Category: Politik

  • Khairuddin Calon BN di Kuala Nerus, Che Abdullah di Tumpat

    Khairuddin Calon BN di Kuala Nerus, Che Abdullah di Tumpat

    BEKAS  Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas yang juga Penyandang Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Mawi sah bakal bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Dalam satu kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut mengumumkan lima lagi nama calon BN yang belum diumumkan.

    “Daripada tujuh kawasan ini, dua kawasan iaitu Tumpat dan Kuala Nerus menyaksikan, Barisan Nasional menampilkan dua calon secara ‘direct candidate’ atas sifat keterbukaan dan perpaduan.

    “Dengan pengumuman ini, ia menjadikan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh Barisan Nasional bagi kawasan Parlimen adalah sebanyak 178,” katanya.

    Lima calon lain yang turut diumumkan adalah Habibah Mohd Yusof (Parlimen Tanjong Karang), A Kohillan Pillay (Parlimen Batu), Chew Yin Keen (Parlimen Bandar Tun Razak), Shamsulkahar Mohd Deli (Parlimen Jempol), dan Adnan Abu Hasan (Parlimen Kuala Pilah).

    Katanya, BN yakin calon-calon yang dikemukakan dengan pelbagai latar belakang dan kelayakan dan mampu untuk menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak.

    Pada pertandingan tiga penjuru PRU14, Mohd Khairuddin yang bertanding atas tiket Pas memenangi kerusi dengan majoriti 8,447 undi selepas memperolehi undi 37,975 menewaskan calon BN, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad (29,527 undi) dan calon PKR, Abdullah Muhamad (4,604 undi).

    Manakala bagi Che Abdullah pula berjaya menewaskan calon BN iaitu Datuk Wan Johani Wan Hussin dan Pakatan Harapan (PH), Datuk Nordin Salleh dengan majoriti 17,500 undi.

  • Wanita BN kecewa pimpinan tidak tepati janji

    Wanita BN kecewa pimpinan tidak tepati janji

    WANITA Barisan Nasional (BN) berasa terkilan apabila pencalonan golongan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak memenuhi sasaran 30 peratus seperti yang dijanjikan pucuk pimpinan parti sebelum ini.

    Menurut Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Noraini Ahmad, pihaknya sedar bahawa fokus untuk memenangkan parti ketika ini lebih menjadi keutamaan.

    Bagaimanapun, janji itu akan terus dituntut khususnya melihat kepada beberapa negeri yang masih belum dibubarkan.

     “Masih terdapat enam negeri yang masih berbaki, belum dibubarkan lagi. Saya dan kepimpinan Wanita BN akan terus tuntut supaya lebih ramai calon-calon wanita dapat diketengahkan dalam enam pilihan raya negeri yang akan diadakan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Noraini berkata, pihaknya akan memastikan hasrat itu mampu dicapai selari kehendak parti sebelum ini yang ingin menonjolkan lebih ramai golongan wanita.

    Sebelum ini, majoriti pimpinan parti politik meletakkan komitmen untuk memberi laluan lebih ramai calon golongan wanita untuk berada di pentas PRU15.

    Perkara itu sebelum ini turut disuarakan penyandang Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid yang tidak berpuas hati mengenai kuota calon daripada Pergerakan Wanita UMNO.

    Mastura antara beberapa nama dalam Kabinet kerajaan yang digugurkan sebagai calon PRU15 sejurus selesai Pengumuman Calon BN yang bakal bertanding dalam PRU15.

  • PN komited tawar Kerajaan Prihatin, Bersih, Stabil

    PN komited tawar Kerajaan Prihatin, Bersih, Stabil

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Perikatan Nasional (PN) komited untuk menawarkan kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil.

    Pengerusi PN itu berkata, perjuangan beliau melawan rasuah telah dibuktikan melalui sejarah panjangnya.

    ‘’Saya dibuat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana saya berjuang melawan golongan yang menyalahgunakan kuasa demi poket sendiri.

    ‘’Menjadi impian saya melihat Malaysia dikemudi oleh barisan kepimpinan yang bebas daripada jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Hal ini diterjemahkan dengan “Aku Janji Integriti Calon” Perikatan Nasional,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook.

    Berikut adalah Aku Janji Integriti Calon Pilihan Raya Umum Ke-15 Perikatan Nasional;

    k

  • [VIDEO] Ada pemimpin UMNO mahu kecilkan kemenangan BN demi PH, dakwa Hadi

    [VIDEO] Ada pemimpin UMNO mahu kecilkan kemenangan BN demi PH, dakwa Hadi

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEGELINTIR pemimpin dalam UMNO sedang mengatur strategi bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak mengecil.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, menerusi maklumat diterimanya, langkah tersebut sebagai strategi untuk membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas hari pengundian nanti.

    Katanya, tindakan tersebut dipercayai diatur oleh sebahagian pemimpin UMNO yang mahu menyelamatkan diri masing-masing daripada kes mahkamah.

    “Kami difahamkan ada dalam kalangan pimpinan UMNO yang mahu kecilkan kemenangan UMNO untuk bekerjasama dengan PH. Tindakan mengecilkan kemenangan UMNO itu dibuat bagi membesarkan kemenangan PH untuk kedua-dua parti tersebut bergabung selepas PRU-15.

    “Sekarang ini ramai dalam kalangan orang UMNO yang tak setuju dengan PH sementara golongan tertentu ini berjanji akan mendukung pemimpin yang nak bergabung dengan PH, untuk membebaskan diri,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Kedah di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar hari ini.

    Abdul Hadi berkata, golongan terbabit diyakini cuma mahu selamatkan diri sendiri dan bukan hendak membantu rakyat.

    “Sama ada mereka mahu jadikan pemimpin PH sebagai Perdana Menteri, perkara itu kini terpulang kepada BN sendiri,” katanya.

    Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, langkah tersebut merupakan susulan kepada kegagalan pihak tertentu untuk menarik UMNO ke dalam ‘khemah besar’ sebelum ini.

    “Mereka cuba guling kerajaan PN di Persekutuan tetapi gagal. Mereka jatuhkan kerajaan negeri di Perak tetapi tak boleh tubuh kerajaan. Itu tanda aras yang boleh dibaca dengan jelas. Terdapat cubaan membawa BN ke arah itu (bekerjasama dengan PH) namun apa yang pasti, kita jelas takkan bersama PH,” katanya.

  • Tuan Ibrahim kekal di Kubang Kerian, Nik Abduh Nik Aziz gugur

    Tuan Ibrahim kekal di Kubang Kerian, Nik Abduh Nik Aziz gugur

     

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini manakala penyandang Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi digugurkan daripada calon Perikatan Nasional (PN) di Kelantan.

    Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata Parlimen Bachok menyaksikan PN meletakkan muka baharu, Muhamad Shahir Che Sulaiman sebagai calon di Parlimen berkenaan manakala Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi sebagai calon di Parlimen Tumpat,

    Pengumuman itu sekali gus mengiyakan desas desus yang tersebar mengatakan dua penyandang berkenaan digugurkan.

    SENARAI CALON PERIKATAN NASIONAL NEGERI KELANTAN PRU-15 2022

    P019 TUMPAT

    Dato’ Hjh Mumtaz binti Md Nawi

    Umur : 50 tahun

    Pengajian : Kuliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), LLB (Kepujian) Undang-Undang Sivil dan Syariah

    Parti : Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan

    P020 PENGKALAN CHEPA

    Datuk Ust Ahmad Marzuk bin Shaary

    Umur : 47 tahun

    Pengajian : Tahun Akhir Doktor Falsafah Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya Parti : Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Pengkalan Chepa

    P021 KOTA BHARU

    Datuk Seri Hj Takiyuddin bin Hassan

    Umur : 60 Tahun

    Pengajian : Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Malaya Parti : Setiausaha Agung PAS Pusat

    P022 PASIR MAS

    Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari

    Umur : 42 Tahun

    Pengajian : Calon PHD, Perniagaan & Ekonomi UPM Parti : Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

    P023 RANTAU PANJANG

    Dato’ Hjh Siti Zailah bt Mohd Yusoff

    Umur : 59 Tahun

    Pengajian : UiTM Shah Alam

    Parti : Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan

    P024 KUBANG KERIAN

    Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man

    Umur : 62 Tahun

    Pengajian : Master Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Parti : Timbalan Presiden PAS

    P025 BACHOK

    Mohd Syahir bin Che Sulaiman

    Umur : 39 tahun

    Pengajian : Sarjana Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya Parti : Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat

    P026 KETEREH

    Mejar Jeneral (B) Dato’ Khlir Mohd Nor

    Umur : 64 Tahun

    Pengajian : Diploma Pengajian Strategik dan Pertahanan (UM) Parti : tiada

    P027 TANAH MERAH

    Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz

    Umur : 57 Tahun

    Pengajian : Bachelor Of Science (Civil Engineering) University of Tennessee USA Parti : Ahli Majlis Pimpinan tertinggi BERSATU Malaysia

    P028 PASIR PUTEH

    Datuk Dr Ustaz Nik Muhammad Zawawi bin Hj Salleh Umur : 55 Tahun

    Pengajian : Doktor Falsafah (PhD) Dakwah dan Kepimpinan Parti : Setiausaha Majlis Syura Ulamak

    P029 MACHANG

    Wan Ahmad Fayshal bin Wan Ahmad Kamal Umur : 35 tahun

    Pengajian : Sarjana Geopolitik

    Parti: Ketua ARMADA BERSATU Malaysia

    P030 JELI

    Zahari bin Kechik

    Umur : 62 Tahun

    Pengajian : LLB (Hons) Uitm

    Parti: Setiausaha Perikatan Nasional Kawasan Jeli

    P031 KUALA KRAI

    Ustaz Abdul Latiff bin Abdul Rahman

    Umur : 51 Tahun

    Pengajian : Calon PHD Pendidikan, UKM Parti: Yag Di-Pertua PAS Kawasan Kuala Krai

    P032 GUA MUSANG

    Mohd Azizi bin Abu Naim

    Umur : 50 tahun

    Pengajian : Sarjana Muda Ekonomi (Hons) Parti: Ketua Bahagian BERSATU Gua Musang

  • Syed Saddiq pertahan kerusi Parlimen Muar

    Syed Saddiq pertahan kerusi Parlimen Muar

    SYED Saddiq Abdul Rahman disahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

    Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya di Johor malam ini.

    Pengumuman itu sekaligus menamatkan spekulasi di mana Syed Saddiq akan bertanding selepas didakwa akan bertanding di kerusi Parlimen Iskandar Puteri yang sebelum ini disandang oleh Lim Kit Siang.

    Bagaimanapun isu itu berakhir apabila DAP mengumumkan Liew Chin Tong akan bertanding di kerusi berkenaan yang dianggap kerusi selamat untuk Syed Saddiq.

    Beliau akan berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN), Helmy Abd Latif dan Perikatan Nasional (PN), Abdullah Husin.

    Syed Saddiq memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 6,953 undi.

    Minggu lalu, parti itu mengumumkan tiga calon yang akan bertanding di kubu kuat BN, iaitu Danial Abd Majeed (Kepala Batas), Siti Rahayu Baharin (Tanjong Karang) dan Lim Wei Jiet (Tanjung Piai).

    Pada 28 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Syed Saddiq membela diri terhadap pertuduhan pindaan bersubahat melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid turut memerintahkan beliau membela diri terhadap pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

    Syed Saddiq, 29, juga diarah membela diri terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan wang masing-masing RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

    Azhar memutuskan demikian terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya bagi kesemua pertuduhan.

    Mahkamah menetapkan bekas Ketua Armada, Parti itu membela diri bermula 22 Februari tahun depan.

    Syed Saddiq didakwa atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada melakukan pecah amanah dana RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

    Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

    Bagi dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

    Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

  • ‘’Beri undi kepada BN..bermakna saya halang Pas-PN berkuasa’’ – Mokhtar

    ‘’Beri undi kepada BN..bermakna saya halang Pas-PN berkuasa’’ – Mokhtar

    AHLI Jawatankuasa Ulama Pas pusat, Mokhtar Senik berkata, untuk menghalang Pakatan Harapan (PH) daripada berkuasa semula, beliau akan memberikan undi kepada Perikatan Nasional (PN) bukan Barisan Nasional (BN)

    Kenyataan beliau itu bagi membalas seruan bekas Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali mahukan ahli-ahli Pas mengundi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Khairuddin yang masih lagi ahli Pas kini giat berkempen untuk BN dan tidak bersetuju Pas menyertai Perikatan Nasional (PN).

    “[…] Bukan dengan cara saya mengundi BN, kerana kalau saya mengundi BN bermakna saya menghalang Pas-PN berkuasa,” kata Mokhtar melalui Facebook beliau.

    Bagaimanapun reaksi diberikan Mokhtar terhadap komen salah seorang pembaca hantaran media sosialnya lebih menarik.

    Seorang daripada pembaca status itu asalnya meminta Mokhtar agar menasihati Khairuddin yang dianggapnya “nampak berat benar dah.”

    Mokhtar kemudian menjawab: “Tak makan nasihat dah. Tunggu rebah terguling baru kita gi dekat.”

  • PN yakin menang kesemua empat kerusi di Bukit Gantang

    PN yakin menang kesemua empat kerusi di Bukit Gantang

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yakin gabungan itu mampu menang keempat-empat kerusi yang dipertandingkan di kawasan tersebut.

    Malah katanya, beliau yakin PN mampu memperoleh lebih banyak undi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan menyasarkan lebih 30,000 undi dalam PRU-15 di kerusi Parlimen.

    “Kemenangan lepas atas nama BN, sebenarnya bukanlah semata-mata kerana BN tetapi atas kerja keras yang dibuat oleh jentera saya.

    “Sekarang jentera itu masih bersama dengan saya, jawatankuasa wanita peringkat (UMNO) Bahagian Bukit Gantang, satu-satunya jawatankuasa yang letakkan jawatan, ikut saya. Inilah keyakinan yang saya ada.

    “PAS dengan jentera yang ada dan saya dengan jentera yang telah terbukti pada pilihan raya lepas. Kombinasi ini akan menambah undi dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada Astro AWANI.

    Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata, beliau yakin mampu menang dengan majoriti lebih 8,000 undi, sekali ganda lebih besar berbanding keputusan pada PRU14.

    Dalam pada itu, beliau berkata sentimen dalam PRU15 berbeza dengan PRU14 kerana kali ini, rakyat lebih melihat kepada calon dan bukan kepada parti semata-mata.

    “Maknanya yang pertama sekali, mereka tidak lagi melihat parti. Perubahan dan berlaku di Malaysia.

    “Mereka akan lihat siapa menjadi calon, apa latar belakang calon, apa calon buat dan ini menjadi keyakinan pada saya bahawa kewibawaan calon, ketrampilan, calon, perkhidmatan calon akan diambil kira.

    “Kalau dulu orang kata letak songkok boleh menang tapi sekarang tak boleh dah,” ujarnya.

  • ‘’Saya tak tentang calon BN, saya tentang Zahid Hamidi’’ – Shahidan

    ‘’Saya tak tentang calon BN, saya tentang Zahid Hamidi’’ – Shahidan

    DATUK  Seri Shahidan Kassim yang digugurkan sebagai calon BN bagi Parlimen Arau masih berteka -teki atas tiket apakah beliau akan bertanding bagi mempertahankan kerusi tersebut.

    Bercakap kepada portal Malaysiakini, Shahidan berkata, “Bertanding atas (tiket) apa tu awak interpret (tafsir) sendirilah tapi Pas akan sokong saya, UMNO akan sokong saya, Bersatu akan sokong saya.  Parti apa? Fikir-fikirkanlah,” katanya.

    Katanya, pencalonnya kali ini sebagai tanda penetangan terhadap Zahid yang menggugurkannya.

    “Saya akan menjadi calon menentang Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi.  “Saya tak menentang dia (calon BN Arau), saya akan menentang Zahid Hamidi sebab Zahid Hamidi ialah seorang yang pecah amanah, menipu dan dia ada kes mahkamah (jadi) dia tak layak memilih calon,’’tegasnya.

    Semalam, Shahidan yang merupakan antara sekurang-kurangnya 12 nama penyandang yang tidak dicalonkan dalam PRU15, berikrar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Arau.

    Apabila ditanya sama ada ia merupakan Muafakat Nasional, beliau mengesahkannya.

    “Ya, Muafakat Nasional. Tak kiralah parti apa, yang paling penting saya akan dapatkan sokongan yang dahsyat,” katanya sambil menambah dia tidak takut dengan tindakan yang akan dikenakan UMNO.

    Beliau mendakwa, ia kerana Zahid sebagai Presiden parti turut melanggar pendirian parti dengan menyokong  Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

    Shahidan juga enggan mendedahkan secara terperinci berhubung sokongan daripada pemimpin kanan dari Pas dan Bersatu yang dimaksudkan itu.

    “Siapa yang kanan (dalam PAS, Bersatu)? Kira itulah. Saya mendapat sokongan daripada semua pemimpin kanan dan kiri daripada Pas dan Bersatu, dan juga saya mendapat sokongan yang padu daripada puak-puak UMNO sebab saya duduk di sini (Arau), saya orang kawasan,” katanya lagi.

    Terdahulu, penyandang kerusi Parlimen Ketereh Annuar Musa yang turut digugurkan sebagai calon memberi bayangan yang sama seperti Shahidan.

    Melalui Facebook beliau, Annuar memuatnaik tangkap layar laman web Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang menunjukkan barisan kepimpinan MN.

    “Insya-Allah masih ada landasan untuk terus berkhidmat atas jalan kebaikan dan kebajikan, terutama mengajak ke arah perpaduan dan penyatuan ummah.

    “Islam dan umat Melayu harus kekal kuat dan berkuasa. Kita kuat jika bersatu padu. Berdiri dalam saf yang dipimpin dengan jelas hala tuju, kepimpinan bermutu. Biarpun terbuang, harus kekal sebagai pejuang yang terbilang,” katanya.

    Sebelum ini Pengerusi PN Perlis Mohd Shukri Ramli sebagai berkata kekosongan nama calon di Arau untuk memberi laluan kepada bekas menteri besar Perlis itu.

    Katanya, nama Shahidan dikosongkan pada saat akhir kerana rundingan di peringkat pusat masih belum dimuktamadkan.

    “Kerusi Parlimen Arau ini adalah milik Pas. Sebelum ini, kita sudah hantar senarai nama yang sesuai untuk bertanding di kerusi Parlimen Arau.

    “Berdasarkan situasi sekarang, kita akan beri laluan kepada Shahidan sebab dia adalah calon boleh menang. Paling penting pada kami adalah memenangi sebanyak kerusi pada PRU15,” katanya.

  • Akar umbi UMNO, BN Gerik berang pencalonan Asyraf Wajdi

    Akar umbi UMNO, BN Gerik berang pencalonan Asyraf Wajdi

    PENCALONAN Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Kelantan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bagi kerusi Parlimen Gerik, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 didakwa mengakibatkan ramai akar umbi UMNO dan penyokong Barisan Nasional (BN) bahagian itu berang.

    Mereka mempersoalkan apa kurangnya jika pucuk pimpinan parti memilih anak tempatan untuk mewakili tempat mereka sendiri berbanding menampilkan orang luar atau ‘calon payung terjun’.

    Asyraf Wajdi beralih ke kerusi Parlimen Gerik di Perak yang dianggap sebagai kubu kuat BN selepas tewas pada PRU-14 ketika bertanding di Parlimen Pasir Puteh kepada calon Pas, Datuk Nik Zawawi Salleh.

    Untuk rekod, kerusi Gerik kosong sejak November 2020 berikutan penyandangnya sebelum ini Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia akibat serangan jantung.

    Kekecewaan dan kemarahan itu diluahkan menerusi satu klip video tular yang memperlihatkan akar umbi UMNO Gerik bersama kain rentang tertulis ‘menolak calon luar’ di samping menzahirkan rasa ketidakpuasan hati dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi UMNO.

    Seorang individu dalam video itu yang mendakwa sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian itu berkata, beliau langsung tidak dihubungi oleh mana-mana pimpinan teratas mengenai calon yang dipilih (Asyraf Wajdi) biarpun bahagian itu dikatakan menamakan 13 calon untuk dipilih sebagai calon.

    “Saya Naib Ketua UMNO Bahagian langsung tidak dihubungi macam mana saya hendak menjawab dengan ahli-ahli UMNO yang lain. Saya bukan hendak menghasut tetapi ini adalah ketetapan kita, nak ingatkan (supaya) tolak calon luar.

    “Mengapa tidak pilih (kalangan) kita, apa kurangnya kita (calon tempatan)? Ini tempat kita, ini budaya kita, ini calon kita, betul?.

    “Bukan nak menghasut tetapi penat dengan permainan ini. Kami tak sanggup dijadikan sebagai ‘tikus makmal walaupun dalam pilihan raya sebelum ini sekali pun kami di Gerik tidak pernah gagal, ” katanya dalam video itu, lapor Agenda Daily.

    Sebelum ini, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan bahawa tiada calon payung terjun BN di Perak termasuk dengan menafikan Asyraf Wajdi yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bahagian Pasir Puteh, Kelantan diletakkan di kerusi Parlimen Gerik.