TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak akan bersikap seperti ‘menongkat langit’ atau selama-lama berada di atas dalam menerajui parti politik.

Tegas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu apabila sampai masanya, beliau akan menyerahkan kepimpinan PN dan Bersatu kepada pemimpin lain yang layak.

Atas dasar itu juga kata Presiden Bersatu itu, beliau menetapkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai pilihan raya terakhir beliau sertai.

“Saya tidak sewajarnya menongkat langit, sampai dah jadi tua bangka, jangan salah faham. Saya fikir dalam situasi terkini banyak juga yang berkualifikasi, berpengalaman. Tengok kabinet saya terdahulu.

“Jadi masa saya sudah sampai. Ini penyertaan terakhir saya. Saya serahkan kepada pengundi, nak saya lagi atau tidak? Kalau ya, saya teruskan, jika tidak, saya balik kampung,” katanya pada sidang media di Masjid Pekan Panchor pada Jumaat.

Terdahulu Muhyiddin yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Pagoh menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan dan menghadiri kenduri rakyat.

Muhyiddin berkata, tidak timbul soal pengganti susulan penggundurannya nanti.

“Kerana dalam parti saya, Bersatu khususnya, kita banyak tokoh-tokoh yang dah berpengalaman, di kalangan yang muda termasuk wanita, ramai. Malahan di Pagoh pun ada. Itu satu pertimbangan,” katanya.

Muhyiddin menambah, pada usia 75 tahun, beliau telah berkhidmat untuk negara hampir 50 tahun.

Oleh sebab itu beliau yakin masa depan parti ada dalam kalangan pimpinan sedia ada untuk meneruskan.

“Apa pun, sementara itu, kerana kita berdepan PRU-15, saya diminta untuk meneruskan dan menawarkan diri untuk bertanding, di sini juga (Pagoh),” katanya.-satuberita.my

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here