen mana yang ingin ditandinginya.

    Rantau antara salah satu daripada empat DUN dalam Parlimen Rembau.

    Sejak itu, Khairy dikaitkan bertanding di Port Dickson dan Seremban di Negeri Sembilan dan Alor Setar di Kedah.

    Pada Isnin, Khairy berkata, beliau sentiasa terbuka untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen pada PRU15.

    “Saya orang politik, bila diminta pergi ke mana-mana, saya pergi. Tidak kisah di mana-mana pun.

    “Banyak kerusi ditawarkan kepada saya, namun yang menawarkan adalah pemimpin tempatan. Yang membuat keputusan nanti adalah pucuk pimpinan parti.

    “Negeri Sembilan atau Lembah Klang, saya terbuka,” katanya menurut Berita Harian.

  • Sebarang kerjasama politik diputuskan Majlis Tertinggi PN – Muhyiddin

    Sebarang kerjasama politik diputuskan Majlis Tertinggi PN – Muhyiddin

    SEBARANG kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membabitkan Perikatan Nasional (PN) akan diputuskan oleh majlis tertinggi gabungan itu.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara utama yang akan dinilai ialah sama ada kerjasama itu dapat memberi nilai tambah dan menguntungkan PN.

    “PN akan bincang dalam majlis tertinggi, mendapatkan panduan apakah keputusan yang mahu dibuat. Masing-masing ada pengalaman masing-masing, jadi kita nak nilai, ada menambah nilai ataupun tidak, menguntungkan ataupun tidak, jangan merugikan satu pihak, menguntungkan satu pihak. Ini perlu diteliti dengan halus,” katanya pada sidang media di Panchor, Pagoh.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengulas desakan Gerakan Tanah Air (GTA) supaya diwujudkan kerjasama di antara parti pembangkang bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 nanti.

    Pakatan Harapan sebelum ini telah membuat keputusan tidak akan menjalinkan kerjasama dengan GTA.

    Terdahulu Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh telah menghadiri kenduri rakyat di Masjid Jamek Panchor sebagai sebahagian aturcara lawatan sehari ke Pagoh.

    Pada sebelah pagi Muhyiddin menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama penduduk pekan Panchor serta menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada penduduk setempat.

    Muhyiddin turut menghadiri Program Memancing Bersama Nelayan Tempatan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memancing di jeti nelayan Panchor.

    Malam ini Muhyiddin dijadualkan mengadakan Perjumpaan Bersama Jentera Pilihan Raya Bersatu Pagoh di Felda Lenga.-satuberita.my