Category: Politik

  • PRU-15: 1,386 calon bertanding, 945 di kerusi Parlimen

    PRU-15: 1,386 calon bertanding, 945 di kerusi Parlimen

    SERAMAI 945 calon bakal bertanding di 222 kawasan Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berbanding seramai 687 calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

    Memetik laporan Berita Harian, mengikut ‘dashboard’ Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat pukul 5 petang tadi, Pakatan Harapan (PH) bakal meletakkan calon teramai iaitu sebanyak 206 permohonan yang diterima.

    Ia diikuti dengan Barisan Nasional (BN) dengan 178 calon; Perikatan Nasional (PN) (149) dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bakal mempertandingkan 116 calon.

    Parti Warisan Sabah (WARISAN) bakal meletakkan 52 calon manakala seramai 31 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) akal bertanding kali ini.

    Turut tersenarai adalah 22 calon Pas yang bertanding di Kelantan dan Terengganu serta 13 calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula meletakkan enam calon iaitu dua di Johor dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Sabah.

    Pada masa sama, seramai 108 calon Bebas bakal bertanding kali ini berbanding hanya 24 pada PRU14, dengan bilangan teramai adalah di Selangor dengan 24 calon, diikuti 20 calon Bebas yang layak bertanding di Sabah.

    Selangor bakal menyaksikan calon paling ramai bertanding dalam PRU15 iaitu seramai 124 calon diikuti Sabah dengan 119 calon dan 100 calon di Perak layak berentap di 71 kawasan Parlimen di ketiga-tiga negeri terbabit.

    Sementara itu, seramai 441 calon layak bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) tiga negeri dan DUN Bugaya, Sabah pada PRU15.

    DUN Perak menyaksikan bilangan calon teramai dengan 220 diikuti Pahang dengan 150 calon layak bertanding.

    Daripada jumlah itu, seramai 117 calon BN layak bertanding, diikuti masing-masing 116 calon PH dan PN.

    Seramai 24 calon bebas bakal bertanding pada PRU15 dengan Perak mencatatkan bilangan calon Bebas tertinggi membabitkan 13 individu. Ia diikuti enam di Pahang (empat) dan seorang di Perlis.

    Pada Sidang Media SPR petang tadi, pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata enam kertas pencalonan ditolak pada penamaan calon hari ini.

    Kertas pencalonan ditolak membabitkan empat kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.

    Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan kerusi Parlimen dan DUN mana yang menolak kertas pencalonan berkenaan.

    “Tiada kerusi yang menang tanpa bertanding pada penamaan calon PRU15 hari ini,” katanya.

    Sebanyak 222 pusat penamaan calon dibuka dari pukul 9 hingga 10 pagi tadi.

    Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan merekodkan jumlah pertandingan tertinggi dengan iaitu sebanyak 10 penjuru manakala DUN Chenderiang di Perak membabitkan tujuh penjuru.

    “Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya juga membabitkan pertandingan tujuh penjuru.

    Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus hingga pukul 11.59 malam 18 November.

  • Dominasi BN di Putrajaya sejak empat PRU mampu ditamatkan – Radzi

    Dominasi BN di Putrajaya sejak empat PRU mampu ditamatkan – Radzi

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beliau percaya dominasi Barisan Nasional (BN) yang ‘beraja’ di kawasan itu sejak empat Pilihan Raya Umum (PRU) mampu ditamatkan.

    Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu menjelaskan, ia mampu dicapai dengan strategi, sokongan dan kerja keras seluruh pendokong Perikatan Nasional.

    “Alhamdulillah, saya secara rasmi disahkan sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi P125 Putrajaya.

    “Saya, Dr. Radzi Jidin (DRJ) diumumkan sebagai calon nombor 5. Pastinya nombor 5 ini mempunyai signifikan tersendiri kepada saya.

    “InsyaAllah, dengan strategi, sokongan dan kerja keras seluruh pendokong PN, kita mampu menamatkan dominasi parti lawan yang ‘beraja’ di sini dalam 4 PRU lalu,” katanya di akaun Facebook beliau.

    Mengulas lanjut, Radzi turut merakamkan terima kasih kepada semua pendokong PN yang hadir memberikan sokongan.

    Ucapan terima kasih itu kata beliau juga kepada kepimpinan PN dan Bersatu yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk memikul amanah merampas kerusi Putrajaya yang cukup signifikan ini.

    “Proses pertama telah selesai. Sekarang masa untuk kita bekerja. Dampingi dan kenalilah setiap warga Putrajaya. Jelaskan kepada saudara, rakan-rakan kita di sini mengapa mereka perlu memilih Perikatan Nasional.

    “Dengan gerak kerja yang tersusun, saya penuh yakin kita mampu mencipta #EraBaharuPutrajaya pada malam 19 November ini, insyaAllah.

    “Kepada saudara, rakan-rakan pengundi Putrajaya, saya dengan rendah diri memohon diberikan peluang mengemudi Putrajaya untuk tempoh 5 tahun akan datang,” kata beliau.

    Sementara itu, Radzi turut meminta pengundi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi sebaiknya dan membuat pilihan dengan jiwa yang tenang dan penuh sedar.

    “InsyaAllah, kita mampu mengubahnya.Undilah PERIKATAN NASIONAL!,” tambahnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Penyandang kerusi Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berdepan saingan sengit untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.

    Buat kali pertama sejak kerusi itu dipertandingkan pada 2004, Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan dua calon bebas.

    Selepas proses penamaan calon di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 9 tamat pada 10 pagi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Putrajaya Shamshul Joehari Zainal Mokhtar mengumumkan enam calon layak bertanding, dengan semua borang pencalonan diterima tanpa sebarang bantahan.

    Enam calon itu adalah Tengku Adnan (BN-UMNO), Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Bersatu), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH-PKR), Timbalan Presiden Berjasa Datuk Mohd Rosli Ramli yang menggunakan logo Pejuang, serta dua calon bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.

    Pada pilihan raya sebelum ini, saingan Parlimen Putrajaya yang lazimnya melihat pertandingan satu lawan satu menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada PRU14, dengan Tengku Adnan terus mengekalkan kerusi apabila menang dengan majoriti 3,372 undi.

    Parlimen Putrajaya, yang merupakan kawasan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, mempunyai pengundi berdaftar berjumlah 42,881 orang.

  • PN dijangka lancar manifesto di Kuala Lumpur esok – Muhyiddin

    PN dijangka lancar manifesto di Kuala Lumpur esok – Muhyiddin

    EKONOMI, alam sekitar, pendidikan dan wanita adalah antara yang akan dititikberatkan dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum  ke-15 (PRU15) yang dijangka dilancarkan di Kuala Lumpur, esok.

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu kini sedang memperincikan semua perkara yang disifatkan penting untuk diambil kira supaya boleh dilaksanakan dan ditunaikan untuk rakyat manakala aspek lain yang akan dilihat ialah isu sosial, alam sekitar dan lain-lain perkara. 

    “Saya nak menyatakan bahawa kami tidak mahu berjanji. Kami akan usahakan dan laksanakan sepenuhnya apa yang kami janjikan dalam manifesto.

    “Ini akan kami maklumkan dan berharap ia mendapat tarikan pengundi di seluruh negara,” kata beliau kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Pagoh di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini hari ini.

    Mengakui pernah dinasihati untuk berpindah ke kawasan Parlimen lain, penyandang kerusi Pagoh itu enggan berbuat demikian dan menyatakan ini merupakan kali ke-11 beliau bertanding di kerusi itu semenjak 1978 dan gelanggang terakhirnya dalam PRU.

    “Pagoh dan masyarakatnya ada tempat istimewa di hati saya. Dalam sejarah politik saya selama lebih 40 tahun, saya tidak pernah berpindah ke kawasan Parlimen lain.

    “Saya setia memberi khidmat kepada masyarakat di Pagoh dan pengundi di Pagoh juga sentiasa setia memberi sokongan kepada saya pada setiap kali pilihan raya. Terima kasih,” kata beliau lagi.

    Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu itu berkata PN, yang dipimpinnya turut menawarkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil untuk semua rakyat. 

    Beliau akan menghadapi pertandingan tiga penjuru, bertemu calon Barisan Nasional iaitu bekas Ahli Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim dan calon Pakatan Harapan dari PKR Iskandar Shah Abdul Rahman.

    Terdahulu, pemimpin PN kelahiran Muar itu menjadi calon pertama yang menghantar borang pencalonan pada 9.03 pagi, diikuti Iskandar Shah, lima minit kemudian dan Razali pada 9.12 pagi.

    Kira-kira 1,000 penyokong parti yang bertanding telah berkumpul di pekarangan kompleks itu sejak 9 pagi.

    Muhyiddin, 75, memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada PRU lepas dengan majoriti 6,927 undi, sekaligus menewaskan calon PAS Ahmad Nawfal Mahfodz dan calon BN Ismail Mohamed. – BERNAMA

  • ‘Pilihan ini…demi selamatkan negara’ – Muhyiddin

    ‘Pilihan ini…demi selamatkan negara’ – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau membuat pilihan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) demi untuk menyelamatkan negara dengan menawarkan gabungan itu sebagai pilihan terbaik buat rakyat.

    Berikut kenyataan penuh Tan Sri Muhyiddin yang disiarkan dalam akaun rasmi Facebook beliau:

    PILIHAN PAGOH DAN PERJUANGAN SAYA

    Hari ini saya menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding dalam PRU 15 bagi mewakili kawasan Parlimen P143 Pagoh, iaitu kali kesebelas saya masuk ke gelanggang pilihan raya di sini semenjak 1978.

    Pagoh dan masyarakatnya ada tempat istimewa di hati saya. Dalam sejarah politik saya selama lebih 40 tahun, saya tidak pernah berpindah ke kawasan Parlimen lain.

    Saya setia memberi khidmat kepada masyarakat di Pagoh, dan pengundi di Pagoh juga sentiasa setia memberi sokongan kepada saya di setiap kali pilihan raya. Terima kasih.

    Dalam PRU 14 yang lalu, ada penyokong saya menasihatkan supaya saya berpindah ke kawasan lain. Kononnya Pagoh tak selamat untuk saya. Tetapi saya katakan tidak. Biarlah apapun yang terjadi, saya dan Pagoh berpisah tiada.

    Saya telah mencapai kemuncak dalam kerjaya politik saya apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8 pada 1 Mac 2020. Apabila saya meletak jawatan pada 21 Ogos 2022 saya mempunyai pilihan untuk bersara daripada politik.

    Itu adalah pilihan yang paling baik untuk diri saya dan keluarga saya. Orang kata “I’ve been there, done that”.

    “Perjuangan dan Amanah”

    Dua perkara inilah yang membuatkan saya terus gagahi segala kudrat ini demi rakyat yang saya sayangi. Saya masih memikul amanah sebagai pemimpin sebuah wadah politik yang saya asaskan iaitu BERSATU dan Perikatan Nasional. Wadah politik ini mempunyai prinsip perjuangan yang murni.

    Kerana itulah, walaupun saya telah bersara daripada jawatan Perdana Menteri, saya tidak boleh bersara daripada perjuangan. Saya akan dilihat tidak bertanggungjawab jika saya lari dari medan perjuangan semata-mata kerana saya tidak lagi berjawatan.

    Sukar. Memang sukar bagi diri saya untuk meneruskan perjuangan dalam keadaan ini. Banyak halangan dan cabaran yang terpaksa saya hadapi dalam memimpin sebuah gabungan parti politik besar yang membawa citra dan harapan murni rakyat malaysia, lebih-lebih lagi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

    Tetapi biasalah, itu adat orang berjuang.

    Insya-Allah, ini gelanggang PRU yang terakhir dalam perjalanan politik saya yang saya sertai kerana suatu tekad perjuangan.

    Saya memilih untuk memimpin PN dalam PRU ini kerana saya tidak rela negara ini jatuh ke tangan puak kleptokrat. Saya juga tidak mahu negara ini diperintah sekali lagi oleh sebuah pakatan politik yang gagal menunaikan janji kepada rakyat serta tidak menghormati sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita.

    Perikatan Nasional yang saya pimpin menawarkan sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil untuk semua rakyat.

    Prihatin dengan ertikata sentiasa mempunyai rasa belas ihsan kepada rakyat serta tidak lokek membantu mereka ketika susah.

    Bersih dengan ertikata bebas daripada segala amalan rasuah dan penyelewengan.

    Stabil dengan memastikan kehidupan rakyat sentiasa aman, selamat dan harmoni serta mengelakkan daripada terjadinya perkara-perkara yang menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
    Ikhlas saya katakan, tiada apa yang saya nak kejarkan dengan jawatan Perdana Menteri itu. Jawatan tidak penting bagi saya.

    Kata orang kun fa yakun. Kalau jadi, maka jadilah. Kalau tak jadi pun, tak mengapa.

    Yang lebih penting ialah saya buat pilihan ini demi untuk menyelamatkan negara. Menawarkan Perikatan Nasional sebagai pilihan yang terbaik untuk anda semua.

    We are offering PN as the best option for all Malaysians.

    Anda juga berhak untuk membuat pilihan yang terbaik bagi diri, keluarga dan negara.

    Laksanakanlah tanggungjawab anda sebagai pengundi dan buatlah pilihan dengan jiwa yang sedar.

    Perikatan Nasional, Penyelamat Negara.

  • Digugurkan UMNO: Dua penyandang di Perlis tanding Bebas, PN

    Digugurkan UMNO: Dua penyandang di Perlis tanding Bebas, PN

    DUA penyandang kerusi Parlimen di Perlis, iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin yang digugurkan Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), akan mempertahankan kerusi masing-masing atas tiket lain.

    Di Arau, Shahidan Kassim akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan akan ditentang oleh calon BN, Datuk Rozabil Abd Rahman, calon Pejuang, Abdul Razak Abdul Khalek dan calon PH, Fathin Amelina Fazlie lapor Malaysiakini.

    Shahidan, 71 menjadi wakil rakyat di Parlimen itu selama empat penggal sejak PRU 1986, 1990, 2013 dan 2018 dan ini kali kelima, bekas menteri besar itu akan mempertahankan kerusi berkenaan.

    Di Padang Besar, Zahidi akan ditentang empat calon lain termasuk Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan; Muhammad Saad @ Yahya (PH); Rusydan Rusmi (PN) dan Ko Chu Liang mewakili parti Warisan.

    Ketua UMNO bahagian Padang Besar itu akan turut bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, juga atas tiket Bebas.

  • ‘’Bukan diketepikan, saya tidak mahu dicalonkan’’- Nik Abduh

    ‘’Bukan diketepikan, saya tidak mahu dicalonkan’’- Nik Abduh

    NIK Abduh Nik Abdul Aziz hari ini menafikan diketepikan oleh Pas untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Sebaliknya kata  Ahli Jawatankuasa Pas pusat itu, beliau yang membuat keputusan untuk tidak bertanding.

    Beliau menjelaskan, sudah memberi bayangan tidak mahu lagi dicalonkan beberapa bulan lalu dan pendirian itu mengecewakan jentera parti di Bachok.

     “Apabila Parlimen dibubarkan, saya mengambil masa hampir dua minggu untuk diam dan bertafakur, memohon jawaban daripada Allah. Ia keputusan yang berat dan mestilah gagah.

    “Apabila saya sudah tenang dan pasti, saya jumpa dan menyatakan hasrat kepada bonda saya. Syukur, bonda memahami dan akur. Tanpa izinnya, saya tidak akan melangkah lebih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nik Abduh merupakan salah seorang pemimpin yang popular dalam kalangan PAS dan pernah mengumpul undi tertinggi dalam pemilihan parti itu untuk penggal 2017-2019.

    Sebelum bertanding di Bachok pada 2018, Nik Abduh dicalonkan – dan menang – di kerusi Pasir Mas pada 2013.

    Setiausaha Politik Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman akan menjadi calon Pas bagi kerusi Parlimen  Bachok.

    Nik Abduh berkata, beliau bergegas menemui pemimpin Pas di peringkat kawasan dan negeri apabila mendapati ada tanda-tanda akan dipilih semula di Bachok.

    “Apabila saya sudah memperolehi keyakinan bahawa permintaan saya diterima, terjadilah ‘kejadian’ saya memilih menukar gambar profil di Facebook. Ia suka-suka saja tanda berakhirnya tugas saya sebagai wakil rakyat,” katanya.

  • Perkara pokok kehidupan rakyat agenda utama PN – Muhyiddin

    Perkara pokok kehidupan rakyat agenda utama PN – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menjadikan  ‘bread and butter issues’ iaitu perkara-perkara pokok menyentuh soal kehidupan rakyat sebagai agenda utama jika gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

    Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesti ada kesedaran dan tanggungjawab serta ‘sense of urgency’ untuk tidak berlengah dalam  memastikan masalah rakyat dapat diselesaikan secepat mungkin.

    ‘’Negara kita belum pulih sepenuhnya daripada pandemik COVID-19. Jika kerajaan yang dibentuk selepas PRU-15 tidak tahu mengenai nasib rakyat, maka keadaan akan menjadi lebih sukar,’’ katanya melalui Facebook beliau hari ini.

    Muhyiddin malam tadi menghadiri Jelajah Prihatin Parlimen Sungai Besar di Dataran Desa Permai, Sungai Besar, Selangor.

    Beliau berkata,  pertemuan  dengan penduduk Sungai Besar khususnya para pengundi di kawasan itu amat penting untuk memberi maklumat tentang situasi negara yang kritikal dalam menghadapi PRU-15.  

    ‘’Kita hendak membentuk sebuah kerajaan yang baik, beramanah, bertanggungjawab, prihatin tentang nasib rakyat, yang tahu denyut dan nadi rakyat. Mampukah Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan selepas 19 November ini?

    ‘’Moga kita mampu kerana jika berjaya, kita akan dapat meneruskan kerja-kerja mengurus hal rakyat yang belum selesai, sewaktu 17 bulan pemerintahan PN, ketika saya menjadi Perdana Menteri,’’ katanya.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, manifesto PN menjadikan tiga perkara pokok sebagai agenda utama iaitu Prihatin, Bersih, Stabil (PNBEST).

    ‘’Prihatin – cukup sinonim dengan Kerajaan Perikatan Nasional kerana kita memang menitik-beratkan masalah rakyat dan cara hendak meringankan beban mereka. Bersih pula memastikan semua calon kita bebas rasuah dan bersumpah untuk tidak menyalah guna kuasa atau mengambil duit rakyat walau sesen pun.   Hanya dengan Kerajaan yang prihatin dan bersih, kestabilan negara dapat dikecapi,’’ katanya.

    Sehubungan itu beliau menasihat rakyat jangan hanya menggunakan hak sebagai pemilih untuk mengundi begitu sahaja tetapi laksanakannya dengan penuh bertanggungjawab bagi memilih pemimpin dan kerajaan yang baik dan amanah.

  • ‘’Sedih,kecewa…saya tunggu dari pagi sampai malam’’ – Noh Omar

    ‘’Sedih,kecewa…saya tunggu dari pagi sampai malam’’ – Noh Omar

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar kecewa dengan sikap berdiam diri Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan masih tidak memberi jawapan sebenar mengenai kedudukannya di kerusi Tanjung Karang.

    Beliau mengakui pucuk pimpinan UMNO itu telah meletakkan calon baharu di kawasan itu, namun sekurang-kurangnya Noh mahu Ahmad Zahid memberi respons kepada persoalan mengenai kerusi parlimen berkenaan.

    “Jadi saya tunggu dari pagi sampai malam. Saya WhatsApp Presiden tetapi tidak ada respons. “Saya fikir presiden sibuk dan saya tunggu sampai malam ini. Hanya tadi keluar senarai BN, Tanjung Karang sudah ada calon. Maka, watikah tidak sampai pada saya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Calon BN peringkat Negeri Selangor di Shah Alam malam.

    Beliau juga kecewa dengan Ahmad Zahid kerana tidak bersikap terbuka dalam menyentuh mengenai isu pencalonannya di Tanjung Karang.

    “Sedih dan kecewa saya menunggu macam buah tak jatuh. Saya WhatsApp tapi tiada jawapan, padahal dia baca. Saya tidak mendapat perhatian daripadanya. Saya bersikap terbuka,” ujar beliau lagi.

    Dalam pada itu, hanya 21 daripada 22 watikah diserahkan kepada calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada malam Khamis.

    Noh berkata, watikah calon Tanjung Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof tidak ada dalam senarai berkenaan.

    “Watikah Tanjung Karang katanya belum dapat lagi. Namun, sudah ada (dalam senarai) calonnya ialah Datuk Habibah.

    “Saya tidak tahu mana watikah itu,” ujarnya.

    Justeru, Noh akan hanya mendedahkan mengenai sebab beliau tidak diumumkan sebagai calon BN di Tanjung Karang pada jam 4 petang Jumaat di Tanjung Karang.

  • [VIDEO] Abdul Hadi dakwa ada lagi pemimpin BN akan sertai PN

    [VIDEO] Abdul Hadi dakwa ada lagi pemimpin BN akan sertai PN

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ada lagi pemimpin Barisan Nasional (BN) menyatakan minat untuk bertanding atas tiket PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata permohonan mereka masih dalam proses sebelum diumumkan pada hari penamaan calon Sabtu ini.

    “Tak boleh sebut berapa kerusi. Yang penting ada di utara, ada di tengah, ada di selatan,” katanya dalam sidang media selepas Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15 di Rusila di sini, malam ini.

    Ditanya mengenai pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang akan mempertahankan kerusia Parlimen Arau atas tiket PN, Abdul Hadi berkata Shahidan telah bersama dengan PAS sejak di Parlimen dan beliau seorang yang berani mengkritik pimpinan UMNO.

    Selain Shahidan, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib juga diumum akan mempertahankan Parlimen Maran sebagai calon PN.

    Shahidan dan Ismail adalah antara menteri dan timbalan menteri Kabinet BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang digugurkan sebagai calon BN pada PRU15.

    Abdul Hadi berkata rundingan di peringkat parti mengenai calon daripada BN yang akan mewakili PN telah dibincangkan di peringkat pimpinan PAS dan PN, serta ia diterima sebulat suara.

    Malah katanya, bakal calon daripada PN yang disenaraikan juga telah menarik diri secara sukarela bagi memberi laluan kepada pemimpin BN tersebut. – BERNAMA

  • [VIDEO] Shahidan, Ismail diumum tanding tiket PN di Arau dan Maran

    [VIDEO] Shahidan, Ismail diumum tanding tiket PN di Arau dan Maran

    MENTERI Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket Perikatan Nasional (PN), kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang malam ini.

    Abdul Hadi turut mengumumkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib akan mempertahankan kerusi Parlimen Maran di Pahang, juga atas tiket PN.

    Shahidan dan Ismail telah digugurkan sebagai calon oleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kali ini.

    Terdahulu, Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15, mengumumkan dua bakal calon baharu mewakili PN bagi kerusi Parlimen di negeri itu.

    Mereka adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Dr Alias Razak yang akan bertanding di Parlimen Kuala Nerus dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh di Parlimen Besut.

    Ahmad Samsuri turut mengumumkan lima penyandang daripada PAS bakal mempertahankan kawasan masing-masing termasuk Abdul Hadi yang bertanding semula di Parlimen Marang.

    Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim bakal mempertahankan Parlimen Kuala Nerus; Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu); Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun); dan Che Alias Hamid (Kemaman).

    Selain itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Rosol Wahid disahkan mewakili PN bagi Parlimen Hulu Terengganu.

    Sementara itu, selepas diumumkan sebagai bakal calon PN bagi Parlimen Arau, Shahidan dalam ucapannya berkata beliau membuat keputusan untuk mewakili PN kerana menyifatkan Abdul Hadi memahami dirinya dan mereka tetap bersahabat walau berbeza pendapat.

    “Saya idamkan perpaduan ummah. Saya nak PAS dan UMNO di Arau sokong saya. Biar Muafakat Nasional bermula di Arau. Saya akan gempur Arau habis-habisan. Sekali saya masuk gelanggang saya nak menang,” katanya.

    Berikut senarai calon PN bagi PRU15 di Terengganu:

    P033 Besut – Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh  

    P034 Setiu – Shaharizukirnain Abd Kadir 

    P035 Kuala Nerus –  Datuk Dr Alias Razak 

    P036 Kuala Terengganu – Datuk Ahmad Amzad Hashim

    P037 Marang – Tan Sri Abdul Hadi Awang 

    P038 Hulu Terengganu – Datuk Rosol Wahid 

    P039 Dungun –  Wan Hassan Mohd Ramli 

    P040 Kemaman – Che Alias Hamid 

    — BERNAMA