DATUK  Seri Shahidan Kassim yang digugurkan sebagai calon BN bagi Parlimen Arau masih berteka -teki atas tiket apakah beliau akan bertanding bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Bercakap kepada portal Malaysiakini, Shahidan berkata, “Bertanding atas (tiket) apa tu awak interpret (tafsir) sendirilah tapi Pas akan sokong saya, UMNO akan sokong saya, Bersatu akan sokong saya.  Parti apa? Fikir-fikirkanlah,” katanya.

Katanya, pencalonnya kali ini sebagai tanda penetangan terhadap Zahid yang menggugurkannya.

“Saya akan menjadi calon menentang Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi.  “Saya tak menentang dia (calon BN Arau), saya akan menentang Zahid Hamidi sebab Zahid Hamidi ialah seorang yang pecah amanah, menipu dan dia ada kes mahkamah (jadi) dia tak layak memilih calon,’’tegasnya.

Semalam, Shahidan yang merupakan antara sekurang-kurangnya 12 nama penyandang yang tidak dicalonkan dalam PRU15, berikrar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Arau.

Apabila ditanya sama ada ia merupakan Muafakat Nasional, beliau mengesahkannya.

“Ya, Muafakat Nasional. Tak kiralah parti apa, yang paling penting saya akan dapatkan sokongan yang dahsyat,” katanya sambil menambah dia tidak takut dengan tindakan yang akan dikenakan UMNO.

Beliau mendakwa, ia kerana Zahid sebagai Presiden parti turut melanggar pendirian parti dengan menyokong  Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Shahidan juga enggan mendedahkan secara terperinci berhubung sokongan daripada pemimpin kanan dari Pas dan Bersatu yang dimaksudkan itu.

“Siapa yang kanan (dalam PAS, Bersatu)? Kira itulah. Saya mendapat sokongan daripada semua pemimpin kanan dan kiri daripada Pas dan Bersatu, dan juga saya mendapat sokongan yang padu daripada puak-puak UMNO sebab saya duduk di sini (Arau), saya orang kawasan,” katanya lagi.

Terdahulu, penyandang kerusi Parlimen Ketereh Annuar Musa yang turut digugurkan sebagai calon memberi bayangan yang sama seperti Shahidan.

Melalui Facebook beliau, Annuar memuatnaik tangkap layar laman web Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang menunjukkan barisan kepimpinan MN.

“Insya-Allah masih ada landasan untuk terus berkhidmat atas jalan kebaikan dan kebajikan, terutama mengajak ke arah perpaduan dan penyatuan ummah.

“Islam dan umat Melayu harus kekal kuat dan berkuasa. Kita kuat jika bersatu padu. Berdiri dalam saf yang dipimpin dengan jelas hala tuju, kepimpinan bermutu. Biarpun terbuang, harus kekal sebagai pejuang yang terbilang,” katanya.

Sebelum ini Pengerusi PN Perlis Mohd Shukri Ramli sebagai berkata kekosongan nama calon di Arau untuk memberi laluan kepada bekas menteri besar Perlis itu.

Katanya, nama Shahidan dikosongkan pada saat akhir kerana rundingan di peringkat pusat masih belum dimuktamadkan.

“Kerusi Parlimen Arau ini adalah milik Pas. Sebelum ini, kita sudah hantar senarai nama yang sesuai untuk bertanding di kerusi Parlimen Arau.

“Berdasarkan situasi sekarang, kita akan beri laluan kepada Shahidan sebab dia adalah calon boleh menang. Paling penting pada kami adalah memenangi sebanyak kerusi pada PRU15,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here