Category: Pendapat

  • Pandangan Muhyiddin perlu berundur gopoh,pramatang – Dr.Marzuki

    Pandangan Muhyiddin perlu berundur gopoh,pramatang – Dr.Marzuki

    Oleh DATUK DR.MARZUKI MOHAMAD

    ULASAN Dr Azmi Hassan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu berundur sebagai Presiden BERSATU susulan kegagalan Perikatan Nasional memenangi PRN Johor adalah agak gopoh.

    Saya tidak pasti mengapa pandangan sedemikian dilontarkan. Adakah untuk melihat BERSATU menjadi lebih kuat atau sekadar komen cakap buang sahaja.

    Apapun, dalam dunia politik komen sedemikian mudah mendapat tarikan dan dijadikan polemik oleh mereka yang mempunyai motif tertentu.

    Saya ingin berikan sedikit pandangan balas.

    Jika kekalahan pertama PN dalam PRN Johor dijadikan sebab mengapa Muhyiddin perlu berundur, maka ramai Presiden parti lain yang mesti berundur juga.

    Ada parti yang semua calonnya hilang wang deposit. Pengerusi dan Presiden parti ini mesti berundur lebih awal daripada Muhyiddin. Ada parti yang kerusinya merosot hanya tinggal satu. Presiden parti ini pun mesti berundur jugalah agaknya.

    Jika lojik Presiden parti mesti berundur apabila parti kalah pilihanraya, maka banyak parti di negara kita telah mengalami pertukaran kepimpinan akibat partinya kalah. Tetapi perkara tersebut tidak berlaku kepada semua parti.

    Pas misalnya tidak pernah menang dalam pilihanraya persekutuan kecuali di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Presiden Pas tidak bertukar dengan sebab Pas kalah pilihanraya.

    Sebaliknya parti itu terus teguh. Apabila Kerajaan Perikatan Nasional dibentuk pada 1 Mac 2020, Pas menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

    Ada juga parti yang mengalami kekalahan dalam banyak pilihanraya, tetapi akhirnya menang tanpa menukar kepimpinannya. Misalnya PKR di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengalami kekalahan dalam PRU tahun 1999, 2004, 2008 dan 2013 tetapi akhirnya menang dalam PRU 2018.

    Adakah kekalahan PN dalam PRN Johor adalah amat teruk sehinggakan Muhyiddin mesti letak jawatan?

    Dari segi bilangan kerusi mungkin nampaknya begitulah. Tetapi dari segi trend sokongan pengundi, data menunjukkan sebaliknya.

    Dalam PRN Johor, PN adalah satu-satunya parti yang mencatat peningkatan sokongan pengundi Melayu berbanding BN dan PH.  Jika undi Pas dalam PRU 2018 dijadikan undi asas PN, sokongan pengundi Melayu Johor kepada PN telah meningkat daripada 18.1% dalam PRU 2018 kepada 34.5% dalam PRN 2022.

    Sebaliknya sokongan pengundi Melayu kepada BN telah merosot daripada 58.8% dalam PRU 2018 kepada 51.1% dalam PRN 2022. Data menunjukkan berlaku peralihan hampir 8 mata peratus sokongan pengundi Melayu BN kepada PN.

    Perlu diingat, Johor adalah kubu kuat BN.

    Sokongan pengundi Melayu kepada PH juga telah merosot dengan ketara iaitu daripada 28.3% dalam PRU 2018 kepada 11.3% dalam PRN 2022. Sebanyak 17 mata peratus sokongan Melayu PH telah beralih kepada PN.

    Bukankah ini suatu pencapaian kepda PN iaitu sebuah parti baharu di bawah kepimpinan Muhyiddin?

    Malah, sebuah kajiselidik tinjauan pendapat umum pengundi negeri Johor yang dijalankan oleh Institut Masa Depan Malaysia dengan kerjasama Merdeka Centre for Opinion Research pada 4 hingga 21 Februari 2022 mendapati Muhyiddin adalah pemimpin paling popular di Johor dengan approval rating sebanyak 52% berbanding Datuk Seri Najib Razak 39%, Tun Dr Mahathir Mohamad 35%, Lim Guang Eng 24% dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 14%.

    Dalam kalangan pengundi Melayu negeri Johor, kajian ini juga menunjukkan Muhyiddin adalah pemimpin paling popular dengan approval rating sebanyak 67% berbanding Najib 43%, Mahathir 43%, Zahid Hamidi 17% dan Lim Guan Eng 12%.

    Muhyiddin juga mendahului sebagai calon PM iaitu dengan 29% responden bersetuju berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim 23% dan Datuk Seri Ismail Sabri 16%.

    Dalam kalangan responden Melayu, Muhyiddin memperolehi 41%, Ismail Sabri 22% dan Anwar 10%.

    Trend peralihan sokongan pengundi Melayu yang ketara kepada PN dalam PRN negeri Johor mungkin juga disebabkan oleh populariti Muhyiddin sebagai bekas Perdana Menteri dan anak Johor.

    Berdasarkan data-data ini, bagi saya pandangan supaya Muhyiddin berundur hanya dengan sebab PN kalah dalam PRN Johor adalah agak gopoh dan pramatang.

    *Datuk Dr.Marzuki Mohamad adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Ke-8

  • Khemah besar pembangkang: Belajarlah daripada  ahli politik Indonesia

    Khemah besar pembangkang: Belajarlah daripada ahli politik Indonesia

    Oleh MIKAIL FIRDAUS

    NAMPAKNYA idea penyatuan antara PN dengan parti pembangkang walaupun diakui banyak pihak sebagai jawapan terbaik untuk mengalahkan BN pada PRU-15 akan datang, masih terlalu berliku dan hanya boleh menjadi kenyataan jika kesemua pemimpin pembangkang membuang dan mengetepikan ego politik masing-masing.

    Jika dilihat pendirian Dr. Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng yang keras menolak idea yang sedang dirintis Muhyiddin Yassin itu, ramai pesimistik tetapi tidak semua pemimpin dalam PH dan parti pembangkang berpemikiran seperti Dr. Mahathir dan Guan Eng. Ramai lagi pemimpin PH dan pembangkang yang realistik.

    Dr. Mahathir memang sudah menjadi pengetahuan umum egonya tinggi melangit – merasakan hanya dia sorang sahaja yang boleh memimpin negara walaupun PRN Johor sudah membuktikan segala-galanya iaitu beliau dan parti Pejuang ditolak rakyat. Guan Eng juga serupa – walaupun sedar tanpa penyatuan pembangkang, BN akan menang selesa.

    Sebenarnya, dalam memperkatakan soal menyatukan PN dan parti-parti pembangkang di bawah satu khemah besar ini, para pemimpin yang kononnya merasakan diri mereka hebat sepatutnya belajar dengan kematangan politik Indonesia.

    Lihatlah bagaimana kematangan politik di negara seberang itu telah memacu Indonesia jauh meninggalkan Malaysia. Suatu ketika dahulu, kita mungkin mentertawakan Indonesia, tetapi ternyata kini mereka jauh lebih matang dan sudah membuktikannya melalui kebijaksanaan serta keberanian politik.

    Jokowi bukan seperti Dr. Mahathir dan Guan Eng. Presiden Indonesia itu jauh lebih berjiwa besar apabila sanggup bersekutu dengan musuh politiknya, Prabowo demi kepentingan Indonesia. Hasilnya sekarang pentadbiran serta politik Indonesia lancar, ekonominya maju dan paling penting rakyat merasa terbela.

    Soalnya, kalau Jokowi dan Indonesia boleh mengetepikan segala titik bengit peribadi demi kepentingan lebih besar, mengapa pemimpin seperti  Mahathir yang digelar negarawan tidak boleh memperlihatkan sikap negarawan dalam soal penyatuan? Mengapa Guan Eng lebih mengutamakan soal sentimental peribadi berbanding suara majoriti?

    Dalam hal ini, BERSATU yang bermesyuarat malam tadi telah membuat keputusan tepat apabila sebulat suara memberi mandat penuh kepada Muhyiddin untuk menjayakan pelan penyatuan dengan parti-parti lain. Terpulanglah kepada kebijaksanaan Muhyiddin selepas ini kerana kunci sudah diberikan kepada beliau.

    Suka atau tidak – walaupun jalannya penuh berliku, penyatuan PN dan parti pembangkang perlu dijayakan, sama ada di bawah satu gagasan atau pun melalui kerjasama strategik.

    Jika Pejuang dan DAP berkeras, lupakanlah dahulu kedua-dua parti ini, fokus dahulu penyatuan dengan parti-parti yang lebih realistik dan mempunyai kematangan politik.

    Lagi pun Pejuang bukannya ada akar umbi dan hanya bergantung sepenuhnya kepada batang tubuh  Dr.Mahathir. DAP pula biarlah mereka kekal dengan ego Guan Eng kerana jika tersilap percaturan, tidak mustahil Pulau Pinang boleh terlepas daripada tangan DAP. 

    Sekali lagi belajarlah daripada Indonesia untuk membentuk khemah besar ini – ia tidak mudah tetapi boleh dijayakan kerana arena politik ini sarat dengan nilai optimistik, cuma perlukan keikhlasan dalam kalangan pemimpin.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • PRU-15 :Tiada salahnya Muhyiddin rancang kerjasama dengan parti lain

    PRU-15 :Tiada salahnya Muhyiddin rancang kerjasama dengan parti lain

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    RAMAI yang tidak setuju dengan kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mengatakan bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak disenangi banyak pihak ketika menjadi Perdana Menteri ke-8.

    Ternyata apa yang dinyatakan Dr Mahathir itu kenyataan terpesong tanpa berpijak kepada fakta yang sebenar kerana jika disoroti kembali, rakyat bawahan sememangnya selesa dan menyukai kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa yang diterajui oleh Muhyiddin.

    Dalam keadaan politik yang tidak berapa stabil dan dihentam dengan situasi pandemik Covid-19 yang tidak pernah berlaku dalam sejarah, Muhyiddin dengan tenang tetap berjaya membuat keputusan besar untuk menyelamatkan ekonomi dan kesihatan rakyat Malaysia.

    Muhyiddin juga berjaya mengisi jiwa rakyat dengan kepercayaan bahawa kebergantungan sepenuhnya terhadap Maha Pencipta adalah kunci utama untuk menghadapi pandemik Covid-19.

    Beberapa keputusan Muhyiddin dilihat berprinsip dan mempunyai integriti apabila ahli Parlimen yang benar-benar bersih tanpa kes mahkamah sahaja dilantik menganggotai kabinet.

    Dalam masa sama, individu yang pakar dalam bidang masing-masing dilantik memegang jawatan utama seperti Menteri Agama dan Menteri Kewangan.

    Pada ketika itu dan diakui ramai pihak, bukan mudah untuk membuat keputusan yang 100 peratus sempurna tetapi Muhyiddin berjaya menyelamatkan negara ini daripada terus jatuh akibat impak pandemik yang dirasai seluruh dunia.

    Banyak juga cakap-cakap yang mengatakan bahawa, sekiranya Dr Mahathir masih memimpin negara pada ketika Covid-19, rakyat akan terus tertekan kerana pemimpin veteran berusia 96 tahun itu agak kedekut untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat berbanding Muhyiddin.

    Bahkan, semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah sebelum Covid-19, rakyat berasa tidak yakin dengan keupayaan gabungan parti dalam PH untuk membela nasib rakyat.

    Muhyiddin sebaliknya, membela rakyat melalui kelulusan moratorium pinjaman bank – yang mana keputusan itu amat membantu rakyat yang hilang sumber pendapatan, kehilangan sebahagian gaji dan sebagainya.

    Jika tanpa moratorium yang diberikan sebanyak dua kali, tidak tahulah apa akan berlaku kepada majoriti rakyat Malaysia ketika itu.

    Tambahan pula, jika tanpa keputusan pembelian vaksin yang cepat dan program vaksinasi yang pantas, Malaysia sebenarnya agak sukar untuk pulih dan keluar daripada bencana kesihatan seperti mana sekarang ini.

    Oleh itu, tiada salahnya jika Muhyiddin merancang kerjasama parti-parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 kerana hanya dengan cara itu ia akan dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN).

    Muhyiddin juga calon Perdana Menteri sesuai dalam gabungan politik itu kerana tiada lagi pemimpin lain yang layak untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.

    Dr Mahathir misalnya yang sudah menjadi PM sebanyak dua kali iaitu yang keempat dan ketujuh, sepatutnya menerima dengan hati terbuka cadangan Muhyiddin itu kerana jika tidak UMNO/BN akan kembali menjadi kerajaan dengan kuasa mutlak.

    Dakwaan bahawa Dr Mahathir ditikam daripada belakang juga tidak sewajarnya timbul kerana jika tanpa gerakan yang dilakukan oleh Muhyiddin, sudah pasti selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan PM, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR akan menjadi PM.

    Adakah Dr Mahathir setuju dengan keputusan memilih Anwar sebagai PM? Jawapannya sudah tentu tidak kerana jika dari awal lagi Dr Mahathir menyokong Anwar, sudah lama Ahli Parlimen Port Dickson itu menjadi PM.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya cerminkan pendirian wartaRakyat

  • Martabat bahasa Melayu semakin gah di persada antarabangsa

    Martabat bahasa Melayu semakin gah di persada antarabangsa

    Oleh MOHD NORAZIZI SAMSUDAIN

    KEPUTUSAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menggunakan bahasa Melayu dalam persidangan antarabangsa sememangnya inisiatif cemerlang yang perlu dipuji.

    Bukan itu sahaja, beliau menegaskan pendirian itu dengan menyatakan segala surat rasmi yang akan diberikan kepada negara luar juga akan menggunakan bahasa Melayu di samping terdapat terjemahan bahasa Inggeris.

    Semestinya usaha ini dapat mengangkat martabat bahasa kebangsaan seperti mana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

    Terdahulu, pada Februari 2022 lalu, Ismail Sabri telah menegaskan bahawa Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk dalam pelaksanaan mesyuarat dan persidangan antarabangsa.

    Penegasan yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu melambangkan keseriusan negara ini untuk memartabatkan bahasa kebangsaan selari dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Arahan yang dikeluarkan oleh beliau itu bukan sahaja perlu diguna pakai oleh semua penjawat awam malahan syarikat-syarikat swasta turut tidak terkecuali dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa ibunda.

    Pendirian kerajaan berkenaan perkara itu sememangnya memberi implikasi positif kepada negara kita sementelah kebanyakan generasi kini seolah-olah memandang enteng terhadap kebolehpasaran bahasa berkenaan di peringkat global.

    Sama sekali tidak menjadi kesalahan kepada semua lapisan masyarakat untuk memperkukuh penggunaan bahasa Inggeris namun dalam usaha mengekalkan identiti negara ini, bahasa Melayu perlu disebarluaskan oleh rakyat Malaysia sendiri meskipun mereka bukan penutur natif bahasa berkenaan.

    Dalam hal ini, semua pihak bermula dengan generasi di sekolah sehinggalah barisan kepimpinan negara perlu menggembleng tenaga untuk memartabatkan bahasa Melayu lantaran menyebabkannya tidak lapuk ditelan oleh zaman kemajuan teknologi ini.

    Sebagai contoh, usaha murni yang dilakukan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu ketika persidangan antarabangsa pada November 2021 di Glasgow, Scotland perlulah menjadi batu asas kepada orang ramai.

    Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi juga bertepatan dengan sifat bahasa itu sendiri yang digunakan bagi tujuan perpaduan rakyat. Kepelbagaian bangsa dan etnik di negara ini menggambarkan keunikan kepada Malaysia kerana setiap daripada mereka mempunyai bahasa yang tersendiri.

    Walau bagaimanapun, pemupukan perpaduan ini dapat dicapai apabila setiap daripada rakyat memahami makna komunikasi yang disampaikan dalam sesuatu urusan itu.

    Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu yang paling mudah untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat walaupun berbeza bangsa dan etnik.

    Justeru, penggunaannya sama sekali jelas tidak akan mendatangkan ketidakfahaman dalam kalangan masyarakat mesikupun mereka bukan penutur natif bahasa berkenaan.

    Situasi ini sering kali dilihat apabila pengamal media menyiarkan laporan berbahasa Melayu yang menyebabkan pelaporan itu boleh dibaca ataupun didengari oleh semua masyarakat di negara ini tanpa sebarang prejudis dan menimbulkan salah faham. Perkara ini juga dilihat memberi manfaat yang besar ketika rakyat menjalankan urusan di kaunter perkhidmatan kerajaan.

    Terdapat juga desas-desus yang mengatakan sekiranya bahasa Melayu diperluas bagi tujuan urusan rasmi sama ada di peringkat lokal mahupun global boleh menyebabkan pelabur asing menarik diri daripada menjalankan urus niaga dengan negara kita.

    Perkara tidak berasas ini sepatutnya tidak timbul kerana banyak negara maju yang boleh dijadikan contoh termasuk negara pengeluar seperti Jepun. Sepatutnya rakyat di negara ini perlu membuka mata sebab-sebab pendatang asing boleh mempelajari bahasa kebangsaan itu dengan mudah.

    Malahan mereka berasa bangga apabila dapat berkomunikasi dengan rakyat negara ini menggunakan bahasa Melayu dengan begitu baik. Sebaliknya, rakyat yang sedia kala memiliki bahasa itu pula yang terikut-ikut bahasa mereka misalnya yang berlaku di stesen minyak dan restoran-restoran.

    Penegasan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi ini dilihat sebagai langkah untuk memastikan rakyat terus mewujudkan rasa cinta di samping memastikan bahasa ibunda itu terus dimartabatkan oleh semua lapisan masyarakat baik di desa mahupun kawasan bandar. Jangankan pula satu hari nanti kita diibaratkan seperti menang sorak kampung tergadai.

    Kesimpulannya, penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi perlu diteruskan dan mendapat sokongan daripada semua pihak dalam memastikan identiti negara dan jati negara ini dapat dipelihara.

    Usaha murni ini sukar untuk dilaksanakan sekiranya badan-badan berkepentingan sahaja yang memainkan peranan tetapi tidak mendapat sokongan di peringkat akar umbi.

    Justeru, sebagai rakyat yang cinta akan negara ini seharusnya memastikan penggunaan bahasa Melayu terus diperkasakan demi kemaslahatan generasi masa akan datang.

    Sayangilah bahasa kebangsaan kita dan bersama-samalah kita membantu kerajaan untuk menyuburkan slogan bahasa jiwa bangsa.

    Penulis ialah guru di SMK Bukit Gambir, Tangkak, Johor.

  • Berundurlah Anwar sebelum terlambat

    Berundurlah Anwar sebelum terlambat

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    Apabila Anwar Ibrahim didesak letak jawatan, maka berebut-rebut pengikut fanatik Presiden PKR itu mempertahankannya.

    Skrip sama akan diulang-ulang iaitu tiada siapa yang layak mahu gantikan Anwar, gunakan saluran rasmi atau singkirkan Anwar melalui pemilihan parti. Ada juga pemimpin PKR yang tidak mahu menerima kenyataan bahawa Anwar sudah tidak relevan apabila mengatakan kekalahan tiga siri PRN bukan kelemahan Anwar semata-mata.

    Sebenarnya desakan supaya Anwar berundur sudah banyak kali dilaungkan dan paling ketara apabila dia gagal mendapatkan sokongan mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri ketika Tun M meletakkan jawatan sebelum ini. Jika hendak mendapatkan sokongan 222 ahli Parlimen pun masih sukar, bagaimana pula mahu mendapatkan sokongan daripada rakyat Malaysia.

    Kelemahan Anwar makin ketara pada PRN Sarawak apabila mereka tewas di semua 28 kerusi yang ditandingi dan alasan yang sama diberikan iaitu menyalahkan orang lain. PKR mendakwa Pilihan Raya Negeri Ke-12 itu dilaksanakan secara tidak adil, tidak bersih dan tidak bebas. Alasan mudah untuk menutup kelemahan diri sendiri.

    Kelemahan Anwar makin berterusan ditonjolkan pada PRN Melaka apabila mengiktiraf Idris Haron dengan menyifatkan isu lompat parti bekas KM Melaka itu sebagai berprinsip. Dan akhirnya PKR dihukum apabila tewas di kesemua 11 kerusi ditandinginya walaupun diperuntukkan paling banyak kerusi daripada Amanah yang menang satu kerusi sementara DAP empat kerusi.

    Tidak cukup dengan itu, Anwar meneruskan lagi kesilapan percaturan politik pada PRN Johor dengan menjadikan logo sebagai isu utama perlu difokuskan. PKR bertanding menggunakan logo sendiri manakala rakan sekutu iaitu Amanah dan DAP bertanding menggunakan logo PH.

    Natijahnya PH menang 11 kerusi manakala PKR hanya menang satu kerusi. Satu strategi yang dari awal lagi menampakkan makin pening kepimpinan PKR. Selain itu, Anwar juga menggunakan trend peratusan keluar mengundi rendah untuk menutup kelemahannya sedangkan jumlah keluar mengundi yang tinggi belum tentu akan menyokong partinya.

    Jika diimbas kembali, Anwar juga sudah kehilangan aura kepimpinan apabila ceramah dan bicaranya sudah tidak mendapat sambutan seperti sebelum ini. Mungkin orang ramai sudah tidak mempercayai lagi apa yang diucapkannya kerana skrip sama yang asyik diulang berkali-kali membuatkan ramai yang sudah muak.

    Tambahan pula, semenjak menandatangani perjanjian kerjasama kestabilan politik bersama kerajaan PN, Anwar makin ‘lembut’ terhadap kerajaan dan tidak segarang dulu menyebabkan pemimpin pembangkang itu kurang dihormati.

    Maka, langkah terbaik bagi Anwar ialah meletakkan jawatan secara terhormat dan akuilah bahawa dia tidak lagi mampu untuk memimpin PKR dan PH. Berilah peluang kepada pemimpin lain yang muda dan segar untuk memimpin parti itu.

    Selagi Anwar menjadi pemimpin maka nasib PKR dan PH tak akan berubah.

    • Penulis adalah penganalisis politik. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
  • PN terus catat momentum kenaikan sokongan

    PN terus catat momentum kenaikan sokongan

    • Menang di 3 kerusi, beri saingan hebat di 26 DUN

    Oleh : MUHAMMAD SYUKHRI SHAFEE

    itik patah kaki johor

    PILIHAN Raya  Negeri (PRN) Johor telah pun melabuhkan tirainya semalam di mana Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh parti UMNO memenangi sebanyak 40 kerusi DUN daripada 56 kerusi DUN Johor yang dipertandingkan. Pakatan Harapan + MUDA pula memenangi 13 kerusi DUN secara keseluruhannya.

    Manakala Gabungan Perikatan Nasional (PN) pula memenangi 3 kerusi DUN pada PRN Johor kali ini. Parti Pejuang, Warisan, Putra, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan calon bebas pula mengalami kekalahan teruk hingga hilang deposit.

    Sedar ataupun tidak, sebenarnya pada PRN Melaka dan PRN Johor, momentum kenaikan sokongan pengundi sedikit demi sedikit beralih ke Perikatan Nasional. Selain memenangi di kerusi DUN Endau, Maharani dan Bukit Kepong, PN juga dilihat menjadi pesaing sengit di 26 kerusi DUN yang lain iaitu di Gambir, Serom, Bukit Pasir, Bukit Naning, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Semarang, Parit Raja, Mancap, Parit Raja, Rengit, Benut, Kahang, Kukup, Larkin, Tenggaroh, Panti, Sedili, Parit Raja, Johor Lama, Tiram, Permas, Penawar, Tanjung Surat, Simpang Jeram.

    Kesemua 26 kerusi di atas ini, PN berjaya mendapat “Naib Johan”. Walaupun baharu ditubuhkan jika dibandingkan dengan PH, ternyata mereka memberikan saingan yang cukup sengit pada kali ini walaupun dengan peratus keluar undi pada PRN Johor kali ini sebanyak 55 peratus sahaja.

    Jika peratus keluar mengundi melebihi 75% hingga 80%, kebarangkalian untuk PN memenangi kerusi-kerusi ini adalah dilihat cerah berbanding PH yang mana PH dilihat tidak popular dalam kalangan pengundi atas pagar secara keseluruhannya.

    Benar, ramai yang kata BN menang sebab perpecahan undi atas pagar iaitu PH dan PN. Namun, nama dan “magic” PH tidak akan kembali lagi seperti sebelum 2018. PN yang nampak menyerlah menjadi alternatif bagi mereka yang tidak mahu BN bagi kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu.

    Bagi pengundi Melayu secara keseluruhannya pada PRN Johor kali ini, menampakkan bahawa kebanyakan pengundi atas pagar memilih PN sebagai alternatif berbanding PH kerana mereka sudah menyampah dan meluat dengan BN. Itu adalah isyarat yang cukup jelas telah diberikan oleh para pengundi atas pagar kali ini secara keseluruhannya.

    Buktinya jelas ramai pengundi atas pagar di 26 kawasan DUN yang disebut tadi mengalihkan undi mereka kepada PN. PH bukan hanya gagal memenangi 26 kawasan DUN ini tetapi lebih malang lagi mendapat tempat ketiga di belakang PN dari sudut bilangan undi yang PH perolehi pada PRN Johor kali ini.

    Undi popular pula dapat dilihat iaitu 43.11% atau 599,753 undi menjadi milik BN, manakala PH pula mendapat 26.42% atau 367,525 undi. Diikuti rapat oleh PN yang mendapat 24.04% atau 334,457 undi. MUDA mendapat 3.46% atau 48,072 undi dan Pejuang memperolehi 1.34% 18692. Selebihnya menjadi milik PSM, PBM, Putra, Warisan dan calon bebas.

    Apakah PRN Johor ini akan menjadi bayangan apa yang bakal berlaku kepada PRU ke-15? Hanya masa dan keadaan semasa yang akan menentukannya.

    *Penulis merupakan Felo Nusantara Academy for Strategic Research. Artikel ini dipetik daripada portal The MalaysiaGazette .

  • PRN Johor: Pilihlah pemimpin yang terbaik

    PRN Johor: Pilihlah pemimpin yang terbaik

    Oleh DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

    ESOK nasib 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan ditentukan oleh 2.57 juta pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis dan pasangan selain 376 pengundi tidak hadir (PTH) Luar Negara.

    Daripada jumlah pengundi itu, hampir 750,000 orang adalah pengundi baharu dan sekitar 30 peratus daripada mereka berada dalam lingkungan usia 18 hingga 21 tahun. Johor memiliki kira-kira 3.52 juta penduduk ketika ini.

    PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari lalu berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, di Johor Bahru.

    Rentetan itu pelbagai polemik ditimbulkan khususnya kononnya UMNO yang meneraju Kerajaan Negeri Johor sengaja mahu DUN dibubarkan dalam usaha mengukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN) setelah mendapat ‘tiupan semangat’ daripada keputusan PRN Melaka sebelum ini yang menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. Ia kemenangan ‘manis’ mereka selepas dimalukan oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-13.

    Tidak mengapa, apa pun alasan dan sebabnya, pengundi Johor akan membuat pilihan mereka hari ini sebelum mana-mana parti yang bertanding iaitu Perikatan Nasional (PN), BN, PH dan PEJUANG.

    Johor diuji oleh Allah untuk memilih pemimpin yang akan memimpin sebuah negeri. Ia bermula dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kemudian akan memasuki DUN untuk menentukan pelbagai bentuk undang-undang yang melibatkan kemaslahatan umat termasuk pengurusan kewangan negeri yang mencaturkan masa hadapan umat Islam.

    Semua pihak bebas untuk berkempen bagi mana-mana parti yang mereka pilih kerana itu hak masing-masing tetapi sedarkah bahawa itulah kefahaman politik Islam atau politik umat.

    Mereka yang terlibat secara langsung dengan proses amalan demokrasi ini adalah yang faham tentang politik dalam Islam kecuali mereka tidak berminat untuk mengambil tahu dan hanya berpegang kepada prinsip ‘gerakan’ atau bergerak untuk makan. Golongan ini akan membiarkan negeri atau negara mereka diterajui oleh pemimpin yang tidak baik.

    Allah SWT sudah pun mengajar manusia bagaimana cara memilih pemimpin dalam Islam seperti yang terkandung dalam al-Quran. Sehebat mana atau sebijak mana pun seseorang pemimpin itu sekiranya dia tidak memimpin umat berdasarkan perintah Allah dan Rasul-Nya, maka dia pasti akan melakukan kesilapan demi kesilapan sama ada disedari atau tanpa disedari.

    Ketidakpatuhan pemimpin kepada perintah Allah dan Rasul-Nya akan mengakibatkannya gagal untuk menyelesaikan permasalahan umat, jadi ciri nombor satu seorang pemimpin ialah mereka patuh dan taat kepada perintah Allah.

    Tadbir urus yang baik adalah suatu nilai dalam menguruskan negara yang dipandang tinggi di peringkat antarabangsa termasuk dalam institusi politik. Namun begitu al-Quran bukan sekadar menggariskan nilai urus tadbir yang baik semata-mata berkaitan politik sebaliknya menyentuh seluruh aspek kehidupan manusia sama ada individu, keluarga, masyarakat dan negara.

    Contoh terbaik berjaya ditunjukkan ialah Kerajaan Negeri Kelantan sejak ia diperintah oleh PAS dengan sifar korupsi. Ia berlandaskan konsep atau kod etika yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat iaitu UMI (Ubudiyah, Mas’uliyah dan Itqan).

    Ubudiyah merujuk kepada kedudukan manusia sebagai hamba Allah SWT yang diciptakan semata-mata untuk beribadat kepada-Nya. Ia memberi signifikan dari sudut sifat diri, tujuan hidup dan juga cara menjalani kehidupan yang lahir dari pancaran iman serta akidah yang jelas mana Mas’uliyah merujuk kepada kebertanggungjawaban atau akauntabiliti iaitu segala tanggungjawab yang dilakukan di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT pada hari pengadilan kelak. Itqan pula merujuk kepada kualiti kerja yang tekun, komitmen dan kesungguhan.

    Kerana itu penting untuk kita menilai bahawa apa yang berlaku di Johor ini adalah pilihan raya yang menentukan pemilihan pemimpin yang baik bagi melahirkan negeri yang baik.

    Pemimpin yang baik itu akan sedar bahawa parti-parti politik yang bertanding adalah parti yang masih bersama dalam Kerajaan Pusat, justeru mereka akan berhemah ketika berkempen, tidak menyerang lawan secara membuta tuli. Pemimpin dan parti yang baik ini akan menjual modal yang dimilikinya tanpa memburukkan pihak lawan.

    Rakyat Johor ada tanggungjawab besar hari ini. Keluarlah mengundi, yang jauh pulang dan tunaikan kewajipan anda sebagai pemilih, pilihlah pemimpin yang terbaik.

    Penulis ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus.

  • Muhyiddin dan PN terbukti sebagai penyelamat negara

    Muhyiddin dan PN terbukti sebagai penyelamat negara

    Oleh JASRI JAMALUDDIN

    PENGUNDI di Johor yang akan keluar mengundi pada 12 Mac ini sebenarnya berpeluang untuk menentukan tahap urus tadbir dan nasib rakyat negeri ini dan negara keseluruhannya agar berada dalam keadaan baik, dengan mengundi tidak lain tidak bukan untuk Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Keadaan di mana Muhyiddin mula-mula memegang tampuk pemerintahan negara sewaktu Covid-19 melanda negara ini telah dijadikan kontroversi oleh sesetengah pihak daripada parti politik lain, namun prestasi PN semasa menjadi kerajaan menunjukkan komitmen dan prestasi yang amat baik bukan hanya untuk rakyat Malaysia malah semua orang yang menetap di negara ini ketika itu.

    Beliau telah berjaya mengemudi Malaysia sepanjang pandemik Covid-19 melalui usaha-usaha dan perancangan yang luar biasa, teliti dan amat memberi impak yang positif kepada rakyat.

    PN yang merupakan gabungan dari Bersatu, Pas dan Gerakan jelas amat disenangi rakyat sewaktu pemerintahannya. Jelas, tiada berlaku gerakan politik yang mementingkan diri sendiri, tiada retorik, tiada kronisme, tiada janji kosong, tiada kehilangan wang negara dan tiada sikap taksub terhadap Barat.

    Pendekatan PN terhadap semua dasarnya ialah mendahulukan rakyat dan ini ternyata telah memberi manfaat yang besar pada semua rakyat dan negara ini.

    PN telah merangka pelan pemulihan negara yang begitu komprehensif dan jelas di mana sehingga hari ini, pelan tersebut menjadi seperti pembimbing untuk pentadbiran negara yang sekarang ini diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Muhyiddin umpama pengurus dasar yang tidak boleh dicari ganti dan sehingga hari ini, beliau terus menerajui Malaysia dalam mengharungi cabaran landskap pasca Covid-19 dalam kapasitinya sebagai pengerusi bagi Majlis Pemulihan Negara. Beliau meneruskan usaha-usaha komprehensif untuk memulihkan negara tanpa bayaran gaji demi rakyat.

    Komitmen tinggi PN dalam mentadbir negara ketika negara dilanda Covid-19 membuktikan “good governance, transparency and integrity”. Jasa-jasa PN terbukti, antara lain dalam penghapusan hutang sebanyak RM8.3 bilion untuk peneroka Felda yang mana secara drastik telah mengurangkan beban pembayaran balik hutang mereka sebanyak 80%.

    Keazaman politik Muhyiddin yang kuat dan luar biasa telah membolehkan hustang peneroka Felda dihapuskan walaupun pada ketika pandemik itu, negara begitu memerlukan dana yang banyak untuk menampung dan membantu rakyat yang amat begitu terkesan dek Covid-10.

    PN begitu memahami kesukaran peneroka Felda dan penderitaan yang mereka alami. Mereka memerlukan bantuan segera. Nyata, pelupusan hutang Felda ini yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan sebelum PN, telah mengurangkan bebanan mereka.

    Sebagai tambahan kepada pemansuhan hutang, kerajaan Muhyiddin juga telah meluluskan terbitan sukuk sebanyak RM9.9 bilion yang dijamin kerajaan untuk membiayai penambahbaikan kepada model perniagaan Felda.

    Kerajaan PN juga telah memperkenalkan program pembangunan peneroka (PPP) untuk menggalakan peneroka menjadi usahawan dan mengurangkan kebergantungan mereka terhadap harga komoditi selain memberi mereka sumber pendapatan lain. Segala pelan dan usaha ini jelas membuktikan pendekatan “hands-on” PN yang amat luar biasa demi untuk kesejahteraan rakyat.

    Semua ini tidak pernah dibuat oleh kerajaan dahulu. Hampir separuh daripada Johor terdiri daripada penempatan Felda dan kerajaan PN telah berjaya meringankan kira-kira RM 20,000 hutang setiap peneroka melalui pelupusan hutang Felda.

    Oleh kerana itu, para pengundi di Johor pasti dapat memberi pengiktirafan kepada PN yang amat mengutamakan kebajikan rakyat secara realiti, tidak hanya sekadar omong-omong kosong seperti parti-parti lawan.

    Mungkin kelemahan Muhyiddin dan PN terletak dalam cara mereka memasarkan atau mempromosikan diri sendiri. Namun, dari segi tadbir urus negara yan baik dan dasar, mahupun dalam etika atau integriti, ternyata PN amat cemerlang.

    Perwatakan Muhyiddin serius, namun beliau merupakan seorang penjawat awam yang amat berpengalaman dan dedikasi. Secara eklusifnya, beliau begitu mementingkan keberkesanan dalam pelaksanaan semua dasar negara untuk kebaikan rakyat. Etika kerja sebegini dan pendekatan yang baik dan seimbang beliau telah menjadi etos untuk PN.

    Jika anda mahukan ungkapan-ungkapan dan janji-janji retorik dan kosong, drama politik yang mementingkan diri sendiri, jangan toleh pada Muhyiddin dan PN kerana mereka bukan sebegitu. Pandanglah pada parti politik lain yang begitu bersungguh-sungguh hendak menguasai pentadbiran negeri Johor dan negara.

    Tidak boleh disangkal lagi bahawa hanya Muhyiddin dan PN yang dapat memberikan kita semua penyelesaian terhadap segala masalah, kecekapan, pelan praktikal untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing dan lain-lain lagi. Beliau dan PN telah membuktikannya bersama ketika mereka memegang tampuk pemerintahan sewaktu negara dilanda Covid-19.

    Muhyiddin dan PN sentiasa berpegang teguh pada prinsip utama memerangi rasuah dan apa jua bentuk penyalahgunaan kuasa. Pengundi di Johor mesti mendokong prinsip ini. Mereka mesti berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam memerangi rasuah dan apa jua bentuk penyalahgunaan kuasa dengan mengundi calon yang betul-betul berintegriti dan tidak rasuah.

    • Artikel ini dipetik dari portal MalaysiaNow.
  • Konsep WALi yang menutup isu integriti

    Konsep WALi yang menutup isu integriti

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    PENGERUSI BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa pengumuman calon parti itu pada PRN Johor berkata, BN memilih konsep WALi iaitu ‘winnable’, ‘acceptable’, ‘likeable’ dalam penentuan calon.

    Walaupun banyak lagi perkataan bahasa Melayu boleh digunakan, nampaknya BN lebih minat menggunakan bahasa asing dalam menunjukkan ciri calon mereka pada pilihan raya negeri kali ini.

    Bagi penulis isu itu tidak perlu diperbesarkan kerana yang penting adalah isi kandungan konsep WALi itu sendiri. Jika diterjemah ‘Winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (boleh diterima) dan ‘likeable’ (disenangi). Nampaknya pemilihan acuan itu direka untuk menutup asas penting yang sebenarnya perlu ada bagi seseorang calon wakil rakyat.

    Jika diteliti, apa faedah yang rakyat boleh dapat daripada seorang calon yang hanya boleh menang pilihan raya, boleh diterima dan disenangi. Ia tidak membawa pengertian besar kerana ciri utama yang sewajibnya ada ialah calon yang boleh berkhidmat untuk rakyat, rajin, ikhlas dan paling utama ialah berintegriti, amanah serta bersih.

    Apa guna calon itu boleh menang pilihan raya tapi kerjanya hanya mahu songlap duit rakyat? Apa gunanya calon itu disenangi rakyat tapi di belakang rakyat sibuk menjarah duit untuk kepentingan peribadi?

    Dalam kempen pilihan raya, UMNO dan BN seboleh-bolehnya tidak mahu dan cuba mengelak untuk bercakap mengenai isu integriti. Kerana apa? Ia tidak lain tidak bukan kerana teraju utama mereka sendiri iaitu Zahid sedang berdepan dengan kes integriti.

    Zahid ketika ini telah diarahkan oleh mahkamah untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

    Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Zahid Hamidi, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid Hamidi didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

    Dia juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

    Pada masa sama, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak yang menjadi tulang belakang dan hadir semasa pengumuman calon pada 24 Februari lalu sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

    Kerana kesalahan-kesalahan itu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Namun disebabkan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman berkenaan, dia tidak perlu ke penjara dan masih bebas.

    Maka, rakyat boleh nilai sendiri kenapa BN dan UMNO sehabis mungkin akan mengelak daripada berbicara soal integriti kerana pemimpin mereka mengalami masalah integriti yang sudah terbukti di mahkamah.

    Oleh itu, sebagai pengundi yang bijak, yang tidak lagi boleh dibeli dengan gula-gula murahan, bertindaklah dengan bijak.

    Pilihlah calon daripada parti yang terbukti bersih dan tidak terpalit dengan segala macam skandal yang sudah heboh diperkatakan di seluruh dunia.

    • Penulis adalah penganalisis politik. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
  • Gelagat tidak tahu malu Najib di SM Foon Yew

    Gelagat tidak tahu malu Najib di SM Foon Yew

    Oleh SALADIN HASAN SALLEH

    KUNJUNGAN ‘maskot’ kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Datuk Seri Najib Razak ke Sekolah Menengah (SM) Foon Yew di Seri Alam, Johor Bahru, semalam, cukup mengejutkan komuniti Cina.

    Ia dianggap mencabuli prinsip sekolah terkemuka yang mempunyai tiga cawangan di Johor itu yang dizahirkan menerusi motonya: ‘tingkah laku, kewajaran, integriti dan tahu malu’.

    Ini kerana Najib telah disabitkan bersalah atas pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram serta salah guna kuasa membabitkan dana SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Tanpa segan silu, dia menyampaikan ucapan yang mengungkit jasanya kepada sekolah berkenaan sambil menyerang Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun tidak menyebut nama Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

    Dalam ucapan itu, Najib turut menuntut masyarakat Cina berterimakasih kepadanya apabila memetik pepatah Cina: ‘Orang yang minum daripada sebuah perigi tidak harus melupakan orang yang menggalinya’.

    Ironinya, ucapan berdegar-degar itu disampaikan Najib dari sebuah rostrum yang terpampang moto SM Foon Yew iaitu ‘tingkah laku, kewajaran, integriti dan tahu malu’.

    Najib mungkin tidak memahami tulisan empat karakter tulisan Cina berkenaan tetapi jika pentadbir sekolah mahu menjaga air muka ‘maskot’ BN itu, karakter tersebut seelok-eloknya dibuang untuk sementara waktu kerana ia amat janggal.

    Atau sekurang-kurangnya, pentadbir sekolah menutup perkataan ‘integriti’ dan ‘tahu malu’ kerana Najib sudah terbukti tidak mempunyai sifat terpuji itu. Ia bukanlah rahsia, malah sudah diketahui di seluruh dunia, melainkan pentadbir sekolah mahu membuat sindirian secara halus.

    Dalam laporan sebuah portal, pengerusi SM Foon Yew, Tay Chin Hein seakan menjauhkan diri apabila menjelaskan pihakya tidak ingin mencetuskan sebarang salah faham sewaktu ditanya sama ada kunjungan Najib konsisten dengan moto sekolah.

    Malah, Chin Hein turut mendedahkan kunjungan itu bukan atas jemputan pihaknya tetapi atas permintaan pihak Najib. Maka jelaslah, tagline ‘Malu Apa Bossku’ yang pertama kali dipopularkan Najib menerusi imej ‘mat rempit’ sudah cukup sebati dengan dirinya.

    Sudah tiada apa lagi yang nak dimalukan Najib walaupun dalam ilmu akhlak, terdapat satu sifat yang menjadi teras kepada ajaran Islam iaitu sifat malu atau bahasa Arab disebut ‘al-haya’.

    Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW: “Malu dan iman sentiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya.” (Riwayat al-Hakim)

    Jelaslah implikasi sifat malu adalah untuk mengukuhkan iman seseorang Muslim. Semakin tinggi iman seseorang, maka semakin tinggi harga dirinya.

    Apatah lagi, dengan sifat malu juga seseorang Muslim dapat menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT.

    • Penulis adalah penganalisis politik. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.